BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday 15 November 2009

Khaulah sayang kepada suaminya

KHAULAH binti Hakim adalah isteri kepada seorang pemimpin kaum Muhajirin. Suaminya bernama Usman bin Madzun. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu as-Saib dan Abdurrahman. Khaulah adalah antara wanita yang awal memeluk Islam.
Khaulah memainkan peranan penting dalam kehidupan Nabi Muhammad selepas Siti Khadijah meninggal dunia.

Khaulah berusaha mengembirakan hati Nabi Muhammad. Siti Khadijah adalah isteri Nabi Muhammd. Kematian Siti Khadijah menyebabkan Nabi Muhammad menjadi sedih dan pilu.
Bagi menggembirakan Nabi Muhammad, Khaulah telah memberikan cadangannya. Khaulah mencadangkan supaya Nabi Muhammad mencari pengganti Siti Khadijah. Akhirnya Khaulah berjaya melamar Saudah dan Aisyah sebagai isteri Nabi Muhammad.
Khaulah begitu dihormati oleh Nabi Muhammad. Dia juga adalah wanita yang bijak bersastera dan fasih berkata-kata. Dia begitu terkenal dengan syairnya yang indah-indah.

Semasa hidupnya, Khaulah telah melaporkan sebanyak 15 buah hadis daripada Nabi Muhammad. Khaulah sangat terkenal di kalangan isteri-isteri Nabi Muhammad. Khaulah sering menziarahi isteri-isteri Nabi Muhammad.
Pada suatu hari, Khaulah datang ke rumah isteri Nabi Muhammad. "Saya lihat wajah awak kusam. Diri awak pula tidak secantik hari-hari lain. Mengapa?" tanya isteri Nabi Muhammad.
Khaulah tidak menjawab. Kemudian dia duduk disebelah isteri Nabi Muhammad.
"Cuba awak lihat pakaian awak ini. Nampaknya sudah lusuh dan koyak. Bukankah suami awak itu orang kaya?" tanya isteri Nabi Muhammad.

Tiba-tiba Khaulah berkata, "Saya tidak kisah dengan semua itu. Masalah yang saya hadapi ini tidak ada kena mengena dengan kekayaan suami saya."
"Jika itu bukan halnya, mengapa awak bermuram sahaja?" tanya isteri Nabi Muhammad.
"Saya memikirkan hal suami saya. Pada malam hari, suami saya tidak henti-henti sembahyang sunat. Pada hari siang pula dia sering berpuasa," jelas Khaulah.
Berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad bertindak serta merta berjumpa dengan suami Khaulah.

"Wahai Usman, awak telah membuat hati isteri awak kecewa. Dirinya tidak terurus kerana memikirkan hal diri awak," kata Nabi Muhammad.
Suami Khaulah mendengar penjelasan Nabi Muhammad. Lalu suaminya bertanya, "Apa yang tidak kena dengan Khaulah? Selama ini kami hidup aman sahaja."
Nabi Muhammad terus bertanya, "Wahai Usman, awak berpuasa setiap hari dan sembahyang sunat pada setiap malam?"
"Ya. Saya melakukan semua amal ibadat itu hanya untuk beribadah kepada Allah," jawab Usman.

Nabi Muhammad mendengar penjelasan Usman lalu berkata, "Usman, awak ikut seperti saya. Jangan awak terus-menerus berpuasa setiap hari. Begitu juga dengan sembahyang malam. Anggota badan awak ada hak terhadap awak. Isteri awak ada hak terhadap awak. Keluarga awak juga ada hak terhadap diri awak. Awak perlu tidur, sembahyang dan berbuka. Awak perlu penuhi tuntutan hak itu."

Usman berasa insaf dan sedar atas tindakan yang dilakukan terhadap isteri dan keluarganya. Dia sedar bahawa dia perlu menunaikan nafkah zahir dan batin serta tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
Sejak hari itu Usman mengikuti nasihat yang diberikan oleh Nabi Muhammad. Khaulah pun pergi berjumpa dengan isteri Nabi Muhammad. Pada kali ini kelihatan wajah Khaulah semakin cantik dan gembira.

"Bagaimana keadaan awak sekarang?" tanya isteri Nabi Muhammad kepada Khaulah.
"Alhamdulillah. Sekarang saya rasa aman dan bahagia hidup bersama suami saya," jawab Khaulah.
"Sekarang ini saya lihat awak semakin cantik dan menawan. Pasti suami awak bertambah sayang terhadap awak," kata isteri Nabi Muhammad mengusik Khaulah.
Mereka tersenyum bersama-sama. Khaulah adalah wanita yang baik. Siti Aisyah melaporkan bahawa wanita yang menawarkan diri kepada Nabi Muhammad untuk dikahwininya ialah Khaulah binti Hakim. Dia adalah wanita mukminah seperti yang dijelaskan dalam surah al-Ahzab ayat 50.

0 comments: