BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday 28 August 2010

Soal Jawab Agama: Tidak wajar tinggal sebumbung dengan bukan Islam

SAYA terbaca ayat al-Quran yang menyebut mengenai kehidupan isteri Nabi Nuh, Lut dan Firaun. Nampaknya mereka hidup di bawah satu bumbung. Berdasarkan kisah itu, apakah dibolehkan bagi orang Islam hidup bersama bukan Islam seperti suami Islam tetapi isterinya tidak. Minta penjelasan.
AZRI, Kuala Lumpur.
Al-Quran adalah kitab yang benar dan penuh dengan pengajaran untuk dipelajari umat manusia. Ayat yang saudara sebutkan diceritakan dalam surah at-Tahrim, ayat 10 yang bermaksud: “Allah membuat perumpamaan antara isteri Nabi Nuh dan Lut. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang yang salih. Lalu kedua isteri itu khianat pada suami mereka.”

Surah yang sama, ayat 11 yang bermaksud: “Dan Allah mengemukakan satu perumpamaan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang mukmin (berhubung rapat dengan orang kafir jika tidak terjejas imannya iaitu perihal isteri Firaun ketika dia berkata: Wahai Tuhan, bangunkanlah untukku sebuah mahligai di syurga.”

Allah SWT memberikan dua perumpamaan yang jelas kepada kita mengenai kedudukan antara iman dan kufur di sisi Allah SWT. Walaupun mereka berada di bawah satu bumbung, hidayah dan petunjuk adalah datang dari Allah SWT.

Rasul SAW juga berada di bawah jagaan bapa saudaranya yang tidak beriman sehingga penghujung usianya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Engkau (Muhammad) tidak dapat memberi hidayah walaupun kepada orang yang dikasihi. Tetapi hanya Allah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki.” – (Surah al-Qasas, ayat 56)
Contoh orang beriman pada ayat ini ialah isteri Firaun yang berada di bawah satu bumbung yang sama, manakala Nabi Nuh dan Nabi Lut bersama isteri yang tidak beriman.

Apa yang dapat diandaikan di sini ialah berkaitan sebahagian orang kafir yang berada dekat dengan orang beriman dengan harapan mereka dapat memberi sedikit kemudahan dalam sesuatu urusan tetapi tidak dapat membawa kita ke lembah kekufuran.

Begitu juga orang beriman yang berada di bawah naungan orang kafir seperti isteri Firaun. Dalam kisah ini, semua watak yang disebut tidak dapat memberi manfaat dan mudarat antara satu sama lain. Mereka jelas tidak memberi apa-apa kesan terhadap keimanan Nuh dan Lut.

Lagipun mereka adalah nabi dipilih oleh Allah SWT yang sentiasa mendapat perlindungan spiritual dari Allah SWT.

Dalam menelusuri kisah ini, kita juga melihat cerita Nuh, Lut dan Firaun, faktor syariat yang masih membolehkan mereka berbuat demikian juga perlu diambil kira di samping mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dan ia diharuskan mengikut syarak.

Mereka juga akhirnya dipisahkan oleh Allah SWT dengan azab taufan dan bencana alam yang dahsyat. Itulah sebenarnya cara Allah SWT memisahkan mereka bagi menjelaskan bahawa kebenaran dan kebatilan tidak akan kekal bersama untuk selamanya.

Tetapi bagi mereka yang tiada apa-apa ikatan hubungan, ia tetap diharamkan oleh Islam. Jika berlaku hubungan sekalipun seperti suami dan isteri atau ibu bapa, maka jalan selamat hendaklah dipilih bagi menjaga keselamatan akidah seseorang Muslim.

Ada perkara yang perlu dijaga seperti pemakanan dan minuman yang tidak dihalalkan Islam. Apatah lagi jika ia berkaitan aspek keselamatan dan sosial yang tiada batasan. Bagaimanapun, kisah ini tidak membolehkan kita menentukan sesuatu hukum dengan sewenang-wenangnya sebelum merujuk kepada ahli agama.

Penulis ialah eksekutif di Jabatan Agama NST dan boleh dihubungi melalui e-mel zaman@nstp.com.my


Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh
zaman@nstp.com.my
2010/08/28

0 comments: