Suatu hari sang guru bertanya kepada murid-muridnya.
Siapa yang jadikan mata kita ?
Mereka menjawab : Allah
Lalu sang guru katakan : Lalu apakah yang telah kita perbuat dengan dua biji mata ini ? Adakah sebagai alat untuk melihat perkara yang baik ataupun perkara yang jahat ?
Mereka : (terdiam)
Sang guru tambahi lagi : Apa yang akan jadi sekiranya penglihatan ini diambil olehNya? Selama ini Allah memberi nikmat mata untuk melihat pemandangan yang cantik dan indah. Alam ini dilimpahi dengan pelbagai warna yang menarik hati serta pelbagai hidupan yang menghiasinya.
Suatu hari nanti... jika kita bangun. Alam ini terasa gelap dan pekat. Rupa-rupanya sudah hilang nikmat penglihatan yang diberikan. Sedangkan selama ini kita tidak bersyukur dengan pemberianNya. Adakah selepas ini baru hendak menyesal ?
------------------
Cuba awak rasa lidah dengan menggunakan jari.
Mereka : (memegang lidah masing-masing)
Sang Guru berkata : Allah memberi rasa masam, masin, manis, pahit dan pelbagai lagi rasa yang berlainan melalui lidah.
Mereka kata : Ya Ustaz.. benar (masing-masing menganggukkan kepala)
Sang Guru berkata : Tetapi mengapa kita gunakan lidah untuk berkata kesat, memaki hamun, berkata bohong ? Bukankah dengan lidah ini kamu pernah menghina guru-guru yang mengajarkanmu ? Bukankah dengan lidah ini kamu telah membentak dan menjawab kata-kata ibu dan ayahmu serta berkali-kali membohongi mereka berdua ?
Bukankah sudah diperingatkan oleh RasuluLlah agar menjaga lidah ? Bukankah kita perlu menjaga apa yang ada di antara 2 rongga mulut manusia iaitu lidah ? Dengan lidah ini juga boleh menyebabkan kita tercebur ke dalam neraka ?
Mereka : (tertunduk dan perlahan-lahan mengalirkan air mata)
-----------------------------------------------------------------
Cuba lihat dua tangan yang Allah beri, dan lihat baik-baik alangkah cantiknya kurniaan Allah.
Dia memberi tangan agar kita dapat merasa, memegang, menyentuh dan sebagainya.
Mereka : (melihat tangan masing-masing, diperhati telapak tangan sambik berfikir)
Sang guru berkata : Adakah kita sudah menggunakan tangan dengan betul ? Bukankah ada tangan-tangan yang merosakkan meja sekolah ? memukul kawan ? menulis surat cinta ? mencuri ?
Mereka : benar ustaz... Ya Allah... ampunkanlah dosa kami....
Sang Guru : Allah memberi sepuluh jari tangan, sepuluh jari kaki dalam keadaan yang sempurna. Sudahkah kita menengadahkan tangan meminta keampunan kepadaNya ? Menyatakan syukur terhadapNya atas segala nikmat yang tidak mampu ditulis hatta kering 7 lautan ?
Mereka : (air mata semakin meluncur laju). Ya Allah... Aku sudah banyak buat dosa kepadaMu.. Aku sombong padaMu Ya Allah.....
-----------------------------------------
Lihatlah pula kedua kaki yang dikurnia oleh Allah. Kita boleh berjalan, berlari, bergerak dengan mudah ke sana sini.
Mereka : (memegang kaki masing-masing sambil mengusap-usap jejari kaki)
Sang Guru : Lalu apa yang kita perbuat dengan kaki yang ada ? Kita gunakan untuk ponteng sekolah, pergi ke tempat-tempat maksiat, menendang kawan dan sebagainya. Adakah itu tujuan kaki kita dijadikan ?
Mereka : (menutup mata sambil teresak-esak, semakin kuatlah jerit tangis memikirkan kesalahan yang telah dilakukan selama ini).
Sang Guru : Jika Allah ambil balik mata kepunyaanNya ? Jika Allah tarik balik kaki yang dipinjamkanNya? Jika Allah hilangkan rasa pada lidah ? Jika Allah ambil satu jari dari apa yang kita ada ?
Wahai diri... engkau faqir dan Allah itu Maha Kaya. Maka mengapa engkau masih menyombongkan diri kepadaNya?
Saturday, 20 November 2010
Jika Semuanya Milik Allah.. Apakah Sebenarnya Yang Aku Ada ?
Posted by amn077 at 23:57 0 comments
PENGGODA CINTA YANG MALU…
Bertemu lagi di hari Jumaat yang penuh barakah dan maghfirah ini. Marilah kita saling doa mendoakan antara satu sama lain agar sama-sama tidak goyah dan mengalah di jalan mujahadah ini. Walau bertongkat dagu, bergalas siku… merangkak, kita akan teruskan bergerak. Kita yakin kebahagiaan bukan sahaja ada di hujung jalan tetapi di sepanjang jalan. Sebelum sampai, sudah dinilai.
Umpama sipembunuh yang telah diterima taubatnya (walau telah mengorbankan 100 nyawa) ketika mati dalam perjalanan menunju destinasi hijrah dan taubatnya (satu cerita daripada hadis yang cukup terkenal!). Ingat selalu, Tuhan yang sedang kita berhadapan dengan-Nya ini adalah Allah, yang kasih-sayang-Nya melebih kasih-sayang ibu yang paling mithali!
Seperti kebiasaannya, saya cuma ingin berkongsi. Satu nukilan alam rumahtangga yang biasa-biasa sahaja sifatnya. Sebagai bingkisan hati di pagi Jumaat yang mulia. Pesan saya buat diri dan semua, jadilah…
PENGGODA CINTA YANG MALU
Ada yang bertanya mengapa diri tertanya-tanya juga, kenapa cinta selepas kahwin (yang usianya telah bertahun-tahun) tidak sehangat dulu. Dulu, berpisah terasa rindu… tetapi kini lain sekali. Walaupun masih ada rasa rindu, tetapi tidak lagi sehangat dulu. Rinxdu itukan buah cinta, jika tidak ada rindu ertinya tidak ada buah cinta. Cinta yang tidak berbuah, tentulah cinta yang layu!
Bila berjauhan, ada juga berkirim sms, tetapi tidaklah sekerap dulu. Sekadar bertanya, apa khabar di sana? Macam mana anak-anak? Atau sekadar minta doanya. Tidak ada lagi kalimah cinta berbunga-bunga. Atau pujuk rayu yang sayu-sayu. Ah, biasa-biasa sahaja.
Betulkah selagi cinta itu diburu, ia akan indah. Tetapi bila ia telah dimiliki, keindahannya akan pudar sedikit demi sedikit. Kata orang tua dahulu, bila jauh (masih belum dimiliki) berbau bunga, bila dekat (sudah hari-hari di sisi) keharumannya tiada lagi. Ah, begitukah adat dunia?
Kata sesetengah lelaki (entah species mana), wanita kelihatan cantik selagi tidak menjadi isteri kita. Setelah menjadi isteri, kecantikannya akan hilang. Jika semua lelaki berpandangan begitu, rosaklah dunia. Ini semua gara-gara nafsu yang tidak pernah puas dengan apa yang ada. Kehendaknya tidak terbatas. Kerenahnya tidak kenal puas. Melayani nafsu bagai meminum air laut, semakin diminum semakin haus.
Kata orang itulah sebabnya lelaki berpoligami. Dia tidak cukup dengan satu. Hujjah itu salah sama sekali. Jika lelaki itu rakus nafsu, bukan setakat dua, tiga dan empat, bahkan lima, enam, tujuh wanita sekalipun dia tidak akan pernah puas. Lihat sahaja Tiger Woods yang mengaku berselingkuh dengan 120 wanita! Poligami bukan untuk maladeni (melayan) nafsu lelaki ini , tetapi kerana ada hikmah lain yang lebih murni.
Kita tinggalkan lelaki yang bersifat ‘jantan’ itu. Mari kita bicarakan soal wanita pula. Wanita yang telah menjadi isteripun ada salahnya. Selepas sahaja dia bergelar isteri, semuanya menjadi terlalu ‘murah’. Tidak semahal seperti sebelum kahwin dahulu. Malunya sudah kurang. Tidak pandai ‘jual mahal’ untuk mendapat perhatian suami.
Jika dulu puas berlangir, berbedak, berhias sebelum bertemu suami, setelah berkahwin lain pula ceritanya. Bau badan tidak dijaga, asyik ‘mendedah aurat’ (maksudnya berpakaian tidak sempurna) tanpa mengira masa dan tempat. Bila setiap masa terdedah, di mana indahnya? Ingat selalu, seni memikat hati suami. Apa salahnya menggoda suami sendiri?
Kalau dahulu suapan makanan pun dijaga, dibuat penuh tertib dan kecil-kecil. Menguyah makanan pun tidak kedengaran bunyinya. Sunggup sopan, persis gadis pingitan. Maaf, lepas beberapa bulan berkahwin, kesopanan dan ketertiban itu semakin mengurang. Cara duduk, tidak dijaga lagi. Menguap tanpa menutup mulut. Suaranya… tidak semerdu, ketawa, ha.. ha.. ha.. berdekah-dekah. Mana hilang malunya?
Jangan terkejut jika kita ‘menjual’ terlalu murah, orang akan meragui kualitinya. Suami akan berhenti ‘memburu’ anda jika anda terlalu jinak dan murah. Ini bukan bermaksud untuk mendorong anda menjadi terlalu liar atau terlalu mahal… tetapi belajarlah malu-malu seperti mula-mula kahwin dahulu. Insya-Allah, suami anda akan menjadi pemburu yang merancang seribu satu taktik dan strategi untuk memikat dan mendapatkan kasih-sayang anda. Biar dia menjadi pemburu cinta mu!
Jika isteri berjaya mengekalkan rasa malu, dia akan dapat mengekalkan sifat, kelakuan dan personaliti yang menarik perhatian suami. Dia akan dirindui bila jauh, akan disayangi bila dekat. Dia dilihat cantik sebelum bergelar isteri dan akan menjadi lebih cantik selepas itu. Sesungguhnya, malu itu satu perhiasan dalaman sama seperti permata yang menjadi hiasan luaran.
Ya, seperti permata. Ia selalu disimpan dalam bekas yang cantik. Diletakkan dalam almari dan dikunci. Hanya sekali-sekali dibuka dan untuk orang yang tertentu sahaja. Permata tidak dipamerkan merata-rata atau dibiarkan terdedah sentiasa. Jika terdedah sentiasa, itu bukan permata, itu hanya kaca. Maka begitulah dengan malu. Ia akan mendorong siisteri mengekalkan keanggunan, perhiasan diri dan kejelitaannya.
Belajarlah dari bulan mengambang. Bulan hanya mengambang sekali-sekala… Bulan tidak mengambang setiap malam… kerana dengan mengambang sekali-sekala itulah pungguk jadi perindu, manusia tertunggu-tunggu. Begitulah isteri yang masih malu, suami akan menjadi perindu.
Bagaimana pula gaya seorang perindu? Ah, memburu cinta perlu bergaya. Jika yang diburu itu indah, yang memburu juga akan memperindahkan dirinya. Kita tidak akan menyentuh permata dengan tangan yang kotor. Kita tidak akan tega mengusapnya dengan tangan yang berbau. Yang indah perlu disentuh dengan yang indah jua. Yang harum perlu ditantang dengan yang harum juga.
Jadi bagaimana? Ya, bukan untuk para isteri sahaja, untuk suami juga perlu ada malunya. Jika anda inginkan isteri anda berhias, anda bagaimana? Tegakah kita asyik berkain pelikat, berbaju T dengan perut ‘boroi’, rambut kusut tak bersikat tetapi mengharap isteri tampil sebagai ratu untuk melayan kita? Maaf, kalau itulah ‘umpannya’ anda akan dapat ‘ikan’ yang begitu juga.
Ingat selalu hukum pantulan, apa yang kita berikan akan kita terima semula sebagai balasan. Jika buruk yang kita tampilkan, maka yang buruk juga akan datang sebagai balasan. Begitulah juga dengan hukum tarikan, yang baik akan menarik yang baik, yang cantik akan menarik yang cantik.
Suami inginkan isteri berubah, tetapi kenapa anda berada ditakuk lama juga? Ingat, perubahan andalah yang akan merubah orang lain. Ubahlah penampilan diri. Kalau isteri jadi penggoda, anda harus jadi pemikat. Bagaimana ya? Jangan tanya bagaimana, jika kita sudah ada kemahuan. Kemahuan akan menyebabkan anda memperoleh pelbagai cara. Kata orang, dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan.
Jadi, bertanyalah dengan diri, mana minyak wangi yang menjadi daya pemikat isteri waktu mula bertemu dahulu? Mana kata-kata manis yang menjadi madah cinta waktu bercanda dulu? Mana wajah prihatin, muka simpati dan empati serta senyuman yang ikhlas ketika mula-mula bersama dulu? Carilah, kita tidak terlalu tua untuk itu. Apakah ada had usia untuk melakukan suatu kebaikan?
Usahakan semula segalanya dengan membina semula rasa malu. Dan ingat bahawa rasa malu itu ada kaitan dengan iman. Iman dan malu lazim berlaziman. Jika terangkat iman, terangkatlah juga rasa malu. Sebab itu kata hukama, “bila kau hilang malu lakukanlah segalanya.” Maksudnya, bila rasa malu hilang, kita tidak akan fikir haram dan halal lagi… semuanya dilanggar tanpa segan-silu lagi. Antara ciri isteri yang solehah ialah isteri yang mengekal rasa malunya terhadap suami sehingga hidung suami tidak mencium sesuatu yang busuk dan mata suami tidak akan terpandang sesuatu yang buruk padanya.
Ya, diantara perbezaan insan dengan haiwan, selain insan punya fikiran ialah rasa malu. Malu itu sesuatu yang sangat berharga, ia adalah perhiasan di depan orang yang kita sayangi. Bahkan dalam Islam, malu dan iman sering disinonimkan. Ertinya, untuk mencari semula rasa yang malu yang dulu, samalah seperti menyusur semula jalan iman. Jika kita temui iman, maka secara automatik akan ada rasa malu.
Rasulullah SAW sendiri sangat menghargai sifat malu. Sehinggakan baginda akan berhias dan bersedia lebih daripada kebiasaannya apabila Sayidina Usman datang menemuyinya. Kenapa? Ini kerana sayidina Usman adalah seorang sahabat yang begitu terkenal dengan sopan santun dan malunya.
Inilah malu yang bertempat dan tepat pula masanya. Justeu, suburlah rasa cinta dalam rumah-tangga dengan menyuburkan semula rasa malu.
TELADAN CINTA KITA
Dia pahlawan yang dimuliakan wajahnya
Dia puteri dari zuriat yang mulia
Ali pewaris keberanian dan kebenaran
Fatimah titipan kesabaran dan kesucian
Persandingan itu…
di pelamin kemiskinan
Fatimah…
Puteri terpuji, isteri teruji,
Suami di medan jihad
Kau bermandi keringat
Jauh-jauh mencari air…di padang pasir
Di sengat sinar mentari
Sedikitpun tidak kau kesali
Untuk suami, kerana Ilahi
Ali…
Pahlawan unggul, ilmuan tersohor,
Syair setajam senjata
Gagah sekukuh kota
Kau kunci gedung nubuwwah
Kau fakir yang pemurah
Kau wira di sebalik selimut hijrah
Berkorban nyawa untuk Rasulullah
Ali & Fatimah…
Subuh itu mereka berdua bertemu Nabi
Lalu diluahkan ketandusan upaya
Betapa tenaga seakan tak mampu lagi
Untuk menanggung beban keluarga
Sudilah kiranya dihadiahkan seorang sahaya
Tersenyum Rasulullah mendengar rintihan
Lalu diberikan zikir sebagai gantian
Tiga kalimat sarat keberkatan
Subhannallah, Alhamdulillah, Alllah hu Akbar
Lalu esoknya mereka datang lagi…
Bersama satu kelapangan dan kekayaan hati
Cukuplah kami tak perlu apa-apa lagi!
Mereka miskin harta tapi kaya jiwa
Sering berpisah tapi tak gundah
Mereka bercinta kerana Allah
Indahnya mempelai di pelamin kemiskinan
Bila bersanding dua kemuliaan..
Seorang lelaki bergelar karamallahuwajjah,
seorang wanita yang az zahrah!
(…Sajak nukilan lama yang telah diangkat menjadi Nasyid)
Posted by amn077 at 23:55 0 comments
Lelaki Pelindung Wanita
Saban hari permasalahan sosial sekarang seperti isu buang bayi, pelacuran, bohsia dan sebagainya semakin meruncing. Masyarakat terus menyalahkan pihak wanita yang kononnya lemah, mudah terpedaya dan sebagainya. Namun, kita sering melupakan bahawa isu ini bukan hanya berpunca dari satu pihak sahaja. 'Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi'. Kita alpa bahawa kelahiran yang sepatutnya suci murni itu turut dicemarkan oleh "ayah" yang tidak bertanggungjawab. Maka, seeloknya kita merenung kembali peranan lelaki terhadap wanita seperti yang dianjurkan oleh Allah dalam Al-Quran:
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka..." (al-Nisa', 4:34)
Jika kita sama-sama hayati ayat ini, terdetikkah di hati kita betapa besar dan beratnya amanah yang telah Allah berikan kepada kaum lelaki untuk menjadi pemimpin pada wanita. Betapa Allah telah memberi kepercayaan pada lelaki untuk memikul amanah itu kerana beberapa kelebihan yang Allah berikan pada lelaki dan tidak ada pada wanita.
Namun, hari ini, adakah lelaki telah berperanan sebagai pemimpin dan adakah wanita juga telah menjalankan peranan sebagai orang yang dipimpin? Ayuh kita muhasabah diri!
Lelaki itu sepatutnya pemimpin, bukan diktator!
Allah telah memuliakan lelaki sebagai pemimpin kepada wanita. Islam telah meletakkan garis panduan yang lengkap seharusnya bagaimana peranan pemimpin yang dimainkan oleh lelaki. Peranan lelaki sebagai suami, ayah, abang dan anak itu adalah sebagai pelindung kepada wanita-wanita di bawah tanggungjawabnya. Antara peranan lelaki dalam melindungi wanita dan keluarganya adalah:
•Memastikan prinsip Islam terlaksana dalam keluarga.
•Menjadi teladan yang baik.
•Memastikan komunikasi yang baik dalam keluarga.
•Memastikan keluarga terhindar dari azab neraka.
"Hai orang-orang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.."
(At-Tahrim, 66:6)
Wahai lelaki, jika anda tahu betapa pentingnya peranan anda dalam kehidupan wanita, pasti anda sebagai lelaki tidak akan sanggup membiarkan kekasih-kekasih anda membuang 'benih' yang telah anda semai. Pasti anda tidak sanggup membiarkan ibu anda meniti hari-hari tua tanpa kasih sayang dari anda, dan pasti jua anda tidak tegar untuk menjadi dayus dengan membiarkan isteri-isteri dan anak-anak perempuan anda dipukul, dan dibiarkan tanpa pembelaan dan nafkah.
Namun, bagaimana seharusnya lelaki sebagai pemimpin, adakah umpama diktator yang hanya memberi arahan? Tidak sama sekali! Islam tidak pernah memuliakan lelaki sebagai pemimpin dengan tujuan supaya ia dapat menindas kaum perempuan. Malah Islam telah menganjurkan lelaki supaya berlemah lembut dengan wanita.
Misalnya, suami diangkat sebagai ketua keluarga, namun Islam tidak menidakkan hak isteri untuk berbincang dan memberi idea atau pendapatnya. Islam meletakkan hak pada suami untuk memukul isteri, namun ia adalah jalan terakhir dan dilakukan dengan penuh hikmah. Bahkan Rasulullah sendiri menganjurkan supaya berbuat baik dengan isteri.
Sesungguhnya, wanita itu satu amanah dari Allah, maka lindungilah ia kerana ia jua sebahagian dari lelaki.
"Wahai manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak" (Surah Al- A'raf:189)
Wahai wanita, binalah perisai pelindung dirimu!
Hakikatnya, kita mengakui bahawa wanita dan lelaki itu saling melengkapi. Jika lelaki itu memang menjadi pelindung, namun apakah kita sebagai wanita sendiri hanya bergantung pada pelindung itu tanpa mahu berusaha membina perisai pelindung diri sendiri?
Hakikatnya, perlu ada gabungan lelaki yang menjadi pelindung dan jua wanita yang utuh menghijab diri untuk melindungi dirinya. 'It takes two to tango'. Salah menyalahkan tidak akan menyelesaikan isu gejala sosial pada hari ini, malah akan menyebabkan kita hilang fokus untuk menyelesaikan masalah itu.
Lalu, bagaimana untuk wanita membina perisai pelindung?
Pertama sekali, berani untuk katakan "TIDAK" pada mana-mana lelaki yang mempergunakan, memperalatkan wanita untuk mencapai apa yang mereka ingini. Bentengkan diri kita dengan hijab kerana wanita itu umpama permata yang menjadi rebutan setiap kaum adam. Biar kita tak 'glamour' dek nama yang sentiasa meniti di bibir lelaki kerana keseksian kita, tapi akhirnya menjadi mangsa mereka. Biar kita dikatakan kolot sebab tidak bergaul dengan lelaki, tapi yang penting kita pertahankan maruah kita.
Kedua, jangan biarkan diri ditindas lelaki yang durjana! Lembut biar bertempat, malu biar kena gayanya. Bersuara bila perlu, bangkit bila hak kita dan maruah kita dicabul. Islam tidak pernah menafikan hak dan kepentingan wanita, malah membela wanita dan menyanjung tinggi wanita.
Ketiga, tuntutlah ilmu sebanyak mungkin. Dengan ilmu nasib terbela. Dengan ilmu, kita tahu mana hak-hak kita bila kita tertindas. Jangan tewas pada orang yang sewenang-wenangnya menggunakan nama agama untuk menafikan hak wanita, sedangkan Islam itu sendiri memberikan hak yang seadil-adilnya kepada wanita sebagai isteri, ibu dan anak.
Wahai Adam,
Sedarlah dirimu itu pemimpin. Maka persiapkanlah dirimu itu selayaknya untuk memegang amanah Allah itu.
Wahai wanita,
Ketahuilah, dirimu disanjung dan dimuliakan oleh Allah. Letakkanlah dirimu selayaknya supaya maruah dan kemuliaanmu tidak tercemar. Dirimu begitu berharga, jika Adam itu sudah tidak mampu menjadi pelindungmu, maka binalah perisai pelindung dirimu.
www.iluvislam.com
Posted by amn077 at 23:53 0 comments
ALAM ITU SATU SEKOLAH
Lihat alam ini. Seluruh dan sepenuhnya dipermudahkan untuk dikuasai manusia. Haiwan dan tumbuhan seolah-olah diciptakan untuk berkhidmat pada manusia. Tumbuhan mengambil yang buruk (karbon dioksida) daripada manusia dan mengeluarkan oksigen yang bersih buat kita bernafas.
Kulit, daun, akar, pucuk dan segala-galanya menjadi sumber makanan, ubat-ubatan, pakaian dan perlindungan untuk manusia. Begitu juga haiwan, daging, bulu dan kulitnya semuanya dimanfaatkan untuk manusia.
Ketika segala-galanya diciptakan untuk kita, maka wajar pula kita bertanya kita dijadikan untuk siapa? Ya, ada maksud besar misi kedatangan manusia ke dunia. Justeru, misi yang besar itulah segala-galanya dipermudahkan buat manusia.
Persis bekalan dan alat kelengkapan pada seorang tentera yang dihantar untuk satu operasi ketenteraan, maka begitulah manusia yang telah diberi berbagai-bagai-bagai kemudahan dan bekalan.
Untuk menjadi hamba Allah dan khalifah yang memakmurkan, mengurus dan mentadbir muka bumi ini – itulah dwifungsi utama manusia di dunia ini. Seluruh kelengkapan yang diberikan kepadanya harus menjurus dan fokus ke arah pelaksanaan misi itu.
Jangan disalah gunakan, kerana segala-galanya akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan. Akan datang detiknya, manusia akan dipanggil bersemuka dengan Allah untuk menjawab setiap titis nikmat yang telah diamanahkan-Nya itu. Alam ini bukan hanya membekalkan makanan, ubat-ubatan, perlindungan dan pakaian, tetapi alam ini juga membekalkan suatu yang sangat bermanfaat dalam menjayakan misi kedatangan manusia. Alam sebenarnya membekalkan ilmu untuk manusia yang menghuninya. Alam adalah sekolah yang mana manusia harus belajar pada setiap masa, keadaan dan suasana.
Alam adalah layar yang memancarkan kebesaran Allah untuk manusia mengenali dan mencintai Penciptanya. Bulan, matahari, bintang, tumbuhan, haiwan adalah tanda-tanda (‘sign’) yang boleh membuka fikiran, jiwa dan perasaan manusia untuk dekat kepada Allah. Dan dekat kepada Allah itulah sumber kekuatan, ketenangan, kejayaan dan kebahagiaan dalam menjalankan peranan sebagai hamba Allah dan khalifah.
Dua misi besar itu sangat berat dan sukar. Ia adalah amanah yang pernah ditawarkan pada langit, gunung-ganang dan bumi tetapi mereka menolaknya. Firman Allah:
“Sesungguhnya kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakan; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.” Al Ahzab 33:72
Gunung, langit dan bumi tidak sanggup menanggung misi besar itu, mereka hanya sanggup menjadi ‘pembantu’ manusia untuk melaksanakannya. Justeru, mereka lebih rela dikuasai daripada mengusai manusia. Mereka hanya ingin menjadi sekolah, manakala manusia menjadi pelajar-pelajarnya. Allah yang menjadi ‘Guru’ dalam sekolah besar (jagat raya) ini sentiasa mendidik manusia agar layak menjadi graduan yang layak mendapat ijazah keredhaan-Nya dan syurga. Sedarkah kita?
Justeru, marilah sama-sama kita mengingatkan: Alam itu sekolah insan. Jadilah pelajar yang baik. Belajarlah dari alam!
Posted by amn077 at 23:52 0 comments
Keberkatan menjamin ketenangan
SETIAP kali sebelum menjamah makanan, kita pasti tidak terlepas membaca doa yang berbunyi “Ya Allah, berkatilah rezeki kami dengan apa yang Engkau berikan kepada kami dan jauhi kami dari seksaan api neraka.
SENTIASA MERASA CUKUP….
rezeki yang berkat menjadikan seseorang itu sentiasa merasa
cukup dan tenang walaupun bukan hidup dalam kemewahan.
Bermakna, kita memang mengharapkan makanan dan apa saja rezeki yang kita peroleh diberkati Allah.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang pun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa.” (Hadis riwayat at-Tabrani).
Yang jelas, pengharapan kita untuk mendapatkan rezeki yang berkat menjadikan kehidupan kita lebih tenang, cukup dan sentiasa dalam naungan Allah. Rasulullah bersabda: “Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Justeru, dalam isu keberkatan, setiap Muslim perlu mempunyai sifat qanaah iaitu reda dan menerima apa saja tanpa menuntut perkara yang bukan keperluannya. Lawan kepada sifat qanaah adalah tamak. Ia menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki orang lain. Maka, ucapan ‘Alhamdulillah’ perlu dilafazkan bagi menanam sifat qanaah supaya kita sentiasa menerima perkara yang baik.
Rezeki adalah ketentuan Allah kurniakan kepada hamba-Nya dari pelbagai sudut. Terdapat tiga kesudahan rezeki iaitu jika pakaian, lama kelamaan pasti ia terbuang, makanan menjadi najis atau menjadi bekalan di akhirat jika dibelanjakan ke jalan Allah.
Justeru, untuk menambah keberkatan kita perlu membiasakan diri dengan amalan bersedekah. Sifat pemurah akan memberikan ketenangan kepada diri selain turut disayangi orang lain.
Kita perlu ingat, harta yang kita miliki selama ini terdapat juga hak orang lain yang wajib ditunaikan.
Kekayaan bukan terletak pada hebatnya harta seperti kereta mewah, rumah, tanah serta perniagaan yang dijalankan tetapi kekayaan iman yang mencerminkan kesederhanaan hidup.
Dari Abu Hurairah berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman kepada malaikat pembahagi (pengedar) rezeki kepada bani Adam: Mana satu hamba-Ku yang kamu temui menuju harapannya kepada Aku semata- maka jaminkanlah rezekinya di langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain dari itu, maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperoleh lebih daripada apa yang Aku tentukan untuk mereka itu.” (Hadis riwayat Abu Naim).
Apabila rezeki tiada nilai keberkatan, kita sentiasa dalam suasana tidak mencukupi. Ada satu, mahu yang lain dan begitulah seterusnya namun tetap merasa kekurangan. Berkat bermaksud peningkatan serta penyuburan iaitu yang sedikit kita merasa seolah-olah banyak dan mencukupi.
Allah Maha Berkuasa untuk memberi, menarik, meluas serta menyempitkan rezeki sesiapa sahaja.
Memang banyak hikmah rezeki yang berkat, antaranya menjadi punca termakbulnya doa.
Ingatlah, jika Allah cepat memakbulkan sesuatu doa hamba-Nya itu, bermakna Allah amat menyayanginya. Jika Allah lambat memakbulkan doa, maka itu adalah satu ujian buat hamba-Nya manakala jika Allah tidak memakbulkan doa seorang hamba-Nya maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untuk kita.
Jadi, kita perlu sentiasa mencari keberkatan dalam hidup seharian kerana ia penting bagi menjamin kesejahteraan. Apabila mendapat keberkatan, kemurahan rezeki itu secara langsung dapat dinikmati.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin murah atau lapang rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah ia menghubungkan atau menyambungkan silaturahim (sesama manusia) (Riwayat Bukhari).
Kita jangan mendidik diri dengan sifat kedekut kerana ia menyempitkan rezeki.
Rezeki amat berkait rapat dengan peribadi seseorang. Ia akan tertahan apabila mereka bergelumang dengan dosa yang dilakukan seharian tanpa bertaubat.
Firman Allah yang bermaksud: “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah ayat 168).
Bagaimana kehidupan kita jika sentiasa bergelumang dengan pendapatan haram? Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya”. (Hadis Riwayat At-Tarmizi).
Seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis; apabila Said Bin Abi Waqas meminta agar Rasulullah mendoakannya supaya Allah memperkenankan doanya, maka Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Perelokan sumber rezekimu, pasti doamu dimakbulkan.” Kadang kala kita hairan kerana umat Islam takut untuk memakan daging babi kerana ia adalah haram tetapi mereka selamba dan acuh tidak acuh apabila mengambil pendapatan haram.
Penceramah dan perunding motivasi, Mohd Zawawi Yusoh berkata, berkat berkaitan dengan langkah kita ke syurga ataupun neraka.
“Setiap pekerjaan yang dilakukan janganlah sehingga mengabaikan ibadat asas seperti solat kerana ia menghilangkan keberkatan rezeki.
“Jika solat terabai, berat untuk sedekah, bersikap acuh tak acuh dengan pengeluaran zakat maka akan hilang nilai keberkatan itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata keberkatan juga berkait rapat dengan cara dan proses seseorang itu mendapatkan rezekinya tidak kira apa saja pekerjaan yang mereka lakukan.
“Tanda keberkatan adalah semakin banyak mereka menerima sesuatu, semakin taat mereka kepada Allah dan semakin baik hubungan dengan orang di sekeliling. “Bagi mereka yang bekerja di pejabat, mereka perlu mematuhi peraturan iaitu cukup masa bekerja, tuntutan kerja lebih masa dibuat dengan betul serta tidak mencuri tulang,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pelaksanaan kerja juga perlu sentiasa betul agar yang menurut perintah Allah s.w.t.
“Dalam perniagaan misalnya, jika pelaksanaannya tidak betul seperti unsur penipuan dan riba’ dalam pengurusan, pasti hasilnya tidak sah.
“Kerja yang berkat dan sempurna sentiasa melaksanakan perintah Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan katakanlah (Wahai Muhammad): “Bekerjalah kamu. Nanti Allah akan melihat pekerjaanmu serta Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin. Nanti kamu akan di kembalikan kepada Yang Mengetahui yang ghaib dan yang hadir, lalu dikhabarkan-Nya kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. (Surah at-Taubah ayat 105).
Katanya, Allah mengurniakan kepada manusia pelbagai bentuk rezeki seperti wang, pangkat mahupun kuasa.
“Manusia perlu menitikberatkan usaha mencari rezeki halal supaya hidup bertambah berkat di dunia dan akhirat.
“Apabila sumber itu halal, maka lahirlah perbuatan mulia. Manakala jika makanan itu berpunca dari sumber haram, akan lahirlah perbuatan tercela,” katanya.
Sumber : http://epondok.wordpress.com/
Posted by amn077 at 23:51 0 comments
Opss!! CCTV di Mana-Mana
Teknologi semakin berkembang maju. Di bank, bangunan-bangunan besar semuanya menggunakan alat kawalan keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kecurian, atau sesuatu yang tidak diingini.
Tetapi sejauh mana alat berteknologi canggih ini seperti CCTV mampu mengawal serta mengenalpasti pencuri mahupun perogol atau sebagainya dengan jelas? Tidak semua bukan?
Sedarkah anda, sebelum penciptaan CCTV dan sebelum penciptaan manusia lagi sudah wujudnya 'CCTV' yang tidak pernah rosak dan berada di mana-mana sahaja.
Wahai muda-mudi sekalian,
Seronok bukan berbuat maksiat di hotel-hotel, di dalam hutan, di rumah kosong, di rumah sewa, di dalam panggung wayang. Ah! Tak siapa yang nampak, apa yang perlu ditakutkan. Ingatlah, mata, tangan, kaki, hatta alat sulitmu, malah meja, katil, rumah, pokok dan apa yang ada di sisimu ketika kau berbuat maksiat, semuanya adalah 'CCTV' yang akan menjelaskan segalanya di akhirat. Tidakkah engkau takut wahai remaja. JELAS dan NYATA. Tidakkah kau berasa malu di hadapan Allah nanti.
Telah Allah berikan nikmat mata, nikmat tangan, kaki, dan yang paling berharga nikmat hidup dalam Islam, tetapi kau tidak gunakan sebaik mungkin. Tak cukup dengan dosa berbuat maksiat, kau tambahkan pula dosa membuang bayi, lebih dahsyat kau sanggup pula membakar bayi yang tidak berdosa itu. Tak mengapa, mungkin sekarang kau terlepas dari dihukum di dunia. Tapi ingat!! Kehidupan kau tak akan tenang, dan kau akan lihat sendiri semua yang memandang kau membuang bayi itu, burung, masjid, tong sampah, lipas atau tikus akan menjadi 'CCTV' di akhirat.
"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun maka dia akan melihat balasannya." (Surah Al-Zalzalah, ayat 7-8)
Wahai ibubapa,
Sedih bukan melihat bayi dibuang dibakar dengan tragis sekali? Tetapi sebenarnya sedih lagi jika kita sebagai ibubapa tidak mampu menjadi ibubapa yang bertanggungjawab mendidik anak-anak agar menjadi anak soleh dan solehah. Sedih lagi jika kita membiarkan anak-anak kita berpakaian ketat, tidak bertudung, merempit, bergaul bebas, kerana inilah pencentus terjadinya zina dan akan menyebabkan lahirnya anak luar nikah dan seterusnya pembuangan bayi pun berleluasa. Ingatlah, sebagai ibubapa, kita wajib mendidik anak-anak agar menjadi insan berguna dan bertakwa. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga dalam mendidik anak-anak. Jadilah contoh yang terbaik buat mereka sebagai garis panduan kepada mereka.
"Wahai anakku! Laksanakanlah SOLAT dan suruhlah manusia berbuat yang makruf dan cegahlah mereka dari yang mungkar, dan bersabarlah menghadapi apa yang menimpamu." (Surah Lukman)
Wahai para pengumpat,
Tidak takutkah engkau pada setiap apa yang engkau perkatakan? Allah benci pada dirimu kerana sifatmu yang suka membuka aib orang lain. Dari umpatan akan menjadi fitnah. Tak cukup dengan dosa umpatan ditambah pula dengan dosa fitnah.
"Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela" .."Pasti akan dilemparkan ke neraka Hutamah" (Surah Al-Humazah)
Ingatlah wahai semua insan, selagi kita masih hidup berbuatlah amal kebajikan. Sesungguhnya, Allah menyukai insan yang mampu menutup keaiban orang lain. Berkatalah apabila perlu, kerana diam itu lebih baik dari berkata yang sia-sia. Hiasi bibirmu dengan zikrullah , sempurnakan solat 5 waktumu, tunaikan kewajipanmu sebagai hamba Allah.
Bertaubatlah sebelum kita terlambat. Sesungguhnya dunia ini adalah penjara bagi orang mukmin yang sentiasa mengawal nafsu dan godaan syaitan.
"Hadiah berharga bagi orang mukmin adalah kematian."
(Riwayat Ibnu Abiddunya, Al-Tabrani dan Hakim)
Janganlah kita teperangkap dengan "CCTV" yang kita cipta sendiri di dunia. Kerana kita akan lihat segalanya semula di akhirat. Dan sesungguhnya akhirat adalah penjara bagi insan yang tidak mengikut suruhan-Nya dan melakukan apa yang dilarang-Nya.
"Sesiapa yang tidak senang menemui Allah, maka Allah pun tidak senang menemuinya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
www.iluvislam.com
Posted by amn077 at 23:50 0 comments
Hamba Ukhuwwah Atau Hamba Allah?
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." - Surah Ali Imran: 104
Meniti hari dengan penuh kesan dakwah dihati memang sungguh menceriakan. Lebih-lebih lagi apabila yang berjuang seiring itu adalah sahabat sejati. Kadang-kala saya terfikir, apakah kerana persahabatan itu dakwah berjalan dengan lancar tanpa secalit noda. Bahkan berkali-kali saya terfikir… Andai itu benar, berkali-kali saya merasakan kemalasan untuk menghadiri sesetengah meeting dek kerana segolongan manusia yang saya tidak gemar pembawakannya.
Berkali-kali juga saya meneropong diri. Kadang-kala saya menemui titik awal masalah, tetapi kebanyakannya saya buntu. Bila saya buntu, saya akan terus berfikir dan berfikir. Sehinggakan jika terjaga pada waktu tengah malam juga, fikiran saya terimbas akan sesetengah perkara itu.
Pada pandangan saya, ukhuwwah itu merupakan titik tolak runtuhnya sesebuah organisasi. Mengapa saya berkenyataan begitu? Anda pernah terfikir mengapa sesebuah parti politik boleh kehilangan ahlinya dek kerana lompat parti? Ahh.. anda fikir sendiri.
Saya merasakan bahawa ukhuwwah itu hanyalah salah satu nikmat dan ujian dalam berdakwah. Sungguh nikmat jika ada sahabat yang boleh sama-sama tegur-menegur akan kesalahan kita. Alangkah nikmatnya jika ada sahabat yang mampu seikhlas hati menolong di dalam kesusahan persis Khulafa’ al Rasyidin... Nikmatnyaa...
Tetapi, alangkah malangnya jika sahabat yang dianggap sahabat menconteng arang kemuka kita. Menikam terus kedasar hati lalu kita rebah lalu tidak bangun-bangun kembali. Dan saat itu, apakah kerana sahabat yang tidak berperikemanusiaan itu kita jatuh lalu terbuang ke satu daerah yang jauh dan sangat jauh dari trek dakwah itu sendiri? Apakah? Apakah?
Ya jika anda telah menjadi hamba UKHUWWAH tetapi buka hamba ALLAH.
Saya selalu terfikir. Saya berdakwah dan terlibat dengan dakwah bukan kerana ukhuwwah tetapi kerana Allah. Saya dipanggil Allah untuk terlibat di dalam dakwah, bukanya dipanggil oleh ukhuwwah.
Saya juga pernah beberapa kali jatuh dalam medan ini. Berkat pertolongan Allah, saya bangun kembali dan apabila saya menoleh kembali kebelakang, saya tersenyum dan berkata apapun takkan mampu mengatasi kuasa Allah dalam menjatuh bangunkan manusia...
WALLAHU ’ALAM..
www.iluvislam.com
Posted by amn077 at 23:50 0 comments
Cinta Kerana Allah
Cinta kerana Allah adalah mencintai hamba Allah kerana keimanannya dan ketaatan kepada Allah SWT.
Keutamaan Cinta Kepada Orang Beriman
Mencintai orang-orang beriman yang senantiasa taat kepada Allah, sangat besar pahalanya. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:
«إِنَّ اللهَ تَعَالَى يَقُولُ: يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ بِجَلاَلِ الْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِي ظِلِّي يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلِّي؟»
Sesungguhnya kelak pada Hari Kiamat Allah akan berfirman, “Di mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini Aku akan memberikan naungan kepadanya dalam naunganKu di saat tidak ada naungan kecuali naunganKu”
Diriwayatkan hadis dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:
«وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لاَ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا، وَلاَ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا، أَوَ لاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ، أَفْشُوا السَّلاَمَ بَيْنَكُمْ»
Demi Allah, kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman. Tidak sempurna keimanan kalian sehingga kalian saling mencintai. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu, yang mana jika kalian melakukannya nescaya kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian! (HR. Muslim).
Dalil yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah sabda Rasulullah SAW, “Tidak sempurna keimanan kalian sehingga kalian saling mencintai”. Hadis ini menunjukkan tentang besarnya pahala saling mencintai kerana Allah.
Hadis dari Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:
«لاَ يَجِدُ أَحَدٌ حَلاَوَةَ اْلإِيمَانِ حَتَّى يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَّ ِللهِ...»
Sesiapa pun tidak akan merasakan manisnya iman, sehingga ia mencintai seseorang hanya kerana Allah semata. (HR. Bukhari).
Hadis dari Abu Dzar yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Dawud, dan Ibnu Hibban, ia berkata:
«يَا رَسُولَ اللهِ، الرَجُلُ يُحِبُّ القَوْم لاَيَسْتَطِيْعُ أَنْ يَعْمَلَ بِأَعْمَالِهِم، قَالَ: أَنْتَ ياَ أَبَا ذَرٍ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ. قَالَ: قُلْتُ فَإِنِّي أُحِبُّ اللهَ وَرَسُوْلَهُ يُعِدُها مَرَّةً أَوْ مَرَّتَيْنِ»
Wahai Rasulullah, bagaimana jika ada seseorang yang mencintai suatu kaum tapi tidak mampu beramal seperti mereka? Rasulullah SAW bersabda, “Engkau wahai Abu Dzar, akan bersama siapa sahaja yang engkau cintai.” Abu Dzar berkata; maka aku berkata, “Sungguh, aku mencintai Allah dan RasulNya.” Abu Dzar mengulanginya sebanyak satu atau dua kali.
Hadis Muadz bin Anas Al-Jahni bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«مَنْ أَعْطَى ِللهِ وَمَنَعَ ِللهِ وَأَحَبَّ ِللهِ وَأَبْغَضَ ِللهِ وَأَنْكَحَ ِللهِ فَقَدْ اسْتَكْمَلَ إِيمَانَهُ»
Sesiapa sahaja yang memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, dan menikah kerana Allah, maka bererti ia telah sempurna imannya. (HR. Al-Hakim).
Manifestasi Cinta kerana Allah
1.Disunahkan orang yang mencintai saudaranya kerana Allah untuk memberitahukan cintanya kepada orang yang dicintainya. Abu Dawud dan At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
«إِذَا أَحَبَّ الرَّجُلُ أَخَاهُ فَلْيُخْبِرْهُ أَنَّهُ يُحِبُّهُ»
Jika seseorang mencintai saudaranya kerana Allah, maka kabarkanlah bahawa ia mencintainya.
2.Disunahkan mendoakan saudara yang dicintainya ketika tidak bersamanya. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
«مَنْ دَعَا ِلأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ»
Barang siapa yang mendoakan saudaranya pada saat ia tidak bersamanya, maka malaikat yang diamanahkan untuk menjaga dan mengawasinya berkata, “Semoga Allah mengabulkan; dan bagimu semoga mendapat yang semisalnya.” (HR. Muslim).
3.Disunahkan meminta doa dari saudaranya. Abu Dawud dan Tirmidzi meriwayatkan bahawa Umar bin Khatab berkata: Aku meminta izin kepada Nabi SAW untuk umrah, kemudian beliau memberikan izin kepadaku dan bersabda:
«لاَ تَنْسَنَا يَا أَخِيْ مِنْ دُعَائِكَ»
“Wahai saudaraku, engkau jangan melupakan kami dalam doamu.”
4Disunahkan mengunjungi orang yang dicintai, duduk bersamanya, saling menjalin persaudaraan, dan saling memberi kerana Allah, setelah mencintaiNya. Imam Muslim telah meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«أَنَّ رَجُلاً زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى فَأَرْصَدَ اللهُ تَعَالَى لَهُ مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ قَالَ: أَيْنَ تُرِيدُ؟ قَالَ أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ، قَالَ هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا عَلَيْهِ؟ قَالَ: لاَ، غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللهِ تَعَالىَ، قَالَ فَإِنِّي رَسُولُ اللهِ إِلَيْكَ بِأَنَّ اللهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ»
Sesungguhnya ada seseorang yang mengunjungi saudaranya di kota lain. Kemudian Allah memerintahkan Malaikat untuk mengikutinya. Ketika malaikat sampai kepadanya, ia berkata, “Engkau hendak ke mana?” Orang itu berkata, “Aku akan mengunjungi saudaraku di kota ini.” Malaikat berkata, “Apakah ada hartamu yang dikelola olehnya?” Ia berkata, “Tidak ada, hanya saja aku mencintainya kerana Allah.” Malaikat itu berkata, “Sesunggunya aku adalah utusan Allah kepadamu. Aku diperintahkan untuk mengatakan bahawa Allah sungguh telah mencintaimu sebagaimana engkau telah mencintai saudaramu itu kerana Allah.”
5.Senantiasa berusaha membantu memenuhi keperluan saudaranya dan bersungguh-sungguh menghilangkan kesusahannya. Hal ini berdasarkan hadis Mutafaq 'alaih dari Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda:
«الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ مَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللهُ عَنْهُ بِهَا كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ»
Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, ia tidak akan menzaliminya dan tidak akan membiarkannya binasa. Barangsiapa berusaha memenuhi keperluan saudaranya maka Allah akan memenuhi perluannya. Barangsiapa yang menghilangkan kesusahan dari seorang muslim maka dengan hal itu Allah akan menghilangkan salah satu kesusahannya kelak di Hari Kiamat. Barangsiapa yang menutup aib seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya di Hari Kiamat.
6.Disunahkan menemui orang yang dicintai dengan menampakkan (menzahirkan) perkara yang disukainya untuk menggembirakannya. Diriwayatkan oleh Thabrani dalam kitab As-Shagir, Rasulullah SAW bersabda:
«مَنْ لَقِيَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ بِمَا يُحِبُّ لَيَسُرَّهُ بِذَالِكَ, يُرِهِ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ»
Barangsiapa yang menemui saudaranya yang muslim dengan menampakkan perkara yang disukainya kerana ingin membahagiakannya, maka Allah akan memberikan kebahagiaan kepadanya di Hari Kiamat.
7.Disunahkan seorang muslim menemui saudaranya dengan wajah yang berseri-seri. Diriwayatkan dari Abu Dzar, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda:
«لاَتَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوْفِ شَيْأً، وَلَوْ أَنْ تَلْقَي أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ »
Janganlah meremehkan kebaikan sedikit pun, walau sekadar bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang berseri-seri (HR. Muslim).
8.Disunahkan seorang muslim memberikan hadiah kepada saudaranya, berdasarkan hadis bahawa Rasulullah saw bersabda:
«وَتَهَادُوْا تَحَابُّوْا»
Kalian harus saling memberi hadiah, maka kalian akan saling mencintai. (HR. Bukhari).
9.Disunahkan menerima hadiah yang diberi saudaranya dan membalasnya. Dasarnya adalah hadis daripada Aisyah riwayat Bukhari, ia berkata:
«كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْبَلُ الْهَدِيَّةَ وَيُثِيْبُ عَلَيْهَا»
“Rasulullah SAW pernah menerima hadiah dan membalasnya. “
Termasuk memberikan balasan hadiah yang setimpal adalah jika seorang muslim mengatakan kepada saudaranya, “Jazakallah Khairan”, ertinya semoga Allah membalasmu dengan kebaikan. Tirmidzi meriwayatkan dari Usamah bin Zaid, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ جَزَاكَ اللهُ خَيْرًا فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ»
Barangsiapa diberi kebaikan kemudian ia berkata kepada orang yang memberi kebaikan, “Jazakallah Khairan” (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh dia telah memberikan pujian yang sangat baik.
10.Harus berterima kasih kepada orang yang telah memberikan kebaikan kepadanya. Diriwayatkan dari Nu’man bin Basyir, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda:
«مَنْ لَمْ يَشْكُرِ الْقَلِيلَ لَمْ يَشْكُرِ الْكَثِيرَ وَمَنْ لَمْ يَشْكُرِ النَّاسَ لَمْ يَشْكُرِ اللهَ التَّحَدُّثُ بِنِعْمَةِ اللهِ شُكْرٌ وَتَرْكُهَا كُفْرٌ وَالْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ وَالْفِرْقَةُ عَذَابٌ»
Barangsiapa yang tidak mensyukuri nikmat yang sedikit, maka ia tidak akan dapat mensyukuri nikmat yang banyak. Barangsiapa yang tidak dapat bersyukur kepada orang, maka ia tidak akan dapat bersyukur kepada Allah. Membicarakan nikmat Allah adalah sama dengan bersyukur. Dan tidak membicarakan kenikmatan bererti mengingkari nikmat. Berjemaah adalah rahmat, bercerai berai adalah azab.
11.Disunahkan membela saudaranya untuk mendapatkan kemanfaatan dari suatu kebaikan atau untuk memberikan kemudahan dari suatu kesulitan. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW jika didatangi peminta-minta (pengemis), maka baginda suka berkata:
«اِشْفَعُوْا فَلْتُؤْجَرُوْا وَيَقْضِي اللهُ عَلَى لِسَانِ نَبِيِّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا شَاءَ»
Belalah dia, maka kalian akan diberikan pahala. Dan Allah akan memutuskan dengan lisan nabiNya tentang perkara yang ia kehendaki. (HR. Bukhari).
12.Wajib memberi kemaafan terhadap saudaranya. Diriwayatkan Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«مَنْ اعْتَذَرَ إِلَى أَخِيهِ بِمَعْذِرَةٍ فَلَمْ يَقْبَلْهَا كَانَ عَلَيْهِ مِثْلُ خَطِيئَةِ صَاحِبِ مَكْسٍ»
Barangsiapa yang mengajukan permintaan maaf kepada saudaranya dengan suatu alasan tapi ia tidak menerimanya, maka ia akan mendapat kesalahan seperti kesalahan pemungut pajak.
13.Wajib menjaga rahsia seorang muslim. Diriwayatkan Abu Dawud dan Tirmidzi dari Jabir, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
“Jika seseorang berkata kepada orang lain dengan suatu perkataan kemudian ia menoleh (melihat sekelilingnya), maka pembicaraan itu adalah amanah”.
14.Wajib memberi nasihat. Imam Muslim telah mentakhrij dari Abu Hurairah ra., ia berkata; sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
«حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللهَ فَسَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ»
Hak muslim ke atas muslim yang lain ada enam. Dikatakan, “Apa yang enam itu, Ya Rasulallah?” Rasul SAW bersabda, “Apabila engkau bertemu dengan saudara muslim yang lain, maka ucapkanlah salam kepadanya; Apabila ia mengundangmu, maka penuhilah undangannya; Apabila ia meminta nasihat kepadamu, maka berikanlah nasihat kepadanya; Apabila ia bersin dan mengucapkan al hamdu lillah, maka ucapkanlah yarhamukallah; Apabila ia sakit maka ziarahlah; Apabila ia meninggal dunia, maka hantarkanlah sampai ke kuburnya.”
Khatimah
Semoga dengan melaksanakan petunjuk Rasulullah SAW dalam mencintai seorang hamba keranaNya, kita dicintai Allah SWT sebagaimana hadis dari Umar bin Al-Khathab, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah mempunyai hamba-hamba yang bukan nabi dan bukan syuhada, tapi para nabi dan syuhada tertarik dengan kedudukan mereka di sisi Allah. Para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, siapa mereka dan bagaimana amal mereka? Semoga saja kami dapat mencintai mereka.” Rasulullah SAW bersabda, “Mereka adalah suatu kaum yang saling mencintai nikmat dan kurnia yang diberikan oleh Allah. Mereka tidak memiliki hubungan nasab dan tidak memiliki harta yang mereka kelola bersama. Demi Allah keberadaan mereka adalah cahaya dan mereka kelak akan ada di atas mimbar-mimbar dari cahaya. Mereka tidak berasa takut ketika banyak manusia berasa takut. Mereka tidak bersedih ketika banyak manusia bersedih.” Kemudian Rasulullah SAW membacakan firman Allah:
]أَلاَ إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ[
Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (TMQ. Yunus [10]: 62).
Posted by amn077 at 23:48 0 comments
Umar al-Khatab menjaga makan dan minum
UMAR al-Khatab adalah khalifah yang menggantikan Abu Bakar as-Siddiq. Umar seorang yang tegas dan terkenal dengan sifatnya yang adil, berani serta cekap semasa memerintah.
Umar al-Khatab dilahirkan pada tahun 584 Masihi berasal daripada Bani Adi berketurunan Quraisy.
Baginda adalah khalifah Islam kedua yang memerintah pada tahun 13 Hijrah hingga 23 Hijrah. Nabi Muhammad memberi gelaran al-Faruq kepada beliau.
Gelaran tersebut diberi kerana selepas memeluk Islam bagidan memberikan semangat baru kepada umat Islam untuk mengamalkan ajaran itu secara terang-terangan di Kota Mekah.
Baginda juga adalah khalifah pertama yang mendapat gelaran Amir al-Mukminin.
Pada zaman masyarakat jahiliah, Umar merupakan seorang saudagar. Umar dilantik menjadi khalifah kedua berdasarkan wasiat yang dibuat oleh Abu Bakar dan mendapat persetujuan ramai.
Umar meninggal dunia pada 23 Hijrah kerana ditikam oleh Abu Lu'lu iaitu seorang hamba berketurunan Parsi.
Zaman pemerintahan Umar dianggap sebagai 'zaman keemasan' kerajaan Islam di Mekah. Banyak pembaharuan dilaksanakan oleh baginda termasuklah bidang politik, sosial, pertahanan dan ekonomi.
Dalam bidang sosial, baginda mengembangkan pendidikan al-Quran dan memperkenalkan kalendar Islam yang berasaskan tahun Hijrah.
Di zaman Umar juga, banyak negara berada dalam kekuasaan Islam termasuk Baitulmaqdis.
Malah di Baitulmaqdis ketika itu terdapat seorang Paderi Besar yang enggan membuat sebarang perjanjian dengan orang lain kecuali dengan Umar. Peribadi baginda yang adil dan berani menjadikan Umar terkenal sebagai seorang sahabat Nabi yang dikagumi di kalangan umat Islam.
Umar juga seorang yang sentiasa menjaga makan dan minumnya daripada sumber yang halal. Pada suatu hari ada seorang lelaki membawa secawan susu buat Umar. Kerana dahaga, baginda terus meminum susu itu tanpa mengetahui dari ia diperoleh. Sesudah meminum susu itu beliau berasa pelik dengan rasa susu itu.
Tanpa berlengah, Umar bertanya kepada lelaki itu: "Dari manakah kamu dapat susu ini?"
Kemudian lelaki itu menjawab: "Saya mendapat susu ini daripada pengembala unta yang duduk menunggu unta yang disedekahkan di padang pasir di sana. Unta-untanya itu meragut rumput di situ."
Umar terkejut lalu menjolokkan jarinya ke dalam kerongkong memuntahkan air susu yang diminum.
Baginda berbuat demikian kerana tidak mengetahui asal usul pengembala dan rumput yang dimakan oleh unta itu milik siapa.
Pernah dilaporkan bahawa Umar juga seorang yang sangat berhati-hati, dan tidak mementingkan diri. Kisah ini terjadi ketika khalifah itu mendapat kasturi dari Bahrain.
Umar mendapat beberapa kilo kasturi. Beliau mempunyai masalah menimbang semua kasturi itu. Beliau berhajat memberikan kasturi itu secara sama rata kepada orang Islam yang berada di kawasannya.
"Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini. Saya mahu mengagihkan kasturi ini kepada semua orang Islam yang ada di sini supaya mereka dapat buah ini," kata Umar.
Mendengar berita itu, isterinya menawarkan diri menimbang kasturi itu. "Saya pandai menimbang kasturi itu," kata isteri Umar.
Umar tidak berkata apa-apa. Sejenak kemudian, beliau bersuara: "Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini?" Tidak ada orang yang menjawab.
Tetapi isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbangnya. "Saya pandai menimbang kasturi itu," kata isterinya itu. Umar hanya mendiamkan dirinya.
Kali ini masuk kali ketiga Umar bertanyakan soalan yang sama: "Siapakah yang mahu menimbang kasturi ini?"
Secara sukarela isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbang.
Pada kali ini Umar tidak berdiam diri lalu beliau berkata: "Saya tidak mahu kamu menyentuh kasturi itu kerana bau kasturi itu nanti pasti kamu sapukan kepada badanmu. Itu bukan hak kita."
Oleh kerana itu, Umar mahu orang lain selain daripada ahli keluarganya yang menimbang kasturi tersebut. Umar tidak mahu kedudukan dan kelebihannya sebagai khalifah disalahgunakan oleh ahli keluarga.
Posted by amn077 at 23:48 0 comments
Malaikat pencatat amalan manusia
SETELAH Allah SWT menerangkan bahawa antara tanda-tanda kurnia-Nya kepada manusia adalah penciptaannya dalam bentuk yang terbaik. Perkara itu menunjukkan bahawa manusia akan menempuh kehidupan lain selain kehidupan sekarang.
Di sana nanti mereka akan diberi balasan atas segala yang pernah dikerjakan sama ada baik atau buruk. Selanjutnya Allah SWT menjelaskan seseorang tidak akan menolak kebenaran melainkan kerana adanya sikap menentang dan mendustakannya. Perasaan hati membisikkan kebenaran itu dan dalil agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW menguatkannya.
Allah SWT tidak akan membiarkan satu amalan pun daripada amalan hamba-Nya, melainkan Dia akan menghitung dan memelihara untuk diberi balasan. Tugas mencatat segala amalan manusia ini telah diserahkan oleh Allah kepada para malaikat yang dilantik khusus.
Firman Allah SWT: Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan. Syed Qutb berkata: “Kamu tidak percaya kepada hisab dan balasan. Inilah punca kekeliruan dan kecuaian kamu terhadap Allah. Apabila hati mendustakan hisab dan balasan, maka ia tidak akan berdiri tegak di atas hidayah, kebaikan dan ketaatan. Kadang-kadang hati itu meningkat ke darjat yang tinggi dan luhur lalu ia taatkan Tuhannya dan beribadat kepada-Nya semata-mata kerana cintakan-Nya bukan kerana gentar kepada balasan seksa-Nya dan bukan tamakkan pahala dari-Nya tetapi tetap percaya kepada Hari Balasan dan menaruh perasaan takut kepadanya. Ia menunggu kedatangan hari itu untuk menemui Tuhan yang amat dicintainya. Tetapi apabila manusia tidak mempercayai hari Balasan, ia tidak taat kepada Tuhan-Nya dan hatinya tidak akan tenang selagi tidak mendapat hidayah.”
Firman Allah SWT: Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu. (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu). Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.
Ibnu Kathir berkata: “Dan sesungguhnya pada kalian ada malaikat yang sentiasa menjaga dan mengawasinya. Oleh yang demikian, janganlah kamu membalas mereka dengan perbuatan buruk, dan sesungguhnya mereka akan menulis semua amal perbuatan kamu.”
Al-Maraghi berkata: “Kita tidak diwajibkan untuk mencari Malaikat Hafazah atau mengetahui daripada bahan apa mereka dicipta, bentuk perbuatannya atau cara memelihara dan mencatatnya. Apakah memakai kertas dan pena atau papan tempat menulis amalan atau apakah mereka itu sebangsa roh dengan jelas melihat perbuatan manusia sehingga mengetahui kesan dan tulisan yang terdapat di kertas. Semua itu tidak termasuk dalam kewajipan kita untuk mengetahuinya tetapi yang wajib bagi kita hanyalah beriman kepada kebenaran berita itu dan menyerahkan urusan itu kepada Allah SWT.”
Firman Allah SWT: (Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) kerana sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam syurga yang penuh nikmat.
Ibnu Abbas RA berkata: “Apa yang wujud di dunia ini hanya memiliki kesamaan dari segi nama sahaja dengan apa yang wujud dalam syurga. Di syurga ada delima. Di dunia pun ada delima. Namun kesamaan di antara keduanya hanyalah dari segi nama sahaja. Di syurga ada tumbuh-tumbuhan yang berbau harum. Di dunia pun ada tumbuh-tumbuhan yang berbau harum. Tetapi kesamaan keduanya hanya dari segi namanya sahaja. Di syurga ada kurma. Di dunia pun ada kurma, tetapi tidaklah sama melainkan dari segi namanya sahaja. Oleh yang demikian, tidak dibenarkan menyamakan seratus peratus terhadap apa yang wujud di dunia ini dengan apa yang wujud di dalam syurga. Sebab ia hanyalah perumpamaan semata.”
Sebahagian ulama berpendapat bahawa syurga adalah mata air di mana airnya tenang dan jernih. Sebahagian ulama lain pula berpendapat bahawa ia adalah sungai yang mengalir luas.
Ia mempunyai suara dan mengandungi kebaikan tetapi hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Panjangnya sungai Rasulullah SAW sejauh jarak antara kota Sana' dengan Baitul Maqdis. Ia mengambil masa satu bulan untuk mengelilinginya. Airnya lebih putih dari susu. Rasanya lebih manis dari madu. Jumlah bejana yang terdapat di sungai itu seperti jumlah bintang-bintang yang bertaburan di langit.
Inilah gambaran sungai di syurga. Namun perlu diingat bahawa dalam syurga terdapat pelbagai sungai. Yang paling mulia sekali dari sungai yang banyak adalah sungai Nabi Muhammad SAW.
Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang. Mereka menderita bakaran neraka itu pada hari pembalasan. Dan mereka (sentiasa berada dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya.
Selepas Allah SWT menceritakan nikmat syurga, menjadi kelaziman disebutkan pula azab neraka sebagai peringatan kepada yang ingkar dan pelaku maksiat.
Gambaran neraka yang penuh dengan seksaan, azab dan ketakutan yang hebat tidak lain semata-mata memberi kesedaran kepada mereka supaya menjadi hamba Allah yang soleh, bertaqwa dan melakukan segala ketaatan sama ada yang wajib atau sunat semata-mata mengikhlaskan diri kepada Allah SWT.
Kemudian Allah menerangkan berkenaan tentang kedahsyatan serta bencana yang menggerunkan berkenaan dengan hari Kiamat dan hari Pembalasan.
Firman Allah SWT: Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari Pembalasan itu? Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari Pembalasan itu?
Al-Maraghi berkata: “Sungguh ajaib keadaan kamu memandang remeh kedatangan hari Pembalasan itu. Seolah-olah kamu telah mengetahui hakikatnya bagaimana untuk melepaskan diri daripada ketakutan yang akan menimpa kamu. Seandainya kamu mengetahui dengan sebenarnya, pasti hatimu menjadi lembut, kembali kepada Allah SWT dengan jalan taubat, banyak istighfar, meminta ampun dan memohon keampunan terhadap perkara yang telah kamu lakukan.”
Setelah itu Allah SWT menjelaskan hakikat kejadian hari Pembalasan menerusi firman-Nya yang bermaksud: (hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain, dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.
Syed Qutub berkata: Allah SWT sahaja yang berkuasa pada hari tersebut di dunia dan akhirat tetapi hanya pada hari Kiamat hakikat kuasa Ilahi yang tunggal tertera dengan sejelas-jelasnya. Kini hakikat tersebut tidak tersembunyi lagi kepada orang yang terpedaya dan tertipu
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Posted by amn077 at 23:47 0 comments
Dakwah Nabi Ibrahim
SEMASA meninggalkan Babylon, Nabi Ibrahim telah berhenti di sebuah tempat yang dinamakan Haran.
Penduduk Haran keseluruhannya menyembah bintang-bintang. Jelas, sekali lagi Nabi Ibrahim berhadapan dengan masyarakat yang berada dalam kesesatan.
Namun, Nabi Ibrahim tidak menyampaikan dakwah kepada mereka secara nyata. Baginda merancang dengan teliti supaya mereka dapat menerima ajaran yang dibawanya.
Pada mulanya Nabi Ibrahim berpura-pura mengamalkan ajaran yang sama seperti mereka.
Baginda bergaul seperti biasa bersama-sama dengan penduduk supaya kehadirannya sebaik mungkin.
Saban hari baginda duduk bercakap-cakap sambil menyampaikan ajaran yang dibawanya secara tidak langsung.
Dengan cara itu baginda dalam melihat tindak balas dan penerimaan penduduk terbabit.
Pada suatu hari, ketika duduk bersama mereka, Nabi Ibrahim telah menunjukkan ke arah sebutir bintang yang berada di langit. Baginda pun berkata: "Oh, inilah Tuhanku."
Tetapi apabila bintang itu hilang daripada pandangan, baginda pun berkata lagi: "Aku tidak menyukai Tuhan yang berubah-ubah dan timbul tenggelam di angkasa."
Keesokan harinya Nabi Ibrahim pun duduk lagi bersama dengan penduduk Palestin.
Apabila terbit sahaja matahari, Nabi Ibrahim pun berkata lagi: "Inilah Tuhanku kerana ia lebih besar daripada yang lain dan cahayanya lebih terang. Inilah yang patut aku sembah."
Apabila hari menjelang petang, matahari itu pun mulai terbenam. Melihat sahaja matahari terbenam, Nabi Ibrahim pun berkata kepada penduduk Palestin: "Sesungguhnya kamu telah tersesat dan terpengaruh oleh ajakan Iblis dengan penyembahanmu kepada bintang-bintang iaitu makhluk yang diciptakan oleh Tuhan yang Maha Kuasa.
"Sepatutnya Dialah yang kamu sembah dan bukan bintang-bintang ciptaan-Nya itu.
"Aku bebas daripada sembahan kepada Tuhan-tuhan kamu itu. Aku hanya menyembah kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi. Kepada-Nya aku beribadat dengan hati yang tulus ikhlas. Hanya Dia Tuhan yang aku sembah. Tidak ada Tuhan lain selain daripada-Nya. Sesungguhnya aku bukan tergolong dalam golongan yang musyrik."
Penduduk Palestin amat terkejut apabila mendengar kata-kata Nabi Ibrahim itu. Mereka mendapati Tuhan Nabi Ibrahim berbeza dengan tuhan mereka. Mereka berasakan Nabi Ibrahim telah tersesat dan perlu dikembalikan ke pangkal jalan. Nabi Ibrahim menolak ajakan mereka itu. Apabila baginda menolak ajakan tersebut, mereka pun mengajak baginda berdialog. Mereka berasakan bahawa merekalah yang benar.
Walau bagaimanapun, Nabi Ibrahim menolak ajakan mereka itu dengan berkata: "Kamu ingin berdialog denganku tentang ketuhanan kerana kamu berharap agar dapat mendorongku mengikut kamu menyembah yang batil dan sesat itu.
"Janganlah terlalu berharap. Harapan kamu akan sia-sia belaka. Tidak ada gunanya mengajak aku berdialog dengan kamu kerana Allah telah menunjukkan jalan yang benar dan akidah yang hak, sesuai dengan fitrah dan martabat manusia sebagai makhluk Tuhan yang utama."
Oleh yang demikian, mereka ternyata tidak berjaya untuk memesongkan akidah Nabi Ibrahim. Baginda tetap berpegang teguh dan beriman hanya kepada Tuhan yang Esa.
Posted by amn077 at 23:46 0 comments
Melatih Diri Menahan Nafsu dan Syahwat
Allah swt swt telah memberikan wahyu kepada Nabi Musa as:
"Wahai Musa, jika engkau ingin Aku lebih dekat kepadamu daripada ucapanmu kepada lisanmu, daripada keraguan hatimu kepada hatimu, daripada rohmu kepada badanmu,daripada cahaya penglihatanmu kepada matamu dan daripada pendengaranmukepada telingamu, maka perbanyakkanlahmembaca selawat ke atas Muhammad saw"
Allah swt swt telah berfirman:
Ertinya: "Hendaklah tiap-tiap orang memerhatikan apa yang diusahakannya untuk hari esok (hari Kiamat)" (Q.S. al Hasyr: 18)
Ketahuilah wahai manusia! Sesungguhnya nafsu yang memerintahkan kejahatan itu lebih memusuhimu daripada Iblis. Syaitan hanyalah memperalat nafsu syahwat untuk menguasaimu. Janganlah engkau tertipu oleh nafsumu dengan segala angan-angan dan kepalsuan.
Watak nafsu adalah merasa aman, suka berlengah-lengah, bersuka-suka dan malas.Setiap rayuannya adalah batil dan palsu belaka. Jika engkau rela menuruti rayuannya, hancurlah engkau. Jika engkau lambat memperhitungkannya tentu akan tenggelam. Jika engkau lemah melawannya, lalu mengikuti keinginannya, tentulah dia akan melemparmu ke Neraka. Nafsu tidak akan pernah menuju kepada kebaikan. Ia sumber bencana. Dialah markas Iblis serta tempat segala keburukan yang hanya diketahui oleh Allah swt. Sesungguhnya Allah swt mengetahui segala apa yang engkau perbuat, baik mahupun buruk.
Jika seorang hamba mahu merenungi umurnya yang telah lanjut untuk mencari Akhirat, maka sesungguhnya ia menyucikan hati. Seperti disebutkan oleh Rasulullah saw:
"Berfikir sesaat itu lebih baik daripada ibadah setahun."
Demikian dalam tafsir Abu Laits. Maka sayugianya bagi orang yang berakal segera bertaubat atas dosa yang telah lalu, dan memikirkan akan bekal mencapai keselamatan di Akhirat. Dia memutuskan angan-angan keduniaan, segera bertaubat, mengingat Allah swt, meninggalkan larangan-larangan-Nya, sabar menahan nafsu dan tidak memperturutkan keininan syahwat. Ingat! NAFSU ADALAH BERHALA. Barangsiapa menuruti nafsu bererti menyembah berhala. Orang yang menyembah Allah swt, dialah yang mampu menahan nafsunya.
Diceritakan bahawa Malik bin Dinar berjalan di pasar Basrah. Dia melihat buah tin hingga tumbuh keinginannya terhadap buah itu. Dia membuka kasutnya dan dia memberikan kepada penjual buah itu, seraya berkata,
"Berilah aku buah itu." dan si penjual melihat sandalnya, seraya berkata,
"Oh ini tidak cukup!"
Kemudian Malik berlalu. Maka dikatakan kepada penjual itu,
"Apakah engkau tidak mengetahui siapakah dia?"
Penjual itu menjawab, "Tidak."
Dikatakan kepadanya,"Dialah Malik bin Dinar."
Dengan segera penjual itu meletakkan bakul di bahu pelayannya seraya berkata,
"Jika dia menerima buah ini daripadamu, maka engkau merdeka!"
Kemudian pelayan itu pergi mengikut Malik bin Dinar lalu berkata padanya,
"Terimalah buah ini daripadaku."
Tetapi Malik menolak.
"Terimalah sebab di sinilah kemerdekaanku." kata pelayan itu. Kemudian Malik menjawab,
"Jika di sini kemerdekaan bagimu, di sini pulalah seksaan bagiku."
Namun pelayan itu tetap juga mendesak-desak. Sehingga Malik bin Dinar berkata,"Aku bersumpah tidak akan menjual agama dengan buah tin dan aku tidak mahu makan buah tin itu sampai hari Kiamat!"
Diceritakan pula bahawa Malik bin Dinar sedang sakit menghadapi mautnya. Dia ingin segelas madu dan susu untuk dimakan dengan roti panas. Pelayan segera menyediakannya. Kemudian Malik mengambil dan memandangnya sejenak seraya berkata,
”Wahai nafsu, engkau telah bersabar selama tiga puluh tahun, padahal umurmu tinggal sesaat lagi.”
Maka dia membuang gelas itu daripada tangannya, dia menahan nafsunya hingga dia meninggal. Demikianlah sifat para anbiya’, aulia’, siddiqin dan zahidin serta orang-orang yang merindukan Allah swt.
Telah berkata Nabi Sulaiman bin Daud as:
”Sesungguhnya mengekang nafsu itu lebih sulit daripada membuka sebuah kota bersendirian.”
Ali bin Abi Talib ra juga berkata:
”Aku dan nafsuku bagaikan gembala dengan kambingnya. Jika aku menahannya dari satu sisi, dia melompat dari sisi lain. Barangsiapa dapat menjinakkan nafsunya, dia akan dibungkus dengan kafan rahmat dan dikubur dalam bumi karomah. Tetapi barangsiapa yang membunuh hatinya, terbungkuslah dia dalam kafan laknat serta terkubur alam bumi azab!”
Zahya bin Muaz Ar Razi berkata:
”Perangilah nafsumu dengan taat dan riadah (latihan rohani). Riadah adalah mengurangi tidur, makan mahupun bercakap;menahan kepedihan daripada makhluk. Sedikit tidur akan menyucikan kehendak, sedikit berkata akan terselamat daripada bencana.Dan menahan pedih dapat menghantarkan sampai ke puncak. Bahkan sedikit makan dapat menundukkan syahwat. Sesungguhnya banyak makan dapat mengeraskan hati dan menghilangkan cahayanya. Dan cahaya hikmah adalah lapar. Serta kenyang dapat menjauhkan seseorang daripada Allah swt.
Sebagaimana Rasulullah saw telah bersabda:
”Terangilah hatimu dengan lapar. Perangilah nafsumu dengan lapar dan haus. Serta sentiasalah mengetuk pintu Syurga dengan lapar. Sesungguhnya pahala demikian itu bagaikan pahala pahlawan membela agama Allah swt. Dan sesungguhnya tidak ada amal yang lebih disukai oleh Allah swt daripada lapar dan haus. Tidak akan ke kerajaan langit seseorang yang memenuhi perutnya dan kehilangan lazatnya beribadah.”
Telah berkata Abu Bakar as-Siddiq ra:
”Aku tidak pernah kenyang semenjak aku masuk Islam agar kutemukan lazatnya beribadah kepada Tuhanku. Dan aku tidak pernah minum puas semenjak masuk Islam kerana rindu berjumpa dengan Tuhanku. Ini kerana jika banyak makan akan sedikit beribadah. Sesungguhnya jika orang banyak makan beratlah badannya, mengantuk dan lemahlah anggota badannya sehingga tidak membuahkan sesuatu. Dia tidur melulu bagaikan bangkai terbuang.”
Demikianlah dalam kitab `Minhajul Abidin’.
Daripada Luqman Al Hakim, dia berkata kepada puteranya:
”Janganlah engkau banyak tidur dan makan. Barangsiapa memperbanyak keduanya, pada hari Kiamat dia miskin amal soleh.” Ini tersebut dalam kitab ’Maniyyatul Mufti’.
Rasulullah saw telah bersabda:
” Janganlah engkau membunuh hati dengan banyak makan dan tidur. Sesungguhnya hati akan mati bagaikan tanaman jika tergenang air.”
Orang-orang soleh menafsirkan perut ibarat kuali di bawah hati. Jika terisi banyak akan menggenangi hati sehingga menjadi kotor dan hitam. Di samping itu banyak makan dapat mengurangi kecerdasan dalam mencari ilmu.
Diceritakan daripada Zakaria bin Yahya as. Dia melihat Iblis membawa beberapa tali. Kemudian dia bertanya,
”Apa itu?”
Iblis menjawab: “Inilah ‘syahwat’. Dengan ini akan aku akan ikat anak cucu Adam.”
Yahya bertanya lagi, ”Apakah kau pernah mengikatku dengan itu?”
Iblis menjawab, ”Tidak. Hanya pada suatu malam engkau makan sampai kenyang kerananya aku beratkan engkau melakukan solat.”
Kemudian Yahya berkata,
”Sesungguhnya telah kejadian itu aku tidak akan makan sampai kenyang selamanya.”
Iblis juga berkata, ”Sesungguhnya aku tidak akan melepaskan seseorang selamanya.”
Demikianlah orang yang tidak pernah kenyang selama hidupnya kecuali satu malam.Bagaimana orang yang tidak pernah lapar kecuali satu malam lalu mengharapkan lazatnya ibadah?
Diceritakan juga daripada Yahya bin Zakaria as. Pernah satu kali dia kekenyangan makan gandum. Pada malam itu dia tertidur ketika berwirid. Kemudian Allah swt memberi wahyu kepadanya seraya berfirman,
”Apakah engkau menemukan rumah untukmu yang lebih bagus daripada rumah-Ku? Apakah engkau menemukan teman yang lebih baik daripada berteman denganku? Demi kemuliaan dan keagungan-Ku jika engkau melihat syurga Firdaus lalu melihat neraka Jahanam, pastilah engkau akan menangis mengeluarkan nanah sebagai ganti air mata dan engkau akan memakai besi bagi menggantikan kain”.
www.iluvislam.com
Posted by amn077 at 23:43 0 comments
Bila Kamu Sebut Fasal Baitul Muslim
Pernah dengar tak kalimah ‘Baitul Muslim'?
Atau kadang-kadang orang ada sebut juga baitul dakwah dan sebagainya. Pernah dengar?
Saya dengar perkataan Baitul Muslim ini, semenjak saya berada di tingkatan 4. Masa itu, masih muda sangat lagi. Jadi, memang seronok kalau masuk bab-bab kahwin ini. Orang kata, perkara masa hadapan ni memang seronok kalau bincang. Lagi-lagi kalau masuk bab cinta-cinta ni.
Baitul Muslim yang membincangkan perihal hendak membina sebuah kehidupan berkeluarga yang diredhai ALLAH, pada awalnya saya anggap adalah satu konsep yang mengajar kita cara-cara memilih pasangan dengan baik. Saya nampak bahawa Baitul Muslim ini adalah satu konsep supaya lelaki perempuan tahu bercinta dengan betul. Saya yakin, ramai yang beranggapan seperti saya.
Tapi, bila saya membesar, rupanya anggapan saya itu silap.
Baitul Muslim hakikatnya bukanlah setakat berkenaan dua insan, yang satu lelaki dan yang satu lagi perempuan. Tetapi hakikatnya, Baitul Muslim itu lebih lagi dari sekadar hubungan dua insan. Baitul Muslim adalah salah satu tangga dari tangga-tanga ke arah pembinaan ummah yang diredhai ALLAH sebenarnya.
Masyarakat itu, terbentuk dari keluarga, keluarga itu terbentuk dari individu.
Sebab itu, Baitul Muslim ini bukanlah satu konsep menceritakan perihal cinta lelaki perempuan, atau cara memilih pasangan yang betul. Tetapi, Baitul Muslim adalah satu konsep untuk kita nampak keperluan wujudnya keluarga yang diredhai ALLAH, keperluan mencari isteri@suami yang diredhai ALLAH, keperluan mentarbiyah anak agar membesar dalam keredhaan ALLAH, seterusnya menjadikan keluarga kita keluarga contoh kepada masyarakat.
Dan semua itu, bukan bermula dari kita hendak mencari pasangan. Tetapi, itu semua bermula sedari saat kita berseorangan. Pengislahan diri, adalah permulaan ke arah pembinaan Baitul Muslim sebenarnya.
Hal ini, saya sedari ketika Cikgu Azmi Bahari, seorang guru di MATRI berkongsi pandangan berkenaan hal Baitul Muslim ini.
" Perkara Baitul Muslim ini, bukanlah kita fikirkan bila hampir nak kahwin. Sepatutnya hal ini kita fikirkan semenjak kita remaja lagi. Sebab perkara ini bukan perkara kecil. Perkara ini perkara besar"
Ya. Sebab, Baitul Muslim bukannya fasal nak kahwin dengan siapa, nak kahwin macam mana. Baitul Muslim hakikatnya adalah projek hendak membina ummah. Maka, hendak membina ummah ini, perlu kita mulakan dengan diri sendiri.
Sebab itu, hal ini bukan untuk kita fikir ketika hampir kahwin. Kita perlu fikir semenjak kita remaja lagi.
Tapi ramai salah anggap. Mereka kata, mereka tidak mahu berfikir akan hal pembinaan keluarga ini kerana mereka tidak mahu masuk campur hal cintan cintun semasa belajar. Sebenarnya, anggapan bahawa Baitul Muslim adalah konsep cintan cintun adalah anggapan yang tertolak. Baitul Muslim, adalah konsep pembinaan ummah. Berfikir berkenaannya, bukanlah kita berfikir kita hendak kahwin dengan siapa, tetapi kita berfikir bagaimana kita hendak membinanya bermula dengan diri kita.
Kita perlu mulakan dengan diri kita sebenarnya. Keluarga yang diredhai ALLAH tidak akan mampu dibangunkan hanya dengan usaha suami sahaja atau isteri sahaja. Maka, hendak atau tidak, jika kita mahu membina keluarga yang diredhai ALLAH SWT, kita perlu mulakan dengan membina diri kita.
Kita perlu nampak bahawa, nanti bila kita hendak berkahwin, kita perlu menjadi contoh kepada pasangan kita. Manusia itu tidak sama. Jadi, perlu ada rasa hendak lengkap melengkapi. Kita perlu nampak bahawa kita hendak menjadi penyokong kepada pasangan kita. Jadi, menjadi tanggungjawab diri kita untuk membina dan memperbaiki diri sedari hari ini.
Emosi, cara pandangan, cara pemikiran, harta, akhlak dan sebagainya, sudah perlu kita fikirkan. Adakah kita mampu membina keluarga yang diredhai ALLAH jika kita seorang panas baran? Adakah kita mampu menyara kehidupan keluarga kita dengan baik tanpa wang yang mencukupi? Adakah kita mampu memandu keluarga kita ke arah yang diredhai ALLAH jika cara pandangan dan cara pandangan kita tidak matang? Adakah kita mampu mendidik anak jika akhlak kita tidak baik?
Semua itu menyebabkan kita perlu bergerak ‘membina' Baitul Muslim semenjak hari ini. Bukanlah membina Baitul Muslim itu adalah dengan mencari pasangan mengikut ciri-ciri yang ditetapkan. Tetapi, membina Baitul Muslim itu bermula dengan kita membina diri kita sendiri ke arah apa yang ALLAH redha.
Itulah maksud membina Baitul Muslim yang sebenarnya. Bermula dengan diri kita.
Barulah kita ada kekuatan untuk membina keluarga yang diredhai ALLAH SWT, mendidik pasangan kita ke jalanNya, membimbing anak-anak di atas keredhaanNya, sekaligus menjadikan keluarga kita keluarga yang ALLAH SWT suka.
Sebab itulah, kata orang, tarbiyah (pendidikan) anak-anak itu bermula semenjak kita masih belum berkahwin lagi. Sebab, mentarbiyah diri kita juga adalah sebahagian dari perjalanan kita mendidik anak-anak kita.
Akhirnya, Baitul Muslim ini, bukanlah satu konsep cinta dua insan. Tetapi, Baitul Muslim ini adalah satu konsep untuk membina ummah. Pembinaan ummah, bermula dari diri kita sendiri.
Maka, apa lagi yang kalian tunggu?
Bergeraklah membina diri, persiapkan diri dari hari ini, untuk melakar masa hadapan yang indahnya abadi.
www.iluvislam.com
Posted by amn077 at 23:42 0 comments
Sunday, 7 November 2010
MARI DEMONSTRASI HARI-HARI
Sekadar melihat dari sudut yang berbeza. Bukan sengaja atau saja-saja untuk mencipta kelainan, tetapi sedar bahawa setiap kita ada titik buta (blind spot) masing-masing.
Dan perbezaan bukan semestinya satu pertentangan, ia hanya satu fitrah – manusia sentiasa unik. Ya, dari dimensi inilah saya melihat demonstrasi anti-Yahudi yang begitu marak sekarang.
Sejak sama-sama solat hajat di surau untuk ahli kariah kami yang turut berada di atas kapal misi bantuan yang diserang Israel itu, saya terus berfikir. Rasa marah, kecewa tetapi terus mengharap silih berganti dalam diri, yang saya pasti turut dirasai oleh kita bersama.
Palestin bukan soal ‘mereka’ tetapi soal ‘kita’. Dan hasil berfikir itu saya tumpahkan dalam sebuah artikel yang sengaja saya imiginasikan dalam bentuk dialog. Ikutilah dialog yang saya nukilkan selepas Subuh pagi tadi :
MARI KITA DEMONSTRASI HARI-HARI!
Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi, seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.
“Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika. Tapi kami masih rasional.”
Saya mengangguk-angguk kepala sahaja.
“Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri demonstrasi akan diatur minggu hadapan. Awak jangan lepas peluang.”
Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam, saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri, dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.
“Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit… janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak dan disekat bekalan makanan dan keperluan. Itu lagi teruk.”
Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan, “saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan pendirian kita menentang kekejaman Yahudi.”
“Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam. Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni.”
“Kenapa Pak Cik?”
“Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni.”
“Pak Cik hisap rokok apa?” saya mula teruja untuk berbual.
“Masih Winston. Dah sebati sejak dulu.”
“Winston from America?” bisik saya perlahan.
Kali ini Pak Cik tu pula mengangguk-angguk.
“Sakit-sakit Pak cik pun masih kuat berdemonstrasi. Apa pandangan adik tentang demonstrasi ini?” kilasnya mengalih arah perbualan.
“Ada langkah yang lebih utama dan pertama daripada itu,” tegas saya.
“Apa dia?”
“Solat Subuh berjemaah.”
“Kita cakap bab jihad, awak bercakap bab ibadat.” Muka pak Cik itu mula memerah. Tangannya mula digenggam.
“Jihad dan ibadat tidak terpisah. Bahkan ibadat itulah yang akan membangunkan roh jihad yang sejati.”
“Kita mesti sanggup memikul senjata.”
“Betul. Tetapi kuakkan dulu selimut menutup umat yang masih tidur menjelang Subuh.”
“Saya tak faham.”
“Pak Cik, Israel mesti ditentang menurut kaedah yang menyakitkan mereka.”
“Apa yang menyakitkan mereka?”
“Mereka bimbang sekiranya bilangan orang Islam yang solat subuh berjemaah sama dengan bilangan orang Islam yang solat Jumaat! Ini diakui oleh cerdik pandai mereka sendiri.”
“Jadi?”
“Sebaik-baik ‘demonstrasi’ ialah didik umat ini bersolat Subuh secara berjemaah di surau-surau dan masjid. Solat itu hubungan kita dengan Allah. Jangan harap musuh akan kalah, kalau Allah tidak bantu kita. Lihat di Badar, lihat di Khandak, bagaimana Rasulullah saw dan sahabat akrab dengan Allah. Lihat pula Salehuddin, lihat pula Muhammad al Fateh, bagaimana teguhnya mereka menjaga solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain.”
Hampir terlupa saya pada janji diri untuk lebih mendengar. Saya menarik nafas panjang. Kembali merenung Pak Cuik tersebut dengan senyuman.
“Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu? Mana kemarahan awak?”
“Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah. Tetapi jangan membakar rokok Amerika dan sekutu Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah berjuta-juta ringgit. Dan wang yang terkumpul itu hantarkan ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!”
“Awak sindir saya?”
“Pak Cik saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam, termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja tetapi pada tindakan tidak.”
“Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!”
Lagi-lagi ke situ fikirnya.
“Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut cara hidup mereka.”
“Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?”
“Pak Cik, lihat betul-betul. Apakah masyarakat kita telah bangunkan cara hidup Islam?”
“Kita orang Islam. Cara hidup kita mesti Islam.”
“Tidak Pak Cik. Ramai umat Islam yang tidak amalkan cara hidup cara Islam.”
“Contoh?”
“Dedah aurat, pergaulan bebas, riba, judi, arak, tinggal solat, budaya hedonisme dan dualisme masih berakar umbi dalam masyarakat kita. Lihat sahaja unsur tahyul, mistik, seks bebas dan gosip yang mendominasi media-media umat Islam. Tidak ikut cara hidup Islam bererti terperangkap dengan cara hidup isme kapitalis, sosialis mahupun liberalis.”
Pak Cik itu terkejut sedikit, lantas menyampuk, “mana Yahudinya. Awak kata Yahudi, tapi yang awak sebut golongan hedonis, liberalis, kapitalis dan sosialis?”
“Ketiga-tiga isme itu sama.”
“Sama?”
“Kesemuanya dicipta oleh golongan yang sama… ZionisYahudi!”
“Jadi demonstrasi ini tidak berfaedah?”
Saya menggeleng-gelengkan kepala perlahan.
“Ada faedahnya. Tetapi ia bermusim dan agak bersifat agak artifisial. Kita perlu agenda yang konsisten dan ‘genuine’.”
“Misalnya?”
“Ajak orang Islam serius solat lima waktu dengan penghayatannya sehingga dengan solat itu mampu meninggalkan kejahatan dan kemungkaran.”
“Lagi?”
“Tinggalkan riba, judi, arak dalam kehidupan umat Islam. Wanita Islam didakwah dan ditarbiah secara berhikmah untuk menutup aurat dalam ertikkata sebenar dan tinggalkan pergaulan bebas!”
“lagi?”
“Pak Cik, cara hidup Islam itu terlalu banyak. Dengan mengamalkannya satu persatu kita boleh ‘berdemonstrasi hari-hari’ terhadap atas Yahudi. Bila kita boikot cara hidup berseronok-seronok yakni hedonisme, ertinya kita boikot cara hidup Yahudi yang disalurkan melalui dalang-dalang mereka di Holywood.”
“Idola Amerika?”
“Ya. Juga idola kita yang meniru persis mereka. Bangsa yang leka berhibur akan mudah dijajah.”
Pak Cik itu batuk-batuk.
Saya urut belakangnya.
“Dah lama Pak Cik batuk? Berhentilah atau kurangkan perlahan-lahan ya Pak Cik?” kata saya seakan-akan merayu.
“Semangat Pak Cik kuat, saya doakan Pak Cik berjaya. Amin.”
“Tak terfikir pula saya begitu jauh kita dibius oleh cara hidup musuh yang kita benci.”
“Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insya-Allah, Yahudi akan gigit jari.”
“Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka kita dibakar. Jeritan Allah hu Akbar dalam demonstrasi itu baik, bersemangat tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai laungan Allah hu Akbar daripada umat yang tidak solat? “
“Eh, kami yang demonstrasi semua solat…”
“Bukan itu maksud saya. Tetapi seluruh umat Islam ini. Saya risau kerana ada kajian menunjukkan 80% umat Islam sudah tidak solat. Itu yang tidak solat langsung. Bayangkan pula yang solat tanpa ilmu, tanpa penghayatan dan tanpa khusyuk? Jadi berapa kerat umat ini yang benar-benar kompeten menghadapi Zionis dalam erti kata sebenar?”
Giliran Pak Cik itu tiba. Dia melangkah perlahan menuju bilik rawatan. Ditinggalkan sendirian begitu, saya lontarkan pandangan ke luar klinik. Terus merenung dan berfikir. Masih terbayang wajah pemimpin-pemimpin dan para pengikut yang ramai dalam demonstrasi seperti yang dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen. Alangkah indahnya jika demonstrasi dibuat seusai solat Subuh berjemaah dan sebelum itu didahului oleh qiamulail dan qunut nazilah?
Dan kemudian setelah selesai berdemonstrasi, para pemimpin dan ribuan pengikutnya itu terus sahaja mengamalkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, jabatan, unit, organisasi, masyarakat dan bahagian masing-masing. Bukan hari itu sahaja… tetapi hari-hari. Setiap hari!
Ah, bagaimana umat ini hendak disedarkan bahawa mengamalkan cara hidup Islam itulah cara penentangan yang paling dibenci oleh Yahudi? Firman Allah:
“Sekali-kali tidak redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah (cara hidup) mereka.”
Dan alangkah baiknya jika jeritan Allah hu Akbar, dibuktikan dengan penegakan hukum Allah dalam seluruh sistem kehidupan sekali gus ‘mengecilkan’ pandangan akal sendiri dalam menyusun dan mengatur kehidupan ini?
BLOG PAHROL MUHAMMAD JUOI
Posted by amn077 at 22:05 0 comments
10 Gangguan Syaitan Dalam Solat
1) WAS-WAS SAAT MELAKUKAN TAKBIRATUL IHRAM
Saat mulai membaca takbiratul ihram "Allahu Akbar" , ia ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sudah sah atau belum sah. Sehingga ia langsung mengulanginya lagi dengan membaca takbir. Peristiwa itu terus menerus terulang, terkadang sampai imamnya hampir ruku'.
Ibnul Qayyim berkata, "Termasuk tipu daya syaitan yang banyak menggangu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwudhu) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat". Was-was itu membuat mereka terseksa dan tidak nyaman.
2) TIDAK KONSENTRASI SAAT MEMBACA BACAAN SOLAT
Sahabat Rasulullah SAW iaitu ‘Utsman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah dan rancu". Rasulullah SAW menjawab, "Itulah syaitan yang disebut dengan Khinzib. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah SWT. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT menghilangkan gangguan itu dariku". (HR. Muslim)
3) LUPA JUMLAH RAKAAT YANG TELAH DIKERJAKAN
Abu Hurairah r.a berkata, "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, "Jika salah seorang dari kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggodanya sampai ia tidak tahu berapa rakaat yang ia telah kerjakan. Apabila salah seorang dari kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam". (HR Bukhari dan Muslim)
4) HADIRNYA FIKIRAN YANG MEMALINGKAN KONSENTRASI
Abu Hurairah r.a berkata, "Rasulullah SAW bersabda, "Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan tersebut. Apabila muadzin telah selesai azan, ia kembali lagi. Dan jika iqamat dikumandangkan ia berlari. Apabila telah selesai iqamat, dia kembali lagi. Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya, ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat! Sehingga orang tersebut tidak tahu berapa rakaat ia shalat". (HR Bukhari)
5) TERGESA-GESA UNTUK MENYELESAIKAN SOLAT
Ibnul Qayyim berkata, "Sesungguhnya ketergesa-gesaan itu datangnya dari syaitan, karena tergesa-gesa adalah sifat gelabah, asal dan sembrono yang menghalang-halangi seseorang untuk berperilaku hati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tergesa-gesa muncul karena dua perilaku buruk, iaitu sembrono dan terburu-buru sebelum waktunya".
Tentu saja bila solat dalam keadaan tergesa-gesa, maka cara pelaksanaannya asal. Asal mengerjakan, asal selesai dan asal jadi. Tidak ada ketenangan atau thuma'ninah. Pada zaman Rasulullah SAW ada orang shalat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah SAW memerintahkannya untuk mengulanginya lagi karana solat yang telah ia kerjakan belum sah.
Rasulullah SAW bersabda kepadanya, "Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah dari Al-Qur'an yang mudah bagimu, lalu ruku'lah sampai kamu benar-benar ruku' (thuma'ninah), lalu bangkitlah dari ruku' sampai kamu tegak berdiri, kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma'ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu" (HR Bukhari dan Muslim)
6) MELAKUKAN GERAKAN-GERAKAN YANG TIDAK PERLU
Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, maka Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat: "Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan tersebut berasal dari syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah SAW". Orang tersebut bertanya, "Apa yang dilakukannya?" Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya diatas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. "Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah SAW", kata Ibnu Umar. (HR Tirmidzi)
7) MELIHAT KE KANAN ATAU KE KIRI KETIKA SOLAT
Dengan sedar atau tidak, orang tersebut melihat ke kiri atau ke kanan, itulah akibat godaan syaitan penggoda. Kerana itu, setelah takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik. iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan tidak mudah dicuri oleh syaitan.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a, ia berkata, "Saya bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hukum melihat ketika solat". Rasulullah SAW menjawab, "Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba". (HR Bukhari)
8)MENGUAP DAN MENGANTUK
Rasulullah SAW bersabda, "Menguap ketika solat itu dari syaitan. Kerana itu bila kalian ingin menguap maka tahanlah seboleh mungkin". (HR Thabrani).
Dalam riwayat lain Rasulullah SAW bersabda, "Adapun menguap itu datangnya dari syaitan, maka hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ha... bererti syaitan tertawa dalam mulutnya". (HR Bukhari dan Muslim)
9) BERSIN BERULANG KALI SAAT SOLAT
Syaitan ingin menggangu kekhusyu'an solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas'ud, "Menguap dan bersin dalam solat itu dari syaitan" (Riwayat Thabrani). Ibnu Hajar mengomentari kenyataan Ibnu Mas'ud, "Bersin yang tidak disenangi Allah SWT adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah SWT. Hal itu tidak lain karena syaitan memang ingin menggangu solat seseorang dengan berbagai cara"
10) TERASA INGIN BUANG ANGIN ATAU BUANG AIR
Rasulullah SAW bersabda, "Apabila salah seorang dari kalian bimbang atas apa yang dirasakan di perutnya apakah telah keluar sesuatu darinya atau tidak, maka janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin telah mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya". (HR Muslim)
Berbahagialah orang-orang muslim yang selama ini terbebas dari berbagai macam gangguan syaitan dalam solat. Semoga kita semua dibebaskan oleh Allah SWT dari gangguan-gangguan tersebut. Dan bagi yang merasakan gangguan tersebut, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk.
Posted by amn077 at 22:04 0 comments