BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday 29 November 2009

Roh pengorbanan dalam diri umat Islam kian luntur

Contohi Nabi Ismail meletakkan perintah Allah, kewajipan taati ibu bapa perkara utama

KEHADIRAN Zulhijah yang turut dikelompokkan dalam bulan haji, umat Islam dituntut menghayati nilai pengorbanan sejati sebagai wadah untuk membina kecemerlangan diri, agama, bangsa dan negara. Islam meletakkan kepentingan umat itu perlu didahulukan daripada kepentingan puak, kumpulan atau peribadi seseorang. Firman Allah: "Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya ke jalan Allah sebagai sebuah benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai. Pada setiap tangkai itu ada seratus buah. Dan Allah melipatgandakan ganjaran untuk siapa yang disukai-Nya dan Allah luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui." � (Surah Al-Baqarah: 261)

Sambutan Hari Raya Korban yang diraikan seluruh umat lslam sebagai mengenang sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim yang diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail. Ia mempunyai nilai pengajaran yang tidak mampu dirungkaikan dengan akal semata-mata. Sebagai orang yang beriman, kita tidak wajar melihat dari sudut kehidupan dunia yang meletakkan nilai kebendaan sebagai landasan sebenar. Justeru, perhatikan firman Allah yang menggambarkan mengenai nilai pengorbanan sejati.

"Tidak akan sampai daging dan darahnya itu kepada Allah, hanya yang sampai kepada Allah adalah takwa (kepatuhan menjalankan kewajipan) dari kamu. Begitulah dijadikan unta itu untuk keperluan kamu, supaya kamu membesarkan Allah kerana kamu telah dipimpin-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira untuk orang yang berbuat kebaikan." � (Al-Hajj: 35)

Dalam kehidupan moden yang serba mencabar ini, konsep pengorbanan yang diterapkan Nabi Ibrahim sepatutnya menjadi contoh umat mutakhir ini. Sebagai insan berjiwa hamba, Baginda tidak pernah mempertikaikan suruhan Allah itu meskipun yang akan menjadi korban adalah anak kesayangan Baginda sendiri. Hari ini dapat kita perhatikan bagaimana roh pengorbanan dalam diri umat Islam semakin luntur dan kabur.

Anak Muslim terbiar tanpa didikan agama sehingga sanggup mencemarkan maruah lslam dengan perlakuan keji dan batil. Budaya negatif seperti merempit, pergaulan bebas, minum arak, berpakaian mendedahkan aurat seperti yang diamalkan remaja lslam hari ini tidak mungkin akan berleluasa sekiranya nilai pengorbanan untuk melihat imej lslam dipandang tinggi menjadi keutamaan.

Contoh yang ditunjukkan Nabi Ismail yang meletakkan perintah Allah dan kewajipan mentaati ibu bapa sebagai perkara utama hingga sanggup menggadai diri sendiri dalam kesusahan, perlu menjadi iktibar sebagai cermin moral kepada anak generasi masa kini. Tanpa pengorbanan tulus ikhlas daripada ibu bapa, tentulah ramai anak yang tidak mampu mencapai kejayaan sama ada dalam pendidikan, kerjaya mahu pun kehidupan berkeluarga.
Ibu bapalah yang bersusah payah mengorbankan seluruh tenaga, masa dan wang ringgit demi anak yang dikasihi hingga mereka mampu berdikari.

Persoalannya, sejauh manakah letaknya nilai pengorbanan dalam diri anak pula apabila membiarkan ibu bapa mereka yang tua dan uzur tinggal di rumah kebajikan. Apakah sudah hilang perasaan kasih sayang terhadap insan yang membesarkan kita dengan segala susah payah, sebagaimana yang ditunjukkan Nabi Ismail yang patuh dengan suruhan dan tuntutan bapanya, Nabi Ibrahim hingga Allah mensyariatkan tanggal 10 Zulhijah sebagai takwim mengenang sirah pengorbanan yang tiada tolak bandingnya dalam kehidupan anbia.

Semua itu menjadi iktibar kepada umat lslam akhir zaman yang perlu menanamkan semangat jihad dan sanggup berkorban mempertahankan maruah lslam yang semakin diperlekeh masyarakat bukan lslam di seluruh dunia.

Kesimpulannya, umat lslam perlu menjadikan nilai pengorbanan sejati sebagaimana yang ditunjukkan Nabi dan Rasul sebagai benteng mengukuhkan cinta dan kasih sayang di antara umat lslam. Janganlah kita berbantah-bantah atau menuding jari mencari salah ketika umat lslam sedang berhadapan dengan krisis dan bencana dari Allah. Sifat dengki-mendengki, irihati, dan dendam dikikis dalam hati setiap umat agar maruah lslam kembali dihormati sebagaimana yang berlaku di zaman kegemilangan lslam dulu.

0 comments: