Allah swt menjadikan dunia ini begitu indah pada pandangan mata serta menggerakkan keinginan hawa nafsu terhadapnya.
Diingini, dirindui dah diidamkan.
Dunia boleh melalaikan, mempesona dan menggoda.
Rasulullah saw telah bersabda: “Sesungguhnya dunia adalah manis menghijau; Senang hati melihatnya;.Bahawasanya Allah memilih kamu untuk menguasainya, maka Dia sentiasa memilih kamu untuk menguasainya, maka Dia sentiasa memerhatikan apa yang kamu lakukan.” (Riwayat Muslim).
Dengan keadaan demikian Allah swt mahu manusia mengurus dan mentadbir dunia dengan adil dan jujur. Tanpa khianat dan kepentingan apa-apa selain kerana Allah semata-mata.Ini kerana Allah mahu menguji manusia. Siapa yang dapat mengalahkan nafsunya daripada terpesona dengan dunia, untuk mengikut kehendak-kehendak Allah swt. Inilah ujian iman dan taqwa. Siapa yang kuat iman dan taqwanya dapatlah ia mengutamakan Allah daripada nafsunya.
Sebaliknya siapa yang lemah iman dan tiada taqwa nescaya dia tidak dapat lepas daripada kongkongan nafsunya. Nescaya ia akan khianat dan merangkul dunia hanya untuk dirinya. Demikianlah halnya kita dengan dunia ini.
Allah swt telah mengamanahkan kepada kita sesuatu yang sangat kita cintai. Harta, pangkat, wang, rumah besar, isteri, kecantikan, anak-anak, kesihatan, kepandaian, ilmu, pembangunan, kebun-kebun yang indah, alat-alat kemudahan hidup dan serba-serbi lagi. Ini kerana Allah mahu kita mentadbir dunia ini mengikut hukumNya dan menggunakan dunia untuk kepentingan agama Allah dan untuk keselamatan di akhirat, tanpa mengabaikan duniawi itu sendiri.
Namun nafsu kita pula mahukan agar segala anugerah dan amanah itu menjadi milik peribadi dan untuk keseronokan duniawi semata. Maka bertarunglah dua kemahuan dalam diri setiap individu dan hasilnya, hampir semua orang akan tewas kepada hawa nafsu. Kehendak nafsu menjadi ikutan sehingga kehendak dan amanah Allah dikhianati. Masing-masing membolot dunia untuk perut dan poket sendiri. Semakin tinggi ilmunya, semakin rakus juga nafsunya.
Mereka yang berpangkat menggunakan pangkatnya untuk mencari keuntungan peribadi, seperti kemahsyuran, kekayaan harta dan wang ringgit. Bila rasa tidak puas dan tidak cukup dengan apa yang ada wujud maka masing-masing akan berlumba untuk mendapat yang lebih lagi dari apa yang dikurniakan. Maka terjadilah tindas-menindas, menipu, rasuah, merompak dan lain-lain.
Bagaimana untuk kita kembali kepada jalan yang benar?
Kita telah mengatakan bahawa punca bagi segala masalah ini ialah kerana manusia menuruti nafsu cinta dunianya. Masing-masing menjadikan dunia sebagai matlamat hidup, bukan alat hidup untuk menuju ke akhirat. Sekiranya punca ini dibetulkan barulah penyakit tadi dapat dielakkan. Maknanya, kalau manusia tidak lagi cinta kepada dunia dalam dia menguruskan dunia, masalah-masalah yang timbul yang merosakkan kehidupan akan berhenti dengan sendirinya.
Ketahuilah matlamat hidup yang sebenarnya hanyalah untuk Allah swt dan bukan untuk dunia. Dunia hanyalah laluan untuk kembali ke akhirat. Kehidupan yang sebenar bukanlah di dunia tetapi di akhirat. Dunia merupakan tempat berbakti untuk mencari keredhaan Allah swt. Bukan untuk mengumpul dunia dan berbangga-bangga dengannya.
Orang yang dapat menjadikan hidupnya untuk Allah dan akhirat tanpa mengabaikan keperluan dunia, akan menjadi orang yang mengutamakan kepentingan orang lain. Masyarakat yang benar-benar hidup untuk Allah dan untuk akhirat, ialah masyarakat yang benar-benar berpadu dengan kasih sayang dan tolong-menolong seperti kata pepatah, 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'. Masing-masing akan berlumba-lumba untuk membuat kebaikan, mencari keredhaan Allah dan kebahagian di akhirat melalui kehidupan di dunia.
www.iluvislam.com
Monday, 27 September 2010
Dunia Yang Menipu
Posted by amn077 at 23:16
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment