NAMA sebenar Ummu Ma'bad ialah Atikah binti Khalid bin Munqiz. Dia merupakan seorang saudara perempuan kepada seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Hubaisy bin Khalid.
Ummu Ma'bad ialah seorang wanita yang baik, murah hati dan pandai berkata-kata. Namanya mula terkenal apabila Nabi Muhammad singgah di rumah sebagai tetamunya.
Peristiwa itu bermula apabila Nabi Muhammad ingin berhijrah ke Madinah. Segala persiapan berhijrah telah disiapkan. Nabi Muhamad dan Abu Bakar telah memilih seorang lelaki yang pandai selok-belok jalan ke Madinah. Lelaki itu bernama Abdullah bin Uraiqith al-Laitsi.
Sementara itu, Abu Bakar pula menyediakan dua ekor binatang sebagai kenderaan mereka ke Madinah. Sebentar kemudian datang Asma binti Abu Bakar menemui ayahnya.
"Ayah, saya ada bawa makanan untuk ayah dan Nabi Muhammad. Makanlah makanan ini supaya lebih bertenaga," kata Asma sambil menghulurkan makanan itu kepada ayahnya.
"Terima kasih," ucap ayahnya.
Makanan yang dibawa oleh Asma itu diikat pada ikatan pinggangnya. Ikatan itu dibelah menjadi dua bahagian. Bermula pada hari itu Asma digelar wanita yang mempunyai dua ikat pinggang.
Cerdas dan pintar
Abu Bakar dan Nabi Muhammad segera memulakan perjalanan ke Madinah. Selain daripada mereka terdapat seorang hamba milik Abu Bakar yang bernama Amir bin Fuhairah di bawa bersama.
"Kita sudah semakin jauh. Elok kita berhenti berehat dahulu," kata Abu Bakar.
"Baik, saya setuju," jawab Nabi Muhammad.
Mereka berhenti di tempat yang mempunyai rumah. Di situ mereka berehat dan mendapatkan bekalan makanan dan minuman. Akhirnya mereka terjumpa sebuah rumah milik Ummu Ma'bad.
Beliau tinggal di padang pasir. Tempat itu terletak di sebuah desa yang berhampiran dengan kota Mekah. Tempat itu diberi nama Qudaid.
Ummu Ma'bad adalah seorang wanita yang baik. Dia juga seorang yang suka bersedekah. Ini terbukti apabila dia sering memberi makan dan minum kepada sesiapa yang singgah di rumahnya.
Pada tahun itu daerah tempat tinggal Ummu Ma'bad mengalami musim kemarau yang teruk. Penduduk di situ sudah tidak mempunyai bekalan makanan yang cukup. Mereka terpaksa menahan kelaparan.
Semasa di rumah Ummu Ma'bad, dengan izin Allah rombongan Nabi Muhmmad telah dapat minum susu kambing. Mereka sudah tidak lapar dan dahaga. Mereka kembali bertenaga. Ummu Ma'bad sempat masuk Islam sebelum Nabi Muhammad meninggalkan rumahnya.
Tiba-tiba datang sekumpulan orang kafir Quraisy melintasi rumah Ummu Ma'bad. Mereka adalah sekumpulan pemuda Quraisy yang telah diarah oleh pembesar kafir Quraisy untuk menangkap Nabi Muhammad.
"Saudari, kami ingin bertanya kepada awak. Adakah awak melihat dua orang lelaki dengan rombongannya melintasi kawasan rumah awak ini?" kata ketua pemuda Quraisy itu.
"Kami telah diarahkan oleh pembesar Quraisy Mekah untuk menangkap Nabi Muhammad dan rombongannya. Nabi Muhammad telah membuat kekacauan kepada kami," kata seorang pemuda Quraisy yang lain.
"Benarkah mereka ingin menangkap Nabi Muhammad. Saya mesti selamatkan Nabi Muhammad. Sekarang saya sudah menjadi orang Islam. Saya mesti bantu orang Islam daripada disiksa oleh kafir Quraisy," bisik Ummu Ma'bad sendirian.
Ummu Ma'bad dengan beraninya berkata kepada pemuda Quraisy itu, "Saya tidak melihat sesiapa pun yang melintasi kawasan rumah saya ini kecuali awak semua. Saya juga tidak pernah kenal dan dengar nama orang yang awak sebut-sebutkan tadi".
"Ke mana pula Nabi Muhammad dan rombongannya pergi? Ini adalah tempat yang patut dilaluinya sebelum dia lari ke Madinah. Tidak ada jalan lain lagi yang boleh dilaluinya," kata ketua pemuda Quraisy itu.
Kumpulan pemuda Quraisy menjadi bertambah bingung. Mereka tidak tahu kemana arah dan jalan yang digunakan oleh Nabi Muhammad dan rombongannya. Akhirnya mereka mencari rombongan Nabi Muhammad ke arah yang lain.
"Syukur alhamdulillah mereka tidak syak kepada saya. Saya adalah pengikut Nabi Muhammad," bisik Ummu Ma'bad sendirian.
Ummu Ma'bad seorang yang cerdas dan pintar. Beliau hidup sehingga zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab.
Sunday, 27 June 2010
Ummu Ma'bad pintar berfikir
Posted by amn077 at 17:31 0 comments
Sunday, 20 June 2010
Selamat Datang Rejab
Bulan yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang mencari kebajikan yang banyak. Sesungguhnya Allah menganugerahkan rahmat kepada hamba-hambaNya dalam bulan ini. Barangsiapa memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah memuliakan mereka dengan seribu kemuliaan. Gandingan 3 bulan (Rejab, Sya'aban dan Ramadhan) merupakan satu tempoh yang amat berkat. Setiap satu mempunyai keistimewaan tersendiri.
Kemuliaan Rejab kerana Israk Mikrajnya, Sya'aban dengan malam Nisfu Sya'aban dan Ramadhan dimuliakan dengan Lalilatul Qadr. Di antara rahmat Allah yang terbesar dikurniakan kepada hambaNya ialah dengan melipatgandakan pahala setiap amalan yang dilakukan dalam bulan ini. Di antara amalan pada waktu siang ialah puasa, solat sunat, tasbih, selawat, membaca al-Quran, istighfar, sedekah dan seumpamanya. Manakala waktu malam diisi dengan solat tahajud, solat sunat tasbih, zikir, tasbih, selawat, baca al-Quran dan istighfar. Sepanjang Rejab, Allah melipatgandakan pahala dan keampunan serta mengangkat darjat di dalam syurga.
Selain berpuasa, umat Islam digalakkan beristighfar. Bacalah doa istighfar Rejab yang banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab. Allah melimpahkan keampunan dan rahmat yang tidak diberi pada bulan-bulan lain. Amalan sedekah juga dibalas dengan ganjaran yang banyak. Dinukilkan bahawa barangsiapa bersedekah dalam bulan Rejab diberi ganjaran setiap sehelai bulu roma di tubuhnya dengan 1000 kebajikan, diangkat 1000 darjat dan dihapus 1000 kejahatan.
Sungguh banyak sekali keterangan ulama' mengenai ganjaran dan kebesaran Rejab. Yang lebih penting bukan setakat menghuraikan kelebihan, tetapi sejauh mana kita mengamalkan atau mengambil peluang dari tawaran Allah ini. Kalau Kompleks Membeli-belah mengadakan tawaran istimewa atau jualan murah, kita akan keluar berduyun-duyun seolah-olah berpesta untuk mendapatkan barangan yang ditawarkan. Tetapi adakah begitu respon kita apabila Allah membuka tawaran yang Maha Hebat ini. Satu tawaran yang tiada tolok bandingannya. Satu tawaran yang kekal abadi. Satu tawaran yang menjamin kebahagiaan di dua alam - dunia dan akhirat.
Realiti yang kita dapat lihat ialah tawaran Allah kurang mendapat tempat di hati kita. Hanya hati yang disinari dengan iman dapat menghargai tawaran Allah yang abadi ini. Manakala hati yang sudah terpaut dengan kebesaran dunia lebih terpikat dengan tawaran murahan yang bersifat sementara dan tidak kekal.
Di sinilah ujian untuk menilai keimanan kita terhadap perkara ghaib. Ganjaran syurga yang ditawarkan adalah perkara ghaib yang kita tidak nampak. Tetapi penuruan harga baju dari RM 90.00 ke RM 50.00 jelas dilihat. Oleh kerana kita lebih mengutamakan perkara yang nampak daripada yang ghaib, maka kita berusaha untuk memilih tawaran dunia. Tawaran Allah menjadi amat kecil sehingga tidak berdaya untuk kita laksanakan.
Jadilah fadhilat atau kelebihan Rejab yang kita baca atau dengar seolah-olah satu dongengan yang tidak bermakna dan tidak sikit pun memberi kesan di hati. Apabila sikap begini terserap di dalam hati, tidaklah mampu untuk merealisasikan sesuatu tindakan. Bahkan di dalam al-Quran, Allah menempelak golongan ini seolah-olah ada mata tetapi tidak dapat melihat, ada telinga tidak dapat mendengar dan ada otak tetapi tidak dapat memikirkan.
Allah Maha Melihat atas apa yang kita lakukan. Allah Maha Mendengar atas apa yang kita ucapkan. Allah Maha Tahu atas apa yang kita lintaskan di hati. Allah memberi ganjaran atau balasan berdasarkan sejauh mana kita berusaha menghampirkan diri kepada Allah. Jika kita bersungguh-sungguh beramal mencari keredhaan Allah, Allah akan memberi balasan setimpal dengan usaha yang disumbangkan. Sebaliknya jika di dunia kita tidak begitu ambil pusing akan urusan ibadat, maka sudah tentu Allah tidak akan mempedulikan perihal hidup kita di dunia dan akhirat.
Sebagai tanda Allah mengasihi seseorang, diberikan kesusahan atau bala. Bala adalah ujian untuk melihat sejauh mana kesabaran kita. Sekiranya kita bersabar atas segala kesusahan yang ditimpakan ke atas kita, Allah akan meningkatkan darjat kita. Manusia yang lemah imannya terhadap ujian Allah akan mudah menggelabah dan putus asa. Orang beriman sebenar sama sahaja sama ada diberi nikmat atau tidak. Diberi senang dia bersyukur, ditimpakan susah dia bersabar. Ada wang atau tak ada wang sama saja - kerana kesemuanya berpunca dari Allah.
Dalam konteks kelebihan Rejab ini, puasa adalah satu amalan yang benar-benar menguji kesabaran. Orang berpuasa diuji dengan susah, lapar, dahaga dan letih. Ini merupakan satu bala. Kejayaan mengatasi kesusahan ini demi menyahut seruan Allah merupakan satu peluang yang melayakkan kita menerima ganjaran yang disediakan; bak kata orang tua-tua 'bersusah-susah dulu - bersenang-senang kemudian'. Ini bermakna syarat untuk bersenang-senang di akhirat ialah dengan cara kita menempuh pelbagai kesukaran terlebih dahulu. Syurga adalah satu tempat yang amat istimewa di akhirat yang tidak akan dapat dicapai oleh mereka yang lebih mementingkan kesenangan dan hiburan di dunia ini.
Sebagai penutupnya, kita seharusnya memeriksa diri kita terlebih dahulu, sejauh mana kita memberi respons terhadap tawaran ukhrawiah? dan sejauh mana pula kita memberi respons terhadap tawaran keduniaan? Bandingkan kecenderungan atau kemahuan diri kita apabila berhadapan dengan kedua-dua tawaran ini. Yang mana lebih menggiur atau menyelerakan? Dari sini barulah kita tahu pendirian dan sikap kita. Tepuklah dada dan tanyalah iman. Hanya diri sendiri yang mengetahui rahsia peribadi. Bertolak dari sini, barulah kita dapat memperbetulkan halatuju yang perlu diambil untuk keselamatan diri kita di dunia dan akhirat.
Harapan kita biarlah kita untung dan bahagia di dunia dan akhirat. Sama-samalah kita berusaha ke arah memperbaiki hidup sepanjang Rejab ini supaya Allah menambahkan ketakwaan dan kekuatan kita untuk melakukan amal iibadat dalam bulan Sya'aban dan Ramadhan yang bakal menjelang. Semoga kita berpeluang berada dalam bulan yang paling mulia - Ramadhan dan akhirnya semoga kita sentiasa mendapat keredhaan Allah. AMIN!
Posted by amn077 at 08:21 0 comments
Saturday, 19 June 2010
Bersedekah untuk naungan di Hari Kiamat
SEORANG Muslim sentiasa khuatir akan nasibnya di hari kiamat kerana memikirkan umat manusia bakal dibangkitkan dan dikumpulkan di padang Mahsyar sedangkan matahari berada sangat dekat di kepala.
Bagaimanapun, umat Nabi Muhammad bertuah kerana Baginda sudah menjelaskan bagaimana untuk mendapat naungan di hari kiamat seterusnya berusaha melaksanakan apa yang patut demi kebahagiaan di akhirat nanti.
Antara keterangan Rasulullah ialah hadis menyatakan bahawa naungan orang beriman di hari kiamat sangat terkait dengan kebiasaannya mengeluarkan sedekah sewaktu hidupnya di dunia. Ketika di padang Mahsyar, setiap manusia menunggu giliran untuk diadili. Semua akan merasakan panasnya matahari di atas kepala namun bagi yang rajin bersedekah, bakal memperoleh naungan daripada matahari kerana sedekahnya itu.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap orang berada di bawah naungan sedekahnya (pada hari kiamat) hingga diputuskan di antara manusia atau ia berkata: “Ditetapkan hukuman di antara manusia.”
Yazid berkata: “Abul Khair tidak pernah melewati satu hari pun melainkan ia bersedekah padanya dengan sesuatu, walaupun hanya sepotong kuih atau bawang merah atau seperti ini.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi, Al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah)
Dalam hadis lain, Nabi Muhammad SAW dengan jelas menyatakan: “Naungan orang beriman di hari Kiamat adalah sedekahnya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Menyedari hakikat itu, rajin-rajinlah bersedekah supaya memperoleh naungan di hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah.
Ketahuilah dan janganlah sekali-kali kita memandang remeh pemberian diberikan. Sesungguhnya bukan banyaknya sedekah yang dikira, tetapi keikhlasan hati.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah kami meremehkan sedikitpun perbuatan makruf sekalipun kamu sekadar menemui saudaramu dengan wajah berseri.” (Hadis riwayat Muslim)
Suatu ketika, seorang sahabat pernah menyatakan kepada Rasulullah SAW bahawa seorang miskin berdiri di depan pintu rumahnya. Maka dia tidak menemukan sesuatu yang dapat di berikan kepada orang miskin itu.
Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang bermaksud: “Jika kamu tidak menemukan sesuatu yang dapat kamu berikan kepadanya selain kuku binatang yang dibakar, maka serahkanlah kepadanya di tangannya.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)
Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan serta sikap pengecut dan kebakhilan.” (Hadis riwayat Muslim)
Halaqah.net
Posted by amn077 at 18:37 0 comments
Kehidupan Nabi Yusuf dalam penjara
NABI Yusuf dipenjarakan bukan kerana mencuri atau membunuh tetapi kerana desakan isteri pembesar Mesir iaitu Zulaikha. Zulaikha mahu Nabi Yusuf dipenjarakan kerana ingin menutup malunya akibat cuba menggoda Nabi Yusuf.
Setelah itu, tinggallah Nabi Yusuf dalam penjara. Kehidupan baginda lebih tenang dan damai. Di sini hidup baginda tidak lagi diganggu oleh wanita-wanita yang selalu menggoda dan mendorongnya untuk melakukan kejahatan.
Tempoh hukuman penjara yang dikenakan ke atas Nabi Yusuf tidak ada seorang pun yang tahu. Semua itu ditentukan oleh pihak berkuasa negeri semata-mata.
Bagi Nabi Yusuf, hidup dalam penjara yang gelap dan sempit lebih baik kerana jiwanya tidak tertekan dan terhindar daripada segala godaan serta tipu daya yang akan menjerumuskannya ke lembah kemaksiatan.
Semasa dalam penjara, Nabi Yusuf dapat menyampaikan dakwah, memberi bimbingan dan nasihat kepada penghuni-penghuni yang lain agar mereka insaf serta tidak melakukan dosa lagi.
Harapan baginda hanya satu, agar orang yang telah melakukan dosa itu akan kembali ke pangkal jalan dan bertaubat dengan sesungguh hati. Bagi mereka yang dimasukkan ke penjara kerana kesilapan pemerintah, Nabi Yusuf telah menyarankan mereka supaya bersabar dan bertakwa kepada Allah supaya kesengsaraan mereka dapat diakhiri dengan cepat.
Pada hari yang sama Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara, terdapat dua pegawai istana yang masuk bersama-sama dengannya. Mereka telah berkenalan dengan Nabi Yusuf. Akhirnya mereka telah menjadi sahabat baik dan akrab dalam penjara.
Kedua-dua mereka terlalu sayang dan kasih kepada Nabi Yusuf. Lagipun baginda merupakan seorang yang sangat baik hati.
Pada suatu hari, dua orang sahabat ini telah berkata kepada baginda, "Wahai Yusuf, sesungguhnya kami amat kasih dan sayang kepada engkau".
Nabi Yusuf pun menjawab, "Moga Allah memberi berkat kepada kamu berdua. Lagipun dahulu orang yang menyayangiku akan selalu mendatangkan kecelakaan kepadaku.
"Dahulu saudara perempuanku amat sayang kepadaku, kemudian ia membawa padah terhadapku, kemudian ayahku pula menyayangiku dan ia mengundang sifat cemburu saudara-saudaraku yang lain," jelas Nabi Yusuf.
Kata baginda lagi: "Mereka telah mencampakkan aku ke dalam telaga. Kemudian aku dicintai pula oleh isteri pemerintah maka beginilah jadinya nasibku. Sesungguhnya aku amat bimbang sekiranya ada orang yang menyayangi dan menyintai diriku".
Walaupun Nabi Yusuf berkata begitu, tetapi dua orang sahabat ini masih menyayangi Nabi Yusuf dan berkata, "Meskipun demikian katamu, demi Allah, tidaklah kami sanggup membebaskan diri daripada menyayangi engkau".
Selepas itu mereka pun meneruskan persahabatan seperti biasa selama mana mereka masih tinggal dalam penjara itu.
Posted by amn077 at 18:35 0 comments
Azabnya seksa neraka
Allah SWT menyebut lagi tanda-tanda kekuasaannya dan semua penciptaannya menggambarkan betapa hebatnya kudrat Ilahi.
Justeru, dengan menghayati ayat-ayat al-Quran yang membabitkan hari balasan dan keajaiban penciptaannya akan menambahkan lagi keimanan kita.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan. Hari Jumaat adalah Hari Pembalasan sama ada baik atau tidak mengikut amalan keimanan seseorang.
Firman Allah SWT: Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke padang Mahsyar). Ini mengikut ketentuan Ilahi dan wajib kita imani dan yakin.
Firman Allah SWT: Dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas. Dan gunung-ganang setelah dihancurkan diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.
Syed Qutb berkata: Itulah keadaan yang amat dahsyat jelas dilihat pada revolusi alam buana seperti keadaan di Mahsyar selepas ditiup sangkakala. Itulah hari pengadilan yang telah ditentukan dengan hikmah dan tadbir Ilahi.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya neraka jahanam adalah disediakan. Ibn Jarir dan Ibn Mundhir meriwayatkan hadis daripada al-Hasan berkata: "Seseorang itu tidak dimasukkan ke dalam syurga sebelum melintasi neraka. Jika dia dapat melintasinya, maka dia akan selamat dan jika tidak dia tertahan di neraka.
Firman Allah SWT: Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum tuhan, sebagai tempat kembalinya.
Al-Maraghi berkata: Neraka merupakan tempat kembali orang yang melampaui batas, sombong dan tidak mahu mendengar ajakan yang membawa mereka kepada petunjuk Allah SWT dan cahaya kebenaran.
Firman Allah SWT: Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya. Ditafsirkan oleh al-Qurtubi: Kinayatun anit ta'bidd, sebagai kata ungkapan daripada kekekalan. Bila telah masuk, payah akan keluar lagi. Ibn Jarir berkata: Dan yang benar bahawa hal itu tidak ada akhirnya.
Firman Allah SWT: Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman. Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir.
Ibn Kathir berkata: Di neraka mereka tidak mendapatkan sesuatu yang dingin bagi mereka dan tidak juga mendapatkan minuman segar yang dapat mereka minum. Abul 'Aliyah berkata: Dikecualikan dari dingin adalah panas dan daripada minuman itu nanah.
Firman Allah SWT: Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk). Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal. Semua yang mereka alami berupa hukuman, sesuai dengan amal perbuatan mereka yang tidak benar yang mereka kerjakan semasa di dunia.
Demikian yang dikemukakan oleh Mujahid dan Qatadah. Al-Biqa'ie berkata: Untuk lebih menekankan sifat buruk mereka itu kerana biasanya manusia mengharap dan menginginkan sesuatu yang baik, walau kemungkinan terjadinya sangat kecil namun sikap mereka sebaliknya.
Firman Allah SWT: Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan kami.
Ibn Kathir berkata: Mereka berdusta semua hujah dan bukti-bukti Allah yang diturunkan kepada Rasul dengan penentangan.
Firman Allah SWT: Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis.
Al-Maraghi berkata: Di sebutkan dengan perkataan kitaban (tertulis) bukan ihsa'an (terhitung) kerana menulis itu adalah asas untuk menguatkan sesuatu yang diketahui.
Orang yang ingin menghimpun percakapan seseorang supaya tidak hilang sedikit pun, ia hendaklah dibantu dengan tulisan.
Di sini Allah SWT berfirman: Segala sesuatu telah Kami hitung dengan teliti dan memadai dengan suatu kepastian.
Firman Allah SWT: (setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain daripada menambah berbagai azab kepada kamu".
Hamka berkata: Setelah dimasukkan ke dalam neraka jahanam, janganlah berharap untuk dikurangkan azab bahkan ia akan terus bertambah dengan berlipat kali ganda secara terus menerus.
Penutup
Ayat-ayat yang dibincangkan ini jelas menunjukkan betapa dahsyatnya hari kiamat dan seterusnya menggambarkan sifat neraka Allah.
Seperti kata al-Maraghi: Disebabkan mereka tidak mahu bersiap sedia menunggu kedatangan hari perhitungan amal, mereka selalu melakukan perbuatan buruk dan maksiat serta mendustakan bukti-bukti yang dikemukakan Allah SWT untuk membenarkan Rasul-Nya.
Semoga kita menjadi golongan yang selamat daripada balasan seksaan. Amin.
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Posted by amn077 at 18:34 0 comments
Insan banyak berselawat paling rapat dengan Rasulullah di akhirat
DARIPADA Ubai bin Kaab, katanya: “Adalah Rasulullah pabila sampai satu pertiga malam, baginda pun bangun lalu bersabda, “ Wahai sekalian manusia ingatlah kamu semua kepada Allah, telah datang goncangan yang pertama (gegaran/tiupan pertama) diikuti peristiwa dahsyat, (golombang/tiupan kedua) telah datang maut dengan bermacam-macam kesengsaraan, telah datang mati dengan bermacam-macam bentuk kesusahan (ketika datangnya sakaratul maut). Aku berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya aku akan memperbanyakkan selawat ke atasmu, maka sebanyak manakah yang aku perlu berselawat ke atasmu?
Baginda menjawab: Seberapa banyak kamu kehendaki. Aku bertanya lagi: Satu perempat? Beliau menjawab: Seberapa banyak yang kamu kehendaki maka jika kamu tambah ia menjadi kebajikan (selamat) kepada kamu. Aku bertanya lagi: Bagaimana jika separuh? Baginda menjawab: Seberapa banyak yang kamu kehendaki, maka jika kamu tambah menjadi kebajikan kepada kamu. Aku bertanya lagi: Bagaimana jika dua pertiga? Baginda menjawab seberapa banyak yang kamu kehendaki, maka jika kamu tambah ia menjadi kebajikan kepada kamu. Aku bertanya lagi: Bagaimana jika aku jadikan sepenuhnya untuk berselawat kepadamu? Baginda menjawab: Oleh yang demikian segala kehendakmu akan dipenuhi dan diampuni segala dosamu.” (Hassan)
Rasulullah mengingatkan umatnya supaya sentiasa mengingati Allah sepanjang masa dan mengingati mati kerana kematian umpama kiamat kecil bagi setiap manusia yang hidup. Bahkan kematian akan datang pada bila-bila masa dalam pelbagai bentuk termasuk berlaku bencana. Malapetaka yang datang seperti gempa bumi, ombak besar (tsunami), tiupan angin kuat (puting beliung) dan sebagainya adalah ujian ditentukan Allah bagi menguji sejauh mana keimanan dan kesabaran setiap hamba-Nya.
Oleh itu, umat Islam hendaklah sentiasa beringat (jangan lalai dan alpa) dan sentiasa berzikir menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya di samping berselawat ke atas baginda Rasulullah sepanjang masa dan berdoa dijauhi daripada bahaya serta bencana menimpa.
Orang yang banyak berselawat adalah yang paling rapat dengan baginda di akhirat kelak di mana segala permohonan akan diperkenankan Allah di samping itu segala dosanya akan diampunkan dan sentiasa mendapat perlindungan daripada-Nya.
Sesungguhnya arahan Rasulullah supaya umatnya memperbanyakkan selawat juga disertai dengan suruhan tidak meninggalkan perintah agama serta menjauhi segala larangan-Nya.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).
Posted by amn077 at 18:34 0 comments
3 MAC 1924 : SEJARAH HITAM UMAT ISLAM
3 Mac 1924, tahukah anda apakah peristiwa penting yg berlaku pada tarikh keramat ini? Ianya merupakan titik hitam di dalam sejarah umat Islam yang tidak harus dilupakan oleh kaum Muslimin. Pada tarikh inilah umat Islam secara rasmi telah kehilangan perisai dan tonggak tempat mereka berlindung - Khilafah Islamiyyah. Khalifah yang terakhir, Sultan Abdul Majid telah diusir meninggalkan pusat pentadbiran Daulah Khilafah di Turki pada subuh hari tersebut hasil daripada persidangan Majlis Nasional yang diketuai oleh La’natullah Mustafa Kamal melalui konspirasi jahat kafir Barat. Konspirasi ini dapat dilihat dengan jelas daripada ungkapan Menteri Luar Inggeris, Lord Curzon berikutan runtuhnya Daulah Khilafah; “Persoalan utamanya adalah bahawa Turki telah dihancurkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatan spiritual mereka, iaitu Khilafah dan Islam” .
Pada hakikatnya, keruntuhan Daulah Khilafah bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Pertentangan antara dua peradaban ini (Islam dan Kufur) telahpun berlaku sejak awal Rasulullah diangkat sebagai Rasul lagi. Daulah Khilafah yang dirobohkan ini merupakan kesinambungan Negara Islam yang didirikan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam di Madinah selepas berlakunya peristiwa Hijrah. Khalifah Abu Bakar As Siddiq merupakan orang pertama yang memulakan diari Negara Khilafah diikuti oleh Khalifah ‘Umar Al Khattab, Khalifah Osman bin ‘Affan dan Khalifah Ali bin Abu Talib di mana zaman pemerintahan mereka dikenali juga sebagai era Khilafah Rasyidah. Selepas itu kekhilafah diteruskan oleh Bani Umaiyyah diikuti kekhilafahan Bani Abbasiyah dan terakhir, kekhilafahan Bani Uthmaniyyah yang semuanya berlarutan lebih 1300 tahun. Benarlah sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sepertimana yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hazim yang berkata:
“Aku telah mengikuti majlis Abu Hurairah selama lima tahun dan pernah aku mendengarnya menyampaikan hadits dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bersabda:
“Dahulu Bani Israil dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para nabi. Setiap kali seseorang nabi wafat, digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada nabi sesudahku. (Tetapi) nanti akan ada banyak khalifah.’ Para sahabat bertanya: ‘Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?’ Baginda menjawab: ‘Penuhilah bai’at yang pertama dan yang pertama itu sahaja. Berikanlah kepada mereka hak mereka, kerana Allah nanti akan menuntut pertanggungjawaban dari mereka tentang rakyat yang dibebankan urusannya kepada mereka”
Sepanjang tempoh tersebut Islam telah menjangkau dan meliputi 2/3 dunia (lihat rajah kawasan umat Islam pada abad ke 15) dari Timur ke Barat. Sehingga itu juga banyak kejayaan yang telah dicapai dan rahmat melimpah ke atas umat manusia sepertimana Firman Allah:
”Dan tidak kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam”
[TMQ al-Anbiya’ 21:107]
Malapetaka ketiadaan Khilafah
Kehinaan yang menimpa umat Islam secara bertali arus sehingga ke hari ini adalah merupakan kesan dari tiadanya kekuatan politik di dalam tubuh umat Islam – tiadanya sebuah kepimpinan umum umat Islam (Al-Khilafah) yang menerapkan hukum-hukum Islam di dalam Negara Islam dan menyebarkan Islam ke luar Negara melalui dakwah dan jihad. Malapetaka yang terus menerus menimpa kaum Muslimin merupakan rentetan dari tiadanya perlaksanaan ke atas perintah Allah secara menyeluruh. Dari firman Allah di atas, adalah merupakan suatu kepastian bahawa dengan terlaksananya hukum-hukum syara’ secara menyeluruh, alam ini pasti akan dipenuhi rahmat Allah.
Namun apa yang kita perhatikan hari ini adalah perintah dan larangan Allah hanya tinggal sebagai tulisan-tulisan di dalam kitab sebagai rujukan akademik dan bukannya sesuatu yang diterapkan sebagai penyelesaian bagi masalah umat manusia. Rentetan dari itu, masalah gejala sosial, murtad, seks bebas, Aids, dadah dan sebagainya kini menjadi lumrah dan keluhan di bibir umat. Hakikatnya, penyelesaian bagi semua masalah-masalah ini telahpun dijelaskan oleh Allah dan RasulNya dengan penyelesaian yang hakiki. Apa yang perlu dilakukan adalah menerapkannya secara menyeluruh.
Salah satu malapetaka yang cukup menyedihkan yang menimpa umat Islam akibat dari kelalaian umat dalam menerapkan hukum Allah secara menyeluruh adalah dari segi ekonomi. Lihat sahajalah di negeri-negeri umat Islam, hasil bumi mereka seperti petroleum, emas dan perak yang sepatutnya menjadi milik umat telah dimonopoli oleh kapitalis Barat dan juga menjadi milik peribadi penguasa mereka. Akibatnya, umat Islam hidup dengan penuh kemiskinan dan menagih simpati di bumi sendiri. Di Iraq, sebagai contoh, akibat dari ketamakan Barat, 120,000 orang terbunuh di sepanjang 2003-2005, 5 juta kehilangan nyawa akibat embargo, 5000 kanak-kanak meninggal setiap bulan dan 100,000 meninggal akibat radiasi nuklear [Perang Iraq-AS, COMES: 2003]. Dominasi ideologi kapitalis yang kufur pada hari bukan sahaja membawa pelbagai kesengsaraan kepada umat Islam, malah kepada lebih 60% umat manusia di dunia. Kemiskinan, kehinaan dan kesengsaraan termanifestasi di seluruh dunia. Di dalam dunia yang serba canggih ini, masih terdapat 1.214 billion orang miskin, 78% kanak-kanak kekurangan zat, 11 ribu kanak-kanak mati kelaparan setiap hari dan lebih dari 800 juta orang kelaparan di seluruh dunia di mana 70% di antara mereka adalah wanita dan anak-anak. [Shukor Rahman, World Food Program, New Staits of Malaysia Times, 2001]. Semua ini berlaku dalam keadaan 20% dari penduduk dunia menerima lebih dari 60% dari kekayaannya!!! [100 ways of seeing an unequal world – Bob Sutcliffe]. Di Malaysia sendiri, individu terkaya di negara ini memiliki harta melebihi RM 11 bilion sedangkan pendapatan per kapita rakyatnya hanya sekitar RM 1700; malah masih ramai lagi rakyat termiskin yang tidak dapat menampung perbelanjaan keluarga mereka. Dengan kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen baru-baru ini, sudah pasti bebanan rakyat akan bertambah dan bagi yang sudahpun berada di dalam keadaan yang sempit, mereka ini bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga...
Soalan yang pasti akan bermain di minda adalah kemanakah perginya segala kekayaan hasil bumi anugerah Allah yang menjadi milik umat Islam keseluruhannya? Kemanakah perginya kekayaan dari petroleum, gas, hasil balak dan lain-lain sumber asli yang begitu banyak dikurniakan Allah kepada kaum Muslimin?? Dalam dunia kapitalis hari ini, kekayaan yang sewajarnya menjadi milik umat, kini diraut oleh para kapitalis yang tidak pernah kenyang dari ketamakan mereka. Akibatnya merintihlah umat untuk mendapatkan bantuan perubatan, pendidikan dan keperluan asas kehidupannya kerana negara telah melepaskan tanggungjawab utamanya – menjaga urusan umat.
Dalam aspek pendidikan pula, cengkaman ideologi kapitalisme yang berasaskan aqidah sekular secara langsung memainkan peranan besar dalam perkembangan kurikulum di semua negeri umat Islam. Barat mengetahui bahawa dengan mengawal pemikiran umat melalui pengaruh yang mendasar ke atas kurikulum pendidikan, arah tuju umat dapat dialihkan kepada apa yang mereka inginkan. Realiti, dan bukan wahyu dijadikan sebagai sumber pemikiran. Akibatnya, realitilah yang menentukan jalan pemikiran dan bukannya berfungsi sebagai objek pemikiran. Akhirnya, akan lahirlah manusia yang pragmatik dan liberal – manusia yang langsung tidak merasa perlu untuk kembali kepada perintah Allah dalam menentukan mana yang baik dan mana yang buruk. Hari ini, dengan dominasi sistem pendidikan Barat, pengajian ilmu dan tsaqafah Islam menjadi sekadar proses pemindahan ilmu untuk ’dipelajari’ bukan untuk diterapkan dan diamalkan. Akhirnya agama diambil hanya dalam konteks hubungan makhluk dengan Tuhannya sahaja (’ibadah khusus), tidak lebih dari itu. Akibatnya lahirlah masyarakat sekular yang memegang aqidah Islam namun tidak mengambil Islam sebagai penyelesai bagi masalah-masalah kehidupan mereka. Mereka hidup semata-mata ingin meraih dunia tanpa komitmen yang kuat terhadap Islam. Mereka merasa cukup selesa meletakkan Islam hanya sebagai isu peribadi tanpa kesedaran bahawa mereka sebenarnya bertanggungjawab menerapkannya.
Malapetaka yang menimpa kaum Muslimin akibat dari tiadanya Islam dalam kehidupan juga dapat dilihat dalam aspek politik. Satu persatu negeri umat Islam dijajah secara ketenteraan; Iraq, Palestin dan Afghanistan merupakan contoh yang amat jelas. Manakala di negeri kafir umat Islam turut dibunuh dan dihina seperti di Thailand, Filiphina, Rusia serta Perancis. Di negeri-negeri lain, penguasa umat Islam tidak dapat memboloskan diri dari cengkaman negara ’super power’ AS seolah-olah akan berlaku bencana yang amat besar sekiranya telunjuknya tidak dipatuhi. Dalam keadaan ini, kaum kafir begitu bermaharajalela sehinggakan penghinaan ke atas Rasulullah melalui karikaturnya terus dipandang sepi oleh penguasa-penguasa umat Islam. Mereka (penguasa muslim) ini nampaknya sehingga hari ini tidak pernah mengambil pendirian yang tegas dalam menyelesaikan masalah tersebut. Dengan nada penuh kehinaan mereka hanya mampu menyeru kepada penyelesaian melalui dialog dan kompromi dengan kuffar, suatu yang mereka, kaum kafir, sambut dengan tangan terbuka. Dan pada waktu yang sama penguasa-penguasa ini menekan kebangkitan umat yang mahukan penyelesaian yang lebih tegas. Di manakah pendirian kita sebagai umat yang mulia?
Gambaran pemikiran umat Islam hari ini
Terdapat berbagai kelompok yang menyedari kegawatan permasalahan umat Islam kini. Namun usaha mereka masih belum dapat menyelesaikan masalah utama umat Islam malah menimbulkan banyak lagi masalah lain. Ini berlaku akibat dari kekeliruan mereka dalam menangani masalah tersebut. Kelompok yang ikhlas ini terlalu menumpukan tenaga mereka dalam menyelesaikan masalah cabang, namun, terlepas pandang masalah yang lebih mendasar. Contohnya, penyelesaian masalah murtad yang hangat suatu ketika dahulu. Dalam mempertahankan kedudukan mahkamah syariah mereka juga bertekad untuk mengekalkan perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang kononnya melindungi umat Islam padahal permasalahan yang lebih mendasar adalah kedudukan perlembagaan itu sendiri. Perlembagaan ini, pada hakikatnya tidak didasarkan kepada aqidah Islam dan merupakan ciptaan manusia sedangkan hak untuk membuat hukum itu hanya terletak di tangan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Oleh itu, isu yang menjadi dasar permasalahan yang sepatutnya diperhatikan adalah mengembalikan hukum Allah dalam aspek perundangan dan kenegaraan secara menyeluruh, bukannya berpuas hati dengan penyelesaian secara separuh-separuh.
Selain itu, natijah daripada diterapkannya sistem pendidikan sekular telah menimbulkan berbagai pemikiran yang rosak di dalam umat. Akibat dari acuan kekufuran yang telah ditanam di dalam pemikiran umat oleh sistem ini, mereka memandang nasionalisme, patriotisme dan demokrasi kapitalisme sebagai pemikiran yang benar dan mendarah daging di dalam tubuh mereka sehingga tidak kelihatan lagi pemikiran lain di dalamnya, apatah lagi pemikiran Islam. Malah ada yang menganggap bahawa kembali kepada Islam itu hanya memberi makna kembali ke zaman silam yang mundur. Tidak kurang juga yang melihat Islam sebagai pemikiran yang tidak lengkap dan uzur sehingga ia perlu diselaraskan, atau diubah, sekiranya perlu, agar selaras dengan perkembangan geo-politik dan sosio-ekonomi dunia. Inilah realiti pemikiran kaum Muslimin hari ini akibat dari penerapan ideologi kufur di tengah-tengah umat.
Kewajiban mendirikan Khilafah
Pada saat ini umat Islam adalah bagaikan anak ayam yang kehilangan ibunya; kehinaan menimpa mereka di mana-mana. Mereka berusaha mencari kemuliaan dengan berbagai-bagai cara namun masih belum lagi menemuinya. Hakikatnya, inilah permasalahan ’hidup dan mati’ yang dihadapi oleh umat hari ini. Satu-satunya penyelesaian yang tuntas adalah dengan menegakkan semula Khilafah. Benar, menegakkan Khilafah bukanlah semudah mengatakannnya. Untuk meraih kejayaan ini, umat haruslah bersungguh-sungguh berusaha untuk mencapainya melalui pengkajian, pembinaan dan perjuangan yang tidak kenal lelah. Usaha keras untuk mengembalikan Islam sebagai ideologi yang mendominasi dunia ini bukan sahaja merupakan satu-satunya jalan yang harus ditempuh oleh kaum Muslimin, malah, ia merupakan kewajiban setiap muslim untuk melakukannya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman;
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan pemimpin daripada kamu...”
[TMQ an-Nisa’ 4:59]
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda yang bermaksud;
”Siapa saja yang mati tanpa tanpa ada baiat (kepada imam/khalifah) di pundaknya, maka matinya adalah mati jahiliah” [HR Muslim].
Kedua-dua nas di atas menyatakan kewajiban setiap individu muslim untuk melantik (bai’at) pemimpin (Khalifah) yang akan menjaga urusan mereka. Namun kewajiban bai’at tersebut tidak akan terlaksana jika tidak ada orang yang hendak dibai’at. Oleh itu usaha untuk melantik atau mendirikan Khilafah itu sendiri menjadi pokok persoalan utama bagi memastikan tertegaknya Islam.
.
Realiti musibah demi musibah yang menimpa umat pada hari ini juga menunjukkan bahawa tidak ada cara lain yang lebih utama untuk mengembalikan kemuliaan umat yang terbaik ini selain dengan mendirikan semula Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah.
Sesungguhnya janji Allah dan Rasul dalam perkara ini adalah jelas sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis di bawah;
”Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Masa kenabian itu ada di tengah-tengah kalian, adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya masa kerajaan yang menggigit (Mulkan ’Adhan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Setelah itu, masa kerajaan yang menyombong (Mulkan Jabariyyan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam.”
[HR Ahmad dan Baihaqi dari Nuâman bin Basyir dari Hudzaifah]
Jalan untuk mendirikan semula Khilafah
Khilafah adalah bentuk sistem pemerintahan Islam seperti yang diamal dan dijalankan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mendirikan Khilafah bukanlah usaha yang berbentuk individu, namun, ia merupakan usaha yang berbentuk jamaah. Bagi memastikan bahawa jamaah ini bergerak di atas jalan yang benar, ia haruslah memiliki fikrah (pemikiran) dan tariqah (jalan/kaedah) yang jelas dan benar. Dan kebenaran hanya dapat diperoleh dari nas yang kuat. Dengan kejelasan dan kebenaran fikrah dan tariqah ini, jamaah tersebut akan dapat bergerak memimpin umat menegakkan semula Khilafah. Pada masa yang sama, setiap individu muslim haruslah berusaha bersungguh-sungguh, bersama dengan jamaah ini ke arah mengembalikan kehidupan Islam. Ini sesuai dengan kaedah syara’ yang berbunyi;
”Tidak sempurna sesuatu kewajiban melainkan dengannya maka ia menjadi wajib”
Menerapkan Islam secara menyeluruh merupakan suatu kewajiban. Ini tidak akan dapat dijalankan sepenuhnya tanpa kekuasaan dan Khilafah Islam merupakan satu-satunya bentuk kekuasaan yang sah di sisi syara’. Kini Khilafah tidak wujud. Mewujudkan Khilafah menjadi suatu kewajiban dan tanpa jamaah, kewajiban ini tidak akan dapat dijalankan. Dan selagi jamaah ini masih belum berjaya menegakkan Khilafah, maka di atas setiap pundak kaum Muslimin ada kewajiban untuk bersama-sama jamaah ini menegakkan Islam.
Jamaah ini haruslah berjuang dan beraktiviti sebagai sebuah parti politik, kerana aktiviti mendirikan negara, menguruskan negara dan menjaga urusan umat Islam adalah merupakan aktiviti politik. Syariat Islam tidak pula menetapkan bilangan jamaah yang harus ada bagi menjalankan aktiviti ini. Yang ditetapkan Islam adalah kewajiban mewujudkan jamaah untuk menyeru kepada Islam dan melakukan aktiviti amar ma’ruf dan nahi mungkar. Allah berfirman di dalam surah Al Imran ayat 104.
“Dan hendaklah ada daripada kamu satu umat (jamaah); mereka menyeru kepada kebaikan mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah perkara munkar dan mereka adalah orang-orang yang berjaya”
Wahai kaum muslimin,
Semenjak kejatuhan Daulah Khilafah pada 3hb Mac 1924, umat terus ditimpa musibah yang tidak putus-putus. Umat, meskipun berada dalam keadaan yang tertekan, terus berpecah-belah dan saling bertelagah. Namun keadaannya berbeza dengan kaum kuffar.
Mereka bersatu mempertahankan Denmark ketika negara tersebut diancam dengan pemulauan. Kata-kata Presiden EU baru-baru ini mempertahankan pendirian Denmark untuk tidak meminta maaf kepada kaum Muslimin menghidupkan semula memori Perang Salib. Apakah peristiwa penghinaan ke atas Rasul, kezaliman Yahudi dan pencerobohan mereka ke atas Qiblah-al-awwal, penghinaan ke atas Al-Quran, penyiksaan ke atas tahanan Islam di Teluk Guantanamo dan Penjara Abu Ghareeb serta banyak lagi penyeksaan ke atas kaum Muslimin masih belum cukup bagi kita untuk menyadari bahawa tiada penyelesaian lain bagi kaum Muslimin kecuali dengan menegakkan Negara Islam Khilafah? Semoga Allah menanamkan kesedaran ini kepada kaum Muslimin dan mempercepatkan berdirinya Daulah Khilafah. Marilah kita sama-sama berdoa agar 3hb Mac tahun ini merupakan hari peringatan terakhir bagi kaum Muslimin sebelum kemenangan gilang-gemilang dikurniakan Allah kepada umat yang mulia ini!. Amin.
www.iluvislam.com
Posted by amn077 at 18:33 0 comments
BAHAGIA MENGHADAPI UJIAN ALLAH
Dalam meniti arus kehidupan,manusia seringkali diuji oleh Allah s.w.t. Ada sahaja yang menimpa diri,sehingga kekadang dirasa sudah tidak tertahan dengan ujian yang dihadapi.Bukan sengaja merintih nasib diri tetapi dugaan yang bertimpa-timpa sedikit sebanyak menguji keimanan yang tidak sekuat mana pun.
Ya,manusia memang mudah merasa sengsara apabila diasak bertubi-tubi dengan ujian dariNya.Hinggakan terlupa suatu hakikat bahawa orang yang diuji oleh Allah itu adalah hamba-hambaNya yang Dia sayangi.Firman Allah dalam Surah Ali Imran:139 yang bermaksud,
“Dan janganlah kamu merasa lemah,dan jangan pula kamu bersedih hati,sebab kamu paling tinggi derajatnya,jika kamu orang yang beriman.”.
Justeru,mengapa memilih untuk berkeluh kesah dan menderita?Sedangkan kebahagiaan menanti dalam setiap ujian yang dihadapi.Tinggal lagi manusia yang harus mencarinya dengan hati yang tulus dan suci.Bagaimana?
1.Bergantung harap hanya pada Allah Rabbul ‘Alamin.
Allah yang mendatangkan ujian kepada manusia,jadi penawarnya juga ada padaNya.Manusia yang bertaqwa tidak akan membiarkan dirinya hanyut melayan perasaan sengsara,tetapi tetap bersyukur dengan ujian yang menimpa kerana dalam mengharunginya dia telah dianugerahkan ketabahan dan kesabaran.Maksud Firman Allah dalam Surah At-Taubah:129,
”Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia.Hanya kepadaNya aku bertawakkal,dan Dia adalah tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung.”
2.Mengimani dan meyakini qada’ dan qadar Allah.
Hanya Allah yang Maha Mengetahui segala yang terbaik untuk hambaNya.Kerana Dia adalah Khalik,Zat yang mencipta manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain.Allah telah menetapkan aturan terhadap manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain mengikut ilmuNya yang Maha Luas,itulah yang dipanggil sunnatullah.Segalanya mengikut qada’ dan qadarNya.Manusia yang bertaqwa akan meyakini segala ujian yang dihadapi adalah ketetapan untuknya dari Allah dan ada hikmah serta rahmat di sebaliknya.Firman Allah dalam Surah At-Talaq:3 yang bermaksud
“…Dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah,niscaya Allah akan mencukupkan urusannya.Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya.Sungguh,Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap sesuatu.”
3.Mengimpikan kebahagiaan yang abadi di dunia dan akhirat.
Kiasannya,langit tidak akan selalunya mendung pasti terbit jua sang mentari di ufuk timur.Allah pasti menyusulkan kemudahan di setiap kesusahan yang diberikan kepada hambaNya.Firman Allah dalam Surah Al-Insyirah:5 dan 6 yang barmaksud,
“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”
Manusia yang bertaqwa bukan sahaja menginginkan kebahagiaan di dunia yang sementara tetapi mendamba kebahagiaan hakiki di akhirat kelak.Lantas dia tidak mudah melatah dengan ujian yang dihadapi,kerana baginya itu satu peluang untuk memperoleh rahmat Allah di dunia dan akhirat.Firman Allah dalam Surah Az-Zumar:61 yang bermaksud,
“Dan Allah menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa kerana kemenangan mereka(pada hari kiamat).Mereka tidak disentuh oleh azab dan tidak bersedih hati.”
4.Menginsafi diri bahawa ada manusia yang lebih dhaif.
Setiap kali ditimpa dugaan,manusia pasti merasakan dialah yang paling menderita dan bernasib malang di dunia ini.Walhal ada yang lebih dhaif darinya tetapi tidak pernah mengeluh,tetap redha dengan aturan Allah kepadanya.Manusia yang bertaqwa akan memandang kepada orang yang lebih bawah setiap kali didatangkan dengan ujian dariNya kerana hanya dari situ dia melihat dirinya lebih baik dan beruntung.Dia juga menanamkan qana'ah dalam dirinya dan menzahirkan rasa syukurnya kepada Allah dengan sebaiknya.Firman Allah dalam Surah Ibrahim:7 yang bermaksud,
“Dan ingatlah ketika tuhanmu memaklumkan,”Sesungguhnya jika kamu bersyukur,nescaya Aku akan menambah nikmat kepadamu,tetapi jika kamu mengingkari nikmatKu,maka pasti azabKu amat berat.”
Secara tuntasnya,Allah menguji hambaNya bukan tujuanNya untuk menyeksa,tetapi itu adalah suatu rahmat dariNya.Dan kerana Allah menciptakan manusia untuk kehidupan di akhirat,lantas dunia ini hanya tempat untuk mencari perbekalan.Firman Allah dalam Surah Al-Mukminn:115 yang bermaksud,
“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main2 saja,dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”.
Justeru,hadapilah ujian dariNya dengan hati yang redha kerana pasti ada hikmat yang tersembunyi disebaliknya.Kerana semakin sayang Allah pada manusia,semakin dia diuji,namun dirawatnya dengan sebaik-baik penawar iaitu ketenangan pada hati.Wallahu’alam.
www.iLuvislam.com
Posted by amn077 at 18:32 0 comments
JANGAN KERANA KITA ISLAM TERFITNAH!
Maksud firman Allah SWT : " Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan dengan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk " an Nahl : 125
Kehadrat Dia pujian di lanjutkan, syukuri nikmat segala yang ada, Sang Pencipta itu tidak henti memberi, mengapa kita hamba hina mahu melupai, sudah hebat dan perkasa benarkah? Junjungan besar di akhir hayat masih lagi terkeluar 'ummati' dari bicaranya, mulia benarkah kita sehingga untuk berselawat sepatah dua pun susah? Selawat dan salam buat baginda. Muhammad Rasulullah.
Afwan, ku mulai dengan maaf kerana aku tahu setiap kali aku ber'aku', mungkin hemah bicaraku hilang sedikit, namun aku dengan lafaz insyaAllah, pedasku, kasarku, masih lagi aku yakini tidak terkeluar dari syari'atullah bicaraku ini, jika aku tersasar maka bangkitlah kamu dengan pedang-pedang mu datang mengingatkanku, silakan wahai sahabat.
Izinkan aku insan hina mula berbicara dan ku mulakan dengan kisah dialog Nabi Musa AS dengan kaumnya yang telah dirakamkan dalam firman Allah SWT yang maksudnya :
“ Wahai kaumku, bagaimanakah kamu, aku menyeru kamu kepada keselamatan tetapi kamu menyeru aku ke neraka. Kamu menyeru aku supaya kafir kepada Allah dan mempersekutukanNya dengan apa yang tidak aku ketahui padahal aku menyeru kamu beriman kepada Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. Sudah pasti bahawa apa yang kamu seru supaya aku beriman kepadanya tidak dapat memperkenankan seruan apa-apapun baik di dunia mahupun diakhirat. Dan sesungguhnya kita kembali kepada Allah dan sesungguhnya orang-orang yang melampaui batas, mereka itulah penghuni neraka. Kelak kamu akan ingat kepada apa yang ku katakan kepada kamu. Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba2Nya " al Mukmin - 41 : 44
Dengan kemelut dunia sekarang, aku tahu, bukan mudah berjalan di atas syaria'tullah, bukan senang menelusuri sunnatullah, kulihat jalannya berliku, hiruk pikuk dengan segala macam kesesatan, gejala-gelaja ma'asi, perlakuan-perlakuan mungkar, dan apa lagi yang semuanya secara pasti aku katakan ianya buruk di mata Addeenul Islam. Gejala terkutuk inilah yang kini senang ditelusuri oleh sekian ramai anak Adam, maka, sudah menjadi kebiasaan manusia, yang senang itu dipilih, yang payah itu dikesampingkan.
Aku tidak terlalu hairan melihatkan manusia-manusia yang hilang pedoman, tiada bekal ilmu, tidak mendapat nurture atau asuhan yang baik terperosok ke lembah yang bejat itu. Bahkan, untuk mereka ini, walaupun dilihat berjalan berpegangan tangan, aksi ringan-ringan, keluar dating, aku masih mampu mengucap nafas lega, aku masih lega kiranya mereka belum terlalu jauh menjunam meneroka lembah ma'asi. Aku telah katakan tadi, mereka ini tidak dilengkapi dengan ilmu yang cukup untuk memahami perlakuan mereka itu menyimpangi syari'atullah, maka para da'ie sekalian, ini tugasnya kalian yang punya ilmu untuk memahamkan, ayuh!...keluarkan singa-singa kamu!
Tetapi sahabat sekalian, fasa ini aku mungkin hilang hemahnya, hilang hemahku ini bukan kerana ammarah bissu' yang dikontrol syaitan, tetapi kerana sayangku kepada kalian. Wahai sahabat-sahabat yang berilmu sekalian, sahabat yang bijak pandai, para cendikiawan, ilmuan, agamawan dan entah apa lagi gelarannya. Oleh kerana tarbiyahmu sudah cukup untuk mematangkan, sudah cukup utk kamu membezakan yang mana haq yang mana batil, sudah khatam kamu soal fiqh, syariat dan sebagainya, maka aku ingatkan bahawa sekarang murka dan laknat Allah bersama kamu!!! Jangan melenting dulu!
Sabda Rasulullah SAW :
" Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing " HR : Muslim
Jika kalian bangga dengan ilmu yang kalian ada, jika kalian megah dengan pandangan org disekitar, jika kalian rasa dada kalian sudah cukup isinya, maka aku mahu tanya kalian, kenapa bongkak benar hati itu untuk melihat dengan jelas apa yang benar apa yang salah? Kenapa perlakuan yang menghampiri ma'asi itu yang kalian tayang2kan? Kenapa benda-benda yang pastinya boleh menimbulkan fitnah itu kalian mulakan?
Aku tanya kalian wahai si ilmuwan sekalian, kenapa hati menjadi buta hanya sekadar ingin beroleh sedikit keseronokan yang pastinya tidak kekal? Apa sudah bertukarkah status kalian dari si alim yang hebat menjadi si jahil yang sombong? Aku pasti, jika hati masih lagi diselimuti gelap pekat rasa bongkak, maka wacana aku ini kalian akan bangkul sampahkan, kalian akan mencari-cari hujah mengiakan kebejatan kalian, begitulah manusia, sentiasa mahu menang walaupun secara haqnya sudah tahu yang mana betul yang mana salah. Inilah perlakuan hati-hati kosong yang bongkak tidak mahu menerima kebenaran!!
Maka aku rayu, jika kalian mahu aku melutut di depan kalian pun aku sanggup, aku katakan ini Demi Allah aku sanggup! Asalkan kalian bisa menilai dan muhasabah kembali sehingga benar-benar mampu melihat kekhilafan yang telah dilakukan dgn mata hati!
Maksud firman Allah " Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka. Kerana itu berpalinglah kamu dari mereka dan berikanlah mereka pelajaran dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berkesan kepada jiwa mereka " an Nisa' : 63
Tidak aku bicara begini untuk mereka yang lain, ini bicaraku khas utk sahabat yang amat aku kasihi lillahita'ala, hikmah itu tidak semestinya lembut, juga tidak semestinya keras, bahkan ia bukan juga diantara lembut dan keras, hikmah adalah apabila kita menyesuaikan situasi dengan tujuan. Maka teguran ini aku kira sesuai untuk hati-hati ilmuwan yang mulai gelap, kerna aku pasti, kalian punya akal untuk berfikir.
Ingat wahai sahabat, dirimu menjadi cermin pada yang lain, menjadi ikutan dan tauladan, menjadi cahaya untuk kegelapan, maka jika kalian suka untuk mengakali syari'atullah, apa jadi pada mereka yang lain?? Kerana itulah, aku tidak mahu lagi berlemah lembut, kerna ini soal agama! Ini soalnya bagaimana mahu membawa keizzahan Islam ke puncak!
Jika tadi aku mampu lagi menarik nafas lega melihatkan pasangan kekasih yang dating sana sini, itu kerana sudah aku nyatakan mereka mungkin tidak punya kefahaman, akan tetapi kini aku bicara dengan para ilmuwan! aku bicara dengan yang punya kefahaman, maka biarpun sedikit perlakuannya, namun jika ia sudah cukup untuk menimbulkan fitnah maka ini tidak lagi mampu melegakan nafasku, bahkan aku mungkin kesesekan nafas! Ingat wahai sahabat, kelakuanmu walaupun sedikit, tetapi jika ia mampu membangkitkan fitnah, maka fitnah itu bukan sekadar jatuh di atas batu jemala kalian, tetapi kemuliaan Islam juga boleh tercalar akibat fitnah yang dimulakan kalian!
Apa kalian mahu menjadi pemula fitnah kepada Islam? kalian ingat Allah? Kalian ingat Rasulullah? Kalian ingat? Kalau lupa, usahlah baca lagi, lupakan saja!!! Aku berikan sedikit contoh sahaja, seorang wanita yang pakaiannya ketat, berseluar sendat, tidak bertudung, berjalan seiringan dengan seorang lelaki berabut ala-ala mohawk berpimpinan tangan, dengan satu lagi situasi iaitu seorang wanita yang bertudung litup, berjubah sopan, duduk di bawah pokok ditaman bunga berduaan dengan bukan muhrim, tidak pegang tangan pun, situasi mana lebih hebat fitnahnya pada Islam?
Kalian bijak pandai pasti mampu memberikan jawapan tepat! aku yakin!!! Rasanya tidak cukup apa yang aku wacanakan ini, namun harapnya bijak pandai sekalian mampu memahami, aku tidak totokkan kepada perlakuan apa, situasi apa, maka ianya tiada pengkhususan, ia terbuka untuk semuanya, bahkan untuk diriku sendiri juga. Apapun, aku mohon dengan sangat, agar kalian dapat memahami dengan jelas dan nyata pernyataanku yang satu ini!
" JANGAN KERANA KITA ISLAM TERFITNAH!!! "
Wallahu'alam...aku undur dulu.
Posted by amn077 at 18:32 0 comments
Kerajaan Khulafa Ar-Rasyidin
Pengenalan Ringkas Khulafah Ar-Rasyidin
Khalifah ialah orang yang memegang jawatan sebagai ketua negara Islam Tempoh pemerintahan Khulafah Ar-Rasyidin ialah lebih kurang 29 tahun(11-41 hijrah). Khulafah Ar-Rasyidin terdiri daripada:
i) Khalifah Abu Bakar al-Siddiq
ii) Khalifah Umar bin al-Khattab
iii) Khalifah Uthman bin Affan
iv) Khalifah Ali bin Abu Talib
Khalifah Abu Bakar
Nama: Abdullah bin Abi Qahafah
Keturunan: Bani Tamim
Gelaran: ‘As-Siddiq’ -mengakui kebenaran Rasulullah S.A.W dalam peristiwa Israk Mikraj Peribadi: Merupakan orang yang pertama memeluk islam Seorang yang jujur, pekerti baik, amanah Meninggal dunia: 23 Jamadilakhir tahun 23 Hijrah dan dimakamkan di Madinah berhampiran dengan makam Rasulullah S.A.W
Pelantikan: Rasulullah S.A.W tidak menetapkan seseorang sebagai pegganti selepas kewafatan baginda. Abu Bakar mencadangkan Umar Al-Khattab atau Ubaidah sebagai pengganti beliau selepasnya. Kedua-dua membantah lalu mereka berjabat tangan dengan Abu Bakar dan terus memberi bai’ah melantik Abu Bakar sebagai khalifah.
Sumbangan:
i)Berjaya mengatasi masalah perpecahan yang melanda masyarakat Islam selepas kewafatan Rasulullah.
ii)Mempertahankan Madinah daripada ancaman kuasa luar, iaitu kerajaan Parsi di sebelah timur dan kerajaan Rom Timur(Byzantine) di sebelah barat.
Khalifah Umar bin Al-Khattab
Nama: Umar bin al-Khattab bin Naufal
Tarikh lahir: 13 tahun selepas kelahiran Rasulullah S.A.W
Keturunan: Bani A’dy
Gelaran: ‘Al-Faruk’ pemisah antara hak dan batil. Memeluk islam pada tahun ke-6 selepas kerasulan Nabi Muhammad S.A.W
Meninggal dunia: Akhir bulan zulhijjah tahun 23 hijrah berusia 63 tahun setelah memerintah selama lebih kurang 10 tahun.
Pelantikan: Melalui wasiat yang dibuat oleh Abu Bakar bagi menggalakkan perpecahan umat. Wasiat ditulis oleh Usman bin Affan. Dipersetujui oleh seluruh umat Islam
Sumbangan:
i)Menubuhkan beberapa jabatan penting seperti Jabatan Tentera, Jabatan Polis, Jabatan Pencukaian dan Jabatan Perbendaharaan
ii)Mengembangkan pengajatan al-Quran
iii)Telah menyusun sistem ketenteraan
iv)Telah membina terusan dan tali air
v)Memperkenalkan pelbagai jenis cukai
Khalifah Uthman bin Affan
Nama: Uthman bin Affan
Tarikh lahir: 5 tahun selepas kelahiran Rasulullah
Keturunan: Bani Umaiyah
Peribadi: Dari kecil lagi terkenal dengan sifat mulia, lemah lembut, hartawan, dermawan, dan memiliki semangat jihad yang tinggi
Gelaran: ‘Zunnurain’ kerana mengahwini dua puteri Rasulullah S.A.W
Meninggal dunia: 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah ketika berumur 80 tahun kerana dibunuh pemberontak
Pelantikan: Semasa Khalifah Umar sakit, beliau mencadangkan 6 orang sebagai pergganti beliau iaitu Usman, Ali bi Abi Talib, Talha bin Ubaidiah, Zubair bin Awwam, Saad bin Abi Waqas dan Abdul Rahman bin Auf Tahlah, Zubair, Saad dan Abdul Rahman menarik diri daripada jawatan khalifah. Berdasarkan pendapat para sahabat dan orang ramai, Abdul Rahman bin Auf megisytiharkan Usman bin Affan sebagai khalifah.
Sumbangan:
i)Berjaya meluaskan wilayah Islam hingga ke Afghanistan, Samarland, Cyprus dan Tripoli ii)Mengukuhkan pertahanan negara dengan membina angkatan tentera laut Islam
iii)Telah mengisytiharkan sebuah naskah al-Quran yang dikenali dengan musyaf uthmani
iv)Telah membina jalan raya, jambatan dan rumah rehat
v)Memperkukuhkan peranan baitumal
Khalifah Ali bin Abi Talib
Nama: Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutalib bin Hasyim
Tarikh lahir: 10 tahun sebelum kerasulan Nabi Muhammad S.A.W
Peribadi: Bersifat berani, tegas dan menguasai pelbagai ilmu yang mendalam.Kanak-kanak yang pertama memeluk islam
Meninggal dunia: 40 hijrah setelah memerintah selama 5 tahun
Pelantikan: Menerima jawatan Khalifah atas desakan orang ramai bagi mententeramkan pergolakan akibat pembunuhan Usman bin Affan.
Sumbangan:
i)Banyak membantu menyelesaikan masalah yang berhubungan dengan masyarakat dan undang-undang Islam
ii)Berusaha mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara
iii)Membina markas tentera di Parsi dan sempadan Syria
iv)Mengembangkan sistem ekonomi negara
Kronologi Khulafa al-Rasyidin
632 M - Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Usamah mengetuai ekspedisi ke Syria. Kempen menentang Bani Tamim dan Musailimah.
633 M - Pengumpulan Al Quran bermula.
634 M - Kewafatan Saidina Abu Bakar. Saidina Umar Al-Khatab dilantik menjadi khalifah. Penaklukan Damsyik.
635 M - Penawanan Madain.
636 M - Penaklukan Syria, Mesopotamia, dan Palestin.
637 M - Mesir ditawan.
638 M - Penawanan Baitulmuqaddis oleh tentera Islam.
640 M - Kerajaan Islam Madinah mula membuat duit syiling Islam.
644 M - Saidina Umar mati syahid akibat dibunuh. Saidina Uthman Affan menjadi khalifah.
645 M - Kempen di Afrika Utara. Cyprus ditakluk.
646 M - Kempen menentang Byzantine.
647 M - Perang di laut menentang angkatan laut Byzantine. Empayar Parsi ditumpaskan.
648 M - Pemberontakan menentang pemerintahan Saidina Uthman.
656 M - Saidina Uthman wafat akibat dibunuh. Saidina Ali Abi Talib dilantik menjadi khalifah. Terjadinya Perang Jamal.
657 M - Saidina Ali memindahkan pusat pemerintahan daripada Madinah ke Kufah. Perang Siffin meletus.
659 M - Saidina Ali menawan kembali Hijaz dan Yaman daripada Muawiyah. Muawiyah mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah Damsyik.
661 M - Saidina Ali wafat. Tamatnya pemerintahan Khulafa al-Rasyidin. Muawiyah mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah.
Pesanan Editor
Lihatlah para sahabat Rasulullah saw yang berjuang bersunguh-sunguh demi agamaNya walau kekasih yang amat dicintai telah pergi meninggalkan mereka. Mata rantai dakwah yang diperjuangkan tidak akan pernah terhenti, maka adakah kita ingin menjadi penyambung mata rantai tersebut atau hanya menjadi mutiara yang tenggelam jauh ke dasar lautan,walau betapa cantik pun, tiada siapa yang akan mampu melihat atau menyentuhnya. Jadi ayuh sahabat yang dikasihi Allah swt sekalian, mari kita sambung mata rantai perjuangan ini, walau terpaksa berkorban harta dan jiwa.'Sebarkanlah dariku walau pun satu ayat.'
Posted by amn077 at 18:30 0 comments
Bandar Qalqilia Menjerit: Kami Penghuni Penjara Terbesar Dunia, Tiada Tempat Hidup dan Mati
Wilayah di utara kota Tebing Barat yang bernama Qalqilia, sejak beberapa tahun lalu telah dikelilingi oleh dinding yang tinggi. Sudah lebih dari 35 mil persegi tanah milik rakyat Palestin itu diambil secara paksa oleh pendudukan haram Israel. Kota yang pada awalnya luas itu kini tidak lagi cukup untuk menjadi tempat hidup, bahkan semakin menuju kepada kematian.
Di sana sudah tidak ada ruang lagi bagi kuburan. Qalqilia kini menjerit dan meminta tolong untuk diselamatkan sebelum kota itu runtuh.
Ketua Daerah Qalqilia menjelaskan bahawa masa depan kota tersebut sangat terancam. Qalqilia benar-benar dikepung seluruhnya. Kota ini terasing di belakang tembok pemisah dan sentiasa berada di bawah pengawasan pos pemeriksaan.
“Pada awalnya, kota ini masih nampak di peta meskipun kecil. Namun kini, luas kota Qalqilia semakin menyempit. Pembangunan rumah-rumah penduduk hanya diperbolehkan berdiri empat kilometer dari dinding pemisah. Sedangkan terdapat 50000 penduduk yang tinggal disini. Mereka semua bergerak bersama-sama dalam ruangan yang amat sempit ini.” ulasnya.
Sangat menyedihkan. Rasanya tidak ada kota di mana pun di dunia ini yang senasib seperti Qalqilia. Bahkan di sini orang mati pun tidak mempunyai tempat, kecuali jika membuka kuburan baru di atas kuburan yang lama di tapak perkuburan utama kota. “Kami tidak upaya lagi membuka kubur tambahan. Semua tanah telah dirancang melalui pelan induk yang diperuntukkan bagi bangunan penempatan.” tambah Ketua Daerah Qalqilia tersebut.
Sudah jelas menunjukkan tembok pemisah yang dibina oleh Yahudi Israel telah memberi kesan buruk kepada penduduk Qalqilia. Ketua Daerah Qalqilia tersebut berkata, “Apa pun yang kita katakan tentang kesan dinding apartheid1 ini, kita tidak dapat menutupi sebuah kenyataan bahawa daerah dan bandar ini telah menjadi penjara terbesar di dunia. Bayangkan, ada lebih dari lima puluh ribu warga yang bergerak di dalamnya dan saya sendiri terkejut melihat betapa dunia tidak mampu menghentikan kejahatan yang dilakukan terhadap warga kota kami setiap harinya. Ini adalah kehidupan di bawah tekanan, dan tidak ada seorang pun dapat bergerak tanpa pengawasan dari penjajah Israel. Ini adalah tragedi yang nyata bagi orang-orang yang hidup di antara empat dinding, tanpa diperbolehkan untuk memperluas wilayahnya.”
Tragedi Qalqilia ternyata belum mampu mengetuk banyak pihak terutama negara-negara besar untuk dapat memberikan tekanan terhadap Israel atas kejahatan kemanusiaan yang selalu dipertontonkan hari demi hari. Mungkin masih banyak lagi pihak yang belum mengetahui lebih dekat nasib penduduk yang hidup dalam himpitan dinding pemisah di mana mereka bahkan tidak memiliki tempat lagi untuk perkuburan. Atau mungkin bukan tidak mengetahui, melainkan tidak mahu mengetahui.
Glosari:
1 apartheid - merupakan perkataan dari Bahasa Afrika yang bermaksud 'pengasingan'
________________________________________
* Sumber: Haluan Palestin
Posted by amn077 at 18:29 0 comments
Jangan ragu kekuasaan Allah
Mukadimah
Surah ini dinamakan al-Naba' iaitu berita besar. Intipatinya berkaitan dengan kekuasaan Allah yang membangkitkan manusia dan gambaran syurga, nikmatnya serta neraka dan azabnya.
Ia banyak membincangkan hari kiamat dan kedudukan manusia yang baik serta yang jahat.
Firman Allah SWT: Tentang apakah mereka bertanya-tanya?
Ibn Abbas berkata: Sebab turun ayat ini kerana orang Quraisy sering berbincang berkenaan al-Quran yang diturunkan sehingga berlaku perdebatan antara mereka.
Ada yang membenar dan mendustakannya. Berita besar dalam ayat ini bermaksud kebangkitan Rasulullah SAW, begitu juga Hari Kebangkitan.
Firman Allah SWT: Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya). Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya. Berita besar sama ada al-Quran seperti kata Mujahid, Muqatil dan al-Farra' atau hari kebangkitan seperti kata Qatadah. Sedangkan pendapat al-Zajjaj berkenaan Nabi SAW.
Kekhilafan mereka daripada apa yang mereka dengar atau kerana orang Islam dan orang musyrikin berkhilaf seperti kata Yahya bin Sallam.
Firman Allah SWT: Jangan! (janganlah mereka bersikap demikian!) mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu). Sekali lagi jangan! (janganlah mereka berselisihan!) mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka).
Ayat ini adalah balasan pembohongan mereka yang pasti terdedah dengan balasan janji buruk.
Firman Allah SWT: (Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang Yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Ini bertujuan sebagai tempat tinggal dan menggunakan segala nikmat kemakmurannya sama ada yang zahir mahupun yang batin.
Firman Allah SWT: Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? Bertujuan supaya ia tidak bergoncang.
Sheikh al-Maraghi berkata: Andai kata tidak ada gunung sebagai pasaknya, nescaya bumi selalu bergoncang, lantaran di perutnya terdapat bahan-bahan yang mendidih sehingga tidak ada hikmahnya sama sekali ia dihamparkan.
Dalam tafsir al-Muntakhab menyebut: Lapisan padat kerak bumi dapat mencapai ketebalan sekitar 60 kilometer. Lapisan itu dapat meninggi, sehingga membentuk gunung-ganang atau menurun menjadi dasar lautan dan samudera.
Keadaan seperti ini menimbulkan keseimbangan akibat tekanan yang dihasilkan oleh gunung tersebut. Keseimbangan ini tidak mengalami kerosakan kecuali jika ia musnah.
Lapisan kerak bumi yang basah akan dikuatkan oleh gunung tersebut. Lapisan kerak bumi yang basah akan dikuatkan oleh gunung-gunung, persis pasak menguatkan lemah.
Firman Allah SWT: Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?
Syed Qutub berkata: Semua manusia dapat memahami gejala ini dan dapat merasakan di sebaliknya kerehatan, kelazatan, kenikmatan dan kepulihan tenaga tanpa memerlukan ilmu pengetahuan yang banyak.
Firman Allah SWT: Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? Ini kerana ia dapat membahagikan kekuatan, kecerdasan dan potensi dan tenaga dalam meneruskan kehidupan.
Firman Allah SWT: Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Ibn Jarir al-Tabari berkata: Gelap malam itu meliputi seluruh diri kamu sehingga kamu bertelanjang, namun kegelapan malam itu menjadi ganti dari pakaianmu.
Ibn Jubair dan al-Suddi berkata: Ketenangan diri kerana nyenyaknya tidur untuk membangkitkan tenaga baru pada keesokan harinya.
Firman Allah SWT: Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki? Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh?
Ayat ini menjelaskan berkenaan keperluan mencari nafkah dalam melangsungkan kehidupan. Seterusnya dinyatakan kekuasaan Tuhan yang menciptakan tujuh petala langit yang kukuh dan kuat.
Syed Qutub berkata: Ia diikat dengan satu kuasa yang menahannya daripada pecah dan bengkok.
Firman Allah SWT: Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya? Ini bertujuan memberi kehidupan manusia dengan pancaran matahari.
Sheikh al-Maraghi berkata: Kepanasan dan sinaran dapat menyembuhkan penyakit dan memberi daya kehidupan.
Firman Allah SWT: Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?
Syed Qutub berkata: Keselarasan dan keserasian dalam mengaturkan pelan-pelan alam ini tentulah tidak mungkin berlaku melainkan ada kuasa yang mengatur dan menyelaraskannya, kebijaksanaan yang merancangkannya dan ada iradat yang mentadbirkannya.
Hakikat ini dapat difaham oleh manusia apabila ia menumpukan sepenuh perasaannya ke arah ini. Jika ilmu pengetahuan manusia bertambah tinggi akan terbukalah rahsia keselarasan yang amat luas lagi menakjubkan akal fikirannya.
Penutup
Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas menunjukkan isu kebangkitan hari kiamat menjadi pertelingkahan dan Allah menunjukkan bukti dan dalil atas kekuasaannya.
Semoga kita meyakini dan beriman dengan segala rukun iman. Amin.
www.Halaqah.net
Posted by amn077 at 18:28 0 comments
Panduan Memilih Isteri
"Yang paling kukuh keimanan ialah berkawan kerana Allah, bermusuhan kerana Allah, cinta kerana Allah dan membenci kerana Allah." (Hadis Riwayat Tabarani dari Ibnu Abbas r.a)
Mengapakah teruna memilih gadis jelita? Kata orang, gadis seperti ini menyejukkan serta menggembirakan hati. Betulkah begitu?
Gadis itu pada asasnya bererti wanita yang belum bernikah. Walaupun begitu, perkataan ‘gadis’ juga digunakan bagi menggambarkan kesucian seseorang wanita. Wanita yang sudah ternoda sebelum berkahwin digelar ‘sudah tiada gadis’ atau ’sudah tiada dara’. Umumnya, pengertian pertama iaitu wanita yang belum bernikah digunakan secara formal sedangkan yang kedua itu adalah gelaran yang diberikan secara berbisik-bisik.
Alam gadis merupakan alam yang paling manis bagi seseorang wanita. Semasa inilah seseorang wanita itu akan mencapai tahap mekarnya dan keayuannya. Pada masa inilah wanita itu mula dipanggil ‘bergetah’ jika kita hendak meminjam bidalan Soekarno. Bila dipandang, banyak hati lelaki akan tergoda. Ada gadis yang ‘boleh tahan’ dan ada gadis yang ‘tak boleh tahan’. Gadis yang ‘boleh tahan’ biasanya dianggap manis tapi tidaklah jelita. Yang ‘tak boleh tahan’ pula adalah gadis yang sungguh cantik menawan. Ramai lelaki yang tergoda kepada gadis ‘tak boleh tahan’ ini apatah lagi jika gadis itu sendiri pandai pula menggoda dan mempermainkan perasaan lelaki.
Tidak dapat dinafikan bahawa lelaki teruna sememangnya tertarik pada rupa dan bentuk fizikal gadis. Itulah yang menjadi asas mengapa mereka lebih memberi perhatian. Ada orang berpendapat bahawa gadis yang cantik lebih beruntung kerana lelaki melayaninya dengan lebih baik, mesra dan lemah-lembut.
Janganlah sekali-kali seorang lelaki berduaan saja dengan seorang wanita, melainkan dengan didampingi seorang muhrim. - Hadis Rasulullah riwayat Bukhari dari Ibnu Abbas r.a.
Biasanya teruna akan terpikat dan terpesona dengan kecantikan si gadis dahulu, kemudian barulah si teruna menyelidiki perangai si gadis. Ini menyebabkan ramai lelaki terperangkap, menyesal atau menderita, terutamanya bila sudah terlanjur dan tidak boleh berundur lagi sedangkan baru tahu bahawa si gadis itu teruk perangainya atau sudah ternoda.
Walaupun ‘mata yang belum berisi pengalaman’ itu tertarik pada rupa yang cantik, sebenarnya jodoh bagi hati adalah hati juga, bukannya rupa. Maksudnya pada akhirnya gadis yang hatinya paling suci sesuci hatinyalah yang dipilih oleh teruna untuk dikahwini.
Berikut adalah petua-petua sekiranya anda ingin memilih gadis jelita menjadi isteri anda:
Elakkan Dari Berkawan Dengannya
Dengan merapati dan berkawan dengan si gadis, kecantikan hati ini sebenarnya sukar untuk dinilai oleh lelaki. Selalunya yang dilihat semuanya ‘baik, sopan dan elok’ apatah lagi pada masa itu sang teruna sedang mahu, dia hanya nampak yang elok. Si gadis pula mungkin hanya berpura-pura jadi baik dan sopan untuk memikat teruna. Itulah sebabnya ada yang membidalkan bahawa:
‘Yang bercahaya tidak semestinya emas’ dan ‘Yang cantik tidaklah semestinya permata’. Maka elakkan dari berkawan dengannya untuk mengelakkan anda dari terpesona dan terpedaya. Di atas kejelitaan yang tiada tara bergantunganlah kehancuran yang tiada tara. (Bidalan ltali).
Lakukan Risikan Secara Rahsia
Kecantikan hati biasanya boleh dinilai oleh pengamatan rahsia si teruna bersama keluarga teruna terhadap si gadis. Risikan rahsia ini adalah untuk mengetahui bagaimanakah tingkahlaku si gadis itu bila dia berada bersama keluarganya sendiri. Adakah si gadis dari jenis yang suka berjalan, bergaul bebas, atau suka menolong ibunya memasak, rajin berkemas dan taat dalam beribadat akan dapat ditentukan dengan lebih jelas.
Pihak teruna juga boleh mengetahui perihal moral si gadis dengan menyelidiki ke manakah si gadis itu suka pergi di hujung minggu atau di masa lapangnya. Jika dia gemar pergi ke tempat yang kurang baik, besar kemungkinan dia mempunyai sifat-sifat yang kurang baik pula.
Kejelitaan dan kegembiraan tidak akan bersatu lama. -Goethe
Walaupun pada asasnya cara menyelidik begitu, atau dipanggil ‘merisik’ ini tidak begitu disukai oleh si gadis sendiri, ia adalah jalan yang dianggap lebih baik dari cara berkawan dengan si gadis, membawanya ke mana suka, dan ‘menyelidik’ dengan bertanya pada gadis itu atau hasil memperhatikan tingkah lakunya di depan mata.
Cari Yang Duduk Bersama lbu bapa
Sebenarnya alam gadis terdedah kepada pelbagai gejala yang tidak begitu menyenangkan. Terdapat lebih banyak unsur negatif dari yang positif di luar rumah, malah, bagi sesetengah keluarga ianya berlaku dalam rumah sendiri. Si gadis, yang masih dalam peringkat belajar hidup mudah terpengaruh kepada unsur-unsur negatif yang boleh merosakkan kesuciannya serta kebaikan perangainya. Ini kerana unsur-unsur negatif biasanya memberikan keseronokan dan nikmat tetapi kenikmatan ini berakhir sebentar saja disusuli pula oleh sesalan dan kemuraman mungkin seumur hidup.
Wanita jelita tidak bernasib baik dan teruna yang bijak tidak cantik. - Bidalan Cina
Cari Yang Pandai Mengurus Rumahtangga
Pada zaman sekarang, masa remaja si gadis bererti masa sebagai pelajar sekolah menengah, pra-universiti dan pusat pengajian tinggi. Bagi gadis-gadis ini, masa untuk mereka belajar menjadi ‘wanita’ dari ibu adalah amat terhad, jika ada, praktikannya hanya dalam jangkamasa pendek. Kesempatan untuk berada di dapur amatlah terhad pada hujung minggu serta semasa cuti. Akibatnya, semakin ramai gadis yang berorientasikan kerja makan gaji dan tidak berorientasikan mengurus rumahtangga.
Cari Yang Hormat Kepada Orang Tua
Selidiklah apakah dia gadis yang tahu menghormati orang tua. Ini penting kerana dia nanti akan bersua, bertandang ataupun duduk bersama ibu bapa anda. Walau betapa cantik pun dia, jika dia tidak menghormati ibu dan bapa mertuanya, dia akan menyebabkan anda menjadi serba-salah dalam menangani kehidupan anda.
Kejelitaan wanita, gema hutan dan pelangi, akan wujud sebentar saja. - Bidalan Jerman
Cari Yang Pandai Menjaga Kehormatan
Hal ini juga dapat diperhatikan di kalangan gadis-gadis yang tidak begitu berjaya dalam pelajaran. Lebih ramai yang suka bekerja makan gaji dari membantu lbu di rumah atas alasan meringankan beban keluarga. Bagi gadis yang mudah ‘lupa’ masa inilah mereka akan jadi rosak. Mereka akan keluar dengan lelaki tanpa segan silu, mula memakai pakaian yang ketat dan menjolok mata serta belajar berbagai cara dari rakan sebaya untuk memikat lelaki. lbubapa yang tidak mengawasi gerak-geri anak gadisnya mungkin akan menyebabkan gadis itu menjadi gadis murahan.
Cari Yang Tidak Bebas Dengan Lelaki
Pada zaman dahulu, ada ibu bapa yang sengaja tidak menghantar anak perempuannya ke sekolah. Takut nanti jadi perempuan jahat akibat dapat bergaul dengan lelaki secara bebas. Bila zaman semakin moden, pemikiran cara ini dianggap sudah usang.
Ramai pula menganggap adalah lebih baik bagi wanita bersekolah asalkan saja di sekolah dia dilengkapi dengan input tatasusila dan adat apatah lagi agama.
Wahai si jelita jangan banggakan wajahmu, ianya hanya tamu yang akan berundang beberapa hari saja.- Bidalan Hindustan
Cari Yang Didikan Agamanya Cukup
Beredarnya zaman perlu mengambil kira faktor sekeliling si gadis. Jelas pada kita bahawa cara hidup gadis sekarang sudah jauh berbeza berbanding gadis satu atau dua dekad silam. Namun, dari sudut nalurinya adalah sama saja. Zaman gadis adalah zaman mencari identiti dan cuba mengekalkan identiti itu. Jika terdedah dia kepada yang buruk maka buruklah jadinya. Walaupun begitu, gadis yang mendapat didikan yang baik besar kemungkinan akan menjadi wanita yang berguna kepada negara dan agama malah boleh menjadi contoh teladan sama ada kepada wanita mahupun lelaki.
Kadangkala lebih baik wanita buta dari wanita yang terlalu jelita. - Bidalan Serbia
Cari Yang Berpegang Teguh Pada Suruhan Agama
Ada empat sebab utama mengapa teruna memilih seseorang gadis, kerana kecantikannya, kerana hartanya, kerana keserasian taraf dan kerana agama. Yang akan membahagiakan ialah memilih gadis yang beragama.
Dimanakah letaknya nilai gadis yang cantik? Letaknya ialah pada keimanan gadis itu. Jika dia cantik dan dia pula beriman, berharta dan setaraf pula, maka dialah yang masuk ke dalam kategori gadis yang ‘tak boleh tahan’. Tapi sedarlah, dia akan memilih lelaki yang baik-baik pula!
Bertunang Jangan Lama
Bila anda sudah melamarnya, jangan tunggu lama-lama. Nikahlah dengan segera kerana gadis jelita, ramai yang ingin menggodanya. Elakkan dari membawanya ke sana-sini kerana ini akan menerbitkan cemburu di hati lelaki yang jahat serta membahayakan keselamatan si gadis.
Petua orang tua-tua, kalau boleh, semasa bertunang perlulah berahsia, semasa bernikah perlulah dihebahkan agar semua orang tahu.
Katakan kepada wanita bahawa dia jelita, dan syaitan akan mengulangi kata itu kepadanya sepuluh kali. - Bidalan Itali
Kahwini Dia Ketika Usianya Masih Muda
Hal lni mungkin dianggap satu kontroversi oleh ramai orang tapi ia merupakan kebenaran yang sukar untuk dinafikan. Mengahwini gadis jelita ketika umumya masih muda remaja dapat membantunya agar selamat dari godaan dan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Ramai gadis jelita yang telah rosak kerana merosakkan diri atau dirosakkan. Ibu bapa seharusnya melepaskan anaknya untuk dikahwini lebih awal dan jangan membuat alasan bahawa anaknya masih belajar atau baru bekerja.
Seorang gadis, sama ada dahulu ataupun sekarang, layak berkahwin blia dia sudah berumur kira-kira 13 tahun. Ramai orang mungkin berflkir anda gila mengahwini gadis semuda itu, tapi siapakah sebenarnya yang gila jika gadis jelita seperti ltu besar kemungkinannya akan ternoda? Cuma, ibu bapa patutlah mempastikan bahawa anak gadis mereka mendapat suami yang baik serta bertanggungjawab.
Wanita jelita yang kurang bernasib baik akan berjumpa lebib ramai pencinta berbanding suami.- Bidalan Jerman
Elakkan Dari Terlalu Cemburu
Memang sudah menjadi adat dunia, gadis yang cantik jelita memang menjadi idaman teruna, suami orang mahupun duda. Elakkan dari menaruh perasaan cemburu. Yang penting ialah sejauh manakah anda telah bertindak untuk memilikinya. Bila si gadis telah menjadi isteri anda, didiklah dia agar dia menjaga kehormatannya serta taat pada agama.
Layan Dia Dengan Baik
Walau betapa jelita pun dia, seorang gadis tidak memandang pada paras rupa anda. Yang penting bila anda berkahwin dengannya ialah cinta anda kepadanya. Cinta bukan bermakna anda mahu ambil bulan bawa ke ribanya atau selalu melakukan seks dengannya. Cinta pada wanita ialah memahami jiwa mereka dan melayani mereka dengan baik. Bila dia sudah cinta pada anda seluruh jiwa raganya, dia tidak akan mudah tergoda dengan lelaki lain. Dia akan hanya anggap anda sebagai pengarang jantung dan buah hatinya.
Kejelitaan wanita yang tidak berguna itu ibarat racun dalam cembul emas.- Bidalan Tamil
Bertanggungjawab
Walau betapa jelita pun dia, seorang gadis mahukan lelaki yang mampu menjaganya dengan baik, menguruskan kebajikannya serta memimpinnya menjadi wanita yang baik serta taat pada agama. Lelaki yang mereka mahukan ialah yang bertanggungjawab terhadap anak-anak serta menghormati pula ibubapa si gadis.
**Sumber : kelantan.net
Posted by amn077 at 18:27 0 comments
Selamatkan Gaza atau Selamatkan Palestine?
Dunia Palestine tidak pernah sunyi daripada disebut-sebut dari dahulu hinggalah ke saat ini. Lipatan sejarah dan apa yang kelak berlaku di bumi Palestine telahpun dirakamkan oleh Allah SWT di dalam kalam-Nya yang benar lagi membenarkan. Kaum kuffar tidak jemu-jemu melancarkan fitnah terhadap dunia Islam, kononnya umat Islam adalah pengganas. Label pengganas tersebut menjadi lesen bagi mereka untuk menghalalkan darah kaum muslim terutamanya di bumi Palestine di mana kaum muslim telah lama menanggung penderitaan sejak 1948.
Kaum Yahudi tanpa jemu, giat melenyapkan Palestine sebagai bumi umat Islam di peta dunia. Lihatlah dunia hari ini, adakah nama Palestine ditulis di atas atlas-atlas yang dijual di kedai-kedai? Sebaliknya, negara haram Israel tertera di atlas-atlas tersebut. Apa yang menyedihkan, negara pengganas Israel hanyalah sebesar gelang yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 7.5 juta orang sahaja. Namun tiada satu negara Arab pun yang menghantar bala tentera mereka untuk mencabut kekuasaan pengganas Israel di bumi suci Palestine. Sebaliknya, menghantar wakil-wakil mereka untuk melakukan antara pemuka-pemuka Islam yang bacul dengan pemuka-pemuka Yahudi yang terang-terang pendusta. Dari dahulu hingga kini, apakah natijah rundingan-rundingan ini?
Natijahnya tidak lebih daripada menghabiskan wang ke sana ke mari, membuang air liur, dan menjadi panggung wayang bagi kaum kuffar sedunia untuk bergelak ketawa melihat gelagat pemuka Islam yang pengecut. Mengapakah masalah ini berlarutan dari tahun 1948 sehingga kini? Masih tidak cukupkah masa untuk mencabut kekuasaan haram itu? Tidak tahukah kalian, wahai pemimpin, Khalifah Mu'tasim Billah hanya mengambil masa beberapa jam untuk menggerakkan bala tentera untuk menyerang kota Rom terkuat setelah seorang mukminah dipersenda oleh lelaki kafir?
Inilah budaya yang diterapkan oleh penjajah imperialis. Mereka sedaya-upaya menerapkan semangat nasionalism. Lihat, semangat nasionalis telah memisahkan tali silaturrahim kita bersama saudara kita di Palestine. Negara-negara Arab hanya mementingkan negara mereka sendiri sahaja. Apatah lagi negara-negara yang dipisahkan dengan ribuan kilometer jauh dari Palestine. Inilah dia semangat nasionalism!
Semangat nasionalism menjadi nadi kehancuran perpaduan kaum muslim! Sungguh, para pejuang nasionalis sudahpun tersesat dengan idea kapitalis yang rosak lagi merosakkan ini. Apa yang lebih menyedihkan lagi, ada juga pihak yang memandang masalah ini hanyalah masalah kaum Arab. Tidak cukup dengan itu, umat Islam di Palestine yang sememangnya terpisah dengan kaum muslim lain di serata dunia, dipisahkan lagi dengan sempadan Gaza dan Tebing Barat. Justeru, ramai pihak memandang bahawa Gaza-lah yang perlu diselamatkan kerana kawasan tersebut dikuasai oleh Hamas. Sungguh, mereka tertipu dengan semangat asobiyyah yang sesat lagi menyesatkan.
Ketahuilah, setiap inci dan penjuru Palestine wajib dibebaskan daripada genggaman Yahudi mahupun pihak berhaluan sekular (Fatah). Tiada hak bagi kaum kafir harbi Yahudi di bumi Palestine walaupun sejengkal! Hanya dengan mengerahkan bala tentera ke kawasan sebesar gelang itu dapat mencabut kekuasaan Yahudi di bumi Palestine dan ia merupakan tanggungjawab pemerintah! Wahai pemerintah yang mempunyai kuasa, apakah jawapan kalian untuk dakwaan-dakwaan umat Islam yang menderita ketika mereka mendakwa kalian di hadapan Allah kelak?! Sesungguhnya bumi Gaza, seluruh Palestine, dan bumi Islam yang lain sedang menunggu pembelaan daripada seorang Khalifah yang merupakan junnah (perisai) kepada ummat!
www.iLuvislam.com
Posted by amn077 at 18:27 0 comments
Al-Quran Memujuk Kita
Siapakah kita untuk terus menjalani hidup dengan bahagia?
Sedangkan cabaran dan dugaan bila-bila akan menempuh hari yang bakal mendatang. Kadang kita diberi nikmat-Nya dan seringkali juga nikmat itu disalahguna. Kadang kita mengeluh dengan apa yang telah diatur, namun sememangnya manusia itu takkan lari dari mengeluh.
Tanya diri, berapa banyak keluhan kita dalam sehari berbanding pujian untuk-Nya? Itulah manusia.
“Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatu pun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatu pun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah Fatir:2
“Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): "Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?" Terangkanlah jawabnya: "Ialah Allah; dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik - (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): keadaan tetapnya di atas hidayah petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata " Surah Saba':24
Lantas hari-hari yang berlalu dinikmati bersahaja, peringatan yang datang seakan angin yang menampar pipi. Tatkala angin berlalu pergi, kedinginan turut hilang. Kadangkala tangisan penuh sedar itu tiba, namun akan hadir jua perasaan putus asa terhadap keampunan-Nya. Seolah diri tidak akan diterima amalannya. Lantas amalan terputus begitu sahaja. Ditambah pula dengan dosa yang memujuk hati-hati yang sememangnya tidak ada ketenangan dalam diri.
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah Az-Zumar:53
Tatkala masa sibuk datang, rindu bertandang pada masa lapang. Hari dilalui dengan mengharap masa akan pantas berlalu. Sedangkan hari nyawa terpisah daripada jasad semakin pendek. Kesibukan yang menjadi ujian. Ada yang berusaha belajar dari kesilapan masa lalu. Ada yang berusaha mempelajari perkara yang membuatkan kesilapan datang. Kita tidak tahu, mungkin setelah ujian atau bala menimpa, barulah kita tersedar akan perkara yang kita anggap remeh ini amat mempengaruhi hari kebesaran kelak. Setakat manakah kita yakin hari itu bakal menjelang? Tepuk dada tanya iman.
“Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka menjadilah ia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah).” Surah Fussilat:49
“Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.” Surah Fussilat:51
Kita memikirkan falsafah apakah yang mampu menyedarkan diri dan kesedaran yang hadir dengan rasa cinta dan takut untuk melakukan perkara yang mendatangkan dosa. Bilakah agaknya perasaan itu lahir? Beribu kali bermuhasabah diri namun jarang sekali istiqamah. Tiap kali rasa manis beribadah itu hadir meresap dalam diri, masa yang sama kita rebah dengan ujian yang seringkali terlepas pandang pada hikmahnya.
“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)” Surah al-Hujurat:15
Kesabaran amat mudah diungkapkan dengan kata-kata. Namun untuk meresap dalam jiwa amat berat sekali. Hati yang tiada tempat sandaran, akan sentiasa meragui usia perjalanannya. Tanpa iman di hati, sabar takkan bererti. Tanpa sabar iman takkan bermakna. Biarkan hati kita diterangi laluan yang sentiasa memujinya, tatkala kita melalui jalan itu,segala susah payah akan terbela. Tidak di dunia sekalipun, tapi Akhirat itu pasti!
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.” Surah Al-Baqarah:155-157
Kesenangan di dunia tidak akan kekal selamanya. Titipkanlah dalam hati,biar kesenangan yang datang tidak akan menggelapkan iman, membutakan pandangan. Kemewahan itu antara lain adalah ujian buat kita. Tatkala kita ditimpa kemiskinan, diri mengeluh. Seolah-olah miskin itu membuatkan kita jauh dari-Nya.Ingatlah sesama kita. Ibadah bukan untuk dijual beli, nilainya pada pahala yang diberi daripada Yang Maha Menyintai. Kemewahan dunia bukan pada harta semata, tetapi kemenangannya pada orang-orang yang tetap mengerjakan solat dan diri yang penuh ketenangan. Ketenangan akan hadir sewaktu dalam diri yang menyintai ketetapan Allah.
“Dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia; dan (sebaliknya) kesenangan hari akhirat di sisi hukum Tuhanmu adalah khas bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Az-Zukhruf:35
Al-Quran itu bukan setakat bacaan yang dilagukan lalu mencipta bait-bait yang syahdu didengari dan menusuk di jiwa. AlQuran itulah pemujuk kita. Walau dalam tangisan membaca amaran-amaran keras daripada Tuhan, masa yang sama diri akan redha dan tenang akan pujukan ayat-ayat Allah. Selagi nyawa belum berpisah, selagi itulah pintu taubat masih terbuka luas. Seandainya kita benar-benar memahami maksud kandungan AlQuran, akan bermain di fikiran betapa beratnya azab daripada Allah, betapa banyak dosa dalam diri. Tanyakan pada diri , berapa banyak kita melafaz kesyukuran dan menzahirkannya?
Sememangnya ayat-ayat itulah muhasabah terbaik buat manusia.Tangisan takkan berhenti mengenangkan nasib akhirat kelak.Tiada gunalah kecantikan diri jika sikitnya pahala untuk meniti titian mustaqim.
"Dan demi sesungguhnya! Kami telah berulang-ulang kali menyebarkan hujjah-hujjah di antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalku serta bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur." Surah Al-Furqaan:50
Cinta itu milik Allah. Segala yang di langit dan di Bumi milik Allah. Tiada yang kekal melainkan-Nya.Andai Dia menarik kembali nikmat yang diberikan, mungkin itu antara cara menyedarkan kita dan menambah pahala kita. Pelihara diri, saling berukhwah,ingat-mengingati. Permusuhan sesama saudara hanya membawa kemurkaan Allah. Kita semua inginkan syurga, namun mengapa membezakan dan membandingkan apa yang tersurat di pandangan kita, fikirkanlah apa yang tersirat. Pasti kekecewaan yang menggoyah iman tidak akan lahir. AlQuran benar-benar memujukku…meyakinkanku…
"Dan sesungguhnya (Al-Quran) itu tetap menjadi peringatan bagi orang-orang yang bertaqwa." Surah Al-Haqqah:48
"Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini (dengan seyakin-yakinnya)." Surah Al-Haqqah:51
Lalu, aku pujuk temanku. Alunkanlah bacaan AlQuran itu, fahamilah maksudnya agar jiwa ketakutan pada Azabnya meresap dalam setiap nawaitu. Agar kita sentiasa mengingati mati. Semoga terpeliharalah iman dalam diri. Itulah muhasabah yang terbaik disisi-Nya. Pujuklah dirimu dengan Al-Quran.
"Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.(3)" Surah Al-‘Asr
www.iluvislam.com
Posted by amn077 at 18:26 0 comments
