BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday, 26 March 2010

Wahyu terhenti

WALAUPUN Malaikat Jibrail sebagai penyampai wahyu mempunyai hubungan baik dengan Nabi Muhammad SAW, namun baginda pernah diuji apabila malaikat itu memutuskan hubungan yang menyebabkan wahyu itu sendiri terhenti!
Jibrail dikatakan tidak menemui baginda dalam tempoh-tempoh tertentu selepas turunnya wahyu pertama sehingga baginda dilanda keresahan. Iaitu keresahan yang bukan sedikit, tetapi sehingga menganggu fikiran dan jiwa baginda.
Bukan soal 'tubuh' malaikat itu yang baginda nanti-nantikan tetapi baginda menantikan apakah ayat atau perintah seterusnya daripada Allah yang hendak disampaikan kepada baginda.

Apakah status baginda seterusnya dan apa yang perlu baginda lakukan untuk menggalas tanggungjawab sebagai utusan Allah? Semua ini begitu bermain dalam fikiran dan kehadiran Jibrail tentu akan memberikan lebih banyak jawapan.
Tetapi apabila malaikat itu tidak lagi muncul selepas baginda pulih daripada kejutan, tentunya menyebabkan baginda tidak senang duduk dan begitu tertanya-tanya.
Namun terdapat beberapa versi mengenai kisah malaikat Jibrail yang tidak lagi menemui Nabi Muhammad itu dan kaitannya dengan baginda akhirnya menerima 'berita' yang menggembirakan.
Mengikut Al Mubarakfuri yang bukunya, Sirah Nabawiyyah SAW diterjemah oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), tempoh baginda terputus hubungan itu sendiri sebenarnya tidak diketahui dengan pasti.

Ada dikatakan hanya beberapa hari sahaja selepas turunnya wahyu yang pertama. Namun ada juga disebut memakan masa hampir tiga tahun atau dua tahun setengah sebelum baginda diturunkan wahyu kedua.
Dalam hal ini Hussein Haekal sendiri tidak menyatakan tempoh tertentu tetapi yang jelas wahyu benar-benar terhenti untuk satu tempoh yang menyebabkan baginda merasakan seperti terasing daripada orang lain.

Alam sekitar baginda seolah-olah menjadi sunyi, bisu sehingga baginda merasakan semula ketakutan seperti semasa turunnya wahyu yang pertama itu.
Menurut Haekal lagi, dalam keadaan yang ketakutan dan kebimbangan itu, namun Nabi Muhammad terdorong untuk kembali semula ke daerah perbukitan dan menyendiri lagi dalam Gua Hira' sambil mengharap kepada Tuhan agar baginda beroleh jawapan.
Begitulah yang selalu diulang-ulang oleh baginda namun yang dinanti tidak juga kunjung tiba. Malah dikatakan baginda juga agak terganggu fikirannya. Apabila melihatkan keresahannya itu, isteri baginda Siti Khadijah pula berkata; "Mungkin tuhan tidak menyukai engkau!" Baginda benar-benar tertekan, hati dan perasaan!
Maka di puncak keresahan itulah akhirnya Nabi Muhammad mampu tersenyum lebar kerana malaikat yang ditunggu muncul dengan membawakan wahyu kedua yang menjadi berita paling gembira buat baginda.

Namun Haekal dalam bukunya di muka surat 97 menulis, pengkhabaran gembira yang dibawakan oleh Jibrail (dikatakan dalam pertemuan dengan baginda di puncak gunung Abu Qubais) merupakan surah ad-Dhuha (ayat 1-11) Demi Pagi (Dhuha) cerah yang gemilang. Dan demi malam bila sunyi kelam. Tuhanmu (Wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci (kepadamu sebagaimana yang dituduh oleh kaum Musyrik). Sesungguhnya kesudahan keadaanmu (akhirat) adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya (dunia)...……
Sedangkan seperti apa yang dicatat oleh al-Mubarakfuri pula, tentunya wahyu kedua yang diturunkan kepada Nabi Muhammad merupakan surah ke 74 al-Muddaththir (ayat 1-5); Wahai orang yang berselimut!.....

Ini diceritakan sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Jabir bin Abdullah, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW menceritakan mengenai tempoh terhentinya wahyu itu dengan bersabda yang bermaksud; Ketika aku sedang berjalan, aku mendengar suara dari langit. Aku pun mendongak pandangan ke arah langit. Tiba-tiba aku mendapati Jibrail yang pernah datang kepadaku di Gua Hira' sedang duduk di antara langit dan bumi. Lalu aku pun duduk berlutut sehingga rebah ke bumi. Kemudian aku (pulang ke rumah) datang kepada isteriku dan berkata; "Selimutkan aku! Selimutkan aku! Siti Khadijah pun menyelimutkan aku".

"Namun pada ketika itulah Allah menurunkan firmannya yang bermaksud: Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan tuhanmu, maka ucapkanlah dan ingatlah kebesaran-Nya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan maka hendaklah engkau jauhi. (al- Muddaththir: 1-5)
Jika kita berbalik semula kepada Haekal, ayat Muddaththir itu sebenarnya telah diturunkan sebelum berlakunya tempoh pemberhentian atau terputusnya hubungan dengan malaikat Jibrail itu lagi.

Pada muka surat 94 dalam bukunya itu, beliau menceritakan peristiwa yang berlaku selepas Siti Khadijah pulang daripada menemui bapa saudaranya, Waraqah bin Naufal, iaitu bagi menceritakan pertemuan suaminya itu dengan Jibrail dan menerima surah pertama, iaitu surah al-Alaq. Setibanya Ummul Mukminin ini di rumah didapati suaminya itu masih tidur dengan nyenyak.
Siti Khadijah tidak sampai hati mengejutkan baginda kecuali memandang suaminya itu dengan pandangan penuh kasih.
Namun secara tiba-tiba Nabi Muhammad terjaga dalam keadaan seluruh badannya menggigil dan seperti sukar untuk baginda bernafas.

Keringat terus membasahi wajah baginda yang tersentak dengan kehadiran Jibrail yang membawakan ayat-ayat dari surah al-Muddaththir itu.
Selesai ayat itu dibacakan kepada Nabi, Siti Khadijah segera mendapatkan baginda dan meminta supaya baginda kembali tidur dan berehat. "Waktu untuk tidur dan beristirehat sudah tidak ada lagi wahai isteriku. Jibrail telah membawa perintah supaya aku memberi peringatan kepada umat manusia, mengajak mereka dan supaya mereka beribadat kepada Allah.
"Tetapi siapa yang hendak ku ajak? Dan siapa pula yang akan mendengarkannya?," kata Rasulullah.

Khadijah segera mententeramkan hati suaminya itu dengan menceritakan apa yang beliau dengar dari Waraqah dan terus tanpa sebarang keraguan, isteri baginda itu menyatakan pengislamannya, iaitu beriman kepada Allah dan mempercayai kenabian suaminya itu.
Dikatakan sejak peristiwa pengislaman Siti Khadijah ini sebagai manusia pertama memeluk Islam selepas Nabi, maka terputuslah wahyu apabila malaikat Jibrail tidak lagi muncul-muncul. Iaitu di saat seperti yang disebut tadi, Nabi Muhammad memerlukan lebih banyak panduan daripada Allah SWT.

Namun tidak dinafikan sejurus baginda menerima surah ad-Dhuha, baginda benar-benar gembira, hatinya bagai dipujuk kerana tidak benarlah bagai sesetengah yang mengatakan Allah tidak lagi menyukai baginda.
Versi surah dan ayat yang berbeza ini tidak perlu menjadi satu persoalan besar kerana apa pun perbezaannya ia tidak menyangkut kepada soal keimanan. Malah kisah terhentinya wahyu ini hanya memiliki fakta-fakta secara sejarah sahaja, bukannya daripada al-Quran.

Namun diyakini terputusnya wahyu itu berlaku sebelum baginda keluar menjalankan tugas dakwahnya, walaupun ada menyebutkan kisah ini terjadi setelah baginda mengajak kaum kerabat baginda memeluk Islam, iaitu pada tahun keempat kenabian baginda.
Ini kerana yang lebih menjadi persoalan mengapa ada tempoh di mana malaikat Jibrail tidak bertemu dengan Nabi bagi terus menyampaikan wahyu? Apakah rahsia di sebalik terhentinya wahyu itu?

Menurut tulisan Al Mubarakfuri yang menukil kata-kata Ibnu Hajar, terhentinya wahyu beberapa hari bertujuan menghilangkan kegerunan yang menimpa Rasulullah SAW dan juga supaya timbul keinginan baginda agar perkara itu berulang kembali.
Dengan lain perkataan, selepas pertemuan pertama itu, Jibrail tidak mendatangi Nabi untuk tempoh-tempoh tertentu bagi membolehkan baginda berehat kerana penurunan wahyu, berita-berita dari langit ini tentunya memberikan satu tekanan yang sangat luar biasa kepada baginda untuk menanggungnya.

Namun yang pastinya terhentinya wahyu (untuk tempoh seketika) berlaku pada banyak kali sepanjang hidup Nabi sama ada ketika baginda berada di Mekah mahupun Madinah.
Selepas turunnya surah al-Alaq, diyakini surah al-Muddaththir merupakan wahyu kedua yang turun kepada Nabi berdasarkan pandangan kuat dan asbab nuzul (sebab-sebab turunnya ayat al-Quran) sebagaimana banyak riwayat mengenainya dan dibukil kesemuanya oleh Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsir (Jil. 14 13:17)
Sementara surah ad-Dhuha juga sebenarnya disampaikan kepada Nabi selepas terhenti seketika wahyu iaitu ketika baginda masih lagi di Mekah.
Tempoh inilah yang dikatakan sehingga mendapat cemuhan daripada kalangan golongan Musyrik Mekah yang begitu menentang kerasulan baginda. Sehingga seorang perempuan Quraisy itu menempelak Nabi dengan berkata: "Syaitanmu kini sudah meninggalkan/membiarkan engkau keseorangan." Perempuan yang berkata itu ialah isteri Abu Lahab, Ummu Jamil (Ibnu Kathir).

Menurut tafsir lbnu Jarir pula, pernah beberapa lamanya terhenti turunnya wahyu, sehingga belum ada lagi sambungan al-Quran yang akan disampaikan oleh baginda SAW kepada manusia. Sehingga merasa sepi menguasai Nabi SAW
Dan hal ini diketahui oleh kaum musyrikin, sampai mereka berkata, iaitu Ummu Jamil: "Muhammad sudah diucapkan selamat tinggal oleh Tuhannya dan telah dimarahi".
Menurut Tafsir Al Maraghi, surah ad-Dhuha turun selepas turunnya surah al-Fajr, maka ini menunjukkan surah ad-Dhuha itu mempunyai jarak yang sangat jauh dari masa turunnya surah al-Alaq. Wallahu 'alam.


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

0 comments: