BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 13 April 2010

Suami Berhak Halang Isteri Hadiri Majlis Ilmu?

Ramai bertanya sejauh mana suami boleh menggunakan kuasanya sebagai ketua keluarga dalam menentukan hala tuju dan aktivisme isterinya? Dan sejauh mana kewajipan isteri mematuhi titah perintah suami dalam hal ini?
Seandainya seorang isteri ingin menambah ilmu dengan menghadiri kuliah-kuliah atau ingin menyumbang tenaga dan idea dalam memajukan ummah dengan menyertai pertubuhan sosial atau gerakan dakwah, bolehkah seorang suami menghalangnya? Jika dihalang, wajibkah isteri mentaatinya?

Persoalan ini dijawab dan dikupas dengan terperinci oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi dalam buku beliau ‘Fatawa Mu’asoroh’ jilid 3. Antara lain, beliau berkata:
Salah satu malapetaka yang menimpa umat Islam yang menganut agama ini secara warisan ialah mereka menerapkan pemikiran mereka, kepentingan dan kecenderungan peribadi mereka ke dalam acuan Islam. Sekiranya seseorang lelaki itu berperangai bengis, berhati batu dan berkelakuan kasar dalam pergaulan, maka itulah yang dibawanya dalam pergaulannya dengan manusia, termasuk dengan isteri dan anak-anaknya dan mendakwa itulah Islam.

Sekiranya seseorang lelaki itu berfikiran sempit, pandangannya singkat, pemahamannya tentang agama meleset, keegoannya menebal, cetakan itulah yang dibawanya dalam interaksinya dengan orang sekelilingnya dan menganggap itu adalah Islam.
Antara persepsi negatif yang bersarang dalam minda sebahagian lelaki adalah pandangannya mengenai kedudukan wanita. Sebahagian mereka masih belum membebaskan diri daripada anggapan-anggapan yang tidak ada kena-mengena dengan ajaran Islam seperti wanita mesti berkhidmat kepada lelaki, peranan wanita hanya sekadar memuaskan nafsu lelaki dan seumpamanya. Golongan ini, meskipun telah membaca kitab agama berjilid-jilid, memikul ijazah sarjana dan kedoktoran dalam pelbagai bidang, tetap mempunyai pandangan yang jumud dan tidak berubah terhadap wanita.
Sesungguhnya tidak ada agama di muka bumi ini yang memuliakan wanita sebagaimana Islam memuliakannya. Islam memuliakan wanita dengan memperakui keinsanannya serta kewanitaannya. Islam memuliakan wanita kerana wanita adalah ibu, saudara kandung, isteri dan anak perempuan kepada lelaki. Lebih daripada itu, wanita adalah sebahagian daripada anggota masyarakat, sebahagian daripada warganegara dan sebahagian daripada warna dunia. Dalam hubungan ini Allah s.w.t. berfirman maksudnya:

“Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): ‘Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal daripada kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) daripada setengahnya yang lain;’…” (Ali Imran[3]:195)
Allah s.w.t. menegaskan bahawa lelaki adalah sebahagian daripada wanita dan wanita adalah sebahagian daripada lelaki. Lantaran itu kedua-duanya memikul tanggungjawab yang sama dalam membangunkan masyarakat yang sejahtera dan maju jaya. Allah s.w.t. berfirman (maksudnya):

”Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam "Syurga Adn" serta keredhaan daripada Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.” (At-Taubah[9]:71-72)

Selain ayat-ayat al-Quran, terdapat hadis-hadis sahih yang menunjukkan persamaan tanggungjawab antara lelaki dan wanita. Antaranya, Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya):
”Sesungguhnya kaum wanita adalah saudara kandung lelaki.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Turmiz dan ad-Darami)
”Jangan kamu halang hamba-hamba Allah yang perempuan mengunjungi masjid-masjid Allah.” (Riwayat al-Bukhari)
Pada masa itu masjid adalah satu-satunya medan yang membolehkan wanita menimba ilmu, menunaikan solat berjemaah, menghadiri perhimpunan, berkenalan dan bertukar-tukar fikiran dengan rakan-rakan.
Kini terdapat medan-medan selain masjid yang membuka ruang kepada para muslimah untuk menambah ilmu dan menjalankan pelbagai aktiviti yang bermanfaat untuk agama dan masyarakat. Aktiviti-aktiviti seperti itu memang dituntut ke atas mereka. Seandainya para muslimah tidak peka terhadap permaslahan ummah, tidak peduli jerih perih masyarakat, tidak ikut serta dalam menyebarkan Islam; ummah akan lenyap, masyarakat haru-biru dan Islam akan terkubur.

Dewasa ini kaum wanita di barisan musuh bergiat cergas siang dan malam untuk menjauhkan Islam daripada penganutnya. Pelbagai wasilah digunakan untuk mengelirukan hakikat Islam yang sebenar serta menyekat dakwah islahiyyah daripada berkembang luas.
Ramai wanita Islam dari beberapa buah negara Arab dan Islam mengadu kepada saya bahawa mereka merupakan kepimpinan pelajar dan sangat aktif semasa menuntut di universiti. Namun selepas berkahwin mereka dihalang suami daripada berdakwah. Mereka tidak dibenarkan aktif dalam persatuan dan tidak dibenarkan memberi sumbangan tenaga dan buah fikiran, walhal sumbangan mereka amat diperlukan.

Sebagai kesimpulan, Syeikh al-Qardhawi berkata:
“Walaupun kita mengatakan bahawa wanita tidak seharusnya disekat daripada melibatkan diri dalam dakwah dan kerja-kerja sosial, tidak bermakna mereka harus mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Yang penting adalah menjaga keseimbangan dan kesaksamaan. Berilah setiap yang berhak itu haknya dengan cara yang makruf. Islam telah memberikan suami hak menjadi ketua dan pemimpin dalam rumahtangga. Namun ia tidak wajar digunakan untuk menindas dan menzalimi mereka yang di bawah jagaannya. Islam melarang umatnya melakukan perkara yang mudarat dan memudaratkan.”
http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/k...iri-majlis-ilmu

0 comments: