BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, 23 November 2009

Emas Untuk Digali

Kalau nampak air tenang kita patut lebih berhati-hati, sebab dalam air tenang macam-macam boleh terjadi. Tapi kalau nampak orang tenang kita patut dekati, sebab dalam diri orang tenang ada emas untuk di gali.

Kita selalu ditipu dalam keadaan kita tidak sangka akan tertipu. Orang jahat tidak pernah memilih orang jahat untuk ditipunya tetapi dia memilih orang baik. Orang baik pula oleh kerana terlalu baik selalu tertipu akibat terlalu baik sangka. Selalunya orang yang berniat jahat akan mempamerkan wajah baik untuk memperdayakan orang baik. Pada zaman ini terlalu kurang si jahat yang memiliki wajah yang jahat. Maka itu peratus orang baik yang terpedaya dengan orang jahat semakin ramai.

Suatu hari seseorang berkata, dia tawakal dengan untanya yang dilepaskan sewaktu bertemu Rasulullah s.a.w. Dia sangka semua orang baik sepertinya. Tidak mungkin unta itu akan hilang di kebas orang. Tetapi apabila Rasulullah s.a.w mengetahuinya, baginda menyuruh orang itu menambat untanya dahulu kemudian barulah bertawakal. Bermakna tidak boleh terlalu berbaik sangka.

Adakalanya perlu juga berasa curiga dan bersikap berhati-hati meskipun di kalangan orang yang boleh dipercayai. Kadang-kadang apabila terlalu percaya di situlah kesilapan akan tiba.

Tatkala berhutang atau memberi hutang, tuliskan lah untuk jadi peringatan. Kalau terlalu percaya ada kemungkinan hutang itu tidak akan dibayar. Menuliskannya bukan berti tidak percaya tetapi sebagai peringatan pada saat-saat lupa.

Terlalu percaya samalah macam istilah lurus bendul. Terlalu lurus selalunya menjadi mangsa pada jenaka manusia. Kadang kala kena ada juga rasa curiga. Curiga untuk beringat bukan curiga untuk berburuk sangka.

Seseorang berkata pada kawannya, "Mat, tak guna simpan duit banyak-banyak. Bila kiamat satu apa pun tak guna lagi. Lebih baik engkau belanjakan duit itu. Kiamat akan datang tiba-tiba. Nanti tak sempat engkau belanjakan semua hatra. Penat saja bekerja siang malam selama ini." Betul juga fikir Mat. Maka dia membelanjakan semua wangnya. Mat akan berakhir sebagai seorang yang muflis.

Kena ada rasa curiga dan tidak boleh terlalu lurus untuk menikmati hidup yang selesa. Manusia ada pelbagai ragam dan gaya. Sesetengahnya memang mencari kesempatan pada kedunguan orang lain. Mat sepatutnya berfikir begini, bekerjalah engkau seolah-olah engkau akan hidup seribu tahun lagi dan beribadalah engkau seolah-olah engkau akan mati esok hari.

Kata orang tua-tua, kalau melihat air tenang usah di sangka tak ada buaya. Sememangnya buaya tinggal dalam sungai yang berarus tenang. Pergerakan buaya juga penuh ketenangan. Kalau ia berehat di tebing sungai, ia bagaikan batang kayu mati-cukup tenang dan cukup baik. Namun, usah leka sebab ekornya boleh libas tiba-tiba. Di dalam air buaya boleh muncul di bawah air yang tenang, di dataran juga buaya boleh menyerang walaupun kelihatannya sudah mati.

Berbeza dengan orang tenang, di situ ada emas untuk di gali. Orang yang tenang biasanya penuh berilmu. Pergilah dampingi orang yang tenang, sesuatu yang berharga pasti akan diperolehi.

Usah terlalu rapat dengan orang yang senang, sebab senang belum bermakna tenang. Orang tenang biasanya berilmu, orang tenang biasanya warak, orang tenang biasanya lunak, maka dekatilah dia.


*Petikan buku, Membina Personaliti Terbilang, Dr Hm Tuah Iskandar Al-haj. Keluaran karya bestari. Muka surat 17

Hadiah Terbaik dan Terburuk

Seorang wanita yang dermawan telah menghadiahkan seekor kambing kepada Loqman al-Hakim dan berpesan;
"Sembelihlah kambing ini dan berikan saya bahagian yang terburuk daripadanya untuk saya makan."

Setelah kambing itu disembelih, Loqman mengirimkan kepada wanita tersebut hati dan lidah kambing itu. Beberapa hari kemudian, wanita itu sekali lagi menghadiahkan seekor kambing dan berpesan agar dikirimkan sebahagian daripada kambing tersebut kepadanya.

Namun pada kali yang kedua ini, bukan lagi bahagian terburuk yang diminta oleh wanita itu, tetapi dia meminta bahagian yang terbaik daripada kambing itu untuk dikirimkan kepadanya. Setelah kambing itu disembelih, Loqman tetap mengirim hati dan lidah juga kepada wanita itu.
"Mengapakah tuan mengirimkan kepada saya lidah dan hati ketika saya meminta bahagian yang terburuk? dan mengapakah lidah dan hati juga dikirimkan ketika saya memesankan bahagian yang terbaik daripadanya?"

Tanya wanita tersebut kepada Loqman. Loqman menjawab;
"Hati dan lidah amatlah baik ketika baiknya dan apabila keduanya buruk maka amatlah pula buruknya."

Mendengar jawapan itu, mengertilah wanita itu akan maksud Loqman. Hati dan lidah itu adalah pokok segala kebaikan dan begitu juga sebaliknya. Dari hati dan lidah juga akan terbit segala kejahatan dan keburukan.


Sumber: fauzynm.e-belia.net

P/S:
Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata:

Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati."
(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim)


www.iluvislam.com

Bertawakkal Dan Berharap

Dari Umar bin Khattab berkata, Rasulullah saw bersabda: “Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, tentu Dia akan memberikan rezeki kepada kamu seperti burung yang diberi rezeki, pergi dalam keadaan lapar dan pulang dalam keadaan kenyang.” [HR At-Tirmidzi]

Sebenarnya antara punca kegagalan dan juga kesusahan yang selalu menimpa kehidupan kita antaranya ialah kealpaan insan dalam menyerahkan segala urusan kepada kepada Yang Maha Berkuasa. Kita terlupa untuk menjadikan tawakkal dan harapan sebahagian dalam bentuk perancangan kita. Sekalipun kita mempunyai perancangan yang teliti dan teratur, namun tanpa dua elemen ini akan menyebabkan lemah emosinya serta tidak redha dengan kemungkinan yang akan menimpa.

Konsep tawakkal dan meletakkan harapan kepada Allah akan mengangkat martabat insan serta meningkatkan nilai spiritual meskipun perancangan kita menemui kegagalan atau mungkin kita menerima musibah yang sangat berat, bencana alam, kematian orang yang tersayang. Tawakkal kepada Allah juga dapat mendatangkan rezeki sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam hadis di atas. Rahmat dan kasih sayang Allah SWT akan sentiasa bersama kita seandainya kita meletakkan pengharapan yang tinggi kepadaNya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“….barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan penyelesaian. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendakinya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

Contoh dan tauladan yang baik ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w ketika bersama dengan Abu Bakar r.a di dalam gua persembunyiannya, sedang Abu Bakar merasa bimbang dengan keselamatan Nabi s.a.w dengan perasaan yang lebih berat daripada kebimbangannya terhadap keselamatan dirinya sendiri. Abu Bakar berkata: “Wahai Rasulullah, seandainya seseorang di antara mereka melihat kita berdua. Kerana itu, tiada laian di antara kita dan kebinasaan selain hanya pandangan (mereka) ke arah bawah.” Baginda s.a.w dengan tenang: “Wahai Abu Bakar, bagaimanakah sangkaanmu terhadap dua orang sementara pihak ketiganya adalah Allah SWT. (HR Bukhari)Inilah tawakkal dan harapan yang hakiki. Meletakkan pertolongan dan menyerahkan segala keresahan dan kebimbangan kepada Allah SWT.


http://www.fitrahpower.com/

Ingatan bagi pelupa: Tiga jenis sifat tercela perlu dijauhi

SALAH satu sifat mazmumah yang amat dibenci Islam dan tidak disenangi dalam masyarakat ialah sifat ujub (riak). Ujub dapat diertikan sebagai 'menganggap dan melihat diri lebih daripada orang lain'. Dengan menganggap diri lebih, seperti dari segi pengetahuannya, kealimannya, ibadatnya atau lebih kekayaannya daripada orang lain.

Ujub ini sifat tercela, ia perlu segera dikikis dan dijauhi umat Islam kerana boleh mendorong kepada pelbagai sifat yang lebih buruk lagi, misalnya sombong, takbur, gila hormat, meremehkan orang lain dan sebagainya. Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara yang dapat merosakkan, iaitu bakhil yang diturut; hawa nafsu yang diperturuti dan mengagumi diri sendiri (ujub).” - (Hadis Baihaqi)

Jenis ujub termasuklah:

• Bangga atau kagum dengan kecantikan rupa paras, kegagahan atau suara merdu. Hal sedemikian perlu dijauhi kerana ia adalah sangat tercela. Menjauhinya hendaklah dengan kesedaran bahawa apa juga yang dibanggakan itu adalah anugerah dan nikmat Allah yang perlu disyukuri. Seseorang itu dikatakan bersyukur apabila ia memanfaatkan anugerah Allah itu pada tempatnya yang wajar lagi diredai-Nya.
• Ujub disebabkan ketinggian ilmu atau kecerdasan otak dan menganggap dirinya paling pandai. Sikap sedemikian perlu dijauhi dengan kesedaran bahawa ilmu yang kita miliki ini adalah masih terlalu sedikit. Kalau difikirkan, ulama dan intelektual lain adalah lebih dari itu. Dan perlu kita hayati firman Allah: “Dan tidaklah kamu diberi ilmu, kecuali sedikit.” - (Surah al-Israa’: 85)
• Ada pula ujub lantaran keturunan. Umpamanya seseorang itu bangga terhadap dirinya disebabkan berketurunan bangsawan, raja, ulama, hartawan dan sebagainya. Sebenarnya semua itu tidak patut dibangga-banggakan. Bukankah Allah berfirman: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih berketurunan atau bangsanya).” - (Surah al-Hujurat: 13).
Sifat ini hendaklah dijauhi dan dihilangkan dari diri seseorang individu muslimin kerana ia boleh menjejaskan amal ibadat kita kepada Allah. Semoga dengan menjauhinya kita akan mendapat keredaan Allah di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Sumber: 'Syiar Islam' Risalah Surau NSTP

Ali menantu Rasulullah

ALI bin Abu Talib ialah anak saudara kepada Rasulullah SAW. Ibnu Ishak menceritakan ketika Ali datang menemui Rasulullah, baginda ketika itu sedang bersembahyang bersama isterinya, Siti Khadijah.
Ali sangat kagum melihat segala yang dilakukan oleh baginda dan isterinya. Lalu, Ali pun bertanya kepada Rasulullah apa yang dilakukan oleh baginda itu.

Baginda pun menjawab, itulah agama Allah yang baginda pilih, dan dengan agama itulah Allah mengutuskan semua utusan-Nya. Oleh itu baginda turut menyeru kepada Ali supaya menyembah Allah Yang Esa. Baginda juga turut menyuruh Ali supaya meninggalkan berhala Laata dan Uzza.
Mendengar kata-kata baginda itu Ali meminta izin untuk memberitahu kepada ayahnya, Abu Talib terlebih dahulu.
Namun, baginda melarang Ali memberitahu sesiapa pun kerana baginda tidak mahu perkara itu diketahui oleh orang lain sebelum datangnya perintah untuk menyebarkannya kepada orang ramai.

Semalaman Ali berfikir tentang perkara itu dan ruparupanya Allah telah membukakan pintu hatinya untuk menerima Islam. Maka, keesokan harinya Ali terus pergi menemui baginda dan beliau pun berkata, "Apakah yang engkau mahukan dariku, wahai Muhammad?"
Baginda pun menjawab, "Hendaklah engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, dan hendaklah engkau mengkufuri berhala Lata dan Uzza, dan membersihkan dirimu daripada segala macam Tuhan selain Allah".
Ali segera menerima ajakan baginda itu dan memeluk Islam. Selepas itu, beliau tetap mendatangi baginda secara sembunyi-sembunyi kerana takut diketahui oleh bapanya. Ali terus menyembunyikan keislamannya dan tidak mengkhabarkan kepada sesiapapun.
Sementara itu dalam medan peperangan, baginda sangat mempercayai Ali. Baginda mengatakan ingin menyerahkan bendera perang kepada seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya serta dicintai Allah dan Rasul-Nya juga.

Maka Ali telah dipilih oleh baginda. Tetapi ketika itu Ali sedang sakit mata. Baginda tetap menyuruh Ali datang kepada baginda dan baginda meludah mata Ali yang sakit itu dan memohon kepada Allah. Dengan tiba-tiba, mata Ali terus sembuh seolah-olah tidak pernah ditimpa sakit atau pedih. Kemudian bendera Islam itu diserahkan kepadanya.

Ketika pihak Quraisy sedang membuat perancangan untuk membunuh Rasulullah ketika baginda sedang tidur, baginda meminta Ali menyamar sebagai dirinya dengan tidur di tempat perbaringan baginda. Ali menerimanya tanpa bantahan walaupun nyawanya dalam bahaya.

Rasulullah juga telah mengahwinkan anak baginda iaitu Fatimah dengan Ali disebabkan perwatakan dan perangai Ali yang sangat menawan hati baginda.
Ali dan Fatimah dikurniakan empat orang anak iaitu; Hasan, Husain, Zainab dan Ummu Kalthom. Melalui anak Fatimah dan Ali ini, baginda mempunyai keturunan yang banyak di samping berjasa kepada agama Islam.
Ada di antara mereka seperti Hasan dan Husain menjadi penguasa, pemimpin, menjadi imam yang sering beramal dan berjihad di jalan Allah. Begitulah kasih sayang yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah terhadap Ali bin Abu Talib.
nPetikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Dosa Jual Beli Hari Jumaat

Sudah menjadi kebiasaan, disebabkan hari Jumaat adalah hari kerja di Malaysia, lelaki yang bekerjaya terpaksa terkejar-kejar mengambil waktu rehat tengahari untuk makan tengahari dan juga menunaikan solat fardhu Jumaat secara berjemaah. Namun, dalam ketika itu, ramai yang tidak sedar setiap minggu, mereka mungkin membeli makanan yang berulamkan dosa.

Sebelum ini, saya pernah mengulas berkenaan hal ini melalui siaran ‘Tanyalah Ustaz TV9' dan juga wawancara bersama Utusan Malaysia. Namun melihat kepada kekerapan dan kurang sensitiviti di kalangan umat Islam di Malaysia khususnya. Satu penulisan ringkas yang khusus berkenaan hal ini adalah perlu.

Persoalan jual beli yang terus berlangsung di kalangan peniaga dan pembeli lelaki selepas azan pada hari Jumaat perlu dipandang serius atau ia akan berterusan. Lebih kurang menyenangkan, apabila melihat peniaga-peniaga ini berkhemah di luar masjid, mengambil untung atas perkumpulan umat Islam yang ingin menunaikan solat Jumaat, sedang mereka menjadi penyebab kepada dosa.

PENGHARAMAN JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT

Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus. Justeru, ia tidak termasuk di dalam perbincangan para ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.

Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.

Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.

Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

'Ertinya :Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.'

AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?

Walaupun telah ijma'[1] di kalangan ulama akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua.

Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah. Di zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).

Namun, hasil daripada kewujudan lebih dari satu azan selepas zaman Uthman, para ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya. Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat Al-Quran, para masa hayat baginda Nabi s.a.w.[2]

Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan ertinya : Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi s.a.w (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24)

Namun demikian, ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram', cuma terdapat sebahagian besar mereka yang juga berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut.[3] Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.

Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut 'para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua' ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)

BERDOSA SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?

Walaupun berjualbeli di waktu itu adalah haram yang bererti berdosa atas si penjual dan pembeli, namun adakah aqad jual beli mereka terbatal?

Jika kesalahan ini dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain. Jika aqad tidak sah, bererti pemilikan harga yang diperolehi oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku, beerti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh syubhat dan bermasalah.

Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya aqad. Para Ulama terbahagi kepada dua kumpulan :

Pertama : Aqad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.

Kedua : Aqad batal dan berdosa ; Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.

Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja, atas kesalahan itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan aqad.

Apapun, amat perlu umat Islam di Malaysia dan dimana sahaja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, amat digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para peniaga dan semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan ini. Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang kali.

KESIMPULAN

Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:
a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.

b) Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.

c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini, dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.

Saya amat berharap agar para khatib dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar, juga diingatkan oleh para bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua. Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di masjid-masjid bagi menyedarkan orang ramai.



*Ustaz Zaharuddin aktif menulis di blog beliau, www.zaharuddin.net

Wanita lebih utama solat di rumah

SOALAN:
SAYA ada kemusykilan tentang kedudukan wanita dalam solat berjemaah. Adakah hadis sahih yang kata perempuan tidak digalakkan turun surau?
Adakah sirah Nabi atau para sahabat yang mana ada muslimat yang komited untuk berjemaah di surau?

Jawapan:
Solat berjemaah di masjid atau surau sangat digalakkan dalam Islam. Hadis-hadis Rasulullah SAW juga cukup banyak yang sentiasa memberi motivasi bahawa pahala orang yang solat berjemaah jauh lebih baik berbanding solat bersendirian.
Di sana juga terdapat hadis-hadis Rasulullah SAW yang mengecam dan memberi amaran yang sangat keras bagi mereka yang tidak hadir solat berjemaah.
Malahan dalam suasana yang sangat getir pun mereka tidak mengabaikan solat berjemaah. Disebabkan keyakinan yang tidak berbelah bagi Rasulullah SAW bahawa penyatuan saf di dalam masyarakat adalah bermula dengan penyatuan saf di dalam masjid.

Masjid menjadi tempat bertemu dan bertanya khabar, peluang menyuburkan semangat persaudaraan. Sebab itulah, falsafah solat berjemaah adalah bertujuan menyatukan ummah sehingga dilabel sebagai khaira ummah (umat terbaik).
Masjid mampu merungkai persengketaan dan perbalahan, tempat menimba yang jernih. Dalam pada itu persoalan solat berjemaah dan fadilatnya banyak ditujukan kepada kaum lelaki bukan kaum wanita.

Namun demikian, ini tidaklah bermaksud wanita tidak perlu ke masjid atau surau untuk solat berjemaah. Untuk memberi jawapan kepada persoalan ini para ulama telah berbincang dan memberi beberapa saranan dan pandangan.
Solat berjemaah di masjid wajib hukumnya, di mana keterangan masalah ini nampak sekali imbas bahawa solat jemaah seakan-akan diwajibkan bagi setiap muslim, baik lelaki mahupun perempuan.
Padahal tidaklah demikian. Ini kerana di dalamnya terdapat beberapa pengecualian dan pengkhususan.

Di antara pengkhususan itu adalah tidak diwajibkan solat berjemaah bagi wanita. Hal itu sesuai dengan ijmak (kesepakatan) ulama. Adapun dibolehkan mereka ikut serta dalam solat berjemaah bukan bererti merupakan kewajipan bagi mereka sebagaimana yang telah dikatakan oleh Abu Muhammad bin Hazm rahimahullah; “Adapun bagi wanita maka hukum menghadiri solat berjemaah adalah tidak wajib. Dalam perkara ini tidak terdapat ikhtilaf di antara para ulama”. (Al Muhalla 4: 196)

Sebaliknya wanita dianjurkan untuk solat di rumahnya kerana fadilat (keutamaannya) lebih besar dibandingkan dengan solat berjemaah di masjid. Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita yang bermaksud: “Solat di bilikmu (rumahmu) lebih baik daripada solat di rumahmu. Solat di rumahmu lebih utama daripada solat di masjid kaummu”. (riwayat Ibn Khuzaimah)
Di dalam hadis lain Rasulullah bersabda: “Janganlah kalian melarang wanita-wanita kamu (untuk pergi ke) masjid dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka”. (riwayat Ibnu Khuzaimah)

Berkata Imam Asy Syaukani r.h ketika menjelaskan lafaz “Rumah-rumah mereka lebih utama bagi mereka”, maksudnya adalah “Solat mereka (wanita) di rumahnya itu lebih utama bagi mereka dibandingkan dengan solatnya di masjid”.
Jika mereka mengetahui yang demikian (pastilah mereka tidak meminta untuk keluar masjid). Akan tetapi kerana mereka tidak mengetahuinya, maka mereka meminta izin untuk keluar ke masjid dengan berkeyakinan bahwa pahalanya lebih banyak daripada solat di rumahnya”. (al-Syaukani, Nailul Authar 3:131).

Dari riwayat-riwayat di atas, para ulama mengistinbatkan hukum bahawa solat wanita di dalam rumahnya lebih utama daripada solat di masjid.
Walaupun demikian mungkin akan timbul dalam benak kita suatu pertanyaan: “Manakah yang lebih utama, wanita solat di rumahnya dengan berjemaah atau solat sendiri. Dan apakah solat jemaahnya akan mendapatkan seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW (yakni lebih utama 27 darjat)?”

Untuk menjawab pertanyaan ini terlebih dahulu kita melihat syarah hadis solat berjemaah lebih utama dibandingkan solat sendiri dengan dua puluh lima (dalam riwayat lain dengan dua puluh tujuh) darjat. Apakah hadis tersebut bersifat umum bagi lelaki dan wanita?
Hujah-hujah yang dikemukakan tadi adalah berdasarkan tuntutan bahawa wanita tidak disuruh dan jangan dilarang.

Hukum awal wanita tidak digalakkan ke masjid atas tujuan mengelak fitnah yang mungkin berlaku, kerana perumahan di zaman Madinah dan Mekah agak jauh dari Masjid. Atas kebimbangan keselamatan adalah lebih baik solat di rumah masing-masing.
Perkara kedua, budaya masyarakat Arab memang tidak akan membenarkan wanita keluar bersendirian, suami akan dikata sebagai tidak bertanggungjawab.
Namun demikian hari ini ramai wanita yang ke masjid tidak ditemani oleh suami tapi dengan izin. Ini kerana suasana hari ini mungkin lebih selamat, apatah lagi dalam suasana kampus.

Beberapa Syarat
Telah menjadi ijmak (kesepakatan) para ulama bahawa Rasulullah tidak mencegah sama sekali para wanita untuk solat berjemaah di masjid bersama beliau sehingga wafatnya.
Demikian pula para Khulafah Rasyidin sesudah beliau SAW. Rasulullah SAW bersabda: Apabila salah satu wanita di antara kalian meminta izin ke masjid, maka janganlah kalian cegah mereka. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Janganlah kalian melarang hamba (para wanita) Allah ke masjid-masjid Allah. (riwayat al-Bukhari)
Menyoroti hadis-hadis di atas, Imam Nawawi r.a berkata: Hadis ini dan yang semisalnya (menjelaskan) dengan jelas sekali bahawa wanita tidak dilarang pergi ke masjid. Akan tetapi dengan syarat-syarat yang telah disebutkan oleh para ulama yang diambil daripada hadis-hadis iaitu: Tidak memakai wangi-wangian, tidak tabarruj (berhias-hias, bersolek-solek), tidak memakai gelang kaki yang dapat terdengar bunyinya, tidak memakai baju yang mewah, tidak berikhtilat dengan kaum lelaki dan bukan gadis yang dengannya dapat menimbulkan fitnah, tidak terdapat sesuatu yang dapat menimbulkan bahaya di jalan yang akan dilalui. Apabila dia mempunyai suami atau tuan dan terpenuhi syarat-syarat yang disebutkan tadi, maka dimakruhkan melarang mereka ke masjid. Namun jika dia belum/tidak mempunyai suami atau tuan, maka diharamkan melarang mereka ke masjid apabila terpenuhi syarat-syarat di atas. (Syarh Shahih Muslim 4:382-383).
Inilah syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama yang disyariatkan kepada para wanita yang ingin ke masjid. Syarat-syarat ini diambil daripada hadis-hadis Nabi SAW.

Renungilah ke dalam Diri Sendiri Untuk Terus Memperbaiki Diri

Seseorang yang ingin menyempurnakan diri sendiri, setelah bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan, maka hendaklah dia sentiasa fokus melihat keaiban diri sendiri dan meninggalkan kesibukan melihat keaiban orang lain.

Manusia yang sentiasa mencari salah dan kelemahan orang lain sentiasa lalai daripada melihat keaiban diri sendiri. Ia bagai pepatah yang mengatakan: “kuman di seberang laut pun kelihatan, tetapi gajah di hadapan mata sendiri pula tidak kelihatan”.

Imam Hasan Al-Bashri r.a. pernah berkata:

“Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain”.

Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah s.w.t. dan dengan bantuanNya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.

Muhasabah dari sudut bahasa bererti: memerhatikan dan memperhitungkan.

Muhasabah dari sudut syarak pula bererti: perasaan yang timbul dalam batin seseorang, yang mencela kejahatan nafsu dan perbuatan maksiat yang telah dilakukan, yang mana, dari perasaan tersebutlah, timbulnya rasa keinsafan.

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Orang yang sentiasa muhasabah dirinya, sentiasa berusaha untuk menjauhi dirinya daripada jalan-jalan yang membawa kepada kemaksiatan, dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan ketaatan." [Haqo'iq 'ani At-Tasawwuf m/s 235]

Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: "…dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Surah Al-Kahfi: 28)

Imam Qotadah r.a. berkata berkenaan dengan ayat ini:

"Sesungguhnya, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini telah mensia-siakan dirinya dan merugikan dirinya. Dia menjaga harta-hartanya namun menggadaikan agamanya, akibat tidak muhasabah dirinya…" [Tibb Al-Qulub bagi Ibn Qayyim: m/s 85]

Telah berkata Imam Al-Hasan berkenaan dengan ayat ini: "Sesungguhnya, seseorang hamba itu, sentiasa dalam kebaikan, jika dalam dirinya ada seruan yang mencela dirinya, dan muhasabah diri merupakan sifat keutamaannya".

Firman Allah s.w.t. lagi:

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang Telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)” (Surah Al-Hasyr: 18)

Maksud ayat tersebut ialah, Allah s.w.t. menyuruh kita memperhatikan setiap amalan yang dilakukan oleh kita, samada ianya suatu ketaatan ataupun suatu kemaksiatan bagi memastikan kebahagiaan di akhirat kelak.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…" (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah).

Maksud perkataan "daana nafsahu" dalam hadith tersebut bererti, menghitung dan muhasabah diri.

Imam Az-Zarruq r.a. berkata:

"Kelalaian daripada muhasabah diri itu membawa kepada kerosakan diri. Gagal dalam memperhatikan nafsu diri, membawa kepada sikap redha terhadap keburukan nafsu tersebut." [Qawa'id At-tasawwuf m/s 75]

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Sesungguhnya, muhasabah diri itu akan menyemai suatu rasa bertanggungjawab dalam diri seseorang, terhadap Allah s.w.t., makhluk-makhlukNya dan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri untuk melaksanakan syariat Allah s.w.t.. Dengan muhasabah diri, seseorang dapat menghayati bahawa, dirinya tidak diciptakan secara sia-sia."

Jenis-jenis Muhasabah Diri

Muhasabah diri ada dua jenis iaitu, muhasabah sebelum beramal dan muhasabah setelah beramal.

Jenis Pertama: Muhasabah Diri Sebelum Melakukan Sesuatu

Maksudnya: Seseorang itu menghitung di permulaan amalannya, samada amalan tersebut perlu dilakukan ataupun perlu ditinggalkan. Jika amalan tersebut sesuatu yang diperlukan, maka lihatlah, adakah ia bersesuaian dengan syariat ataupun bertentangan. Sekiranya bertentangan dengan syariat, maka sewajarnya dia meninggalkan niatnya untuk melakukan perbuatan tersebut, selagimana tidak sampai tahap mudarat. Jika mudarat, maka boleh dilakukan sekadar ingin menolak kemudaratan.

Al-Hasan berkata:

"Allah s.w.t. merahmati seseorang yang berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu, lalu memperhatikan niatnya. Jika amalan itu ingin dilakukan, maka dia meneruskan amalannya. Adapun jika bukan kerana Allah s.w.t., maka dia meninggalkannya."

Seterusnya, jika dia pasti, niat perkara yang ingin dilakukannya itu kerana Allah s.w.t, dan perkara tersebut perlu dilakukannya, maka hendaklah dia pastikan, adakah dia mampu untuk melakukannya ataupun tidak. Jika dia tidak mampu lakukan kesorangan, maka tinggalkanlah dahulu perkara tersebut, ataupun meminta bantuan daripada orang lain.

Jika dia mampu melakukan perbuatan tersebut, maka dia perhatikan pula, adakah perbuatan itu lebih baik dilakukan atau lebih baik ditinggalkan daripada melakukannya.

Jika perbuatan itu lebih baik dilakukannya, daripada ditinggalkannnya, maka perhatikanlah, adakah faktor pendorong dia melakukan amalan tersebut, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah s.w.t., ataupun kerana inginkan ganjaran duniawi dan ganjaran makhluk.

Jika faktor amalan tersebut kerana inginkan ganjaran makhluk, maka, baikilah niat, barulah meneruskan amalan tersebut. Jika faktor pendorong melakukan amalan tersebut kerana Allah s.w.t., maka teruskanlah melakukan perkara tersebut dengan meminta bantuan daripada Allah s.w.t, untuk kejayaan usaha tersebut, kerana seseorang hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah s.w.t..

Jenis Kedua: Muhasabah Setelah Melakukan Sesuatu:

Maksudnya, seseorang itu memperhitungkan amalan yang telah dilakukannya iaitu:

Pertama: Menilai semula, adakah amalan tersebut menepati seluruh hak-hak Allah s.w.t. dalam ketaatan.

Kedua: Memerhatikan semula, kemungkinan ada amalan yang sebenarnya, lebih patut ditinggalkan daripada ianya dilakukan, lalu berazam untuk tidak mengulangi kembali kesalahan tersebut.

Ketiga: Memerhatikan semula, niatnya dalam amalan tersebut. Jika kerana Allah s.w.t, maka hendaklah dia bersyukur kepada Allah s.w.t., kerana membantunya dalam ketaatan kepadaNya. Jika kerana makhluk atau kepentingan duniawi, maka hendaklah dia meminta ampun kepada Allah s.w.t. daripada dosa tersebut lalu berazam untuk tidak mengulanginya.

Kesimpulan

Muhasabah diri adalah antara akhlak yang mulia yang dapat membantu seseorang untuk terus menyempurnakan aspek kehambaan dirinya dalam mencapai keredhaan Allah s.w.t.. Lihatlah kepada diri sendiri, nescaya akan terzahir bahawasanya segala yang berlaku di sekelilingmu adalah untuk menyempurnakan kehambaanmu. Itulah interaksi Allah s.w.t. kepadamu melalui perbuatan-perbuatan dan ketentuanNya.

Semoga Allah s.w.t. berikan kepada kita kekuatan untuk merealisasikan makna muhasabah dalam diri kita agar kita dapat mencontohi Saidin Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkataan, perbuatan dan hal hubungan hati Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam dengan Allah s.w.t..

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

‘AmalahuLlahu bi althofiHi al-Khafiyyah

Merasai Kebersamaan Allah s.w.t.: Kunci Menikmati Kehidupan yang Indah

Perkembangan dunia yang kian moden ini, justeru menambah seribu satu cabaran terhadap penghuninya. Biar perkembangan material terus meningkat, namun sudut kerohanian insan terus mundur dan hampir hilang. Biar segenap alat-alat canggih untuk memudahkan cara hidup, namun masih terus terasa dihimpit oleh hari-hari yang saban mendatang.

Ramai orang berduka di setiap ketentuan yang melanda, dan terus bertambah duka kerana tidak berdaya mengadapinya. Ramai orang terus bersedih dalam menghadapi hidup yang dirasa kian pedih. Manusia hari ini mempunyai kemodenan di mana-mana, tetapi hakikat dirinya lebih tipis dari rumah labah-labah ketika menghadapi bencana.

Bukanlah hidupmu itu yang menyempit, wahai diri yang terasa dihimpit. Tetapi dirimu itulah yang terasa keseorangan, dalam menghadapi kehidupan. Kamu yang lemah, secara hakikatnya, bagaimana mampu menghadapi hidupmu yang semakin mencabar secara bersendirian? Makhluk-makhluk di sekelilingmu yang juga lemah, bagaimana diharapkan untuk terus menemanimu dalam waktu senang dan sukar? Carilah teman, sebaik-baik teman. Carilah kebersamaan, sebaik-baik kebersamaan.

Oleh kerana itulah, hakikat kebahagian adalah, pada rasa kebersamaan Allah s.w.t. yang tidak pernah terpisah. Hatimu kesunyian, di tengah-tengah kesibukan, kerana tiada rasa kehadiran Tuhan, dalam hati yang semakin kegersangan. Wahai teman, kebersamaan Allah s.w.t. itulah penawar sebaik-baik yang menyembuhkan.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“…Sesungguhnya dengan zikrullah, hati menjadi tenang…” (Surah Ar-Ra’du: 28)

Imam Al-Ghazali r.a. mengingatkan, zikrullah yang menyebabkan hati terus tenang dengan sebenar-benar tenang adalah: ingatan Allah s.w.t. kepadamu. Memang benar. Kalau Allah s.w.t. tidak mengingati kita dengan penuh kecintaan, nescaya Dia tidak akan menggerakkan hati kita untuk mengingatinya. Oleh sebab itulah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam mengajar doa:

“Ya Allah… Bantulah aku dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan baik ibadahku…”.

Ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- ini mempunyai inti tauhid yang murni, kerana menisbahkan kelemahan diri hatta dalam beribadah, lalu menzahirkan rasa memerlukan hanya Allah s.w.t., untuk membantu diri yang lemah, termasuklah dalam melaksanakan tugas kehambaan dan dalam mengingati Allah s.w.t..

Andai bukan kerana pandangan redha Allah s.w.t., nescaya hati kita tidak terlintas untuk mengingati Allah s.w.t.. Malah, ramai orang yang membaca ayat Al-Qur’an tadi, berusaha menggerakkan lisan untuk zikrullah, namun tanpa hadir rasa kelemahan bahawasanya diri tidak dapat mengingati Allah s.w.t, melainkan dengan bantuanNya, akhirnya gerak lisannya turut tidak akan membawa hati yang mengingati Allah s.w.t..

Zikir lisan itu ada nilai ibadahnya tersendiri, sememangnya hal ini tidak dinafikan. Pahala banyak sudah dijanjikan. Namun kehadiran hati dalam zikir inilah merupakan kualiti zikir itu sendiri. Seseorang itu, ingatannya adalah di hati. Oleh itu, kehadiran Allah s.w.t. dalam hati itulah nadi yang membawa seseorang menghadapi kehidupan seluruhnya tanpa duka lara.

Hadirkan adabmu wahai hamba. Hadirkan rasa kamu memerlukan bantuanNya untuk mengingatiNya, mudah-mudahan dengan itulah Allah s.w.t. memperkenankan kamu untuk mengingatiNya. Ingatilah juga bahawasanya, kalau Allah s.w.t. tidak mengingatimu, nescaya kamu tidak terlintas untuk mengingatiNya. Ia akan membawa kamu kepada mengingati kebersamaanNya dalam hidupmu.

Nikmat cinta bukan sekadar mengingati yang dicintai. Akan tetapi, nikmatnya pada mengingati bahawasanya dirinya diingati oleh yang dicintai. Andai anda masih terasa anda mengingati yang dicintai, maka itu belum suatu kemurnian cinta abadi. Cinta abadi lagi hakiki yang akan menjadi kekuatan dalam diri adalah, apabila anda mengingati ingatan yang dicintai terhadap diri anda. Itulah maknanya, cinta sudah mula mekar mewangi.

Apa lagi andai anda mengerti, bahawasanya Allah s.w.t. sudah terlebih dahulu mengingati anda sebelum anda mengingatiNya. Ini terlebih indah dalam menghayati makna cinta. Rupa-rupanya, Dialah yang terlebih dahulu sentiasa mengingati kita, sebelum kita mengingatiNya. Malah, Dialah yang menggerakkan kita untuk mengingatiNya agar kita menikmati rasa indah diingati olehNya…ALLAH…ALLAH…ALLAH… Dialah Maha Pencinta, sebaik-baik Pencinta.

Benar bagai dikata, bahawa merasai diingati oleh Allah s.w.t. adalah nilai kebahagiaan abadi. Apalah nilai ingatan kita terhadapNya berbanding ingatanNya terhadap kita. Dengan melihat ingatanNya kepada kita, nescaya akan rasa kebersamaanNya dalam setiap kehidupan kita. Inilah penenang jiwa abadi.

Pernah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dicaci oleh orang Yahudi, yang menuduh Tuhan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sudah meninggalkan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, kerana sudah lama tidak turun wahyu kepada Baginda s.a.w..

ALLAH…ALLAH…ALLAH… Kepiluan, Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- kian terasa. Bukan kerana celaan si pencela. Tetapi kerana takut ditinggalkan ALLAH ,Sang Kekasih yang tercinta.

Maka Sang Kekasih Sebaik-baik Pencinta, yang tidak pernah membiarkan para kekasihNya terus berduka, terus menzahirkan nilai cintaNya yang Agung nan Mulia seraya berfirman (dalam Surah Ad-Dhuha):

“Tuhanmu (Hai Muhammad) tidak pernah membiarkanmu dan tidak pernah membenci…”

Allah…

Sang Kekasih terus memujuk kekasihNya yang tulus dalam cinta, agar terus memupuk kehadiran dan kebersamaan Sang Kekasih Agung dalam jiwa. Itulah sebaik-baik penawar dalam jiwa, bagi menghadapi dunia yang penuh gelora. Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dipujuk dengan mengingatkan bahwasanya diri Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sentiasa dalam ingatan Tuhan segala kejadian.

Inilah kekuatan abadi, yang menjadikan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- terus tenang dan bahagia dalam menghadapi hidup yang mengajar seribu satu erti. Akhirnya kekuatan ini turut Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kongsi, kepada teman karibnya di dunia dan di akhirat nanti, iaitulah Saidina Abu Bakar r.a. yang merupakan seorang sahabat sejati.

Ingatlah ketika mereka berdua di dalam gua, tatkala orang-orang kafir mula mencari-cari mereka, maka Saidina Abu Bakar r.a. mula terasa takut dan gundah-gulana. Bukan kerana dirinya, tetapi kerana insan kekasih seluruh semesta (Rasulullah s.a.w.). Ketika itulah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- mengajarkan hakikat kebahagiaan di dunia, yang akann membawa seseorang bahagia sehingga ke syurga, iaitulah merasai kebersamaan Allah s.w.t. setiap masa. Sabda Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang bermakna:

“Jangan kamu sangka kita berdua, sedangkan Allahlah yang ketiga, bersama-sama kita yang kamu sangka sekadar berdua”.

Peristiwa ini diabadikan di dalam Al-Qur’an. Ia menjadi saksi keagungan rasa kebersamaan dengan Tuhan. Firman Allah s.w.t. dalam menggambarkan ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kepada Saidina Abu Bakar r.a.:-

“…di waktu baginda berkata kepada temannya: "Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya…” (Surah At-Taubah: 40)

Alangkah bahagianya bersama Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, yang sentiasa merasai kebersamaan Tuhan Sang Pencinta, lalu mengajar kita erti kebersamaan Tuhan dalam hidup kita. Inilah kekuatan kerohanian sebenarnya. Inilah ketenangan pada hakikatnya. Apabila hatimu merasai kebersamaan Allah s.w.t., maka betapa lapangnya hidupmu. Inilah kunci menikmati hidupmu. Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan rasa kebersamaan Allah s.w.t. dalam hati kita. Amin..

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Lathif

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

Berinteraksi dengan Allah s.w.t. Melalui Kehidupan

Kehidupan ini mempunyai seribu satu erti dan makna. Dalamnya ada mengandungi pelbagai pelajaran bagi mereka yang ingin mengambil pelajaran daripadanya. Kehidupan ini tidak semudah yang disangka oleh golongan yang sambil-lewa dan tidak sesusah yang disangka oleh golongan yang tamak dan bergantung kepada dirinya semata-mata.

Hidup ini suatu lapangan, tempat di mana Allah s.w.t. menyempurnakan kehambaan para hambaNya yang ingin menyempurnakan kehambaan diri mereka kepadaNya. Hidup ini suatu peluang, tempoh untuk para hambaNya menzahirkan rasa kesyukuran, kesabaran dan keredhaan kepadaNya, yang merupakan antara ciri-ciri kehambaan kepadaNya.

Manusia yang leka daripada hakikat dirinya yang sekadar seorang hamba kepada Tuhannya, secara tidak langsung akan menghadapi kesulitan dalam berinteraksi dengan kehidupan itu sendiri. Ini kerana, apa yang dicari hanyalah kepuasan nafsu diri, kelazatan yang memberi manfaat kepada kepentingan diri sendiri, tanpa menghayati makna kehidupannya yang lebih sempurna, iaitu dirinya hidup sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakannya daripada tiada kepada ada, iaitulah Allah s.w.t. yang Maha Pencinta.

Seseorang yang hidup semata-mata untuk kepuasan nafsu dan kepentingan diri, kerana tidak menghayati hakikat kehambaan diri, pasti tersalah dalam berinteraksi dengan kehidupan ini, sehingga membawa kepada terasa terbeban dengan sebuah kehidupan yang sementara ini. Apa yang dikejar selalunya tidak dapat. Apa yang didapatinya juga tidak akan kekal bersamanya setelah dia mati. Di mana nilai sebuah kehidupan bagi manusia yang semacam ini?

Bagi seseorang manusia yang menghayati makna kehambaan diri kepada Tuhannya, pasti akan memahami kehidupan ini dengan maknanya yang lebih luas dan sempurna. Kebendaan dan duniawi tidak lagi berkuasa menawan kebahagiaan dan kelapangan hati dan jiwanya. Dia tahu, hidup ini ialah untuk menterjemahkan makna kehambaan diri kepada Allah s.w.t. dengan menunaikan ketaatan kepadaNya secara zahir mahupun batin.

Bertolak daripada itulah, akhirnya seseorang mula memahami bahawasanya, seluruh kehidupan ini, samada berkaitan dengan ketentuanNya mahupun penetapan hukum-hakamNya, merupakan penzahiran "interaksi" Tuhannya kepadanya. Seseorang hamba yang sentiasa menghadirkan rasa kehambaan diri kepadaNya dalam segenap tindakannya dalam kehidupannya, akan turut merasai kehadiran muamalah (interaksi) Tuhannya kepadanya melalui segala yang berlaku dalam kehidupannya.

Bermula dengan menunaikan ketetapan syariat dan hukum Allah s.w.t. dalam kehidupannya, maka penghayatan terhadap makna syariat yang dilaksanakannya dengan jiwa hamba mula bersinar dalam hatinya. Dia mula melihat hakikat di sebalik syariat dengan pandangan zauqi (perasaan rohani) kurniaan Ilahi. Dia mula menghayati bahawasanya, syariat ialah bukti kewujudan dan kehendak Tuhan yang menciptakan dan mentadbirnya dan seluruh alam ini.

Bertolak daripada itu juga, takkala dia menunaikan ketaatan batin (hati) kepada Tuhannya, dengan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, jujur, tawadhuk, istiqomah, sabar, syukur, redha dan sebagainya, maka dia mula mengenali hakikat ketentuan Allah s.w.t. dalam segenap kehidupannya.

Apabila dia ditimpa sesuatu yang berat terasa oleh nafsu dan dirinya, maka di situlah peranan seseorang hamba dalam menzahirkan kehambaannya kepadaNya dengan melahirkan sifat "sabar" terhadap ketentuanNya yang menimpanya tersebut. Dia juga menzahirkan rasa lemah di hadapan Allah s.w.t. dengan mengembalikan ketentuanNya kepadaNya, dengan mengadu masalah yang menimpanya kepada Allah s.w.t. yang mengujinya dengan ketentuan tersebut, dalam rangka semata-mata untuk menagih keredhaan dan bantuanNya.

Seseorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah s.w.t. dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan dirinya kepadaNya berbeza dengan seseorang yang mengadu kepada Allah s.w.t. akan masalahnya dalam bentuk membangkang ketentuanNya.

Adapun seorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah s.w.t. dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan diri kepadaNya, tujuannya hanyalah untuk menzahirkan hakikat diri yang "lemah" dan sentiasa memerlukan bantuanNya dalam menghadapi ketetapanNya, sedangkan orang yang merungut di hadapan Allah s.w.t. mengenai ketentuanNya ke atasnya bertujuan untuk menzahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap ketentuanNya yang tidak mengikut kehendak dan keinginan nafsu dirinya.

Mengadu dengan tujuan menzahirkan rasa lemah kepada Allah s.w.t. tidak mengandungi unsur mempertikaikan ketentuan Allah s.w.t., tetapi sekadar memohon rahmat dan bantuan Allah s.w.t. agar dia mampu menghadapi ketentuanNya dengan bantuanNya. Adapun orang yang merungut kepada Allah s.w.t. membawa maksud mempertikaikan ketentuan Allah s.w.t. dan terkadang boleh membawa kepada menyalahkan Allah s.w.t., seolah-olah dia lebih pandai dari Allah s.w.t.. Berbeza antara menzahirkan rasa lemah dengan menzahirkan kepandaian diri di hadapan Allah s.w.t..

Oleh kerana itu, Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli yang menghayati makna kehambaan ini mengungkapkan ungkapan penuh adab di hadapan Allah s.w.t. dengan berdoa (dalam hizb al-kabir):

"Wahai Tuhanku. Aku tidak memohon agar tertegahnya apa yang Engkau mahu tentukan ke atasku. Tetapi, aku memohon sokonganMu (kepadaku) dengan bantuanMu kepadaku dalam setiap ketentuanMu ke atasku"

Nilai kehambaan ini juga pernah diungkapkan oleh Saidina Rasulullah s.a.w. dalam doa Baginda s.a.w. ketika di Thaif dengan berdoa:

"Wahai Tuhanku, aku mengadu kepadaMu akan lemahnya diriku…".

Nilai-nilai mengadu dalam rangka meminta bantuan daripadaNya dan menzahirkan kelemahan diri dan keperluan kepadaNya merupakan antara nilai kehambaan yang tertinggi dalam diri seseorang hamba kepada Tuhannya.

Oleh yang demikian, hamba yang beradab dengan adab kehambaan tersebut mula menzahirkan rasa memerlukannya dan bersabar dalam rangka untuk membuktikan kehambaan diri kepadaNya dengan sentiasa mengharapkan bantuan daripadaNya.

Adapun takkala dia ditimpa sesuatu yang menyenangkan diri dan nafsunya, samada kesenangan dalam bentuk kebendaan, rezeki, jodoh dan sebagainya, maka dia akan menzahirkan rasa kesyukuran kepadaNya dengan mengembalikan segala kebaikan yang didapatinya kepada Allah s.w.t., bukan menyandarkan kebaikan tersebut kepada usaha dirinya sendiri.

Inilah nilai kehambaan yang agung dalam diri seseorang manusia, di mana dia sentiasa berasa menghargai setiap kebaikan dalam kehidupannya kerana menghayati bahawa semua kebaikan adalah daripada Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Pemurah.

Dengan rasa syukur tersebut, maka Allah s.w.t. menganugerahkan makrifatuLlah (mengenal Allah s.w.t.) kepadanya, dan menganungerahkan kefahaman tentang rahsia-rahsia muamalah Allah s.w.t. dalam segenap kehidupannya. Inilah kelebihan daripada sifat syukur yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. yang berfirman dengan maksud: "jika kamu bersyukur, Aku akan tambah buatmu akan nikmat"… Penambahan nikmat yang agung adalah, kefahaman tentang hakikat diri, hakikat kehidupan dan hakikat ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupannya seharian.

Hidup ini ialah tempat bemualamah secara beradab. Bagaimana seseorang ingin beradab dalam bermuamalah dengan Allah s.w.t. melalui kehidupannya, sedangkan dia tidak mengenal hakikat dirinya sebagai hamba Allah s.w.t. yang perlu beradab kepadaNya, tidak mengenali hakikat kehidupan yang merupakan tempat menzahirkan adab kepada Allah s.w.t. dalam berinteraksi kepadaNya dan tidak mengenali Allah s.w.t., Tuhan yang ingin menyempurnakan adab kehambaannya melalui kehidupannya?

Dalam hidup ini terkandung risalah-risalah Allah s.w.t. dalam segenap detik dalam kehidupan kita, jika hati kita sentiasa hadir dalam bermuamalah denganNya dengan adab kehambaan kepadaNya. Sabar dan syukur merupakan dua sayap utama bagi kerohanian seseorang hamba dalam menuju keredhaanNya. Setelah seseorang mencapai istiqomah dalam sabar dan syukur dalam segenap kehidpannya terhadap setiap ketentuanNya dengan bantuan Allah s.w.t., maka dia akan dianugerahkan rasa redha kepada Allah s.w.t. dalam setiap ketentuanNya.

Pada darjat "redha" inilah, seseorang manusia tidak lagi merasai beza antara ketentuan dengan ketentuan, tiada merasai susah ataupun senang, kerana hatinya sentiasa fokus kepada mencari keredhaan Allah s.w.t. di sebalik setiap ketentuanNya, dan menghadapi setiap ketentuanNya dengan pandangan redha kepada Allah s.w.t.. Sesungguhnya, redha kepada Allah s.w.t. ini merupakan darjat yang teragung yang dicapai oleh seseorang hamba Allah, kerana seseorang tidak akan meredhai Allah s.w.t. melainkan setelahmana Allah s.w.t. meredhainya dan berkehendak supaya dia juga meredhaiNya.

Kehidupan ini sebuah perjalanan dalam muamalah kehambaan seseorang hamba dengan Tuhannya. Nilai kehidupan adalah pada penghayatan seseorang terhadap makna kehambaan dirinya dalam kehidupannya, makna kehidupannya selaku hamba kepada Tuhannya dan makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupannya selaku hambaNya. Tanpa makna-makna tersebut, kehidupan tiada erti bagi seseorang manusia. Hidup tanpa "makna", yang tinggal hanyalah "makan". Makan, minum, tidur dan sebagainya, dalam rangka memenuhi nafsu di sekitar usianya yang semakin menuju kesudahan. Akhirnya, dia di sisi Allah s.w.t. bagaikan binatang, bahkan lebih sesat dan rendah daripada binatang, kerana tidak menghargai nilai kehidupannya sebagai manusia yang penuh dengan makna-makna yang mulia.

Masalah kemurungan, kesedihan, penderitaan dan rasa malang manusia sebenarnya bukanlah kerana gagal menanggung ketentuan Allah s.w.t., tetapi masalah-masalah tersebut kembali kepada "tidak memahami makna di sebalik ketentuanNya" lalu membawa kepada kegagalan dalam berinteraksi dengan ketentuanNya sebagaimana yang sepatutnya. Tanpa menghayati makna kehambaan diri, makna kehidupan yang merupakan medan menyempurnakan kehambaan dan makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupan, maka seseorang akan mencari kebahagiaan yang bukan sebenarnya suatu kebahagiaan, akhirnya dia terus menderita dan menderita dalam rangka untuk mencari kebahagiaan menurut persepsinya.

Kebahagiaan bukan pada kepuasan nafsu, tetapi pada terealisasinya kehambaan diri kepada Allah s.w.t.. Kekayaan itu ialah kekayaan jiwa, seperti yang diberitahu oleh Baginda s.a.w. yang mulia. Hidup ini bukan tempat setiap orang cari apa yang dia mahukan, tetapi hidup ini ialah tempat setiap orang menunaikan tujuan asal dirinya diciptakan. Kalau mahu terus mencari makna kebahagiaan selain makna yang diingini oleh Tuhan, maka setiap langkahmu dalam mencarinya adalah suatu penderitaan. Akhirnya, yang kamu himpunkan hanyalah penderitaan demi penderitaan.

Wallahu a'lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Qadir

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi

Persefahaman suami isteri pupuk rumah tangga bahagia

BANYAK kali penulis berkongsi rasa dengan isteri yang ditinggalkan suami, sering ditinggal suami dan akan ditinggal suami, penulis selalunya akan menasihati mereka supaya berubah, bersabar dan berdoa untuk kebahagiaan yang akan muncul juga akhirnya.

Insaf bahawa syurga dan neraka itu di bawah tapak kaki suami, kebanyakan mereka tidak menolak untuk menjadi lebih baik bagi suami. Jika mereka kekurangan, ada yang menyesal kerana buruk sangka, tidak kurang juga yang nekad untuk berpisah.

Yang paling membuatkan hati tersentuh ialah ada isteri merayu supaya tidak diceraikan suami sehinggakan sanggup menjadi orang gaji kepada isteri baru suami, semuanya demi zuriat yang mereka kongsi.

Hari ini banyak rumah tangga runtuh disebabkan pihak yang tidak mempunyai status dalam keluarga, bukan kerana suami, isteri mahupun anak, tetapi orang lain yang ingin merampas kebahagiaan sesebuah keluarga. Akibat tidak memahami poligami, sama ada suami mahupun isteri, maka mereka tidak mahu berkongsi kasih.

Apa yang berlaku, suami terpaksa membuat pilihan antara dua kerana cintakan nafsu, isteri yang sah dan anak ditinggalkan juga. Itulah yang menyedihkan, apabila ramai wanita teraniaya kerana berkahwin, sedangkan perkahwinan itu boleh menenangkan jiwa, mententeramkan hati dan memberi kedamaian batin kerana dapat hidup bersama dengan pasangan yang saling mengasihi, menyayangi dan saling melengkapi antara satu sama lain dengan penuh akrab.

Sudah tentu orang yang berakhlak baik tidak cuba memporak perandakan rumah tangga orang lain. Apatah lagi mendoakan perceraian, agar dapat mengahwini dengan bekas suami atau isteri orang. Rasulullah SAW melarang keras perbuatan itu melalui hadis Imam Bukhari dan Abu Hurairah: "Jangan kalian saling menipu dan jangan seseorang membeli barang yang akan dibeli saudaranya, jangan pula orang mukim membeli barang daripada orang kampung. Juga tidak pula seseorang melamar wanita yang sudah dilamar saudaranya. Seseorang wanita itu tidak boleh mengharapkan perceraian wanita lain dengan tujuan ia dapat menggantikan tempatnya."
Hari ini, kegagalan rumah tangga tidak menjadi aib kepada masyarakat, malah ada yang berbangga meruntuhkan `masjid` yang dibina. Hakikat ini mungkin kerana perceraian bukan lagi perkara luar biasa sebaliknya berlaku kepada sesiapa saja. Suami yang tidak beriman melafazkan talak dengan begitu mudah semata-mata kerana ingin berkahwin lain dan meninggal-kan segala masalah yang timbul sesudahnya.

Sekiranya ingin berpoligami seperti dituntut sunnah, perkara seperti ini tidak akan berlaku kerana antara tujuan poligami ialah untuk membantu wanita yang tiada perlindungan, lebih-lebih lagi perlindungan agama dan mereka ini pastinya dialu-alukan menjadi ahli keluarga yang sedia ada.

Sesebuah rumah tangga yang terbina dengan kasih sayang dan cinta antara suami dan isteri pastinya tidak akan tergugat andai ditimpa apa juga masalah pun. Kegagalan komunikasi yang memungkinkan keretakan perhubungan juga tidak akan timbul sekiranya suami tahu peranan sebagai seorang ketua dan pembimbing dalam rumah tangga.

Mana mungkin suami tidak bertegur sapa dengan isteri, sedangkan suara hati perlu diluahkan melalui senyuman dan kata-kata yang indah. Teguran dan nasihat yang baik juga perlu sentiasa disampaikan kepada isteri supaya bimbingan berterusan terlaksana seperti diperintahkan Allah SWT ke atas setiap suami.
Justeru, sekiranya suami dan isteri saling memahami peranan masing-masing seperti digariskan oleh agama, sudah pasti tiada masalah berlaku dalam rumah tangga, apatah lagi terjatuh cinta dengan orang lain sedangkan sudah ada pasangan yang halal didampingi.

Paling penting, jangan ada yang mengharapkan supaya rumah tangga yang dibina orang lain runtuh akhirnya kerana nafsu serakah yang jahat. Sebaiknya, doakan kerukunan rumah tangga sesiapa berpanjangan kerana sesungguhnya tiada tempat paling bahagia di dunia ini melainkan di dalamnya ada suami, isteri dan anak.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia


Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

Milikilah Sifat Malu

Zaman mutaakhir telah menampakkan kita akan banyak kepincangan perilaku, merosotnya akhlaq dan tersebarnya kemaksiatan. Sebahagian manusia telah hilang rasa malunya kepada orang lain. Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh telah ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat.

Malu adalah sebahagian daripada iman. Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim. Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam sendiri merupakan insan yang sangat pemalu. Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis yang di dalam pingitannya.
Pentingnya memiliki sifat malu. Kerana dengan perasaan malu yang terdapat pada diri, seseorang muslim akan mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang. Dia akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat. Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya. Dia akan malu untuk cuba-cuba sesuatu yang mungkar. Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya. Kerana malu telah menjadi perisai dirinya.

Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri rodhiyallohu ‘anhu Dia berkata: Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
“Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.” (HR Bukhari)
Ajaran para nabi sejak dulu hingga nabi terakhir, Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam ada sebahagiannya telah luput. Namun, malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang. Ini menunjukkan bahawa malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.

“Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan untuk manusia berbuat sesuka hati. Tetapi ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan. Maksud ayat tersebut juga adalah ingin memberitahu bahawa malu adalah perisai kepada diri seseorang. Tanpa malu, seseorang akan terdedah untuk melakukan kemaksiatan.
Pernah diriwayatkan bahawa terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya tentang malu. Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal. Kebetulan ketika itu Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua. Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam telah memberi pesan kepada orang yang memberi pesan kepada sahabatnya, dengan berkata: “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman.”

Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda tentang malu yang mafhumnya:
Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: “Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” (Shahih Muslim No.50)
Hadis riwayat Imran bin Husaini ra., ia berkata: Nabi saw. pernah bersabda: “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Shahih Muslim No.53)
Muslimin-muslimat sekalian,

Antara faktor kepincangan nilai di dalam masyarakat adalah hilangnya rasa malu dari dalam diri. Anak mula mengangkat suara dan kurang ajar terhadap ibubapa akibat sudah tidak malu. Pelajar mula tidak hormat kepada gurunya apabila sudah hilang malu. Lelaki mula melangkah ke tempat maksiat akibat hilang malu. Perempuan mula tidak sopan di khalayak ramai kerana hilangnya malu. Si gadis mula mempamerkan diri di khalayak ramai apabila malu mula luntur. Pasangan bercinta mula berjumpa dan bercanda kerana hilang malu. Orang ramai mula meminta jawatan kerana tiada malu. Masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis apabila malu mula hilang dari diri mereka. VIP mula bersuara untuk mempertahankan jawatan kerana ghaibnya malu. Pemerintah mula melakukan kezaliman juga akibat dari hilangnya rasa malu. Dan macam-macam lagi.

Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela. Sebab itu sifat malu penting untuk seseorang jaga dan pelihara. Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak-anak mereka agar tidak malu. “Just Do It” antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat. Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat akan kata-kata itu, namun ia perlu diperhalusi. Agar kaum muslimin tidak lari dari nilai agama yang diajar Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu. Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan. Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu. Sifat ini wajar kita contohi.

Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat jalan”. Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu. Letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya. Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu dan menyatakan kebenaran jangan pula malu menghalangi diri kita. Malu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas.
Mudah-mudahan ALLAH subhanahu wata’ala memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua, amin.

Sifat-sifat Pendakwah

Dakwah Islamiah pada mulanya adalah merupakan tugas para Rasul yang kemudiannya dilaksanakan oleh Alim Ulama'. Oleh yang demikian, bolehlah dikatakan bahawa kebahagiaan setiap umat sedikit sebanyak bergantung pada Alim Ulama'. Apabila mereka baik, maka baiklah manusia dan apabila mereka rosak nescaya rosaklah manusia. Ini bererti tanggungjawab Alim Ulama' amatlah besar, dan tugas mereka itu amatlah berat, lebih-lebih lagi kalau mereka menjadikan dakwah (tabligh) sebagai tugas khusus mereka.

Pendakwah mesti ada mempunyai sifat-sifat di antara lain seperti berikut :

1. Memahami maksud Al-Quran dan Al-Hadis.
2. Beramal dengan ilmunya.
3. Tahan marah (berlapang dada)
4. Berani, tidak takut kepada sesiapapun dalam menerangkan kebenaran. Celaan manusia tidak akan menghalangnya daripada menjalankan kewajipan.
5. Menjaga diri, tidak mahu kepada harta kepunyaan orang.
6. Berpada-pada dengan kesenangan dunia dan redha dengan harta yang halal walaupun sedikit.
7. Kuat, sihat dan fasih lidah.
8. Mengetahui perkara-perkara di bawah ini :
(a) Hal ehwal orang yang akan menerima dakwah iaitu tentang kesediaannya untuk menerima dakwah, persekitaran dan sosialnya.
(b) ilmu sejarah umum.
(C) Ilmu Psikologi.
(d) Ilmu Geografi.
(e) Ilmu Akhlak
(f) Mazhab-mazhab, aqidah yang betul dan mazhab-mazhab yang salah.
(g) Bahasa orang yang menerima dakwah.
(h) Ilmu kemasyarakatan (sosiologi) yang membincangkan perkembangan masyarakat manusia dan segala yang berkaitan dengannya.
9. Amat mempercayai kepada janji-janji Allah dan mempunyai harapan penuh untuk mendapat kejayaan biar pun usaha dakwah itu memerlukan usia yang lama dan memerlukan pengorbanan yang besar.
10.Tawadu' (merendah diri) dan menjauhkan diri daripada perkara
yang aib.
11.Tidak bakhil mengajarkan apa-apa ilmu yang diketahuinya. Tidak keberatan untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan faedah kepada orang lain.
12. Bersifat wakar dan tenang.
13.Tinggi hemat dan mulia diri. Tidak berpuashati dengan perkara-perkara besar yang belum sampai kepada kesempurnaannya dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara hina dan marah ketika disedari dirinya serba kekurangan pengetahuan atau bukti.
14. Sabar ketika menjalankan dakwah kerana Allah.
15. Bersikap Taqwa dan Amanah.

BERSIFAT WAKAR DAN AMANAH

Sifat wakar ada pada ;
(a) Orang yang tidak bercakap sesuatu yang sia-sia, sekiranya perlu bercakap dia akan hanya bercakap sekadar yang perlu sahaja.
(b) Orang yang menggunakan gerak-geri bagi menyatakan sesuatu maksud.
(c) Orang yang sedia mendengar segala pertanyaan dan berhati-hati ketika menjawab.
(d) Orang yang tidak gopoh dalam segala perkara.

Di samping itu sifat wakar ini juga dapat menggambarkan ciri-ciri ;
(a) Memelihara diri daripada senda-gurau yang tidak sopan.
(b) Tidak bergaul dengan orang yang suka bergurau dan menghindari majlis mereka.
(c) Menahan lidah daripada menyebut perkataan yang buruk.
(d) Tidak menunjuk-nunjuk diri tanpa sebab yang munasabah seperti duduk di jalan atau di pasar.
Sifat-sifat yang ditonjolkan begini menarik minat orang ramai kerana keperibadian dan akhlak serta kemuliaannya.


Sumber artikel : JAIS

Pengurusan kewangan Islam

PENGURUSAN dan perancangan adalah suatu yang amat mustahak dalam semua urusan kehidupan lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan harta atau kewangan. Kegagalan mengurus dan merancang sebenarnya seseorang itu mengurus dan merancang untuk kegagalan. Kegagalan merancang harta atau kewangan dengan bijak dikenal pasti antara punca mudahnya seseorang itu terperangkap dengan pelbagai masalah dalam kehidupan.
Seseorang yang mempunyai perancangan dalam menguruskan kewangannya akan memperoleh gambaran yang jelas tentang kedudukan kewangan terkininya, memberi hala tuju yang tepat mengenai matlamat kewangan yang ingin dicapai yang akhirnya akan membolehkan seseorang itu mencapai matlamat yang diharapkan secara lebih efektif.
Islam sebagai agama yang sempurna mengajar umatnya agar sentiasa mempunyai perancangan dalam menguruskan hal ehwal kehidupan mereka. Hal ini dapat dilihat menerusi al Quran dan sunnah. Antaranya firman Allah dalam surah Yusuf ayat 67.
Pengajaran daripada ayat di atas antara lain ia menyentuh tentang persoalan perancangan di mana Allah menjelaskan bahawa dalam menguruskan kehidupan jangan bergantung kepada satu pendekatan semata-mata tetapi perlulah mempelbagaikan pendekatan dan strategi. Dan setelah segala persiapan dan perancangan dilakukan maka hendaklah bertawakal kepada Allah.

Ayat 47-48 di dalam surah yang sama Allah menegaskan pentingnya perancangan sebelum menghadapi atau melakukan sesuatu malah perlu bijak dalam menguruskan kehidupan agar tidak susah di kemudian hari.
Di dalam ayat 9, surah al-Nisa' juga Allah tegaskan perkara yang sama bahawa perlunya mempunyai perancangan untuk masa depan keluarga dan hendaklah bijaksana dalam menguruskan harta/kewangan. Sebagaimana dalam surah al Hasyr ayat 18.
Ayat ini cukup jelas menyentuh tentang kepentingan perancangan dalam kehidupan, kerana masa depan bergantung kepada perancangan kita hari ini selain daripada ketentuan Allah.

Harta dalam Islam
Dalam Islam mengurus dan membelanjakan harta adalah antara amanah Allah. Ia adalah satu keperluan yang bertujuan mencapai kehidupan yang diberkati. Perspektif yang tepat terhadap harta akan memastikan seseorang itu mencapai bahagia di dunia dan di akhirat menerusi hartanya.

Harta mempunyai kedudukan yang sangat mulia di sisi Islam. Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana.
Dari kaca mata Islam, harta adalah alat untuk menjamin keselesaan hidup manusia di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Ia juga merupakan wasilah untuk mencapai takwa. Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji manusia itu sama ada bersyukur atau sebaliknya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 9.
Di samping mengajar manusia agar mempunyai perspektif yang jelas terhadap harta, Islam juga mengajar manusia agar mempunyai pandangan yang betul terhadap kehidupan. Hal ini penting bagi memastikan kehidupan mereka bermatlamat dan arah tuju yang jelas.

Islam menggariskan agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk membangun dan membina kehidupan yang bahagia dan harmoni. Ini dijelaskan dalam surah Hud ayat 61.
Islam juga menyeru agar menjadikan kehidupan ini dapat memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat".
Di dalam ajaran Islam, dunia adalah tempat sementara yang hanya sebagai jambatan untuk ke akhirat, dunia sebagai tempat bercucuk tanam dan akhiratlah tempat untuk menuainya. Walaupun dunia bersifat sementara, Islam dengan pelbagai kaedah dan pendekatan mengajar umat manusia supaya mempunyai status sosial dan ekonomi yang baik.

Oleh itu, Islam memerintahkan supaya harta dan kehidupan diuruskan dengan baik dan bijaksana. Jika sebaliknya ia akan menjadi faktor keruntuhan manusia dan kemurkaan Allah seperti dalam surah Saba' ayat 15 - 16 dan surah al-Nisaa' ayat 10 dan 161.
Konsep pengurusan harta
Secara umumnya ada lima aspek atau elemen utama pengurusan harta secara Islam. Pertama, Penghasilan Harta (Wealth Creation). Sebagai seorang Muslim yang sejati, Islam menggalakkan umatnya mencari harta dan tidak hanya pasrah pada qada' dan qadar seperti di dalam surah al-Juma'ah ayat 10.
Kedua, Pengumpulan Harta (Wealth Accumulation) atau dengan erti yang lain bermaksud pengembangan harta. Adalah tidak wajar jika harta yang kita ada disimpan begitu saja tanpa mengembangkannya. Pengembangan harta boleh dilakukan melalui simpanan dan pelaburan di institusi kewangan.

Malah Islam menggalakkan umatnya untuk membuat simpanan serta melaburkannya sebagaimana dalam surah Yussuf ayat 47-48.
Ketiga, Perlindungan Harta (Wealth Protection). Setiap manusia harus mempunyai matlamat dalam kehidupan dan pasti salah satu daripadanya ialah untuk dapat kehidupan yang selesa dan terjamin dari segi kewangan sepanjang hidup. Sebagai jaminan hidup di dunia ini selain mempunyai simpanan dan harta yang mencukupi, diri kita dan harta kita juga harus dijaga daripada sebarang musibah dan perkara-perkara yang tidak diingini.

Keempat, Pengagihan Harta (Wealth Distribution). Islam memperuntukan beberapa cara atau kaedah untuk pengagihan harta sebelum atau selepas mati. Antara instrumen perancangan harta adalah wakaf, wasiat, hibah dan sebagainya.
Kelima, Penyucian Harta (Wealth Cleansing). Sebagai seorang Muslim kita tidak sewenang-wenang membelanjakan atau mempergunakan mengikut kehendak dan hawa nafsu. Ini kerana setiap harta ada hak-hak yang tertentu untuk dibahagikan seperti berzakat dan amal jariah kita seperti sedekah. Ini terbukti dalam surah al-Baqarah ayat 195.

Pengurusan kewangan Islam
Pengurusan kewangan yang bijak itu adalah yang dapat mengimbangi perbelanjaan dan pengurusan hutang, pelaburan yang mengikut syariah dan pendapatan yang mendapat keberkatan. Perlu diingatkan bahawa merancang dan mengurus ini merupakan sunnah.
Dari sudut semasa, industri perancangan kewangan telah lama wujud di Malaysia tetapi bukan dalam bentuk satu disiplin profesional seperti yang ada sekarang. Diperakui oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) sejak tahun 2004 apabila SC menjadikan perancangan kewangan sebagai satu aktiviti yang memerlukan lesen.
Perancangan kewangan adalah satu aktiviti yang dikawalselia oleh undang-undang. Individu yang ingin menjadi "Perancang Kewangan Bertauliah" perlu mendapat lesen daripada SC (Jadual 2, Capital Markets and Services Act 2007).

Secara lebih mendalam, perancangan kewangan itu merujuk kepada 'Perancang Kewangan' sebagai "seseorang yang membuat analisis kedudukan kewangan individu lain dan mencadangkan perancangan pelan kewangan agar individu berkenaan mencapai matlamat dan objektif kewangannya." (Suruhanjaya Sekuriti).
Secara ringkas, perancangan kewangan Islam itu ialah "satu proses di mana matlamat kewangan keseluruhan individu digunakan untuk membangun dan melaksanakan pelan yang holistik untuk mencapai matlamatnya yang mematuhi syariah dan akhirnya mendapat keberkatan daripada Allah" (Mahadzir Ahmad, majalah VISI, Bilangan 95)

Perancangan kewangan yang didasarkan kepada Islam matlamat akhirnya menjadikan aspek kewangan sebagai satu wasilah mencapai hasanah di dunia dan di akhirat. Justeru, untuk memastikan matlamat ini dapat dicapai maka pelan perancangan perlu mengambil kira perbelanjaan untuk kemaslahatan sendiri seperti keperluan jasmani dan rohani, perbelanjaan untuk kemaslahatan orang lain seperti nafkah, sedekah dan juga perbelanjaan untuk kemaslahatan umum seperti membina masjid, hospital dan sebagainya.
Secara yang lebih sistematik perancangan kewangan dari perspektif Islam perlu mengambil kira komponen-komponen berikut; pengurusan kredit dan aliran tunai, pengurusan risiko dan perancangan takaful, perancangan pelaburan Islam, perancangan zakat dan cukai , perancangan persaraan dan perancangan harta pusaka dan wakaf.
Secara umumnya, ada dua aspek utama yang dititikberatkan oleh Islam dalam hal-hal yang bersangkutan dengan pengurusan harta, iaitu bagaimana harta itu diperoleh. Ia mestilah menerusi kaedah pemilikan yang sah dan jual beli, pelaburan secara Islam, hadiah dan sebagainya.

Aspek kedua adalah bagaimana harta itu dibelanjakan, sama ada untuk kebaikan ataupun untuk perkara-perkara yang dilarang Allah. Perkara ini dapat dilihat menerusi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak akan berganjak kedua-dua kaki anak adam pada hari kiamat sehingga ditanya tentang umurnya pada apa ia dihabiskan, tentang usia mudanya pada apa digunakan dan tentang hartanya dari mana ia diperoleh dan bagaimana ia dibelanjakan dan tentang ilmunya pada apa ia diamalkan?"
Oleh itu, aspek utama yang perlu diambil kira di dalam perancangan kewangan Islam adalah memperoleh keberkatan. Harta yang melimpah ruah tidak membawa apa-apa erti jika tidak ada padanya keberkatan, malah harta boleh menjadi fitnah, boleh menjadikan seseorang itu sentiasa berasa tidak cukup sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuklah rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Keberkatan
Sebaliknya, harta yang berkat walaupun sedikit akan membawa ketenangan dan memberikan kesan yang baik dalam segenap kehidupan.
Keberkatan bermaksud mendapat restu, keredaan atau rahmat dari Allah SWT. Bagi mendapat keberkatan dan rahmat tersebut, sewajarnya kita mematuhi serta mentaati setiap perintah Allah.
Namun keberkatan boleh hilang jika melakukan perkara yang menyalahi apa yang digariskan oleh Allah SWT seperti terlibat dengan riba dan melakukan dosa serta mengabaikan solat.
Kesimpulannya, untuk menikmati kehidupan yang selesa dan bahagia kita perlulah mempunyai perancangan kewangan yang sempurna.


Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

Kelebihan Bulan Zulhijjah 10 Hari Pertama

Bulan Zulhijjah merupakan bulan dimana umat islam disyariatkan untuk mengerjakan ibadah haji. Esok (18.11.09) merupakan permulaan kepada bulan Zulhijjah pada tahun ini. Kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah tidak banyak dibicarakan sepertima mana 10 hari terkhir Ramadhan, sedangkan kelebihan dan kemulian 10 hari Zulhijjah dan Hari Arafah telah digambarkan dalam Al-Quran dan Hadith. Mari kita fahami akan kelebihan bulan Zulhijjah dan berusaha untuk beramal dalam 10 hari pertama ini, supaya kita mendapat balasan syurga daripada Allah

Firman Allah dalam surah Al-Buruj, ayat 1-3

“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”

Ibnu kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan zulhijjah, beliau mengmbil pandnagan daripada Ibn Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan selainnya. Manakala yang ganjil itu ialah hari arafah.

Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:

"Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini - iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).”


Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,
“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Ibnu Hibban di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda,


“Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.


Manakala kelebihan hari Arafah (9 Zulhijjah) pula disebut oleh Rasulullah S.A.W ketika menafsirkan ayat ke-3 dari surah Al-Buruj

“Yang menyaksikan ialah hari arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat ” (Hadith riwayat Ahmad dan Baihaqi)


Didalam hadith lain pula, Sabda Baginda SAW lagi

“Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari Arafah” (Riwayat Muslim)


JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA
1. Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya :
Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya - terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi :
“Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.


Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih).


Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.


3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud :

“(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”,

Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya :
“Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.

Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]“. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
“(Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”.
Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi).

5. Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.

7. Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”

dan di dalam riwayat lain :

“Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.
Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya :

“(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”.

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.
________________________________________
diambil daripada: http://mufti.islam.gov.my/terengganu/?subid=14&parent=06