BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 7 March 2010

Kematian dan alam kubur

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Setiap yang bernyawa tetap akan mati, begitulah juga manusia yang asal usulnya dijadikan daripada tanah, maka kepada tanahlah juga ianya akan dikembalikan. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Thaahaa ayat 55 tafsirnya :
“Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan menggembalikan kamu dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi”.

Oleh itu ingatlah bahawa kematian itu tetap menemui kita, tiada siapa boleh lari daripadanya. Bukankah Allah Subhanahu Wataala telah berfirman dalam Surah ‘Ali Imran ayat 180 tafsirnya :
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati”.
Kerana itu kita jangan terlalu asyik dengan kehidupan dunia ini sehingga lalai dan lupa akan akhirat, sedangkan akhirat itulah tempat kekal abadi. Di sinilah perlunya kepada peringatan, tetapi apakah manusia sedar akan peringatan-peringatan Allah Subhanahu Wataala itu atau senghaja tidak mahu sedar. Di antara peringatan Allah Subhanahu Wataala itu ialah seperti umur tua, beruban, kurang penglihatan, kurang pendengaran dan bermacam-macam lagi.

Tetapi berapa banyakkah manusia yang mengambil peringatan daripadanya? Kerana ada juga yang masih lalai dan alpa dengan kehidupan dunia ini, sedangkan sepatutnya kita melazimkan diri melakukan amal ibadat dan perkara berkebajikan.
Di antara langkah-langkah untuk menjaga diri kita dari terus lalai dengan dunia, kita digalakkan untuk sentiasa mengingati mati kerana dengan jalan demikian, hati akan sentiasa merasa takut akan azab seksa, baik ketika ajal tiba, ketika di dalam kubur mahupun di Hari Kiamat kelak. Jika perasaan takut akan azab Allah Subhanahu Wataala ada pada diri seseorang sudah tentu akan menggerakkan hati kita untuk mentaati perintah Allah Subhanahu Wataala dengan sentiasa beramal ibadat. Kerana itu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menggalakkan umatnya untuk ingat pada kematian sebagaimana sabda Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
“Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu katanya : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Hendaklah kamu banyak-banyak mengingati pemutus kematian (mati).”Hadis riwayat Al-Imam Ibnu Majah.

Kematian adalah suatu yang menakutkan bagi orang yang masih tidak mahu hilang kemewahan, apatah lagi yang tidak punya persiapan dengan amal ibadat yang hidup melawan arus kebenaran, tetapi tidak bagi orang yang beriman dan beramal salih, di mana mereka bersedia jika dijemput Allah Subhanahu Wataala pada bila-bila masa dengan harapan memperolehi husnul khatimah iaitu mati dalam kesudahan yang baik atau mati dalam iman. Keadaan inilah yang diimpikan oleh setiap orang mukmin.

Sebenarnya tanda-tanda orang yang mati dalam husnul khatimah itu boleh dilihat semasa hayat atau hidup seseorang itu, iaitu mereka taat dan patuh kepada perintah Allah Subhanahu Wataala dan menjauhi larangan-Nya, mengamalkan perkara berkebajikan dan menjauhi kemaksiatan. Perkara ini dijelaskan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tarmizi daripada Anas Radhiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda bahawa jika Allah menghendaki seseorang itu dengan kebaikan, Dia akan memakainya dengan kebaikan atau memperlakukan baginya kebaikan. Ditanya oleh sahabat : Bagaimana Allah memakaikannya atau memperlakukannya dengan kebaikan itu? Menjawab Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam “Allah akan menuntunnya untuk melakukan amal salih sebelum sampai ajalnya”.

Untuk jelasnya amalan yang dikerjakan itu bukanlah dikerjakan secara berkala atau dengan kata lain bila rajin buat dan bila malas tidak, tetapi hendaklah dikerjakan secara istiqamah atau berterusan dan tidak bercampur dengan perbuatan maksiat atau dosa.

Lawan husnul khatimah itu ialah suul khatimah iaitu mati dalam kesudahan yang tidak baik. Inilah mati yang minta dijauhkan oleh orang-orang yang beriman kerana kematian dalam keadaan sebegini setentunya akan mendapat balasan azab dan seksa Allah Subhanahu Wataala. Apakah faktor penyebab seseorang itu tergolong dalam golongan yang mendapat suul khatimah? Ulama ada menyebutkan seperti berikut :
Pertama : Mengabaikan ibadat sembahyang.
Kedua : Minum arak.
Ketiga : Derhaka kepada ibu bapa.
Keempat : Menyakiti orang Islam.

Semua orang tahu bahawa seseorang yang mati itu akan ditanamkan dalam kubur, tempat singgah sementara sebelum tibanya Hari Akhirat. Itulah tempat yang akan menjadi Taman Syurga bagi orang-orang yang beriman, tetapi menjadi lubang Neraka bagi orang-orang yang jahat yang ingkar perintah Allah Subhanahu Wataala dan yang menyekutukan Allah Subhanahu Wataala. Kubur telah ditakdirkan oleh Allah Subhanahu Wataala berkata-kata, sebagaimana diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi dari Abi Said bahawa kubur berkata : Akulah rumah dagang, akulah rumah menyendiri, akulah rumah tanah dan akulah rumah cacing.
Apabila seorang mukmin dikuburkan, kubur pun berkata kepadanya : Selamat datang! Engkaulah orang yang paling aku sukai, siapa yang berjalan di atasku menuju ke arahku, hari ini akulah penguasamu dan engkau telah kembali kepadaku. Engkau akan mengetahui apa yang aku lakukan terhadapmu.
Maka pada ketika itu juga, diluaskan kuburnya sejauh mata memandang dan dibukakan pintu baginya menuju Syurga.

Sementara jika yang dikuburkan itu seorang yang derhaka atau kufur, kubur berkata kepadanya : Tidak ada selamat datang untukmu! Sesungguhnya engkaulah orang yang paling aku benci, siapa yang pernah berjalan di atasku menuju ke arahku, hari ini akulah yang menjadi penguasamu dan engkau telah pun kembali kepadaku. Maka engkau akan lihat pula apa yang akan aku perbuat kepadamu.
Lalu pada ketika itu juga, kedua tepi kubur menyempit sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya.

Mengingati kematian itu banyak hikmat dan kebaikannya bagi mereka yang sedar dan ingin mengambil iktibar daripadanya. Tanya diri kita apakah kita sudah membuat persiapan menghadapinya. Sebenarnya tiada jalan lain jika kita mahu bahagia dan selamat di dunia dan di akhirat melainkan dengan mentaati perintah Allah Subhanahu Wataala dan menjauhi larangan-Nya, bukan dengan pengakuan lisan sahaja tetapi disertai dengan hati dan mengamalkannya. Ingatlah hari yang tiada gunanya harta dan anak-anak.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Asy Syu’araa’ ayat 88-89 tafsirnya :
“Hari yang padanya harta benda dan anak pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun, kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera dari syirik dan penyakit munafik”.

0 comments: