BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday 8 August 2010

Memahami Aturan Allah SWT

Saudara, ketika kita berdoa untuk sesuatu hajat, seringkali kita menjadi gelisah kerana hajat yang diharapkan belum dimakbulkan oleh Allah SWT. Kita terus menunggu namun penantian kita itu amat menyeksakan kerana kita tidak memahami aturan Allah SWT di dalam kehidupan kita ini.

Contoh Aturan Allah SWT
Saudara, Hidup kita ini berkaitan dengan semua makhluk samada manusia dan yang lainnya serta alam ini. Allah SWT mengaturkan semua benda di langit dan di bumi serta di antaranya saling berhubungan antara satu sama lain.
Semua makhluk Allah SWT mempunyai kehendak dan memohon doa kepada Allah SWT agar dimakbulkan kehendak masing-masing.

Saya berikan satu contoh mudah untuk difahami.
Katakan saya berdoa memohon kepada Allah SWT untuk berjumpa dengan Ali. Tetapi dalam pada yang sama Ahmad juga berdoa kepada Allah SWT untuk berjumpa dengan Ali pada hari dan waktu yang sama tetapi di tempat yang berbeza.
Saya dan Ahmad tidak kenal antara satu sama lain dan Ali juga tidak tahu saya dan Ahmad berdoa untuk berjumpa dengan beliau.
Jika kita melihat daripada hal ini, apakah mungkin Ali boleh berjumpa dengan saya dan Ahmad dalam masa yang sama di tempat yang berbeza?
Katakan saya ingin berjumpa dengan Ali di Shah Alam pada pukul 10.00 pagi dan Ahmad ingin berjumpa dengan Ali pada waktu yang sama tetapi di Kuala Lumpur.

Apakah mampu Ali berjumpa dengan saya dan Ahmad pada waktu yang sama iaitu 10.00 pagi di tempat yang berbeza? Jawapannya mampu JIKA Ali boleh dibelah dua. Maka ia adalah mustahil.
Lalu aturan Allah SWT adalah mengikut kehendakNya. Jika Allah SWT memilih saya yang berjumpa dengan Ali terlebih dahulu, maka Ahmad perlu menunggu gilirannya selepas itu.
[noted]: jangan diubah hal ini di mana Ali boleh berjumpa dengan saya dan Ahmad serentak di suatu tempat. Ini merupakan hal yang lain. Saya ingin membawa hal di mana Saya dan Ali berjumpa berdua sahaja di Shah Alam dan juga Ali dah Ahmad berjumpa berdua sahaja di Kuala Lumpur.

Memahami Aturan Allah SWT Di dalam Meningkatkan Keyakinan Pada Allah SWT
Melihat kepada contoh di atas, kita memahami bahawa aturan Allah SWT itu sangat komplek. Ketika kita memohon menyelesaikan masalah kita, yakinlah bahawa Allah SWT memakbulkan doa kita tetapi perlu menunggu giliran kerana setiap orang perlu melalui aturan-aturan yang Allah SWT tetapkan.
Allah SWT sebenarnya sedang MEMPROSES/MENGATURKAN apa yang kita hajatkan. Allah SWT sedang menggerakkan semua makhluk yang terlibat di dalam memakbulkan permintaan kita. Dalam pada yang sama, makhluk yang terlibat juga mempunyai permintaan masing-masing.

Kita perlu menunggu sehingga giliran kita tiba, maka semua makhluk akan bergerak atas kehendak dan kekuasaan Allah SWT dan kita akan menerima apa yang kita mohon kepada Allah SWT.

Sebagai contoh yang lain, seorang doktor mendapat rezeki dengan perlu menunggu kita mendapat sakit. Selagi kita tidak mendapat sakit, doktor tidak mendapat rezeki daripada pesakit. Allah SWT sedang memproses kita untuk mendapat sakit dan kemudian kita diilhamkan dan diberi kekuatan untuk berjumpa dengan doktor berkenaan.
Di dalam proses kita mendapat sakit, pasti ada proses-proses lain yang perlu doktor tunggu kerana kita juga mempunyai hajat yang lain seperti ingin bercuti dan sebagainya dalam keadaan sihat.

Setelah itu ketika giliran doktor sampai, Allah SWT akan menggerakkan semua makhluk samada manusia dan alam ini termasuk kita di dalam memenuhi permintaan doktor. Kita mendapat sakit dan pergi ke klinik doktor itu dan barulah doktor tersebut mendapat rezekinya.
Namun rezeki doktor boleh datang dengan pelbagai jalan dan cara mengikut kehendak Allah SWT. Tidak semestinya daripada kita yang sakit sahaja.
Allah SWT Maha Berkuasa. Allah SWT Maha Mampu jika Allah SWT ingin terus memakbulkan permintaan semua makhlukNya secara serentak.

Tetapi aturan Allah SWT akan dipandang pelik pada pandangan manusia dan pasti sukar untuk kita menerima aturan sedemikian apabila Saya dan Ahmad berjumpa Ali pada waktu yang sama tetapi berlainan tempat. Atau saya sihat dan sakit dalam masa yang sama. Atau juga saya bercuti di Perak dan dalam masa yang sama saya berjumpa dengan doktor di Selangor.
Aturan Allah SWT komplek dan sangat cantik. Kerana itu satu persatu kejadian perlu mengikut urutan dengan teratur.

Saudara,
Yakinlah bahawa apabila kita berdoa sesuatu hajat, Allah SWT sedang mengaturkan alam ini untuk memakbulkan doa kita. Allah SWT berjanji kepada kita setiap permohonan kita akan dimakbulkan. Namun kita mesti meyakini bahawa Allah SWT akan memakbulkan permintaan kita.
Untuk meyakini permintaan kita akan dimakbulkan, kita perlu memahami aturan Allah SWT seperti yang saya ceritakan di atas.

Kerana itu firman Allah SWT di dalam Al-Quran seperti di bawah (QS: Al-Baqarah 2:45) , meminta kita agar bersabar dan bersolat di dalam meminta pertolongan daripada Allah SWT.
“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu.
Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk”
(QS: Al-Baqarah 2:45)

Ini kerana kita perlu menunggu giliran aturan Allah SWT yang mengaturkan alam ini di dalam memenuhi permintaan kita dan ia memerlukan kesabaran dan sentiasa ingat Allah SWT dengan khusyuk.
(komunikasi dengan Allah SWT mampu menjadikan kita sentiasa khusyuk pada Allah SWT)
Ketidak fahaman aturan Allah SWT membuatkan kita tidak yakin kepada Allah SWT. Kita tidak sabar kerana kita rasa diri kita seorang sahaja yang hidup di dunia ini dan memaksa Allah SWT memenuhi kehendak kita dengan segera.

Kita terlupa bahawa makhluk lain samada manusia dan alam ini juga terlibat sama di dalam permintaan kita dan mereka juga mempunyai permintaan yang tersendiri kepada Allah SWT.

Namun jika kita faham, barulah kita sedar pertolongan Allah SWT itu pasti datang dan sedang dalam proses. Kita tidak tahu dan memahami setiap satu cara Allah SWT yang sangat komplek secara terperinci yang sedang Allah SWT aturkan untuk memenuhi permintaan kita.

Kerana itu Allah SWT berfirman pertolongan Allah SWT datang daripada tempat dan masa yang kita tidak sangkakan.
Semoga artikel ini dapat meyakinkan saudara semua kepada Allah SWT di dalam kehidupan hidup berTuhan. Binalah keyakinan hari demi hari. Semoga semua kita menjadi jiwa positif di dalam hidup berTuhan yang sebenar.

0 comments: