BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 7 November 2010

Kita pemuda untuk pemuda

Tiada siapa yang tidak mahukan pernikahan, apatah lagi ditengah lautan godaan dan bisikan hedonisme yang dilanda amuk gelora. Sana sini suasana meresahkan jiwa. Dan bagi pemuda, ia bagaikan suntikan bius yang mengasyikkan. Gelekan si wanita dengan aroma si 'gedik' penggoda. Langsung lupa amaran Rasulullah s.a.w bahawa yang memakai aroma lebihan dari biasa umpama pelacur yang menjual maruah!

Innalillah, menginjak usia, mengejar masa, pemuda semakin resah, kerna ibarat zaman ini zaman kebinatangannya berleluasa. Manakan tidak, hidup manusia bagaikan hidup seekor harimau dominan yang berpaksikan menjaga kawasan dan mencari seberapa banyak harimau betina untuk meneruskan baka. Tapi malang sekali, manusia kini lebih hina dari haiwan-haiwan yang Allah ciptakan.
Mereka mendekati zina. Satu dosa. Mereka melakukan seks rambang. Satu dosa. Mereka membuang anak merata. Satu dosa. Mereka membunuh pula janin dan bayi tak berdosa. Satu dosa. Apakah mereka tidak melihat betapa penyesalan seberat gunung yang akan mereka kendong selepas ini?

Orang muda, darahnya bisa panas serta merta. Kata orang geloranya tidak dapat dikekang dengan sekadar terbuka matanya untuk menjauhi dosa. Ya benar. Tidak dinafikan mengapa baitul muslim juga tumbuh bagai cendawan melata. Ustaz dan ustazah bersungguh-sungguh mencarikan pasangan halal untuk anak muridnya.

Bahkan ada diantara mahasiswa yang 'bersengkang mata' demi memastikan rakannya menerima pasangan hidup yang soleh dan solehah. Walhal dirinya sendiri belum berpunya. Walhal dirinya sendiri dalam gelora.

Melihat sahaja lirikan kelibat muslimah berpurdah, hampir gugur jantungnya. Melihat sahaja muslimah bertudung labuh hingga ke bawah, sudah juling matanya. Bagaimana? Pakaian yang sememangnya sudah menutup aurat masih tetap tidak dapat mengelakkan fitnah. Salah siapa?
Pemuda...pemuda...pemuda.... bagaimana hidup kalian ketika ini? Adakah umpama Yusuf yang sanggup dipenjara demi cintanya kepada Allah?, atau seperti Musa yang sentiasa menjaga maruah biarpun hatinya terdetik untuk si gadis pengembala?

Pemudi, bagaimana kalian pula? Adakah kalian mencontohi Zulaikha yang kabur kerana ketampanan Yusuf?, atau seperti Asiah yang imannya tetap subur ditengah celakanya Fir'aun laknatullah?, atau kalian seperti Sumayyah yang syahid kerana mempertahankan imannya?.

Nah...! Jauh sekali. Kita tidak berhadapan dengan seksaan Fir'aun dan Namrud laknatullah. Kita tidak berdepan dengan pemerintah zalim yang menghalang kalimah Allah seperti zaman Ashabul Kahfi. Kita tidak dikelilingi oleh mata-mata yang sentiasa mengawasi pergerakan kita seperti Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabatnya di tengah jahiliah masyarakat Mekah.

Tetapi kita dikelilingi panahan-panahan hedonisme Yahudi celaka. Kita diselebungi nyanyian dan tarian dari kafir Bollywood sana. Kita dikaburi dengan sinaran harta dan kesenangan dari kafir laknatullah!!!

Panahan-panahan mereka yang berjaya memadamkan semarak api jemaah di Subuh hari. Panahan-panahan kurang ajar yang telah menidurkan pemuda dari bangkit bertahajud di malam hari. Panahan-panahan yang telah menumpaskan pemikiran seorang pemuda yang sepatutnya sedang memegang pedang dan panji Islam di muka bumi ini sambil melaungkan kalimah "LAILAHAILLALLAH!".

YA AYYUHA SYABAB! AINA ANTUM?
WAHAI PEMUDA! DI MANA KAMU?
APAKAH MASIH BERSELINGKUH,
MENARIK SELIMUT DAN BANTAL KEASYIKKAN DUNIA?
APAKAH KALIAN MASIH BERDENGKUR,
MENGECAP MIMPI TARIAN WANITA PENGGODA?
TIDAKKAH KALIAN SEDAR, NUN JAUH DI SANA,
PEMUDA PALESTINA BERJUANG MERAIH NYAWA HANYA DENGAN BATU BATA?
TIDAKKAH KALIAN SEDAR, NUN DI EROPAH SANA,
MUSLIMAH KITA TERPAKSA BERHADAPAN DENGAN PENJARA, HANYA KERANA TETAP MAHU BERTUDUNG MENJAGA AURATNYA?
TIDAKKAH KALIAN SEDAR, DI SINI, DI BUMI KITA BERDIRI,
RAKAN-RAKAN PEMUDA, YANG CELIK MATANYA, YANG MEMPUNYAI KEINGINAN MEMBANTU KALIAN,
TERCATUK TERPANA KERANA BERSENDIRIAN DITENGAH AMUKAN HEDONISME?
Andai kalian tidak mahu membantu, tidak mengapa. Tetapi sebentarlah. Berikan beberapa ketika untuk mendengar apa yang mahu kami katakan. Kami tidak menghina kalian. Kerana kami sayangkan kalian semua. Kita sama-sama pemuda, ada masalah, kita kongsi bersama.

Janganlah dibiarkan, hanya kerana kalian terleka lantas membuat dosa, kalian rasakan tidak ada yang akan duduk bersama, mendengar kekesalan dan rintihan dari kalian. Kami bersedia! kerana kami juga pemuda. Kami juga merasa. Kami merasa setiap kegundahan yang kalian rasakan.

Ayuhlah wahai pemuda!. Muslimin, muslimah. Alhamdulillah, kita dicelikkan mata kerana Allah. Jadi, jangan sesekali kita memandang sinis dan hina pada sahabat kita yang telah bergelumang dengan dosa diluar sana. Tiada siapa yang tahu, mungkin kelak, mereka akan bertaubat, lantas menjadi muslimin dan muslimah yang hidupnya hanya mengharapkan redha Allah. Dan mungkin kelak, kita akan terjatuh terduduk bergelumang dalam noda dan dosa, Na'uzubillah... tiada siapa yang tahu. Tiada siapa yang mahu.

Bukalah mata, kerna sinar mentari kan tetap terbit jua. Selagi mana nyawa masih ada, selagi itu keampunan Yang Maha Esa masih segar untuk kita. DIA sedang menunggu kita sahabatku. DIA sedang menunggu kita. DIA sedang menunggu kembalinya hamba kepada penciptanya....

0 comments: