BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday 31 July 2010

Mengatasi Semua Masalah

Saudara, saya mempunyai akaun di facebook bertujuan untuk berdakwah disamping mencari kawan lama dan baru di dalam berkongsi ilmu mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Banyak bertanyakan masalah yang melibatkan masalah rumahtangga, masalah bisnes, masalah jodoh, masalah rezeki, masalah kerja, masalah belajar, masalah anak dan sebagainya.

Mereka meminta saya membantu memberi pendapat di dalam menyelesaikan masalah mereka.
Di sini saya memberi terus jawapan yang utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum menyelesaikan masalah yang ada. Jika masalah yang satu ini tidak diselesaikan, maka pasti masalah-masalah yang lain akan terus menyeksakan jiwa dan meresahkan hidup.

Masalah Utama Yang Perlu Diselesaikan
Saudara, awal agama itu mengenal Allah SWT. Mengenal Allah SWT bukan sekadar kenal Allah SWT itu Tuhan, tiada Tuhan melainkan Allah SWT, Allah itu Esa, Allah itu memiliki 99 sifat dan lain-lain.
Mengenal Allah SWT itu mestilah sehingga kita ini sedar dan rasa bahawa kita ini hamba yang sangat-sangat memerlukan Allah SWT DI DALAM SETIAP HAL KEHIDUPAN malah jika tiada hal pun, kita tetap memerlukan Allah SWT kerana cinta kita pada Allah SWT.
Untuk menyedari dan rasa ini kita perlu memiliki rasa CINTA kepada Allah SWT MENGATASI cinta kita pada yang lain.

Sebagai contoh mereka yang memiliki masalah dengan suami/isteri selalunya berasa resah, gelisah, sempit jiwa dan seumpamanya. Kerana apa? Kerana cinta kepada suami/isteri mengatasi cinta kepada Allah SWT.

Hakikatnya memang kita perlu cinta dan sayang serta berharap kepada suami/isteri. Namun cinta kepada Allah SWT perlu mengatasi cinta kita kepada suami/isteri. Ketika ini barulah jiwa kita sentiasa tenteram.
Penyataan di atas mudah untuk diungkapkan dengan kata-kata. Namun yang mengalaminya tidak mampu dibayangkan penderitaannya. Saya akui malah saya juga tidak mahu memiliki masalah yang besar di dalam hidup saya.

Namun hakikatnya juga kita mampu menyintai Allah SWT mengatasi cinta kepada yang lain apabila kita tahu caranya dan bersungguh-sungguh.
Apabila kita menyintai Allah SWT lebih daripada yang lain, maka pasti Allah SWT memberikan kasih dan sayangnya kepada semua orang yang berada di sekeliling kita. Orang akan suka berkawan dengan kita, suami/isteri sayangkan kita, anak-anak menyintai kita dan semua orang akan senang dengan kita.

Apabila hubungan dengan Allah SWT kita tiada masalah, Allah SWT pasti akan memberikan kita hidayah (petunjuk) dan taufiq (kekuatan) untuk menyelesaikan masalah kita. Allah akan aturkan alam ini untuk membantu kita menyelesai masalah kita sehingga kita tidak menyangka jalan-jalan penyelesaian yang Allah SWT berikan.
Inilah penyelesaian utama di dalam setiap masalah yang ada.

Analisis
Sekarang kita tahu objektif kita. Untuk menyelesaikan masalah kita, kita perlu cintakan Allah SWT di mana menjaga hubungan kita dengan Allah SWT.
Jika kita ada masalah wang, yang perlu diselesaikan bukan masalah wang itu, tetapi masalah hubungan dengan Allah SWT.
Jika kita ada masalah dengan bisnes, yang perlu diselesaikan bukan masalah bisnes itu, tetapi masalah hubungan dengan Allah SWT.

Jika kita mempunyai masalah dengan suami/isteri, yang perlu kita selesaikan bukan masalah dengan suami/isteri tetapi selesaikan masalah hubungan kita dengan Allah SWT.
Kita sudah faham sekarang. Lalu persoalannya, bagaimana jalan penyelesaiannya?

Jalan Penyelesaian
Saya suka memberi latihan berbanding motivasi. Bezanya latihan dengam motivasi adalah latihan pasti ada cara-cara penyelesaiannya. Maka di sini seperti yang selalu saya tulis dan sarankan adalah komunikasi dengan Allah SWT.

Penegasan ini perlu diulang-ulang kerana komunikasi dengan Allah SWT mungkin dianggap sesuatu yang remeh dan tidak mampu menyelesaikan masalah.
Terima kasih Allah SWT kerana memberi peluang untuk saya memberikan mini latihan JPHBT. Alhamdulillah mereka yang hadir dapat menyelesaikan masalah dengan izin Allah SWT apabila mereka menjaga hubungan dengan Allah SWT. Mereka sentiasa ingat Allah SWT setiap saat dengan melakukan komunikasi dengan Allah SWT.

Mereka yang datang memahami dan memiliki kesedaran akan hal Allah SWT dan mengenali diri sebagai hamba Allah SWT. Mereka memahami mengapa perlu berkomunikasi dari sudut spiritual dan juga sains.

Semoga penegasan kali ini mampu menyelesaikan seluruh masalah kehidupan kita. Jagalah hubungan dengan Allah SWT. Komunikasilah kerana dengan berkomunikasi dengan Allah SWT mampu menjadikan kita sentiasa ingat Allah SWT dan inshaAllah Allah SWT memberikan rasa cinta kepadaNya dalam jiwa kita.

Ketika jiwa sudah memiliki cinta kepada Allah SWT mengatasi cinta yang lain, saudara akan rasakan satu persatu masalah saudara semua akan diselesaikan oleh Allah SWT. Saudara akan berasa lapang dada, tenteram, bahagia, damai, aman, tenang dan seumpamanya walaupun ada masalah yang datang kerana keyakinan kita pada Allah SWT adalah 100% di dalam penyelesaian masalah kita.

Semoga cinta kepada Allah SWT SENTIASA mengatasi cinta kita pada yang lain. Amin ya Rab.

Ya Allah, berikanlah rasa cinta kepadaMu dalam jiwa kami ya Allah mengatasi cinta kepada yang lain ya Allah. Terima kasih ya Allah, terima kasih.

0 comments: