ABU Bakar as-Siddiq dilahirkan pada tahun 573 Masihi. Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Abi Quhafah. Berasal dari keturunan Bani Tamim, Abu Bakar terkenal sebagai seorang usahawan yang berjaya. Semasa hidupnya, beliau pernah menjadi penjual kain.
Sebelum memeluk agama Islam beliau terkenal dengan gelaran Abdul Kaabah. Selepas Abu Bakar memeluk Islam, gelaran as-Siddiq diberikan oleh Nabi Muhammad kepadanya kerana keikhlasan dan kejujurannya mengembangkan agama Islam.
Beliau juga taat dan setia kepada Nabi Muhammad.
Selepas Nabi Muhammad meninggal dunia, Abu Bakar dilantik menjadi khalifah pada tahun 11 Hijarah dan meninggal dunia pada 13 Hijrah.
Walaupun bergelar khalifah, Abu Bakar masih terus berniaga bagi menyara kehidupan keluarganya.
Malah pada hari selepas dilantik sebagai khalifah, beliau tetap berniaga kain di pasar.
Semasa dalam perjalanan ke pasar beliau terjumpa sahabatnya, Umar.
Selepas Umar melihat kelibat Abu Bakar, beliau hairan dan bertanya sendirian: "Bukankah Abu Bakar sudah dilantik menjadi khalifah. Mengapakah beliau masih lagi berniaga di pasar?"
Tanpa berlengah, Umar terus bertanya kepada Abu Bakar. "Adakah kamu hendak ke pasar?"
"Ya. Saya perlu berniaga pada hari ini bagi mencari rezeki," jawab Abu Bakar sambil memegang kain-kain yang mahu dijualnya itu.
Umar menjadi semakin hairan dan bertanya: "Sekiranya kamu masih sibuk dengan perniagaan kain, siapakah yang melaksanakan tugas sebagai seorang khalifah?"
Lalu Abu Bakar menjawab: "Saya perlu mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga saya. Sekiranya saya tidak berniaga seperti ini, saya tidak dapat menyara kehidupan keluarga saya. Siapa yang perlu membantu saya mencari rezeki ini?"
Selepas mendengar penjelasan Abu Bakar, Umar terus mengemukakan ideanya. Umar mencadangkan supaya mereka berjumpa ketua pegawai Baitulmal, iaitu Abu Ubaidah al-Jarrah.
"Mari kita berjumpa Abu Ubaidah. Beliau ialah ketua pegawai Baitulmal. Kamu perlu mendapatkan bantuan wang sara diri daripada Baitulmal," kata Umar kepada Abu Bakar.
Mereka berdua pergi berjumpa ketua pegawai Baitulmal. Sampai sahaja di sana, Abu Ubaidah berkata: "Wang sara diri yang saya berikan kepada Abu Bakar serupa dengan wang sara diri yang diterima oleh orang yang layak menerima bantuan, tidak lebih atau kurang."
Bermula dari hari itu, Abu Bakar menerima bantuan wang sara diri daripada Baitulmal. Abu Bakar juga menumpukan sepenuh masanya menguruskan negaranya. Beliau tidak lagi menjalankan perniagaannya.
wang sara diri
Pada suatu hari, isteri Abu Bakar mahu makan makanan yang enak. Pada waktu itu Abu Bakar tidak mempunyai wang bagi membeli makanan itu kerana kehidupan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada wang Baitulmal.
Isterinya mendapat satu idea: "Saya cuba bahagikan wang sara diri yang kita dapat ini sedikit demi sedikit. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Apabila wang itu sudah cukup, dapatlah saya beli makanan yang saya idam-idamkan itu".
Kemudian Abu Bakar menjawab, "Saya bersetuju dengan pendapat kamu itu".
Lama kelamaan wang yang disimpan oleh isterinya semakin banyak. Wang itu sudah cukup bagi membeli makanan yang dimahukan oleh isterinya.
Pada hari isterinya mahu pergi membeli makanan itu, Abu Bakar merasakan bahawa wang sara diri yang diterimanya sudah berlebih-lebihan. Wang itu sudah melebihi daripada keperluan hidup keluarganya.
"Isteriku, saya rasa elok kita kembalikan semula wang yang terlebih itu kepada pihak Baitulmal," kata Abu Bakar kepada isterinya.
Isterinya tidak membantah suruhan suaminya itu. Malah Abu Bakar turut meminta pihak Baitulmal mengurangkan bayaran wang sara diri yang diperolehinya itu.
Begitulah kehidupan seharian Abu Bakar. Hasil usahanya menjadi peniaga mendatangkan pendapatan yang cukup bagi menampung keperluan hidup keluarganya.
Menurut anaknya Aisyah, selepas meninggal dunia, Abu Bakar ada meninggalkan seekor unta betina, sebuah mangkuk dan seorang orang gaji. Malah Abu Bakar juga berpesan menyerahkan kebun kurma yang dimilikinya kepada Baitulmal.
Abu Bakar berbuat demikian kerana beliau mahu menggantikan semula wang sara diri yang diterimanya daripada Baitulmal selama beliau menjadi khalifah.
Sunday, 24 October 2010
Abu Bakar as-Siddiq seorang peniaga kain
Posted by amn077 at 23:03
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment