BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 19 June 2011

Khabab cadang timbus perigi

SEMAKIN dekat, jarak untuk tentera Islam hendak bertempur dengan pasukan tentera Quraisy dalam keadaan yang bersedia dan kedudukan yang dianggap strategik, tiba-tiba datang seorang sahabat Khabab bin Munzir menemui Rasulullah SAW.
Dia dikatakan seorang yang pakar strategi perang di kalangan para sahabat dan menemui Rasulullah kerana beliau mempunyai perancangan lebih baik supaya tentera islam pasti mencapai kemenangan menentang tentera Quraisy yang dikatakan lebih hebat persediaannya itu.

"Wahai Rasulullah, adakah tempat ini pilihan wahyu daripada Allah ataupun dasar strategi perang?" tanya Khabab.
"Tidak dari Allah, hanya strategi kita sahaja," jawab Rasulullah.
Lalu Khabab pun mencadangkan supaya tentera Islam bergerak lebih ke hadapan sehingga mereka sampai ke telaga air yang ada di sekitar Badar. Tentera Islam disarankan meninggalkan satu sahaja telaga atau perigi untuk kegunaan mereka tetapi punca-punca air yang lain hendaklah ditimbus.

"Jadi apabila meletus pertempuran, tentera Quraisy akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan air untuk kegunaan mereka termasuk kuda perang dan unta yang menjadi nadi kekuatan mereka itu," kata Khabab.
Tentu sahaja Rasulullah bersetuju dengan cadangan baik dari Khabab itu, lalu mereka pun bergerak terus ke Badar dan mendirikan khemah berhampiran dengan sebuah telaga dan segera menimbus mana-mana punca air yang lain.

Sebuah khemah khas juga didirikan buat baginda tidak jauh dari khemah para tentera Islam lalu masing-masing membuat persiapan untuk menghadapi peperangan dengan baginda sendiri meninjau ke lokasi yang bakal yang menjadi medan pertempuran.
Baginda pun menunjukkan dengan tangan sambil berkata kepada para sahabat: "Di sini, di sini tempat terbunuhnya si polan, si polan esok hari, insya Allah!"

Mereka kemudiannya bermalam, malah dikatakan dalam keadaan yang amat mengantuk bagi membolehkan mereka tidur dengan nyenyak, dapat mengumpul tenaga dan cukup bersedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan besar yang bakal berlaku keesokan harinya.
Ini sebagaimana yang disebut dalam dalam surah al-Anfal, ayat 11 yang bermaksud: Ingatlah ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Alah (untuk menghapuskan rasa cemas kamu). Dan (ingatlah ketika) Allah menurunkan kepada kamu hujan dari langit semata-mata untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan syaitan dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).

Di saat tentera Islam dalam keadaan yang bersiap sedia itu berbeza pula keadaannya bagi tentera musuh.
Ini apabila mereka menghantar seorang anggota perisik untuk merisik kedudukan tentera umat Islam, iaitu Umayr bin Wahab Al Jumahi.
Lalu Umayr sambil menaiki kuda terus menghampiri tentera Islam dan kemudian segera balik dengan membawa satu laporan.

"Mereka itu 300 lelaki sahaja, mungkin lebih atau kurang sedikit tetapi dengan bilangan seramai itu mereka sebenarnya tidak mempunyai sebarang pasukan tentera tambahan di belakang mereka.
"Tetapi aku melihat adalah satu bala yang bertembung dengan maut apabila kita bertempur dengan pasukan umat Islam, iaitu kumpulan manusia yang tidak memiliki pertahanan dan perlindungan melainkan hanya berbekalkan sebilah pedang sahaja.
"Demi tuhan, aku berpendapat tidak seorang pun daripada mereka yang akan dibunuh kecuali mereka sebenarnya yang akan membunuh kita semua. Andai pasukan Islam menang, apalah gunanya kalau pun kita dapat hidup selepas ini," kata Umayr.
Ini menyebabkan kalangan tentera Quraisy ada yang berbelah bahagi. Ada yang terpengaruh dengan kata-kata Umayr kerana tidak ada faedahnya mereka memerangi Nabi Muhammad dan para pengikutnya kerana yang bakal diperangi bukanlah orang lain tetapi saudara mara mereka juga sendiri.
Malah ada yang memberi cadangan supaya biarlah bangsa Arab lain sahaja yang akan memerangi tentera Islam kerana andai tentera Islam dapat dikalahkan mereka juga mendapat faedahnya tanpa perlu menumpahkan darah.

Namun perang sudah tidak dapat dielakkan. Tentera Quraish berjaya dipulihkan semangat mereka dengan alasan bahawa tentera Islam terdiri daripada kalangan saudara mara sendiri sudah tidak boleh lagi diterima pakai.
Akibat kononnya soal maruah dikatakan tercemar dan kedudukan menjadi jatuh apabila kalangan saudara mara dan hamba sahaya sendiri memeluk Islam, maka perang tetap perang, tanpa ada banyak pilihan!
Justeru baginda sempat berdoa sebelum meletusnya perang, antaranya: "Ya Allah, kalau tentera Islam ini tewas, Engkau tidak akan disembah di muka bumi ini lagi!"
Keesokan paginya, kedua-dua pasukan saling berhadapan!

0 comments: