BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday 11 October 2009

Wahai Diri...Sudahkah Engkau Menyintai RasuluLLah ?

Seorang sahabat bertanya : Mengapa semakin hilang rasa cinta kepada RasuluLlah, walaupun terkadang ada.. tetapi sebentar sahaja ia singgah di dalam hati...

Wahai diri..

ALlah telahpun berfirman yang bererti :

"Demi sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) di hari akhirat serta dia sentiasa menyebut dan mengingati ALLAH sebanyak mungkin (di waktu susah dan senang)." – Surah al-Ahzab: 21.
Sabda RasuluLlah yang bererti :

Bahawasanya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik.'
(Riwayat al-Bukhari,Hakim dan Baihaqi)
Wahai diri, bertanyalah kembali pada dirimu :

1. Engkau cinta kepada Rasul tetapi mengapa tidak menyemak kembali sirahnya untuk menyemai rasa cinta kepada Baginda. Mengapa tidak menyemak sirah para sahabat yang dari diri mereka sendiri tercermin cinta kepada RasuluLLah?

2. Engkau kata cinta kepada Rasul tetapi mengapa tidak berterusan melakukan sunnahnya walaupun sedikit?

3. Engkau mengatakan cinta kepada RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam, adakah di dalam diri sudah tersemai sifat-sifat baginda yang perlu diikuti seperti sifat sidq, Amanah, Tabligh dan Fatonah ?

4. RasuluLlah tercerna pada diri baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam sifat yang baik, dijadikan suri tauladan. Di zaman jahiliyyah pula orang kafir musyrikin menggelarkannya sebagai al Amin (yang dipercayai). Dari sifat RasuluLlah yang mentarbiahi sahabatnya sehingga melahirkan pahlawan-pahlawan Islam yang mempunyai sifat mulia yang unggul. Bahkan melahirkan mereka yang berani berjihad dan menyebarkan Islam (dengan aqidah yang mantap, akhlak, ilmu) sehinggalah menguasai 2/3 dunia.

Muhasabahlah wahai diri, adakah sifat-sifat di bawah ini sudah kita perbuat, kita tambahkan dalam diri buat bekal hidup sehari-hari bagi menyemai cinta kepada RasuluLlah ?..

1. RasuluLLah berdoa dengan penuh khusyuk bahkan mengalirkan air matanya..

2. RasuluLlah tidak pernah memuji dan mencerca makanan

3. Memberi hadiah kepada sahabatnya dan suka menziarahi sahabat-sahabatnya.

4. Baginda yang selalu memulakan salam dan senyum kepada orang Islam yang dijumpainya,

5. Baginda suka kepada anak-anak terutamanya anak yatim

6. Memberikan perhatian kepada orang yang bercakap.

7. Lemah lembut tutur katanya dan seorang yang pemalu melebihi seorang seorang perawan di dalam biliknya.

8. Mengutamakan umat Islam dari dirinya dan keluarganya. Sentiasa membantu orang lain walaupun baginda sendiri di dalam kesusahan.

9. Di dalam peperangan, bagindalah di hadapan sekali menjadi panglima perang.

10. Sabar di dalam dugaan. Dihina, dicemuh, dimaki hamun, dibaling najis. Ia masih sabar dan cekal.

11. Baginda menjaga penampilan diri, menyikat rambut dan janggutnya, memotong kuku, memotong bulu ari-ari. Baginda amat mementingkan kebersihan.

12. Baginda bangun malam sehingga bengkak kakinya untuk menyembah ALlah kerana melahirkan rasa bersyukur..

13. Gurauan Baginda adalah benar dan tidak berbohong.

14. Tidak menghina orang miskin dan tidak segan untuk bergaul dengan mereka.

15. Baginda amat sayang kepada umatnya.

16. RasuluLlah tidak menghukum tanpa diselidiki terlebih dahulu.

17. Alangkah terlalu sempit ruangan ini untuk menceritakan keindahan akhlakmu ya RasuluLlah...

Menyintaimu Ya RasuluLlah :

Diriwayatkan dari AbduLlah bin Hisyam radiyaLLahu 'anhu berkata : "Ketika kami bersama RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam, Baginda memegang tangan Umar radiyaLLahu 'anhu." Umar berkata yang bermaksud :
"Wahai RasuluLlah, cinta kepadamu melebihi segala sesuatu kecuali pada diriku sendiri." RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam berkata. "Tidak, demi jiwaku yang ada dalam kekuasaanNya, hendaknya aku menjadi orang yang lebih engkau cintai dari dirimu sendiri." Lalu Umar radiyaLlahu 'anhu berkata, "Sungguh, sekarang engkau ialah orang yang lebih aku cintai daripada diriku sendiri." Maka RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam berkata, "Nah sekaran engkau adalah Umar." Maksudnya, "Sekarang telah sempurna imanmu".
(Riwayat Bukhari dan Syaibani).

0 comments: