BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday 23 August 2010

PARALLEL KEHIDUPAN

BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM

Firman Allah:
Allah tidak akan merubah nasib (seseorang atau) sesuatu kaum, sehingga kaum (atau orang itu)
berusaha (membuat komitmen) untuk mengubah nasibnya. (Ar-R'aad : 11)

Maka jelas dari firman Allah, membuktikan betapa Allah telah memberikan manusia suatu kelebihan iaitu kebebasan bertindak dengan kudrat yang dikurniakanNya supaya manusia dapat menggunakan kudrat ini untuk memperbaiki dan memastikan kehidupan manusia itu sentiasa dalam keadaan yang baik.

Firman Allah ini juga bermaksud, bahawa kita TIDAK boleh menyerahkan segala hal-hal yang berkaitan dengan nasib hidup kita semata-mata kepada Allah untuk memberikan kita kehidupan yang baik.

Jika inilah yang kita praktikkan, maka bila kita menemui kesusahan dalam hidup, sudah tentulah kita akan menyalahkan Allah. Sedangkan Allah itu Maha Adil, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Mustahil Allah berlaku kejam kepada hamba-hambaNya yang sangat disayangiNya.

Allah telah menganugerahkan kepada kita suatu 'kuasa eksekutif' sebagai bekal sementara kita hidup didunia ini, untuk menjalankan tugas kita sebagai khalifah di muka bumi dan juga mengabdikan diri padaNya.

Hidup yang dianugerahkan pada kita ini adalah kehidupan yang "FREE WILL",bukan dikontrol atau dikawal mutlak oleh Allah. Jika kita menganggap segalanya sudah ditentukan atau sudah ditakdirkan, mengapa pula Allah berfirman seperti diatas?
"Mengapa pula ada kitab catatan malaikat dikiri kanan kita?
Ramai yang sudah tersalah anggap tentang konsep takdir ini."

Lauh Mahfuz

Hakikatnya, segala apa jua yang kita fahami sebagai takdir, ketentuan, nasib dan sebagainya di seluruh alam semesta ini, memang telah diberikan ketentuan oleh Allah S.W.T dan segalanya tercatat (direkodkan)dan disimpan disebuah tempat yang kita ketahui dengan nama Lauh Mahfuz.

Firman Allah:
" Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab ( Lauh Mahfuz ) yang terang nyata." (Al-An'aam :59)

Lauh Mahfuz ini termasuk dalam perkara ghaib. Al-Qur'an menerangkannya hanya sekali sahaja dalam ayat 21-22 surah al-Burooj. Maksud ayat,
"Bahkan yang didustakan mereka itu ialah al-Qur’an yang mulia; yang tersimpan dalam Lauhul Mahfudz."

Imam Abul Fida' Ismail ibn Kathir (Tafsir Ibn Kathir) meriwayatkan beberapa keterangan daripada sahabat tentang Lauh Mahfuz, antaranya :

1. Daripada Hasan al-Basri: “Pada sisi Allah, terletak Lauh Mahfudz, dari situlah diturunkan daripadaNya kehendakNya terhadap siapa yang dikehendaki daripadaNya.”

2. Daripada Ibn Abi Hatim, "Tiada sesuatu yang ditentukan oleh Allah melainkan ditentukan terlebih dahulu dalam Lauh Mahfudz baik al-Qur'an, apa yang sebelumnya atau yang sesudahnya."

Hakikat Lauh Mahfuz yang sebenarnya ialah untuk menggambarkan ilmu Allah iaitu Allah tahu segala-galanya hatta perkara yang belum berlaku. Mengetahui bukan bermakna meletakkan ketentuan mutlak yang tidak boleh diubah-ubah lagi, sesuai dengan firmanNya dibawah:
Allah menghapus dan menetapkan apa yang Dia kehendaki. Dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab
(Lauh Mahfuz). (Ar-Raad : 39)

Sabda Rasulullah SAW:
"TIDAK ADA YANG DAPAT MENOLAK KETENTUAN TUHAN KECUALI DOA, dan tidaklah yang menambah umur kecuali berbuat kebajikan. Dan seorang laki-laki akan diharamkan baginya rezki karena dosa yang diperbuatnya."

Hadis yang ini sudah nyata melarang kita hanya menyerah saja kepada takdir yang kita sendiri belum tahu rahsianya.


Sekarang, saya ingin mengajak anda semua berbincang dengan lebih radikal atau dengan lebih bebas lagi tentang hakikat Takdir yang telah ditentukan, dan dicatat (direkod) di dalam Ummul Kitab yang tersimpan di Lauh Mahfuz, supaya lebih mudah kita fahami tentang hakikat yang sebenar akan takdir didalam parellel kehidupan manusia.

Takdir adalah ibarat Basic Program (Program Asas)

Apa yang telah kita fahami dari penjelasan pada Surah Al-An'am ayat 59 tadi ialah, setiap manusia, apabila diciptakan Allah, telah ada ketentuan takdir yang dikhaskan untuk manusia itu, dan segalanya telah direkodkan didalam 'Ummul Kitab' yang tersimpan di Lauh Mahfuz.

Ketentuan takdir ini adalah merangkumi segalanya iaitu Rezekinya, Jodohnya, Ajalnya, Kelahirannya dan segala-galanya tentang seseorang itu.

Marilah kita buka minda kita seluas-luasnya, dan melihat serta memahami keterangan ayat-ayat Allah dengan pandangan dari sudut berbentuk Sains. Saya melihat bahawa Ummul Kitab adalah merupakan tempat penyimpanan data untuk program setiap makhluk terutamanya manusia.

Apabila seseorang manusia dicipta, dia memerlukan program yang khas untuk membolehkan dia hidup nyata di bumi yang fana ini . Tanpa program, kita tidak akan berupaya untuk hidup (Program needed to run into the system). Apa yang saya maksudkan ialah, setiap program (takdir) ini, sangat detail dan terperinci untuk membolehkan kita menjalani kehidupan.

Adapun berkenaan data yang direkodkan ini, Allah s.w.t menyatakan pelaksanaan terhadap sesuatu ketentuan (program) yang telah ditetapkan semenjak azali sebagai al-Qada’ dalam ayat ini

Firman Allah s.w.t:
وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “dan Allah jua yang menciptakan kamu dan (mencipta)apa yang kamu lakukan” [Al-Saffat: 96].

Dan juga berdasarkan sabda Nabi s.a.w:
“كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وعرشه على الماء”

Maksudnya: “Allah s.w.t telah menulis takdir makhluk sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”. [Muslim].

Contoh: Ali dilahirkan pada 21hb April 2010, detail program yang Allah berikan untuk dia sangat detail iaitu dilahirkan ditangan doktor mana, selepas dilahirkan, akan dibawa kemana, dimandikan, diazankan oleh siapa, kemudian diberikan susu, dan seterusnya, hanya Allah yang Maha mampu mencipta program yang amat lengkap dan sempurna untuk setiap makhluk ciptaanNya.

Ini berdasarkan firman Allah s.w.t:
قَالَ كَذَلِكِ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ وَلِنَجْعَلَهُ آيَةً لِلنَّاسِ وَرَحْمَةً مِنَّا وَكَانَ أَمْرًا مَقْضِيًّا

Maksudnya: “ia menjawab: “Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.” [Maryam: 21].

Tanpa program (Takdir) ini, mustahil manusia dapat hidup. Contohnya, jika Ali dilahirkan tanpa program, Ali cuma akan lahir dan kemudian 'Freeze'. (Kaku dan pegun) kerana tiada apa-apa program yang diberikan padanya.

Akan tetapi, semua program yang diberikan ini (telah dicatat/direkod) hanyalah basic program untuk seseorang itu, tujuannya adalah untuk membolehkan manusia berupaya hidup dimukabumi yang fana ini.

Selanjutnya, tentang bahagia atau tidak, berjaya atau tidak kehidupan seseorang itu, manusia diberikan Free Will (Kebebasan memilih) dalam pilihan-pilihan yang dipilih sendiri oleh manusia apabila telah baligh dan sempurna akal. Maka kerana itu, Nabi S.A,W telah bersabda dgn Hadis diatas iaitu:
TIDAK ADA YANG DAPAT MENOLAK KETENTUAN TUHAN KECUALI DOA,tidaklah yang menambah umur kecuali berbuat kebajikan...

contoh: mungkin usia Ali didalam basic programnya ialah hingga 50 tahun, akan tetapi Ali selalu berdoa supaya panjang umur, dan dia juga banyak melakukan kebajikan (seiring dengan doanya) maka data rekod didalam basic program Ali didalam Ummulkitab tentang ajalnya dipadamkan (delete) dan ditukar kepada 70 tahun.

Begitu jugalah tentang jodoh, rezeki, kejayaan, kegagalan dan sebagainya, semuanya adalah bergantung kepada usaha manusia itu sendiri, bukan kerana ditakdirkan oleh Allah.

Apa yang kita ketahui sebagai takdir selama ini adalah merupakan Basic Program yang diwujudkan untuk membolehkan kita hidup, bernafas dan berdiri dimukabumi ini. Akan tetapi, kita sendiri diberikan peluang untuk menentukan sendiri masa depan dan nasib kita sendiri. Maka disinilah pula terletaknya kepentingan Bersangka baik sekiranya kita ingin kehidupan kita mendapat kejayaan dan dipermudahkan di dunia dan mendapat perlindungan di akhirat, sesuai dengan firmanNya:

Aku bersama sangkaan hambaku padaku, maka hendaklah ia
berprasangka dengan apa yang ia inginkan
( bukan yang ia risaukan atau khuatirkan -Hadis Qudsi :Thobarani dan Hakam).

Selain dari itu, untuk memudahkan lagi kehidupan manusia, dibekalkan juga Hukum-hukum Alam yang membantu manusia untuk hidup seperti Hukum graviti, Hukum Tarikan dan sebagainya.
Dan ingat lah, Allah hanya akan memberikan yang terbaik sahaja untuk semua hambaNya.
Di zaman Omar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan beliau telah dibawa menghadap khalifah Omar. Lelaki itu telah disoal: “Mengapa kamu mencuri?”

Lelaki itu menjawab: “Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya.”

Khalifah Omar ra amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya.”

Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: “Mengapa hukumannya begitu berat?”
Berkata Omar Al-Khattab ra: “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah.”

Maksudnya, manusia diizinkan Allah utk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan qada dan qadar.

Hukum sebab musabab atau sebab akibat adalah takdir (program yang maha canggih, sempurna dan effisien).

Manusia dapat menolak takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan oleh Allah bagi manusia.

Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat dihilangkan dengan tidur.

Mengikut sebuah riwayat yang sahih, khalifah Omar Al-Khattab ra enggan memasuki kampung tertentu di Syam kerana ketika itu ia sedang dilanda wabak taun.

Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah ra bertanya kepada Omar ra: “Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan?’ Omar ra menjawab: “Aku lari dari takdir Allah kepada takdir yang lain.” (Tarikh At-Tabari)

Kesemua ini menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia malah sebaliknya manusia telah diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya sendiri.

Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari ruang kemanusiaan yang telah Allah tetapkan dan Allah sejak dari awal lagi telah mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.

Ingatlah, sekiranya kita telah menunjukkan komitmen yang gigih dalam usaha mecapai sesuatu kejayaan atau tujuan tetapi usha kita itu tidak berjaya, ianya adalah kerana Allah mengatasi segala perancangan kita dengan tujuan untuk memberikan HANYA YANG TERBAIK UNTUK PARA HAMBANYA sesuai dengan firman Allah:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah :216)

NOTA : Ummul Kitab diketahui umum sebagai al-fatihah, kerana ia adalah penghulu Al-Qur'an. Tetapi Ummul Kitab yang dibincangkan disini ialah Ibu Kitab atau Kitab Induk (yang merekodkan segala urusan tentang takdir, nasib, rezeki, qada' dan qadar, jodoh, ajal, maut dan kelahiran seperti yang difirmankan :
وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ

Maksudnya: “dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata”. [Yasin: 12]

Berkata Ibn Kasir r.h: “Semua perkara yang berlaku telah pun ditulis (sebelum berlakunya) dalam kitab yang dibentang dan ditetapkan dalam Lauh Mahfuz dan maksud Imam Mubin dalam ayat ini adalah Ibu Kitab” [Ibn Kasir, 6/568]


Wallahuaklam,

Aku mohon keampunan dan petunjukMu ya Allah andainya aku melakukan kesilapan dalam penulisan ku ini. Aku hanya melakukan satu perbincangan bebas bertujuan supaya mendapat kefahaman yang lebih benar tentang KeadilanMu dan juga kebebasan berikhtiar yang Kau kurniakan pada hamba-hambaMu.

0 comments: