SEMASA meninggalkan Babylon, Nabi Ibrahim telah berhenti di sebuah tempat yang dinamakan Haran.
Penduduk Haran keseluruhannya menyembah bintang-bintang. Jelas, sekali lagi Nabi Ibrahim berhadapan dengan masyarakat yang berada dalam kesesatan.
Namun, Nabi Ibrahim tidak menyampaikan dakwah kepada mereka secara nyata. Baginda merancang dengan teliti supaya mereka dapat menerima ajaran yang dibawanya.
Pada mulanya Nabi Ibrahim berpura-pura mengamalkan ajaran yang sama seperti mereka.
Baginda bergaul seperti biasa bersama-sama dengan penduduk supaya kehadirannya sebaik mungkin.
Saban hari baginda duduk bercakap-cakap sambil menyampaikan ajaran yang dibawanya secara tidak langsung.
Dengan cara itu baginda dalam melihat tindak balas dan penerimaan penduduk terbabit.
Pada suatu hari, ketika duduk bersama mereka, Nabi Ibrahim telah menunjukkan ke arah sebutir bintang yang berada di langit. Baginda pun berkata: "Oh, inilah Tuhanku."
Tetapi apabila bintang itu hilang daripada pandangan, baginda pun berkata lagi: "Aku tidak menyukai Tuhan yang berubah-ubah dan timbul tenggelam di angkasa."
Keesokan harinya Nabi Ibrahim pun duduk lagi bersama dengan penduduk Palestin.
Apabila terbit sahaja matahari, Nabi Ibrahim pun berkata lagi: "Inilah Tuhanku kerana ia lebih besar daripada yang lain dan cahayanya lebih terang. Inilah yang patut aku sembah."
Apabila hari menjelang petang, matahari itu pun mulai terbenam. Melihat sahaja matahari terbenam, Nabi Ibrahim pun berkata kepada penduduk Palestin: "Sesungguhnya kamu telah tersesat dan terpengaruh oleh ajakan Iblis dengan penyembahanmu kepada bintang-bintang iaitu makhluk yang diciptakan oleh Tuhan yang Maha Kuasa.
"Sepatutnya Dialah yang kamu sembah dan bukan bintang-bintang ciptaan-Nya itu.
"Aku bebas daripada sembahan kepada Tuhan-tuhan kamu itu. Aku hanya menyembah kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi. Kepada-Nya aku beribadat dengan hati yang tulus ikhlas. Hanya Dia Tuhan yang aku sembah. Tidak ada Tuhan lain selain daripada-Nya. Sesungguhnya aku bukan tergolong dalam golongan yang musyrik."
Penduduk Palestin amat terkejut apabila mendengar kata-kata Nabi Ibrahim itu. Mereka mendapati Tuhan Nabi Ibrahim berbeza dengan tuhan mereka. Mereka berasakan Nabi Ibrahim telah tersesat dan perlu dikembalikan ke pangkal jalan. Nabi Ibrahim menolak ajakan mereka itu. Apabila baginda menolak ajakan tersebut, mereka pun mengajak baginda berdialog. Mereka berasakan bahawa merekalah yang benar.
Walau bagaimanapun, Nabi Ibrahim menolak ajakan mereka itu dengan berkata: "Kamu ingin berdialog denganku tentang ketuhanan kerana kamu berharap agar dapat mendorongku mengikut kamu menyembah yang batil dan sesat itu.
"Janganlah terlalu berharap. Harapan kamu akan sia-sia belaka. Tidak ada gunanya mengajak aku berdialog dengan kamu kerana Allah telah menunjukkan jalan yang benar dan akidah yang hak, sesuai dengan fitrah dan martabat manusia sebagai makhluk Tuhan yang utama."
Oleh yang demikian, mereka ternyata tidak berjaya untuk memesongkan akidah Nabi Ibrahim. Baginda tetap berpegang teguh dan beriman hanya kepada Tuhan yang Esa.
Saturday, 20 November 2010
Dakwah Nabi Ibrahim
Posted by amn077 at 23:46
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment