BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 13 April 2010

Malu

Islam adalah agama yang hebat, dan apabila disebut Islam, maka pengikutnya adalah hebat dan mulia belaka.
Ya Allah! Aku bersyukur Engkau memberi diriku akal.

Sungguh di antara kebenaran dan kebatilan, halal dan haram, baik dan buruk adalah untuk dipilih oleh akal yang diberi Tuhan. Dan dengan akal ini adalah alat untuk berfikir agar tidak jatuh menjadi haiwan yang menurutkan hawa nafsu untuk survival dalam hidupnya. Dan pengukur akal adalah iman. Akal ini digunakan untuk memilih kegembiraan kesopanan daripada kegembiraan hawa nafsu. Orang yang berakal akan menaksir dan selalu berbantah dengan dirinya. Kalau-kalau diri bermaksud untuk menempuh perkara yang jahat dihukumkan buat diri bahawa perkara itu adalah merugi dan mencelakakan. Dan kalau diri itu ada mengingat yang baik-baik dihukumkan bahawa kebaikan itu menguntungkan

Ya Allah! Aku bersyukur Engkau memberikanku iman dan Islam
Sungguh dengan ditimbang akal, Islam itu adalah agama yang terbaik untuk menjadi pembenteng diri dari api neraka. Islam menjaga aku dengan sifat malu. Islam adalah cara hidup yang memberi pakaian kemuliaan yang tiada pada agama berhala-berhala yang disembah, tiada pada ‘triniti’, diva-diva, atau agama mana sekalipun di alam ini, apatah lagi mereka yang tidak percaya pada Tuhan.

Seketika di dalam pengajaran, aku menegur seorang anak muridku mengapa dibiarkan rambut terjulur keluar dari tudung? Mengapa skaf yang dipakai tidak menampung rambut agar dapat disembunyikan?. Ketika itu lidahku menjadi lancar berleter panjang mengenai kata RasuluLLah dari riwayat Bukhari dan Muslim yang mengatakan golongan ahli neraka yang terdiri dari perempuan yang berpakaian tetapi seperti bertelanjang, rambutnya seperti bonggol unta (dipertontonkan kepada orang ramai dan lelaki yang bukan mahram) yang tidak dapat mencium langsung bau syurga Dan benarlah bila ada perasaan malu, lekas-lekas disembunyikan rambutnya. Dan hingga ke hari ini ‘malunya’ itu dijaga bersungguh-sungguh agar tidak hilang.

Aku menyatakan ‘malu’ itu adalah mahkota perempuan untuk dijaga dengan rapi, agar diri tidak dicela, agar tidak dipandang rendah apatah lagi zaman ini ramai lelaki yang tidak dapat diharap untuk menjaga kehormatan dan malunya perempuan.
Terkadang menelah juga di dalam hati, wahai anak didikku, sehingga bila engkau dapat menjaga malu yang mempertahankan dirimu? Dalam mempertahankan agama dan harga diri?
Maklum terkadang hati ini begitu ‘gopoh’ ingin melihat agar semua segera berubah menjadi hamba Allah dan bukan hamba nafsu, kerana masa sungguh sempit dan bahaya di hadapan amat besar untuk dihadapi. Perlahan-lahan aku meyakinkan diri, bila iman sudah menyubur di dalam diri, pastinya Islam yang dicita-citakan akan dapat membezakan mereka dengan orang yang hanya mengaku Islam dengan bibir. Dan pastinya kemegahan Islam itulah yang akhirnya menjadi bukti antara orang Islam dan yang bukan Islam.
Peranan Malu

Padaku lawan sifat malu adalah berani. Keberanian hanya untuk perkara yang terpuji dan memberi manfaat. Bila berani membuat dosa, sepatutnya berani juga menerima balasan dari Tuhan atas kesilapan diri sendiri. Lelaki yang berani bukan ‘jantannya’ diguna untuk membuat kerosakan pada orang lain apatah lagi di bumi Tuhan. Berani itu adalah sifat mulia bukan hina, berani dalam berkata perkara yang hak, berani mempertahankan agama dan maruah apabila ditelanjangkan. Berani mengajak kepada perkara kebajikan, berani untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik. Jika mereka bertanya mengapa aku sibuk-sibuk untuk menasihati? Pastinya aku menjawab, bahawa kita semua adalah bersaudara, dan jika ada masih ada jalan ke syurga tentunya aku ingin mengajak mereka bersama-sama dan agar mereka tidak menyeretku bersama ke dalam jurang neraka.

0 comments: