BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday, 26 November 2010

Sijjiin kitab suratan amal orang berdosa

AL-MARAGHI berkata: Setelah Allah SWT menerangkan orang yang mengurangkan timbangan hanya orang yang mengingkari ancaman Allah SWT, iaitu ancaman tentang peristiwa penahanan di hadapan Allah SWT, hitungan amalan dan seksaan kepada orang kafir dan derhaka.

Seterusnya Allah SWT memerintahkan mereka menyudahkan perbuatan dosa mereka dan menerangkan bahawa penderhaka itu telah disediakan buku catatan amalan untuk dihitung segala amalan.

Kemudian ditulis: Kecelakaan besar bagi orang yang mendustakan hari pembalasan.
Firman Allah SWT: Tidak sepatutnya (Mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari Akhirat)! Sesungguhnya kitab suratan amal orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam "Sijjiin". Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia "Sijjiin" itu. Ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata, (yang menghimpunkan amalan orang-orang yang berdosa).
Syed Qutub berkata: Maksud kata-kata al-Fujjar ialah penderhaka yang melampaui batas, maksiat dan dosa.

Syeikh Muhammad Abduh berkata: Boleh jadi kata sijjin diambil dari bahasa Habsyah (Euthopia) yang bererti lumpur. Boleh jadi catatan amalan para penderhaka itu ditulis dalam sejenis lumpur atau dengan menggunakan lumpur sebagai tinta. Ini merupakan misalan amalan mereka begitu buruk sehingga ditulis dengan sesuatu yang sangat remeh dan buruk iaitu lumpur.

Firman Allah SWT: Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan. Iaitu mereka yang mendustakan hari pembalasan. Dan tiada yang mendustakannya melainkan tiap-tiap orang yang melampaui batas (kebenaran), lagi amat derhaka!
Mohd Quraish Shihab berkata: Setelah ayat yang lalu menjelaskan tempat kitab amalan para penderhaka, ayat di atas menjelaskan kecelakaan yang menanti para penderhaka itu.

Al-Maraghi berkata: Orang yang mendustakan hari Pembalasan adalah orang yang melanggar kebenaran dan membiasakan diri berbuat kejahatan (dosa-dosa). Oleh yang demikian, dia sukar untuk mempercayai berita yang berkaitan dengan akhirat. Disebabkan dia tidak mahu memerhatikan dalil-dalilnya dan merenungkan bukti kebenarannya sehingga dia sendiri mencari dalih untuk mengingkari, menganggap remeh kerana kelalaiannya atau menguntungkan angan-angan kepada pertolongan para wali atau pemberi syafaat.

Sementara itu, orang yang memihak kepada keadilan dan berdiri dengan syariat dan sunnah Allah SWT pada alam ini amat mudah baginya untuk membenarkan adanya hari akhir yang sesuai dengan kecenderungan yang ada pada dirinya.
Firman Allah SWT: (sehingga) apabila ia dibacakan kepadanya ayat-ayat kami, ia berkata: Ini ialah dongeng orang-orang dahulu kala!
Syed Qutub berkata: Ini kerana terdapat dalam al-Quran kisah-kisah umat terdahulu yang diceritakan Allah SWT bertujuan memberi pengajaran dan contoh teladan. Ia juga untuk menunjukkan undang-undang Allah SWT tetap dan tidak pernah meleset untuk menghukum manusia dengan tepat, teratur dan tidak dapat dihindari mereka.

Al-Maraghi berkata: Ayat tersebut boleh difahami bahawa dongengan adalah kebatilan yang diperlihatkan oleh nenek moyang mereka dahulu. Lalu mereka mendustakannya. Padahal yang demikian itu mereka tidak mahu. Dengan demikian kami bukan orang yang pertama mendustakan hingga kamu sendiri menyangka kebohongan kami dianggap tergesa-gesa. Kami hanya mengikut nenek moyang kami yang terdahulu.

Penutup
Ayat-ayat yang dibicarakan ini jelas menunjukkan ancaman kepada golongan yang mengurangkan sukatan timbangan tetapi melebihkan bagi pihak mereka sendiri. Ini perangai yang dimurkai Allah SWT kerana wujudnya unsur penipuan, kezaliman dan ketidakadilan. Semoga Allah SWT memelihara kita daripada terjebak dari perbuatan tersebut sebaliknya menjadi insan rabbani yang penuh dengan sifat amanah.


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

0 comments: