Tangisan di hujung gagang telefon itu sangat menyayukan. Seorang isteri yang rasa disia-siakan, dipinggirkan malah ingin ditinggalkan oleh suaminya.
“Apa salah saya? Segala-galanya sudah saya lakukan. Saya telah banyak berkorban untuk rumah tangga ini. Tetapi suami seolah-olah tidak nampak. Kini saya bertahan Cuma kerana anak-anak.”
Begitu sayu saya mendengarnya. Hidup adalah kesinambungan ujian yang berterusan. Setiap kita diuji. Jangan menyangka hanya kita yang diuji, tetapi semua manusia ada habuannya masing-masing. Tetapi biasalah, kita hanya nampak pelangi yang ada di atas kepala orang lain. Maksudnya, kita sering merasakan, hidup orang lain lebih indah, lebih bahagia… hanya kita yang menderita. Pada hal, setiap kita diuji, pada titik kelemahan masing-masing. Dan inilah cerita… isteri yang diuji.
Di mana aku di mata suami ku? Apakah aku ini masih dicintainya? Atau aku masih diterima sebagai isteri hanya kerana sudah tidak ada pilihan dan jalan yang lain lagi… Lalu perkahwinan yang tidak bahagia ini, walau sengsara sekalipun mesti diteruskan. Nanti apa kata sanak saudara? Apa pula anggapan teman-teman? Dan yang paling penting, apa pula nasib anak-anak kalau aku bercerai nanti.
Lalu dikayuh jugalah bahtera perkahwinan yang diumpamakan sudah hilang angin itu. Walaupun layarnya sudah terkoyak seribu. Al hasil, rumah tangga terumbang-ambing. Ke hadapan tidak, ke belakang pun tidak. Jemu. Beku! Ah, apakah benar perkahwinan itu pusara kepada percintaan?
Jika rasa-rasa seperti di atas telah dirasai oleh isteri, maka memang benar pada ketika itu memang benar perkahwinan itu pusara percintaan. Bukan sahaja pusara, bahkan ia sudah menjadi neraka. Pada ketika itulah harga diri isteri berada di tahap yang paling rendah. Dia seolah-olah tidak ada harga diri lagi. Keyakinannya sudah terhakis, harapannya sudah menipis. Apakah harga diri? Maruah? Status?
Secara mudah harga diri ditafsirkan sebagai, penilaian seseorang terhadap dirinya sendiri tentang kemampuannya untuk berjaya atau bahagia dalam hidup. Pendek kata, jika seseorang ingin bahagia dia mesti mempunyai harga diri yang tinggi. Dia mesti merasa layak, mampu dan berkebolehan untuk berjaya. Dia ‘feel good’ dengan dirinya sendiri. Berbeza dengan mereka yang mempunyai harga diri yang rendah. Mereka akan sentiasa merasa lemah, tidak yakin dan ragu-ragu tentang kemampuan diri sendiri untuk bahagia.
Petanda isteri yang hilang harga diri begitu ketara. Kekadang jadi pemurung. Banyak memencilkan diri. Atau ada pula yang mudah marah-marah. Terlalu sensitif. Hilang semangat untuk membersihkan diri apatah lagi berhias atau mengemas rumah. Tidak ada apa lagi yang hendak ‘diperjuangkannya’ atau yang akan menggembirakan atau yang menyedihkannya. Dia seperti orang mati – hilang semangat untuk hidup.
Inilah akibatnya apabila seseorang lebih pentingkan pandangan suaminya terhadap diri mereka berbanding pandangan diri sendiri. Apa penilaian suami ku? Apakah dia masih cinta atau telah jemu? Hidupnya dihantui prasangka. Dan prasangka itulah yang menghilangkan keceriaan dan semangatnya.
Ironinya, lama-kelamaan perasaan rendah diri yang mulanya pasif itu akan bertukar menjadi agresif. Mengikut ahli psikologi ramai orang yang pada mulanya mempunyai harga diri yang rendah, akan memandang rendah kepada orang lain. Ah, suami ku juga apa kurangnya. Dia pun bukan hebat sangat. Ya, orang yang tidak punya harga diri tidak akan dapat menghargai orang lain sepertimana orang yang tidak punya wang, mustahil boleh memberikannya kepada orang lain
Hakikatnya penilaian diri terhadap diri sendiri jauh lebih penting daripada penilaian orang lain terhadap diri kita. Maksudnya, biar dipandang rendah di mata suami, tetapi jangan dipandang rendah pada mata sendiri. Malangnya, dalam perkahwinan yang tidak bahagia ramai isteri atau suami yang merasa harga diri mereka direndahkan oleh pasangannya.
Dalam sebuah rumah tangga, harga diri sangat penting sama ada pada suami mahupun isteri. Suami terutamanya tidak boleh memandang rendah pada dirinya sendiri. Rasakanlah yang diri kita boleh dan mampu untuk memimpin, melindungi dan menyara keluarga. Bila harga diri suami tinggi maka barulah barulah dia akan mampu menghargai isterinya. Awas, jika kita kerap memandang rendah, meremeh-temehkan bahkan menghina pasangan kita itu menunjukkan harga diri kita yang rendah!
Para isteri tidak boleh membandingkan diri kita dengan orang lain secara tidak sihat. Konon, isteri orang lain lebih bijak, kaya dan lebih bernasib baik daripada kita. Dia terlupa bahawa setiap kita mempunyai kelebihan tersendiri. Kita adalah unik, dan dunia tidak akan lengkap tanpa kehadiran kita. Kita dicipta untuk berjaya dan bahagia.
Maha Suci Allah, yang tidak sekali-kali mencipta hamba-Nya untuk gagal dan menderita. Allah mencipta kita untuk berjaya dan bahagia. Sebab itulah diturunkan untuk kita Rasulullah saw dengan Al Quran dan sunahnya. Dan kepada setiap individu diberikanNya pelbagai keistimewaan yang tersendiri.
Soalnya, apakah kita telah membangunkan segala keistimewaan itu secara optimum? Sejauh mana segala kelebihan yang Allah berikan kepada kita telah kita kenali, terokai dan dipergunakan? Isteri yang diuji mesti mencari semula kekuatannya. Di mana keunikan aku? Aku istimewa, aku unik, bisikkan begitu pada diri.
Siti Saudah isteri Rasulullah s.a.w. mungkin tidak sejelita dan sebijak Humairah (Siti Aishah), tetapi dia tidak rendah diri, dia tidak hilang harga diri… Lalu dia rajin bangun malam (berqiamullail) dan dikorbankan giliran malanya bersama Rasulullah untuk Siti Aisyah demi menggembirakan hati Rasulullah kerana mengharapkan keredaan Allah. Lihat, dia tidak merintih, mengeluh dan mengeluh nasib diri. Sebaliknya, dia tahu harga dirinya di mana!
Jadilah diri kita sendiri, sayangi diri itu dengan membina satu keyakinan bahawa Allah Maha Adil, dengan mengurniakan bakat dan kemampuan untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup berbekalkan segala kelebihan yang kita miliki. Jangan rosakkan seluruh kehidupan hanya merasa tidak dihargai oleh suami. Hidup terlalu singkat dan sangat berharga untuk ‘dikorbankan’ hanya oleh prasangka dan curiga. Malah jika benar sekalipun kita dipinggirkan oleh suami, ingatlah suami bukan segala-galanya.
Bangun, dan binalah harga diri semula. Insya-Allah, apabila kita mula menghargai diri sendiri barulah orang lain akan menghargai diri kita. Kita adalah unik justeru tidak ada siapa yang serupa dengan kita sama ada dari segi luaran mahupun dalaman. Cara yang terbaik untuk membanding ialah bandinglah diri kita sekarang dengan potensi kita yang sebenar.
Ubahlah diri ke arah yang lebih baik, insya-Allah kita akan lihat suami, anak-anak dan seluruh isi rumah kita akan berubah. Dan perubahan itu boleh berlaku dua cara. Pertama, memang suami, anak-anak dan rumah tangga kita berubah menjadi lebih baik seperti yang kita harapkan. Kedua, kita yang berubah lalu mampu melihat, mentafsir dan bertindak terhadap suami, anak-anak dan rumah tangga yang masih sama dan ‘gitu-gitu’ jua tetapi dengan perspektif yang berbeza.
Apa yang dulunya kita lihat sebagai derita sudah bertukar bahagia kerana hidayah yang Allah jatuhkan ke dalam hati kita telah memberi makna yang berbeza. Dunia tidak berubah, tetapi mata hati kita yang berubah lalu yang kita lihat hanya yang indah-ndah sahaja. Alangkah bahagianya punya hati yang begitu… bila pahit dirasakan ubat, bila manis dirasakan halwa, bila masam dianggap ulam. Itulah hati yang mampu dan disediakan untuk setiap isteri dan anda layak untuk memilikinya!
Kita tidak perlu menyaingi suami untuk mendapat keyakinan diri. Dia tetap dia dan kita tetap kita. Jangan menunggu suami menghargai diri kita, barulah anda merasa diri anda berharga… sebaliknya hargailah diri kita terlebih dahulu barulah suami akan menghargai kita. Merendah diri di hadapan suami, bukan bererti mengorbankan harga diri kita sebagai insan yang sempurna ciptaan Allah.
Ingatlah kata-kata ini: Jangan bimbang jika diri tidak dihargai tetapi bimbanglah jika diri memang tidak berharga. Teruslah menjalankan tanggungjawab dalam keluarga dengan sebaik-baiknya. Jangan sekali-kali ‘sakit jiwa’ kerana tidak dihargai justeru di dalam diri kita sudah ada keyakinan bahawa diri kita memang berharga!
MADAH SUMAYYAH
Suamiku
Bunga semalam telah layu
Gugur dari jambangannya
Mujur…
Cinta kita
Bukan itu lambangnya
Mulutku telah kaku merayu
Hatiku malu untuk terus cemburu
Tidak seperti dulu…
Kerna kini kau seorang mujahid
Yang rindu memburu syahid!
Maaf kiranya tutur dan tingkah
Senyum dan seri wajah
Pudar dan hambar di matamu
Padaku yang baru belajar
… menjadi sorang mujahidah
Aku kini hanya mendoakan
Agar kau menjadi Yassir
Walau kiranya…
Bukan aku sebagai Sumayyahmu!
Dalam tangis kucuba senyum
Tika kau keluar bermusafir
Seperti redhanya Siti hajar
Waktu ditinggalkan Ibrahim
Biarlah kita berpisah
Selalu derita
Kerana Syurga menagih ujian berat
Sedang neraka itu…
Dipagar ribuan nikmat!
Sunday, 10 April 2011
BUNGA SEMALAM TELAH LAYU…
Posted by amn077 at 22:50 0 comments
Bersabarlah Menghadapi Ujian
Hidup di dunia tidak lepas dari ujian dan dugaan dari Allah. Itu sudah menjadi rencah kehidupan manusia. Ada dua jenis bentuk ujian buat manusia, ujian dalam bentuk kesenangan dan ujian dalam bentuk kesusahan.
Cuma, acapkali apabila disebut ujian Allah maka rata-rata manusia beranggapan ujian itu adalah dalam bentuk bala dan musibah. Ramai yang lupa akan ujian kesenangan yang datang dalam pelbagai bentuk kekayaan, kekuasaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi.
Bahkan ujian kesenangan sebenarnya lebih sukar kerana kebiasaannya manusia itu lupa kepada Tuhan tatkala dirinya mengecapi pelbagai kesenangan hidup. Apabila ditimpa kesusahan, kebanyakan manusia akan kembali menyeru Tuhannya.
Mengenai ujian kesusahan, firman Allah di dalam Surah al-Baqarah:
[155] Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
[156] (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
[157] Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
Maka antara ujian yang datang daripada Allah itu ialah timbulnya perasaan takut di hati, kelaparan, hilangnya harta benda, tanaman dan orang yang disayangi. Kebiasaannya apabila manusia ditimpa musibah, pastinya mereka akan berada dalam keadaan sedih, dukacita dan gusar. Tetapi manusia yang bersabar menghadapi ujian akan menerima khabar gembira.
Ciri Manusia Yang Sabar
Manusia yang sabar ialah mereka yang apabila ditimpa kesusahan akan segera ingat kepada Allah, dengan berkata, "Inna lillah wa inna ilayhi raji'un," bahawa hidup kita ini secara keseluruhannya adalah hak milik mutlak Allah - apa sahaja yang kita miliki, baik harta, kuasa, bahkan nyawa kita dan orang-orang yang kita sayangi kesemuanya adalah hak milik Allah. Maka pastinya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya ke atas segala yang dimiliki-Nya, dan akan tiba masa dan ketika di mana kesemuanya akan dikembalikan kepada-Nya.
Para 'ulama mengingatkan bahawa sabar itu mestilah berlaku pada pukulan pertama, iaitu ketika mula-mula musibah melanda. Bukannya seperti kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Manusia apabila mula-mula ditimpa musibah, ramai yang akan cepat melatah dan tidak redha dengan ketentuan tersebut. Setelah keadaan reda sedikit dan dia mula sedar bahawa dia tidak memiliki jalan keluar, barulah dia akan mula insaf, redha kepada ketentuan Tuhan dan berkata, "Sabar sahajalah, nak buat macam mana lagi..."
Itu bukanlah konsep sabar yang sebenar. Sabar yang sebenar ialah pada detik pertama musibah melanda, lantas manusia yang bersabar terus redha dengan ketentuan Allah tanpa sedikit pun timbul rasa kecewa atau penyesalan. Mereka inilah yang akan mendapat khabar gembira tersebut walaupun dilanda kesusahan.
Apa pula bentuk khabar gembira itu? Pertama khabar gembira itu datang dalam bentuk selawat daripada Allah, iaitu mendapat keberkatan daripada Allah dan keampunan dari dosa-dosa.
Kemudian datang pula rahmat Allah melimpahi mereka. Sa'id ibn Jubayr rahimahullah, seorang tokoh Tabi'in mengatakan bahawa rahmat itu ialah pelindung daripada siksa azab neraka. Dan akhirnya mereka adalah orang yang benar-benar mendapat petunjuk daripada Allah. Orang yang mendapat petunjuk pula akan mendapat ganjaran yang banyak kerana mereka mengikut petunjuk Allah.
Abu Salamah Dan Ummu Salamah
Ada satu kisah menarik yang perlu kita soroti. Siapa yang tidak kenal akan Abu Salamah dan isterinya, Ummu Salamah, radiyallahu 'anhuma. Kedua-duanya adalah antara sahabat Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam yang terawal memeluk Islam. Mereka berdua adalah antara pasangan yang sangat bahagia, namun ditentang oleh suku kaum mereka kerana mereka memeluk Islam. Suku Makhzum adalah antara puak yang terkenal sangat kuat menentang Islam di Makkah.
Pada awalnya, kedua-dua Abu Salamah dan Ummu Salamah berhijrah ke Habsyah. Kemudian tatkala timbul seruan hijrah ke Madinah, bersiap-siaplah Abu Salamah, Ummu Salamah dan anak mereka Salamah untuk berhijrah ke Madinah. Abu Salamah hanya memiliki seekor unta, maka dia terpaksa berjalan dan membiarkan isteri dan anaknya menunggang unta.
Malang sekali di pertengahan jalan, kaum keluarga mereka telah mengejar dan menahan mereka. Unta Abu Salamah dirampas, manakala Ummu Salamah dibawa pulang oleh keluarganya ke Makkah manakala keluarga Abu Salamah pula mengambil anak mereka Salamah kembali ke Makkah jua. Akhirnya Abu Salamah terpaksa berhijrah ke Madinah seorang diri, dan terpisahlah ketiga-tiga mereka.
Setiap hari, Ummu Salamah akan kembali ke tempat mereka dipisahkan dan mengenangkan suaminya di Madinah dan anaknya yang dijaga oleh keluarga suaminya di Makkah. Lebih kurang setahun ketiga-tiga mereka hidup terpisah sehinggalah akhirnya Ummu Salamah dan anaknya dibebaskan.
Dengan semangat yang kuat, Ummu Salamah membawa anaknya, Salamah yang masih kecil untuk ke Madinah. Bayangkan seorang wanita dan anak kecilnya ingin berjalan jauh menuju ke pangkuan suami berseorangan semata-mata kerana ingin menjaga agamanya!
Ummu Salamah tidak mahu berlengah kerana takut suku kaumnya akan merubah fikiran dan kembali menahannya dan memisahkannya dari anaknya. Lantas dia memulakan perjalanan, dan sesampainya di Tan'im, penjaga Kaabah - Uthman ibn Talhah yang masih belum memeluk Islam berpendapat bahawa tidaklah patut Ummu Salamah dan anak kecilnya dibiarkan berkelana ke Madinah tanpa ditemani lelaki. Maka dia berjanji kepada Ummu Salamah bahawa dia akan membawa mereka ke Madinah.
Akhirnya bersatulah kembali Ummu Salamah dan suaminya, Abu Salamah. Percintaan suami isteri ini sangatlah kuat, sehingga dikatakan pada suatu hari, Ummu Salamah berkata kepada suaminya bahawa dia (Ummu Salamah) mendengar daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bahawa sekiranya kedua-dua suami isteri dapat masuk syurga, maka si suami akan kembali bersama isterinya jika isterinya tidak berkahwin lain selepas kematian suaminya; begitu juga isteri akan bersama suaminya jika suaminya tidak berkahwin lain selepas isterinya mati.
Lantas Ummu Salamah meminta suaminya agar mereka sama-sama berjanji untuk tidak berkahwin lain jika salah seorang mereka mati dahulu agar dapat bersama-sama kembali di syurga. Tetapi suaminya, Abu Salamah berkata, sekiranya dia (Abu Salamah) mati dahulu, dia mahu isterinya berkahwin lagi. Lantas Abu Salamah berdoa kepada Allah, andai dia (Abu Salamah) mati dahulu, kurniakanlah kepada isterinya seorang suami yang lebih baik darinya. Begitu hebat cinta dan kasih sayang kedua-dua suami isteri ini.
Pada peperangan Uhud, Abu Salamah mengalami kecederaan teruk. Ketika masih dirawat isterinya, Abu Salamah berkata bahawa dia mendengar Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam memberitahu, sesiapa yang ditimpa bala musibah, hendaklah dia menyebut istirja' (Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un), dan berdoa, "Ya Allah, berilah ganjaran atas kehilangan akibat musibah yang melanda diriku, dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya, maka pasti Allah akan mengurniakan sesuatu yang lebih baik." Akhirnya Abu Salamah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya, dan tinggallah Ummu Salamah bersama anak-anak mereka di Madinah.
Ummu Salamah, tatkala teringat kembali akan kata-kata suaminya, sering melafazkan istirja' dan doa tersebut. Cuma dia seringkali tidak dapat meneruskan lafaz 'berilah ganti yang lebih baik', dan jika disebut juga lafaz tersebut, dia akan terkenang kerana baginya siapakah lelaki yang dapat menjadi suamu yang lebih baik daripada Abu Salamah. Segala kesusahan yang pernah mereka alami tatkala mula-mula memeluk Islam, ditambah dengan kebahagiaan mereka di Madinah menguatkan lagi rasa cinta Ummu Salamah kepada suaminya. Namun akhirnya berkat doa Ummu Salamah tersebut Allah mengurniakan Ummu Salamah seorang suami yang akhirnya diakui lebih baik dari Abu Salamah. Siapakah lelaki itu? Tidak lain daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam sendiri.
Lihat sahaja ujian yang melanda Ummu Salamah. Ujian apakah yang lebih berat daripada kehilangan insan-insan tersayang yang banyak pula menempuh suka duka kehidupan bersama di jalan Allah. Namun Allah tetap memberi ganjaran kepada hamba-hamba-Nya yang bersabar.
- Artikel iluvislam.com
Posted by amn077 at 22:49 0 comments
Antara Tenaga Lelaki Dan Wanita
Alhamdulillah telah lebih sebulan saya terpaksa memikul tugas serentak sebagai seorang ibu dan ayah kepada 3 orang anak lelaki kami. Sebagai seorang bapa, 'memangku' tugas seorang ibu memang amat mencabar kesabaran saya. Apatah lagi dengan usia anak-anak yang masih kecil dan agak rapat usia mereka.
Kesabaran insan bersama wanita justeru amat dikagumi dan wajar diselidiki rahsianya. Lelaki dan wanita hakikatnya adalah sama. Keutamaan yang Allah berikan kepada golongan lelaki berbanding wanita adalah kerana kelebihan daripada aspek pengurusan diri, keluarga dan juga harta benda. Tiada keutamaan lelaki berbanding wanita. Yang ada, hanyalah perbezaan.
Lelaki boleh berbangga kerana memiliki tenaga yang kuat. Dia boleh mengangkat barangan yang berat, melakukan kerja yang sukar dan mempunyai tubuh yang sasa. Akan tetapi, cuba berikan mereka tugas untuk menjaga anak dan menguruskan rumah selama sehari. Belum tentu si lelaki tadi dapat melaksanakannya.
Semua ini disebabkan kerana perbezaan daripada aspek pengurusan tenaga yang amat berbeza antara lelaki dan wanita. Menurut kajian, metabolisme dan struktur lemak wanita membolehkan mereka memiliki tenaga simpanan yang lebih tinggi berbanding lelaki. Dengan sebab itulah mereka boleh berterusan mendukung anak, melayan mereka untuk jangka masa panjang, serta dalam masa yang sama mampu menguruskan rumah. Mereka juga boleh bekerja tanpa henti (Tanenbaum, Joe. Male & Female Realities, Understanding the Opposite Sex. NV: Robert Erdmann Publishing, 1990. p 87-88, 136).
Sementara lelaki pula, walaupun mempunya jumlah tenaga yang tinggi kerana bilangan oksigen, glycogen dan phosphocreatine yang tinggi berbanding wanita, akan tetapi tenaga mereka cepat kehabisan. Dengan sebab itu, cubalah minta sang adi wirawan bertubuh sasa memangku kerja-kerja isterinya, cepat sahaja tenaga si sasa tadi kehabisan.
Atas sebab itulah wanita sebenarnya lebih berdaya tahan di dalam suasana yang ekstrim, stress dan mendera berbanding lelaki (Stump, Jane Barr, PhD. What's the Difference? NY: William Morrow and Company, Inc., 1985. p 72).
Selain itu, golongan wanita juga menggunakan tenaga mereka untuk fokus. Apabila mereka fokus, mereka perlu pergi ke luar diri mereka untuk memulihkan tenaga. Mereka mampu memulihkan tenaga ketika berinteraksi dengan dunia luar, seperti ketika membeli-belah, menonton filem atau sekadar bersembang panjang dengan rakan.
Sementara lelaki pula, untuk memulihkan tenaga mereka, mereka perlu pergi ke dalam diri mereka sendiri, dengan cara utamanya ialah tidur dan berehat panjang. Atau mereka juga boleh pergi ke luar diri mereka tetapi dengan hanya satu aktiviti sahaja, seperti hanya membaca buku, atau hanya menonton televisyen.
Maknanya, wanita perlu pergi ke luar diri mereka untuk memulihkan tenaga mereka. Sementara lelaki pula perlu pergi ke dalam diri mereka untuk mengembalikan tenaga (Tanenbaum, Joe. Male & Female Realities, Understanding the Opposite Sex. NV: Robert Erdmann Publishing, 1990. p 87-88).
Subhanallah, hebat sekali ciptaan Allah yang menjadikan kita ini berbeza. Dengan sebab itulah, taktala sang teruna sedang mencari-cari insan yang sempurna untuk menjadi pasangan hidupnya, jangan lupa bahawa hakikatnya tiada siapa pun yang sempurna. Sebaliknya, si dara yang dicari adalah untuk menjadikan kehidupan kita lebih sempurna, lengkap-melengkapi.
Ramai yang bertanya bolehkan saya tahan menjaga anak-anak tanpa ibu mereka di sisi. Sebenarnya, kena banyak bersabar. Jika ditanya apa tips utama, jawapan saya mudah sahaja. Just simply ignore them. Pekakkan sahaja telinga. Kerana saya tahu keterbatasan tenaga lelaki saya. Buat apa perlu dibazirkan. Lagipun memang sudah menjadi lumrah kerenah kanak-kanak, makan, main, bergaduh, menangis, dan akhirnya akan tidur juga.
- Artikel iluvislam.com
Posted by amn077 at 22:48 0 comments
SEBAB ROSAKNYA MANUSIA
Melihat pemandangan yang indah terasa kebesaran Allah, dapat nikmat terasa pemberian-Nya, berhadapan dengan ujian terasa ketentuan-Nya, di mana berada terasa Allah memerhati. Itulah tauhid yang hakiki.
Manusia rosak banyak sebabnya. Ada sebab luaran dan ada sebab dalaman. Ada sebab lahir dan ada sebab batin. Namun kalau semua sebab-sebab itu dianalisa, puncanya dapat dirangkumkan ke dalam tiga perkara yang pokok.
Pertama adalah kerana manusia sudah kehilangan Tuhan.
Kedua kerana ketandusan kepimpinan
Ketiga kerana sistem hidup manusia sudah punah ranah.
Manusia Sudah Kehilangan Tuhan
Manusia umumnya sudah kehilangan Tuhan. Manusia sudah melupakan Tuhan. Tuhan sudah tidak lagi menjadi teras dan pegangan dalam hidup manusia.Tuhan sudah tidak lagi menjadi matlamat hidup manusia. Dalam banyak hal, Tuhan diketepikan dan dikesampingkan. Tuhan tidak diletakkan di hadapan. Manusia sudah tidak merujuk lagi kepada Tuhan.Manusia sudah tidak patuh lagi kepada hukum-hakam dan peraturan Tuhan. Malahan hidup manusia bukan lagi untuk Tuhan.
Manusia sudah tidak cinta dan tidak takut dengan Tuhan.Tempat Tuhan telah digantikan dengan tuhan-tuhan palsu yang lain. Secara sedar atau tidak, Tuhan telah digantikan dengan dunia, dengan pangkat dan kuasa, dengan harta benda dan kekayaan, dengan wang ringgit, dengan nama dan glamour, dengan populariti, kemasyhuran dan sebagainya. Untuk ini semualah tujuan manusia hidup, bukan lagi untuk mendapat Tuhan.
Hatta, orang agama yang lahirnya nampak macam kuat beragama juga kehilangan Tuhan. Dalam solat mereka, tidak ada Tuhan. Dalam puasa mereka tidak ada Tuhan. Dalam zakat dan haji mereka tidak ada Tuhan. Dalam wirid, zikir dan bacaan Quran mereka juga sudah tidak ada Tuhan. Paling baik, mereka mengejar pahala dan fadilat, bukan Tuhan. Pahala dan fadhilat jadi matlamat, bukan Tuhan.Mereka hanya membesarkan syariat, bukan membesarkan Tuhan. Di samping itu,ramai juga orang agama yang mengejar nama dan jawatan diatas ilmu dan amalan agama mereka.
Segala apa yang manusia fikirkan, segala apa yang manusia mahukan dan segala apa yang manusia rasakan, kesemuanya tertumpu kepada matlamat material dan keperluan hidup di dunia semata-mata. Bukan untuk mengabdikan diri, berbakti atau untuk mendapat redha, rahmat, kasih sayang dan keampunan Tuhan.
Manusia sudah tidak yakin lagi dengan Tuhan. Sudah tidak tawakkal, tidak berserah diri dan tidak bergantung harap dengan Tuhan. Manusia menyangka seolah-olah Tuhan itu tidak ada peranan dalam hidup mereka. Mereka menganggap Tuhan tidak relevan dalam hidup mereka. Kalaupun lidah mereka tidak menyebut tetapi tindak tanduk dan amalan mereka membuktikannya. Mereka lupa dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi diri kepada-Ku. (Az-Zariat:56)
Ramai manusia percaya kepada Tuhan. Tetapi mereka hanya setakat percaya sahaja. Orang Yahudi percaya Tuhan.Orang Nasrani percaya Tuhan. Orang Hindu pun percaya Tuhan. Malahan, kalau ditanya kepada setiap manusia dimuka bumi, siapakah yang menjadikan alam ini? Mereka semua akan berkata bahawa Tuhan yang menjadikannya. Tetapi percaya bukan satu keyakinan. Percaya bukan suatu itiqad. Percaya sahaja tidak cukup sebagai aqidah dan pegangan. Yang sedihnya, ramai orang Islam sendiri baru setakat percaya dengan Tuhan. Ia belum menjadi aqidah atau pegangan. Mereka percaya Tuhan itu ada tetapi wujudnya Tuhan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada matlamat dancara hidup mereka. Mereka percaya Tuhan itu ada tetapi dalam kehidupan seharian, mereka bertindak seolah-olah Tuhan itu tidak wujud. Mereka ini termasuk golongan orang-orang yang kehilangan Tuhan.
Bilamana manusia melupakan Tuhan, maka Tuhan pun melupakan mereka. Bilamana manusia memutuskan hubungan mereka dengan Tuhan, maka Tuhan pun berlepas diri dari mereka. Tinggallah manusia terumbang-ambing dalam arus kehidupan dunia. Tuhan tidak memimpin mereka lagi. Tuhan tidak membela mereka lagi. Manusia hanyut dalam kesesatan dan dibawa arus menuju kehancuran. Hidup manusia menjadi kucar-kacir, kelam-kabut dan haru-biru. Manusia dilanda berbagai gejala dan penyakit sosial. Hilang kasih sayang.
Punca Rosaknya Manusia
Hilang perpaduan. Manusia bergaduh dan berperang. Jenayah berleluasa. Timbul kezaliman, penindasan dan tekan-menekan sehingga manusia cemas dan ketakutan. Perangai manusia tidak ubah seperti haiwan. Ini semua adalah akibat manusia meninggalkan Tuhan.
Manusia hilang tempat mengadu. Hilang tempat merujuk.Hilang tempat berserah dan bergantung harap. Hilang tempat meminta pertolongan. Alangkah ruginya manusia kalau sudah kehilangan Tuhan.
Ada sebuah kisah yang berlaku kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani. Dia didatangi oleh pemuka-pemuka kota Baghdad untuk diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secaraberamai-ramai. Dia menolak tetapi pemuka-pemuka tersebut berkeras juga mengajak beliau hadir. Untuk dapat berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju untuk hadir.
Pada malam berkenaan, di satu tempat yang terbuka,beratus-ratus orang hadir dengan melakukan ibadah masing-masing.Ada yang bersolat. Ada yang berwirid. Ada yang membaca Quran. Ada yang bermuzakarah. Ada yang bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir duduk di satu sudut dan hanya memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.
Di pertengahan malam, pihak penganjur menjemput Syeikh Abdul Qadir untuk memberi tazkirah. Dia cuba mengelak tetapi didesak berkali-kali oleh pihak penganjur. Untuk dapat berkat, kata mereka lagi. Akhirnya dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju.
Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas dan pendek sahaja.Dia berkata: Tuan-tuan dan para hadirin sekelian. Tuhan tuan-tuan semua berada di bawah tapak kaki saya.
Dengan itu, majlis terkejut dan menjadi gempar dan riuh rendah.Para hadirin terasa terhina dan tidak puas hati.Bagaimanakah seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sampai begitu rupa.
Mereka sepakat hendak melaporkan perkara itu kepada pemerintah. Apabila pemerintah dapat tahu, diarahnya kadhi untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir dan jika diadapati bersalah, hendaklah dihukum pancung.
Pada hari pengadilan yang dibuat di khalayak ramai, Syeikh Abdul Qadir dibawa untuk menjawab tuduhan.
Kadhi bertanya, “Benarkah pada sekian tempat, tarikh dan masa sekian, Tuan Syeikh ada berkata di khalayak ramai bahawa tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan Syeikh?”
Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir menjawab, “Benar, saya ada kata begitu.”
Kadhi bertanya lagi, “Apakah sebab Tuan Syeikh berkata begitu?”
Jawab Syeikh Abdul Qadir , “Kalau tuan kadhi mahu tahu, silalah lihat tapak kaki saya.”
Maka kadhi pun mengarahkan pegawainya mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya. Kadhi tahu Syeikh Abdul Qadir seorang yang kasyaf.
Fahamlah kadhi bahawa Syeikh Abdul Qadir mahu mengajar bahawa semua orang yang beribadah pada malam yang berkenaan itu sebenarnya tidak beribadah kerana Tuhan. Tuhan tidak ada dalam ibadah mereka. Hakikatnya, mereka tetap bertuhankan dunia yang duit satu dinar itu menjadi lambang dan simbolnya.
Kalau di zaman Syeikh Abdul Qadir Jailani pun manusia sudah hilang Tuhan dalam ibadah mereka, apatah lagi di zaman ini. Itu dalam ibadah. Kalau dalam hidup seharian, sudah tentu Tuhan tidak langsung diambil kira.
Manusia Ketandusan Kepimpinan
Manusia sudah tidak terpimpin lagi kerana manusia sudah ketandusan kepimpinan. Oleh itu, manusia hanyut dan sesat dalam kehidupan ini tanpa menuju ke sesuatu arah yang tertentu dan tidak dapat memenuhi tujuan dan maksud mengapa manusia itu dijadikan. Manusia sudah tidak berfungsi sebagai manusia lagi.
Pemimpin yang ada di dunia sekarang sebenarnya bukan pemimpin. Obama bukan seorang pemimpin. Putin juga bukan seorang pemimpin. Begitu juga dengan Hosni Mubarak. Mereka bukan pemimpin. Paling tinggi mereka itu hanya pentadbir. Mereka mentadbir hal-hal negara,kewangan, khazanah dan ekonomi negara. Mereka hanya memenuhi keperluan lahir dan tidak langsung mengambil berat tentang keperluan rohani rakyat.
Pemimpin dalam Islam bukan setakat menyelesaikan keperluan lahir. Yang lebih penting ialah keperluan rohani.Pemimpin dalam Islam bertanggungjawab mendidik dan membina keinsanan rakyat. Membawa rakyat kepada Tuhan.Mengajar mereka supaya cinta, takut, taat dan patuh kepada Tuhan. Pemimpin dalam Islam berkewajipan menjaga kehidupan beragama rakyat dan menjadikan rakyat baik, beriman dan bertaqwa.
Soal keperluan lahir juga penting tetapi ia jatuh nombor dua.Dalam Islam, memimpin itu seperti membuat kerja Rasul.Rasul itu sebenarnya pemimpin. Siapa yang membuat kerja-kerja rasul juga dianggap sebagai pemimpin. Pemimpin seperti inilah yang sudah tidak ada lagi. Selagi pemimpin seperti ini tidak ada dan tidak dicari, maka selagi itulah hidup manusia akan menjadi rosak dan kucar kacir.
Para pentadbir dan pemimpin dunia seperti yang ada sekarang tidak mampu memimpin. Mereka tidak mampu membina keinsanan rakyat, membawa rakyat kepada Tuhan atau menjadikan rakyat orang-orang yang beriman dan bertaqwa.
Mana mungkin mereka mampu berbuat demikian dalam keadaan mereka sendiri pun tidak terpimpin. Keluarga mereka sendiri pun kucar-kacir.Mereka ini hanya akan melalaikan dan merosakkan keinsanan rakyat. Mereka ini hanya akan membawa manusia kepada dunia dan menjauhkan mereka dari Tuhan dan dari akhirat.
Paling baik, mereka hanya boleh membawa pembangunan dan kemajuan lahiriah dan membina ekonomi negara dan rakyat. Mungkin rakyat boleh hidup dengan selesa. Tetapi kebahagiaan manusia bukan terletak kepada keselesaan hidup.Ia terletak kepada jiwa yang terisi dan fitrah yang terlaksana.
Keperluan fitrah manusia yang utama ialah keinginan berTuhan, keinginan menyembah, taat, patuh dan mengabdi diri kepada Tuhan.Apabila hati-hati manusia terisi dengan dunia dan hidup mereka bermatlamatkan dunia, maka nafsu mereka akan bermaharajalela dan dunia akan menjadi rebutan. Memang dunia itu bahan rebutan dan punca pecah belah dan pemusnah kasih sayang. Manusia akan berebut-rebut dunia, menekan dan menindas seperti anjing yang berebut bangkai. Akhirnya manusia akan bergaduh, berkelahi dan bunuh-membunuh.Tidak ada kasih sayang dan perpaduan.
Sistem Hidup Manusia Sudah Punah
Sistem hidup manusia di muka bumi ini tidak lagi berteraskan syariat Tuhan. Ia adalah hasil dari ciptaan akal manusia yang begitu dhaif dan lemah. Sistem yang kononnya dirancang untuk kebaikan dan kebahagiaan manusia itu telah makan tuan dan telah merosakkan dan mengkucar-kacirkan kehidupan manusia itu sendiri.
Di antaranya:
1. Sistem pendidikan sekular yang hanya bermatlamatkan dunia telah merosakkan akhlak manusia. Manusia hilang akhlak kepada Tuhan dan hilang akhlak terhadap sesama manusia. Manusia menjadi pencinta dan pemburu dunia.Manusia menjadi jahat, sombong, bakhil, hidup nafsu-nafsi,zalim dan pentingkan diri sendiri. Walhal sistem pendidikan Islam membawa manusia kepada Tuhan dan membina jiwa serta akhlak manusia. Hasilnya, manusia menjadi baik, berguna, bertolong-bantu dan berkasih sayang.
2. Sistem ekonomi ciptaan manusia terutama sistem kapitalis hanya mementingkan untung tidak kira dengan cara apa.Tidak kira sama ada hasil atau khidmat ekonomi itu perkara yang sia-sia, maksiat dan merosakkan orang atau ia menindas pekerja untuk mendapat untung berlipat ganda atau membazir atau merosakkan moral manusia dalam iklan untuk menjual barangan. Berlaku monopoli, oligopoli,kartel, menetapkan harga yang menekan dan berlebihan yang menyusahkan manusia serta berbagai-bagai lagi hanya kerana hendakkan keuntungan yang banyak.Walhal sistem ekonomi Islam menekankan khidmat kepada masyarakat dan membekalkan keperluan masyarakat sebagai suatu ibadah dan tanda kasih sayang. Segala kegiatan ekonomi tidak terkeluar dari syariat dan hukumhakam Tuhan dan tidak lari dari tujuan untuk mendapat keredhaan Tuhan.
3. Sistem kebudayaan berteraskan nafsu telah melalai dan merosakkan akhlak manusia terutama muda-mudi. Mudamudi diajak menghayati rock, pop, metal, berpoya-poya, bergaul bebas dan berjinak-jinak dengan arak dan dadah.Hasilnya, moral muda-mudi runtuh. Timbul bohsia, bohjan,anak luar nikah, buang anak, penagihan dadah dan macammacam lagi. Walhal sistem kebudayaan Islam membawa manusia kepada mengenal, mencintai dan takutkan Tuhan dan merindui hari akhirat. Menginsaf dan menyedarkan manusia tentang tanggungjawab mereka sebagai hamba dan khalifah Tuhan. Menyegarkan dan menghidupkan jiwa mereka.
Kalau hidup manusia mahu dibetulkan, tidak dapat tidak,ketiga-tiga perkara ini perlu ditangani.
Pertama, manusia perlu dibawa kepada Tuhan. Manusia mesti mula mengenal dan takut pada Tuhan.
Kedua, pemimpin yang sejati yang boleh mendidik manusia perlu dicari. Ketiga, sistem hidup manusia yang sudah punah ranah ini perlu dibaiki dan perlu mengikut peraturan hukum-hakam dan mengikut cara yang Tuhan mahu.
Namun, di antara ketiga-tiga perkara ini, pemimpin sejati itulah yang perlu didapatkan dahulu. Kerana pemimpinlah yang akan dapat membawa kita kepada Tuhan dan pemimpin jugalah yang akan dapat membuat perubahan dan memperbaiki sistem hidup kita. Kita tidak akan dapat mengenal Tuhan tanpa ada pemimpin yang memperkenalkan Tuhan kepada kita. Dan sistem hidup kita tidak akan berubah dengan sendiri tanpa ada pemimpin yang berusaha mengubahkannya.
Posted by amn077 at 22:45 0 comments
Apa Hebatnya Solat Di Awal Waktu?
Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.
Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?
Waktu Subuh
Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.
Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.
Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.
Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur.
Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.
Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum.
Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.
Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.
Waktu Zohor
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.
Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.
Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.
Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?
Waktu Asar
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.
Rahsia warna oren ialah kreativiti.
Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu).
Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.
Waktu Magrib
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah.
Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.
Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita.
Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.
Waktu Isyak
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan.
Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.
Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan.
Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam.
Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.
Qiamullail
Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.
Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam.
Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.
Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.
Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.
Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya.
Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.
Wallahualam.
- Artikel iluvislam.com
Posted by amn077 at 22:43 0 comments
Pesan Rasullah
DARIPADA Ibnu Abbas ra, katanya Rasulullah bersabda: “diperlihatkan Allah kepadaku akan neraka. Ketika itu kulihat kebanyakan isinya terdiri daripada perempuan kafir.” Baginda ditanya oleh seseorang : “Apakah mereka kafir kepada Allah?” Jawab Rasullullah, “Mereka kafir kepada karib (suami) dan (tidak mahu berterima kasih) atas kebaikan (yang diterimanya). Biarpun engkau berbuat baik kepadanya sepanjang masa, kemudian dilihatnya daripadamu sedikit kesalahan saja, lantas ia berkata: “Saya tidak pernah melihat kebaikan daripadamu sedikit pun!” (al-Bukhari)
•Seorang suami tidak boleh membenci isterinya sampai menceraikankannya hanya satu kelakuan isterinya yang tidak menyenangkan. Tetapi hendaklah dipertimbangkan dengan perilaku yang lain yang menyenangkan dari isterinya. Begitu juga keadaannya bagi seorang isteri terhadap suaminya.
•Tugas seorang isteri disamping harus taat kepada Allah SWT hendaklah taat kepada suaminya. Sekiranya kedua-dua tugas ia dapat dilaksanakan dengan baik, maka syurga baginya. Sabda Rasulullah: “jika seseorang perempuan solat lima waktu, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya pasti ia akan masuk syurga dari berbagai pintu yang dikehendakinya.” (Riwayat Ibnu Hibban)
•Rasulullah bersabda: “wanita yang taat kepada suaminya, diminta ampun oleh burung di angkasa, ikan di dalam air, malaikat di langit, matahari dan bulan, selama wanita itu berada dalam kerelaan suaminya. Dan setiap wanita yang derhaka kepada suaminya, maka kepadanya laknat Allah, malaikat dan manusia semuanya. Dan setiap wanita yang bermuka masam pada suaminya, ia adalah dalam kemurkaan Allah Ta’ala sampai ia (wanita/isteri) bersenda gurau dengan suaminya dan ia meminta kerelaannya. Dan setiap wanita yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, malaikat melaknat hingga ia pulang.” ( Riwayat Al- Bazzar)
HADIS
1.Tiga perkara yang mesti dijauhi. (hadis)
Telah bersabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Barangsiapa yang bangun di waktu pagi sambil bersungut kerana kesusahan hidup, maka seolah-olah ia bersungut kerana perbuatan Tuhannya. Barang siapa menjadi sedih kerana perkara-perkara dunia, bererti ia telah marah kepada Allah. Dn barang siapa merendahkan dirinya kepada orang kaya kerana kekayaannya maka telah hilang dua per tiga agamanya.”
2.Mencegah kemungkaran
“Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika sekiranya ia tiada berkuasa, maka handaklah ia mengubahnya dengan lidah. Jika sekiranya ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan demikian itu ( iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemah iman.”(H.R Muslim)
3.Manusia sebagai pengembara
Daripada Ibn Umar r.a katanya: “Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda: “Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara. Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau di waktu pagi maka janganlah engkau meunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum dating waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum dating waktu sakit.
4.Sedekah dengan menolong manusia(hadis)
Daripada Abu Hurairah r.a: Bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Setiap anggota manusia harus membuat sedekah setiap hari apabila matahari terbit. Engkau mendamaikan antara dua orang adalah sedekah. Dan engkau menolong seseorang menaiki tunggangannya atau pun engkau mengangkat baginya barang-barang ke atas tunggangannya adalah sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah. Dan pada tiap-tiap langkah menuju ke tempat sembahyang adalah sedekah. Dan engkau menjauhkan bahaya dari jalan laluan juga menjadi sedekah.”
5.Daripada Abu Hurairah r.a mengatakan, bahawa nabi s.a.w bersabda: “Ketika seseorang berjalan
ke suatu jalan, kemudian didapatinya sepotong duri di jalan itu, lalu dibuangnya, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya.”
HADIS MUTHAHHARAH.
6.Daripada Sayidina Khalid bin Al-Walid Radiallaahu’anhu telah berkata: Telah datang seorang Arab desa kepada Rasulullah SAW dan dia telah menyatakan tujuannya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kedatangan aku ini adalah untuk bertanya engkau mengenai perkara yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat. Maka Baginda SAW telah berkata kepadanya. Tanyalah apa yang dikehendaki:
PERTANYAAN ORANG ARAB TERSEBUT:
RASULULLAH BERSABDA:
1.Bagaimana sekiranya aku ingin menjadi orang yang alim? Takutlah kepada Allah, maka engkau akan jadi orang yang alim.
2.Bagaimana sekiraya aku mahu menjadi orang yang paling kaya?Jadilah orang yang yakin pada diri, maka engkau akan jadi orang yang paling kaya.
3.Bagaimana sekiranya aku mahu menjadi orang yang adil? Kasihanilah manusia yang lain sebagaimana engkau kasih pada diri sendiri, maka jadilah engkau seadil-adil manusia.
4.Bagaimana sekiranya aku mahu menjadi orang yang paling baik? Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat maka, engkau akan jadi sebaik-baik manusia.
5.Bagaimana sekiranya aku mahu menjadi seorang yang istimewa di sisi Allah? Banyakkan zikrullah, nescaya engkau akan jadi orang yang istimewa di sisi Allah.
6.Bagaimana sekiranya aku mahu disempurnakan imanku? Perelokkan akhlakmu, nescaya imanmu akan sempurna.
7.Bagaimana sekiranya aku mehu termasuk dalam golongan orang muhsinin(baik)? Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya dan jika engkau tidak merasakan begitu sekurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau maka dengan cara ini, engkau akan termasuk dalam golongan muhsinin.
8.Bagaimana sekiranya aku mahu termasuk dalam dalam golongan yang taat? Tunaikan segala kewajipan yang difardukan maka engkau akan termasuk dalam golongan mereka yang taat.
9.Bagaimana sekiranya aku mahu berjumpa dengan Allah dalam keadaan bersih daripada dosa? Bersihkan dirimu daripada najis dosa nescaya engkau akan menemui Allah dalam keadaan suci daripada dosa.
10.Bagaimana sekiranya aku mahu dihimpunkan pada hari kiamat di bawah cahaya? Jangan menzalimi seseorang maka engkau akan dihitungkan pada hari kiamat di bawah cahaya.
11.Bagaimana sekiranya aku mahu dikasihi oleh Allah pada hari kiamat? Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain nescaya Allah akan mengasihimu pada hari kiamat.
12.Bagaimana sekiranya aku mahu dihapuskan segala dosaku? Banyakkan beristighfar nescaya akan dihapuskan (kurangkan) segala dosamu.
13.Bagaimana sekiranya aku mahu menjadi semulia-mulia manusia? Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain nescaya engkau akan jadi semulia-mulia manusia.
14.Bagaimana sekiranya aku mahu menjadi segagah-gagah manusia? Sentiasa menyerah diri (tawakal)kepada Allah nescaya engkau akan menjadi segagah-gagah manusia.
15.Bagaimana sekiranya aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah? Sentiasa berada dalam berkeadaan bersih (daripada hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki kepadamu.
16.Bagaimana sekiranya aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang dikasihi Allah dan rasul-Nya. Cintailah segala apa yang disukai Allah dan rasul-Nya maka engkau termasuk dalam golongan yang dicintai oleh Mereka.
17.Bagaimana sekiranya aku mahu diselamatkan dari kemurkaan Allah pada hari kiamat? Jangan marah kepada orang lain, nescaya engkau akan terselamat daripada kemurkaan Allah dan rasul-Nya.
18.Bagaimana sekiranya aku mahu diterima segala permohonanku? Jauilah makanan haram nescaya segala permohonanmu akan diterima-Nya.
19.Bagaimana sekiranya aku mahu agar Allah menutup segala keaibanku pada hari Kiamat? Tutuplah keburukan orang lain nescaya Allah akan menutup keaibanmu pada hari kiamat.
20.Siapakah yang terselamat daripada dosa? Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendak-Nya dan mereka yang ditimpa kesakitan.
21.Apakah sebesar-besar kabaikan disisi Allah? Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian(bala).
22.Apakah sebesar-besar kejahatan disisi Allah? Buruk akhlak dan sedikit ketaatan.
23.Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat? Sedekah dalam keadaan sembunyi (tidak diketahui) dan menghubungkan kasih sayang.
24.Apakah yang memadamkan api neraka pada hari kiamat? Sabar di dunia dengan bala dan musibah.
7. Ziarah orang sakit
Nabi SAW bersabda: “Siapa yang mengunjungi orang yang sedang sakit, maka dia sentiasa berada dalam sebuah taman syurgapenuh dengan buah-buahan yang sedia dipetik sampai dia kembali.”-Riwayat Tirmidzi.
Rasulullah SAW bersabda; “berusahalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan berusahalah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati pada esok hari.”-Sahih Muslim.
8. Sedekah.
Sabda Rasulullah SAW, “Maka adalah sedekah itu dalil atau bukti yang menunjukkan atas kebenaran keimanan kita.”
Posted by amn077 at 22:41 0 comments
Mengapa Saya Sayang Islam?
"Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan dibelakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya." (Surah Al-Baqarah : 255)
Saya dipertemukan dengan seorang yang mempunyai masalah kemurungan sehingga dia lebih cenderung untuk keluar dari Islam. Dalam sesi berbual, dia bertanyakan satu soalan yang tidak terfikir dalam 'kepala otak' saya. Soalan ini juga membuat saya terfikir, apa yang boleh membuatkan orang bukan Islam mahu masuk Islam? Adakah kerana jubah? Tasbih? Kejayaan politik?
Soalannya, "kenapa awak mencintai Islam?" Saya terpaku beberapa ketika.... (diringkaskan) dan kemudian menjawab seperti di bawah ini dengan sedikit pengubahsuaian supaya lebih dramatik. Jika anda mungkin ditanya soalan yang sama atau anda mungkin bertanya pada diri sendiri, mungkin sedikit sebanyak dapat membantu.
1. Islam Membawa Berita Gembira Pada Saya
Islam adalah cara hidup yang benar-benar diperlukan oleh setiap manusia yang inginkan kehidupan yang bahagia seterusnya ke arah masyarakat yang harmoni.
Adakah wujud satu kitab yang menghimpunkan ilmu, sejarah peradaban, akhlak dan adab, perdagangan, kejadian bangsa-bangsa terdahulu, makanan dan minuman, undang-undang, hukuman dan pelbagai lagi berkaitan dengan kehidupan untuk kita jadikan pelajaran? Belum lagi dikira kehidupan sebelum kehidupan dan kehidupan selepas mati.
Firman Allah S.W.T :
"Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya. Ia membawa berita yang menggembirakan (bagi orang beriman) dan membawa amaran (bagi orang yang ingkar)." (Surah Al-Fussiliat : 3-4)
Sejarah membuktikan sebelum datangnya Islam, manusia hidup penuh huru-hara. Undang-undang buatan mereka hanya agak-agak sahaja, sehingga anak-anak perempuan dibunuh, wanita datang haid hendaklah diasingkan, orang yang beribadah tidak boleh berkahwin dan sebagainya.
Firman Allah S.W.T :
"Sesungguhnya Kami menjadikan Al Qur'an dalam bahasa Arab supaya kamu memahami (nya). Dan sesungguhnya Al Qur'an itu dalam induk Al Kitab (Lohmahfuz) di sisi Kami, adalah benar-benar tinggi (nilainya) dan amat banyak mengandung hikmah." (Surah Az-Zukhruf : 3-4)
Firman Allah S.W.T :
"Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur'an untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?" (Surah Al-Qamar : 17)
Datangnya Islam membawa lembaran baru buat manusia, bukan sahaja membawa perubahan dalam ibadah, tetapi juga sistem pemerintahan, ekonomi, pendidikan dan sosial kemasyarakatan sehingga membentuk sebuah tamadun.Tamadun Islam. Itulah yang dimaksudkan dengan berita gembira iaitu; memisahkan antara haq (benar) dengan yang bathil.
2. Islam Membantu Saya Membezakan Kebenaran (Haq) Dan Kebatilan
Kekuasaan Allah Yang Maha Pemurah dapat dilihat di mana-mana. Seluas mata memandang ke langit, lautan dan bumi, maka setiap satunya terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya.
Di langit,
Firman Allah S.W.T :
"Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu meyakini pertemuan (mu) dengan Tuhanmu." (Surah Ar-Ra'd : 2)
Adakah kekuatan lain yang meninggikan langit tanpa tiang? Adakah batu (musyrik) yang boleh ditinggikan menopang langit? Adakah wang ringgit (taghut) mampu membuat tiang setinggi langit?
Di lautan,
Firman Allah S.W.T :
"Dan Dia-lah, Allah yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan), dan kamu mengeluarkan dari lautan itu perhiasan yang kamu pakai; dan kamu melihat bahtera berlayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dari karunia-Nya, dan supaya kamu bersyukur." (Surah An-Nahl : 14)
Kita juga disuruh mencari rezeki yang halal. Salah satu kurniaan Allah S.W.T adalah dari dalam lautan. Baik dari segi makanan mahupun perhiasan, semua boleh diniagakan untuk mendapat keuntungan daripada merompak, memeras dan kekejian yang lain.
Di bumi,
Firman Allah S.W.T :
"Dan Dia menancapkan gunung-gunung di bumi supaya bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk." (Surah An-Nahl : 15)
Siapakah yang memasakkan bumi ini dengan gunung agar daratan dan lautan tidak turut berpusing dan berkocak ketika bumi berputar pada paksinya? Adakah ini terjadi secara kebetulan (Ateis)?
Firman Allah S.W.T :
"Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat." (Surah Al-Baqarah : 256)
Kebenaran dan kebatilan telah jelas, segala dalil dan buktinya dapat diperhatikan dimana-mana, di sekeliling dan juga pada diri kita sendiri. Kemudian dia bertanya, "Kenapa mesti Al-Quran? Kenapa kita (orang Islam), sikit-sikit bawa Al-Quran sebagai dalil. Kalau Taurat dan Injil dari Allah, tentu kita boleh guna juga?" Bagi saya jawapannya merupakan satu soalan, iaitu;
3. Kenapa Tiada Kitab Lain Selepas Al-Quran?
Semua manusia mengakui (kecuali Ateis dan segelintir penyembah Taghut) akan kebenaran kitab Taurat, Injil dan Al-Quran sehingga mustahil seluruh penduduk bumi berpakat bersama akan kebenarannya.
Ini kebenaran yang tidak dapat disanggah. Tapi pernahkah kita terfikir kenapa ada kitab lain selepas Taurat? Kenapa ada kitab lain selepas Injil? Tetapi, kenapa tiada lagi sesudah Al-Quran?
Firman Allah S.W.T :
"Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu." (Surah Al-Maidah : 3)
Firman Allah S.W.T di atas adalah jawapan mengapa tiada lagi kitab selepas Al-Quran. Turunnya Al-Quran menandakan kesempurnaan kehidupan yang diperlukan oleh manusia, melalui secara bertahap (suhuf-suhuf, Taurat dan Injil) mengenai kehendak Allah S.W.T. Ini juga menjadi dalil tiada lagi nabi selepas Nabi Muhammad S.A.W. Tapi, tak cukupkah kitab Taurat dan Injil itu? Kenapa mesti diturunkan Al-Quran?
Firman Allah S.W.T :
"Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami (Nabi Muhammad s.a.w) menjelaskan kepadamu banyak dari isi Al Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan." (Surah Al-Maidah : 15)
Firman Allah S.W.T :
"Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur'an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya." (Surah Al-Hijr : 9)
Fahami sendiri dua firman Allah S.W.T di atas.
4. Islam Mengajar Saya Tentang Akhlak Pergaulan
Kedatangan Islam dalam kehidupan telah memberi ilmu tentang akhlak yang terpuji. Dahulu, kebanggaan kekayaan menjadi bualan, umpatan dan kejian menjadi mainan, kemudian datanglah Islam memberi ketenangan.
Firman Allah S.W.T :
Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela, yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya, dia mengira bahwa hartanya itu dapat mengekalkannya, sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah. (Surah Al-Humazah : 1-4)
Berhati-hatilah sesiapa yang suka mengumpat, mengeji dan yang mencari harta sehingga lalai pada perintah Allah, kerana Allah S.W.T menjamin Huthamah. Nabi S.A.W bersabda, orang yang kita ceritakan keburukannya itu adalah umpatan. Jika tidak benar dipanggil fitnah, jika benar dipanggil mencela.
Melalui Al-Quran juga Allah S.W.T menyuruh hambaNya berbuat baik pada ibu-bapa, keluarga, jiran dan seluruh masyarakat tidak kira Islam mahupun bukan Islam (yang tidak memerangi Islam).
Firman Allah S.W.T :
"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri." (Surah An-Nisa' : 36)
Dilarang sama sekali bersikap sombong, meninggikan diri yang sama sikapnya dengan syaitan yang dilaknat dan kekal dalam neraka ketika enggan sujud dan patuh pada perintah Allah S.W.T.
Pergaulan yang mesra akan menumbuhkan rasa kasih sayang dan kepercayaan pada kita. Janganlah bercakap sesuatu yang menimbulkan provokasi dan sesuatu yang tidak disukai, seperti mencela perbuatan, idea, tindakan dan apa yang boleh menjatuhkan maruahnya kerana kita tidak tahu isi hati orang lain dan apa yang difikirkannya.
Selain itu, janganlah pula kita mudah sangat berasa tersinggung dengan apa yang orang lain katakan pada kita, kerana manusia memang perlukan pujian dan kritikan. Pujian bagi meningkatkan motivasi dan kritikan dapat membendung perasaan kagum dan riak.
Ini salah satu saja, sila rujuk kitab (Nashaihul 'Ibad – Imam Nawawi) banyak lagi yang boleh dipelajari.
5. Islam Diikat Dengan Kasih Sayang Persaudaraan
Umat Islam semua bersatu padu di bawah kalimah Laa ilaa ha il lallah, muhammadar rosulullah dan menghadap kiblat yang sama. Persaudaraan ini terjalin atas kasih sayang yang murni melalui Al-Quran.
Firman Allah S.W.T :
"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah Al-Hujuraat : 10)
Firman Allah S.W.T :
"Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (Surah An-Nisa' : 1)
Allah S.W.T juga menjanjikan rahmatnya pada sesiapa yang mendamaikan pertelingkahan sesama kita. Sebaliknya pula, kita dilarang memutuskan tali silaturrahim dengan ancaman dilaknati dan dimatikan hatinya agar tidak dapat mendengar dan memahami Al-Quran.
Firman Allah S.W.T :
"Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka." (Surah Muhammad : 22-23)
Hadith :
"........sayangilah penduduk bumi, nescaya kalian disayangi penduduk langit......." (Imam Ahmad, dinukil dari tafsir Ibn Katsir)
6. Islam Mengajar Saya Menghargai Waktu
Tiada siapa yang lebih berdisplin daripada orang yang menjaga waktu solatnya. Secara tak langsung pengamalan menjaga waktu solat ini terbawa dalam kehidupan seharian dalam menghargai waktu.
Firman Allah S.W.T :
"Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran." (Surah Al-'Asr : 1-3)
Imam As-Syafi'I berkata :
"Seandainya manusia benar-benar memahami surah ini, nescaya surah ini mencukupi bagi mereka."
Hadith yang paling umum dan paling ramai orang menghafal, tapi paling sikit yang ambil iktibar. Kita lebih suka mendengar apa yang dikatakan oleh orang bukan Islam dari Nabi S.A.W, kemudian cuba mengait-ngaitkan dengan kehebatan Islam kononnya.
Hadith :
"Ambillah peluang yang lima, sebelum lima : Masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, hidup sebelum mati dan lapang sebelum sibuk." (Al-Hakim dan Al-Baihaqi, dinukil dari Nashaihul 'Ibad-Imam Nawawi)
Hadith ini benar-benar menyuruh kita agar memanfaatkan masa dan mencakupi seluruh faktor kehidupan, dari akil baligh hingga mati.
7. Islam Membantu Saya Menenangkan Hati
Al-Quran yang diturunkan bukan sahaja menjadi peringatan dan petunjuk, malah boleh juga dijadikan penawar baik dari segi zahir dan batin. Penawar bagi keresahan, ketakutan, kegelisahan selama ini yang bertumpuk-tumpuk, dengan mudah hilang dengan Al-Quran.
Firman Allah S.W.T :
"(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram." (Surah Ar-Ra'd : 28)
- Artikel iluvislam.com
Posted by amn077 at 22:40 0 comments
Duhai Hati, Janganlah Terkorban Dengan Dunia
Sesekali hati mengeluh dengan kesusahan dan kepayahan hidup. Terasa pedih dan rapuh, sakitnya seperti tiada hati lain yang mampu mengerti.
Namun adakah kita sedar bahawa ia adalah ujian dari Allah?
Kepayahan itu sesungguhnya adalah satu bentuk tarbiyah-Nya kepada hati.
Pernah hati bersyukur kerana mendapat perhatian yang sedemikian dari Tuhannya?
Terlebih banyak mengadu dari bertahmid rasanya.
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)
"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf ayat 87)
Tak tersedarkah hati bahawa segala yang diberinya itu adalah nikmat; kebahagiaan adalah nikmat, sakit adalah nikmat, perit itu adalah nikmat.
Duhai hati, sedarlah, bukannya Tuhanmu tidak mendengar segala jerit perih, betapa pedih peritnya derita apa yang dialami, betapa segala yang hati ingin, tidak semua kan hati perolehi. Bukankah Dia sudah terang-terang berfirman:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah ayat 216)
Nah, Allah sendiri telah siap mengatur segala rencana perjalanan hidupnya hati. Mengapa harus merungut lagi dengan jalan yang ditempuhi?
Duri-duri dan halangan itu adalah rahmat. Redha dan pasrah lah, wahai hati.
Tidak sedarkah kita bahawa setiap langkah, setiap kudrat, setiap butir bicara, kerlip mata dan denyut jantung selama ini semuanya nikmat yang Allah beri dan pinjamkan lepada kita?
Selama ini, adakah setiap langkah dan kudrat digunakan untuk ke jalan kebaikan? Adakah setiap butir bicara hanya yang baik dan berhikmah sahaja?
Adakah kerlip mata dan sisa denyut jantung yang masih ada dimanfaatkan dengan amal ibadah?
1.Allah berhak mutlak ke atas hati kita. Kenapa hati kita masih perlu persoalkan mengapa ujian diturunkan kepada kita? Layakkah hati-hati ini mendapat syurga milik Allah SWT?
"Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang saleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa dihisab." (Surah Al Mu'min ; ayat 39-40)
Duhai hati, janganlah terkorban dengan dunia... sesungguhnya hidup hati sebenarnya untuk mencari mati yang sempurna...
Posted by amn077 at 22:38 0 comments
BEZANYA ORANG MUKMIN DENGAN ORANG ISLAM
Orang mukmin yang baik itu hidupnya luar biasa. Unik dan berbeza sangat dengan manusia yang lain. Dia berhadapan dengan kehidupan penuh tenang. Kejahatan orang tidak dibalas dengan kejahatan. Bahkan didoakan orang yang membuat jahat dengannya. Berhadapan dengan ujian dia tenang. Berhadapan dengan nikmat dia bersyukur. Jadual waktunya dengan Tuhan tetap dan istiqamah. Walau di dalam keadaan susah dan senang. Bermesra dengan orang. Tetamu yang datang dihormati sesuai dengan kedudukannya.
Tidak boleh mendengar orang mendapat kesusahan. Selagi tidak dapat ditolongnya, menderita jiwanya. Merendah diri adalah budaya hidupnya. Setiap orang yang meminta pertolongan jarang tidak ditunaikannya. Pemurah sangat terserlah di dalam kehidupannya. Tidak pernah mengeluh berhadapan dengan penderitaan. Tapi dia mengeluh dengan dosa-dosanya. Atau mengeluh bila berhadapan dengan kelemahan dan kecuaian. Rasa kehambaan tampak kelihatan pada mukany.a Tuhan selalu sahaja disebut-sebut di dalam perbualannya. Nampak sangat bahawa Tuhan itu adalah sandaran hidupnya. Gembira tidaklah sampai ketawa berdekah-dekah. Kesusahannya tidaklah sampai muram di mukanya. Lebih-lebih lagi tidak rasa kecewa dan putus asa berhadapan dengan kesusahannya. Tawakal, sabar dan redha adalah menjadi budaya hidupnya.
Istilah Islam, mukmin dan taqwa ini sering atau kerap kita dengar. Walaupun secara umumnya ia berkaitan dengan orang yang beragama Islam, namun maksudnya tidak sama. Terdapat perbezaan di antara orang Islam, orang mukmin dan orang bertaqwa.
Orang yang masuk agama Islam tidak dikatakan masuk iman atau dikatakan orang mukmin. Orang yang masuk Islam tidak diistilahkan sebagai orang beriman.
Lebih-lebih lagi dia tidak dikatakan orang yang bertaqwa. Istilah yang dipakai ialah dia orang Islam atau muslim. Secara umumnya, itulah umat Islam. Mereka tidak dikaitkan dengan iman dan taqwa. Iman dan taqwa adalah perkara yang berbeza.
Iman dan taqwa sangat mahal. Tidak mudah untuk mendapat iman dan taqwa. Untuk menjadi orang Islam, mudah. Cukup dengan bersyahadah sahaja. Namun dengan sekadar bersyahadah, seseorang itu tidak boleh dikatakan orang mukmin atau orang bertaqwa. Dia baru Islam. Bagaimana pun seorang yang bersyahadah tidak boleh dikatakan kafir. Kalau dia sembahyang, puasa, naik haji dan berjuang, tentulah dia orang Islam.
Untuk menjadi orang Islam, itu mudah tetapi untuk menjadi orang mukmin, susah. Untuk menjadi orang bertaqwa lebih lagi susah. Sebab itu masuk sahaja agama Islam, dia dikatakan Islam atau muslim tetapi tidak dikatakan mukmin atau taqwa.
Di antara orang mukmin dengan orang Islam sangat jauh bezanya.
1.Kalau kita hendak buat misalan, bolehlah kita kata Islam itu ibarat sebuah taman yang indah, yang di dalam taman itu ada pokok buah-buahan, bunga-bungaan dan sayur-sayuran.
Orang yang masuk Islam itu sebenarnya baru masuk dan berada di pintu taman itu. Dia baru ambil tiket untuk membolehkan dia menjelajah taman. Syahadah itu ibarat tiket semata-mata. Dia masih belum tahu apa lagi yang ada di dalam taman itu. Sedangkan dalam taman itu ada bermacam-macam keindahan. Ada keindahan rasa, keindahan akal, keindahan pandangan dan pendengaran dan lain-lain.
Orang mukmin itu, dia sudah menjelajah taman. Sudah round taman. Dia sudah melihat keindahan taman.
Orang bertaqwa pula, dia sudah makan dan merasa semua buah-buahan dan sayur-sayuran dalam taman itu. Maka orang bertaqwalah yang paling tinggi.
2. Sebagai contoh lagi, katalah kita hendak ziarah sebuah zoo. Kita ambil tiket lalu duduk di pintu. Lepas itu kita balik. Atau di sebuah taman bunga yang indah, kita ambil tiket dan duduk di kerusi. Lepas itu kita balik. Kemudian kita cakap kita sudah masuk zoo dan sudah masuk taman. Betullah kita sudah masuk. Tetapi kita belum tengok dan belum rasa hebat dan cantiknya zoo dan taman itu. Soal sudah masuk itu satu perkara. Itulah Islam. Soal sudah tengok dan sudah rasa keindahan dan kenikmatan zoo dan taman, itu satu perkara lain pula. Itulah mukmin dan taqwa.
3. Contoh lain, macamlah orang yang hendak masuk ke universiti. Dia baru baftar nama, belum belajar dan belum pusing-pusing kawasan universiti lagi. Baru diterima masuk, dia baru ada nama sebagai pelajar universiti. Itulah Islam. Dia belum boleh dikatakan seorang intelek atau seorang graduan. Intelek dan graduan itu ibarat mukmin dan taqwa. Cuma selesai pendaftaran, automatik dia menjadi student. Dia belum dapat ilmu. Jelajah kawasan universiti pun belum.
4. Atau kalau hendak dicontohkan lagi, Islam adalah ibarat kulit buah iaitu benda luar, benda lahir atau benda yang nampak. Iman adalah isinya manakala rasa isi itu adalah taqwa. Soal isi dan rasa, itu soal batin atau soal rohaniah. Kulit buah itu ibarat Islam, seperti syahadah, sembahyang, puasa, zakat dan haji. Mungkin tambah lagi dengan sedekah, belajar dan lain-lain. Itu kulit. Itu Islam.
Kalau kita hendak beli buah, adakah kita hendak makan kulit atau isi? Tentulah isi. Tetapi perlu ingat, kalau kulit cacat kita tidak akan beli buah itu walaupun bukan kulit yang hendak dimakan. Kalau kulit tidak elok, kita tidak beli. Tetapi ada juga buah yang kulitnya cantik dan elok tetapi di dalamnya ada ulat. Kalau kulit baik, belum tentu isinya baik, tetapi kalau kulit rosak sudah tentu, confirm yang di dalamnya rosak. Tidak semestinya kulit yang elok menggambarkan isi yang elok. Begitu juga tidak semestinya kulit yang elok menggambarkan rasa isi yang sedap. Katalah isi elok, namun belum tentu rasanya sedap. Kalau isi elok, boleh dimakan tetapi belum tentu rasanya sedap. Isi elok, itu tamsilan orang mukmin. Rasa sedap, itu tamsilan orang bertaqwa.
Beza antara orang Islam dan orang mukmin terlalu jauh. Kalau wujud ciri mukmin maka secara automatik ciri Islam itu wujud. Namum, kalau ciri Islam wujud pada seseorang, belum tentu ciri mukmin juga ada. Kerana itu iman perlu dicari. Iman itulah taqwa. Tidak cukup jadi orang Islam sahaja tetapi mesti menjadi orang mukmin (bertaqwa).
Iman adalah hakikat dan Islam adalah syariat. Iman bersifat rohaniah dan Islam bersifat lahiriah. Yang Tuhan akan nilai di Akhirat nanti ialah iman. Yang Tuhan akan nilai adalah hakikatnya. Hakikat bertapak pada roh atau hati. Hatilah yang Tuhan akan nilai, bukan soal-soal lahir. Namum, kedua-duanya mesti dibuat. Tetapi keutamaannya adalah pada hati. Orang mukmin dijamin masuk Syurga sedangkan orang Islam tidak dijamin sedemikian.
Ada satu cerita di zaman Rasulullah SAW. Seorang Arab Badwi masuk Islam. Apabila bertemu dengan Rasulullah, dia berkata kepada baginda,”Wahai Rasulullah, saya sudah beriman.” Terus Rasulullah menegur,” Jangan katakan kamu sudah beriman. Katakanlah sahaja kamu sudah Islam.”
Ertinya untuk dapat iman adalah susah. Untuk menjadi Islam, itu mudah. Syahadah sahaja, sudah Islam. Di sinilah kita lihat mengapa umat Islam masih jahat walaupun ibadah banyak. Ibadah banyak menggambarkan kulit atau syariat Islam. Ibadah tidak semestinya menggambarkan iman dan taqwa.
Katalah seseorang itu sembahyangnya banyak, puasa sunatnya banyak, rajin mengaji dan berjuang tetapi dalam masa yang sama dia berbohong, rasuah, hasad dengki, tidak ada kasih sayang dan tidak pedulikan orang. Islamnya hebat. Syariatnya pun hebat. Tetapi cacatnya terlalu banyak. Itu petanda hatinya belum benar-benar beriman dan bertaqwa.
Posted by amn077 at 22:37 0 comments
Anggun Pesona Aurat Terpelihara
Pernahkah kita terfikir, mengapa Islam mensyariatkan wanita menutup dan menjaga aurat mereka? Betapa Islam hadir untuk memartabatkan kaum wanita, tetapi wanita sendiri tidak menyedari hakikat itu.
Jika dibandingkan wanita Islam dengan bukan Islam, wanita Islam begitu bertuah kerana telah disyariatkan untuk menutup aurat. Cuba lihat wanita barat yang meluncur di atas ais dengan hanya memakai bikini atau mungkin tanpa berpakaian. Merekalah yang sebenarnya telah didiskriminasikan. Menjadi tatapan setiap manusia yang memandang tanpa sekelumit pun perasaan malu. Maruah yang perlu dijaga dipertontonkan sewenang-wenangnya tanpa timbul perasaan bersalah. Seolah-olah tidak bernilainya mereka di mata masyarakat.
Sedarkah anda wahai wanita bahawa Islam telah menerangkan dengan jelas kepada kita, siapakah yang selayaknya melihat aurat kita di dalam al-Quran.
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [Surah An-Nur: 31]
Konklusinya dengan lebih mudah, mahram seorang wanita, yang boleh melihat auratnya ialah lelaki yang haram dikahwininya buat selamanya sama ada kerana keturunan, perkahwinan atau susuan. Ia merangkumi;
1. Bapa kandung
2. Bapa mertua
3. Bapa susuan
4. Anak kandung
5. Anak tiri (yakni anak suami)
6. Anak susuan
7. Saudara lelaki kandung
8. Saudara lelaki susuan
9. Anak saudara lelaki
10. Bapa saudara
Namun wanita kini, mereka sendiri dengan sesuka hati mendedahkan aurat dan mahkota mereka tanpa rasa berdosa kepada yang bukan mahram. Malah lebih parah lagi, lelaki yang seharusnya menjadi pelindung dan pembimbing kepada kaum wanita membiarkan sahaja isteri, anak, adik, sahabat dan saudara mereka mendedahkan aurat.
Tidakkah kaum lelaki ini merasa tercabar dan cemburu melihat wanita yang di bawah tanggungjawab mereka yang sepatutnya hanya mereka melihat aurat mereka tetapi, sebaliknya lelaki lain juga mendapat HAK yang sama?
Dimana istimewanya lelaki yang bergelar suami berbanding dengan lelaki lain di luar sana yang mendapat HAK yang sama dengannya? Apakah mereka merasa biasa dengan situasi itu? Sungguh rugi dan dayuslah mereka.
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59]
Dan tahukah anda lelaki, bahawa ada empat golongan lelaki yang akan ditarik wanita ke neraka kelak andai mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka..
01.Ayahnya
Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji, dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup hanya memberi kemewahan dunia saja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.
02.Suaminya
Apabila sang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di luar rumah, menghias diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan muhrim. Apabila suami berdiam diri walaupun dia seorang alim, misalnya solat tidak lalai, puasa tidak tinggal, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya kelak.
03.Abangnya
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggung jawab menjaga wanita jatuh ke bahu abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya saja, sementara adik perempuannya dibiarkan melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan sang adiknya di akhirat nanti.
04.Anak lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati ibu perihal tindak-tanduk yang menyimpang dari Islam. Bila ibu membuat kemungkaran pengumpat, membuka aurat, dan lain sebagainya maka anak lelaki itu akan ikut ditanya serta diminta pertangungjawabannya di akhirat kelak.
Jadi bersediakah anda kaum lelaki untuk ditarik ke nereka oleh anak, isteri, adik dan ibu anda? Oleh itu, laksanakanlah tanggungjawab anda bagi memastikan wanita-wanita ini tidak menarik anda ke neraka tetapi memimpin anda ke Jannah.
Kita pula sebagai kaum wanita seharusnya menjaga martabat kita selaku wanita yang mana sudah jelas Islam memandang tinggi martabat wanita. Nah, apalagi yang kita mahu, syurga terbentang sedia, masih neraka yang didamba? Sungguh rugi dan celakalah jika demikian rupa.
Wallahu'alam.
- Artikel iluvislam.com
Posted by amn077 at 22:18 0 comments
Monday, 28 March 2011
‘ISLAMOPHOBIA’ MUSLIM
“Kenapa orang bukan Islam sangat sukar untuk memahami Islam?” tanyanya pemuda itu dengan nada kesal.
“Sebab orang Islam sendiri gagal memahamkan mereka,” jawab saya perlahan.
“Kenapa orang Islam gagal memahamkan bukan Islam tentang Islam?”
“Sebab orang Islam sendiri tidak faham Islam!”
“Apa bukti kata-kata awak ni?”
“Buktinya jelas. Lihat sahaja dalam realitinya, apakah masyarakat Islam pada hari ini selamat dan menyelamatkan.”
“Kenapa ke situ pula arah percakapan awak?”
“Sebab Islam itu bererti selamat. Bukan sahaja selamat bahkan mampu menyelamatkan. Maka sudah tentulah secara logiknya umat Islam adalah umat yang paling selamat dan dapat menyelamatkan orang lain.”
“Tetapi realitinya tidak begitu kan?”
“Awak boleh lihat dengan mata kepala sendiri. Kita mundur di semua sudut, samada rohani mahupun jasmani.”
“Maksud awak di dunia antarabangsa?”
“Tak payah. Lihat sahaja di negara kita. Siapa yang terlibat dalam gejala sosial? Siapa yang paling ramai di Pusat Serenti? Siapa yang ketinggalan di bidang ekonomi? Ya, bangsa Melayu Islam,” kata saya.
“Awak jangan silap, kelemahan umat Islam bukan bererti kelemahan Islam.”
“Benar. Tetapi umat Islamlah yang menyebabkan berlakunya Islamophobia. Umat Islam yang tidak amalkan Islam secara sepenuh dan menyeluruh,”balas saya.
“Musuh ambil kesempatan memburuk-burukan Islam atas kelemahan umat Islam. Mereka yang salah.”
“Jangan salahkan orang lain kalau kita sendiri membuka peluang untuk diperlakukan demikian.”
“Jadi, bagaimana nak atasi Islamophobia?”
“Di kalangan siapa, umat Islam atau bukan Islam?” bidas saya.
“Tentulah di kalangan bukan Islam. Contohnya, Barat merekalah yang menuduh kita mundur, ganas, berpecah-belah dan militan.”
“Bagi saya kita perlu laksanakan strategi serampang dua mata.”
“Macam mana pula tu?”
“Kita perlu perjelaskan dan amalkan Islam yang sebenar di kalangan umat Islam. Itu yang penting.”
“Bagaimana dengan bukan Islam?”
“Insya-Allah umat Islam yang faham Islam dan mengamalkannya merupakan hujah yang kuat untuk menolak Islamophobia.”
“Kenapa?”
“Selamanya manusia mempercayai matanya daripada telinga. Actions speaks louder than word.”
“Eh, tak faham pula saya.”
“Kita mesti amalkan Islam yang boleh dilihat. Bukan sahaja cakap-cakap tentang Islam yang hanya enak didengar.
“Apakah amalan Islam kita sekarang belum cukup?”
“Belum cukup dan belum sempurna,” kata saya lagi.
“Jangan ekstrim. Berpada-padalah. Bersederhana.”
“Kita belum amalkan Islam yang sedehana. Kita masih di bawah paras sederhana.”
“Awak ni… Buar betul. Ukuran mana yang awak pakai?”
“Siapakah yang paling sederhana mengamalkan Islam?”
Pemuda itu terdiam.
“Role model individu yang paling sederhana mengamalkan Islam ialah Rasulullah s.a.w. Bagindalah yang pernah bersabda, sebaik-baik urusan adalah yang pertengahan. Justeru, bagindalah orang pertama mengamalkan apa yang diperkatakannya.”
“Ikut Nabi… susahlah.”
“Bagindalah ikutan dalam kita mengamalkan kesederhanaan Islam. Bagindalah Quran hidup yang mengamalkan prinsip-prinsip kesederhanaan dalam Al Quran.”
“Maksud awak konsep wasatiyah?”
“Wasatiyah dalam seluruh sistem hidup. Daripada persoalan ibadat, muamalat, munakahat dan jinayat. Yang merangkumi soal akidah, syariah dan akhlak.”
“Siapa yang mampu buat begitu?”
“Para sahabat, salafussoleh dan orang-orang mukmin daripada dahulu sehingga sekarang. Mereka adalah golongan sederhana yang mengikuti Rasulullah saw, insan yang paling sederhana.”
Melihat dia diam, saya menambah lagi, “lihat bagaimana iman, solat, ekonomi, ketenteraan dan seluruh cara hidup mereka. Itulah model kesederhanaan yang direhai Allah. Selain itu masih dikira ekstrim, samada ekstrim yang liberal atau ekstrim yang fanatik.”
“Bagi saya sedehana itu adalah mengamalkan Islam yang tidak menimbulkan ketakutan dan keresahan. Kita dilihat mampu menyesuaikan diri dengan keadaan yang majmuk dan pelbagai.”
“Saya setuju dengan pandangan awak. Lihat apa yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. Baginda mampu menghadapi dan menangani cabaran masyarakat majmuk di Madinah.”
“Kita perlu diplomasi.”
“Diplomasi yang tidak menggadaikan hukum dan peraturan Allah.”
“Contohnya?”
“Apabila kita makan, kita memilih yang halal, menolak yang haram dan syubhat. Itu sederhana. Bila kita berpakaian, kita menolak pakaian mendedahkan aurat, itu sederhana. Bila berekonomi, kita menolak riba dan penzaliman. Itu sederhana. Apabila…”
“Cukup-cukup. Itu semua berlaku di kalangan umat Islam bukan? Bukan itu sasaran saya. Sasaran saya ialah Islamophobia di kalangan bukan Islam.”
Saya hampir menggeleng-gelengkan kepala. Betapa sukar untuk meyakinkan bahawa Islamophobia di kalangan bukan Islam boleh diatasi jika kita berusaha mengatasi Islamophobia dikalangan umat Islam sendiri.
“Cuba awak fokus sedikit kepada bukan Islam.”
“Ya. Saya teringat apa yang dinukilkan oleh Dr Yusuf Al Qardhawi mengenai ucapan seorang intelektual yang baru memeluk Islam…”
“Ya, itulah yang saya nak dengar!”
“Kata intelektual itu, subhanallah yang mengenalkan aku kepada Islam terlebih dahulu sebelum aku mengenal orang Islam.”
“Pelik bunyinya?”
“Tak pelik sebenarnya. Maksudnya, mujur dia memahami ajaran Islam yang begitu indah, sempurna dan praktikal secara ilmiah terlebih dahulu. Hingga dengan itu hatinya terbuka untuk memeluk Islam. Justeru, sekiranya dia terlebih dahulu mengenal perangai dan sikap orang Islam yang buruk, maka dia tidak akan tergerak untuk memeluk Islam. Maka dia memuji Allah atas rahmat itu!”
“Tetapi ramai juga orang yang tertarik kepada Islam kerana umat Islam betul tak?”
“Betul. Tetapi umat Islam yang bagaimana? Tentulah umat Islam yang mengamalkan Islam.”
“Hish, fokus awak masih kepada orang Islam. Itu bukan sasaran saya.”
“Saudara, memang benar kita akan ditanya oleh Allah mengapa tidak berdakwah yakni memberi penjelasan tentang Islam yang sebenar kepada bukan Islam… tetapi Allah tentunya akan lebih bertanya kepada kita apakah kita telah amalkan Islam yang telah kita akui kebenaran dan kesempurnaannya ini. Bukankah kita bertanggung jawab menyelamatkan diri kita dan keluarga kita daripada api neraka terlebih dahulu? Bukankah motto dakwah kita adalah perbaiki diri dan serulah orang lain?”
Dia terdiam.
“Jadi awak enggan berusaha mengatasi Islamophobia dikalangan bukan Islam?”
“Saya menyokong. Fitnah yang melanda Islam dan umat ini perlu ditangani dengan serius. Ia satu dakwah dan jihad yang utama.”
“Tetapi awak macam skeptik sahaja…”
“Bukan begitu. Saya merasa kita perlu juga baiki dan sempurnakan kefahaman dan amalan Islam dikalangan umat Islam, sekaligus kita perjelaskan Islam yang kita fahami dan amalkan itu kepada bukan Islam. Mari kita amalkan cara hidup Islam yang syumul tanpa memilih-milih mengikut hawa nafsu kita.”
“Mengikut nafsu?”
“Ya, kekadang yang ada yang sesuai kita ikut. Tetapi ada yang kita rasa tidak sesuai kita pinggirkan. Saya teringat ancaman Allah dalam Al Quran tentang golongan yang beriman dengan sebahagian isi kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain. Mereka itu dijanjikan dengan kehinaan ketika hidup di dunia dan akan dilemparkan ke neraka.”
“Awak mengancam.”
“Tidak, ini mengingatkan kerana kasih-sayang. Saya pun lemah. Tetapi jika kita sama-sama berusaha, kita akan saling kuat menguatkan.”
“Kalau begitu, boleh tak kita jangan bercakap tentang neraka?”
“Mengapa?”
“Itu menakutkan. Kita bincang soal yang harmoni.”
“Saya tidak faham apa yang awak maksudkan dengan ajaran Islam yang harmoni. Tetapi soal neraka dan syurga ini adalah soal iman. Ia adalah perkara pertama dan utama yang ditekankan oleh nabi Muhammad saw di peringkat awal perjuangannya.”
“Awak menakutkan orang bukan Islam.”
“Maaf saudara, saya sedang berhadapan dengan saudara… orang Islam. Kita perlu bercakap soal iman, kerana tanpa Iman, Islam akan hanya ada di fikiran dan lisan bukan di hati dan amalan.”
“Bukan begitu, tapi soal ini perlu dikemudiankan…”
Saya terdiam. Oh, betapa ramainya orang Islam yang mengukur kesederhanaan Islam mengikut ‘kesederhanaan’ nafsu. Bukan lagi merujuk kepada sejarah pengalaman Islam oleh Rasulullah saw dan para sahabatnya yang merujuk kepada kesederhanaan wahyu!
Pahrol Muhammad Juoi
Posted by amn077 at 22:48 0 comments
Petua Mencuci Hati
Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati. Diolah oleh pakar motivasi Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah.
1. Dirikan solat dan banyakkan berdo'a – Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih"
2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur – Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.
3. Solat taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.
4. Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X.
5. Berma'af-ma'afan sesama kawan setiap hari.
6. Bisikan kepada diri perkara yang positif – Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri.katakan lah "Aku sebenarnya......(perkara yang elok-elok belaka)
7. Program minda/cuci minda – Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati : "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya – cubalah!!
8. Berpuasa – Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.
9. Mengingati mati – Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila- bila masa.
10. Kekalkan wuduk.
11. Bersedekah.
12. Belanja orang makan.
13. Jaga makanan – jangan makan makanan yang shubhah.(diragui halal dan haramnya.)
14. Berkawan dengan ulama'.
15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi.)
16. Pesan pada orang, jadi baik.
17. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut dan lain-lain.)
Posted by amn077 at 22:47 0 comments
Zina: Skrip Berulang
Saya singgah ke satu blog kesukaan iaitu blog Ustaz Zaharuddin. Tertarik membaca ulasan dan jawapan beliau berkenaan hubungan antara lelaki dan perempuan. Kisahnya berkenaan lelaki dan wanita berzina dan ingin bertaubat. Itu satu hal. Yang mengejutkan daripada hampirt 100 komen di bawah artikel itu, boleh saya rumuskan 50% komen menceritakan dan memohon Ustaz Zaharuddin menyelesaikan masalah zina masing-masing.
Ini bukan lagi isu terpencil!
"Saya dan dia sudah kenal lama... kami mahu berkahwin tetapi keluarga pihak lelaki tidak bersetuju. Dan sekarang kami sudah terlanjur dan ingin bertaubat."
"Kami sudah bertunang... dia sebenarnya seorang lelaki yang baik. Tetapi akhirnya kami tewas dengan desakan nafsu masing-masing."
"Pada awal jumpa dengan saya dia seorang lelaki yang baik dan hormati saya. Pertemuan kami yang pertama di Shopping Mall. Selepas dua tiga kali bertemu kami tidak melakukan hal terlarang melainkan hanya berpegangan tangan. Selepas itu, dia minta lebih. Awalnya saya bertegas, tetapi layu dalam pujukan dia."
Itu komen-komen di blog seorang ustaz. Dan sekarang pula cerita di akhbar tabloid negara.
Seorang mangsa, Rozie, 20, dari Ampang tidak menyangka perkenalan dengan seorang jejaka melalui laman sosial Facebook bakal menjadi titik hitam dalam hidupnya. Katanya, menerusi laman sosial itu, Boy dilihat seolah-olah tidak mempunyai ramai rakan perempuan berikutan tiada kenalan wanita dalam senarai sahabatnya. "Ini menyebabkan saya menganggap Boy bukan kaki perempuan dan boleh dipercayai. "Kami bertemu buat kali pertama apabila dia mengajak saya ke majlis hari jadi rakannya," kata Rozie yang jatuh cinta dengan Boy yang bersopan-santun dan pandai menjaga hatinya."Di tempat kerja, saya kerap diganggu lelaki, tetapi Boy pula sering mengambil berat dengan menjaga saya daripada diganggu mereka," katanya yang bertugas sebagai pakar kecantikan di ibu kota. Akibat terlalu percayakan lelaki itu, Rozie mengandung hasil hubungan terlarang mereka selepas setahun menjalin cinta.
Itulah satu daripada ribuan cerita liku kehidupan masyarakat pada masa sekarang. Denga hanya internet penyambung hubungan. Allah, Rasul, keluarga dan maruh ditolak ke tepi. Semuanya atas nama cinta.
Sungguh mereka tidak mengerti untuk membezakan apa itu CINTA dan apa itu NAFSU.
Kasih Rasul Terhadap Wanita
Dalam sejarah umat, insan yang paling kasih dan cinta kepada wanita ialah Rasulullah s.a.w. Tidak sedikit usaha, teguran dan tindakan yang dibuat dalam menterjemahkan perasaan cinta Baginda terhadap kaum hawa ini. Tetapi sering kali kita mengabaikan bahkan memperlekehkan nasihat Baginda.
"Islam ini kuno. Itu tak boleh, ini tak boleh. Tension tahu!"
"Mak ayah aku pun tak bising... yang kau bawa al-Quran dan hadis segala ini buat apa. Sikit-sikit Islam, nak cakap Islam pergi masjid la beb?"
Bagi yang mengatakan Islam yang Rasulullah s.a.w bawa itu kuno, mengongkong, dan segala nista, saya ingin mengajak kita sama-sama renung satu kisah sirah nabawi ketika Baginda menunaikan Haji Wida', haji yang terakhir Baginda. Baginda memberikan satu khutbah umum yang terakhir dalam hidupnya. Salah satu aspek yang Baginda sentuh adalah berkenaan kaum Hawa.
"Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina."
Rasulullah s.a.w.
Inilah insan yang mempertegaskan hak wanita, inilah jua insan yang anda katakan kolot. Inilah insan yang menyuruh melayani wanita dengan kasih sayang, inilah jua insan yang anda katakan mengongkong. Inilah insan yang melayani wanita dengan lemah-lembut, inilah jua insan yang anda katakan out of date.
Skrip Berulang
Jika kita melihat senario di atas, modus operandi hingga terjadinya zina dan sama waktu dengannya adalah mudah dan berulang-ulang kisahnya.
01.Berkenalan.
02.Lelaki berlakon baik atau memang baik pada awalnya.
03.Perempuan terkesima dengan baik budi dan ayat si lelaki.
04.Keluar bersama untuk kali pertama dan lelaki itu kelihatan sungguh baik dan sopan.
05.Hubungan semakin rapat dan lelaki meminta berpegangan tangan.
06.Perempuan bertegas menolak, dipujuk dan dipujuk.
07.Akhirnya layu... dan pergilah ke babak yang seterusnya.
Mudah sahaja skrip cinta masyarakat sekarang. Dan skrip inilah yang membawa kecelakaan kepada masyarakat.
Menjadi tanda soal, haruskah hubungan lelaki dan wanita berakhir seperti ini? Adakah semudah itu untuk mencairkan hati seorang wanita. Cukup sekadar ayat power, muka kacak, dan belanja makan yang tidak seberapa. Dan siap untuk menyerah diri untuk disembelih sang lelaki. Kambing yang abah jual pun harga RM400 seekor, takkan belanja makan yang tidak sampai RM50 sudah layu.
Kelebihan lelaki ialah pandai memujuk dan berlakon, dan kelemahan wanita adalah mudah dipujuk rayu dan ditipu. Oleh sebab itu, Islam melihat isu hubungan lelaki dan wanita ini cukup penting untuk disentuh. kerana disini letak titik jatuh bangun ummah. Mahu lihat masa depan Islam, lihatlah pada pemuda-pemudinya. Jika pemuda-pemudinya kaki rempit, masa depan Islam "rempit" jugalah jawabnya.
Sunnah dalam Hubungan Lelaki dan Wanita
"Kenapa dia naik motor dengan perempuan tu? Ada apa-apa urusan mendesak ke sampai perlu macam itu?" saya bertanya kepada seorang rakan.
"Entah tak pasti pulak kenapa. Tapi ada orang bagi tahu mungkin salah satu cara dakwah kot," jawab dia bersahaja.
"Dakwah apa? Apa yang dia tahu dengan dakwah seperti itu? Mengangkat perempuan itu dari satu lubang neraka dengan meletakkan ke dalam lubang neraka yang lain. Kali ini dengan lelaki itu masuk lubang sekali. Dakwah itu luas, tetapi masih tidak berkompromi dengan bersalut kemaksiatan," saya menjawab. Mengaitkan tindakan itu dengan Islam dan dakwah pula.
Islam itu meraikan fitrah. Jika anda suka kepada perempuan, bersyukurlah kerana anda normal dan bukan gay. Jika si gadis tertawan dengan sang lelaki, itu juga normal dan tidaklah berdosa dalam Islam. Tetapi ada aturannya...
01.Ramai pasangan keluar berdua-duaan tidak kiralah sama ada pergi shopping, dating, atau ke masjid sekalipun. Ketahuilah itu dilarang sama sekali. Bagi yang sudah bertunang sekalipun aturannya tetap ketat. Keluar dibolehkan tetapi dengan syarat ditemani oleh mahram yang (1)tsiqah. Ada yang mengajak teman, sedangkan teman yang diajak itu merapu dan tidak tahu hukum-hakam.
02.Kurangkan komunikasi yang tidak berkenaan. Isi perbincangan seharusnya dikawal. Isi pun dikawal, gantiaan nama seperti ayang itik, abang, ucuk dan segala hal lagilah bersalahan dengan syarak.
03.Tidak boleh bersentuhan sama sekali. Jadi diharap tiadalah dialog: "Saya dan dia cukup menjaga. Kami tidak melakukan larangan. Paling tidak pun hanya sekadar berpegangan tangan saja." Pegang tangan sahaja... hurm.
04.Elakkan fitnah daripaada masyarakat sekeliling. Mahu elakkan fitnah, jangan cipta fitnah. Jangan salahkan masyarakat mengata, sedangkan diri dengan pasangan kelakuan sumbang.
05.Berkaitan gambar. Melihat aurat sudah semestinya sudah salah. Sekarang trend menjadikan gambar pasangan sebagai wallpaper telefon bimbit, laptop bahkan menjadi primary picture di Facebook dan Friendster. Dua kali salah! Dilarang bertukar gambar tanpa sebab yang syarie'.
06.Jika semua ini kita tidak mampu lakukan dan penyelesaian pernikahan itu masih jauh perjalanannya. Putuskanlah hubungan itu dengan serta-merta. Pedih lagi sedih. Memang! Tetapi itulah mujahadah. Rintangan dihadapan lagi besar dan memerlukan lebih tinggi mujahadahnya berbanding putuskan hubungan itu. Percayalah, jika niat semua itu kerana Allah s.w.t., Dia akan gantikan duka lara hati dengan kegembiraan lebih besar daripada itu.
Keluarga Muslim
Selepas melihat semakin rosaknya umat sekarang, bagi saya adalah satu keperluan untuk membina satu keluarga contoh.(2)Sakinah dan (3)mawaddah sudah menjadi kewajipan setiap insan yang mengaku beriman. Melahir dan mendidik generasi baru sebagai penyambung mata rantai perjuangan Baginda sudah menjadi tuntutan yang vital.
Kepada lelaki, hormatilah wanita seperti Baginda menghormati mereka. Kepada wanita, lebihkan menjadi daripada mencari dan kuatlah dalam berprinsip. Tetapi sebelum kita mahu bina keluarga Muslim lagi mukmin, mulakan dengan melihat dan memilih calon ibu kepada anak-anak kita. Dan lihat dan pilihlah calon bapa kepada anak-anak kita. Itu tapaknya, jika mahu kukuh bangunannya! Anda mencari, saya mendoakan...
Glosari
(1) Tsiqah: Terpercaya daripada segi agama dan matang dalam tindakan.
(2) Sakinah: Tenang, tenteram.
(3) Mawaddah: Kasih sayang, terutamanya dalam hubungan antara suami isteri.
Posted by amn077 at 22:46 0 comments
Gambaran nikmat di syurga
Sheikh al-Maraghi berkata: "Semua ini menunjukkan bahawa makanan ahli neraka adalah sesuatu yang sesuai dengan keadaan di akhirat.
"Hal ini digambarkan dengan benda-benda yang ada di dunia adalah bermaksud untuk menggambarkan kepada kita betapa buruknya jenis makanan itu, agar kita menjauhi dan menghindari malapetaka tersebut, sehingga kita terjauh daripada perbuatan rosak dan merugikan."
Firman Allah SWT: (sebaliknya) Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri.
Ibn Kathir berkata: Mereka mendapat kurniaan nikmat kerana usaha mereka di dunia.
Firman Allah SWT: Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia).
Al-Hasan berkata: Dia akan reda dengan usahanya. Benarlah kata al-Maraghi: Mereka berasa puas kerana mereka dahulu beramal semata-mata kerana Allah SWT dan mereka diberi balasan baik.
Hal ini umpama seorang yang berbuat baik lalu mendapat hasil atau balasan baik dan pujian yang menyenangkan, maka tercetuslah ucapan: Alangkah baiknya amalku dahulu. Sesungguhnya amalku itu sesuai dengan kebenaran.
Firman Allah SWT: (Mereka tinggal menetap) di dalam syurga tinggi (tempat kedudukannya darjatnya).
Dalam hal ini al-Mawardi menyebut dua wajah bahawa syurga lebih tinggi dari neraka kedudukannya. Dengan sebab itu dinyatakan ketinggiannya seperti kata al-Dahak. Sedangkan pendapat kedua dengan maksud di syurga-syurga yang tinggi dan bilik-biliknya.
Atas asas inilah ketinggian mereka dalam dua bentuk, iaitu supaya mereka berlazat dengan kedudukan dan keduanya supaya mereka menyaksikan apa yang Allah SWT sediakan kenikmatan untuk mereka.
Firman Allah SWT: Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia.
Ulama telah khilaf berkenaan dengan tafsiran lagha di sini, di mana al-Farra' dan al-Ahfash berpendapat ahli syurga tidak mendengar walaupun sepatah kalimah lagha.
Berkenaan dengan lagha ada tujuh pendapat:
* Dusta. Seperti pendapat Ibn Abbas.
* Dosa. Seperti pendapat Qatadah.
* Mencela. Seperti pendapat Mujahid.
* Kebatilan. Seperti pendapat Yahya bin Salam.
* Maksiat. Seperti pendapat al-Hasan.
* Sumpah. Seperti pendapat al-Qalbi.
* Ahli syurga tidak mendengar dalam ucapan mereka kalimah lagha. Seperti pendapat al-Farra'.
Firman Allah SWT: di dalam syurga itu ada mata air yang mengalir.
Al-Maraghi berkata: Dalam syurga itu terdapat mata air yang selalu mengalir airnya. Air yang jernih menggembirakan hati dan mententeramkan mata yang memandangnya.
Firman Allah SWT: Di situ juga ada pelamin-pelamin (berhias) yang tinggi (tempatnya).
Kedudukan tinggi ini ada tiga wajah:
* Kerana sebahagiannya berada lebih tinggi daripada yang lain.
* Kerana tempatnya berada di puncak.
* Tempat yang tinggi kerana kedudukannya dan martabatnya yang tinggi.
Ibn Syajarah berkata: Supaya mereka berlazat dengan kedudukannya.
Firman Allah SWT: dan piala-piala minuman yang disediakan (untuk mereka).
Sayid Qutub berkata: Gelas-gelas itu siap diatur dan siap disajikan untuk diminum tanpa perlu diminta dan disediakan.
Firman Allah SWT: dan bantal-bantal yang teratur (untuk mereka berbaring atau bersandar).
Al-Maraghi berkata: Dalam syurga terdapat juga bantal-bantal yang tersusun rapi. Mereka boleh mendudukinya, bersandar padanya atau berteleku di atasnya apabila dikehendaki.
Firman Allah SWT: serta hamparan-hamparan yang terbentang.
Al-Maraghi berkata: Ketika permaidani (hamparan) terhampar di tempat duduk, maka setiap tempat duduk dapat dilihat hamparan permaidani seperti yang terdapat di rumah-rumah kaum bangsawan lagi hartawan di dunia ini.
Sayid Qutub berkata: "Semuanya itu merupakan nikmat-nikmat kesenangan yang dapat dilihat manusia contoh-contoh seumpamanya di bumi."
Nikmat-nikmat itu disebut sedemikian rupa untuk mendekatkan kepada kefahaman manusia di bumi, sedangkan hakikat yang sebenar terpulanglah kepada selera di sana yang dikurniakan Allah SWT kepada golongan manusia yang berbahagia.
Di antara usaha yang sia-sia ialah membuat perbandingan dan penyelidikan yang halus mengenai bentuk dan sifat nikmat atau azab di akhirat kerana penduduk bumi berfikir dengan fikiran yang terikat dengan keadaan yang wujud di bumi ini.
Andainya mereka berada di akhirat, maka segala hijab dan dinding akan terhapus, segala roh dan fikiran terlepas bebas, segala makna akan berubah mengikut perubahan selera manusia di sana.
Ini kerana segala yang berlaku di akhirat di luar kemampuan kita untuk mengetahuinya.
Sifat-sifat nikmat yang dijelaskan oleh Allah SWT hanya berguna untuk menolong kita memahami dan menggambarkan kemuncak kelazatan, kemanisan dan kenikmatan hidup yang kita tidak mampu mencapainya selama kita berada di sini.
Ketika di akhirat barulah kita mengetahui dan mengenal hakikatnya apabila Allah SWT memuliakan dengan limpah kurnia dan keredaan-Nya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kita syurga Firdaus sebagai nikmat-Nya. Amin.
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Posted by amn077 at 22:45 0 comments