BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday 26 November 2010

Talak mudah, kesan besar

Soalan

Bagaimana mengira bilangan talak jika suami kata aku ceraikan kau talak tiga sekali gus. Adakah jatuh talak tiga atau talak satu? Sebab saya ada terbaca kalau dijatuhkan talak tiga sekali gus, maka ia dikira talak satu.

Jawapan

Mengikut mazhab al-Syafie jatuh talak tiga, sekiranya lafaz suami jelas dengan menyebut bilangan tiga atau disebut aku ceraikan engkau, aku ceraikan engkau, aku ceraikan engkau, maka jatuhlah talak tiga.

Namun ada pandangan yang mengatakan suami akan ditanya akan niatnya, adakah dia benar-benar bermaksud dengan talak tiga. Ini bagi memastikan supaya suami benar-benar sedar akan aplikasi talak tiga.
Walaupun demikian, kes sebegini akan dibicarakan di Mahkamah Syariah dan hakim akan meminta penjelasan dari suami sebelum membuat keputusan, sama ada talak itu tiga atau di sebaliknya.

Untuk maklumat lanjut mengenai permasalahan ini di sini saya nyatakan dalil berserta ulasan dan pandangan ulama dalam persoalan secara ringkas;
Dari Ibn Abbas, dia berkata: Pada masa Rasulullah SAW, Abu Bakar dan dua tahun pertama masa kekhilafahan Umar talak tiga (sekali gus dengan satu lafaz) terhitung satu kali talak. Maka berkatalah Umar bin al-Khattab, golongan terlalu terburu-buru dalam urusan (menalak tiga sekali gus dalam satu lafaz) mereka yang dulu masih ada tempoh waktunya. Andai kata kami jalankan apa yang mereka lakukan dengan terburu-buru itu (bahawa talak tiga dalam satu kata (lafazh) itu jatuh talak tiga) nescaya hal itu dapat mencegah dilakukannya talak secara berturut- turut (seperti yang mereka lakukan itu).' Lalu ia memperlakukan hal itu terhadap mereka. (riwayat Muslim).

Daripada Mahmud bin Labid, ia berkata: Saat Rasulullah SAW diberitahu mengenai seorang lelaki yang menalak isterinya dengan talak tiga sekali gus, maka berdirilah ia dalam keadaan marah, kemudian berkata: Apakah ia ingin bermain-main dengan Kitabullah padahal aku masih ada di tengah kalian.?' Ketika itu ada seorang lelaki berdiri seraya berkata: Wahai Rasulullah, bolehkah aku membunuhnya?" (riwayat an-Nasaie, dan para periwayatnya adalah para periwayat yang sangat dipercayai).
Para ulama berbeza pendapat mengenai orang yang menalak dengan talak tiga sekali gus atau mengucapkannya dengan tanpa diselingi rujuk dan nikah.

Maksudnya, apakah talak tiga itu harus diambil kira sehingga isterinya menjadi tidak halal lagi baginya kecuali setelah ia menikah lagi dengan laki-laki lain (lalu bercerai) dan menjalani masa iddah darinya? Ataukah ia hanya terhitung satu kali talak saja sehingga ia boleh rujuk dengan isterinya selama masih dalam iddah, lalu setelah iddah ia melakukan akad baru sekali pun isterinya tersebut belum lagi menikah dengan laki-laki lain.?

1- Jumhur ulama, di antaranya empat imam mazhab, jumhur sahabat dan tabi'in berpendapat bahwa tiga talak dengan satu kata (lafaz) adalah berlaku bila seorang suami berkata, Kamu saya talak (tiga kali)!´ dan semisalnya atau dengan beberapa kata (kamu saya talak, kemudian mengatakan lagi, kamu saya talak, kemudian mengatakan lagi, kamu saya talak) sekali pun sebelumnya belum terjadi rujuk dan nikah.

Hadis Rukanah bin Abdullah bahawasanya ia telah menalak isterinya secara pasti (talak tiga sekali gus), lalu ia memberitahu akan hal itu kepada Nabi SAW, lantas beliau berkata, Demi Allah, kamu tidak menginginkan kecuali hanya satu kali saja.?" (Hadis ini dikeluarkan oleh asy-Syafiey, Abu Daud, at-Tarmidzy, Ibn Hibban (menilainya shahih) dan al-Hakim.

Di dalam hadis tersebut, Rasulullah meminta kepada suami yang menceraikan itu agar bersumpah bahwa ia tidak menginginkan dari ucapannya putus (talak tiga) tersebut kecuali hanya satu kali saja. Ini menandakan bahwa seandainya ia (suami) menghendaki lebih banyak dari itu (lebih dari satu kali) nescaya terjadilah apa yang diinginkannya.

b. Amalan para sahabat, di antaranya Umar bin al-Khattab RA yang menilai talak tiga dalam satu kata (lafaz) berlaku tiga seperti yang diucapkan suami yang menalak. Tentunya, mereka cukup sebagai panutan.

Selain dalil di atas, masih banyak lagi dalil yang dikemukakan pendapat ini namun apa yang sebutkan di sini ialah merupakan dalil yang lebih jelas.
2- Manakala sebahagian ulama berpendapat tiga talak dalam satu kata (lafaz), atau tiga talak dalam beberapa kata yang tidak diiringi rujuk dan nikah, tidak jatuh kecuali hanya satu kali saja (satu talak). Pendapat ini didukung oleh riwayat daripada beberapa sahabat, tabi'in dan para tokoh mazhab.

Dari kalangan sahabat terdapat Abu Musa al-Asy'ari, Ibnu 'Abbas, Ibn Mas'ud, μAli, μAbdurrahman bin μAuf dan az-Zubair bin al-'Awwam. Dari kalangan tabi'in terdapat Thawus, 'Atha', Jabir bin Zaid dan majoriti pengikut Ibn Abbas, Abdullah bin Musa dan Muhammad bin Ishaq. Dan dari kalangan para tokoh mazhab terdapat Daud azh-Zhahiri dan kebanyakan sahabatnya, sebahagian sahabat Abu Hanifah dan sebahagian sahabat Imam Malik.

Jangan bermain dengan talak, mengungkapnya senang tetapi kesannya sangat besar. Tahun lepas sahaja hampir 28,000 kes cerai yang didaftarkan. Bayangkan kalau cerai ini menjadi pilihan utama sebelum melalui proses-proses kaunseling dan sebagainya.
Sebenar banyak peluang dan jalan yang ada bagi menyelamatkan bahtera rumah tangga, antaranya suami yang bertakwa dan isteri yang bertakwa, rumah tangga dibina atas sendi keimanan dan ketakwaan pasti akan kekal hingga ke akhir hayat.

0 comments: