BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, 25 December 2010

Berusaha Capai Nikmat Syurga

SETIAP orang yang beriman pasti mengharapkan di akhirat kelak ditempatkan di dalam syurga. Tiada seorang pun di dunia ini yang tidak mempunyai cita-cita atau impian untuk memasuki syurga yang kekal abadi itu. Ini adalah kerana Allah SWT menjanjikan syurga kepada mereka yang beriman dan syurga adalah kemuncak kehidupan setiap insan cemerlang dalam segala aspek di dunia ini.

Ganjaran syurga juga menjadi motivasi tertinggi dan paling berkesan untuk mentaati segala perintah Allah dan mencipta kejayaan serta kegemilangan di dunia dan di akhirat. Oleh itu, setiap masa dan ketika umat Islam tidak pernah putus asa berdoa kepada Allah agar dijadikan ahli syurga dan dapat bersama-sama dengan modal insan unggul lagi agung iaitu sekalian nabi dan rasul di samping sahabat nabi, syuhada dan seluruh penghuni syurga lain. Penghuni syurga adalah mereka yang berjaya melepasi segala ujian, cabaran dan disiplin kehidupan di dunia apabila ia menjadi aspirasi orang yang beriman kepada Allah untuk sentiasa melakukan perubahan dalam hidup.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menggambarkan keindahan syurga seperti dalam surah Muhammad, ayat 15 yang bermaksud: “Sifat syurga yang dijanjikan kepada orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai daripada air yang tidak berubah (rasa dan baunya) dan beberapa sungai daripada susu yang tidak berubah rasanya serta beberapa sungai daripada arak yang lazat bagi orang yang meminumnya dan beberapa sungai daripada madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan yang tinggal kekal di dalam syurga yang sedemikian itu keadaannya sama seperti orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dan air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (sudah tentu tidak sama!).” Dalam buku Syurga Firdaus Idaman Istimewa tulisan Abdullah Al-Qari Salleh menerangkan syurga adalah seumpama sebuah ‘negara’ yang penuh dengan segala kenikmatan yang berkekalan dan menjadi tempat tinggal manusia yang berjaya serta cemerlang di dunia di mana semulia-mulia syurga ialah syurga Firdaus. Pelbagai nikmat disediakan melalui pemberian yang tidak dapat digambarkan pandangan manusia biasa, kesukaan yang muktamad, kesejukan mata dan kegembiraan hati yang tiada penghujungnya; perkara yang memecahkan selera keinginan berupa makan minum, pakaian, kahwin dan apa-apa penglihatan yang indah, cantik, pohon dan binaan yang terhias adalah persediaan Allah kepada bakal penghuni syurga kelak.

Syurga Firdaus menanti mereka yang bergelar pejuang, golongan syahid, orang yang awal dan segera dalam kebaikan, elok akhlaknya, penghafaz dan pengamal al-Quran, ilmuwan Islam serta pembenar. Rasul adalah model mereka yang terbilang dalam kehidupan beragama. Oleh demikian, sebagai prasyarat ahli syurga maka umat Islam perlulah menjauhi kemungkaran, sikap sambil lewa dan tidak khusyuk dalam sembahyang, bercakap dan berbuat perkara sia-sia, tidak mengeluarkan zakat, tidak memelihara keaiban, tidak amanah, tidak memelihara sembahyang fardu dalam waktunya dan sifat mazmumah (negatif) lain yang dilarang agama. Manakala dalam buku Keindahan Syurga karya Kasmuri Selamat pula menerangkan keindahan abadi syurga yang digambarkan dalam al-Quran sememangnya belum pernah dilihat sesiapa mahupun didengar telinga atau terlintas di hati seperti diriwayatkan daripada hadis Rasulullah. Ini menjadikan syurga adalah destinasi agung yang ditunggu-tunggu mereka yang taat serta patuh segala perintah agama dan setiap umat Islam sudah tentu tidak sabar memasukinya.

Menariknya kedatangan penghuni syurga kelak akan disambut malaikat, Hurul-Aini dan kanak-kanak yang meninggal ketika kecil apabila golongan itu adalah mereka yang sangat dimuliakan tanpa sebarang dosa dan suci. Biarpun begitu, bukan mudah untuk memasuki syurga kerana terdapat beberapa syarat dan kriteria lain yang perlu dipenuhi setiap orang beriman apabila antara ciri-ciri calon penghuni syurga ialah gemar bersedekah, berwakaf, yakin kepada kebenaran kitab al-Quran, percaya kepada kitab yang diturunkan Allah, yakin akan kehidupan akhirat, penyabar, sentiasa menyerah diri kepada Allah dan banyak lagi amal kebaikan serta kebajikan yang perlu dilaksanakan di dunia ini sebelum dihitung di akhirat sebagai lesen memasuki syurga.

Malah, seperti juga keadaan di muka bumi, digambarkan syurga juga mempunyai bangunan dan segala kelengkapan yang diperlukan untuk kehidupan seharian di sana. Ini termasuklah peralatan rumah, pakaian dan pasar. Dalam surah Al-Furqan ayat 10, Allah SWT berfirman: “Maha suci (Allah) yang jika Dia menghendaki, nescaya dijadikanNya bagimu yang lebih baik daripada yang demikian, (iaitu) syurga yang mengalir sungai di bawahnya dan dijadikan-Nya (pula) untukmu istana.” Dalam sebuah hadis Nabi pula bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas 10 kali, maka Allah akan membangunkan baginya rumah di syurga“. (Riwayat Muslim). Melihat kepada rahsia, strategi dan panduan eksklusif menjadi calon ahli syurga di atas maka isunya adalah sejauh manakah kita membuat persediaan serta persiapan bagi memastikan diri kita, keluarga dan masyarakat Islam seluruhnya diterima masuk sebagai penghuni syurga yang kekal abadi itu? Adakah kita masih selesa dengan prestasi iman dan KPI ibadah kita selama ini atau adakah kita sudah berasakan sememangnya layak didaftarkan sebagai ahli syurga. Pertanyaan itu perlu dan boleh dijawab berpandukan kayu ukur iman dan amalan kebajikan dilakukan. Mungkin benar pepatah ada mengatakan ‘tepuk dada, tanya iman dan amal soleh kita’. Oleh yang demikian, pada Syaaban ini sebagai landasan menuju madrasah Ramadan yang mulia, maka marilah kita memperbanyakkan doa, usaha dan munajat kepada Allah agar ditempatkan di dalam syurga yang tertinggi di samping meningkatkan amal ibadat sama ada sunat atau wajib kerana terdapat ganjaran pahala yang sangat besar kepada mereka yang mengerjakannya sepanjang bulan yang mulia ini.

0 comments: