BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday 15 November 2009

Menghayati Kekuasaan Allah dalam Melihat Kekurangan Diri

Seseorang hamba Allah s.w.t. yang menghayati bahawasanya, tiada yang berkuasa dalam kewujudan ini dengan kuasa yang mutlak melainkan Allah s.w.t., pasti akan merasakan kekurangan dan kelemahan diri di hadapan Allah s.w.t.. Pada ketika itu, penyaksian hatinya terhadap kekuasaan Allah s.w.t. membuatkan dirinya sentiasa merasakan dirinya memerlukan Allah s.w.t. dalam setiap saat kerana pada hakikatnya, tiada daya dan upaya bagi seseorang melainkan dengan bantuan Allah s.w.t..

Allah s.w.t. yang menganugerahkan nikmat keupayaan dan kuasa dalam diri seseorang manusia dalam rangka untuk berusaha dan melakukan perbuatannya, namun kuasa dan keupayaan yang terkandung dalam diri seseorang tidak terlepas daripada kekuasaan Allah s.w.t. kerana sifat keupayaan yang dimiliki oleh manusia adalah daripada sifat kuasa Allah s.w.t. itu sendiri.

Seseorang yang menghayati perasaan ini adalah orang yang telahpun teralisasinya makna La Haula wa La Quwwata illa biLlah (Tiada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah) dalam dirinya. Ungkapan tauhid ini mengandungi rahsia keagungan ketuhanan Allah s.w.t. dan rahsia ketinggian kehambaan seseorang hamba itu sendiri jika dia menghayatinya lalu menterjemahkannya ke dalam kehidupan.

Seseorang yang tenggelam dalam lautan penyaksian wahdah (kesatuan sifat-sifat Allah) pasti menghayati bahawasanya manusia dan seluruh alam ini tidak pernah terlepas daripada kekuasaan Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, seseorang itu tidak mampu untuk keluar daripada kehambaan diri mereka kepada Allah s.w.t. lalu memilih untuk tidak mentaatiNya kerana penghayatan terhadap rasa kelemahan diri di hadapan kekuasaan Allah s.w.t..

Adapun orang yang lalai daripada penghayatan ini adalah orang yang terkeliru dalam memahami erti dirinya sendiri dan erti kehidupan di sekelilingnya sehingga terhijab daripada hakikat bahawasanya dia tidak terlepas daripada kekuasaan Allah s.w.t.. Hijab orang yang lalai tersebut adalah dirinya sendiri di samping makhluk-makhluk di sekelilingnya sehingga dia menyangka bahawasanya yang berperanan dalam memberi manfaat dan menolak kemudaratan daripada dirinya adalah dirinya sendiri dan makhluk-makhluk di sekitarnya, sedangkan pada hakikatnya, hanya Allah s.w.t. -lah yang Maha Pemberi Manfaat dan Maha Menolak Kemudaratan.

Namun, kerana seseorang yang lalai itu terhijab dengan perbuatan-perbuatan Allah s.w.t. (af'aal) melalui makhluk-makhlukNya (infi'al), maka dia gagal menghayati makna sebenar kewujudan seluruh makhluk tersebut iaitulah untuk menjadi tanda kepada kewujudan dan keesaan Allah s.w.t. yang Maha Zahir melalui perbuatan-perbuatanNya. Mereka yang terus terhijab dalam kepompong hukum sebab musabbab, kepompong adat tabi’e dan sebagainya sebenarnya tidak dapat menghayati konsep qudrah (kekuasaan), iradah dan ilmu Allah s.w.t. dalam kehidupannya.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyebutkan kepada Saidina Ibn Abbas r.a. bahawasanya, jika seluruh makhluk berhimpun untuk menegah apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. ke atas seseorang itu, nescaya makhluk-makhluk tersebut tidak mampu untuk menegah ketentuan Allah s.w.t. kepada orang tersebut. Begitulah juga sebaliknya. (hadith sahih. Sila rujuk Al-Ar'biin oleh Imam An-Nawawi).

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengajar konsep sebenar kekuasaan Allah s.w.t. dan betapa lemahnya makhluk di hadapan kekuasaan Allah s.w.t.. Aqidah ini jika diterjemahkan dalam diri seseorang muslim, maka dia akan menghadapi kehidupan ini dengan penuh ketergantungan hati kepada Allah s.w.t. tanpa rasa kebimbangan terhadap masa hadapan dan sebagainya.

Apa yang dikerjakan adalah apa yang dituntut oleh Allah s.w.t. dan tidak perlu risau apa yang dijamin oleh Allah Y ke atas dirinya. (rujuk Hikam Ibn 'Atho'illah As-Sakandari). Allah s.w.t. -lah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.

[Waspada] Janganlah seseorang itu, tatkala mengetahui bahawasanya hanya Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa dalam kehidupan ini, maka dia pun meninggalkan "berusaha" dan beramal dalam kehidupan ini, kerana mendakwa bahawa apa yang ditentukan oleh Allah s.w.t. pasti datang walaupun tidak berusaha.

Ini suatu angan-angan yang dusta. Ia juga merupakan bahasa orang-orang yang leka dan tertipu dengan kemalasan diri semata-mata. Sesungguhnya Allah s.w.t. sentiasa menyuruh para hambaNya berusaha dalam rangka menunaikan tugas kehambaan diri kepada Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, usaha yang kita lakukan, kita lakukan kerana ianya adalah perintah Allah dan ianya dilakukan sebagai ibadah, bukan kerana kita bergantung kepada usaha kita.

Kita tidak boleh mengabaikan sifat upaya dalam diri kita yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi pemalas dengan tidak melakukan apa-apa dalam kehidupan ini, kerana selaku hamba, kita perlulah mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. kepada kita samada ibadah tersebut adalah ibadah khusus seperti solat, puasa dan sebagainya mahupun ibadah umum seperti mencari rezeki dan sebagainya.

Dalam pegangan ahlus-sunnah, merepa menetapkan konsep Al-Kasb iaitu usaha bagi hamba-hamba Allah yang faham akan hakikat kehambaan diri. Usaha adalah sesuatu yang dituntut oleh Allah s.w.t. ke atas kita kerana Dia telahpun menganungerahkan akal dan keupayaan dalam diri kita untuk melakukan tugas-tugas kehambaan dalam kehidupan seharian.

Imam Abdullah As-Syarqowi r.h.l. berkata:

"Adapun mazhab ahlus-sunnah bahawasanya perbuatan-perbuatan semuanya terbit dengan qudrah Allah semata-mata, namun dalam masa yang sama masih menetapkan wujudnya qudrah bagi hamba walaupun mereka menafikan qudrah hamba memberi kesan, namun bagi hamba itu masih ada bahagian untuk memilih (kurniaan Allah) yang daripada itulah dihitung untuk diberi pahala atau disiksa". (syarah Hikam Al-Kurdi m/s 165)

Imam Junaid Al-Baghdadi r.a. ketika diberitahu tentang golongan yang meninggalkan amal lalu menjawab: "Sesungguhnya golongan arifin itu mengambil amal daripada Allah (maksudnya: tidak meninggalkan amalan), dan kepadaNya jua mereka kembalikan amalan tersebut (dengan melakukan amalan keranaNya dan denganNya)…"

Wallahu a’lam...

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi

‘AmalahuLlahu bi AlthofiHi Al-Khafiyyah

0 comments: