"Tuhan masih sayangkan saya".. ayat ini sering kita dengar diucapkan oleh masyarakat kita dimana sahaja, terutama apabila seseorang itu mendapat sesuatu perkara atau mengalami suatu peristiwa yang memberikan makna yang membawa harapan atau penyelesaian masalah dalam kehidupan seseorang itu.
Memang secara umumnya ayat ini nampak macam sedap dan lunak didengari. Tetapi, sedarkah kita apakah maksud sebenar dari ayat ini? Mari kita dengar sekali lagi:
"... syukurlah, rupanya Tuhan masih sayangkan saya..."
Oh, jadi, selama ini kamu fikir Tuhan tak sayangkan kamulah? Maksudnya kita tanpa disedari telah bersu'uldzon (sangka buruk) terhadap Allah kerana menghadapi beberapa kesukaran atau pun ujian di dalam kehidupan. Hanya setelah diberi pertolongan atau harapan, barulah kita menyedari selama ini Dia masih sayangkan kita? Barulah teringat nak bersyukur? Begitu?
Masih?
Perkataan MASIH dalam frasa di atas itu sahaja sudah bermaksud sesuatu yang sementara sahaja dan akan berhenti pada bila-bila masa. Tak faham? Ok, lihat contoh dibawah ini:
Saya MASIH belajar di UITM, saya akan berhenti belajar apabila berjaya menamatkan Ijazah Perguruan pada akhir tahun hadapan.
Atau :
Saya MASIH menunggu ketibaan kapal terbang di KLIA. Kapal terbang dijangka tiba pada pukul 10 malam, ketika itu barulah saya akan berhenti menunggu.
Saya MASIH hidup walaupun mengalami kemalangan yang dahsyat kerana belum tiba ajal lagi.
Jadi, adakah : Sekarang ini Tuhan MASIH lagi sayangkan anda, tetapi esok lusa tak tahu lah, mungkin Dia tak sayang pulak, ialah, manusia selalu buat dosa dan kemungkaran, maka, mungkin bila buat dosa tu, Tuhan tak sayanglah...
Sedangkan Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang! Allah SENTIASA sayang dan MEMANG sayang dan AMAT kasih pada sekelian hamba-Nya. Tiada masih-masih dalam kasih sayang Allah!
Allah Bukan Seperti Kita
Allah itu bukan seperti kita, manusia, yang mempunyai sifat dendam dan hasad, yang mana kita selalunya tidak akan mahu menolong orang yang membuat kesalahan pada kita. Memang benar, dosa membuatkan terhijabnya doa. Akan tetapi, Allah telah meletakkan sistem-Nya sendiri di mana hamba yang berdosa diberikan peluang untuk bertaubat sehinggalah nyawanya berada di kerongkong di saat sakaratul maut atau setelah matahari terbit dari sebelah barat.
Oleh itu, walau sebesar mana pun seseorang hamba merasakan dirinya berdosa, dia masih layak untuk berdoa dan doanya masih berhak untuk Allah dengari, selagi matahari belum terbit dari barat, atau roh sudah ditarik hingga kekerongkong oleh malaikat maut. Sama ada dimakbulkan atau tidak, terserah kepada budi bicara Allah S.W.T.
Apa pun, ingatlah, bahawasanya, Allah hanya memberikan yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Maka jika kita berasa diri kita banyak dosa, bertaubatlah. Mengapa perlu membiarkan diri terus hanyut dalam dosa hingga timbul rasa malu untuk berdoa pada Allah?
Daripada Anas bin Malik R.A :
Aku mendengar Rassulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhnya Allah berfirman (maksudnya): Wahai anak Adam! Apabila engkau memohon dan mengharapkan pertolongan-Ku, maka Aku akan mengampunimu dan Aku tidak akan menganggap bahawa dosa kamu itu suatu yang membebankan (untuk mendengar doa kamu). Wahai anak Adam! Sekali pun dosa kamu seperti awan meliputi langit, kemudian kamu memohon keampunan-Ku, nescaya Aku akan mengampuninya.
Wahai anak Adam! Jika kamu menemui-Ku (selepas mati) dengan kesalahan sebesar bumi, kemudiannya kamu menemui-Ku dalam keadaan tidak syirik kepada-Ku dengan sesuatu, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan terhadap dosa sebesar bumi itu."
(Riwayat Imam Tarmizi dan menurut beliau ini adalah hadis Hasan Sohih)
Hadis diatas dengan jelas telah menunjukkan kepada kita bahawa walau sebesar mana pun dosa seseorang hamba itu, dosa tersebut tidak pernah dianggap bebanan oleh Allah untuk mendengar doa dari hamba-hamba-Nya.
Buang Rendah Diri Dan Sangka Buruk
Oleh itu, buangkan rasa inferiority complex (rendah diri yang tidak bertempat) dan juga su'uldzon (sangka buruk) yang hanya akan merugikan kita. Bertaubatlah dan mohon pertolongan dari Allah dengan rasa yakin dan husnuldzon.
Please be fair to Him!!
Cinta dan Kasih Sayang Allah pada hamba-hamba-Nya tak sama dengan manusia yang fana ini, tolonglah faham dan kenali betul-betul.
Oleh itu, saya sarankan supaya gunakanlah perkataan,
"Syukurlah..walaupun hidupku begini, namun aku tetap ada Allah yang sentiasa menyayangi diriku dalam apa keadaan jua pun."
Bukankah yang Baik itu dari Allah, dan yang khilaf itu dari kelemahan kita sendiri? Semua orang pandai cakap ayat ini kan?
Kun Faya Kun?
Ada yang memberitahu saya bahawa perkara buruk tak akan berlaku pada sesiapa pun tanpa izin Allah. Benar, tak akan bergerak sebutir hama walaupun semua manusia dan jin bersatu untuk menggerakkannya tanpa izin Allah. Akan tetapi kebenaran untuk memilih buruk baik itu telah lama diberikan-Nya sejak dari azali lagi. Wajarkah kita mengatakan bahawa:
Aku mencuri kerana telah ditakdirkan Allah bahawa aku akan mencuri.
Di zaman saidina Umar R.A, seorang pencuri yang berkata dengan perkataan di atas telah dipotong tangan akibat mencuri dan disebat 30 kali kerana mengeluarkan kenyataan seperti diatas.
Saidina Umar kemudian memberitahu bahawa pencuri itu dihukum sebat kerana berdusta atas nama Allah (maksudnya mendakwa perbuatan jahatnya itu tidak dirancang sebaliknya Allah yang mentakdirkan sedemikian pada dirinya).
Oleh itu, wajarkan kamu menuduh Allah yang mengizinkan perkara buruk berlaku atas kamu?
Allah hanya memberikan perkara yang TERBAIK sahaja untuk kamu. Perkara buruk hanya akan berlaku ke atas diri kamu hasil kesilapan kamu sendiri. Allah tidak pernah sesekali menzalimi diri kamu. Persangkaan yang mengatakan perkara buruk yang berlaku pada kamu adalah kerana Allah yang mentakdirkan kepada kamu itu hanyalah pandangan dangkal dan su'uldzon. Oh, jadi, nanti kalau berlaku apa-apa musibah, bolehlah salahkan Allah, tak perlulah nak salahkan diri sendiri, begitu kah?
Hadis Qudsi riwayat Imam Ahmad :
"Aku (Allah) akan mengikuti sangkaan-sangkaan hamba-Ku, maka hendaklah kamu bersangka dengan apa yang kamu inginkan."
(Bukan dengan apa yang kamu risaukan atau khuatirkan)
Ini adalah satu kelebihan dan kemudahan pada manusia sebenarnya, sekiranya anda menerapkan cara hidup berhusnuzzon (sangka baik) dan berfikiran positif maka dengan izin yang telah dikurniakan-Nya (kuasa eksekutif untuk memilih sempena kedudukan manusia sebagai khalifah) dari azali lagi ini, maka anda akan mendapati kehidupan anda dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat.
Positif Atau Negatif? Pilihan Masing-Masing
Maka kerana itulah kajian fizik quantum mendapati bahawa:
"Anda menarik ke dalam hidup anda apa yang anda berikan fokus, tumpuan, perhatian dan tenaga samada perkara negatif atau positif."
Sekiranya anda suka memberikan perhatian pada kisah-kisah buruk tentang perceraian dan keruntuhan rumah tangga orang lain, maka tenaga-tenaga berbentuk itulah yang anda juga sedang berusaha menariknya ke dalam hidup anda.
Itulah persangkaan-persangkaan anda, atau fokus anda, perkara-perkara yang anda suka dan seronok bila membicarakannya beramai-ramai, senang cerita, mengumpat hal orang lain. Tindakan menyebarkan berita hanyalah menarik lebih ramai orang berbincang dan memperkatakan tentang keaiban orang lain yang mana sebenarnya hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui hukum sebab musabab, dan juga Qada' dan Qadar seseorang itu.
Bersangka baiklah.
- Artikel iluvislam.com
Sunday, 24 April 2011
Tuhan Masih Sayangkan Saya
Posted by amn077 at 22:42
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment