BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 29 May 2011

Aura dan Getaran: Tenaga Dari Manusia Yang Hebat

Aura dan getaran adalah dikaitkan dengan gelombang elektromagnetik pada frekuensi tertentu yang berlegar di sekitar tubuh manusia. Ia juga dikaitkan perlanggaran atom, elektron dan elemen di sekitar tubuh yang menghasilkan tenaga. Kesan kekuatan gelombang ini boleh dilihat dengan pandangan fizikal ke atas mereka yang mempunyai banyak aura dan getaran positif.

Begitu banyak kajian dilakukan oleh golongan barat dan pengkaji-pengkaji biologi tentang kewujudan aura dan getaran. Seorang saintis Rusia contohnya menghabiskan 50 tahun mengkaji tentang aura dan pembacaannya menggunakan kesan Kirlian. Malah sudah ada pengusaha diserata dunia menggunakan kesan Kirlian untuk membaca aura seseorang bagi mengesan masalah kesihatan mereka.

Tapi adakah aura ini wujud di dalam Islam? Adakah ini semua ajaran karut yang membuat manusia memikirkan seseorang itu boleh mempunyai tenaga baik dan tenaga jahat yang boleh mempengaruhi seseorang? Hakikatnya ia telah ada didalam Islam dan dikenali sebagai NUR.

Apakah itu Nur? Nur berasal daripada perkataan arab yang bermaksud cahaya. Ia bukanlah cahaya fizikal tetapi cahaya mental atau kesan refleksi tenaga yang mana boleh dilihat penzahirannya daripada cara hidup seseorang. Nur bukan sahaja dikaitkan penzahirannya melalui tenaga malah penzahirannya kepada fizikal seseorang.
Di dalam islam, kekuatan Nur seseorang itu akan lebih terserlah daripada iman dan amalan hidup Islamnya yang mana amalan tersebut dipenuhi dengan nilai positif, keikhlasan, keyakinan, kebenaran dan semangat.

Wajah seseorang yang mempunyai Nur itu sentiasa bersih dan menyegarkan mata orang lain yang memandang. Kedapatan hadith sahih yang menggambarkan Rasulullah itu mempunyai wajah yang berseri-seri, berkulit bersih, alisnya yang lentik, tidak kurus atau gemuk serta wajah yang rupawan.

Begitu juga dikatakan ucapannya itu menyejukkan kalbu mereka yang mendengar. Hadirnya Rasulullah dirasai mereka seolah sedang datang ketenangan dan kegembiraan kepada mereka. Ini sebenarnya yang dikatakan Nur dan mungkin dikatakan sebagai getaran aura bagi pengkaji bukan Islam.
Mari kita lihat hasil kajian orang bukan Islam tentang aura dan ajaran Islam yang sedia ada.

Persekitaran
Kajian menjelaskan peranan persekitaran terhadap aura seseorang. Seseorang yang rajin menghirup udara segar, melihat matahari terbit serta menjaga kebersihan alam persekitarannya dikatakan mampu memperbaiki aura dirinya.

Ia lebih dikaitkan dengan satu kaedah dan cara kehidupan yang lebih sihat, sempurna, jauh dari pencemaran serta banyak berhubung dengan alam semulajadi.
Didalam Islam pula sememangnya telah diajar umat tentang pentingnya menjaga kebersihan dan terdapat dalil yang menyokong perkara ini. Selain itu, orang Islam diseru supaya tidak tidak tidur apabila matahari terbit kerana ia mampu menjemput penyakit.

Dalam perihal alam semulajadi pula, kedapatan hadith yang menerangkan tentang perlunya menjaga alam contohnya sabda Rasulullah "Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan." Hadis riwayat Muslim.

Oleh yang demikian haruslah kita ingat bahawa perlunya kita mengambiltahu tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam, kebersihan persekitaran dan tempat tinggal serta peranan waktu pagi dalam kehidupan. Kita tidak sedar agama telah pun mengajar kita menjaga aura dan getaran dengan penghayatan alam.

Nutrisi dan Pemakanan
Kajian mengatakan makanan yang bersih serta segar mampu menaikkan aura seseorang. Selain itu, hanya bahagian-bahagian terpilih yang tertentu pada makanan yang berzat dan tidak mempunyai elemen kekotoran sahaja yang harus dimakan.

Apa kurangnya Islam yang sememangnya mempunyai panduan khas dalam pemakanan yang suci dan halal. Islam lebih teliti dan tersusun dalam menentukan kesucian pemakanan dan sememangnya ada kategori dan bahagian tertentu pada haiwan makanan itu tidak digalakkan untuk dimakan sungguhpun halal contohnya bahagian darah dan dalaman seperti hati, limpa dan organ dalaman.

Malah Islam mengajar lebih lagi daripada itu iaitu mempastikan kesucian makanan itu pada zahir dan batinnya. Batin itu bermaksud menjaga sumber rezeki supaya halal. Haramnya sumber itu menjadikan makanan yang fizikalnya halal menjadi haram. Maka telah terbukti ajaran Islam memberi panduan yang lebih jelas dan mendalam tentang fakta ini.

Senaman
Kajian seterusnya menjelaskan perlunya senaman untuk menjaga kesihatan bagi mereka yang ingin membangkitkan aura. Melalui senaman, tubuh dan organnya akan menjadi lebih aktif dan sihat bagi menghasilkan aura dan getaran yang lebih positif.
Solat adalah senaman yang pasti bagi orang Islam yang mengerjakan solat 5 waktu sehari semalam. Sama ada seorang Islam itu bersenam atau tidak, tanpa disedari mereka telahpun melakukan senaman paling asas 5 kali sehari.

Selain itu kedapatan perkara lain didalam ajaran Islam yang menggalakkan umatnya menggerakkan tubuh badan antara diberikan pahala bagi setiap langkah orang yang ke masjid. Maka mereka yang berjalan ke masjid itu bersenam sambil membuat pahala.
Adakah kita sedar betapa ruginya kita yang sering meninggalkan solat dan jarang ke masjid? Mungkin kita harus sedar Allah itu menyayangi kita dan mahukan hamba-hambanya sihat dan memperoleh kesihatan serta getaran walaupun dalam urusan pengabdian kepadanya.

Tafakur
Tafakur atau didalam bahasa Inggeris 'meditation' ditafsirkan oleh barat sebagai aktiviti mendiamkan diri dalam posisi tertentu, pada tempoh tertentu untuk memperoleh ketenangan. Tujuannya adalah untuk merehatkan otak yang mana otak yang sihat ini dapat memandu tubuh badan menjadi lebih sihat dan produktif. Seterusnya aura dan getaran seseorang itu lebih tulin.

Tafakur bukanlah perkara yang asing didalam Islam. Terlalu banyak panduan yang digariskan didalam Islam yang boleh dikaitkan dengan tafakur dan juga objektif tafakur itu sendiri. Antaranya beriktikaf didalam masjid untuk mengingati Allah melalui amalan zikir serta amalan lain seperti membaca Al-Quran. Solat itu sendiri mempunyai kesamaan objektifnya dengan tafakur.

Seorang yang khusyuk dalam solat akan melupai apa yang berlaku disekelilingnya dan melatih seseorang menjadi lebih fokus. Selepas solat, maka disunatkan kita berzikir dan berdoa. Ia adalah amalan untuk kita lebih menenangkan diri melalui zikir dengan mengingati Allah dan menaikkan keyakinan seseorang bahawa Allah itu sentiasa mendengar melalui aktiviti doa.
Banyak lagi panduan melalui amalan ketuhanan dalam Islam yang mempunyai objektif yang sama seperti tafakur dan ia bukan sahaja memberi ketenangan didalam jiwa, malah membina sifat sabar, yakin, syukur, tabah dan berserah.

Tidur
Kajian mengatakan lagi perlunya seseorang itu mempunyai tidur yang cukup dan bangun secara semulajadi. Ia bagi membolehkan tubuh badan manusia itu memperoleh cukup istirehat agar ia boleh berfungsi dengan baik setiap hari. Tubuh yang kurang tidur dikaitkan dengan kebarangkalian seseorang itu memperoleh penyakit. Tubuh yang tidak sihat umpama mesin yang tidak produktif. Aura dan getaran amat kurang pada tubuh yang kurang rehat.

Didalam surah An Naba' ayat ke 9, Allah berfirman yang bermaksud "Jadikanlah tidur kamu itu satu istirehat". Selain itu didalam surah Al-Qasas dari ayat 71-73, Allah banyak menjelaskan tentang tidur ia juga merupakan ayat yang dijadikan rujukan bg membuat panduan tentang tidur dalam Islam. Sememangnya penjelasan Islam tentang tidur dan istirehat darinya digariskan dalam perbincangan yang tersusun termasuklah adab-adab tidur itu sendiri sama ada seseorang itu mendapatkan tidurnya pada waktu siang atau waktu malam untuk merehatkan tubuh badan.

Hubungan Kemanusiaan
Kajian barat lagi menggariskan bahawa seseorang itu membangkitkan aura dan getaran mereka melalui hubungan kemanusiaan yang positif, hubungan kekeluargaan dan setiakawan, hubungan dengan komuniti yang positif serta hubungan dengan orang-orang yang progresif. Hubungan yang positif menghasilkan gelombang aura dan getaran semulajadi daripada nilai positif itu sendiri.
Perkara ini telah banyak dibincangkan didalam konsep muamalat didalam Islam. Terlalu banyak panduan Islam tentang hubungan kekeluargaan, sahabat, kemasyarakatan serta hubungan dengan para ilmuan yang progresif. Apa yang perlu adalah cuma mencarinya dengan mudah di internet atau ke toko buku dengan mendapatkan penulisan tentang perkara tersebut dalam Islam. Ia telah ada beribu tahun yang dahulu.

Apa Kata Anda?
Adakah kajian orang barat itu perkara sia-sia sedangkan semua itu telahpun diajar di dalam Islam? Hakikatnya ia adalah perkara yang baik untuk dikaji dan dijelaskan dalam susunan. Mungkin selama ini orang Islam tidak sedar bahawa ajaran Islam itu sendiri mempunyai banyak hikmah disebaliknya. Maka dengan penemuan sains dan kajian, menjelaskan lagi bahawa doktrin Islam ini penuh dengan perkara hikmah yang masih lagi boleh digali dan dicari kelebihannya.

Berbalik kepada aura dan getaran. Apakah moral disebalik perbincangan ini? Sekiranya kita melihat kembali isi dan pengisian tentang aura dan getaran itu sendiri mengajar kita untuk menjadi manusia yang mulia. Berbeza daripada amalan yang berada didalam kehidupan kita sekarang yang terlalu banyak mencemarkan cara hidup serta alam.
Kehidupan kini penuh dengan persepsi negatif, kelakuan negatif, konsep negatif, panduan negatif, idea negatif dan pendek kata kehidupan manusia yang semakin canggih kini semakin membuahkan banyak perkara negatif. Maka tidak hairan mengapa manusia berlumba-lumba mencari kehidupan yang ditafsirkan mereka sebagai kejayaan tetapi sangat ramai juga yang memberitahu mereka masih belum menemui kehidupan.

Selain itu aura dan getaran ini adalah satu tips bagi mereka dalam membina kehidupan baik dari segi kerjaya, perniagaan, perhubungan dan sebagainya. Aura dan getaran kini menjadi salah satu topik hangat bagi individu yang membina kerjaya mereka bagi memperoleh kesan dan hasil yang memberansangkan. Amat rugi bagi orang Islam yang tidak mendalami ilmu Islam itu sendiri dan masih tertanya-tanya mengapakah aku seorang Islam tetapi hidup dalam keadaan terumbang-ambing. Silapnya ialah kita sendiri kurang menghayati agama.

Oleh yang demikian, luangkanlah masa untuk agama. Agama Islam bukanlah kisah ketuhanan atau sembahyang. Islam sebenarnya adalah cara hidup. Orang Islam yang rosak itu adalah mereka yang mengaku Islam tetapi tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar. Jadi tidak hairanlah, seorang Islam itu masih terkapai-kapai dalam kekayaan, masih hidup dalam keganasan dan minda yang tertutup, masih mencari penyelesaian lain yang hakikatnya telah ada didalam Islam. Ini semua adalah kerana, mereka tidak mendapatkan ajaran Islam yang sebenar dan mereka tidak menghayati ajaran yang telahpun mereka temui.

Sesekali carilah individu yang mempunyai Nur. Individu seperti ini sangat banyak dikalangan ulama dan ahli ugama yang menghayati Islam. Raut wajah mereka sangat bersih dan menenangkan mata yang memandang. Usah dinilai daripada foto dan gambar tetapi carilah peluang bertemu mereka untuk melihat Nur yang Allah kurniakan kepada hambanya yang taat dan menghargai agama. Anda sendiri akan merasa adanya ketenangan walaupun hanya dengan mendampingi mereka.
- Artikel iluvislam.com

ZUHUD vs CINTA DUNIA

Sabda Rasulullah SAW: “Hendaklah kamu zuhud dengan apa yang ada di dunia nescaya kamu akan dicintai Allah. Hendaklah kamu berzuhud dari apa yang ada pada manusia nescaya kamu akan dicintai oleh manusia.” (Riwayat Ibnu Majah)
Perkataan zuhud bila dilihat ertinya dalam kamus Arab atau mengikut pengertian bahasa biasa ialah meninggalkan dunia. Tetapi mengikut istilah Islam, erti zuhud itu ialah hati tidak terpaut atau tidak terpengaruh dengan dunia dan nikmat-nikmatnya. Pengertian yang kedua, iaitu mengikut pengertian syariat inilah yang akan dibentangkan. Kerana zuhud mengikut syariat adalah disukai oleh Allah dan Rasul. Ia juga termasuk dalam sifat-sifat mahmudah.

Kalau demikianlah pengertian zuhud itu, tidak semestinya orang yang zuhud itu tidak memiliki dunia atau mesti meninggalkan segala nikmat-nikmat dunia. Boleh jadi nikmat dunia yang dimilikinya lebih banyak dari orang lain atau dia mengendalikan dunia dengan banyaknya. Namun demikian, dunia yang banyak itu, yang dimilikinya atau yang dikendalikannya itu tidak mempesonakannya. Sedikit pun dunianya yang banyak itu tidak terjatuh ke hatinya. Bahkan dunia itu ada atau tidak, sama saja baginya. Dia memiliki dunia serta mentadbirnya adalah dengan tujuan agar dunia itu dijadikan alat untuk membolehkannya beribadah kepada Allah SWT dan berkhidmat sesama manusia. Dunia yang dimilikinya itu dijadikan jambatan untuk ke Akhirat. Ini sesuai pula dengan tuntutan ajaran Islam yang dinyatakan dalam sabda Rasulullah SAW: “Dunia itu adalah tanam-tanaman untuk Akhirat.” (Riwayat Al ‘Uqaili)

Itulah Islam. Islam mengajar atau mendidik kita bahawa dunia itu boleh diambil tetapi biarlah ia boleh dijadikan modal untuk beribadah kepada Allah dan melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya kepada manusia. Demikianlah, supaya dengan itu membolehkan seseorang itu mengaut pahala sebanyak-banyaknya untuk dia memperolehi nikmat Syurga di Akhirat. Siapa yang menjual dunianya untuk Allah atau untuk Akhiratnya, maka Allah akan beli dengan bayaran yang ber-ganda-ganda tinggi nilainya. Iaitu digantikan dengan nikmat Syurga yang kekal abadi dan terhindar daripada seksa Neraka yang amat azabnya.

Persoalannya sekarang, bagaimana hukum dan cara kita mengambil dunia ini? Dan bagaimana cara mengendalikan dunia ini setelah realitinya ia berada di hadapan kita?
Ada beberapa kategori iaitu:

1. DUNIA YANG WAJIB
Dunia yang wajib diambil selagi ia halal ialah sekadar keperluan asas saja. Yang tidak boleh tidak (dharuri), yang mesti ada seperti tempat tinggal, makan minum, pakaian dan lain-lain lagi. Kalau tidak diambil akan berlaku kecacatan di segi syariat atau di sudut fizikal. Siapa meninggalkannya, haram hukumnya kecuali setelah diusahakan tidak berjaya memperolehinya. Ini tidak menafikan zuhud.

2. DUNIA YANG SUNAT
Dunia yang sunat diambil ialah perkara yang digunakan (selagi halal) untuk kemudahan di dalam menunaikan tanggungjawab yang wajib serta digunakan untuk menghasilkan perkara yang tidak boleh tidak. Seperti kenderaan yang perlu, alat-alat rumah yang memudahkan menjalankan tugas rumah tangga seperti dapur gas, pinggan mangkuk, periuk, dulang, mesin basuh, mesin jahit dan lain-lain lagi. Agar dengan itu tidak membuang masa yang banyak. Dan memudahkan menjalankan tanggungjawab. Bahkan adakalanya menjadi wajib aradhi. Kalau tidak ada alat-alat itu maka tergendalalah urusan yang wajib. Ini juga tidak menafikan zuhud. Perlu diingat, keperluan seseorang antara satu sama lain tidak sama. Maka sudah tentulah pula alat-alat keperluan tidak sama. Sebagai contoh, alat-alat keperluan seorang guru sudah tentu tidak sama dengan alat-alat keperluan seorang petani. Kiaskanlah yang lain-lainnya.

3. DUNIA YANG HARAM
Dunia yang haram kenalah ditolak terus seperti arak, wang judi, rasuah, hasil riba, hasil zina, tipu, rompak dan lain-lain lagi. Ini kerana perbuatan yang haram itu akan membawa ke Neraka.

4. DUNIA YANG MAKRUH
Dunia yang makruh diambil iaitu harta-harta yang syubhat. Yakni perkara-perkara yang samar-samar bercampur antara yang halal dan yang haram, yang tidak dapat dipastikan yang mana halal dan yang mana haram. Maka hukumnya makruh. Bagi orang yang warak, dia terus meninggalkannya. Sesiapa yang terlibat dengan harta syubhat ini ternafilah zuhudnya kerana ia dibenci.

5. DUNIA YANG HARUS
Dunia yang mubah (harus) diambil iaitu yang berbentuk untuk bersedap-sedapan, untuk keselesaan seperti kerusi yang mewah, buaian, kerusi rehat, tilam, katil yang mahal, bilik yang agak luas daripada kadar biasa tetapi tidak keterlaluan besarnya, kenderaan yang mewah dan lain-lain lagi, selagi halal. Cuma hisabnya banyak dan ia juga menafikan zuhud.

6. PEMBAZIRAN
Perkara yang halal sekalipun, kalau digunakan terlalu berlebih-lebihan, sudah melebihi batas keselesaan dan bersedap-sedapan, ini sudah dianggap pembaziran. Sedangkan pembaziran adalah haram di sisi Allah. Dalam Al Quran pembaziran itu dianggap sebagai kawan syaitan. Firman-Nya: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara kepada syaitan.” (Al Israk: 27)
Jadi, jika kita dapat menggunakan atau mengendalikan dunia yang dimiliki, yang tidak menafikan zuhud iaitu cara yang pertama dan kedua (dunia yang wajib dan sunat), ia masih dikatakan zuhud.

Dalam Islam, kalau seseorang itu mengambil dunia sekadar yang perlu dan untuk kemudahan atau paling tidak untuk keselesaan, kemudian selain daripada itu, dia tidak mahu mengusahakannya kerana kurang yakin yang dia boleh amanah dalam menggunakan dunia itu untuk Allah dan masyarakat, maka tidak salah dia berbuat demikian. Demikianlah sebaliknya, kalau seseorang itu yakin yang dia dapat berlaku amanah pada dirinya terhadap dunia atau dapat mengendalikan dunia untuk Allah dan masyarakat dengan sebaik-baiknya, yakni dia yakin boleh berbuat kebaikan dan kebajikan yang banyak serta boleh bersyukur, maka tidak mengapa dia usaha mencari kekayaan selagi halal. Padanya ada keharusan berbuat demikian. Ini juga tidak menafikan zuhud.

Sebagai contoh: Katalah dunia itu ialah jawatan tinggi. Kita tidak yakin dengan jawatan itu kita boleh berlaku amanah terhadap Allah dan masyarakat, maka tidak salah kalau kita menolak jawatan tersebut. Sebaliknya, kalau kita yakin dengan jawatan itu kita dapat amanah dengan Allah dan masyarakat, maka tidak salah pula kita mengambilnya. Kalau harta, kita boleh mengambil sebanyak mana sekalipun. Oleh itu kenalah kita hadapi dunia ini dengan iman dan taqwa agar dapat diuruskan penuh amanah dan rasa tanggungjawab.

Perlu rasanya saya ingatkan, jika berlaku dalam satu masa atau satu zaman, secara umum masyarakat Islam tidak dapat melaksanakan fardhu kifayah; menyediakan keperluan makan minum yang halal, membangunkan tempat-tempat pendidikan, membeli alat-alat senjata untuk melawan musuh-musuh, memberi biasiswa pada anggota-anggota masyarakat yang cerdik supaya berilmu di berbagai-bagai bidang yang menjadikan masyarakatnya tidak bergantung kepada orang lain; maka bagi orang yang mampu di waktu itu, wajib aradhi dia mengusahakan hingga terlaksananya fardhu kifayah tadi. Kalau tidak, akan menjadi satu kesalahan pada mereka.

Juga diingatkan, apabila berzuhud jangan sampai kita atau Islam terhina. Ini dilarang kecuali kita memang tidak mampu walaupun sudah berusaha untuk mengadakan keperluan-keperluan yang asas. Di waktu itu tidak mengapa dan kenalah kita bersabar. Jadi, kita kena faham sungguhsungguh akan pengertian zuhud ini. Kalau tidak, jadilah kita orang yang mewah tidak bertempat atau miskin sampai terhina atau bermewah-mewah di sebarang tempat.

Maksudnya begini: untuk dapat mengekalkan zuhud mesti dilakukan beberapa cara. Di antaranya:

1. Mewah mesti kena pada tempatnya. Umpamanya, kalau makan kenduri atau makan berjemaah, dibenarkan kita bermewah-mewah lauk-pauknya. Tetapi kalau kita makan seorang, eloklah berzuhud.

2. Miskin itu tidaklah dilarang tetapi tidak dibenarkan sampai tidak mencukupi keperluan-keperluan asas. Jadi dibenarkan miskin asal cukup keperluan asas.

3. Bermewah-mewah tidak boleh di sebarang tempat yakni di waktu orang semuanya miskin, tidak dibenarkan kita bermewah-mewah. Agar kekayaan itu dapat disalurkan kepada orang miskin.

Secara ringkasnya, kita boleh mengambil dunia ini tetapi perlu pertimbangkan mengikut ukuran semasa atau individu atau jemaah atau kumpulan atau pemimpin atau mengikut tanggungjawab serta tugas-tugas yang dipikul oleh seseorang dan lain-lain lagi.

Contoh: Mengikut ukuran semasa yang tidak menafikan zuhud:
1. Di zaman ini untuk menjimatkan masa, tenaga dan lain-lain lagi, kenalah naik kenderaan kapal terbang untuk perjalanan yang jauh, bukan pakai kereta lembu atau kuda atau kereta.

2. Di zaman moden ini untuk berhadapan dengan musuh-musuh, kenalah kita gunakan senjata-senjata canggih bukan lagi menggunakan keris.
Contoh: Mengikut ukuran kumpulan atau jemaah yang tidak menafikan zuhud:
Tidak salah bagi orang yang berjuang yang sentiasa sibuk, demi menjimatkan masa, tenaga dan lain-lain lagi serta selalu didatangi tetamu, maka di rumahnya dilengkapkan dengan peti ais, dapur gas, mesin basuh dan lain-lain kemudahan. Tidak salah pula mengadakan permaidani di rumah, di pejabat dan di masjid selagi halal dengan tujuan menghormati tetamu atau kepentingan umum. Bahkan di negeri-negeri sejuk, mengadakan permaidani di rumah dan di masjid sudah menjadi wajib aradhi pula.
Bahkan melengkapkan alat-alat kemudahan ini sudah jadi perlu bagi orang yang berjuang yang masanya terbatas. Kalau terlalu lama masa dihabiskan untuk membasuh misalnya, ini dikira termasuk pembaziran masa, tenaga dan lain-lain lagi. Sedangkan waktu itu sepatutnya lebih baik digunakan untuk pengurusan hal-hal yang lebih perlu.

Katalah contohnya, dengan adanya mesin basuh, kita ada lebih masa untuk melayan suami terutama kalau suami kita pulangnya pun hanya sekali-sekala. Boleh juga diniatkan semasa mesin basuh itu bekerja, kita dapat rehat atau tidur, dengan tujuan dapat bangun sembahyang malam. Kecuali untuk orang perseorangan yang tidak berjuang atau tidak ada tanggungjawab mengadakan kemudahan-kemudahan ini, dia tergolong orang yang tidak zuhud sebab kalau diberi kemudahan dia akan relaks saja. Mungkin tidur baring saja atau duduk-duduk berbual kosong atau membolehkan dia berlalai-lalai. Ini menjadikan dia cinta dunia.

Berbeza dengan orang yang berjuang, yang masanya terbatas, banyak tanggungjawab dan sentiasa bergerak cepat. Kalau tidak ada alat-alat kemudahan ini, ia akan melambatkan atau mengganggu program-program yang lain. Atau banyak tanggungjawab tidak dapat dilaksanakan.

Contoh lain: Mengikut ukuran pemimpin yang tidak menafikan zuhud. Bagi seorang pemimpin, penting padanya keperluan alat-alat kemudahan yang canggih seperti kereta, telefon, faks, komputer, perbelanjaan perjalanan dan lain-lain lagi. Kalau tidak ada kemudahan alat-alat tadi, sudah tentu tergendala perjuangannya.

Juga diingatkan, kalau duit kita terbatas, janganlah dihabiskan untuk membeli barang-barang untuk kemudahan. Dibimbangkan, nanti tidak ada langsung bahagian untuk kita berbelanja pada perkara-perkara yang asas atau terabai kewajipan fardhu kifayah. Ini akan jadi satu kesalahan. Kerana perkara yang asas, wajib ditunaikan dan membangunkan masyarakat itu adalah lebih perlu supaya terlaksananya fardhu kifayah. Itu lebih patut kita utamakan. Biarlah kita susah sedikit asalkan kewajipan dapat ditunaikan.

CINTA DUNIA
Lawan zuhud ialah cinta dunia. Yakni orang yang hatinya terpaut dengan dunia atau mencintai dunia. Sama ada dia boleh memiliki dunia atau tidak, sedikit atau banyak, maka ternafilah sifat zuhudnya. Antara dunia itu ialah harta, yakni yang berupa wang, emas, intan berlian, rumah, kenderaan, tanah, kebun dan lain-lain lagi. Atau pangkat seperti jawatan raja, perdana menteri, menteri, pengarah, pegawai tadbir, kerani, mufti, kadhi dan lain-lain lagi.

Dunia ini sifatnya mempesonakan macam gadis cantik yang menggamit-gamit. Siapa yang terpandang semua akan jatuh hati. Jadi siapa saja yang memandang atau memiliki gadis cantik ini tidak lepas dari tertarik atau tergoda padanya. Begitulah juga dengan orang yang cinta dunia. Sudah pasti dunia itu akan mempesonakannya. Orang ini tidak akan dapat lepas lari dari ditipu daya olehnya. Allah nyatakan hal ini di dalam firman-Nya: “Dan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.” (Al Hadid: 20 / Ali Imran: 185)
Allah juga memberi peringatan keras di dalam firman-Nya: “Jangan sampai dunia itu menipu daya kamu.” (Luqman: 33)

Itulah dunia. Kenapa setelah Allah beri dunia, kemudian dilarang-Nya kita mengambil sewenang-wenangnya dan dunia itu dikatakan penipu pula? Apa maksudnya? Maksud dunia itu menipu ialah ia menjadikan manusia lalai, tidak dapat tunduk dan tidak patuh lagi pada syariat Allah SWT. Kemudian cinta dunia boleh menyebabkan seseorang itu menjadikan matlamat hidupnya hanya untuk dunia walaupun dia tahu dunia ini tidak kekal. Dia tahu dia juga akan mati dan akan kembali ke Akhirat. Namun dia tidak buat persiapan atau persediaan apa-apa untuk ke sana.

AKIBAT CINTA DUNIA
Cinta dunia ini boleh mengakibatkan beberapa hal. Di antara-nya ialah:
1. Dia sentiasa bertungkus-lumus memburu dunia sehingga tidak pernah memperhitungkan halal atau haram.

2. Hatinya sentiasa bimbang atau tidak tenang kalau-kalau dia tidak mendapat dunia yang diburunya itu.

3. Dia jadi manusia yang inferiority complex atau hina diri dengan manusia yang berada bilamana dunia itu tidak dapat dimilikinya.

4. Kalau dia memiliki dunia itu, bimbang pula kalau-kalau hilang atau berkurangan daripada tangannya. Bimbang dibinasakan oleh bencana alam atau dicuri oleh manusia dan sebagainya.

5. Kalau dia lihat ada orang lain dapat lebih darinya, dia akan susah hati. Dia akan berusaha mencari lagi untuk mengatasi orang itu dengan apa cara pun, selain merasa hasad dengki terhadap orang itu.

6. Dia jadi orang yang berangan-angan untuk sentiasa menokok tambah lagi dunia yang telah sedia ada dan fikiran serta usahausahanya sentiasa ke arah itu.

7. Dia akan jadi orang yang tamak dan rakus.

8. Kalau dia memiliki dunia, dia akan jadi manusia yang sombong dan boleh jadi kejam.

9. Walaupun niatnya untuk mencari kebahagiaan atau ketenangan tetapi badan, hati dan fikiran tidak kenal rehat, tidak ada ketenangan dan kebahagiaan lagi.

10. Ia tidak akan tunaikan kewajipan dengan dunia yang dimilikinya. Umpamanya, jika dia dapat pangkat atau jawatan dia akan jadikan itu semua untuk kepentingan diri peribadinya lebih daripada Allah SWT dan dari berbakti kepada masyarakat.

11. Kalau dia orang yang berharta, ia tidak akan keluarkan zakat yang menjadi kewajipannya. Apatah lagi kewajipan yang aradhi dan untuk bersedekah.

12. Ia tidak akan tunaikan kewajipan yang aradhi (mendatang). Contoh, orang yang susah tidak dibantunya. Kalau negaranya menghadapi perang, bencana atau kesusahan, dia tidak akan memberi bantuan.

13. Akan timbul pecah belah dan hilang kasih sayang dan persaudaraan kerana sombong dengan dunia dan kepentingan diri sendiri.

14. Manusia akan membencinya. Apatah lagi Allah. Sebab itu sebuah Hadis Rasulullah SAW menyeru: “Hendaklah kamu zuhud dengan apa yang ada di dunia nescaya kamu akan dicintai Allah. Hendaklah kamu berzuhud dari apa yang ada pada manusia nescaya kamu akan dicintai oleh manusia.” (Riwayat Ibnu Majah)

15. Ia akan jadi perosak masyarakat. Kerana hendakkan dunia, dia sanggup menipu, menyogok, rasuah, makan riba, beli undi, beli ijazah, beli kertas periksa, beli perempuan atau lelaki dan lain-lain lagi.

16. Kalau dia berjawatan pemerintah, mungkin dia jadi diktator, kejam, zalim, yang sanggup menjatuhkan lawan dengan menaburkan wang untuk mempertahankan kedudukannya, menghina dan memfitnah orang demi mempertahankan jawatan atau kerana inginkan jawatan itu.

17. Timbullah huru-hara, haru-biru, kucar-kacir, demontrasi atau mungkin juga peperangan di tengah-tengah masyarakat.

Demikianlah buruknya akibat cinta dunia ini. Maka berlakulah kemuncak kerosakan di kalangan umat Islam di akhir zaman ini. Hatta tidak berpadunya mereka kerana inilah. Hingga mereka menjadi lemah dan binasa. Rasulullah sendiri pernah berpesan: “Akan tiba ketikanya kamu akan dikeronyok oleh musuh-musuh sebagaimana orang-orang yang berebut untuk makan suatu hidangan.” Para Sahabat bertanya: “Apakah ketika itu jumlah kami sedikit, ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Tidak, bahkan jumlah kamu ketika itu ramai sekali tetapi seperti buih-buih ketika air bah, sedang kamu ditimpa penyakit wahan.” Mereka bertanya lagi: “Apakah penyakit wahan itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kecintaan kepada dunia dan takut mati.” (Riwayat Abu Daud)
Bahkan cinta dunia inilah yang menimbulkan seribu satu macam penyakit masyarakat. Sebab itu Rasulullah mengingatkan kita: “Cinta dunia kepala segala kejahatan.” (Riwayat Al Baihaqi)

Di sinilah pentingnya memiliki sifat zuhud itu. Dunia itu boleh diambil atau dikendalikan dengan syarat kita tidak jatuh hati padanya dan mengambilnya mengikut keperluan-keperluan yang telah disenaraikan tadi. Tetapi kalau tidak ada dunia dalam tangan sedangkan hati gila dunia, tetap juga tidak dikatakan zuhud. Kalau begitu sebagai kesimpulannya, asas zuhud itu terletak pada hati itu sendiri. Bukan bererti tidak ada dunia, bahkan ada dunia tetapi hatinya tidak terpaut dan pandai menggunakan dunia itu pada tempatnya seperti yang telah kita jelaskan, orang itu tetap bersifat zuhud. Sebaliknya kalau tidak ada dunia tetapi hatinya terpaut dengan dunia, tetap dianggap tidak zuhud.

Bunga Yang Cantik Jarang Harum

Wanita sinonim dengan kecantikan. Istilah "cermin" dalam bahasa Arab dekat sangat dengan wanita – kerana cermin itu dekat pula dengan kecantikan. Bercermin untuk kelihatan cantik. Ke mana-mana wanita pergi, cermin ada di sisi.Bagi yang tidak cantik bagaimana? Mereka bukan wanita?

Tunggu dulu, setiap yang Allah cipta pasti indah kerana Allah itu Maha Indah dan suka pada keindahan. Tuhan tidak mencipta manusia hodoh, Tuhan hanya mencipta manusia dengan kecantikan berbeza. Jadi, ingat itu... setiap wanita berhak untuk cantik!

Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan kepada para lelaki maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanitaitu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.

Dan pada yang menyatakan kecantikan pada wajah pula terbahagi kepada pelbagai pandangan, ada yang mengatakan kecantikannya terletak pada hidung, pada mata dan sebagainya. Pendekata kecantikan itu bagi anggapan sesetengah orang sangat relatif sifatnya. Lain orang, lain penilaiannya.

Namun sebagai seorang Islam, kita tentulah ada kayu ukur tersendiri untuk menilai kecantikan. Kita tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut kayu ukur Islam. Dan tentu sahaja kecantikan yang menjadi penilaian Islam adalah lebih hakiki dan abadi lagi.

Misalnya, kalaulah kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat-laun akan dimakan usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi.

Sebagai hamba Allah, kita hendaklah melihat kecantikan selaras dengan penilaian Allah atas keyakinan apa yang dinilai oleh-Nya lebih tepat dan betul. Apakah kecantikan yang dimaksudkan itu? Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti ataupun akhlak. Itulah misi utama kedatangan Rasulullah SAW – untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Kecantikan akhlak jika ada pada seseorang, lebih kekal. Inilah kecantikan yang hakiki mengikut penilaian Allah. Hancur badan dikandung tanah, budi baik di kenang juga. Kecantikan akhlak ini juga adalah satu yang lebih abadi. Kata pepatah lagi, hutang budi dibawa mati. Malah akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia. Contohnya, kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik tetapi akhlaknya buruk, pasti dia akan dibenci.

Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Tetapi hati tentulah pada akhlak dan budi. Kecantikan akhlak ini diterima oleh semua orang. Katalah orang jujur, siapapun suka. Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur itu disukai. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, penilaian manusia tetap tidak sama. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan, 'beauty in the eye of beholder'.

Rasulullah saw juga telah pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Wanita solehah ialah perhiasan rumah-tangga, perhiasan masyarakat dan perhiasan negara. Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat. Mereka akan terdidik dengan baik.

Jika ada isteri yang solehah, suami pun akan mendapat manfaat. Para isteri ini akan memudahkan urusan rumah-tangga, menjalinkan hubungan keluargha dengan penuh kasih-sayang dan lain-lain. Tuturkatanya baik, tingkah lakunya baik, senyumannya menawan dan segala-galanya indah... mereka bayangan bidadari syurga di dunia ini.

Kenapa banyak wanita yang memiliki kecantikan tetapi musnah hidupnya? Ada ungkapan yang berbunyi, kemusnahan akan menimpa bilawanita mula merasai dirinya cantik dan mempamirkan kecantikan. Sejauhmana benarnya, wallahua'lam. Tetapi apa yang pasti, menurut Islam jika kecantikan tidak disertai iman yang kuat, maka pemiliknya akan hilang kawalan diri. Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh syaitan untuk menggoda manusia melakukan kemungkaran. Lihatlah di sekeliling kita. Kata orang, bunga yang cantik jarang yang harum! Ini sudah menjadi sesuatu yang lumrah.

Tanpa iman, kecantikan akan dipergunakan ke arah kejahatan dan kemaksiatan, yang akhirnya akan memusnahkan diri pemiliknya dan orang lain. Cuba kita lihat apa yang terjadi kepada bintang filem barat (di sinipun apa kurangnya), ada yang memporak-perandakan negara, rumah-tangga dan berakhir dengan sakit jiwa dan bunuh diri.
Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikkan itulah yang salah. Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak. Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau cantik dan berakhlak pula, inilah yang hebat. Umpama cantiknya wanita solehah pada zaman nabi seperti Siti Aishah RA, Atikah binti Zaid dan lain-lain.

Bagaimana mendapat kecantikan sejati? Perlu kita faham kecantikan itu bermula dari dalam ke luar. Bukan sebaliknya. Oleh itu pertama, tanamkan di dalam hati kita iman yang benar-benar kuat berdasarkan ilmu yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Iman itu keyakinan, kasih sayang, kemaafan, sangka baik dan reda. Rasa-rasa ini buktikanlah dengan perbuatan yang baik. Bila hati baik, wajah akan sentiasa cantik.
Jadi perkara kedua ialah susulilah iman itu dengan perbuatan yang baik. Ertinya, kita atur kehidupan mengikut syariat atau peraturan Tuhan. Dan apabila iman ditanam, syariat ditegakkan, akan berbuahlah akhlak yang mulia. Wajah, perilaku dan peribadi kita akan nampak cantik sekali. Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki. Biar buruk rupa, jangan buruk perangai. Apa gunanya mulut yang cantik kalau kita gunakan untuk mengumpat?

Ya, kecantikan akhlak... boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, oleh yang rupawan mahupun yang hodoh. Itu bukti keadilan Allah yang mencipta wanita dengan berbagai wajah dan rupa... tapi peluangnya untuk "cantik" tetap serupa!

Biodata Kolumnis
Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi terbitan syarikat Telaga Biru Dsn. Bhd.. Blog beliau adalah www.genta-rasa.com.

TRAGEDI CINTA ISTERI..

Dalam episod cinta takdir sering menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa dia tidak setia? Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang menerima nasib begini?
Kita merasakan kitalah yang paling malang. Hanya mulut mengaku Allah itu Tuhan tetapi mengapa dengan takdir-Nya kita enggan? Semacam terlupa kata peneguhan di dalam al hadis dan Al Quran bahawa besarnya masalah, beratnya ujian dan hebatnya cabaran… berkadar terus dengan kekuatan iman.

Inilah hakikat yang mesti menjadi pegangan dalam menghadapi tragedi cinta di dalam rumah tangga. Tragedi cinta menjadi ujian iman dan tauhid sesetengah kita. Setiap orang ada medan ujiannya masing-masing. Dan untuk isteri yang teruji dengan pasangannya, sematkan di dalam dada… bahawa itulah takdir yang dipilih oleh Allah untuk menguji keimanan kita.

Bukankah sudah diungkapkan oleh sejarah, ada isteri yang baik diuji dengan suami yang jahat seperti Siti Asiah isteri kepada Firaun laknatullah. Bujukan Allah cuma satu, bergembiralah dengan pahala di sebalik ujian itu. Tenanglah dengan jani-janji syurga. Ini bukan ‘escapeism’ tetapi itulah iman. Yakinlah, bahawa cinta yang lebih besar sedang menguji cinta yang lebih kecil. Cinta Allah sedang menguji cinta kita kepada isteri atau suami.

Dan jika cinta yang kecil itu rapuh, jangan pula cinta yang lebih besar itu roboh. Percayakan janji-janji Allah di akhirat adalah penawar paling mujarab untuk menghadapi keperitan ujian hidup di dunia. Ketika disiksa menjelang kematiannya, Siti Asiah hanya memohon kepada Allah untuk mendapat rumah di dalam syurga. Jadi usah dikorbankan akhirat kita hanya kerana dipersiakan oleh cinta kita di dunia.

Bagaimana sekiranya, cinta kita sudah dipersiakan? Pasangan kita seolah-olah menjadi ‘orang lain’. Bukan dia yang kita kenal dahulu. Apakah ketika itu kita akan jadi panasaran? Habis segala laci, meja tulis, kereta atau begnya kita selongkar. Telefon bimbitnya, email, facebook dan apa sahaja milik peribadinya kita bongkar. Mencari dan menghidu kalau-kalau terdapat bukti kecurangannya. Siang malam diamuk gelisah. Kita bagaikan dirasuk.

Pada saat genting itu tekanlah butang ‘pause’. Bertanyalah pada diri, apakah kita masih menaruh harapan? Jika jawapannya masih ya, maka nyalakanlah harapan itu – keep hope alife! Berusahalah untuk memperbaiki diri. Dakap cinta Allah erat-erat. Moga perubahan itu membuahkan harapan yang akan merubah pasangan kita.

Tempuhlah jalan-jalan yang baik dan dibenarkan oleh syariat untuk membetulkan keadaan. Jangan cuba membasuh najis dengan air najis. Maksudnya, jangan gunakan jalan yang salah untuk membetulkan kesalahan pasangan kita. Nanti keadaan akan bertambah buruk. Terimalah takdir itu dahulu. Jangan mungkir. Kita tidak mungkin dapat mengawal arah tiupan angin, tetapi kita masih mampu mengawal kemudi pelayaran.

Setelah berusaha sehabis daya… istirehatkan hati dan minda. Cuba tenangkan perasaan. Dia bukan segala-galanya dalam hidup yang singkat ini. Harapkan yang terbaik tetapi bersedialah menghadapi yang terburuk. Jika terpaksa kehilangan cinta itu bukan bukan bermakna kehilangan segala-galanya.

Buat isteri yang diuji, ambillah masa untuk bersunyi-sunyi dengan Allah. Ketika hati mu telah tenang tuliskanlah surat ini. Surat buat menghadapi tragedi cinta…

Suami ku yang disayangi,
Surat ini ku tulis dengan hati yang terus menerus berdoa agar kau dan aku berjaya mengatasi apa jua halangan dalam perjalanan kita mendapat keredaan Allah. Hingga kini aku terus yakin jika kita mencari kebaikan, insya-Allah, Allah akan memberikannya.

Terlebih dahulu ingin aku nyatakan bahawa dalam apa jua pergolakan dan ujian yang telah berlaku sepanjang kita berumah tangga, aku tetap menghormati mu. Walaupun ada masanya sikap dan kata-kataku terlanjur dan terkasar, itu bukanlah kerana aku sudah tidak menghormatimu apatah lagi membencimu… tetapi semua itu kerana terlalu sayang. Aku tidak mahu kehilangan dirimu sebagai seorang suami seperti mana anak-anak kita juga tidak mahu kehilangan kasih-sayang seorang ayah.

Maafkan aku. Akulah yang lebih banyak bersalah dan tidak bijak menghadapi ujian rumah tangga ini. Sesungguhnya sejak dari dulu hingga sekarang aku menagih pimpinan dan panduanmu. Pimpinlah aku untuk menjadi isteri yang solehah dan ibu yang baik kepada anak-anak kita. Aku tidak mahu berpisah dengan semua kesayangan ku ini. Oleh sebab itu aku merayu agar aku terus disayangi, dilindungi, dipercayai dan dipimpin untuk menjadi wanita yang benar-benar menjadi penyeri hidup seorang suami dan anak-anak.

Kebahagiaan kita sekeluarga berada di tangan mu. Dikaulah yang menjadi peneraju dan nakhoda rumah tangga ini. Aku tahu tugas dan amanah ini sangat berat. Ia menagih keikhlasan, keimanan dan kejujuran yang tinggi daripada mu. Aku sedar apa yang akan ditanyakan Allah di Hari Akhirat kelak kepada seorang suami sebagai pemimpin jauh lebih berat dan sukar dijawab berbanding pertanyaan Allah kepada seorang isteri. Aku tahu tangung jawab mu sangat berat. Jadi aku sentiasa sedia dan setia berada di sisi mu untuk sama-sama mengharungi kepayahan ini.

Marilah sama-sama kita insafi bahawa hakikatnya umur kita kian bertambah, upaya dan tenaga kita semakin kurang, tetapi perjalanan kita masih jauh dan beban kita semakin memberat. Amanah yang ada pun belum selesai kita tunaikan, apatah lagi untuk menambah beban yang baru. Aku bimbang… kita berdua akan kecundang.
Oleh sebab itulah aku sering mengingatkan diriku dan dirimu, marilah kita kembali menilai peranan dan tanggung jawab kita masing-masing. Aku sebagai seorang isteri dan kau sebagai seorang suami… Marilah kita sama-sama bermuhasabah, apakah kiita telah melaksanakan amanah yang kita janjikan di hadapan Allah ketika kita mula bernikah dahulu?

Pernikahan disamakan dengan mendirikan masjid. Begitu sucinya ikatan perkahwinan dalam Islam. Ia bukan dibuat hanya kerana untuk melepaskan hawa nafsu semata-mata. Jika itulah sahaja niat kita berkahwin, maka apakah yang membezakan manusia dengan haiwan? Tetapi sebaliknya, Islam meletakkan hubungan sah antara suami dan isteri sebagai suatu yang sangat tinggi dan suci.

Ia bukan sahaja perkongsian fizikal, tetapi perkongsian fikiran, perasaan dan jiwa untuk sama-sama berbakti kepada Allah. Rumah tangga hakikatnya adalah sebuah masjid… Di dalam masjid orang solat, berzikir, membaca Al Quran, mendengar tazkirah kuliah dan laian-lain ibadah.

Aku rindukan semua itu. Tetapi kerinduan itu tidak akan kesampaian tanpa bimbangan darimu. Aku lemah wahai suami ku. Pimpinlah aku untuk mendapat kasih sayang Allah melalui aliran kasih sayangmu. Engkaulah harapan aku dan anak-anak. Kami hakikatnya telah diserahkan oleh Allah sebagai amanah kepada dirimu untuk disayangi di dunia dan di akhirat. Janganlah disia-siakan amanah ini. Kelak buruk padahnya kepada kami dan kepada mu jua. Relakah engkau melihat kami terkapa-kapa di dunia ini tanpa pimpinan? Dan di akhirat terhumban ke neraka yang penuh seksaan?

Suami ku,
Atas kebimbangan itu kekadang aku jadi cemburu. Bila ku lihat langkah dan sikap mu sedikit terbabas, aku menjadi sangat cemas. Bila ku lihat kau seakan-akan berubah, aku menjadi sangat gelisah. Bukan kerana benci, tetapi kerana sayang. Mengapa tidak? Bukankah di tangan kamu kemudi rumah tangga ini.

Kesilapan dan kesalahan mu sangat buruk akibatnya kepada kita sekeluarga. Jadi, fahamilah hati isteri mu ini wahai suami ku… Curiga ku bukan kerana prasangka. Cemburu ku bukan kerana melulu. Jauh sekali untuk mengawal dan memperbudak-budakan. Tetapi sekadar ingin mengingatkan bahawa kebakaran yang memusnahkan selalunya berpunca hanya daripada percikan api!

Di antara kita adalah Allah. DIAlah zat yang Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Adil. Manusia tidak akan dapat mengawal dan memantau manusia lain setiap masa dan ketika. Kini aku pasrah kepada Allah. Aku lelah dan kalah untuk meneliti dan memeriksa di seluruh penjuru. Aku tidak dapat mengawal hati mu dan kau juga tidak dapat mengawal hatiku.

Hati kita berdua, Allahlah yang menjadi pemantaunya. Menyedari hakikat ini, aku kini hanya fokus untuk memperbaiki diri. Aku ingin memperbaiki hubunganku dengan Allah dan memperbaiki hubunganku dengan sesama manusia. Aku yakin Allah tidak akan mengecewakanku. Dan aku juga yakin Allah akan terus memberi kebaikan-Nya kepadaku melalui dirimu.

Marilah sama-sama kita perbaiki diri kita atas keyakinan rumah tangga ini perlu terus diselamatkan dan dimeriahkan. Jika benar itu masih menjadi harapan dan keyakinan kita, insya-Allah, pasti Allah akan tunjukkan jalan-jalan-Nya. Dalam hidup ini kita tidak boleh dapat semua perkara dalam satu masa. Bila kita mendapat sesuatu, pasti pada masa yang sama kita akan kehilangan sesuatu yang lain. Jadi marilah sama-sama kita pastikan apa yang kita dapat lebih berharga dan lebih baik berbanding apa yang kita terpaksa lepaskan.

Oleh itu jika kita ingin mendapat rumah tangga yang bahagia, kita terpaksa belajar ‘melepaskan’ perkara-perkara lain. Rumah tangga kita adalah keutamaan. Ia amanah Allah, harapan kita dan anak-anak kita. Sebaliknya, segala kesukaan atau keseronokan kita yang lain mungkin terpaksa kita korbankan demi membina kebahagiaan ini.Inilah pengorbanan.

Tanpa pengorbanan tidak akan ada kebahagaiaan. Kita akan rela dan tega berkorban jika kita benar-benar inginkan rumah tangga ini berjaya. Jika tidak, kita terpaksalah mengorbankan rumah tangga ini… Apakah ini berbaloi? Tidakkah ini seperti kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran? Atau mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan?

Suami ku,
Tipuan dunia dan godaan nafsu ini sangat memberangsangkan. Syaitan sentiasa menghias bibit-bibit dosa-dosa dengan segala keindahan dan kecantikan. Sekali kita terjerumus, payah untuk bebas kembali. Selagi yang diburu tidak tercapai, selagi itulah kita lelah mengejarnya. Tetapi setelah kita mendapat, ada yang lain pula datang menggoda. Apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada itulah yang kita risaukan. Kita akan lesu kerana asyik memburu.

Mengejar nafsu itu bagai mengejar bayang-bayang. Dilihat ada tetapi apabila digenggam ia hilang… di hujung percarian itu pasti ada lesu dan jemu. Kehendak nafsu tidak ada batas dan tidak pernah puas. Padahal kematian itu boleh datang tiba-tiba. Relakah kita tertipu mengejar fatamorgana hanya kerana dari jauh ia kelihatan umpama air yang tergenang?

Aku mengingatkan diri ku dan diri mu kerana sayang. Aku selalu bertanya pada diri sendiri, relakah aku mengorbankan rumah tangga ini hanya untuk mengejar sesuatu yang tidak pasti? Aku terpaksa melepaskan salah satunya. Dan insya-Allah, buat selamanya aku lebih sanggup melepaskan apa dan sesiapa sahaja, asalkan jangan melepaskan kebahagiaan rumah tangga ku. Itulah yang ada di hatiku. Dan itulah jua yang aku harapkan, doakan ada dalam hati mu.

Jika dalam surat ini ada kesedihan… ia bukan kekecewaan tetapi itu hanya harapan. Jika dalam surat ini ada teguran… itu bukan kebencian tetapi itu hanya peringatan, buat ku dan buat mu jua. Namun, ku akui dalam surat ini terlalu banyak doa dan harapan. Doa ku hanya pada Ilahi. Dan harapan ku tetap untuk mu suami. Jika air mata itu berkesan, nescaya akan tulis surat ini dengan air mata. Bukan air mata kecewa tetapi air mata harapan…

Ku harap kau membaca surat ini dengan hati yang terbuka. Bayangkan semula harapan dan cita-cita kita seawal kita memutuskan untuk berkahwin dahulu. Saat indah itu telah berlalu tetapi keindahan itu akan menjelma semula dalam bentuk baru jika kita berusaha untuk merealisasikannya. Dalam perkahwinan yang baik, seorang lelaki dan wanita sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memperbaiki dirinya demi orang yang disayanginya.

Dan sekalipun dalam perkahwinan yang paling bermasalah, penawar yang mujarab adalah kebenaran. Menyatakan kebenaran kepada pasangan adalah kaedah terbaik untuk membuktikan cinta adalah lebih utama daripada satu pendustaan!
Mohon berundur dulu. Pasangan yang bahagia bukanlah tidak pernah membuat kesilapan. Tetapi mereka tetap bahagia kerana mereka sentiasa belajar mengakui kesilapan itu dan belajar daripadanya… dan akhirnya melupakannya! Itulah aku kini. Ku akui kesilapan ku dan aku sedang memperbaikinya dan aku ingin melupakannya…

Suami ku, aku masih menaruh harapan. Insya-Allah, kau masih sudi membantu aku untuk itu! Amin.

Bukan Semua Keinginan Kita Allah Bagi

Dalam banyak-banyak anugerah Allah, anugerah keluargalah yang paling bermakna dalam diri saya. Saya sayang mak dan arwah abah kerana redha Allah ke atas saya bergantung ke atas redha mereka terhadap saya. Saya amat sayang kerana isteri saya kerana beliaulah yang sentiasa bersama saya, menjadi tulang belakang ketika susah dan senang. Saya juga terlalu sayang dengan anak-anak saya, kerana mereka adalah pelaburan tetap saya untuk hari akhirat. Mereka jugalah penghibur hati saya ketika duka.

Selepas berkahwin, saya tidak pernah hidup terlalu berjauhan dalam tempoh masa yang lama dengan keluarga. Paling lama pun, ialah ketika isteri menghadiri kursus BTN. Hanya Allah sahaja yang tahu dalam tempoh 5 hari tersebut, betapa rindunya Raed yang ketika itu berumur setahun setengah terhadap mamanya. Selepas itu, tidak pernah kami tinggal berjauhan. Walaupun saya kadang-kadang sibuk setiap hujung minggu memenuhi jemputan di sana sini, akan tetapi akan pulang juga bersama keluarga.

Setelah hampir 5 tahun nikmat itu Allah pinjamkan kepada kami sekeluarga, saya sedar akan tiba suatu hari nanti Allah akan uji kami dengan menarik seketika nikmat tersebut. Dan itulah yang berlaku sekarang. Atas sebab rasmi, secara mengejut kini saya hidup dalam episod bercinta antara benua.

Saya dan anak-anak lelaki terpaksa pulang ke tanah air, sementara isteri dan baby Sofea akan akan terus berada di UK sehinggalah tamat research beliau. Segala-galanya berlaku dengan begitu pantas dan drastik. Hari ini dapat pasport, esoknya beli tiket, lusanya terbang, tulatnya sudah masuk kerja. Siapa yang mahu berpisah dengan keluarga dan anak-anak. Siapa yang mahu menyeksa perasaan diri serta insan tersayang dalam kadar waktu yang pantas dan mengejut.

Beginilah ketetapan Allah. Bukan semua yang kita inginkan, akan diberikan oleh Allah SWT. Sekadar peringatan dan penawar kepada hati yang masih berduka ini, di celah kesibukan menjadi 'bapa tunggal' berkarier, saya nukilkan warkah peringatan ini khususnya untuk diri kami sekeluarga.
Mengapa Allah uji kita, dengan menahan seketika kehendak peribadi kita?
1. Mungkin ini sebagai kaffarah dosa untuk diri kita.

Semua kita, tidak kiralah sama ada yang bergelar ustaz ustazah atau pun tidak, adalah berhadapan dengan risiko melakukan dosa. Ketebalan iman seseorang boleh dirobek dengan walau dengan sekelumit kealpaan. Beruntunglah bagi yang segera bertaubat dan berisghfar setelah melakukan dosa. Dalam pada itu, insaflah betapa luasnya rahmat Allah kepada kita, sehinggakan disediakan sebab dosa-dosa itu boleh diampunkan, iaitu dengan kaffarah melalui ujian dan penderitaan. Sabda nabi Muhammad SAW dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Tiadalah muslim yang ditimpa cubaan seperti sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah akan dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya.

2. Tercatat dalam ketetapan Allah dan terbukti jua di dalam sejarah, bahawa keluarga yang baik biasanya akan menerima ujian yang besar.
Seolah-olah, ujian penderitaan adalah prasyaratnya. Kisah yang berlaku antara nabi Ibrahim, isterinya Hajar serta puteranya nabi Ismail telah melahirkan daripada keturunan mereka manusia yang hebat, yang terulung sekali ialah nabi Muhammad SAW.
Saya dan keluarga hanya diuji barangkali setengah tahun sahaja, di dalam dunia yang sudah dilengkapi dengan prasarana komunikasi yang hebat. Setiap malam, kita boleh sahaja berhubung melalui video conference. Semua ini masih belum wujud lagi semasa zaman nabi Ibrahim terpaksa meninggalkan Hajar dan Ismail di kota Bakkah yang kering kontang tanpa penghuni dan sumber alam. Bayangkan, betapa hibanya hati seorang ayah terpaksa meninggalkan isteri dan anaknya di tempat dan keadaan yang amat ekstrim. Akan tetapi, ketabahan serta kesabaran mengharungi ujian, melayakkan mereka semua mendapat inayah dan bantuan Allah. Ketabahan mereka berhadapan dengan ujian hebat, akhirnya melahirkan generasi yang hebat.

3. Siapa yang tidak sedih menerima ujian ini. Akan tetapi perlu dididik dan dilentur hati kita, bahawa ujian yang Allah beri sekarang ini hanyalah sedikit sahaja berbanding ujian orang lain.

Apalah sangat ujian hidup cinta antara benua ini, berbanding dengan mereka yang diuji dengan kehilangan insan tersayang. Apalah sangat ujian kita ini, berbanding ujian ibu, ayah dan anak-anak Palestin khususnya di Genting Gaza. Apalah sangat ujian kita ini, berbanding nasib ramai umat Islam yang menjadi mangsa diskriminasi diktator manusia di seluruh dunia. Sehinggakan terpisah tanpa khabar berita, berjumpa tidak pernah, bertemu berharap tak usah.

Sedih memanglah sedih. Akan tetapi buat apa perlu melayan kesedihan itu secara berlebihan. Sedangkan banyak lagi nikmat kesenangan (yang sepatutnya perlu dibaca sebagai ujian) berlegar di sekitar kita. Dalam masa yang sama, ramai lagi yang lebih menderita tetapi tabah di dalam diuji Allah.

Ya Allah, bantulah keluarga kami. Permudahkanlan urusan kami. Permudahkanlah anak-anak kami menerima perubahan drastik yang mencabar ini. Murahkanlah rezeki kami. Kurniakanlah daripada isteri dan anak-anakku, penyejuk mata, dan jadikanlah mereka generasi imam yang bertaqwa. Amin Ya Rabbal Alamin.
Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada sanak saudara dan rakan taulan yang membantu dan memahami ujian kami ini.
- Artikel iluvislam.com

BUKTI SUSAHNYA BERTARUNG DENGAN NAFSU

Antara tanda-tanda hati telah rosak: selalu menderita dengan dunia seperti bersedih dengan miskin, susah hati apabila orang kata, menderita tidak dapat pangkat, dukacita suami tidak melayan kehendak-kehendak hati. Tetapi denga dosa dan dengan akhirat tidak menderita.
Sabda Rasulullah SAW: “Kita baru balik dari peperangan kecil kepada peperangan yang maha besar.” Para Sahabat bertanya: “Peperangan apakah itu ya Rasulullah?” Jawab baginda: “Perang melawan nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)

Melawan nafsu (mujahadah) ini memang susah. Rasulullah ibaratkan lebih susah daripada berdepan dengan peperangan senjata. Dalam bab-bab sebelum ini, kita sudah huraikan betapa sulitnya nafsu itu hendak dikesan dan tersembunyi pula. Sebab itu sesetengah orang tidak dapat mengesannya. Sesetengahnya lagi tidak pernah ambil tahu adanya perkara batin ini. Jadi dia tidak pernah berfikir untuk berperang dengan nafsu sendiri. Golongan ini merasa hairan bila diajak melawan hawa nafsu.
Kata mereka, “Di mana susahnya hendak melawan nafsu?”
“Betulkah nafsu itu sulit untuk diperangi?”
“Nafsu itu tidak ada apa-apa. Saya tidak ada masalah dengan nafsu saya.”
“Pelik! Mengapa orang kata nafsu itu sangat jahat? Sulit untuk ditundukkan? Ia perlu diperangi? Aku tak faham!”

Untuk golongan ini, agar mudah memahaminya kita cuba buat perbandingan. Nafsu yang jahat itu kita ibaratkan pencuri, perompak dan penyamun. Jadi mencuri, merompak dan menyamun itu memang profesyen mereka. Mereka tidak rasa susah dengan kerja mencuri, merompak atau menyamun sebab kerja-kerja itu memang kerja mereka. Merekalah yang selalu mengganggu-gugat keamanan orang, mencuri, kidnap, pecah rumah, rampas barang orang, larikan anak gadis orang, mengancam nyawa orang, membunuh dan lain-lain lagi. Oleh kerana itu kerjanya, dia tidak terasa susah dan sulit dalam melaksanakan tugas-tugas tersebut. Tetapi yang rasa susahnya ialah orang yang kena curi. Yang rasa terganggu-gugat adalah orang yang kena rompak. Yang rasa huru-haranya adalah orang yang kena samun. Betapa azabnya mereka menanggung.

Hidup dalam ketakutan. Rasa hilang keselamatan. Rasa hilang bahagia sebab harta hilang, rumah musnah, duit habis dikebas hingga jadi papa kedana. Anak isteri dilarikan dan nyawa terancam. Hati susah yang amat sangat. Hilang ketenangan. Makan tidak kenyang, tidur tidak lena. Segala kerja terganggu hingga haru-biru masyarakat. Tidak aman negara. Polis dan orang ramai turut sama susah, terganggu dan terancam. Disusahkan, diganggu dan diancam oleh perompak-perompak dan lanun-lanun tadi.

Membendung perompak dan lanun-lanun ini bukannya mudah. Satu kerja yang payah dan sulit. Hendak memusnahkan semua sekali tidak mungkin sebab perompak-perompak ini selalunya bekerja di waktu malam, dalam gelap pekat, di waktu orang sedang tidur nyenyak dan di waktu orang sedang sibuk dan asyik. Dia bekerja bukan terang-terangan tetapi secara senyap-senyap dan berhati-hati. Kerjanya tangkas, cekap dan pakar. Selepas kerja, terus hilang lesap. Dia pandai menyembunyikan diri dengan menyamar macam orang biasa. Hingga manusia susah hendak mengesan dan menangkapnya. Hanya polis yang cekap dan pintar, yang dibantu dengan alatan canggih sahaja yang dapat mengesannya dan sekaligus berjaya menangkapnya. Itulah kerja perompak dan lanun-lanun yang menjadikan semua orang pening, risau, terganggu, tergugat dan huru-hara.

Jadi orang yang terganggu ini akan berdepan dengan tiga kesusahan iaitu:
a. Susah kerana gangguan mereka.
b. Susah hendak mengesan siapakah yang mengganggu itu kerana mereka tidak isytiharkan diri.
c. Susah hendak melawan dan memusnahkan pengganggu tadi.

Tetapi perompak-perompak dan lanun-lanun tadi relaks saja. Mereka tidak rasa terganggu atau hilang ketenangan sebab mereka yang mengganggu. Bagi orang yang senyap-senyap bekerjasama dengan perompak-perompak dan lanun-lanun tadi, mana terasa susah. Dia juga tidak susah macam tidak susahnya perompak-perompak tadi. Orang yang beri laluan, orang yang jadi spy dan beri kerjasama dengan perompak-perompak tadi pun tidak rasa susah dan tergugat.

Begitulah tamsilannya nafsu kita yang jahat ini. Jika seseorang itu sudah jadi pengikut nafsu yang jahat itu, dia pun senang hati dengan perbuatan jahatnya. Mana terasa susah lagi kerana telah sama-sama jadi geng jahat. Yang terasa kejahatannya itu ialah orang yang diganggu. Bagi orang yang tidak mahu tunduk dengan kejahatan nafsu dan ingin memeranginya, tentulah dia terasa susah, amat terseksa dan letih untuk memusuhi nafsunya. Kalau tidak benar-benar tekad dan tabah, ia akan kalah dan menyerah sahaja.

Orang yang terasa betapa susahnya melawan nafsu akan berdepan dengan tiga kesusahan iaitu:

a. Susah hendak mengesan nafsu yang abstrak, yang maknawiyah, yang terlalu halus hingga terpaksa mempelajarinya.

b. Bila sudah tahu, kehendak-kehendak hati nuraninya pula terpaksa bertarung dengan kehendak-kehendak nafsunya. Amat susah pula untuk tidak mengikut kehendak-kehendak nafsu.

c. Susah hendak mujahadah terhadap nafsu kerana terpaksa membuat bermacam-macam latihan yang mencabar.
Di sini didatangkan beberapa contoh sebagai bukti susahnya berperang atau bertarung dengan nafsu iaitu:

1. Kalau ada orang mengata, menghina, mengumpat, maki hamun di depan atau di belakang kita, bagaimanakah sikap kita? Bolehkah hati kita rasa senang dan tenang? Mudahkah kita tahan hati kita yang sedang gelojak marah itu? Bolehkah kita diamkan sahaja tanpa sakit hati atau susah hati atau berdendam. Bolehkah kita ucapkan “Assalaamualaikum,” dan tinggalkan mereka dengan senyum manis? Mampukah kita memaafkannya? Tentu tidak mudah. Hati kita tentu sakit dan menderita. Apatah lagi hendak berbuat baik dengan orang yang berbuat jahat terhadap kita seperti kehendak Rasulullah SAW: “Berbuatlah baik pada orang yang berbuat jahat pada kamu.”

1. Mudahkah kita memaafkan orang yang telah bersalah pada kita? Mungkin telah menghina atau berlaku kasar dengan menengking-nengking kita. Tentu tidak mudah, susah dan pahit. Kerana hati kita sudah dilukakannya selama ini kecuali kita lawan nafsu kita itu.

2. Kita diuji Allah dengan bermacam-macam ujian seperti hidup miskin. Kita sudah berusaha tetapi tidak juga kaya. Kita ingin pandai. Setelah berusaha, kita tidak juga cerdik. Kita gagal peperiksaan. Masyarakat tidak peduli. Dicemuh pula kerana kemiskinan dan tidak ada sijil tinggi. Mudahkah kita tanamkan jiwa besar di waktu itu sehingga kita boleh berdikari dan tidak pedulikan kata-kata mereka itu? Apakah di waktu itu kita boleh menahan perasaan daripada keluhkesah hingga boleh menyerahkan pada takdir? Bolehkah redha dan baik sangka dengan Allah? Hati atau nafsu mana mahu menerima hakikat di sebalik kejadian itu ada pahala yang menunggu?

3. Kita lihat ada orang susah, menderita dan melarat. Mungkin terasa simpati untuk membantu memberi duit padanya. Ini mungkin mudah dan rasa mulia dilakukan kerana orang kata kita baik dan pemurah. Disanjung dan dipuji pula. Tetapi untuk duduk setaraf bersama-sama mereka dan menghiburkan hati mereka, tentu susah. Mampukah kita bergaul dengan mereka? Tidur baring dan makan minum bersama mereka? Bermesra-mesra dengan mereka? Memberi salam mendahului mereka? Tentu tidak mudah. Nafsu terasa hina dan malu. Lebih-lebih lagi kalau kita ada kedudukan, tentu nafsu rasa jatuh wibawanya.

4. Kita ada kelulusan pengajian Islam, mungkin B.A., M.A. atau PhD. Kita tahu bekerja atas tiket ijazah satu perkara yang hina dan keji dalam Islam.
Sebab Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barangsiapa menuntut sesuatu dari ilmu ini yang dikehendaki dengannya wajah Allah untuk mendapatkan sedikit dari mata benda dunia, pasti masuk Neraka.” (Riwayat Ibnu Asakir)

Sedangkan peluang ada. Terbuka bila-bila masa sahaja. Kelulusan yang kita miliki membolehkan kita menjawat jawatan tinggi dengan gaji dan elaun yang lumayan. Ada pangkat, ada nama, disebut dan disanjung orang. Mungkin jadi mufti, kadhi atau ketua pengarah jabatan Islam. Apakah kita akan tolak tawaran tersebut dengan alasan ingin mencari pekerjaan yang lebih halal seperti berniaga, bertani atau berternak? Tentulah akan berperang dengan nafsu sendiri. Senangkah untuk lepaskan peluang ini? Tentu payah. Nafsu akan terlonjak-lonjak berkehendakkan jawatan dan kedudukan dengan kelulusan agama tadi. Nafsu akan rasa rugi dan bodoh bila menolak peluang merebut kemewahan dunia itu.

6. Kita ada jawatan penting. Ada kuasa untuk luluskan projek-projek untuk kemajuan rakyat. Rakyat memohon dan merayu pada kita. Kita tunaikan. Adakalanya projek yang diminta kita luluskan segera, disogoknya ratusan ribu atau berjuta-juta ringgit atau diumpan dengan perempuan-perempuan cantik serta macam-macam tawaran istimewa lagi. Apakah mudah kita menolak tawaran-tawaran istimewa ini? Tentu payah. Nafsu akan mendorong dan membisik-bisikkan supaya peluang keemasan itu jangan dilepaskan. Inilah yang ditunggu-tunggu selama ini. Kawan-kawan yang setaraf sudah lama merasa. Tentu nafsu tidak mahu kalah. Hendak ditolak, orang lain pun buat. Nyatalah sulitnya melawan nafsu ini.

7. Kita seorang peniaga. Bersama-sama kita ada peniagapeniaga lain yang berniaga bersebelahan dengan kita. Perniagaannya sangat maju dan berjaya sedangkan kita sebaliknya, tidak maju dan hampir bangkrap. Apakah mudah untuk menahan nafsu supaya sabar dan redha dengan takdir serta tidak berlaku hasad dengki dengan peniaga yang berjiran dengan kita tadi. Tentu tidak mudah!

8. Kita sebagai petani, sama-sama berkebun dengan jiran kita. Kebunnya menjadi dan subur. Sedangkan kebun kita tidak menjadi dan tidak subur. Hasilnya juga kurang. Pendapatan kita jauh kurangnya berbanding dengan kawan kita tadi yang sudah jadi kaya-raya dengan jualan hasil kebunnya. Apakah mudah kita redha dengan keputusan Allah itu? Apakah boleh kita membendung nafsu kita supaya tidak hasad dengki dengan jiran kita itu. Tentu sulit!

9. Kita seorang pendakwah. Kita berdepan dengan pendakwah bebas atau pendakwah dari jemaah lain atau sama-sama berdakwah dalam sebuah jemaah. Kita dapati orang itu lebih diterima oleh orang ramai dan disanjung-sanjung. Ada pengikut pula. Sedangkan dakwah kita tidak diterima orang. Bahkan dihina-hina pula. Kita tidak ada pengikut sedangkan kita ada kelulusan tinggi dari universiti oversea atau kita adalah pendakwah rasmi. Mudahkah kita terima hakikat ini? Apakah kita sanggup mengangkat tangan mendoakan kejayaannya? Kemudian memberi sokongan moral dan material pada orang itu? Sebab melalui tangannya orang boleh terima Islam. Bahkan mampukah hati kita berkata: “Tak apalah kerana ada orang yang sedar melalui orang itu.”
Tentu tidak mudah. Nafsu selalunya hasad dengki bila melihat orang lain berjaya. Bahkan bertindak menyebarkan fitnah dan menjatuhkan orang itu. Kalau kita ada kuasa, kita akan cuba menyekatnya dengan alasan orang itu tidak ada tauliah.

10. Seorang isteri yang dipoligamikan. Suami memberi kasih sayang yang lebih pada isteri-isteri yang lain. Diistimewakannya pula. Dibawa ke mana-mana. Segala permintaannya dilayan mesra sedangkan diri kita tidak. Mudahkah untuk kita bersabar dan redha dengan suami itu. Mudahkah kita bermuka manis dengan suami? Senangkah untuk tidak ber-dendam dengan suami dan madu kita itu? Bahkan mendoakan keselamatan dan kejayaan untuk mereka? Tidak mudah! Walaupun kita tahu betapa besarnya ganjaran yang Allah kurniakan di Akhirat kelak disebabkan tolak ansur kesabaran kita itu, nafsu tetap terasa berat. Begitulah sulitnya melawan nafsu ini.

11. Kita duduk sekampung atau satu pejabat dengan kawan kita. Sama-sama jatuh cinta dengan seorang perempuan cantik jelita. Masing-masing berusaha menawan dan menambat hati perempuan itu. Bersaing memberikan hadiah-hadiah istimewa, mengharapkan perempuan itu membalas cinta kita. Didapati cinta kita tidak berbalas. Bertepuk sebelah tangan. Sama-sama pergi meminang. Pinangan kita ditolak tetapi pinangan kawan kita itu diterima. Bagaimana hati kita pada waktu itu? Hati tentu hancur berkecai dan remuk-redam. Dirasakan hilang dunia ini dari pandangan. Di waktu itu mampukah kita membendung nafsu supaya jangan gilakan perempuan itu lagi? Tetap seperti biasa, berbuat baik pada perempuan itu? Mampukah untuk tidak berdendam dengan kawan sepejabat kita tadi? Bolehkah hati kita menerima takdir itu dengan tenang, tanpa keluh-kesah kerana redha dengan takdir Allah? Tentu payah.

12. Sebagai bos pejabat, di bawah kita ada kerani, pekerjapekerja, pemandu, tukang kebun, tukang sapu dan lain-lain lagi. Mampukah kita bergaul mesra dengan mereka? Mampukah kita memberi kasih sayang pada mereka? Makan minum serta tidur baring dengan mereka? Apakah boleh kita membantu mereka bila mereka perlukan bantuan? Adakah senang kita memberi nasihat baik-baik dengan penuh kasih sayang, bukan marah-marah? Adakah nafsu tidak terasa tercabar untuk buat itu semua? Apakah nafsu tidak terasa jatuh taraf sebagai seorang ketua. Tentulah nafsu rasa tercabar. Nafsu rasa jatuh taraf sebagai seorang ketua. Nafsu akan rasa tuan, rasa superman. Kesalahan perlu ditegur dengan marah-marah baru orang-orang bawahan takut. Nafsu rasa puas kalau dapat tengking dan herdik-herdik, cerca dan hina-hina orang bawahan. Begitulah jahatnya nafsu yang hendak dilawan itu.

13. Kita berdepan dengan isteri yang buat salah. Mudahkah kita nasihatkan isteri dengan baik dan penuh kasih sayang? Atau isteri, bila dapati suami bersalah, mudahkah untuk memaafkannya? Tegur dengan baik. Diingatkan dengan kasih sayang? Bukan dengan marah-marah dan mengaraharah? Mudahkah untuk berakhlak mulia ini? Tentu payah.

14. Seorang ibu ayah yang berdepan dengan kerenah anak-anak yang memeningkan kepala. Mudahkah untuk bersabar dengan mereka itu? Tidak mudah. Selalunya nafsu akan hilang pertimbangan dengan kenakalan mereka. Terpekikpekik, terjerit-jerit dan anak-anak jadi mangsanya. Atau ibu ayah yang bersalah pada anak-anaknya, mudahkah untuk anak-anak memaafkannya? Dan berdiam diri tidak menjawab kata-kata kesat mereka? Senangkah untuk taat arahan mereka? Nafsu selalunya mendorong kita untuk melawan cakap ibu ayah kita, tidak mentaatinya, menyakiti dan menderhakai mereka.

15. Kalau kita sebagai pemimpin berdepan dengan rakyat yang menegur kita, apakah kita dapat menerima teguran dengan sebaik-baik dan berlapang dada? Kalau teguran itu baik, apakah kita ucapkan terima kasih kerana dia sudah selamatkan kita di dunia dan Akhirat? Ertinya selamat daripada Neraka. Selalunya rakyat yang begitu akan diancam atau ditekan. Dikatakan cuba mengancam keamanan negara, hendak rebut kuasa atau hendak gulingkan kerajaan.

Begitulah nafsu kita. Betapa susahnya berperang dengan nafsu itu terbukti daripada salah satu pengalaman kita tadi. Berperang dengan musuh memanglah azab. Untuk mengikut kata nafsu memang mudah kerana kita sudah jadikan musuh sebagai kawan. Untuk jadikan nafsu itu sebagai tuhan, itulah paling mudah. Tidak terasa apa-apa susahnya kerana nafsu sudah menjadi tempat kita meletakkan cinta. Apabila nafsu sudah dijadikan cinta kita, memanglah seronok untuk kita tunduk dengannya. Diajak ke mana-mana pun senang kita ikut dan kita taati. Ini sudah pun diberitahu Allah dalam firman-Nya: “Apakah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsu itu tuhannya?” (Al Furqan: 43)

Tunduk dengan cinta agung memanglah mudah. Macamlah apabila kita sayangkan isteri maka untuk mengikut cakapnya memanglah mudah. Cuba kalau isteri itu sudah dibenci dan dimusuhi. Apakah mudah diikut cakapnya? Tentu payah. Jadi walaupun kita susah memerangi nafsu ini tetapi kita usahakan juga tanpa jemu-jemu. Kita tahu memerangi nafsu inilah yang paling Allah suka. Oleh kerana ia dianggap jihad akbar (peperangan yang besar) maka kita teruskan juga. Kita yakin Allah membantu.

Kalau hati kita jahat, Allah tidak akan bantu kita. Segala kerja-kerja kita terbengkalai dan tersangkut. Tidak selesai. Itulah hukuman Allah di dunia di atas kecuaian kita bermujahadah itu. Sepanjang hidup kita berada dalam dosa. Dosa batin yang tidak kita sedari. Oleh itu mari kita bersihkan dosa batin kita ini. Mari kita terus bermujahadah yakni berperang dan bertarung dengan nafsu kita sendiri sehinggalah akhir hayat kita. Barulah dikatakan wira sejati. Seperti sabda Rasulullah SAW: “Siapakah yang dianggap wira itu?” Kata Sahabat: “Mereka yang tidak dapat dikalahkan (dalam peperangan).” Nabi menjawab: “(Orang yang dianggap wira itu) ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.” (Riwayat Ibnu Atsir)

Allah SWT juga ada berjanji: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman).” (Al A’la: 14)
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (Asy Syams: 10)

TAUBAT ATAS DOSA DENGAN ALLAH DAN MANUSIA

Firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah kamu tahu, sesungguhnya Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi, diseksa-Nya siapa yang dikehendaki-Nya dan diampuni-Nya bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al Maidah: 40)

Kita sentiasa berada dalam dosa. Dosa-dosa itulah yang menjadi hijab antara hamba dengan Allah SWT dan kerananya juga Allah memandang hamba-Nya itu dengan penuh benci dan murka sehingga terhijab seluruh rahmat dan kasih sayang-Nya. Bila ini terjadi, apa saja amal ibadah dan kebajikan yang kita buat, Allah tidak pandang dan tidak terima. Yakni pahalanya tergantung atau tidak sampai kepada Allah. Bahkan bukan itu saja, di Akhirat besok, Allah akan menghukum dengan Neraka yang maha dahsyat. Oleh itu wajib setiap hamba Allah itu bertaubat dengan segera terutamanya apabila melakukan dosa dan kesalahan.

Taubat ertinya kembali merujuk kepada Allah yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Menyerah diri (surrender) pada-Nya dengan hati penuh penyesalan yang sungguh-sungguh. Yakni kesal, sedih, dukacita serta rasa tidak patut di atas dosa-dosa yang dilakukan sehingga menangis mengeluarkan air mata. Hati terasa pecah-pecah bila mengingati dosa-dosa yang dilakukan itu. Merayu moga-moga Allah ambil perhatian. Memohon agar Allah yang Maha Pengampun akan mengampunkannya. Meminta agar Allah memandang dan memberi dengan penuh kasih sayang. Hati yang pecah-pecah itu menjadikan anggota-anggota lahir (mata, telinga, kepala, kaki, tangan, kemaluan) tunduk dan patuh dengan syariat yang Allah telah tetapkan dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatanperbuatan derhaka itu.

Itulah pengertian taubat. Tidak sepertimana sesetengah orang memahami pengertian taubat selama ini. Kata mereka, cukup dengan hanya mengucapkan istighfar di mulut, “ Astaghfirullahal azim.” Hati tidak merasa bersalah dan berdosa. Tidak semudah itu Allah SWT hendak menerima taubat hamba-hamba-Nya kecuali setelah menempuh syarat-syarat (proses) yang telah ditetapkan-Nya.

Syarat-syarat taubat ada dua bahagian sebagaimana dosa dan pahala terbahagi kepada dua, iaitu:

a. syarat taubat di atas dosa dan kesalahan dengan Allah
b. syarat taubat di atas dosa dan kesalahan dengan sesama manusia

SYARAT TAUBAT DOSA DENGAN ALLAH

Antara syarat-syarat taubat yang berhubung kait dengan Allah ialah:
1. Menyesal sungguh di atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Yakni terasa kesal, sedih, dukacita, rasa tidak patut kerana melanggar syariat Allah. Sekaligus datang perasaan menyerah diri kepada-Nya.

2. Berazam bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi lagi perkara-perkara yang menjadi larangan Allah itu.

3. Meninggalkan perkara-perkara yang mendatangkan dosa-dosa dengan Allah sama ada dosa besar atau dosa kecil.

a. Antara contoh-contoh dosa besar ialah meninggalkan sembahyang, tidak puasa, tenung nasib, minum arak, zina, judi, rasuah, riba, memfitnah, mengumpat, membunuh dan lain-lain lagi.

b. Di antara dosa-dosa kecil ialah mendedahkan aurat, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, mendengar nyanyian yang menaikkan nafsu syahwat, bercakap perkaraperkara lucah, bergurau berlebih-lebihan, berkelakar, membazir dan lain-lain lagi.

Oleh itu, kalaulah selama ini kita terlibat dengan perbuatan yang haram (seperti riba, mendedahkan aurat, minum arak) maka kita tidak akan buat lagi atau terus tinggalkan perbuatan tersebut. Juga kalau kita terlibat dengan dosa-dosa kerana meninggalkan perkara-perkara wajib (seperti meninggalkan sembahyang dan tinggal puasa), maka kita tidak akan meninggalkannya lagi. Ertinya kita terus melaksanakan perkara-perkara yang wajib dengan bersungguh-sungguh dan membayar (qadha) segala perintah wajib yang tertinggal.

SYARAT TAUBAT DOSA DENGAN MANUSIA
Sekiranya seseorang itu berbuat dosa dan kesalahan yang ada hubungan sesama manusia, antara syarat-syarat taubat yang mesti ditempuhi ialah:

1. Menyesal sungguh-sungguh di atas segala kesalahan yang dibuat terhadap orang lain itu. Benar-benar terasa di hati
perasaan sedih, dukacita dan rasa tidak patut berbuat begitu.

2. Meninggalkan terus perkara-perkara yang mendatangkan dosa dengan manusia.

3. Berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi perkara-perkara yang mendatangkan dosa yang ada hubungan dengan manusia itu.

4. Meminta maaf atau meminta redha (halal) kepada orang yang kita telah berbuat dosa terhadapnya atau bayar semula ganti rugi atau pulangkan barang yang telah diambil.Dosadosa sesama manusia ini kalau hendak disebutkan terlalu banyak.
Secara ringkasnya ia boleh dibahagikan kepada empat kategori iaitu:

a. Dosa yang ada hubungan dengan harta.
Contohnya hutang yang tidak dibayar, harta yang dicuri, dirampas, ditipu, dibinasakan dan lain-lain lagi. Ini semua mesti minta dihalalkan atau meminta maaf pada orang yang bersangkutan atau bayar hutang atau dibayar ganti ruginya atau seumpamanya.

b. Dosa yang ada hubungan dengan peribadi.
Contohnya pukul, tempeleng, cubit, rotan, dera seperti membuli, mengikat, merantai, menyeksa dengan barangbarang tajam atau binatang-binatang bisa, mencacatkan anggotanya atau memotong anggotanya, mengurung atau memenjarakannya dan lain-lain. Dosa-dosa ini semuanya mesti diminta maaf kepada orang berkenaan dan bersedia menerima hukuman mengikut ketentuan syariat sekiranya dia meminta untuk mengenakan hukuman di atas perbuatan kita itu.

c. Dosa yang ada hubungan dengan maruah atau agamanya.
Misalnya memberi malu di depan khalayak ramai, mengumpat dirinya, menghinanya, menuduh dia dengan tuduhan-tuduhan yang tidak benar, fitnah dan lain-lain kesalahan. Ini mesti diminta maaf atau minta redha.

d. Dosa yang ada hubungan dengan keluarganya.
Contohnya kita pernah pegang-pegang, raba-raba, cium anak gadisnya atau zinai anggota keluarganya atau bunuh ahli keluarganya dan lain-lain. Maka hendaklah minta maaf dan minta redha dari keluarganya. Kalau mereka tidak redha dan maafkan, kenalah sanggup diapa-apakan sahaja oleh pihak keluarganya itu sama ada dipukul, ditempeleng dan sebagainya mengikut yang ditentukan oleh syariat.
Di sini kita dapat lihat bahawa bertaubat terhadap dosa dengan sesama manusia lebih berat daripada dosa dengan Allah. Ia mesti menempuh empat syarat tetapi dosa dengan Allah hanya tempuh tiga syarat.

Semua tuntutan syariat ini mesti dibuat mengikut kaedah di atas, barulah taubat itu diterima oleh Allah. Sungguhpun begitu bukan mudah untuk menunaikan syarat-syarat tadi melainkan setelah memiliki hati yang benar-benar ikhlas dan surrender (menyerah sebulat hati) pada-Nya. Kalau tidak dapat menunaikan syarat-syarat ini, taubat itu tetap tidak akan diterima. Orang yang egonya tinggi amat berat untuk bertaubat. Lebih-lebih lagi dosa yang dilakukan itu terhadap sesama manusia.

Begitulah kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya kalau mereka membuat dosa-dosa. Masih ada peluang bertaubat untuk mendapat keampunan dari Allah dengan menempuh syarat-syarat yang telah disebutkan. Kecuali dosa syirik yang tidak mendapat keampunan dari Allah. Ini telah dinyatakan di dalam firman-Nya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa-dosa syirik tetapi akan mengampunkan selain itu.” (An Nisaa’: 48)

Maknanya selain syirik, orang-orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya akan diampunkan oleh Allah. Apabila diampunkan, maka samalah dia seperti orang yang tidak berdosa. Sabda Rasulullah SAW:
Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang bertaubat daripada dosa sepertilah orang yang tidak berdosa.” (Riwayat At Tabrani)
Sabdanya yang lain: “Sesungguhnya Allah menyukai seorang mukmin yang terjerumus berbuat dosa tetapi bertaubat.” (Riwayat Ahmad)
Seterusnya Sabda Baginda lagi: “Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba-Nya selama nyawa belum sampai ke tenggorokan.” (Riwayat Ahmad)
“Semua anak Adam pembuat kesalahan, dan sebaik-baik pembuat kesalahan ialah mereka yang bertaubat.” (Riwayat Addarami)
“Tiada sesuatu yang lebih disuaki Allah daripada seorang pemuda yang bertaubat.” (Riwayat Ad Dailami)

Allah juga memberitahu kita dalam firman-Nya: “Maka barangsiapa yang bertaubat, sesudah melakukan kejahatan itu dan membaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Maidah: 39)
Firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah kamu tahu, sesungguhnya Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi, diseksa-Nya siapa yang dikehendaki-Nya dan diampuni-Nya bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al Maidah: 40)

Allah berfirman lagi: “Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An Nisaa’: 110)

Berdasarkan Hadis-Hadis dan ayat-ayat Al Quran tadi, dapat difahami bahawa wajib setiap orang Islam itu bertaubat daripada dosa-dosanya supaya tidak menjadi hijab antara dia dengan Allah SWT (huraian lanjut dalam Bab 28: Rahsia Hati). Setelah bersih daripada dosa, hijab pun terangkat. Terhubunglah kembali kasih Allah yang terputus selama ini. Dia memandang hamba-Nya itu dengan pandangan penuh kasih sayang sehingga rahmat-Nya melimpah ruah. Justeru itu, hiduplah si hamba yang bertaubat itu dengan penuh bahagia di dunia dan mendapat balasan Syurga di Akhirat.

Demikianlah jika sebaliknya berlaku. Kalau hamba itu tidak bertaubat daripada dosa-dosanya, ertinya dia akan sentiasa berada dalam keadaan dosa. Maka terhijablah dia dengan Allah SWT. Hubungannya dengan Allah terputus. Di waktu itu Allah memandangnya dengan penuh kebencian dan kemurkaan. Rahmat dan kasih sayang Allah terputus. Seluruh amal ibadahnya tergantung. Di Akhirat nanti Allah seksa lebih dahulu dengan azab yang amat pedih.

Sebab itu Allah meminta dan memujuk hamba-hamba-Nya supaya segera bertaubat. Firman-Nya: “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan Tuhanmu dan kepada Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertaqwa, iaitu orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahu pun sempit, dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Dan Allah menyukai orang yang membuat kebajikan. Dan juga orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa selain daripada Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui.
Firman Allah: “Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan Syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya, dan itulah sebaik-baik pahala orang yang beramal.” (Ali Imran: 133-136)

Berdasarkan ayat ini Allah meminta kita bersegera bertaubat. Yakni membesihkan diri dari dosa dan menyerah diri sepenuh hati pada Allah, sebelum kedatangan mati atau sebelum bertemu dengan-Nya. Kerana mati itu tidak tahu bila masanya. Boleh jadi mengejut, datang tiba-tiba. Setelah bertaubat, Allah menyuruh kita segera mengejar Syurga. Yakni dengan cara melakukan amal soleh atau amal kebajikan seperti berjuang, berkhidmat kepada masyarakat, bersedekah, menahan marah, memaafkan kesalahan orang dan sebagainya. Orang yang tidak bertaubat ertinya orang yang berdosa.
Jika dalam waktu yang sama dia beramal ibadah atau mengadap Allah, perbandingannya samalah dengan seorang rakyat datang mengadap raja iaitu:

a. Jika seseorang itu terlibat dengan dosa-dosa besar, dirinya umpama seorang rakyat yang hendak bertemu raja sedangkan seluruh badan dan pakaiannya penuh dengan najis tahi anjing yang sangat busuk dan menjijikkan. Najis tahi anjing itu bukankah najis mughallazah, yakni najis yang amat be-rat. Jadi dia bukan saja tidak dapat berjumpa dengan raja bahkan di pagar istana lagi sudah ditangkap dan dihukum penjara oleh pengawal-pengawal istana, kerana dianggap mengotori majlis raja.

b. Orang yang melakukan dosa-dosa kecil pula macamlah seorang rakyat yang hendak bertemu dengan raja tapi badan dan pakaiannya penuh dengan najis tahi ayam atau tahi kucing atau tahi lembu yang sangat busuk dan sangat dibenci orang. Macam nasib orang tadi juga, belum sempat berjumpa raja, di pagar istana lagi dia sudah ditangkap dan dihukum penjara. Cuma hukuman yang dijatuhkan mung-kin agak ringan sedikit berbanding dengan orang yang pertama tadi.

c. Demikianlah juga berlaku dengan orang yang melakukan perbuatan-perbuatan makruh. Orang ini macamlah orang yang badan dan pakaiannya bercelomos dengan lumpur, debu-debu, habuk-habuk atau peluh yang busuk dan berbau hangit tapi bukan bernajis. Tiba-tiba dia mahu mengadap raja. Mungkin dia tidak dihalang untuk ke majlis raja tapi dia akan dimarahi dan ditempelak oleh pengawal raja kerana dianggap tidak bersopan. Walaupun tidak ditangkap tapi dia akan dapat malu juga kerana dimarahi.
Oleh itu untuk bertemu raja, ada syarat-syaratnya yang mesti dijaga supaya sentiasa berdisiplin iaitu kemas, bersih, rapi dan tahu adab-adab mengadap raja. Kalau tidak, di luar istana lagi akan dihalau, tidak diterima masuk mengadap dan ditangkap untuk dipenjarakan.

Demikianlah juga dengan orang-orang yang melakukan kesalahan, sama ada dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa kecil, kalau tidak bertaubat, di Akhirat dia tidak berpeluang melihat Zat Allah yang Maha Indah. Sebaliknya, tempatnya adalah Neraka yang amat pedih dan amat dahsyatnya. Orang yang melakukan perbuatan makruh juga kalau tidak bertaubat, walaupun tidak diazab seksaan Neraka, tapi Allah memandang dengan penuh benci. Dia dimarahi, diherdik dan diberi malu di depan makhluk-makhluk lain sehingga malu yang dirasakan pada kita waktu itu tidak terhingga dan terkata. Sehingga cair dan gugurlah segala daging-daging di muka dan akhirnya tinggallah rangka-rangka yang sangat hodoh dan mengerikan. Begitulah penanggungan malu yang dirasakan waktu itu.

Itu baru azab malu kerana terlibat dengan perbuatan makruh yang Allah benci. Itupun sudah tidak tertanggung oleh kita. Gambarkanlah seksaan yang akan ditanggung kalau melakukan dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil. Sudah tentu tersangatlah azab dan seksanya. Oleh itu marilah kita sama-sama bertaubat daripada segala dosa sama ada dosa-dosa kecil dan perbuatan yang dibenci iaitu makruh. Moga-moga kita menjadi orang yang bertaubat dan taubat kita diterima oleh Allah.

Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?

Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala. Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.

Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.

Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya. Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.

Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok-belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.

Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita. Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita sebagai wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.

Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia. Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.

Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua. Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.

Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa. Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.

Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih. Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.

Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.

Dan kerana tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.

Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya. Tetapi kerana fitrah kejadian tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.

Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik. InsyaAllah.

MENGAPA PENTINGNYA MENJAGA HATI

Orang yang hatinya hidup. Perasaannya hidup dengan Tuhan. Apa erti perasaan hidup dengan Tuhan. Sering memikirkan dosa dengan Tuhan. Takut dan cinta dengan Tuhan. Selalu rasa bersalah. Walaupun dia beribadah tapi dia rasa tidak sempurna. Dia rasa dia dalam kebesaran Tuhan. Dapat nikmat dia rasa bersyukur dan rasa malu dengan Tuhan. Dia terasa lemah bila berhadapan dengan Tuhan. Melihat alam semesta terasa kebesaran Tuhan. Melihat orang membuat baik merasakan dia perlu berbuat baik. Melihat orang membuat jahat. Dia rasa bersyukur kepada Tuhan kerana selamat daripada kejahatan. Dia rasa kesihan dengan orang itu...

Lazimnya manusia sangat memberi perhatian dan mengawasi kesihatan fizikal. Pengawasan dibuat dengan seribu satu macam cara. Apabila mengalami sakit atau sebarang gangguan, biasanya tanpa lengah lagi manusia akan segera menemui doktor. Andainya tidak berkesan daripada rawatan biasa, berpindah pula ke doktor atau rawatan pakar.
Anehnya, tidak demikian sikap manusia dalam menghadapi penyakit hati atau rohani. Sama ada manusia mengambil sikap terus tidak peduli langsung atau mereka memandang remeh terhadap persoalan hati atau roh. Padahal kesan dan akibat daripada penyakit hati atau roh bukan sahaja mencetuskan berbagai kejahatan dan kemungkaran malah akan diseksa di Neraka Allah SWT di Akhirat kelak, wal’iyazubillah.

Marilah sama-sama kita lihat mengapa terlalu pentingnya menjaga hati atau roh yang di antaranya seperti berikut:

1. Kerana roh itu kekal atau dikekalkan, tidak seperti fizikal (jasad lahir), ia binasa. Di Akhirat kelak, roh itu akan diberi jasad baru.

2. Roh itulah yang akan menerima atau merasa nikmat atau azab bersama jasad barunya di Akhirat kelak.

3. Ia adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan yang mana sama-sama ingin mengisi. Malaikat dengan iman, syaitan dengan kekufuran atau malaikat dengan keyakinan, syaitan dengan keraguan.

4. Ia adalah tempat jatuhnya ilham atau ilmu laduni (dapat ilmu tanpa belajar), ia merupakan wahbiah (anugerah) daripada Allah. Akal tempat ilmu nazali (ilmu yang dipelajari).

5. Roh kalau ia bersih, Allah beri ia rasa yang tepat atau firasat.

6. Roh kalau ia terlalu bersih, matanya lebih tajam dari mata lahir atau mata kepala, sebahagian perkara yang ghaib Allah perlihatkan kepadanya. Itulah yang dikatakan mukasyafatul qulub.

7. Roh atau hati adalah raja dalam diri. Kalau hati itu baik, ia akan arahkan tentera-tenteranya iaitu anggota lahir atau jawarih kepada kebaikan. Kalau ia jahat, ia akan arah tenteranya membuat kejahatan.

8. Kerana ia boleh menerima sifat-sifat mahmudah yang dikehendaki dan juga boleh menerima sifat-sifat mazmumah yang dibenci dan dikeji yang sayugianya hendaklah dibuang atau dijauhi.

9. Ia adalah merupakan tempat merasa iaitu susah atau senang, bahagia atau dukacita, rasa sempit atau rasa lapang, rasa keluh-kesah atau tenang, rasa kecewa atau ceria, rasa putus asa atau harapan yang cerah, rasa benci atau suka, rasa ragu atau percaya, rasa pesimis atau optimis, rasa rindu atau simpati.

10. Sikap jasad lahir atau tingkah laku adalah pancaran dari hati atau roh sama ada baik ataupun buruk.

11. Hati tempat penglihatan dan nilaian Tuhan manakala jasad lahir tempat pandangan makhluk.

12. Hidayah yang lahir, ia adalah punca dari yang batin atau roh atau hati.

13. Sifat mahmudah yang paling terpuji ialah ikhlas, penentu segala amalan seseorang itu diterima atau ditolak ialah bertapak pada roh atau hati, malaikat pun tidak tahu, hanya Allah yang mengetahui.

14. Seseorang yang membuat kebaikan, orang tidak kata baik tangannya, kakinya, tapi orang berkata baik hatinya.

15. Ketahanan yang lahir adalah berpunca daripada ketahanan yang baik yakni roh atau hati.

16. Segala perubahan yang lahir ini berpunca daripada perubahan yang batin yakni roh atau hatinya.

17. Penyakit roh atau hati membawa ke Neraka, penyakit lahir membawa ke Syurga (segala kesusahan dan kesakitan lahiriah merupakan kifarah dosa).

18. Penyakit lahir walau bagaimana teruk sekalipun, ia hanya merosakkan badan, tapi penyakit roh atau hati menghancurkan apa yang ada di dunia ini.

19. Penyakit badan kalau sudah teruk sangat, membawa mati badan, tapi penyakit roh atau hati membawa matinya iman dan Islam.

20. Penyakit badan sakitnya tidak kekal, tapi penyakit roh atau hati seksanya kekal abadi.

21. Penyakit lahir hanya manusia yang benci, tapi penyakit batin Allah benci.

22. Penyakit lahir menguruskan badan, tapi penyakit batin menguruskan iman.

23. Di dalam tidur, adakalanya mendapat alamat di dalam mimpi sama ada secara jelas atau ibarat. Ia diperlihatkan kepada roh, bukan kepada mata kasar.

24. Rasulullah SAW menyuruh takut dengan pandangan mata hati atau pandangan roh. Allah tidak mengatakan agar takut kepada pandangan mata kasar.
Sabda Baginda: “Takutilah firasat orang mukmin, kerana ia melihat dengan cahaya Allah.” (Riwayat At Tarmizi)

1. Penyakit lahir tidak dipandang hina oleh Islam, tapi penyakit batin dipandang hina.

2. Penyakit lahir tidak sampai hilang kepercayaan orang, tapi penyakit batin sampai menghilangkan kepercayaan orang.

3. Penyakit lahir tidak membawa permusuhan, perpecahan dan peperangan, tapi penyakit batin membawa pergaduhan, perpecahan dan peperangan.

4. Roh boleh mengembara tanpa jasad dan dapat melihat perkara-perkara yang ajaib dengan izin Allah.

5. Selepas mati, roh boleh balik ke dunia dan dapat melihat keluarganya, tidak seperti jasad.

6. Penyakit lahir orang simpati, penyakit batin orang tidak simpati.
Oleh kerana pentingnya hati dan roh, maka ia hendaklah dijaga sungguh-sungguh iaitu:

a. Wajib kita memberi makanan yang cukup. Makanannya ialah sembahyang, zikrullah, membaca Al Quran, tasbih, tahmid, selawat, melihat kebesaran-Nya melalui pemandangan dan mengingati mati.

b. Memberi ia pakaian iaitu dengan sifat-sifat taqwa.

c. Jauhkan dari sebarang penyakit seperti marah, bakhil, pendendam, sombong, riyak, ujub dan sebagainya.

BAGAIMANA CARA MEMIMPIN HATI

Firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya mendapat kemenanganlah orang yang membersihkan hatinya (roh atau nafsu). Dan kecewalah orang-orang yang mengotorinya.” (Surah As Syams: 9-10)
Hati mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik. Kerana membersihkan hati adalah wajib. Bila ia bersih, akan membersihkan seluruh kehidupan lahirnya.
Di antara cara-cara memimpin hati ialah:
Pertama:
Ada ilmu tentang hati atau roh. Tujuannya untuk mengenal sifat-sifat hati yang positif dan yang negatif. Kalau tidak ada ilmu tentangnya, sifat-sifat mazmumah tidak akan dapat dikesan. Apalagi untuk ditumpaskan. Begitu juga dengan sifat-sifat mahmudahnya tidak akan dapat dikesan untuk disuburkan.

Kedua:
Perlu latihan-latihan praktikal melalui:
a. Mujahadatunnafsi
b. Istiqamah
c. Tafakur
d. Bergaul dengan orang yang baik-baik
e. Pimpinan mursyid
A. MUJAHADATUNNAFSI

Mujahadatun nafsi itu, di antara caranya ialah dengan menem-puh tiga peringkat iaitu:
1. Takhalli – mengosongkan, membuang atau menyu-cikan daripada sifat-sifat yang keji.
2. Tahalli – mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji.
3. Tajalli – terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau sentiasa rasa bertuhan.
Pada ketiga-tiga peringkat ini hendaklah dilakukan dengan mengadakan latihan yang dinamakan riadatunnafsi( Yakni latihan melawan atau memerangi semua kehendak-kehendak hati yang jahat, yang didorong oleh hawa nafsu. Cara memeranginya ialah melalui latihan-latihan menolak kemahuan jahat yang ditimbulkan oleh nafsu. Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:

1. TAKHALLI
Di peringkat takhalli, kita mesti melawan dan membuang dengan memaksa terus-menerus semua kehendak-kehendak nafsu yang rendah (jahat) dan dilarang oleh Allah. Selagi kita tidak memaksa diri untuk membenci, memusuhi dan membuangnya jauh-jauh secara terus-menerus dari diri kita, selagi itulah nafsu jahat akan sentiasa menguasai dan memperhambakan kita.

Rasulullah SAW bersabda: “Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak di antara dua lambung engkau.” (Riwayat Al Baihaqi)
Kerana kejahatannya itu, telah ramai manusia yang ditipu dan diperdayakan untuk tunduk dan bertuhankan hawa nafsu. Ini ada diceritakan oleh Allah dengan firman-Nya: “Apakah engkau tidak perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsu menjadi Tuhan, lalu dia dibiarkan sesat oleh Allah berdasarkan ilmu-Nya.” (Al Jasiyah: 23)
Apabila nafsu jahat itu dibiarkan menguasai hati, iman tidak akan ada tempatnya. Bila iman tidak ada, manusia bukan lagi menyembah Allah, Tuhan yang sebenarnya tetapi dia akan menyembah hawa nafsu. Oleh itu usaha melawan hawa nafsu janganlah dipermudah-mudah dan dianggap ringan. Ia adalah satu jihad yang besar. Ingatlah sabda Rasulullah SAW pada Sahabat-Sahabat ketika baginda berangkat pulang dari satu medan peperangan: “Kita baru balik dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang besar.” Bila para Sahabat bertanya: “Peperangan apakah itu?” Baginda berkata: “Peperangan melawan nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)

Melawan hawa nafsu sangatlah susah. Barangkali kalau nafsu itu ada di luar jasad kita dan boleh pula dipegang, senanglah kita picit dan membunuhnya sampai mati. Tetapi nafsu kita itu ada dalam diri kita, mengalir bersama aliran darah, menguasai seluruh tubuh kita. Bahkan ia menjadi sebahagian daripada jasad kita iaitu tubuh yang halus (jismul-latif). Kerana itu, tanpa kesedaran, kemahuan dan paksaan yang sungguh-sungguh, kita pasti dikalahkannya, kemudian ia peralatkan semahu-mahunya.
Untuk lebih jelas, disenaraikan peringkat-peringkat nafsu manusia. Sepertimana iman itu sendiri berperingkat-peringkat, begitu juga nafsu. Seseorang yang dapat mengalahkan nafsunya akan meningkat ke taraf nafsu yang lebih baik. Begitulah seterusnya sehingga nafsu manusia itu benar-benar dapat ditundukkan kepada perintah Allah.

Berikut ialah peringkat-peringkat nafsu yang saya senaraikan mengikut aturan tingkatannya:
i. Nafsu ammarah
ii. Nafsu lawwamah
iii. Nafsu mulhamah
iv. Nafsu mutmainnah
v. Nafsu radhiah
vi. Nafsu mardhiah
vii. Nafsu kamilah

Orang yang imannya di taraf iman ilmu, nafsunya berada di taraf yang kedua iaitu nafsu lawwamah. Kita mesti berjuang melawan nafsu itu hingga ia mahu tunduk sepenuhnya pada perintah Allah iaitu paling minima, nafsu mutmainnah. Nafsu mutmainnah ada pada orang yang memiliki iman ayan. Di peringkat inilah sahaja kita akan dapat menyelamatkan diri daripada seksaan Neraka. Ini dinyatakan sendiri oleh Allah SWT dengan firman-Nya: “Hai jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah), kembalilah pada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.” (Al Fajr: 27-30)

Di sini diperpanjangkan lagi, bagaimana mahu membersihkan sifat-sifat mazmumah yang melekat pada hati itu. Sifat-sifat mazmumah yang melekat pada hati sepertilah daki yang melekat di badan. Kalau kita malas menggosoknya, akan bertambah menebal dan kuatlah ia bertapak di badan. Sebaliknya kalau kita rajin meneliti dan menggosoknya, maka akan bersihlah badan. Begitulah mazmumah (daki) hati. Jika kita rajin meneliti dan membersihkannya, maka bersihlah hati itu, malah ia bercahaya.

Bagaimanakah cara membuang sifat-sifat mazmumah dari hati? Tentulah tidak sesenang membuang daki di badan. Ia memerlukan latihan jiwa yang sungguh-sungguh, didikan yang berterusan dan tunjuk ajar yang berkesan dari guru mursyid. Yakni guru yang dapat membaca dan menyelami hati muridnya sehingga dia tahu apakah kekurangan dan kelebihan muridnya itu. Malangnya di akhir zaman ini kita ketiadaan guru mursyid. Ini dinyatakan sendiri oleh baginda Rasulullah bahawa di akhir zaman yang banyak adalah mubaligh tetapi sukar mencari guru mursyid.

Nasib kita hari ini umpama anak ayam kehilangan ibu. Tiada yang akan memandu kita melalui jalan kebaikan yang ingin kita tempuhi. Meraba-rabalah kita. Tetapi bagi orang yang mempunyai keazaman yang kuat untuk membersihkan jiwanya, dia tidak akan kecewa hanya kerana tiada orang yang boleh mendidik dan memimpinnya. Ia akan sanggup berusaha sendiri demi kesempurnaan diri dan hidupnya, sekadar yang termampu.
Untuk jelasnya dibuat beberapa contoh, cara membersihkan hati yang jahat ini:

Contoh 1: Rasa Bakhil
Biasanya nafsu mendorong kita bersifat bakhil. Sedangkan bakhil itu dikeji dan dibenci oleh Allah. Kerana Allah mahu kita jadi pemurah. Dalam sebuah Hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Si pemurah yang jahil lebih dicintai Allah daripada ahli ibadah yang bakhil.” (Riwayat Al Khatib)

Oleh itu kita mesti melawan kemahuan nafsu itu. Paksalah hati memberi atau menderma selalu, terutamanya waktu rasa bakhil itu menguasai diri. Yang paling baik, waktu duit tinggal sedikit, waktu itulah kita latih berkorban kerana waktu itulah nafsu rasa paling tercabar. Itulah waktu yang sebaik-baiknya untuk menundukkan nafsu. Sedangkan waktu kita kaya, fungsi menderma tidaklah sebagai riadah melawan nafsu tetapi perbuatan itu sekadar dapat pahala.

Katakanlah kita sedar bahawa pada diri kita ada sifat bakhil. Kita pun tahu bahawa Allah tidak suka pada orang yang bakhil. Kerana itu kita berazam untuk mengikis sifat yang terkutuk itu. Maka kita perlu cuba membiasakan dan membanyakkan sedekah, memberi hadiah dan lain-lain amalan yang berupa pemberian hak kita kepada orang lain. Agar sifat pemurah menjadi subur dan sebati seterusnya menjadi tabiat kita. Sebagai pendorongnya, kita hendaklah selalu membaca firman-firman Allah dan Hadis-Hadis yang banyak menganjurkan kita berkorban. Di sini dipetik beberapa ayat Al Quran dan Hadis untuk menunjukkan Allah dan Rasul-Nya sangat menganjurkan sifat pemurah itu.

Firman Allah SWT: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkan sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan sebahagian dari hartamu, memperolehi pahala yang besar.” (Al Hadid: 7)
Firman Allah SWT: “Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya dan dia akan memperolehi pahala yang banyak.” (Al Hadid: 11)

Bersabda Rasulullah SAW: “Orang yang membantu perempuan janda dan orang miskin, samalah seperti berjihad di jalan Allah dan seperti bersolat malam tanpa letih, dan seperti berpuasa siang hari tanpa berbuka.” (Riwayat Bukhari)
Sebenarnya sifat bakhil bukan sahaja ada pada orang kaya dan berharta bahkan orang miskin pun tidak mustahil dihinggapi penyakit ini. Kerana itu dalam Islam bukan sahaja sedekah itu boleh dilakukan dengan harta benda tetapi boleh juga dilakukan dengan cara yang lain. Cara-cara ini dapat mendidik akhlak mulia bagi semua orang, memberi peluang pada orang miskin mengikis sifat bakhil selain turut mendapat pahala sedekah.

Allah SWT berfirman: “Perkataan yang baik dan pemberian maaf, lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.” (Al Baqarah: 263)

Rasulullah SAW pernah memberikan garis-garis panduan berikut dalam satu riwayat Hadisnya: “Segala perbuatan yang baik itu sedekah.” (Riwayat Ahmad dan Bukhari dari Jabir)
Sabda Rasulullah SAW: “Senyuman kepada saudaramu itu adalah sedekah.” (Mashabi Assunah)

Lagi Sabda Baginda: “Aku khabarkan kepadamu, yang lebih tinggi dari darjat puasa, sembahyang dan sedekah. “Khabarkanlah,” kata Sahabat-Sahabat. “Mendamaikan dua golongan yang bergaduh itu sedekah.” (Riwayat Ahmad dari Abi Dardak)
Dengan menggunakan panduan-panduan di atas, orang yang menyedari ada padanya sifat bakhil, bolehlah cuba melatih diri untuk mengubatnya. Bila ada saja peluang untuk sedekah dan sebagainya, jangan dibiar begitu sahaja. Paksalah hati untuk mengeluarkan harta atau bertindak memberi kebaikan kepada orang lain dengan bermacam-macam cara itu.

Di waktu rasa bakhil itu terasa kuat bergantung di hati, waktu itulah perlawanan mesti dihebatkan. Keluarkan apa-apa yang disayangi itu dengan segera dan sebanyak-banyaknya. Latihan ini akan jadi lebih berkesan kalau kita sanggup mengeluarkan harta itu semasa kita sendiri kekurangan. Katakanlah kita didatangi oleh peminta derma di waktu kita hanya ada RM5 di poket. Waktu itu, paksakan hati supaya mengeluarkan separuh yang ada. Tentulah hati rasa berat tetapi keluarkanlah juga. Insya-Allah, kalau ini dibuat dan sanggup kita buat selalu, kita akan jadi seorang yang pemurah dan rasa bakhil akan lenyap terus dari hati kita. Katakanlah kita ada duit RM10,000 tetapi yang kita dermakan hanya RM10 sahaja, tentu tidak akan berkesan apa-apa di hati kita. Di waktu duit sedikit, rasa bakhil sangat kuat maka waktu itu kita akan rasa berat untuk menderma. Ketika itulah kita perlu lawan sifat bakhil itu. Itulah yang dikatakan latihan. Itulah caranya untuk suburkan sifat-sifat pemurah.

Contoh 2: Sifat Takabur
Sifat takabur (sombong) adalah mazmumah yang wajib sangat dikikis segera. Kalau tidak ia akan menutup semua jalan-jalan kebaikan yang mungkin dibuat oleh seseorang itu. Hampir semua dari kita ada sifat ego atau sombong ini. Untuk membuangnya, amat susah sekali. Imam Ghazali ada berkata bahawa sifat ego itu hampir-hampir mustahil dapat dibuang semuanya dari jiwa manusia. Ada ulama sufi berkata, setelah melakukan latihan melawan hawa nafsu, sifat mazmumah yang paling akhir sekali keluar dari dirinya ialah kibir, sombong atau ego.

Bagaimanapun kita perlu berusaha untuk mengurangkannya. Kita mesti cuba merendah diri dengan memaksa hati untuk merasa dan mengakui kelemahan dan kekurangan kita sebagai manusia biasa. Dalam perselisihan pendapat atau pergaduhan kita dengan orang lain misalnya, cuba rasakan kesilapan itu di pihak kita. Atau paling tidak, akuilah bahawa kita juga turut bersalah. Bukankah ada pepatah mengatakan, “Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi.”

Kalau kita mampu dan berani mengakui kesalahan, akan mampu pulalah kita meminta maaf. Hanya dengan meminta maaf sahaja dosa kita sesama manusia akan terhapus. Oleh itu perlu sangatlah kita melatih diri untuk melawan sifat sombong atau takabur itu.
Latihan yang lebih berkesan lagi ialah kita biasakan diri tinggal bersama dengan orang-orang yang dipandang rendah oleh masyarakat. Orang-orang susah, peminta sedekah, orang cacat dan siapa sahaja yang setaraf, kita dampingi dan gauli. Duduk, bercakap-cakap, minum dan tidur baring bersama mereka hingga kita rasa sama seperti mereka. Waktu itu jiwa ego kita akan berasa kesal, terhina dan terseksa sekali kerana kita merasakan orang lain semua mengejek dan merendah-rendahkan kita. Biarkan. Bisikkan di hati, “Memang awak ini asalnya miskin dan hina. Berasal dari tanah dan akan menjadi tanah. Datang ke dunia dulu tanpa seurat benang dan sesen wang.”

Kalaulah amalan ini dibiasakan, insya-Allah sifat ego itu sedikit demi sedikit akan dapat kita buang dari hati kita. Alah bisa tegal biasa dan yakinlah ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Dan ingatlah selalu firman Allah: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak suka seseorang yang sombong lagi membangga diri.” (Luqman: 18)

Allah berfirman lagi: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah satu golongan menghina golongan yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihina lebih baik dari mereka yang menghina. Dan jangan pula wanita (menghina) wanita-wanita lain kerana boleh jadi wanita yang dihina lebih baik dari wanita yang menghina.” (Al Hujurat: 11)
Janganlah kita berjalan di muka bumi dengan sombong kerana kekayaan kita. Kekuatan kita tentu tidak dapat membelah bumi dan ketinggian kita tetap tidak dapat menyamai bukit. Imam Syafie pernah berkata, “Tidak akan mulia orang yang mengangkat diri dan tidak akan hina orang yang merendah diri.” Sifat berkasih sayang sesama manusia adalah sifat terpuji yang dituntut oleh Allah. Ia adalah lawan pada sifat sombong, hasad dengki dan berdendam sesama manusia. Untuk mendapatkannya, kita kena melakukan latihan. Untuk menyayangi orang yang kita sayang itu mudah. Itu bukan latihan namanya. Untuk sayang ayah dan ibu kita, ia tidak perlukan latihan. Memang fitrah semula jadi kita sayang kepada ibu dan ayah. Tetapi yang memerlukan latihan ialah untuk berbuat baik kepada orang yang tidak pernah berbuat baik kepada kita atau berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.

Latihan ini sangat susah hendak dibuat kerana ia sangat bertentangan dengan nafsu. Tetapi kita diminta juga untuk mengusahakannya. Sebab itu Rasulullah ada bersabda: “Hendaklah buat baik kepada orang yang buat jahat kepada kamu.”

Biasanya kita hanya boleh berbuat baik dengan orang yang berbuat baik kepada kita sahaja. Kalau ada kawan yang menyinggung kita, kita tidak sanggup berbuat baik kepadanya. Sebab itulah kita kena latih melawan kemahuan jahat itu. Caranya, orang yang kita tidak suka itu, kita ajak makan bersama, ajak berbual, ajak bermesra, ajak berjalan dan lain-lain lagi. Hal ini memanglah boleh membuatkan hati susah sedikit. Tidak mungkin sekali dua kita usahakan, kita terus mendapat hasilnya. Kita kena lakukan latihan ini sepanjang masa. Bila ada peluang melakukannya, teruslah bertindak.

Sanggupkah kita membuat latihan seperti yang telah kita sebutkan tadi? Kalau kita mampu berbuat, kitalah rijal. Kitalah wira kerana sanggup memerangi nafsu. Ertinya sanggup memerangi diri sendiri. Namun ianya bukan mudah. Amat susah. Tersiksa kita dibuatnya. Adakalanya hendak berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat baik kepada kita pun amat susah. Betapa pula hendak berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat jahat kepada kita. Tentu lebih sulit lagi. Namun melalui latihan yang bersungguh-sungguh, insya-Allah ianya akan dipermudahkan oleh Allah. Allah berfirman: “Mereka yang berjuang di jalan Kami nescaya Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik.” (Al Ankabut: 69)

Contoh 3: Rasa Takut
Rasa takut yang menguasai hati akan bertindak dalam berbagai bentuk mengikut suasana yang dihadapi. Contohnya, takut jin, takut harimau, takut ular, takut penjahat, takut miskin, takut orang kata, takut menegakkan kebenaran, takut maksiat dan takutkan Allah.

Di antara rasa-rasa takut yang disenaraikan di atas, ada rasa takut yang dilarang syariat dan ada pula rasa takut yang disuruh syariat. Perlu diketahui bahawa kedua-dua jenis takut ini tidak mungkin mengisi hati manusia dalam satu masa. Kalau rasa takut yang dilarang syariat ada dalam hati, maka rasa takut yang disuruh syariat, tidak akan bertapak di hati. Sebaliknya kalau takut yang disuruh syariat mengisi ruangan hati, maka hilanglah pula rasa takut yang dilarang syariat.

Tujuan melawan hawa nafsu yang dianjurkan syariat adalah untuk membuang segala rasa takut yang dilarang, untuk diganti dengan rasa takut yang disuruh. Kemuncak rasa takut yang dikehendaki syariat ialah rasa takutkan Allah, dengan erti takutkan segala azab yang dijanjikan oleh Allah di dunia apalagi di Akhirat.
Untuk itu kita mesti melawan nafsu kita yang takut pada hantu atau momok misalnya. Setiap kali kita terserempak dengan suasana itu, jangan kita mengalah dengan nafsu. Kuatkan hati dan tanamkan keyakinan bahawa Allah sahaja yang layak kita takuti. Yang lain-lain hanyalah makhluk seperti kita dan tidak ada apa-apa kuasa.

Untuk lebih berkesan, cuba di waktu tengah malam, kita pergi sendirian ke tanah perkuburan atau ke tempat-tempat yang menyeramkan. Masya-Allah! Tentulah takut. Takut itulah yang mesti kita lawan. Lawan dengan iman dan ilmu. Yakin bahawa tidak ada suatu kuasa pun yang boleh memberi kesan melainkan kuasa dan keizinan Allah. Waktu itu, isikan hati dengan zikrullah. Sedar dan yakinlah bahawa Allah sentiasa bersama dan Allah sangat hampir dengan kita. Allah Maha Melihat dan sedang melihat apa yang kita lakukan. Allah Maha Mendengar dan sedang mendengar apa yang kita katakan. Allah Maha Mengetahui segala masalah yang sedang melanda hati kita. Allah penentu, Allah pemutus, Allah penolong, Allah pembantu, Allah penyelamat dan Allah Maha Kasihan Belas pada hamba-hamba-Nya yang mahu mengikut jalan-Nya. “Mereka yang bermuhajadah (berjihad untuk mencari keredhaan Allah) pada jalan Kami, akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik.” (Al Ankabut: 69)

Lakukan latihan ini dengan tawakal dan doa yang sungguh-sungguh, agar Allah merestui dan memudahkan perjalanan kita. Buangkan rasa takut itu dan gantikan dengan ingatan serta keyakinan hanya pada-Nya.

Bagi orang yang ingin menegakkan kebenaran, tetapi takut dikata orang, takut dihina, takut dibuang kerja, takut ditangkap, takut dijel, takut dibenci dan diketepikan, juga wajib bermuhajadah. Lawanlah rasa takut yang begitu dengan bertindak melakukan amalan tersebut. Misalnya kita takut hendak menghantar anak ke sekolah yang terjamin ada pendidikan Islam, dengan alasan takut tidak dapat kerja, takut gelaplah masa depannya di samping takutkan sikap hidup yang konon ketinggalan zaman.
Cara melawannya ialah hantarkan sahaja anak ke sekolah yang ditakuti itu. Kuatkan hati, pejamkan mata, pekakkan telinga dan lepaskan si anak pergi. Apa sahaja yang dibisikkan nafsu dan syaitan itu kita lawan. Jangan dilayan. Tawakal dan berdoa kepada Allah semoga usaha itu direstui dan semoga Allah bukakan jalan-jalan kemenangan kepada kita di dunia dan Akhirat.

Bagi orang-orang yang tidak melawan nafsu, imannya tidak mungkin dapat bertambah. Malah makin berkurang. Sama ada mereka sedar atau tidak, mereka telah diperhambakan oleh nafsu, menempah kecelakaan dan kutukan Allah di dunia dan Akhirat. Sebenarnya apa yang ditakuti itu, baik jin, mahupun kemiskinan atau penghinaan dari orang lain, pada hakikatnya tidak begitu. Adakah selama ini jin yang mencekik dan membunuh orang? Benarkah orang yang berpendidikan Islam itu miskin dan hina? Benarkah orang yang berpendidikan sekular terjamin hidup dunianya? Cubalah renung dan fikirkan hakikat ini. Kemudian sesuaikan pula dengan firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu tolong Allah, Allah akan menolong kamu dan Dia akan menetapkan kedudukanmu.” (Muhammad: 7)

Demi Allah yang tidak akan mungkir janji, yakinlah bahawa setiap usaha yang bertujuan mencari keredhaan-Nya pasti mendapat jaminan dan dimuliakan. Seperkara yang harus kita sedar bahawa Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih itu, sentiasa bersedia untuk menolong sesiapa sahaja dari hamba-hamba-Nya. Kerana telah ditetapkan-Nya bahawa untuk mendidik hati, menambah iman itu perlu kita banyakkan latihan melawan hawa nafsu, maka Allah sendiri selalu memberi peluang pada kita untuk berbuat demikian.

Mehnah atau ujian dari Allah yang selalu menimpa kita seperti miskin, sakit, kematian, kecacatan anggota, kekurangan rupa paras, lemah dan bodoh, kata nista, hasad dengki orang, bencana alam dan lain-lain kesusahan serta penderitaan itu adalah peluang yang Allah berikan untuk kita bermujahadah.

Lagi tinggi taraf iman seseorang, lagi banyaklah mehnah yang Allah datangkan. Demikian maksud sabda Rasulullah SAW: “Bala yang paling berat akan ditimpa pada nabi-nabi, kemudian orang yang paling mulia (selepas nabi), kemudian yang paling mulia selepas itu. Seseorang itu diuji mengikut pegangan agamanya. Jika kuat agamanya beratlah ujiannya. Jika lemah agamanya, maka diuji mengikut agamanya.” (Riwayat At Tirmizi)

Apabila jiwa dihimpit dengan kesusahan-kesusahan, ertinya nafsu tercabar. Nafsu bakhil, sombong, penakut dan lain-lain mazmumah itu menjadi sakit dan terseksa setiap kali ditimpa ujian. Sesiapa sahaja sama ada orang Islam atau bukan Islam, asalkan dia hamba Allah, pasti merasakan hal ini. Bagi orang-orang yang beriman, dia sedar maksud Allah berbuat begitu. Setiap kali ditimpa ujian dia cepat-cepat memberitahu hatinya bahawa kalau ia sabar dan redha dengan ujian itu ia pasti akan mendapat satu dari dua yakni:

1. Penghapusan dosa atau

2. Kasih sayang Allah dan pangkat darjat di Syurga
Apabila diyakini sungguh-sungguh, bagi kita yang bertaraf iman ilmu tentu akan sanggup bermujahadah, memaksa nafsu untuk tenang dan merasa tidak ada apa-apa dengan penderitaan itu. Kalau kita miskin, maka pujuklah hati untuk tidak sedih dan susah hati dengan kemiskinan. Kajilah kebaikan yang diperolehi oleh orang miskin, di dunia mahupun di Akhirat. Misalnya di dunia kita beruntung, tidak payah mengurus, tidak payah bertanggungjawab membantu orang lain. Di Akhirat pula hisab akan dikurangkan dan dipercepatkan masuk ke Syurga.

Kemudian ajaklah hati untuk menerima pemberian Allah itu dengan redha, tanpa kesal dan buruk sangka dengan Allah. Yakinlah bahawa Allah cukup tahu kenapa kita perlu miskin. Kita pula sangat lemah untuk memahami hakikatnya apalagi untuk menangkisnya. Ibarat baju kita yang mana ia tidak pernah tahu kenapa kadang-kadang dibasuh, kadang-kadang digosok, kadang-kadang dijahit, kadang-kadang dipakai dan kadangkadang dibuang. Maka begitulah kita yang jahil tentang rahsia diri dan hati sendiri. Amat munasabahlah untuk kita redha dan sabar dengan ketentuan Allah kepada kita.

Memang di peringkat mujahadah, hati masih sakit dan tidak puas hati. Hanya jagalah supaya kita tidak gelisah, tidak mengungkit-ungkit, tidak mengadu-ngadu serta tidak buruk sangka dengan Allah. Kalau sifat ini dapat dikekalkan, insya-Allah peluang untuk meningkatkan iman adalah besar. Sebaliknya kalau setiap ujian dihadapi dengan keluh-kesah dan gelisah, kebimbangan, tidak sabar dan buruk sangka dengan Allah, bersedialah untuk menanggung kegelisahan jiwa yang perit dan penderitaan di Akhirat yang amat sangat.

Untuk pengetahuan kita, perlu dinyatakan bahawa bagi orang-orang muqarrobin dan nabi-nabi, iman yang tinggi menjadikan mereka lebih senang hidup dalam kesusahan daripada kesenangan. Mereka lebih inginkan kekurangan daripada kecukupan. Sebagai bukti cuba kita lihat doa Rasulullah SAW: “Wahai Tuhan, hidupkan aku di dalam ke-miskinan, matikan aku dalam kemiskinan dan kumpulkan aku dalam Syurga bersama orang-orang miskin.” (Riwayat At Tirmizi)

Sayidina Ali dalam sejarahnya pernah ketika dia hanya ada sebiji kurma untuk berbuka puasa, tiba-tiba datang peminta sedekah meminta makanan, terus diberikannya kurma yang sebiji itu.
Seorang perempuan di zaman Rasulullah SAW, yang punya tiga anak lelaki, sanggup melepaskan kesemua anaknya ke medan perang. Dia senyum ketika anak sulung dan anak keduanya mati syahid di medan perang tetapi menangis bila diberitahu anak bongsunya juga syahid. Bila ditanya kenapa dahulu senyum, sekarang menangis? Beliau menjawab: “Aku sedih kerana tiada lagi anak yang boleh aku korbankan untuk jihad fisabilillah.”

Nafsu kita juga selalu membuatkan kita kelu dan takut untuk bercakap bila berhadapan dengan orang-orang besar atau raja. Sedangkan bercakap benar di hadapan raja yang zalim itu adalah dituntut. Rasulullah SAW bersabda: “Jihad yang paling utama itu berkata benar kepada penguasa yang zalim.” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)
Oleh itu kita mesti berusaha dapatkan sifat berani. Untuk melakukannya, mesti biasakan bercakap kebenaran bila semajlis dengan orang-orang besar. Memanglah di permulaannya kita akan rasa gementar tetapi lama kelamaan rasa takut pada makhluk itu pasti hilang. Yang timbul hanya rasa takut pada Allah sahaja.

Tanpa latihan tidak mungkin kita boleh buat peningkatan. Sedangkan latihan itu memang sulit. Kerana kita dihalang oleh nafsu. Rasa takut dan rendah diri itu sudah lama mendarah mendaging. Jadi dengan jiwa tauhid yang kuat dan ampuh bertunjang di hati saja, kita mampu menolak nafsu-nafsu takut dan hina diri itu. Terutama bila berhadapan dengan orang besar atau orang yang berkuasa.

2. TAHALLI
Tahalli bererti menghias. Yakni perkataan lawan bagi takhalli. Sesudah kita mujahadah yakni mengosongkan hati dari sifat-sifat terkeji atau mazmumah, segera pula kita menghiasi hati dengan sifat-sifat terpuji atau mahmudah. Untuk mudah difahami, cuba gambarkan hati kita sebagai sebuah mangkuk yang kotor. Kemudian mangkuk itu dibersihkan. Setelah bersih, jangan dibiarkan ianya kosong. Isikan dia dengan barang-barang yang berharga dan makanan yang lazat. Begitu jugalah dengan hati yang telah dibersihkan daripada sifat-sifat mazmumah tadi. Janganlah dibiarkan ianya kosong. Mestilah diisi dengan sifatsifat mahmudah pula.

Untuk mengisi hati dengan sifat mahmudah, sekali lagi kita perlu mujahadah. Saya tegaskan sekali lagi, bahawa dalam pe-ringkat mujahadah ini, kita masih berasa berat dan susah. Susahnya memerangi hawa nafsu itu kerana hakikatnya kita terpaksa memerangi diri kita sendiri. Bukankah sebelum ini kita katakan nafsu itu sebahagian dari jasad kita, iaitu jasad halus kita (jismul latif). Maknanya belum ada ketenangan dan kelazatan yang sebenar. Bagaimana hendak lazat kalau terpaksa memerangi diri sendiri. Insya-Allah, kalau kita bersungguh-sungguh, lama kelamaan bila ia sebati dengan hati, di waktu itu akan terasalah lazatnya. Kerana setelah kita bersungguh-sungguh, Allah akan membantu sepertimana janji-Nya dalam Al Quran.

Cara-cara mujahadah dalam tahalli samalah seperti kita mujahadah untuk takhalli. Macamlah juga orang yang buat latihan senaman untuk sihatkan badan. Peringkat awal tentulah terasa letih, menjemukan dan sakit-sakit badan. Tetapi akhirnya nanti, dia akan rasa seronok dan terhibur dengan senaman itu. Begitulah juga dalam riadatunnafsi ini. Ertinya, kita bersenam secara rohaniah. Peringkat awal tentulah jemu dan terseksa tetapi akhirnya ia akan mesra dengan tabiat diri kita.

Misalnya, kita mahu menghiasi hati dengan sifat pemurah. Maka kita mujahadah dengan mengeluarkan harta atau barang kita, terutama yang kita suka dan sayang, untuk diberi pada yang memerlukannya. Mulanya tentu terasa berat dan payah. Tetapi jangan menyerah. Kita lawan. Ingatkan hati bagaimana orang-orang muqarrobin berebut-rebut untuk dapatkan pahala sedekah. Sayidatina Aisyah r.ha. di waktu tiada apa yang hendak dimakan, beliau cuba juga mendapatkan walau sebelah kurma untuk disedekahkan.

Begitu kuat keinginan mereka pada pahala dan rindunya dengan Syurga. Mereka berlumba-lumba menyahut pertanyaan Allah SWT: “Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipatgandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperolehi pahala yang banyak.” (Al Hadid: 11)
Setiap kali kita rasa sayang pada harta, setiap kali itulah pula kita keluarkannya. Insya-Allah lama-kelamaan kita akan memiliki sifat pemurah. Begitu juga dengan sifat-sifat mahmudah yang lain seperti kasih sayang, berani, tawadhuk dan sebagainya, perlulah kita miliki. Untuk itu kenalah bermujahadah. Jika tidak, iman juga turut hilang. Sebab iman itu terdiri di atas sifat-sifat mahmudah.

3. TAJALLI
Sebagai hasil mujahadah dalam takhalli dan tahalli , kita akan memperolehi tajalli. Iaitu sejenis perasaan yang datang sendiri tanpa memerlukan usaha lagi. Agak sukar untuk dituliskan atau digambarkan dengan bahasa. Apakah yang dikatakan tajalli? Yang sebenarnya ia adalah sejenis perasaan yang bersifat maknawiah (zauk), yang hanya mungkin dimengertikan oleh orang-orang yang mengalami dan merasainya. Sepertilah kemanisan gula, tidak akan dapat digambarkan secara tepat.

Tajalli secara ringkas, secara asas dan secara mudah difahami ialah perasaan rasa bertuhan, rasa dilihat dan diawasi. Hati seakan-akan celik, hidup, nampak dan terasa kebesaran Allah. Ingatan dan rindu penuh tertuju pada Allah. Hati tenggelam dalam kebesaran-Nya atau dalam mencintai-Nya dengan tidak putus-putus lagi. Harapan dan pergantungan hatinya tidak lagi pada yang selain dari Allah. Dirasakan oleh hatinya bahawa seluruh amal bakti yang dibuatnya, adalah kerana dan untuk Allah semata-mata. Atau hadiah daripada Allah kepadanya. Apa sahaja masalah hidup, dihadapi dengan tenang dan bahagia. Tidak ada pun kesusahan dalam hidupnya. Sebab semua itu dirasa pemberian dari Kekasihnya, Allah SWT. Kalau begitu, bagi orang-orang yang beriman, dunia ini sudah terasa bagaikan Syurga. Kebahagiaan mereka adalah kebahagiaan sejati dan kebahagiaan abadi iaitu kebahagiaan hati.

Setakat ini yang mampu saya gambarkan rasa tajalli yang agak rasional yang boleh dihuraikan secara ilmiah. Yang selebihnya, lemahlah tinta untuk menulisnya. Hanya siapa yang dapat, dia akan merasakannya dan tidak dapat berkongsi dengan orang lain pula. Kalau cuba juga diceritakannya, akan menimbulkan fitnah di sisi orang-orang yang jahil. Sementara orang-orang yang hasad dengki pula akan mengambil peluang menuduhnya sesat, kafir atau zindik. Dalam soal ini ada seorang Sahabat Rasulullah SAW pernah berkata: “Kalau aku luahkanlah apa yang terasa dalam hati ini, orang akan menuduh aku kafir dan lantas membunuh aku.”

B. ISTIQAMAH
Sikap istiqamah (tetap) beramal adalah benteng iman yang keempat. Seseorang yang memiliki sikap ini sebenarnya telah mendirikan benteng untuk mengawal imannya daripada gangguan musuh. Sebaliknya, tanpa sikap ini seseorang telah membuka satu pintu kepada musuh-musuhnya untuk masuk ke hati dan merosakkan imannya. Bagaimana ini boleh terjadi?

Telah dikatakan berulang kali bahawa tujuan ibadah serta membersihkan hati itu adalah untuk membuahkan iman dan akhlak. Kalau tidak begitu, ibadah itu tidaklah bererti apa-apa. Amalan yang membuahkan iman dan akhlak itu adalah benteng yang menjaga iman. Maka melaksanakannya secara tetap dan berterusan akan menetapkan iman dan akhlak itu pada hati kita. Sebaliknya, kalau amalan yang berbuah itu dilakukan sekalisekala dan tidak berterusan, maka tentulah iman itu juga tidak terjamin keselamatannya. Di waktu amalan itu kita lakukan, iman akan tinggi tetapi ketika amalan itu ditinggalkan, iman akan menurun atau merosot.

Oleh itu supaya iman sentiasa ada dan stabil, sikap istiqamah beramal adalah penting. Ia akan bertindak sebagai benteng yang dapat memelihara dan menyelamatkan iman daripada serangan musuh terutama nafsu dan syaitan. Sabda Rasulullah SAW: “Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang berterusan (berkekalan) walaupun sedikit.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Yang penting dalam beramal ialah mengekalkan amalan itu. Kalau tidak mampu berbuat banyak amalan, cukuplah sedikit, asal dikekalkan (istiqamah), daripada banyak amalan tetapi tidak kekal. Contohnya, membaca Al Quran, cukuplah lima baris sahaja tetapi dibuat tiap-tiap hari daripada lima juz sekali baca tetapi dibuat sebulan sekali. Sembahyang sunat pula, cukuplah dua rakaat tiap-tiap malam daripada seratus rakaat tetapi sebulan sekali. Begitu juga dengan sedekah. Biar hanya 10 sen setiap hari daripada RM10 tetapi setahun sekali.

Kebaikan dari sikap istiqamah ini ialah:
1. Amalan yang dibuat secara istiqamah akan berkesan. Umpama setitik air kalau terus-menerus memukul batu, lama-kelamaan akan melekukkan batu. Sebaliknya kalau banjir sekalipun yang datang tetapi hanya sekali datangnya, tentu tidak berbekas pada batu.

2. Tujuan beramal dan membersihkan hati agar iman dan akhlak subur. Setiap kali kita beramal kita akan merasai nikmat buahnya itu. Jadi kalau sesuatu amalan itu kita kekalkan, maknanya kita akan sentiasa dapat menikmati nikmatnya. Nikmat inilah yang akan memelihara iman kita.

3. Musuh kita terutama nafsu dan syaitan tidak pernah rehat daripada memusuhi kita. Dengan istiqamah, barulah seim-bang pertahanan kita terhadap musuh-musuh itu. Makna-nya kita juga tidak pernah berehat mempertahankan iman dan akhlak kita.
Imam Al Ghazali pernah mengingatkan, “Banyakkanlah olehmu akan amalan yang terasa berbekas di hati.”

Lain orang lain hatinya, maka lain pulalah minat dan kegemaran beramal. Ada orang seronok dengan zikir ‘alhamdulillah’. Maknanya bila sebut ‘alhamdulillah’ terasa di hati lazatnya zikir itu. Maka untuk orang ini banyakkanlah zikir itu. Orang lain pula rasa lazat dengan puasa. Maka banyakkanlah puasa sunat. Begitu juga ada orang yang terasa lazat dengan berfikir. Bila berfikir terasa bertambah iman. Maka banyakkanlah berfikir.

Kebaikan dari sikap ini ialah apabila sesuatu amalan itu dilakukan dengan suka dan rela, ia akan lebih berkesan dan tidak menjemukan. Orang yang beramal kerana terpaksa dan ikut-ikutan atau secara jahil dan tidak faham falsafah ibadah itu, tidak akan memperolehi apa-apa kesan baik. Sebaliknya akan mudah terasa jemu. Orang yang jemu beramal akan putus hati dengan Allah. Bila putus hubungan hati dengan Allah, bermakna orang itu sedang berada dalam kemurkaan Allah. Allah berfirman dalam Hadis Qudsi: “Hai hamba-Ku, mengapa kamu jemu beramal sedangkan Aku tidak pernah jemu memberi pahala padamu?”

Allah SWT sentiasa bersedia untuk melimpahkan rahmat dan pahala pada kita tetapi mengapa kita tidak mempedulikan-Nya? Untuk mengelak dari sikap itu, kita mesti berhati-hati dalam beramal. Jangan beramal kerana ikut-ikut orang dan kerana terpaksa. Tilik dahulu hati dan minat kita, kemudian pilihlah amalan yang betul-betul sesuai. Barulah dilakukan amalan itu. Kalau tidak, lama-kelamaan penyakit jemu beramal akan menyerang kita.

Bila jemu, banyaklah perkara yang boleh berlaku. Ada yang langsung meninggalkan amalan itu. Ada pula yang langsung benci dengan Islam. Ada yang kadang-kadang buat, kadang-kadang tinggalkan. Sebab itu, banyak berlaku orang lari meninggalkan jemaah Islam, pergi meneruskan hidup yang sesuai dengan kehendak nafsu dan syaitan.
Dalam beramal elok dipraktikkan teori: “Biar sedikit tetapi banyak jenis daripada banyak tetapi satu jenis.”

Mencari keuntungan Akhirat samalah seperti mencari keuntungan di dunia. Di dunia macam-macam yang kita buat seperti berniaga, tanam padi, tanam sayur, tangkap ikan, ternak kambing dan lembu. Kalau satu daripada usaha-usaha itu mengalami kerugian, kita masih boleh bergantung pada usaha-usaha yang lain. Tetapi kalau kerja kita satu jenis sahaja, katakanlah berniaga sahaja, tiba-tiba kita rugi, akan menderitalah kita waktu itu.

Begitulah juga halnya dalam mencari keuntungan hidup di Akhirat. Elok kita beramal banyak jenis selain yang difardhukan seperti sembahyang, puasa, sedekah, zikir, baca Quran, tolongmenolong, berkhidmat, berdakwah dan lain-lain yang dianjurkan oleh syariat. Katalah ada di antara amalan itu tidak diterima oleh Allah, waktu itu masih ada lagi amalan yang lain boleh kita harapkan. Tetapi kalau satu jenis sahaja amalan, tiba-tiba yang satu itu tidak diterima, apalagi yang boleh diharapkan? Oleh itu cuba jangan tumpukan amalan kita pada satu jenis sahaja. Usahakan supaya banyak jenis. Biarlah sedikit asalkan istiqamah.

C. BERTAFAKUR
Seterusnya kita lalui jalan berfikir (tafakur). Banyak ayat Al Quran yang menganjurkan kita berfikir. Firman Allah SWT: “Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka?” ( Rom:8 )

Firman Allah: “Apakah kamu tidak memikirkannya?” (Al An’am: 50)
Firman Allah: “Pada diri kamu mengapa kamu tidak memerhatikannya.” (Az Zariyat: 21)
Berfikir yang dimaksudkan di sini ialah merenung dengan hati dan akal tentang ciptaan Tuhan hingga datang rasa insaf dan terasa kelemahan diri. Misalnya memikirkan rahsia ciptaan alam sehingga terasa kebesaran Allah dan timbul rasa gerun pada kekuasaan-Nya. Seterusnya memikirkan rahsia perjalanan hati yang bergelombang antara berbagai alunan rasa mazmumah dan mahmudah. Yakni tanpa dikontrol oleh kita, dapat kita rasakan satu pentadbiran Yang Maha Agung sedang mengawasi diri kita. Kesannya kita akan rasa sungguh takut untuk menderhakai Allah. Merenung dan berfikir tentang mati, yang tidak pernah ada seorang pun dapat mengelak darinya sehingga timbul rasa ingin beramal secara serius, sekaligus mahu membuat persiapan ke arah itu. Berfikir terus tentang itu semua, insya-Allah hati kita akan dimasuki sifat-sifat mahmudah.

Jadi untuk memiliki sifat-sifat mahmudah mestilah seseorang itu membuat latihan-latihan berfikir seperti berfikir tentang kesalahan diri, tentang dosa dan tentang mazmumah dalam diri. Bawa tafakur dan merenung barulah terasa betapa buruknya mazmumah. Ketika itu barulah mahu menyerah dan menghina diri kepada Allah. Kesannya akan mendorong kita untuk tunduk dan patuh kepadaAllah dan perintah-Nya. Mendorong kita menjadi tawadhuk, rendah diri, berlemah-lembut sesama manusia dan memiliki lain-lain sifat mahmudah. Jadi berfikir juga salah satu cara boleh membaiki diri seseorang.

D. BERGAUL
Tarbiah dan didikan juga boleh didapati melalui pergaulan. Imam Al Ghazali r.hm. ada berkata, di antara cara-cara yang praktikal untuk membaiki diri, hendaklah kita bergaul dengan orang ramai. Melalui pergaulan dapat dikesan sifat-sifat buruk kita. Manusia umum biasanya lebih memperkatakan tentang keburukan kita daripada kebaikan kita yang kadang-kadang kita sendiri tidak sedar dan tidak tahu itu satu kejahatan. Jadi bila kita dikata orang, barulah kita tahu akan kejahatan diri. Maka di waktu itu mudahlah untuk membaikinya.

E. PIMPINAN MURSYID
Cara membaiki diri seterusnya ialah melalui pimpinan. Pemimpin atau guru mursyid itu mampu memimpin kerana kelebihannya yakni dia lebih tahu tentang kecacatan dan kelemahan muridnya lebih daripada muridnya mengenali dirinya sendiri. Mengetahui tentang sir dan batin muridnya. Tahu pula membaca hal-hal halus yang ada pada hati seseorang. Pemimpin yang soleh atau guru mursyid itu juga nampak dan boleh menunjuk kelemahan diri kita. Boleh mendidik dan menunjuk ajar. Biasanya cara ini lebih berkesan dan lebih cepat untuk kita membuat perubahan diri. Asalkan kita dapat memberi kepatuhan kepadanya tanpa berbelah lagi. Biasanya dia sentiasa buat teguran kepada pengikut-pengikutnya atau murid-muridnya sama ada secara langsung dengan lisan mahupun dengan perbuatan secara tidak langsung.

Jadi pimpinan pemimpin yang mursyid itu lebih berkesan daripada latihan-latihan lain dalam membaiki diri yakni membaiki roh kita itu. Walau bagaimanapun pelbagai macam latihan lagi boleh dibuat. Terpulanglah kepada kesedaran dan kemampuan kita. Begitulah ilmu tentang roh atau ilmu rohani. Ia adalah ilmu untuk dapat mengesan sifat-sifat roh sama ada yang mahmudah untuk disuburkan mahupun yang mazmumah untuk ditumpaskan supaya roh kita ini bersih dan murni. Membersihkan roh atau hati itu mestilah melalui dua peringkat. Peringkat awal dengan mengetahui ilmu dan peringkat kedua melalui latihan.

Setelah menempuh kedua-dua jalan ini, dengan hidayah dan taufik daripada Allah, hati atau roh itu akan bersih. Sedangkan hati ini merupakan raja dalam kerajaan diri. Dialah yang mengarah, dialah yang menahan, dialah yang menyuruh dan sebagainya.
Bila mana roh dan hati ini menjadi raja dalam diri, kalau raja sudah bersih, ertinya raja itu sudah baik, maka segala anggota lahir atau jawarih seperti tangan, kaki, mulut, mata, telinga dan lain-lainnya, akan mematuhinya. Walaupun terasa berat, bila hati sebagai raja dalam negara diri sudah memerintah, maka seluruh rakyat dalam dirinya akan mematuhinya.

Ditegaskan sekali lagi, anggota-anggota lahir itu adalah ibarat rakyat dalam negara diri dan hati adalah rajanya. Bila raja baik, seluruh rakyat akan baik. Maknanya seluruh anggota lahir kita ini akan baik. Tetapi bila raja itu jahat, maka dikerahkan pula anggota lahir kita ini untuk buat kerja-kerja jahat. Bila raja dalam diri baik, baiklah seluruh jawarih, maka jawarihkita ini akan tunduk kepada perintah Allah. Itulah anggota manusia yang bersyariat. Jadi anggota lahir ini boleh bersyariat kerana hati itu bersyariat. Anggota lahir kita ini baik, kerana hati itu baik. Anggota lahir kita ini boleh rukuk dan sujud, kerana hati itu sudah rukuk dan sujud. Anggota lahir ini walau bagaimana susah pun, dia sanggup juga tunduk kepada Allah kerana hati sudah tunduk. Inilah yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah SAW: “Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, kalau baik daging itu maka baiklah manusia, kalau ia rosak maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati atau roh.” (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman bin Basyir)

Begitu besarnya peranan hati atau roh ini. Ia adalah raja dalam kerajaan diri. Sebab itu Allah memerintahkan hati atau roh mesti dibersihkan. Bersihkan mazmumahnya digantikan dengan mahmudah melalui takhalli, tahalli dan tajalli, sepertimana yang telah dibahaskan. Jadi baru kita tahu anggota lahir kita ini akan bersyariat bila hati itu bersyariat. Anggota lahir itu baik bilamana hati itu baik. Bila anggota lahir itu tidak patuh kepada Allah atau tidak bersyariat, itu menunjukkan hati tidak baik. Jahatnya berpunca dari hati yang tidak baik. Ertinya raja dalam kerajaan diri ini sudah khianat dan sudah zalim hingga dia menzalimi semua rakyatnya yang ada dalam dirinya, iaitu anggota lahir atau jawarih kita itu.

Jadi kalau hati yang menjadi raja dalam kerajaan diri sudah baik, maka dia akan kerahkan anggota lahirnya sebagai rakyat dalam diri membuat baik. Maka Allah berkata dalam Al Quran: “Sesungguhnya mendapat kemenanganlah orang yang membersihkan hatinya (roh atau nafsu). Dan kecewalah orang-orang yang mengotorinya.” (As Syams: 9-10)
Jadi Allah sebut orang yang hatinya baik, dia akan berjaya atau menang dalam hidup.

Berjaya di dunia dan berjaya di Akhirat. Mendapat kemenangan di dunia dan mendapat kemenangan di Akhirat. Sebaliknya, kalaulah hati seseorang itu sudah rosak, hatinya kotor hingga mazmumahnya subur, mahmudahnya kurus, maka hati yang kotor itulah yang akan mengecewakan manusia di dunia lagi. Hidupnya lintang-pukang, haru-biru, tidak ada kasih sayang, tidak ada kemesraan, selalu bergaduh, bergeseran dan krisis hingga membawa peperangan. Maka dengan kerosakan itu tidak ada lagi keamanan di dunia ini. Ini semua adalah hasil atau kesan daripada roh atau jiwa atau hati yang tidak dibersihkan. Akibatnya gagallah hidupnya walaupun dia seorang kaya, seorang raja, seorang pembesar atau seorang alim. Orang yang gagal di dunia, akan gagal di Akhirat. Orang yang kecewa di dunia, akan kecewa di Akhirat. Di Akhirat terjun ke Neraka.

Sebab itu dalam ajaran Islam, membersihkan roh itu amat penting sekali bahkan diwajibkan yakni dengan cara mempelajari ilmu rohaniah atau ilmu mengetahui tentang sifat-sifat roh atau hati. Roh itulah hakikat diri manusia. Ia adalah penentu baik atau jahatnya seseorang itu. Oleh itu bila roh manusia baik, ertinya manusia itu kembali kepada hakikatnya iaitu bersifat seperti manusia. Kalau rohnya diabaikan hingga penuh dengan sifat mazmumah, maka dia tidak kembali kepada hakikatnya.

Walaupun rupanya manusia tetapi sifatnya mungkin haiwan atau mungkin syaitan.
Begitulah pentingnya roh atau hati dalam Islam. Begitu penting mempelajari ilmu rohani supaya kita tahu tentang sifat-sifat roh itu. Yang mahmudahnya hendak kita suburkan manakala yang mazmumahnya hendak kita tumpaskan dan dicabutbuangkan. Perbincangan atau perbahasan ini hanya ada di dalam ilmu tasawuf.