BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday 16 April 2009

Kepentingan gunakan masa terluang dengan kaedah sempurna

MASA adalah anugerah Allah paling bernilai dan sewajarnya dimanfaatkan secara betul dengan menepati suruhan serta kehendak agama. Malangnya, ramai antara kita khususnya golongan remaja semakin lupa dan tidak lagi menghargai masa yang dikurniakan Allah.

Islam menggalakkan umatnya menggunakan masa secara optimum dan semaksimum yang boleh dengan melakukan perkara mendatangkan faedah kepada diri sendiri, kaum kerabat, masyarakat dan negara.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pergunakanlah lima sebelum datang lima perkara. Masa mudamu sebelum masa tuamu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, masa lapangmu sebelum masa sempitmu dan masa hidupmu sebelum masa matimu."

Pesanan Nabi SAW ini perlu diingati dan dihayati sepenuhnya supaya setiap mukmin sentiasa berwaspada dengan apa dilakukan serta tidak membazirkan masa dengan perbuatan sia-sia yang merugikan.

Manusia ketika muda belia akan terdorong dengan keasyikan dunia dan mudah hanyut dalam pelbagai aktiviti melalaikan. Jika sewaktu muda belia diasuh dan dibimbing dengan aktiviti bermanfaat pastinya mereka akan dapat mengharungi kehidupan masa tua dalam situasi menyenangkan.

Tetapi cuba bayangkan dengan senario semasa yang sedang melanda golongan remaja yang saban hari terjebak dengan pelbagai gejala kurang menyenangkan seperti budaya lepak, lumba haram, berpeleseran di jalanan, menggambarkan kurangnya kesedaran mengenai penggunaan masa muda.
Oleh itu, bagi mengatasinya ibu bapa khususnya perlu mendidik anak sejak kecil supaya bijak menggunakan masa dengan aktiviti bermanfaat. Begitu juga pihak sekolah serta badan bukan kerajaan, perlu menggerakkan program yang mampu menarik minat golongan muda.

Sebenarnya banyak program yang boleh mendatangkan keseronokan dan pada masa sama memberi pengetahuan kepada mereka, tidak semestinya aktiviti berbentuk hiburan saja. Justeru, sebaiknya masa muda digunakan sepenuhnya sebelum nikmat itu ditarik balik.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila sudah tiba waktu pagi, maka jangan tunggu sampai petang, apabila sudah tiba waktu petang maka jangan tunggu sampai waktu pagi. Oleh sebab itu, pergunakanlah waktu hidupmu untuk bekal kematianmu, dan pergunakanlah waktu sihatmu untuk waktu sakitmu."

Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya supaya menghargai masa kesenangan dikurniakan Allah daripada rezeki diberi untuk dikongsi dengan mereka yang kurang bernasib baik. Masa kaya jangan pula menjadikan kita kedekut kerana apabila tiba masa miskin nanti, sudah terlambat untuk menyesali sifat bakhil dulu.
Masa sihat juga sering menjadikan manusia lalai melakukan perkara penting bagi memastikan kesihatan itu sentiasa terpelihara. Hanya apabila didatangkan sakit barulah timbul keinsafan alangkah enaknya waktu sihat dulu.

Tokoh Barat, Brown pernah menyatakan bahawa perbezaan antara orang yang berjaya dan orang gagal terletak pada penggunaan waktunya yang terluang. Demikian kepentingan menggunakan masa yang terluang dengan kaedah yang sempurna.

Malah tokoh falsafah Yunani dulu pernah berkata: "Kita tidak saja perlu bekerja dengan baik, tetapi juga perlu menggunakan waktu lapang dengan baik."

Sering diingatkan, manfaatkan masa hidup kerana kita tidak tahu bila ajal akan menjemput. Oleh itu jangan melengah-lengahkan hal ibadat serta kerja kebajikan kerana pesan Nabi Muhammad SAW, orang paling bijak ialah yang banyak mengingati mati dan banyak melakukan persediaan menghadapinya.

Begitulah kepentingan menjaga masa yang ditekankan dan diingatkan supaya umat Islam bijak menguruskan masa diberikan Allah kepada mereka. Kata pepatah masa itu emas atau masa itu wang adalah bukti jelas menunjukkan nilai sebenar masa.

Jika pesanan menjaga serta menghargai masa itu dapat dihayati dan dijadikan pedoman dalam melalui kehidupan dunia ini, sudah tentulah kita menjadi seorang yang beroleh kejayaan dan keberkatan dunia akhirat.

0 comments: