IMAM Ghazali berkata, jika kita menyatakan beriman iaitu yakin adanya Allah SWT dan yakin pula terhadap sifat-Nya antaranya pemberi rahmat, hendaknya kita sandarkan harapan baik kepada Allah dengan sepenuh hati.
Selanjutnya, Imam Ghazali menyatakan bahawa agama Islam mengajar di samping seseorang berikhtiar, hendaklah dilengkapi dengan doa. Doa sebagai tanda seseorang mempunyai harapan baik kepada Allah SWT.
Katanya lagi, orang yang berputus asa daripada rahmat Allah bererti tidak percaya kepada kemurahan-Nya. Dalam al-Quran, orang demikian dianggap kafir (tertutup hatinya dan tidak percaya adanya pertolongan Allah).
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak ada yang putus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang yang sesat.” (Surah Al-Hijr, ayat 56)
Allah SWT tidak pernah memberhentikan rahmat untuk dikurniakan kepada hamba-Nya. Allah SWT mengurniakan kepada sesiapa saja yang mengharapkan rahmat-Nya yang luas dan tidak terhitung banyaknya.
Banyaknya rahmat Allah dapat dilihat melalui hadis diriwayatkan Abul-Latis dengan sanadnya daripada Al-Hasan berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mempunyai seratus rahmat, diturunkan ke bumi hanya satu rahmat untuk penduduk dunia, maka mencukupi hingga habis ajal mereka dan Allah akan mencabut rahmat yang satu pada hari kiamat untuk digenapkan pada yang sembilan puluh sembilan dan diberikan-Nya kepada para wali dan ahli yang taat kepada-Nya.”
Kita diingatkan bahawa amal yang dikerjakan selama hidup atas dunia ini belum tentu dapat membantu untuk masuk ke syurga. Kita akan masuk syurga kerana rahmat Allah SWT.
Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak seorang pun di antara kalian yang akan dibebaskan oleh amalnya.” Sahabat bertanya: “Tidak juga anda, ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah: “Tidak juga aku, kecuali bila Allah melimpahkan keampunan dan rahmat-Nya kepadaku.” (Hadis riwayat Muslim)
Allah SWT tidak membezakan hamba untuk mendapatkan rahmat-Nya. Baik orang yang beriman atau berdosa, Allah SWT tetap akan memberi rahmat-Nya, kecuali syaitan dan orang kafir. Syaitan dan orang kafir tidak akan mendapat rahmat Allah sampai bila-bila.
Orang yang tidak membuat amal soleh tidak akan mendapat rahmat Allah seperti firman-Nya yang bermaksud: “Maka siapa yang mengharap mendapat rahmat dan bertemu dengan Tuhan-Nya, maka hendaklah beramal soleh.” (Surah Al-Kahfi, ayat 110)
Orang beriman seharusnya tidak berputus asa terhadap rahmat Allah kerana hajat kita akan dimakbulkan dengan syarat tidak berputus asa memohon kepada-Nya. Selama kita mahu memohon kepada-Nya dengan keyakinan dan harapan kuat, Dia akan memakbulkannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang yang beriman.” (Surah al-Anbiya ayat 88)
Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir
Sunday, 24 April 2011
Insan tak putus asa berdoa penuh keyakinan dimakbulkan hajat
Posted by amn077 at 22:40
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment