Alhamdulillah telah lebih sebulan saya terpaksa memikul tugas serentak sebagai seorang ibu dan ayah kepada 3 orang anak lelaki kami. Sebagai seorang bapa, 'memangku' tugas seorang ibu memang amat mencabar kesabaran saya. Apatah lagi dengan usia anak-anak yang masih kecil dan agak rapat usia mereka.
Kesabaran insan bersama wanita justeru amat dikagumi dan wajar diselidiki rahsianya. Lelaki dan wanita hakikatnya adalah sama. Keutamaan yang Allah berikan kepada golongan lelaki berbanding wanita adalah kerana kelebihan daripada aspek pengurusan diri, keluarga dan juga harta benda. Tiada keutamaan lelaki berbanding wanita. Yang ada, hanyalah perbezaan.
Lelaki boleh berbangga kerana memiliki tenaga yang kuat. Dia boleh mengangkat barangan yang berat, melakukan kerja yang sukar dan mempunyai tubuh yang sasa. Akan tetapi, cuba berikan mereka tugas untuk menjaga anak dan menguruskan rumah selama sehari. Belum tentu si lelaki tadi dapat melaksanakannya.
Semua ini disebabkan kerana perbezaan daripada aspek pengurusan tenaga yang amat berbeza antara lelaki dan wanita. Menurut kajian, metabolisme dan struktur lemak wanita membolehkan mereka memiliki tenaga simpanan yang lebih tinggi berbanding lelaki. Dengan sebab itulah mereka boleh berterusan mendukung anak, melayan mereka untuk jangka masa panjang, serta dalam masa yang sama mampu menguruskan rumah. Mereka juga boleh bekerja tanpa henti (Tanenbaum, Joe. Male & Female Realities, Understanding the Opposite Sex. NV: Robert Erdmann Publishing, 1990. p 87-88, 136).
Sementara lelaki pula, walaupun mempunya jumlah tenaga yang tinggi kerana bilangan oksigen, glycogen dan phosphocreatine yang tinggi berbanding wanita, akan tetapi tenaga mereka cepat kehabisan. Dengan sebab itu, cubalah minta sang adi wirawan bertubuh sasa memangku kerja-kerja isterinya, cepat sahaja tenaga si sasa tadi kehabisan.
Atas sebab itulah wanita sebenarnya lebih berdaya tahan di dalam suasana yang ekstrim, stress dan mendera berbanding lelaki (Stump, Jane Barr, PhD. What's the Difference? NY: William Morrow and Company, Inc., 1985. p 72).
Selain itu, golongan wanita juga menggunakan tenaga mereka untuk fokus. Apabila mereka fokus, mereka perlu pergi ke luar diri mereka untuk memulihkan tenaga. Mereka mampu memulihkan tenaga ketika berinteraksi dengan dunia luar, seperti ketika membeli-belah, menonton filem atau sekadar bersembang panjang dengan rakan.
Sementara lelaki pula, untuk memulihkan tenaga mereka, mereka perlu pergi ke dalam diri mereka sendiri, dengan cara utamanya ialah tidur dan berehat panjang. Atau mereka juga boleh pergi ke luar diri mereka tetapi dengan hanya satu aktiviti sahaja, seperti hanya membaca buku, atau hanya menonton televisyen.
Maknanya, wanita perlu pergi ke luar diri mereka untuk memulihkan tenaga mereka. Sementara lelaki pula perlu pergi ke dalam diri mereka untuk mengembalikan tenaga (Tanenbaum, Joe. Male & Female Realities, Understanding the Opposite Sex. NV: Robert Erdmann Publishing, 1990. p 87-88).
Subhanallah, hebat sekali ciptaan Allah yang menjadikan kita ini berbeza. Dengan sebab itulah, taktala sang teruna sedang mencari-cari insan yang sempurna untuk menjadi pasangan hidupnya, jangan lupa bahawa hakikatnya tiada siapa pun yang sempurna. Sebaliknya, si dara yang dicari adalah untuk menjadikan kehidupan kita lebih sempurna, lengkap-melengkapi.
Ramai yang bertanya bolehkan saya tahan menjaga anak-anak tanpa ibu mereka di sisi. Sebenarnya, kena banyak bersabar. Jika ditanya apa tips utama, jawapan saya mudah sahaja. Just simply ignore them. Pekakkan sahaja telinga. Kerana saya tahu keterbatasan tenaga lelaki saya. Buat apa perlu dibazirkan. Lagipun memang sudah menjadi lumrah kerenah kanak-kanak, makan, main, bergaduh, menangis, dan akhirnya akan tidur juga.
- Artikel iluvislam.com
Sunday 10 April 2011
Antara Tenaga Lelaki Dan Wanita
Posted by amn077 at 22:48
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment