BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 6 March 2011

Contohi Rasulullah untuk berjaya

Soalan: BOLEHKAH seseorang memakai pendinding dari ayat suci al-Quran (lipatan kertas) yang diselit dalam baju untuk tujuan baik seperti untuk merapatkan hubungan suami isteri, keluarga dan juga untuk kejayaan di dalam perniagaan?

Jawapan:

Pergantungan manusia mestilah kepada Allah SWT kemudian disusuli dengan usaha yang gigih. Tanpa pergantungan yang mutlak kepada Allah SWT dan usaha yang gigih tiada yang boleh membantu.
Natijahnya kegagalan demi kegagalan akhirnya rugi dunia akhirat. Islam melarang umatnya bergantung kepada Allah tanpa usaha.

Daripada ayat-ayat al-Quran ditulis dan diselitkan dalam pakaian lebih baik ayat-ayat itu dibuat wirid. Paling tidak baca setiap kali lepas solat.
Nabi SAW telah berjanji mereka yang berniaga kalau setiap hari membaca surah al-Waqiah tidak akan ditimpa kepapaan.
Begitu juga dengan kehebatan solat sunat duha, bagi mereka yang berusaha menjaga solat sunat duha rezekinya akan dimurahkan. Maksudnya, usaha disusuli dengan tawakal.

Namun, pelbagai cara diusahakan si suami mahupun isteri bagi mengekal atau menambah rasa sayang atau cinta suami atau isteri kepadanya pasangannya.
Apatah lagi apabila apabila ingin merapatkan lagi perhubungan suami isteri. Niat suami baik, keinginan untuk mengeratkan lagi ikatan suami isteri begitu juga niat si isteri sangat suci ingin mengeratkan lagi hubungan kasih sayangnya dengan suami.
Namun, dalam mencari jalan dan penyelesaian kita sering mencari jalan dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang tertentu dan kadang-kadang baca wirid tertentu dengan tujuan dengan demikian Allah SWT mengembalikan kebahagiaan rumahtangga.
Dalam persoalan ini, kita ada beberapa perkara yang seharusnya kita fahami sebelum saya menjawab dengan lebih lanjut. Antaranya, ayat al-Quran diturunkan supaya dibaca dan difahami kemudian dilaksanakan dalam kehidupan seharian. Bukan disalin kemudian disimpan dalam kocek.

Keduanya, dikhuatiri ayat al-Quran yang ditulis dan disimpan dalam kocek itu terbawa masuk ke tempat-tempat larangan seperti tandas. Tegasnya, al-Quran tidak diturunkan untuk itu. Sebenarnya ayat itu dihafal dan dijadikan wirid, sebelum itu faham dulu betul-betul, jangan sampai puluhan tahun dibaca ayat itu tapi tidak faham maknanya.
Takdir katalah, hubungan suami isteri tetap tidak berubah biarpun ayat al-Quran sudah lama dalam lipatan dalam kocek si suami atau beg tangan si isteri, pada masa itu siapa yang hendak disalahkan?

Ayat al-Quran, takdir atau diri sendiri? Cuba fikir betul-betul, kebahagiaan rumahtangga tidak pada ayat yang dibawa ke hulu ke hilir tetapi bergantung kepada pemahaman yang benar terhadap ayat al-Quran.
Melalui lembaran ayat-ayat suci al-Quran, hadis nabi SAW dan contoh tauladan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan orang yang saleh sepatutnya menjadi rujukan dan sandaran dalam mencari kasih sayang dan kebahagiaan yang hakiki.

Allah SWT telah memberi tip yang paling mujarab di dalam al-Quran firmannya yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Rum: 21).

Mengikut tafsiran Hamka, mawwadatan yang membawa maksud cinta adalah ketika muda, dicurahkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain dengan memenuhi tuntutan kewajipan seorang suami dan seorang isteri. Menunai dan menerima hak masing-masing tanpa mengenepikan tuntutan biologikal yang lain.
Kebiasaannya ketika mudalah suami isteri suka bergurau senda dan memenuhi keperluan seks yang tidak dapat diketepikan. Adapun perkataan rahmatan yang bermaksud ikatan kasih sayang, kebiasaannya di usia manusia akan mengharapkan kasih dan belas ehsan. Kebiasaannya pasangan yang erat hubungan cinta dan kasihnya pasti akan menjadi pasangan yang ambil berat antara satu sama lain di kala usia yang senja. (lihat Tafsir al-Azhar, Prof. Dr. Hamka, jld: 7, hlm: 5503)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman suruh setiap orang lelaki yang bergelar suami bergaul baik dengan isteri-isteri mereka, sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat 19 surah an-Nisa’.
Dalam ayat ini pula Allah menyuruh kaum lelaki bergaul secara makruf, iaitu secara patut, baik dan tidak menjadi buah mulut orang kerana buruknya. Pak Hamka mengajak agar kaum bapa ini bergaul baik dengan sopan santun agar menjadi tarikan dan pedoman bagi orang sekeliling.

Ini bererti pergaulan yang dipancari sinar keimanan dan ketakwaan serta sarat dengan etika nilai dan moral. Tiada sepak terajang, tiada maki hamun, tiada bersangka buruk dan tiada segala macam sengketa yang menjadi bibit-bibit keruntuhan rumahtangga.
Menurut Ibnu Abbas pergaulan makruf itu bermaksud seorang suami berpakaian bersih, bersisir rambut dan berhias seperti seorang lelaki. Ibn Mundzir pula menjelaskan pergaulan makruf ialah pergauli mereka (isteri-isteri) dengan persahabatan yang baik dan menyediakan pakaian dan rezeki yang sepatutnya.
Kata-kata Ibn Abbas mengingatkan kita kepada Rasulullah SAW yang sentiasa kemas, rambut bersisir, suka bersugi dan meminati wangi-wangian.

Nah, kini cuba kita fikir secara matang manakah yang lebih baik berkelakuan dan bertindak-tanduk yang tercerna daripada al-Quran dan sunnah atau mencari beberapa ayat al-Quran kemudian melipatnya dan disorokkan di dalam al-Quran.
Kalau kita mengambil semangat kasih sayang al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW kemudian diaplikasi di dalam kehidupan saya yakin keluarga kita akan bahagia dan aman sentosa.

Tiada jalan singkat untuk menikmati kebahagiaan melainkan dengan pengorbanan suami dan isteri serta memegang erat kunci persefahaman.

0 comments: