BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday 6 January 2010

Hikmah Hijrah Nabi

Hijrah adalah satu peristiwa yang besar dan agung di dalam sejarah islam. Semua orang islam wajib mengetahuinya. Hijrah Rasulullah saw dan para sahabat ke Madinah Al-Munawwarah telah menjadikan dakwah Islam berpindah ke satu tahap dakwah yang baru. Kaum muslimin juga boleh beribadah dengan lebih selamat dan terbuka.

nabawi7Sempena kedatangan bulan Muharram ini, saya ingin berkongsi beberapa hikmah yang diperolehi dari peristiwa hijrah Nabi saw.

Daripada Aishah r.a berkata, Rasulullah saw bersabda maksudnya: “Tidak ada hijrah selepas pembukaan (Mekkah,) tetapi jihad dan niat (yang baik.) Apabila kamu disuruh bersiap sedia, maka bersedialah.” [Hadis riwayat Muslim]

Imam Nawawi berkata di dalam kitabnya Riyadus Solihin dengan maknanya; "tidak ada hijrah dari Mekkah (selepas pembukaan Mekkah), kerana telah wujudnya sebuah Negara Islam."

Katanya lagi di dalam Syarah Sohih Muslim bahawa para ulamak berkata, hukum berhijrah dari Negara kafir harbi ke Negara Islam masih kekal hingga hari kiamat. Pada hadis ini ada dua takwilan :
i. Tidak ada hijrah dari Mekkah selepas pembukaan Mekkah kerana telah wujudnya sebuah Negara Islam, tetapi yang masih ada hanyalah hijrah dari Negara Kafir harbi.

ii. Tidak ada hijrah selepas pembukaan Mekkah yang sama pahalanya dengan hijrah sebelum pembukaan Mekkah sebagaimana firman Allah swt:
"... tidaklah sama di antara kamu, orang-orang Yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi Menguasai Makkah) [Surah Al-Hadid : 10]

Dan maksud sabda Nabi saw : “ Tetapi Jihad dan Niat ”, adalah ;
Tetapi apa yang tinggal untuk kamu adalah jalan untuk jalan untuk memperoleh fadhilat-fadhilat hijrah tersebut iaitu dengan jihad dan niat yang soleh dan baik pada setiap perkara.

Dan maksud sabda Nabi saw : “Apabila kamu disuruh bersiap sedia, maka bersedialah ”, adalah;
Apabila pemimpin kamu menyeru kepada jihad atau berperang, maka pergilah.

Beberapa Peristiwa Penting Dlam Hijrah Nabi Muhammad saw

Kisah-kisah berkenaan Hijrah Nabi Muhammad saw sedia maklum kita mengetahuinya. Apa yang ingin saya kongsikan adalah hikmah yang kita boleh ambil daripadanya. Namun begitu, saya ingin sebutkan secara ringkas rentetan Hijrah Nabi saw.

* Kafir Quraisy berazam untuk membunuh Nabi Muhammad saw
* Malaikat Jibrail memberitahu kepada Nabi Muhammad saw berkenaan dengan rancangan jahat kaum Quraisy dan keizinan dari Allah swt kepada Nabi untuk berhijrah ke Madinah
* Nabi memberitahu kepada Abu Bakr tentang rancangan Hijrah ini
* Mereka keluar dari Mekkah, pergi ke gua Thur
* Quraisy mencari Nabi sehingga sampai ke gua
* Abu Bakr gelisah dan takut dengan keselamatan Nabi ketika di gua
* Turunnya ayat Al-Quran, Surah At-Taubah : 40
* Mereka keluar dari gua selepas bersembunyi di situ selama 3 hari
* Suraqah mengejar Nabi dan janji Nabi kepada Suraqah
* Nabi tiba di Madinah
* Pembinaan Masjid Nabawi
* Mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar

Istifadah Dari Peristiwa Hijrah Nabi saw

1. Musuh-musuh islam suka untuk membunuh para du’at
Sesungguhnya kafir Quraisy tidak hanya kekal di dalam kekufuran mereka, mereka juga menghalang manusia dari dakwah, membuat cerita bohong mengenai Nabi Muhammad saw, menyeksa sesiapa sahaja yang memeluk islam sehingga memaksa mereka berhijrah sebanyak dua kali ke Habsyah.

Mereka juga memboikot dan memulaukan Nabi saw, sesiapa sahaja yang mengikut baginda dan sesiapa yang ada hubungan dengannya.. Iaitu pemulauan ekonomi, dilarang melakukan sebarang urusniaga dengan mereka. Dan yang paling teruk sekali ialah apabila mereka bersepakat untuk membunuh Nabi saw. Caranya, mereka akan mengumpulkan pemuda-pemuda dari setiap kabilah dan menetak baginda secara serentak.

Namun begitu, Allah swt telah menyelamatkan baginda dan mematahkan rancangan jahat tersebut. Justeru, para duat tidak sepatutnya menjauhi orang-orang yang memusuhi dakwah ini, walaupun mereka cuba membinasakan kita dengan cara membunuh atau membuat tuduhan-tuduhan supaya kita dijatuhkan hukuman mati. Biasanya orang yang melakukan komplot-komplot ini adalah dari kalangan pemerintah dan pelaksana undang-undang.

Para duat perlu memahami dan menyedari bahawa tidak akan ada kehidupan yang tenang antara ahli batil dan ahli kebenaran, lebih-lebih lagi jika ahli batil itu adalah dikalangan orang yang mepunyai kuasa dan pangkat.

2. Mengambil asbab bagi setiap perbuatan
Para duat perlu mengambil setiap asbab yang dapat menggagalkan rancangan jahat musuh, jangan lalai sehingga terlaksananya rancangan mereka. Carilah asbab-asbab yang dapat menggagalkan rancangan jahat mereka.

Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah saw menyuruh Ali r.a untuk tidur di atas katilnya, bagaimana baginda keluar dari rumahnya, bagaimana mereka bersembunyi di gua Thur dan menetap di situ selama beberapa hari supaya terlepas dari tipu daya kaum musyrikin.

Justeru, setiap duat perlu mengambil setiap jalan-jalan yang dibenarkan syarak supaya dapat menjauhi dari bahaya musuh seperti keluar dan menjauhi tempat tinggal mereka dan pergi ke rumah kawan-kawan yang dipercayai, bersembunyi di situ, tidak keluar darinya. Ataupun, tidak bercampur dengan mereka atau apa-apa sahaja jalan-jalan yang dibenarkan oleh syarak yang dapat menjauhkan para duat dari bahaya.

3. Perlunya berhati-hati
Para duat perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati, dia tidak boleh memberitahu orang lain sesuatu yang dapat menghalang dakwahnya, walaupun kepada keluarga sendiri sekiranya ia boleh membawa kepada kemudharatan.

Kita dapat lihat bagaimana ketika dia tiba di rumah Abu Bakr, dia telah : “Keluarkan semua orang selain dari engkau.” Baginda telah datang sambil menyamar iaitu dengan menutup kepalanya, dia datang pada waktu zohor, dan keluar dari rumah Abu Bakr dari pintu belakang. Semua ini menunjukkan kepada keharusan berhati-hati dan berwaspada dari musuh-musuh.

Justeru, para duat perlu melakukan semua ini, jangan menganggapnya sebagai tindakan seorang pengecut yang dikeji. Tetapi ia adalah satu perancangan yang tersusun dan menepati syarak.

4. Menyembunyikan nama, kerahsiaan
Para duat jika melihat suasana tidak sesuai dan perlu untuk menyembunyikan nama-nama mereka atau sebahagian dari mereka ataupun perwatakan duat. Ini dapat dilihat pada tindakan Abu Bakr ketika mereka di dalam perjalanan ke Yathrib (sebelum ditukar kepada Maidnah Al-Munawwarah). Para duat jangan lalai atau lupa dengan perkara ini.

Ketika di dalam perjalanan ke Madinah, Rasulullah berjalan di depan dan Abu Bakr di belakang. Jadi, apabila dia ditanya siapakah orang di depan itu, dia akan menjawab : “ Dia adalah penunjuk jalan ”. Maka orang yang bertanya itu akan menyangka bahawa jalan yang dimaksudkan adalah jalan yang biasa, tetapi hakikatnya ia adalah jalan ke arah kebaikan dan hidayah.

5. Beriman dengan mukjizat
Ketika Nabi Muhammad saw sedang berhijrah, telah berlaku beberapa mukjizat yang menjadi bukti kebersamaan Allah swt dalam menjaga rasul-Nya. Diantara apa yang diriwayatkan adalah ; sarang labah-labah dan burung merpati, dan tumbuhnya pokok di depan pintu gua. Begitu juga peristiwa antara baginda dan Ummu Ma’bad, Suraqah yang berjaya menjejaki nabi. Dia telah dijanjikan dengan kalung raja kisra.

Berkenaan dengan kisah burung merpati dan labah-labah, timbul satu persoalan. Adakah kedua-duanya benar-benar ada?

Dr. Yusuf Al-Qardawi mengatakan :
“Adapun merpati itu, tidak ada riwayat yang sohih atau hasan berkenaannya. Manakala labah-labah pula, terdapat riwayat mengenainya. Ada yang mengatakan ia hasan, ada pula yang mengatakan dhoif. Apa yang penting adalah, Allah swt mempunyai tentera-tentera. Boleh jadi labah-labah yang mana Allah swt menyifatkan sarangnya sebagai sarang yang rapuh.

Maksudnya: Misal bandingan orang-orang Yang menjadikan benda-benda Yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah Yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal Sesungguhnya sarang-sarang Yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang Yang berpengetahuan.

Tidak peliklah jika Allah swt menjaga rasul-Nya dengan sarang yang rapuh atau Allah swt menjaganya tanpa ada asbab-asbab yang kita boleh lihat. Apa yang penting, rasul-Nya terjaga dan terpelihara.” [Khitabul Asy-Syeikh Al-Qardawi, juzu’ ke-4, dikumpulkan oleh Dr. Khalid Khalifah As-Saad]

Oleh itu, para duat tidak boleh menyembunyikan kisah ini malah perlu menyebutkannya selagimana ia disebutkan di dalam sunnah nabawiyyah. Katakanlah bahawa peristiwa ini menjadi bukti yang jelas kenabian Nabi Muhammad saw.

6. Meminta pertolongan dari kafir yang dipercayai
Para duat dibenarkan meminta pertolongan dari orang yang tidak beriman, selagimana dia dipercayai. Kita boleh lihat bagaimana Nabi Muhammad saw dan Abu Bakr mengupah seorang musyrik untuk menunjukkan jalan dalam penghijrahan mereka. Sedangkan ia adalah waktu yang genting dan merbahaya.

Tidak syak lagi bahawa nabi saw dan Abu Bakr mempercayai dan merasa aman dengannya. Ini menunjukkan bahawa orang-orang kafir, pelaku maksiat atau sesiapa yang tidak berkaitan dengan jemaah islam, pasti ada dikalangan mereka yang boleh dipercayai. Seperti mempunyai hubungan kekeluargaan, kenalan lama atau jiran.

Atau mereka dipercayai kerana mempunyai asas akhlak yang baik seperti amanah, suka kepada perkara kebaikan atau apa-apa sebab yang lain. Manakala, masalah-masalah lain yang mungkin timbul, ia bergantung kepada kebijaksanaan duat itu sendiri dan sejauh mana dia mengenali orang yang menolongnya.

7. Ketinggian kedudukan Abu Bakr As-Siddiq
Bagi setiap duat yang memperkatakan tentang peristiwa hijrah nabi saw, adalah mustahak untuk turut menyebutkan ketinggian kedudukan Abu Bakr di sisi Nabi Muhammad saw dan di sisi Islam. Buktinya, Nbi saw pergi berjumpa Abu Bakr dan memintanya untuk meneman bagi saw selepas mendapat keizinan daripada Allah swt untuk keluar berhijrah.

Manakala Abu Bakr pula, dia sangat takut jika berlaku sesuatu yang buruk kepada baginda saw ketika di gua Thur, kerana dia sangat mengasihi baginda saw lebih dari dirinya sendiri. Oleh itu, para duat perlu mengingatkan manusia akan kebaikan dan budi pekerti Abu Bakr ini, serta menjadikannya dan para sahabat umumnya sebagai qudwah dalam mencintai Nabi saw.

8. Kepentingan Masjid
Para duat perlu menggalakkan manusia supaya membina masjid di setiap kampung dan tempat tinggal serta menjaganya. Ini dilakukan supaya dapat mengingatkan manusia kepada solat, ibadah kepada Allah swt, perjumpaan untuk mengkaji kitab Allah dan sunnah Nabi saw dan sebagainya. Kita dapat lihat kepentingannya ketika mana Nabi saw tiba di Quba’, baginda telah membina masjid untuk kaum muslimin solat.

Justeru, para duat tidak boleh memandang ringan pembinaan masjid ini terutama di kampung-kampung sehingga kita meremehkan pembinaan dan pembaikannya, kerana pengimarahan masjid itu bergantung kepada solat yang ditunaikan di dalamnya disamping jumlah jemaah yang ramai. Tambahan pula, di antara medan dakwah para duat adalah di masjid disamping khutbah jumaat, supaya khutbah tersebut dapat mencapai tujuan yang syar’ie.

9. Bersama-sama melakukan perkara-perkara kebaikan
Apabila seseorang daie itu menyuruh manusia untuk melakukan sesuatu amalan kebaikan seperti membina masjid atau sekolah, membaik pulih jalanraya, mengambus lecak atau lopak, mananam pokok dan lain-lain perkara kebaikan, maka para duat mestilah sama-sama turun padang membantu mereka supaya dia dapat menjadi qudwah hasanah.

Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah saw bekerja bersama-sama para sahabat dalam membina Masjid Nabawi di Madinah.begitu juga jika dia menggalakkan manusia untuk bersedekah, dia juga perlu melakukannya terlebih dahulu mengikut kadar kemampuannnya walaupun sedikit.

10. Nasyid untuk menaikkan semangat
Sebagimana yang kita tahu, para sahabat bernasyid dengan beberapa bait syair ketika mereka membina Masjid Nabawi di Madinah, sebagai perangsang kepada pekerja dan meningkatkan keazaman, dan Nabi saw tidak menghalangnya. Ini menunjukkan kepada keharusannya.

Oleh itu, para duat dibenarkan bernasyid sebagai perangsang dan pembangkit semangat untuk melakukan perkara kebaikan. Begitu juga dibenarkan menggunakan segala wasilah yang syar’ie sebagai perangsang.

Dr. Yusuf Al-Qaradawi ada mengatakan di dalam khutbah jumaatnya :
Sesungguhnya hijrah Nabi saw meninggal satu tempat yang paling disayangi oleh baginda, paling disukai oleh Allah swt. Ia juga adalah tanah tempat tumpah darah baginda, tempat yang penuh kenangan baginya, tempat baginda membesar. Lebih-lebih lagi, ia adalah tanah haram Mekah Al-Mukarramah.

Namun begitu, jika bertemu antara tuntutan akidah dan kecintaan kepada tanah air, maka tuntutan akidah lebih tinggi kedudukannya dan perlu didahulukan ke atas yang lain. Tuntutan akidah juga lebih berharga dari keluarga, rumah, harta dan apa sahaja yang disukai oleh manusia.

Nabi saw telah berhijrah meninggalkan negaranya dan kawan-kawannya. Firman Allah swt yangbermaksud: "Iaitu mereka Yang diusir dari kampung halamannya Dengan tidak berdasarkan sebarang alasan Yang benar, (Mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan Kami ialah Allah". [Surah Al-Hajj : 40]

Semua itu lebih mudah untuk mereka tinggalkan berbanding dengan keredhaan Allah swt. Ini kerana mereka ingin membina sebuah Negara Islam, kerana islam perlu kepadanya. Sebuah begara yang terpisah yang dapat meningkatkan kalimah Allah di situ, dilaksanakan syariat islam, ditegakkan syiar-syiar Allah dan memperlihatkan kekuatan islam.

____________________

Tulisan Ustaz Naqib Hamdan (Universiti Al Azhar, Mesir.)
sumber:http://www.haluantarbawi.com/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=322:mengimbau-hikmah-hijrah-rasulullah-saw&catid=36:hari-kebesaran-islam

0 comments: