BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, 6 February 2010

Bila anak menjadi tuan

Dalam media massa akhir-akhir ini terlalu banyak artikel-artikel mengenai ibu bapa ditinggalkan di stesen bas, di pusat Hemodyalisis, bapa tinggal disurau dan ibu yang datang jauh dari Sarawak dinafikan haknya sebagai ibu oleh anaknya.

Betapa semakin menginjak ke akhir zaman, semakin banyak anak yang bersikap seperti tuan-tuan besar. Semakin hilang kasih seorang anak kepada seorang ibu yang melahirkan, seorang ayah yang memberikan rezeki buat si anak.

Bila sisipan artikel ini dibaca, pelbagai emosi bercampur baur. Terasa seperti mahu melayang jemari ini ke wajah-wajah yang bertindak kejam ke atas si ibu bapa yang malang ini. Terasa pedih dihulu hati, bila emak terkadang berkata bila dia tua nanti, apakah mampu anak-anaknya menjaganya? Atau apakah nasibnya juga akan semalang itu?

Moga dijauhkan Allah ke atasku dari menjadi tuan ke atas ibuku sendiri, ke atas ayahku sendiri. Moga dibukakan pintu langit Allah untuk hidayah dan petunjuknya ke atas insan-insan ini yang menzalimi diri mereka sendiri dan terlebih lagi ibu bapanya.

Bukankah Nabi s.a.w pernah bersabda, "Barangsiapa yang memuaskan hati ibu bapanya, maka dia boleh memilih untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dikehendakinya.”

Justeru apakah terlalu sukar untuk memuaskan hati seorang ibu tua yang inginkan cuma sepicing kasih sayang dari anak yang dilahirkan. Ibu tua itu, ayah yang tua itu tak mungkin pernah meminta untuk dimanjakan dengan harta benda hatta material oleh anak-anaknya. Yang diinginkan adalah kasih sayang dari anak-anak. Kelembutan berbahasa oleh anaknya yang tidak menyakitkan pendengaran telinganya, kasih sayang anaknya buatnya seperti dia menyayangi anaknya saat dilahirkan dibesarkan.

Hatta kalau ada yang menafikan dia pernah merasakan kasih sayang yang sedemikian, justeru cuba tanya soalan ini pada diri sendiri. Akan wujudkah diri ini di dunia ini andai diri tidak disayangi oleh si ibu atau si ayah? Akan bernafaskah si anak ini andai kehadirannya di dunia ini tidak dikehendaki si ibu yang melahirkan ini?

“Barangsiapa yang taat kepada Allah dengan berbakti pada kedua-dua ibu bapanya, maka baginya akan ada dua pintu syurga yang terbuka. Apabila ia berbakti kepada salah seorang, maka baginya hanya satu pintu dan barangsiapa yang menyakiti kedua-dua ibu bapanya, maka baginya ada dua pintu neraka yang selalu terbuka. Apabila ia menyakiti kepada salah seorang, maka satu pintu yang terbuka.” Salah seorang sahabat bertanya, “Bagaimana jika keduanya berbuat aniaya kepadanya?” Rasulullah menjawab, “Sekalipun mereka berdua membuat aniaya kepadanya.” “Sekalipun mereka berdua membuat aniaya kepadanya.” “Sekalipun mereka berdua membuat aniaya kepadanya.”

Telah Allah bukakan antara jalan-jalan merintis ke syurga, salah satunya berbakti kepada ibu bapa. Justeru kenapa perlu menjauhkan diri dari antara laluan yang diberikanNya? Berbakti pada ibu bapa itu teramat mudah... justeru kenapa perlu menderhakai mereka dengan menyaykitkan dan melukakan hati mereka?

Kata orang, hidup ini seperti putaran dunia, terkadang di atas terkadang di bawah. Justeru, mungkinkah kala usia kita melewati detik senja nanti, kita akan menerima imbalan atas perlakuan dan layanan kita terhadap ibu bapa nanti oleh anak-anak sendiri pula?

0 comments: