BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday 24 April 2011

Bila Kasih Diberi, Mengapa Dikhianati?

Saya berbual dengan seorang sahabat tentang kasih sayang. Juga tentang bagaimana menghargai kasih sayang yang dikurniakan. Sebelum saya huraikan hasil perbualan kami, saya ingin menyoal anda dengan pertanyaan saya ini.
Kamu fikir, siapakah sebenarnya yang paling sayang kepada kamu?
Mungkin ada yang menjawab ibu, pasangan hidup, sahabat karib, dan lain-lain. Mungkin. Tetapi, jika ada yang memberikan jawapannya adalah Allah, ketahuilah bahawa jawapan kamu itu bersamaan dengan jawapan saya.

Ya, yang paling sayang kepada kita ialah Dia. Pencipta kita. Pembuat kita. Allah.
Bayangkan, kita sebagai manusia yang lemah ini pun akan sayang kepada sesuatu yag dihasilkan dengan titik peluh kita sendiri, bagaimana pula dengan Dia yang mengakui secara jelas bahawa Dialah Yang Maha Penyayang.
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Perasaan Sayang Yang Makhluk Miliki Adalah Kurniaan Allah
Kita biasa melihat betapa sayangnya seorang ibu atau bapa kepada anaknya. Juga perasaan sayang seorang iteri kepada suaminya. Namun, biasakah kita melihat bahawa perasaan sayang mereka ini, Allahlah yang mengurniakannya kepada mereka.

Berkenaan perkara ini, sahabat nabi, Abu Hurairah R.A. ada meriwayatkan sebuah hadis dengan katanya,
"Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: Allah telah menjadikan kasih sayangNya terbagi dalam seratus bahagian. Dia menahan sembilan puluh sembilan bahagian di sisi-Nya dan menurunkan satu bahagian ke bumi. Dari satu bahagian itulah para makhluk saling kasih-mengasihi sehingga seekor ibu binatang mengangkat cakarnya dari anaknya kerana takut melukainya." [riwayat Imam Muslim]
Bayangkan, betapa banyaknya kasih dan sayang yang Allah miliki. Maka betapa besarnya pula kasih sayang Allah kepada manusia kerana manusialah makhluk yag paling dikasihiNya.

Pernah suatu hari Sayyidina Umar datang menghadap Rasulullah s.a.w. dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu jika ia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan dia terus mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui.
Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api?" Para sahabat menjawab: "Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya."
Begitu sekali kasihnya Allah kepada hambaNya. Tidakkah kita patut berfikir untuk menghargainya?

Menghargai Kasih Sayang Allah
Kita ini, bila kita tahu ibu bapa sayang kepada kita, kita jadi tak tergamak untuk lukakan hati mereka. Tak sampai hati hendak buat perkara yang mereka tak suka kita buat. Tetapi, kita buat juga secara sembunyi.
Namun, Allah lain. Dia tak sama dengan orang yang kita sayang. Allah, bila Dia menyuruh kita berbuat sesuatu, atau melarang kita dari melakukan sesuatu yang lain, Dia sentiasa Melihat kita. Maka, di sinilah nilaian kepada sejauh mana kita menghargai kasih dan sayang yang Allah berikan.

Adakah kita tetap buat yang Allah larang?
Atau masih tak laksanakan perkara yang Dia suruh?
Sedangkan Dia tetap melihat apapun yang kita lakukan.
Tinggalkan Dosa Kerana Hutang Kasih
Kita selalu dengar ustaz-ustaz kita pesan supaya tinggalkan maksiat kerana setiap maksiat kita itu balasannya adalah neraka Allah. Neraka pula azabnya tidak terfikir oleh otak, tidak terucap pula oleh lidah. Betapa dahsyat.

Tapi masih ramai yang tidak tinggalkan maksiat.
Jadi, selain dari ancaman azab-azab yang sangat mengerikan itu, saya ingin mengajak kita kepada menghindar maksiat dengan menginsafi bahawa kita sudah terlalu banyak berhutang kasih kepada Allah. Sangat banyak. Kasih Allah kepada kita bukan sekadar semasa kita hidup, bahkan sebelum kita hidup dan selepasnya.

Diriwayatkan oleh Saiyidina Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda,"Tatkala Allah menciptakan makhluk, Allah telah menuliskan dalam kitab catatan-Nya yang berada di sisi-Nya di atas arsy bahawa sesungguhnya kasih sayang-Ku mengalahkan murka-Ku" [riwayat Imam Muslim].

Sahabat-sahabat, tergamaknya kita membalas kasih sayang Allah dengan kemungkaran. Hamba apakah kita ini?
- Artikel iluvislam.com

Calon-Calon Syurga Dan Neraka

Sabda Rasul saw : "Semua ummatku layak masuk syurga kecuali mereka yang sengaja enggan masuk syurga." Sahabat bertanya : "Siapakah yang enggan masuk syurga itu ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah saw : "Sesiapa yang taat kepadaku layak masuk syurga dan sesiapa yang menderhakaiku maka sesungguhnya ia lah orang yang enggan masuk syurga."

Hadis ini menjelaskan kepada kita calon syurga ialah mereka yang taat kepada Allah swt dan melaksanakan sunnah Rasulullah saw sementara calon neraka pula ialah mereka yang melanggar perintah Allah swt, melakukan maksiat dan mungkar serta derhaka kepada Allah swt dan Rasul-Nya .
Antara calon neraka ialah mereka yang melampaui batas agama. Tidak peduli dosa dan pahala. Mereka bertindak berasaskan nafsu dan syahwat.

Memburu kepentingan duniawi tanpa peduli halal dan haram. Demikianlah firman Allah swt :
"Maka adapun sesiapa yang melampaui batas (melakukan perbuatan yang ditaja oleh nafsu dan syaithan) dan terlalu kemaruk dengan kehidupan dunia sehingga mengabaikan akhirat maka sesungguhnya neraka jahannam lah tempat tinggal yang layak buat mereka."
Sementara calon syurga pula ialah mereka yang takut kepada Allah swt Tuhan yang Maha Agong. Tidak berani mengangkat muka untuk derhaka dan melanggar hukum Allah swt.

Juga orang yang mencegah dirinya dari perangkap nafsu dan syahwah serta bebas dari melakukan perbuatan terlarang seperti rasuah, judi, arak, zina, pecah amanah, zalim dan sebagainya. Firman Allah swt :
".. dan adapun mereka yang takut kepada Tuhannya yang Maha Tinggi dan mencegah dirinya dari nafsu dan syahwah maka sesungguhnya syurga adalah tempat tinggalnya yang paling layak." (Surah an Naazia't : 38 - 41)
Tegasnya syurga tidaklah mudah untuk dimasuki melainkan mereka yang bertaqwa kepada Allah swt, justeru syurga hanyalah diwariskan kepada mereka yang bertaqwa. Taqwa dengan maksud tunduk dan patuh kepada perintah Allah swt dan meninggalkan semua perkara yang dilarang oleh Allah swt.

"Demikian syurga yang kami wariskan dari kalangan hamba-hamba kami akan mereka yang benar-benar bertaqwa." (Surah Maryam : 63)
Sebahagian dari penegasan Al Quran sebagai kalamullah dalam menetapkan calon neraka dan calon syurga dapat kita lihat dari ayat ini :
".. bahkan mereka yang melakukan kejahatan (rasuah, judi, arak, zina, pecah amanah, zalim dan sebagainya) dan ia terus hanyut tenggelam dalam kejahatannya maka mereka adalah penghuni neraka, mereka pula kekal di dalamnya sementara orang-orang yang beriman dan beramal dengan amalan yang soleh, merekalah penghuni syurga, mereka pula kekal di dalamnya." (Surah Al Baqarah : 81)

Ayat-ayat di atas, bolehlah dinilai oleh setiap individu, bagaimana keadaan kita.
Ia pasti sahaja melewati batas sempadan parti politik dan kepentingan suku kaum.
Siapa jua yang tidak melandasi hidup berasaskan manhaj rabbani dan sunnah an nabawi maka ia sendiri tahu bagaimana nasib dan masa depannya di akhirat kelak.
Selebihnya menjadi milik mutlak Allah swt untuk menetapkan keputusannya berkait syurga dan neraka.

Namun tidaklah salah jika kita menyebut kalau kamu buat begini jawabnya neraka dan kalau kamu buat begini tentunya syurga balasan ke atas kamu.
Seperti kita menyebut kepada anak kita, "Hei Awang! Jangan mencuri nanti kamu masuk neraka" atau sebaliknya "Hei Awang! Sembahyanglah kalau kamu nak masuk syurga."
Tentu tidak salah perkataan-perkataan tersebut justeru ia bermaksud untuk mendidik anak bukan menentu syurga atau neraka buat sang anak.

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis
Ustaz Nasrudin Hassan merupakan graduan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Selain aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, beliau kini merupakan Pengarah Akademi Ar-Rasyidin yang berpusat di Kuantan, Pahang. Blog episodeperjuangan.blogspot.com menjadi medium untuk beliau menulis di alam maya.

Pemilik Rahsia Rasulullah

Alkisah pada suatu hari, seorang anak kecil sedang menggembala kambing kepunyaan pembesar Quraisy, Uqbah bin Abi Mu'aith, dan telah datang kepadanya Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar r.a. yang sangat keletihan dan kehausan hinggakan bibir mereka kering. Mereka mengucapkan salam seraya berkata, "Wahai anak kecil, perahkanlah untuk kami susu kambing ini agar dahaga kami hilang dan keringat kami hilang."
"Maaf, aku tidak boleh melakukannya. Kambing ini bukan milikku. Aku hanya seorang penggembala." Jawab anak itu bersenandungkan amanah.

Rasulullah s.a.w. lalu berkata, "Tunjukkan kepadaku (1)kambing yang belum dikahwinkan." Anak kecil itu, yang digelar Ibnu Ummi Abdul, menunjukkan kepada seekor kambing kecil yang berada dekat dengannya. Rasulullah s.a.w. menghampiri kambing itu lantas memegang puting susunya dengan tangan, menyebut nama Allah lalu meniupnya. Dan keluarlah susu kambing itu bercucuran. Ibnu Ummi Abdul, atau nama sebenarnya Abdullah ibn Mas'ud, hanya memerhati dengan penuh kehairanan.
Abu Bakar r.a. mengisi air susu itu dalam seketul batu yang berlubang lalu mereka, termasuk Abdullah, meminumnya. Selesai hajat mereka, air susu itu berhenti mengalir sebaik sahaja diarahkan oleh Rasulullah s.a.w.
"Ajarkan kepadaku kalimat yang engkau ucapkan tadi," kata Abdullah.
"Engkau anak yang terdidik," jawab Rasulullah.

Itulah permulaan kisah Abdullah ibn Mas'ud r.a. dengan Rasulullah s.a.w.. Sedari pertemuan itu, Abdullah menggauli Nabi Allah, Muhammad s.a.w. hingga akhirnya dia memilih Islam sebagai agamanya. Abdullah termasuk golongan As-Sabiqunal Awwalun, iaitu kelompok pertama yang menerima Islam. Dia kemudian menawarkan diri untuk berkhidmat kepada baginda dan jadilah dia pembantu kepada Penghulu Para Nabi.
Membesar di rumah baginda membuka peluang kepada Abdullah untuk ditunjuk ajar, belajar, dan mencontohi Rasulullah. Sejarah meriwayatkan bahawa Ibn Mas'ud adalah sahabat yang paling banyak membaca Al-Quran, paling memahami maknanya dan paling mengetahui syari'at Allah s.w.t.. Bahkan Rasulullah s.a.w. mengizinkan Abdullah masuk ke (2)rumah baginda sesuka hatinya dan menyingkap landasan rahsia baginda hinggakan dia dipanggil Sahibussir, pemilik rahsia Rasulullah s.aw..

Umar Al-Khattab pernah bercerita, suatu malam ketika dia berada di samping baginda dan Abu Bakar r.a. yang sedang bermusyawarah perihal kaum Muslimin lalu mereka beredar dari tempat itu, mereka melihat seorang lelaki yang sedang solat di dalam masjid. Rasulullah s.a.w. berdiri sejenak di situ melontarkan pandangannya terhadap lelaki itu hingga akhirnya lelaki itu menoleh kepada mereka. Bagida langsung berkata, "Siapa yang senang membaca al-Quran dengan lembut sebagaimana diturunkan, hendaklah dia membacanya seperti bacaan Ibnu Ummi Abdul." Ketika Ibnu Mas'ud duduk berdoa, Rasulullah s.a.w. melanjutkan kata-katanya, "Mintalah, engkau akan diberikan-Nya. Mintalah, engkau akan diberikan-Nya."

Umar r.a. lalu berkata dalam hatinya, "Demi Allah, esok aku akan menemui Ibnu Mas'ud dan memberitahunya bahawa Rasulullah s.a.w. mengaminkan doanya." Adapun keesokan harinya, Abu Bakar r.a. telah mendahuluinya lalu berkatalah Umar r.a., "Demi Allah, Abu Bakar selalu mendahuluiku dalam kebaikan." Umar r.a. telah menyifatkan Ibnu Mas'ud sebagai dana ilmu dan mengangkatnya sebagai kadi Kufah pada zaman pemerintahannya.

Ibnu Mas'ud, sahabat yang dimuliakan Rasulullah, mempunyai pengalaman dalam dua hijrah – ke Habsyah dan ke Madinah – dan berkesempatan sembahyang berkiblatkan dua kiblat iaitu Baitulmaqdis dan Kaabah. Beliau juga pernah mengikuti semua peperangan yang disertai oleh Rasulullah. Dan dalam peperangan Badar, beliau telah memancung kepala musuh Islam paling hebat; Abu Jahal.

Nota
(1) Sesetengah penulis menyebut kambing jantan, ada pula menyebut kambing yang tidak pernah mengeluarkan susu. Wallahualam.
(2) Sesetengah buku menyebut bilik.
- Artikel iluvislam.com

Warkah Hati Buat Wanita

"Kerana dirimu begitu berharga." Biasa mendengar kata-kata ini diselitan iklan rancangan-rancangan televisyen. Model wanita rupawan pasti menjadi alat untuk mempromosikan produk kosmetik dan kecantikan. Tanpa disedari, diri yang bangga dipertontonkan sebenarnya telah diperalatkan oleh pihak yang ingin mengaut keuntungan.

Cantik.. adakah pada rupa? Soalan yang pasti jawapannya 'Ya' secara umum.
Tetapi jikalau lelaki memilih isteri hanya semata melihat cantik itu pada rupa, andai hilang cantik itu berubahlah setianya nanti. Mata mula meliar mencari yang jelita. Cinta pudar bertukar rasa.
Namun jika cantik itu dilihat pada budi, kerut di wajah isteri seakan hilang pergi kerna terkenang baiknya budi isteri. Cinta yang disemai semakin utuh bersemi dan terbinalah kasih yang abadi ke syurga-Nya nanti.

Wanita yang dikasihi sekalian,
Jangan kau menilai cantik itu hanya pada paras rupa, bukan itu sebenarnya menjadi ukuran. Kerana pasti nanti ada yang melihat kecantikanmu andai dirimu berakhlak mulia. Kerana akhlak itu tempat tertambatnya cinta pada mata yang melihat.
Andai cantik tetapi tidak berakhlak, ibaratnya seperti bunga dedap. Indah luaran tetapi baunya tidak tertahankan bagi yang menghidu. Mendekati hanya kerna indah, tetapi untuk berlama-lamaan sungguh tidak sanggup sekali.

Andai kurang cantik di mata manusia, tetapi berakhlak mulia, ibaratnya seperti bunga seroja. Biar putih salju, tetapi manisnya dihirup sang lebah menghasil madu. Memberi manfaat pada yang memerlu.

Andai cantik juga berakhlak mulia, itu adalah tambahan buat dirimu. Ibarat mawar menguntum indah, wanginya menarik sesiapa yang mendekati. Namun kecantikannya bukan mudah untuk direnggut kerana ada duri yang tajam mengawasi.
Di antara kuntum-kuntuman bunga ini, jadilah dirimu seperti mawar. Namun andai dirimu bukanlah sejelita pandangan manusia, cukuplah dirimu untuk punyai akhlak yang mulia. Suatu hari nanti, pasti ada lebah yang mengintai meminta izin penuh kesopanan untuk menyunting manismu di taman larangan.

Satu yang kau perlu ingat, kecantikanmu bukan barang tontonan untuk dipamerkan untuk semua lelaki, ia hanya buat suamimu. Yang Allah ciptakan buatmu sebagai pelengkap dan pelindung dirimu. Jagailah hak Allah, nescaya Allah akan menjaga hakmu.
Ketaatanmu untuk menutup aurat itu adalah hak Allah yang perlu kau jagai. Ibarat Dia menumbuhkanmu di taman larangan, ibu bapamu yang menyemaimu dan menjagaimu sehingga tiba saatnya nanti kau akan dibawa keluar oleh seseorang yang boleh menjagaimu pula dengan izinnya. Kerana itu, sebelum engkau dibawanya, hendaklah dirimu bersedia serta menjaga maruah dan ketaatanmu hanya kerana-Nya.

Wanita muslimah yang dikasihi.
Diriku yang hanya sebutir pasir di lautan manusia ini ingin rasanya membawa kalian bersama mengerti bahawa kehidupan ini bukan kehidupan yang kekal. Tiba saatnya pasti kita kan pergi. Kecantikan yang dibangga-banggakan sekian manusia jua tidakkan memanfaatkan kelak. Yang dikira adalah amal soleh, doa anak-anakyang soleh/solehah dan amal jariah. Bukankah semuanya menuntut sebuah akhlak yang mengalir dalam diri dan hati kita??

Ingatanku ini seawalnya hanya kutujukan buat diriku, dan ingatan kasihku pada kalian memungkinkan tanganku ringan mencoretkannya. Kumohon Allah pelihara kehidupan kita dengan keberkatan yang berpanjangan. Semoga bertemu di syurga-Nya kelak insyaAllah. Ameen ya Rabbal Alamin..
- Artikel iluvislam.com

Bagaimana Bidadarimu?

"Jangan engkau kahwini wanita yang enam; yang ananah, yang mananah, dan yang hananah, dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang baraqah dan yang syadaqah." - Imam Al-Ghazali

Wanita Ananah:
Wanita yang banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau berpura-pura sakit.
Wanita Mananah:
Wanita yang suka mengungkit-ngungkit terhadap suaminya. Wanita ini sering menyatakan seperti; "Aku membuat itu keranamu"

Wanita Hananah:
Wanita yang menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

Wanita Hadaqah:
Wanita yang melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

Wanita Baraqah:
1) Wanita yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya.
2) Wanita yang marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.

Wanita Syadaqah:
Wanita yang banyak bercakap perkara yang lagha (sia-sia) dan lagi membisingkan.
- Artikel iluvislam.com

4 kategori manusia tak layak dilantik jadi pemimpin

MENYEDARI pentingnya pemimpin dan kepemimpinan, Allah sendiri menyatakan dalam al-Quran empat kategori manusia yang tidak boleh atau haram diangkat menjadi pemimpin, yang tidak termasuk dalam keempat-empat kategori itu dibolehkan.
Yang diharamkan ialah ialah pertama, orang Yahudi dan Nasrani. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jangan kamu jadikan orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin sebab mereka hanya layak menjadi ketua di atas sebahagian daripada mereka. Barang siapa antara kamu menjadikan mereka pemimpin, sesungguhnya ia jadi golongan mereka (Yahudi dan Nasrani). Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” – Al-Maidah:51

Keduanya, orang yang melebihi atau mengutamakan kekafiran daripada keimanan. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengambil bapa, saudara kamu menjadi pemimpin jika mereka memilih kafir daripada iman. Barang siapa mengangkatnya menjadi pemimpin daripada kalangan kamu, maka mereka itu adalah zalim.” – At-Taubah:23.

Ketiga, orang yang di luar kalanganmu termasuk dalamnya orang munafik. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu ambil sahabat yang setia selain daripada golongan kamu, mereka tidak henti-hentinya berikhtiar mencelakakan kamu, mereka itu suka apa yang menyusahkan kamu. Sesungguhnya kebencian telah terbit dari mulut mereka, tetapi apa yang tersembunyi dalam hati mereka adalah lebih besar lagi. Kami telah terangkan kepadamu tanda-tanda jika kamu mahu berfikir. Ingatlah kamu ini mencintai mereka sedang mereka tidak mencintai kepadamu dan kamu percaya kepada seluruh kandungan al-Quran, sedang mereka itu apabila bertemu dengan kamu, mereka mengakui kami beriman, tetapi apabila berpisah, mereka gigit jari mereka lantaran marah bercampur benci kepadamu. Katakanlah kepada mereka: matilah kamu bersama kemarahan kamu itu. Allah mengetahui apa yang ada di dalam dadamu/hatimu.” – Ali- Imran:118-119

Keempat, orang yang mengingkari al-Quran dan hukumnya. Berhubung perkara ini Alah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu jadikan orang kafir itu menjadi pemimpin kamu, padahal mereka bukan daripada kalangan orang mukmin (yang benar), apakah kamu mencari satu alasan yang nyata bagi alasan bagi Allah untuk menyiksamu?” – An-Nisa':144

Rasulullah SAW pula mengingatkan supaya kalangan yang berkehendakkan sesuatu jawatan/menjadi pemimpin hendaklah jangan dilantik kerana ia akan mendatangkan banyak masalah pemimpin itu sendiri dan juga yang dipimpin. Sebaliknya jawatan itu hendaklah diberikan kepada orang yang dipilih daripada kalangan yang tidak berkehendakkan sesuatu jawatan/menjadi pemimpin tetapi ada kebolehan.
Iman Bukhari diriwayatkan berkata bahawa Abu Zar menceritakan kepadanya bahawa beliau (Abu Zar) telah berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, tidakkah boleh Rasulullah melantikku ke sesuatu jawatan.” Lalu Rasulullah menepuk bahu Abu Zar dan bersabda: “Wahai Abu Zar! Engkau lemah. Jawatan itu adalah suatu amanah, ia pada hari kiamat adalah suatu kehinaan dan penyesalan kecuali orang menerimanya kerana berhak dan menunaikan tugasnya dengan betul.”

Dalam Islam, jawatan bukanlah satu hak yang mesti diberi, apatah lagi jika diperoleh melalui apa jua cara bermaksud penjawatnya berkehendakkan jawatan itu seperti melalui sogokkan, bodek dan sebagainya. Sebaliknya jawatan adalah satu tugas, tanggungjawab dan amanah.

Rasulullah tidak memberikan sesuatu jawatan/kepemimpinan kepada orang yang memohon atau orang yang berhasrat untuk mendapatkannya tetapi akan menyerahkan kepada mereka yang cukup layak menjawat sesuatu jawatan/memimpin tetapi tidak berhajatkan jawatan berkenaan.

Imam Al-Hakam meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melantik menjalankan urusan umat Islam, maka ia melantik seorang tertentu sedangkan ia dapati ada yang lebih baik daripadanya, maka sesungguhnya ia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.”


Oleh Ramli Abdul Halim

BUNGA SEMALAM TELAH LAYU…

Tangisan di hujung gagang telefon itu sangat menyayukan. Seorang isteri yang rasa disia-siakan, dipinggirkan malah ingin ditinggalkan oleh suaminya.
“Apa salah saya? Segala-galanya sudah saya lakukan. Saya telah banyak berkorban untuk rumah tangga ini. Tetapi suami seolah-olah tidak nampak. Kini saya bertahan Cuma kerana anak-anak.”

Begitu sayu saya mendengarnya. Hidup adalah kesinambungan ujian yang berterusan. Setiap kita diuji. Jangan menyangka hanya kita yang diuji, tetapi semua manusia ada habuannya masing-masing. Tetapi biasalah, kita hanya nampak pelangi yang ada di atas kepala orang lain. Maksudnya, kita sering merasakan, hidup orang lain lebih indah, lebih bahagia… hanya kita yang menderita. Pada hal, setiap kita diuji, pada titik kelemahan masing-masing. Dan inilah cerita… isteri yang diuji.

Di mana aku di mata suami ku? Apakah aku ini masih dicintainya? Atau aku masih diterima sebagai isteri hanya kerana sudah tidak ada pilihan dan jalan yang lain lagi… Lalu perkahwinan yang tidak bahagia ini, walau sengsara sekalipun mesti diteruskan. Nanti apa kata sanak saudara? Apa pula anggapan teman-teman? Dan yang paling penting, apa pula nasib anak-anak kalau aku bercerai nanti.

Lalu dikayuh jugalah bahtera perkahwinan yang diumpamakan sudah hilang angin itu. Walaupun layarnya sudah terkoyak seribu. Al hasil, rumah tangga terumbang-ambing. Ke hadapan tidak, ke belakang pun tidak. Jemu. Beku! Ah, apakah benar perkahwinan itu pusara kepada percintaan?

Jika rasa-rasa seperti di atas telah dirasai oleh isteri, maka memang benar pada ketika itu memang benar perkahwinan itu pusara percintaan. Bukan sahaja pusara, bahkan ia sudah menjadi neraka. Pada ketika itulah harga diri isteri berada di tahap yang paling rendah. Dia seolah-olah tidak ada harga diri lagi. Keyakinannya sudah terhakis, harapannya sudah menipis. Apakah harga diri? Maruah? Status?

Secara mudah harga diri ditafsirkan sebagai, penilaian seseorang terhadap dirinya sendiri tentang kemampuannya untuk berjaya atau bahagia dalam hidup. Pendek kata, jika seseorang ingin bahagia dia mesti mempunyai harga diri yang tinggi. Dia mesti merasa layak, mampu dan berkebolehan untuk berjaya. Dia ‘feel good’ dengan dirinya sendiri. Berbeza dengan mereka yang mempunyai harga diri yang rendah. Mereka akan sentiasa merasa lemah, tidak yakin dan ragu-ragu tentang kemampuan diri sendiri untuk bahagia.

Petanda isteri yang hilang harga diri begitu ketara. Kekadang jadi pemurung. Banyak memencilkan diri. Atau ada pula yang mudah marah-marah. Terlalu sensitif. Hilang semangat untuk membersihkan diri apatah lagi berhias atau mengemas rumah. Tidak ada apa lagi yang hendak ‘diperjuangkannya’ atau yang akan menggembirakan atau yang menyedihkannya. Dia seperti orang mati – hilang semangat untuk hidup.

Inilah akibatnya apabila seseorang lebih pentingkan pandangan suaminya terhadap diri mereka berbanding pandangan diri sendiri. Apa penilaian suami ku? Apakah dia masih cinta atau telah jemu? Hidupnya dihantui prasangka. Dan prasangka itulah yang menghilangkan keceriaan dan semangatnya.

Ironinya, lama-kelamaan perasaan rendah diri yang mulanya pasif itu akan bertukar menjadi agresif. Mengikut ahli psikologi ramai orang yang pada mulanya mempunyai harga diri yang rendah, akan memandang rendah kepada orang lain. Ah, suami ku juga apa kurangnya. Dia pun bukan hebat sangat. Ya, orang yang tidak punya harga diri tidak akan dapat menghargai orang lain sepertimana orang yang tidak punya wang, mustahil boleh memberikannya kepada orang lain

Hakikatnya penilaian diri terhadap diri sendiri jauh lebih penting daripada penilaian orang lain terhadap diri kita. Maksudnya, biar dipandang rendah di mata suami, tetapi jangan dipandang rendah pada mata sendiri. Malangnya, dalam perkahwinan yang tidak bahagia ramai isteri atau suami yang merasa harga diri mereka direndahkan oleh pasangannya.

Dalam sebuah rumah tangga, harga diri sangat penting sama ada pada suami mahupun isteri. Suami terutamanya tidak boleh memandang rendah pada dirinya sendiri. Rasakanlah yang diri kita boleh dan mampu untuk memimpin, melindungi dan menyara keluarga. Bila harga diri suami tinggi maka barulah barulah dia akan mampu menghargai isterinya. Awas, jika kita kerap memandang rendah, meremeh-temehkan bahkan menghina pasangan kita itu menunjukkan harga diri kita yang rendah!

Para isteri tidak boleh membandingkan diri kita dengan orang lain secara tidak sihat. Konon, isteri orang lain lebih bijak, kaya dan lebih bernasib baik daripada kita. Dia terlupa bahawa setiap kita mempunyai kelebihan tersendiri. Kita adalah unik, dan dunia tidak akan lengkap tanpa kehadiran kita. Kita dicipta untuk berjaya dan bahagia.

Maha Suci Allah, yang tidak sekali-kali mencipta hamba-Nya untuk gagal dan menderita. Allah mencipta kita untuk berjaya dan bahagia. Sebab itulah diturunkan untuk kita Rasulullah saw dengan Al Quran dan sunahnya. Dan kepada setiap individu diberikanNya pelbagai keistimewaan yang tersendiri.

Soalnya, apakah kita telah membangunkan segala keistimewaan itu secara optimum? Sejauh mana segala kelebihan yang Allah berikan kepada kita telah kita kenali, terokai dan dipergunakan? Isteri yang diuji mesti mencari semula kekuatannya. Di mana keunikan aku? Aku istimewa, aku unik, bisikkan begitu pada diri.

Siti Saudah isteri Rasulullah s.a.w. mungkin tidak sejelita dan sebijak Humairah (Siti Aishah), tetapi dia tidak rendah diri, dia tidak hilang harga diri… Lalu dia rajin bangun malam (berqiamullail) dan dikorbankan giliran malanya bersama Rasulullah untuk Siti Aisyah demi menggembirakan hati Rasulullah kerana mengharapkan keredaan Allah. Lihat, dia tidak merintih, mengeluh dan mengeluh nasib diri. Sebaliknya, dia tahu harga dirinya di mana!

Jadilah diri kita sendiri, sayangi diri itu dengan membina satu keyakinan bahawa Allah Maha Adil, dengan mengurniakan bakat dan kemampuan untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup berbekalkan segala kelebihan yang kita miliki. Jangan rosakkan seluruh kehidupan hanya merasa tidak dihargai oleh suami. Hidup terlalu singkat dan sangat berharga untuk ‘dikorbankan’ hanya oleh prasangka dan curiga. Malah jika benar sekalipun kita dipinggirkan oleh suami, ingatlah suami bukan segala-galanya.

Bangun, dan binalah harga diri semula. Insya-Allah, apabila kita mula menghargai diri sendiri barulah orang lain akan menghargai diri kita. Kita adalah unik justeru tidak ada siapa yang serupa dengan kita sama ada dari segi luaran mahupun dalaman. Cara yang terbaik untuk membanding ialah bandinglah diri kita sekarang dengan potensi kita yang sebenar.

Ubahlah diri ke arah yang lebih baik, insya-Allah kita akan lihat suami, anak-anak dan seluruh isi rumah kita akan berubah. Dan perubahan itu boleh berlaku dua cara. Pertama, memang suami, anak-anak dan rumah tangga kita berubah menjadi lebih baik seperti yang kita harapkan. Kedua, kita yang berubah lalu mampu melihat, mentafsir dan bertindak terhadap suami, anak-anak dan rumah tangga yang masih sama dan ‘gitu-gitu’ jua tetapi dengan perspektif yang berbeza.

Apa yang dulunya kita lihat sebagai derita sudah bertukar bahagia kerana hidayah yang Allah jatuhkan ke dalam hati kita telah memberi makna yang berbeza. Dunia tidak berubah, tetapi mata hati kita yang berubah lalu yang kita lihat hanya yang indah-ndah sahaja. Alangkah bahagianya punya hati yang begitu… bila pahit dirasakan ubat, bila manis dirasakan halwa, bila masam dianggap ulam. Itulah hati yang mampu dan disediakan untuk setiap isteri dan anda layak untuk memilikinya!

Kita tidak perlu menyaingi suami untuk mendapat keyakinan diri. Dia tetap dia dan kita tetap kita. Jangan menunggu suami menghargai diri kita, barulah anda merasa diri anda berharga… sebaliknya hargailah diri kita terlebih dahulu barulah suami akan menghargai kita. Merendah diri di hadapan suami, bukan bererti mengorbankan harga diri kita sebagai insan yang sempurna ciptaan Allah.

Ingatlah kata-kata ini: Jangan bimbang jika diri tidak dihargai tetapi bimbanglah jika diri memang tidak berharga. Teruslah menjalankan tanggungjawab dalam keluarga dengan sebaik-baiknya. Jangan sekali-kali ‘sakit jiwa’ kerana tidak dihargai justeru di dalam diri kita sudah ada keyakinan bahawa diri kita memang berharga!

MADAH SUMAYYAH
Suamiku
Bunga semalam telah layu
Gugur dari jambangannya
Mujur…

Cinta kita
Bukan itu lambangnya
Mulutku telah kaku merayu
Hatiku malu untuk terus cemburu
Tidak seperti dulu…

Kerna kini kau seorang mujahid
Yang rindu memburu syahid!
Maaf kiranya tutur dan tingkah
Senyum dan seri wajah

Pudar dan hambar di matamu
Padaku yang baru belajar
… menjadi sorang mujahidah
Aku kini hanya mendoakan
Agar kau menjadi Yassir

Walau kiranya…
Bukan aku sebagai Sumayyahmu!
Dalam tangis kucuba senyum
Tika kau keluar bermusafir
Seperti redhanya Siti hajar
Waktu ditinggalkan Ibrahim
Biarlah kita berpisah
Selalu derita
Kerana Syurga menagih ujian berat
Sedang neraka itu…
Dipagar ribuan nikmat!

Orang kafir dustakan akhirat

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: (dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku!
Sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku! Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah).

Bahkan (perbuatan kamu wahai orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang ia berhak menerimanya) dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin, dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya) serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba! Jangan sekali-kali bersikap demikian! (sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di atasnya dan) diratakan serata-ratanya, dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah), serta diperlihatkan neraka jahanam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya? Ia akan berkata: Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)! Maka pada hari itu tiada sesiapapun yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh) Allah. (al-Fajr: 15-25)

Mukadimah
Al-Maghari berkata: Setelah Allah SWT bersumpah akan mengazab orang kafir sebagai balasan kekafirannya dan kegemaran mereka melanggar perintah-Nya, lalu Dia menyebutkan sebahagian kisah umat terdahulu yang menentang Allah SWT, Rasul-Nya dan gigih melakukan kezaliman, sehingga ditimpa seksaan yang bersangatan dan diambilnya tindakan bagai tindakan Penguasa Yang Gagah Perkasa.
Oleh yang demikian, agar para pendusta serik dan untuk meneguhkan hati orang mukmin yang mengikut Rasul dan menolongnya, dan agar hati mereka menjadi tenang kerana musuh-musuh mereka akan diberi pembalasan yang sewajarnya.

Firman Allah SWT: (dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku! Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku!

Manusia dalam ayat ini ditafsirkan dengan empat pendapat.
Pertama Uthbah bin Rabi'ah dan Abu Huzaifah bin Mughirah seperti kata 'Ata. Kedua Ubai bin Khalaf, inilah pendapat Ibn al-Sa'ib. Ketiga Umayyah bin Khalaf seperti kata Muqatim. Keempat semua orang kafir yang tidak beriman hari kebangkitan.
Al-Qurtubi berkata, inilah sikap orang kafir yang tidak mempercayai alam akhirat dan menganggap kemuliaan terletak pada kesenangan dan kemewahan hidup duniawi sahaja.
Orang yang beriman pula meyakini. kemuliaan sejati terletak pada limpah kurnia Allah SWT kepadanya untuk sentiasa mentaati Allah SWT serta bertakwa kepada-Nya sepanjang hayat mereka yang akan membawa kepada kebahagiaan di alam akhirat.
Sekiranya Allah SWT mengurniakan kemewahan hidup di dunia, ia akan bersyukur dan seandainya pula berlaku sebaliknya, ia akan bersabar dengan penuh kerelaan dan keyakinan.

Firman Allah SWT: jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang ia berhak menerimanya).
Ibn Kathir berkata: Ayat ini mengandungi perintah supaya memuliakan anak yatim.
Firman Allah SWT: dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.

Ibn Kathir berkata: Iaitu tidak memerintahkan untuk berbuat baik kepada kaum fakir miskin serta mengarahkan mereka dalam hal tersebut.
Firman Allah SWT: dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya).

Al-Maraghi berkata: Kamu memakan harta yang ditinggalkan oleh salah seorang antara kamu dengan perasaan tamak. Kamu berusaha menyingkirkan orang yang sepatutnya berhak dan mencampur bahagianmu dengan bahagian orang lain.


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Tuhan Masih Sayangkan Saya

"Tuhan masih sayangkan saya".. ayat ini sering kita dengar diucapkan oleh masyarakat kita dimana sahaja, terutama apabila seseorang itu mendapat sesuatu perkara atau mengalami suatu peristiwa yang memberikan makna yang membawa harapan atau penyelesaian masalah dalam kehidupan seseorang itu.
Memang secara umumnya ayat ini nampak macam sedap dan lunak didengari. Tetapi, sedarkah kita apakah maksud sebenar dari ayat ini? Mari kita dengar sekali lagi:
"... syukurlah, rupanya Tuhan masih sayangkan saya..."

Oh, jadi, selama ini kamu fikir Tuhan tak sayangkan kamulah? Maksudnya kita tanpa disedari telah bersu'uldzon (sangka buruk) terhadap Allah kerana menghadapi beberapa kesukaran atau pun ujian di dalam kehidupan. Hanya setelah diberi pertolongan atau harapan, barulah kita menyedari selama ini Dia masih sayangkan kita? Barulah teringat nak bersyukur? Begitu?

Masih?
Perkataan MASIH dalam frasa di atas itu sahaja sudah bermaksud sesuatu yang sementara sahaja dan akan berhenti pada bila-bila masa. Tak faham? Ok, lihat contoh dibawah ini:
Saya MASIH belajar di UITM, saya akan berhenti belajar apabila berjaya menamatkan Ijazah Perguruan pada akhir tahun hadapan.

Atau :
Saya MASIH menunggu ketibaan kapal terbang di KLIA. Kapal terbang dijangka tiba pada pukul 10 malam, ketika itu barulah saya akan berhenti menunggu.
Saya MASIH hidup walaupun mengalami kemalangan yang dahsyat kerana belum tiba ajal lagi.
Jadi, adakah : Sekarang ini Tuhan MASIH lagi sayangkan anda, tetapi esok lusa tak tahu lah, mungkin Dia tak sayang pulak, ialah, manusia selalu buat dosa dan kemungkaran, maka, mungkin bila buat dosa tu, Tuhan tak sayanglah...
Sedangkan Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang! Allah SENTIASA sayang dan MEMANG sayang dan AMAT kasih pada sekelian hamba-Nya. Tiada masih-masih dalam kasih sayang Allah!

Allah Bukan Seperti Kita
Allah itu bukan seperti kita, manusia, yang mempunyai sifat dendam dan hasad, yang mana kita selalunya tidak akan mahu menolong orang yang membuat kesalahan pada kita. Memang benar, dosa membuatkan terhijabnya doa. Akan tetapi, Allah telah meletakkan sistem-Nya sendiri di mana hamba yang berdosa diberikan peluang untuk bertaubat sehinggalah nyawanya berada di kerongkong di saat sakaratul maut atau setelah matahari terbit dari sebelah barat.

Oleh itu, walau sebesar mana pun seseorang hamba merasakan dirinya berdosa, dia masih layak untuk berdoa dan doanya masih berhak untuk Allah dengari, selagi matahari belum terbit dari barat, atau roh sudah ditarik hingga kekerongkong oleh malaikat maut. Sama ada dimakbulkan atau tidak, terserah kepada budi bicara Allah S.W.T.
Apa pun, ingatlah, bahawasanya, Allah hanya memberikan yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Maka jika kita berasa diri kita banyak dosa, bertaubatlah. Mengapa perlu membiarkan diri terus hanyut dalam dosa hingga timbul rasa malu untuk berdoa pada Allah?

Daripada Anas bin Malik R.A :
Aku mendengar Rassulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhnya Allah berfirman (maksudnya): Wahai anak Adam! Apabila engkau memohon dan mengharapkan pertolongan-Ku, maka Aku akan mengampunimu dan Aku tidak akan menganggap bahawa dosa kamu itu suatu yang membebankan (untuk mendengar doa kamu). Wahai anak Adam! Sekali pun dosa kamu seperti awan meliputi langit, kemudian kamu memohon keampunan-Ku, nescaya Aku akan mengampuninya.

Wahai anak Adam! Jika kamu menemui-Ku (selepas mati) dengan kesalahan sebesar bumi, kemudiannya kamu menemui-Ku dalam keadaan tidak syirik kepada-Ku dengan sesuatu, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan terhadap dosa sebesar bumi itu."
(Riwayat Imam Tarmizi dan menurut beliau ini adalah hadis Hasan Sohih)
Hadis diatas dengan jelas telah menunjukkan kepada kita bahawa walau sebesar mana pun dosa seseorang hamba itu, dosa tersebut tidak pernah dianggap bebanan oleh Allah untuk mendengar doa dari hamba-hamba-Nya.
Buang Rendah Diri Dan Sangka Buruk
Oleh itu, buangkan rasa inferiority complex (rendah diri yang tidak bertempat) dan juga su'uldzon (sangka buruk) yang hanya akan merugikan kita. Bertaubatlah dan mohon pertolongan dari Allah dengan rasa yakin dan husnuldzon.

Please be fair to Him!!
Cinta dan Kasih Sayang Allah pada hamba-hamba-Nya tak sama dengan manusia yang fana ini, tolonglah faham dan kenali betul-betul.
Oleh itu, saya sarankan supaya gunakanlah perkataan,
"Syukurlah..walaupun hidupku begini, namun aku tetap ada Allah yang sentiasa menyayangi diriku dalam apa keadaan jua pun."
Bukankah yang Baik itu dari Allah, dan yang khilaf itu dari kelemahan kita sendiri? Semua orang pandai cakap ayat ini kan?

Kun Faya Kun?
Ada yang memberitahu saya bahawa perkara buruk tak akan berlaku pada sesiapa pun tanpa izin Allah. Benar, tak akan bergerak sebutir hama walaupun semua manusia dan jin bersatu untuk menggerakkannya tanpa izin Allah. Akan tetapi kebenaran untuk memilih buruk baik itu telah lama diberikan-Nya sejak dari azali lagi. Wajarkah kita mengatakan bahawa:
Aku mencuri kerana telah ditakdirkan Allah bahawa aku akan mencuri.
Di zaman saidina Umar R.A, seorang pencuri yang berkata dengan perkataan di atas telah dipotong tangan akibat mencuri dan disebat 30 kali kerana mengeluarkan kenyataan seperti diatas.
Saidina Umar kemudian memberitahu bahawa pencuri itu dihukum sebat kerana berdusta atas nama Allah (maksudnya mendakwa perbuatan jahatnya itu tidak dirancang sebaliknya Allah yang mentakdirkan sedemikian pada dirinya).
Oleh itu, wajarkan kamu menuduh Allah yang mengizinkan perkara buruk berlaku atas kamu?

Allah hanya memberikan perkara yang TERBAIK sahaja untuk kamu. Perkara buruk hanya akan berlaku ke atas diri kamu hasil kesilapan kamu sendiri. Allah tidak pernah sesekali menzalimi diri kamu. Persangkaan yang mengatakan perkara buruk yang berlaku pada kamu adalah kerana Allah yang mentakdirkan kepada kamu itu hanyalah pandangan dangkal dan su'uldzon. Oh, jadi, nanti kalau berlaku apa-apa musibah, bolehlah salahkan Allah, tak perlulah nak salahkan diri sendiri, begitu kah?

Hadis Qudsi riwayat Imam Ahmad :
"Aku (Allah) akan mengikuti sangkaan-sangkaan hamba-Ku, maka hendaklah kamu bersangka dengan apa yang kamu inginkan."
(Bukan dengan apa yang kamu risaukan atau khuatirkan)
Ini adalah satu kelebihan dan kemudahan pada manusia sebenarnya, sekiranya anda menerapkan cara hidup berhusnuzzon (sangka baik) dan berfikiran positif maka dengan izin yang telah dikurniakan-Nya (kuasa eksekutif untuk memilih sempena kedudukan manusia sebagai khalifah) dari azali lagi ini, maka anda akan mendapati kehidupan anda dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat.

Positif Atau Negatif? Pilihan Masing-Masing
Maka kerana itulah kajian fizik quantum mendapati bahawa:
"Anda menarik ke dalam hidup anda apa yang anda berikan fokus, tumpuan, perhatian dan tenaga samada perkara negatif atau positif."
Sekiranya anda suka memberikan perhatian pada kisah-kisah buruk tentang perceraian dan keruntuhan rumah tangga orang lain, maka tenaga-tenaga berbentuk itulah yang anda juga sedang berusaha menariknya ke dalam hidup anda.

Itulah persangkaan-persangkaan anda, atau fokus anda, perkara-perkara yang anda suka dan seronok bila membicarakannya beramai-ramai, senang cerita, mengumpat hal orang lain. Tindakan menyebarkan berita hanyalah menarik lebih ramai orang berbincang dan memperkatakan tentang keaiban orang lain yang mana sebenarnya hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui hukum sebab musabab, dan juga Qada' dan Qadar seseorang itu.
Bersangka baiklah.
- Artikel iluvislam.com

Wanita : Jangan Gantikan Nikmat Allah Dengan Kekufuran

Wanita menurut pelbagai agama dan bangsa:

1. YUNANI
Kedudukan wanita pada masa ini hanyalah sebagai budak suruhan dan pelayan. Wanita bebas dalam arus syahwat dan nafsu hewani dengan menjadi pelacur. Akhirnya mereka mendapat tempat yang tinggi dan mulia di mana dibuat dongeng menjadi 'Dewa Cinta.' Mereka memandang rendah pada hubungan suami isteri hingga mereka bebas memilih lelaki yang ingin digaulinya secara terang-terangan tanpa perkahwinan.

2. ROMAWI
Lelaki mempunyai hak sepenuhnya terhadap isterinya hingga tahap berhak membunuh isterinya sendiri. Akhirnya para wanita pada zaman ini berani menyeret lelaki ke dalam arus perbuatan keji dan dosa. Mereka memandang baik tentang novel-novel porno. Urusan cerai menjadi sesuatu yang mudah hingga wanita zaman ini pernah menikah dengan lelaki sebanyak bilangan umurnya tanpa rasa beban dan malu.

3. PARSI
Undang-undang pada masa ini menzalimi hak wanita dan menimpakan hukuman yang berat walaupun kesalahannya ringan. Hukumannya berbentuk sembelihan yang sangat kejam. Perempuan yang haid akan diusir dari tempatnya jauh dari kota dan tidak dibenarkan berhubungan dengan mereka. Lelaki pula bebas dengan hawa nafsunya dan dianggap raja semata-mata kerana dia seorang lelaki.

4. CINA
Masayarakat Cina dahulunya hidup dalam kerosakan dan kebinatangan. Mereka berzina tanpa rasa malu, sehingga banyak anak-anak yang dilahirkan tanpa diketahui siapa bapanya. Kaum wanita hanya menunggu perintah tanpa menolak . Anak perempuan tidak dapat mewarisi harta bapanya walaupun sedikit. Wanita dianggap racun yang merosak kebahagian dan harta keluarga.

5. INDIA
Wanita dianggap sebagai budak suruhan bagi ayah,suami dan anak-anaknya. Wanita dianggap sumber kesalahan dan penyebab kemunduran akhlak dan mental. Wanita diharamkan dalam hak-hak pemerintahan dan warisan. Wanitanya tidak diberi hak hidup setelah suaminya mati sehingga dia harus mati dihari kematian suaminya dan dibakar hidup-hidup dalam satu tempat pembakaran.

6.YAHUDI
Wanita pada masa ini makhluk yang rendah dan hina ibarat barang tak berharga yang dapat dibeli di pasar-pasar. Mereka menuduh wanitalah salah satu pintu jahannam dan membawa kepada dosa. Mereka beranggapan wanita laknat kerana telah menggoda Adam. Wanita dalam haid dianggap najis dan dilarang memasuki rumah. Wanita disetubuhi sebagai satu upacara ibadah yang suci dan zina dianggap sebagai bentuk taqarrub diri kepada tuhan mereka.

7. NASRANI
Menganggap wanita sebagai biang kemaksiatan,akar kejahatan dan dosa, mala petaka bagi keluarga dan rumahtangga serta membawa musibah. Bersetubuh dengan wanita adalah najis walaupun telah bernikah sehingga memandang bahawa hidup sebagai biarawati ( tidak kahwin) adalah tanda luhirnya akhlak seseorang. Cerai tidak dibenarkan dalam agama mereka sekalipun sudah sampai tahap saling membenci dan berjauhan antara suami isteri. Maka terjadilah peluang saling mengkhianati antara suami isteri tersebut.

8. ARAB JAHILIYYAH
Lelaki boleh menyerahkan isterinya kepada orang lain. Sekumpulan lelaki boleh menggauli seorang perempuan.Semua ini bertujuan semata-mata untuk mendapatkan anak berketurunan bangsawan. Marah dan kecewa jika mendapat anak perempuan seakan-akan ditimpa musibah maka anak tersebut akan dikuburkan hidup-hidup. Ini bertujuan untuk menjaga kehormatan dan takut mendapat aib kerana mereka adalah ahli tempur dan perang. Mereka akan mendapai aib dan hina jika menyerahkan anak-anak perempuan mereka untuk menebus tawanan perang

9. ISLAM
Siapa tidak pernah mendengar kisah Saidatina Khadijah, sayyidah wanita sedunia pada zamannya. Saidatina Aisyah isteri dan penghulu anak-anak Adam, guru bagi kaum lelaki. Hafshah, wanita penjaga Al-Quran.Ummu Salamah, mujahidah pertama memasuki Madinah. Zainab Binti Jahsy, Ummahatul Mukminin termulia dalam hal wali. Zainab Al-Kubra penebus suaminya. Fatimah Az-Zahra, Ummul Mukminin dan sayyidah wanita seluruh alam pada zamannya.

KESIMPULAN
Istimewanya kau wanita dalam agamamu. Kita tidak akan kenal nama-nama wanita terkenal di atas dalam mana-mana lipatan sejarah sekalipun kecuali dalam sirah Islam. Wanita yang mendapat gelaran dan darjat di sisi agama dan umat Islam. Berikan agama manapun, takkan kita ketemu wanita mulia kecuali dalam Islam.
- Artikel iluvislam.com

Nikmat syurga, hakikat neraka

DALAM surah al-Mukminun ayat 1 hingga 11 Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kehormatannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari di sebalik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanahnya (yang dipikulnya) dan janjinya. dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

Motivasi yang tidak ada tolok bandingannya dalam kita berusaha memperoleh tiket meraih syurga Firdaus, iaitu manusia perlulah beriman dan memenuhi tujuh perkara berikut:

lKhusyuk dalam solat
lMenjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia
lMenunaikan zakat
lMenjaga kemaluan

lMemelihara amanah-amanah yang dipikul
lMemegang janji dan
lMemelihara solat.
Mungkin tujuh perkara di atas nampak mudah namun untuk mempraktikkannya perlu kepada kesungguhan dan disiplin. Pun begitu, setiap sesuatu itu ada jalan penyelesaian dan jawapannya. Malah sesuatu kejayaan itu datang dalam diri individu itu sendiri.
Namun pernahkah kita bayangkan jika sekiranya syurga dan neraka itu tidak ada? Adakah manusia mahu sujud kepada Allah? Barangkali wajar kita kemukakan pertanyaan ini.

Ini kerana ramai manusia di atas muka bumi ini yang beribadat kepada Allah kerana menginginkan syurga dan takutkan neraka.
Syurga dan neraka ibarat hitam putih kehidupan yang menunjukkan kebaikan dan keburukan. Kehidupan setiap manusia berakhir sama ada di syurga ataupun di neraka.
Ibnu Umar melaporkan, Nabi Muhammad SAW bersabda: Apabila seseorang daripada kamu meninggal dunia, diperlihatkan kepadanya di waktu pagi dan petang tempat tinggalnya nanti iaitu neraka ataupun syurga dan dikatakan kepadanya, "Inilah tempat tinggal engkau, kelak engkau dihantar ke sana." (riwayat Imam Bukhari)

Namun sejauh manakah kita memanfaatkan dan menghayati erti syurga dan neraka yang sebenar. Adakah semata-mata kerana ganjaran syurga dan takut pada seksaan api neraka, kita tunduk patuh kepada perintah Allah atau disebabkan keikhlasan kita sebagai hamba-Nya yang beriman.
Buku Andai Syurga & Neraka Tidak Ada cuba membicarakan tentang hakikat ibadah dalam kehidupan seorang Muslim.

Buku terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd. pastinya menguji sejauh mana kita menginginkan ganjaran syurga dan neraka. Ia juga menyingkap hikmah di sebalik semua peristiwa yang berlaku di sekeliling kita melalui amalan-amalan yang kita lakukan.
Lantaran itu, keinginan dan kesungguhan dalam melakukan ibadah perlu berlandaskan keikhlasan tanpa mengharapkan balasan.

Dalam buku ini juga, ada merangkumi kisah ahli syurga, nikmat-nikmat syurga, azab neraka serta panduan mempersiapkan diri menjadi orang berakhlak mulia. Malah ia turut menjawab persoalan-persoalan mengenai ahli syurga dan siapakah yang mendapat ganjaran syurga.

Bersamalah kita singkap hikmah dan tauladan di sebalik andaian sekiranya syurga dan neraka tidak ada sebagai landasan bagi sebuah kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan di akhirat.

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Insan tak putus asa berdoa penuh keyakinan dimakbulkan hajat

IMAM Ghazali berkata, jika kita menyatakan beriman iaitu yakin adanya Allah SWT dan yakin pula terhadap sifat-Nya antaranya pemberi rahmat, hendaknya kita sandarkan harapan baik kepada Allah dengan sepenuh hati.

Selanjutnya, Imam Ghazali menyatakan bahawa agama Islam mengajar di samping seseorang berikhtiar, hendaklah dilengkapi dengan doa. Doa sebagai tanda seseorang mempunyai harapan baik kepada Allah SWT.

Katanya lagi, orang yang berputus asa daripada rahmat Allah bererti tidak percaya kepada kemurahan-Nya. Dalam al-Quran, orang demikian dianggap kafir (tertutup hatinya dan tidak percaya adanya pertolongan Allah).
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak ada yang putus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang yang sesat.” (Surah Al-Hijr, ayat 56)

Allah SWT tidak pernah memberhentikan rahmat untuk dikurniakan kepada hamba-Nya. Allah SWT mengurniakan kepada sesiapa saja yang mengharapkan rahmat-Nya yang luas dan tidak terhitung banyaknya.

Banyaknya rahmat Allah dapat dilihat melalui hadis diriwayatkan Abul-Latis dengan sanadnya daripada Al-Hasan berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mempunyai seratus rahmat, diturunkan ke bumi hanya satu rahmat untuk penduduk dunia, maka mencukupi hingga habis ajal mereka dan Allah akan mencabut rahmat yang satu pada hari kiamat untuk digenapkan pada yang sembilan puluh sembilan dan diberikan-Nya kepada para wali dan ahli yang taat kepada-Nya.”

Kita diingatkan bahawa amal yang dikerjakan selama hidup atas dunia ini belum tentu dapat membantu untuk masuk ke syurga. Kita akan masuk syurga kerana rahmat Allah SWT.
Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak seorang pun di antara kalian yang akan dibebaskan oleh amalnya.” Sahabat bertanya: “Tidak juga anda, ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah: “Tidak juga aku, kecuali bila Allah melimpahkan keampunan dan rahmat-Nya kepadaku.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah SWT tidak membezakan hamba untuk mendapatkan rahmat-Nya. Baik orang yang beriman atau berdosa, Allah SWT tetap akan memberi rahmat-Nya, kecuali syaitan dan orang kafir. Syaitan dan orang kafir tidak akan mendapat rahmat Allah sampai bila-bila.

Orang yang tidak membuat amal soleh tidak akan mendapat rahmat Allah seperti firman-Nya yang bermaksud: “Maka siapa yang mengharap mendapat rahmat dan bertemu dengan Tuhan-Nya, maka hendaklah beramal soleh.” (Surah Al-Kahfi, ayat 110)

Orang beriman seharusnya tidak berputus asa terhadap rahmat Allah kerana hajat kita akan dimakbulkan dengan syarat tidak berputus asa memohon kepada-Nya. Selama kita mahu memohon kepada-Nya dengan keyakinan dan harapan kuat, Dia akan memakbulkannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang yang beriman.” (Surah al-Anbiya ayat 88)


Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

NILAI ITU BUKAN PADA BARANG-BARANG BERNILAI…

Manusia bertindak melakukan atau tidak melakukan sesuatu berdasarkan emosi bukan logik. Begitulah mengikut hasil kajian pakar-pakar psikologi.

Maknanya, apa yang kita rasa itulah yang mendorong kita membuat keputusan dan bertindak, bukan apa yang kita fikirkan. Ini menjelaskan mengapa sesuatu perkara yang telah kita ketahui kebaikannya, tetapi kita gagal melakukannya.
Dan melakukan sesuatu perbuatan walaupun telah kita akui keburukannya. Solat Subuh misalnya, memang telah sedia kita ketahui adalah lebih baik daripada tidur. Muazzin telah menyeru, “sembahyang itu lebih baik daripada tidur.”

Namun mengapa begitu sukar untuk kita bangun melaksanakannya? Mengapa tindakan kita tidak selaras dengan apa yang kita telah ketahui dan fikirkan? Menghisap rokok pula walaupun memang diakui memudaratkan kesihatan tetapi masih ramai yang terus menghisap rokok termasuk sesetengah doktor.

Semua itu menunjukkan dominasi emosi mengatasi logik. Sering kali apa yang kita fikir dan rasa bertentangan. Dan dalam pertentangan ini emosi akan mengatasi logik. Apakah yang mempengaruhi emosi kita? Jawabnya, nilai! Oleh itu nilai adalah unsur yang sangat penting dalam kehidupan kita. Jika nilai yang kita pegang itu betul, benar dan baik, maka tindakan kita pun akan betul, benar dan baik. Dan sekiranya, tersasar hidup kita seluruhnya akan tersasar jua.

APA ITU NILAI
Apa itu nilai? Secara ringkas nilai adalah satu keyakinan yang kukuh dan mampu bertahan lama dalam diri seseorang. Ia menentukan apa yang kita rasa dan yakini benar, baik dan betul dalam kehidupan ini. Nilai menimbulkan rasa dalaman yang menyebabkan kita sanggup berkorban dan mempertahankan yang kita yakini berharga dalam hidup.

Justeru, nilai adalah pemandu, pendorong dan sumber kekuatan untuk kita membuat keputusan dan bertindak dalam kehidupan seharian. Oleh sebab itu untung atau celakanya kehidupan kita di dunia dan di akhirat dipengaruhi oleh nilai yang menjadi pegangan kita. Sangat penting berpegang kepada nilai yang baik, betul dan benar. Jika tidak hidup kita akan digerakkan ke arah kemusnahan.

Seseorang individu boleh melaksanakan solat Subuh hanya apabila dia meyakini dan merasai bahawa solat Subuh itu sesuatu yang bernilai dalam hidupnya berbanding tidur. Manakala perokok tegar akan terus merokok kerana merasakan perbuatannya itu akan memberi ketenangan dan keseronokan. Keputusan yang dibuat untuk bangun solat Subuh atau terus merokok adalah ditentukan oleh nilai mereka masing-masing.
Nilai pegangan seseorang menentukan apa yang dirasakannya penting dan sangat berharga dalam hidup. Setipa orang mesti jelas tentang apakah nilai yang dipegangnya. Ia menjawab persoalan, apa yang kita mahu dalam hidup ini dengan sejelas-jelasnya. Malangnya, ramai orang yang tidak tahu secara spesifik apa yang mereka mahu dalam hidup. Sekali gus mereka akan kabur tentang erti kejayaan dan kebahagiaan.

Bolehkah kita mencapai sesuatu yang tidak kita ketahui? Tidak hairan kalau dikatakan, masalah manusia bukan tidak boleh berjaya tetapi masalah sebenar ialah manusia tidak tahu apa itu kejayaan yang sebenarnya.
Dan ramai juga orang yang telah tahu tentang apa yang mereka inginkan dalam hidup tetapi tidak mempunyai semangat untuk mencapainya. Ingatlah, sekiranya kita tidak dapat mencapai apa yang kita inginkan dalam hidup, hanya ada dua puncanya. Pertama, kita tidak benar-benar inginkan (keinginan kita tidak menyala-menyala). Kedua, kerana kita tidak membayar ‘harga’ (usaha, kesusahan dan kesabaran) untuk mencapai keinginan itu.

KONFLIK NILAI
Jika kedua-dua faktor di atas ujud dalam diri seseorang, itu menunjukkan dia menghadapi masalah nilai – sama ada dia tidak mempunyai nilai langsung atau nilainya dalam keadaan bercelaru dan bertentangan antara satu sama lain. Misalnya, dia ingin kejayaan tetapi pada masa yang sama dia ingin terus seronok di zon selesanya. Mana mungkin kejayaan dicapai selagi kita berada di zon selesa? Kejayaan hanya berada di zon mencabar. Inginkan kejayaan tetapi ingin terus berseronok samalah seperti mengharapkan terang dan gelap pada masa yang sama.

Kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung manakan boleh mendapat sagunya? Inilah konflik nilai yang sering berlaku dalam diri orang yang gagal. Ironinya, ada orang inginkan kasih sayang, persahabatan dan ketenangan dalam perkahwinan tetapi pada masa yang sama dia ingin terus menikmati kebebasan tanpa perlu dibebankan oleh tanggung jawab dan amanah bagi melindungi isteri dan anak-anaknya. Oleh sebab itu dia jadi akan jadi serba salah, antara keinginan untuk berkahwin atau terus membujang.

Orang yang mengalami konflik nilai tidak akan bahagia. Dia akan selalu berada dalam situasi dan kondisi yang serba salah dan serba tidak kena. Satu-satunya cara untuk merasai kebahagiaan dan kepuasan dalam kehidupan ialah kita mesti hidup dengan nilai-nilai yang benar. Jika tidak, kita akan terus dihantui oleh rasa marah, kecewa, kekosongan, kesunyian dan kebosanan.
Bila itu berlaku, ada manusia beralih kepada arak, dadah, zina dan lain-lain bentuk kemungkaran. Dan ramai pula yang menghabiskan banyak masa dengan menonton televisyen secara maraton, membuang masa dengan permainan video, mendengar lagu demi lagu dan lain-lain unsur budaya hedonisme. Semua ini adalah hasil kekosongan dan kesunyian jiwa.

Arak, dadah, seks bebas dan juga budaya hedonisme adalah umpama ‘pain killer’ untuk mengubati masalah jiwa manusia yang gersang dengan nilai-nilai murni. Ia hanya memberi kelegaan sementara. Ia tidak akan memberi penyelesaian tuntas. Pada hakikatnya kita sedang berdepan dengan masalah nilai, bukan masalah dadah, seks bebas atau lain-lain.

Orang yang solat Subuh, merasakan keredaan Allah itu lebih berharga daripada keenakan tidur seperti mana perokok yang merasakan keseronokan itu lebih penting daripada kesihatan. Oleh sebab itu, amat penting kita berpegang dengan nilai yang tepat dalam hidup ini. ia adalah faktor yang menentukan sama ada kita hidup dalam kebahagiaan, kejayaan dan ketenangan atau sebaliknya. Malah nilai juga umpama kompas moral yang menentukan tindakan kita dalam situasi yang mencabar dan kritikal. Semakin jelas nilai yang kita pegang, maka semakin mudah dan tidak teragak-agak kita menghadapi kehidupan.

Justeru, setiap kali kita mengalami kesukaran dalam membuat keputusan ini adalah disebabkan diri kita tidak jelas tentang nilai pegangan kita. Contohnya, kita sedang menghadapi masalah kewangan, tiba-tiba ada orang cuba memberi rasuah. Maka ketika itu, terjadilah konflik dalam diri kita, apakah kita ingin memilih kesenangan atau kejujuran? Sekiranya kita berasa sangat sukar untuk membuat pilihan, itu menunjukkan bahawa kita masih tidak jelas tentang apa yang paling berharga dalam hidup ini – kejujuran atau kesenangan.

Sebaliknya, bagi orang yang jelas pegangan nilainya seperti Sayidina Abu Bakar r.a. konflik yang sedemikian tidak ujud sama sekali. Sebaik dia mengetahui bahawa susu yang diminumnya adalah dari sumber yang haram, maka dia segera memuntahkan kembali susu itu tanpa berfikir panjang lagi. Begitu juga apabila Sayidina Khalid Al Walid apabila dilucutkan jawatannya, dia berkata, “aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Umar.”

NILAI MENTUKAN CARA HIDUP
Dua orang yang mempunyai nilai yang berbeza akan hidup dengan cara yang berbeza. Mereka akan memilih kerjaya, membeli rumah, memandu kereta dan memilih jodoh yang saling berbeza. Si A yang berpegang kepada nilai agama, akan memilih seorang gadis yang menutup aurat, bekerja di firma yang halal perkhidmatan, produk dan operasinya, membeli rumah dengan pinjaman di bank yang berlandaskan syariat.

Manakala si B yang berpegang kepada nilai keselesaan dan kemewahan akan memilih gadis yang mendedahkan aurat (asalkan cantik), bekerja dengan gaji yang besar (walaupun dalam firma yang haram) dan membuat urusan kewangannya di bank-bank yang mengamalkan riba. Si A merasakan dirinya beruntung, begitu juga si B. Apakah ini benar? Jawabnya, tidak. Dalam Islam, keuntungan dan kerugian ditimbang atas neraca hala dan haram, pahala dan dosa, keredaan Allah atau kemurkaan-Nya.

Untuk bahagia, berjaya dan tenang dalam hidup ini kita mesti jelas tentang apa yang paling penting dalam hidup ini dan membuat keputusan untuk hidup dengannya tidak kira apa pun yang terjadi. Lihatlah impaknya apabila Sayidina Bilal bin Rabah membuat keputusan untuk memeluk Islam. Pada waktu itu ia berpegang dengan nilai iman yang dirasakannya lebih berharga daripada nyawanya. Walaupun diseksa setengah mati, dia tetap berpegang dengan nilai iman.

Begitulah yang terjadi kepada Yasir dan Sumayyah yang sanggup mati di hujung tombak kerana memilih iman berbanding kenikmatan dunia dan segala isinya. Kecintaan Khubaib terhadap Rasulullah saw yang mengatasi kesenangan dirinya bersama keluarga sehingga dia berkata, “aku lebih rela mati daripada melihat Rasulullah tercucuk duri.” Dari kaca mata dunia, Bilal, Yasir, Sumyyah dan Khabbab adalah manusia yang bodoh dan rugi… tetapi dari kaca mata Islam merekalah yang paling beruntung dan berjaya!

Hendak Bercakap Atau Tidak?

"Daripada Abu Hurayrah radiyallahu 'anhu, bahawa Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik-baik atau diam. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya." [Riwayat al-Bukhariy dan Muslim]
Rata-rata umat Islam, apabila ditanya, "Adakah awak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat?" Pastinya mereka akan menjawab, "Ya." Tetapi, adakah benar kita beriman kepada Allah dan Hari Akhirat? Dalam hadith di atas, Rasulullah telah memberitahu beberapa syarat yang menjadi bukti bahawa seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Rasanya mendiamkan diri bukanlah sesuatu yang susah, kerana mendiamkan diri itu tidak memerlukan apa-apa usaha dari anggota badan. Ibarat manusia yang pemalas, pastinya menyuruh dia diam itu lebih dia sukai dari disuruh bangun solat tahajjud pada waktu malam atau disuruh berbuat apa-apa saja pekerjaan lain!

Pun begitu, arahan sebegini ringkas payah pula diikuti. Maka sebelum apa-apa perkataan keluar dari mulut kita, periksa dahulu adakah perkataan itu baik atau tidak. Sekiranya baik, maka luahkan. Sekiranya tidak, lebih baik kita diam. Pepatah Arab ada yang bermaksud, manusia itu berkuasa ke atas perkataan selagi perkataan itu berada di antara dua bibirnya, tetapi setelah perkataan itu keluar maka perkataan itu pula yang berkuasa ke atas dirinya.
Perkataan baik itu pastilah perkataan yang akan memberi manfaat kepada kita di Akhirat kelak. Sayang sekali mulut kita lebih banyak berbicara tentang perkara yang tidak mendapat pahala dan tidak pula mendapat dosa, dan itu lebih baik dari mereka yang acapkali hanya perkataan yang jahat keluar dari mulut mereka. Perkataan yang sebenarnya menjauhkan mereka dari syurga dan mendekatkan mereka dengan neraka. Walhal bukanlah susah untuk mengawal mulut ini agar hanya megeluarkan perkataan baik-baik.

Fitrah manusia, hatta yang kafir sekalipun, menyukai manusia yang selalu berkata perkataan yang baik. Tidak ada sesiapa yang suka manusia yang suka berkata perkataan yang jahat. Bahkan ramai yang tidak suka kepada manusia yang suka bercakap banyak! Para Sahabat radiyallahu 'anhum sangat berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kata. Mereka mengelakkan diri dari bercakap banyak walaupun dalam perkara harus, sebaliknya mereka pastikan apa sahaja yang keluar dari mulut mereka akan memberi manfaat kepada mereka di Akhirat kelak. Ibarat pekerja yang bekerja di pejabat, jika dia berpenat-lelah berbuat perkara yang disukai bos, pasti gaji cepat naik. Tetapi apa guna berpenat-lelah berbuat perkara yang tidak memberi pulangan?

Para 'ulama menggariskan panduan apa itu perkataan baik, dan perkataan baik itu berkisar kepada tiga perkara utama. Pertama, perkataan yang menggalakkan orang membelanjakan harta ke jalan kebajikan. Kedua, perkataan yang menegakkan amar makruf dan nahi munkar. Ketiga, perkataan yang dapat mendamaikan dua puak yang berkelahi.
Selain dari tiga perkara ini, maka tiada kebaikan pada perkataan tersebut. Boleh jadi ia harus, atau makruh, atau haram. Pasti ramai yang menganggap perkara ini remeh, maka ingatlah kepada dialog antara Muadz ibn Jabal radiyallahu 'anhu dengan Rasulullah yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmidhi, tatkala Muadz bertanyakan baginda amalan-amalan yang memasukkan kita ke dalam syurga dan menjauhkan kita dari neraka, tatkala Rasulullah memberitahu bahawa untuk menjauhkan diri dari neraka, baginda mengisyaratkan kepada lidah sambil menyuruh Muadz menjaga lidah. Muadz sendiri bertanya kembali adakah setiap kita dipertanggungjawabkan atas segala sesuatu yang keluar dari lidah, seolah-olah takkanlah sebab lidah manusia masuk neraka? Lantas Rasulullah menjawab dengan tegas dan keras bahawa ramai manusia yang wajah mereka dihumban ke dalam neraka hanyalah disebabkan lidah mereka.

Berbalik kepada persoalan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, marilah kita renungi bersama. Ramai yang apabila ditanya, pasti akan berkata memang kita beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Tetapi adakah iman itu sempurna sehingga memberi kesan kepada semua tingkah laku kita: kepada mulut kita, kelakuan dengan jiran dan tetamu?

Bayangkan jika tiba-tiba kita mendapat panggilan penting daripada pejabat Perdana Menteri, bahawa esok Perdana Menteri ingin berjumpa dengan kita. Oh, esok ada appointment dengan Perdana Menteri. Pastinya hari ini segala jadual hidup dirombak. Nak pakai apa? Bahkan butang apa, kasut apa, rambut dah ok ke? Kalau belum perlu pergi salon. Kalau belum ada sut perlu pergi ke butik sekarang juga untuk mencari sut paling cantik, mahal pun tak mengapa kerana Perdana Menteri nak jumpa esok ni.
Kalau ibu bapa atau isteri atau anak-anak telefon minta tolong pun semua akan diminta tangguh, lusa saja kerana esok ada urusan maha penting kerana Perdana Menteri nak jumpa. Malamnya pula pasti tidur tak lena kerana resah mengatur bicara, apa yang hendak dicakapkan bila berjumpa nanti? Puas disusun segala ayat yang cantik seindah bahasa. Pagi-pagi lagi sudah siap, tiga jam sebelum waktu appointment sudah ada di pejabat Perdana Menteri.

Lihat bagaimana apabila kita percaya esok ada appointment dengan Perdana Menteri, habis segala urusan kehidupan kita, kita pusatkan kepada perjumpaan tersebut. Looking forward dengan bersungguh-sungguh. Penampilan, bicara semuanya dipastikan terbaik. Nah, sekarang janji appointment kita dengan Allah pada Hari Akhirat adalah sesuatu yang pasti! Semua kita akan berdiri seorang demi seorang di hadapan Allah pada hari tersebut, maka sudahkah kita membuat persiapan untuk hari tersebut? Apakah bekalan kita nanti? Apakah pula bicara kita nanti?

- Artikel iluvislam.com

Biodata Penulis
Muhammad Irfan Ariffin adalah seorang pensyarah ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kini beliau sedang melanjutkan pelajaran (peringkat PhD) di Carleton University, Kanada.

Ehem, Gambar Muslimahkah Itu?

Terkadang bila melayari facebook dan weblog rakan-rakan, saya merasa hairan melihat sesetengah facebook dan weblog muslimah yang bertudung dan yang menutup aurat; mereka tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing.

Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda wahai muslimah sekalian, namun sayangnya anda terlupa bahawa gambar yang anda letak itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!
Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu yang enggan melihat wajah-wajah itu dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ia ditutup dari pandangan umum?
Muslimahku, dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya.

Dikalangan mereka, ada yang bagus; yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur yang bermaksud:
"Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa Yang mereka kerjakan."

Hati Yang Sakit Bertambah Sakit.. Kasihanilah Masyarakat..
Namun, kita harus akui bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.
Muslimahku, kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih pantas; sesegera mee segera.

Alangkah malangnya andai wajah-wajah yang terpamer itu mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki. Lelaki yang mantap imannya akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda... untuk menikahi anda tidak mengapa, tetapi jika sekadar mahu memuaskan nafsu?
Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet! Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin ia juga fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi dan dengan perkongsian itu, secara tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, berhati-hatilah!

Jalan Penyelesaian?
Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya.
Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Adakah memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?

Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan perkongsian atau posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar kepada rakan muslimah anda itu.
Ingat, wajah anda adalah anugerah Allah SWT.

Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.
Selamat bermujahadah sahabat muslimahku!
- Artikel iluvislam.com

Sunday 10 April 2011

Detik detik Rasulullah SAW Menghadapi Sakaratul Maut

Utk Renungan Bersama..

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah, “Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Ku wariskan dua perkara pada kalian, Al-Qur’an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku.” Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.

Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar adanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. “Rasulullah akan meninggalkan kita semua,” keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya. Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. “Bolehkah saya masuk?” tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, “Maafkanlah, ayahku sedang demam,” kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, “Siapakah itu wahai anakku?”

“Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,” tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. “Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut,” kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

“Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?” Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. “Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,” kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan

Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. “Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya Jibril lagi. “Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?” “Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: ‘Ku haramkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,” kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. “Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.”
Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. “Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?” Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. “Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,” kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah

memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. “Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku. “Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya “Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku”, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.”

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah
menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.”Ummatii, ummatii, ummatiii?” – “Umatku, umatku, umatku” Dan berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli ‘ala Muhammad wa baarik wa salim ‘alaihi. Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk
mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita.
Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka. Amin….

RAHSIA YANG MANUSIA TIDAK TAHU

Apabila seseorang itu jiwanya tidak tergugat oleh harta, tidak tergugat oleh derita, tidak tergugat oleh orang kata, dia termasuk manusia luar biasa, kerana jiwanya dengan Tuhan saja
Banyak perkara yang manusia ketahui tapi tidak tahu rahsianya di sebaliknya. Antara perkara-perkara yang manusia tahu tetapi mereka tidak tahu rahsianya ialah…

1. Di antara cara mendidik manusia menjadi baik ialah dengan usaha menyakitkan nafsunya.

2. Jika seorang muslim mati bersama sakit zahirnya, maka itu adalah penghapusan dosanya atau dia mendapat darjat di dalam Syurga. Sebaliknya kalau dia mati bersama penyakit batinnya, dia akan ke Neraka.

3. Manusia yang berpenyakit lahir (fizikalnya), sakitnya boleh merosakkan anggotanya sahaja tetapi manusia yang berpenyakit batin boleh merosakkan semua yang ada di dunia. Banyak perkara yang akan dirosakkannya.

4. Sesuatu perkara atau benda yang kita suka, sangat sukar untuk kita tadbir dan mengurusnya. Biasanya selalu sahaja kita melakukan kesalahan di dalam mengurusnya.

5. Banyak orang boleh memperkatakan penyakit batin tetapi gagal mengesannya. Lantaran itulah ada orang waktu menceritakan penyakit sombong, pada masa yang sama dia sedang memakai sifat itu.

6. Mendidik manusia secara tidak formal dan dari sikap diri kita lebih berkesan daripada sekadar memberi ilmu dan teorinya.

7. Ramai manusia dirosakkan oleh makhluk yang paling bodoh, yang tiada akal dan tidak bersekolah iaitu duit dan harta. Bahkan orang yang paling pandai seperti profesor pun dirosakkannya.

8. Bangsa yang mempunyai sifat taqwa dan ilmu akan menguasai manusia lain. Begitu pun banyak bangsa tidak boleh menempuh jalan ini. Maka mereka menguasai bangsa lain dengan kekuatan lahirnya tetapi kerosakannya terlalu banyak.

9. Orang yang memiliki dunia selalunya jiwanya tidak tenang. Orang yang memiliki Allah, jiwanya tenang. Justeru itu orang yang memiliki dunia ada yang membunuh diri sendiri. Ini tidak berlaku kepada orang yang memiliki Tuhan.

10. Orang yang membunuh dirinya sendiri lebih besar dosanya daripada orang yang membunuh orang lain.

11. Kehidupan manusia di dunia ini sebenarnya mudah diselesaikan jika tahu rahsianya. Iaitu dengan iman dan taqwa. Nanti akan berlakulah, pemimpin menaungi dan menegakkan keadilan, orang kaya akan pemurah, orang miskin sabar, orang berilmu memberi ilmu, ulama-ulama memberi nasihat dan mendidik dan pemuda-pemudi memberi tenaga. Semua manusia bermaruah dan bersifat malu. Setiap orang akan mengutamakan orang lain. Anak yang kecil ditunjukkan kasih sayang, anak yang masih bersekolah jangan tunjuk sayang atau benci manakala terhadap anak yang sudah dewasa, tunjukkan kemesraan dan selalu dijadikan kawan berbincang.

12. Seseorang manusia itu akan dikasihi atau diberi simpati kalau dia kenal dirinya dan pandai meletakkan diri pada tempatnya.

13. Telah menjadi tabiat semula jadi manusia setiap orang sukakan keamanan, kasih sayang, simpati, dibantu, dihormati,dan tidak diganggu. Namun adakalanya manusia itu lupa, bahkan lumrah berlaku perkara yang dia tidak suka itu disebabkan oleh dirinya sama ada secara langsung mahupun tidak. Sebagai contoh, apabila seseorang itu zalim, orang lain akan berdendam dan membuat kacau hingga hilang keamanan. Bila tiada keamanan, penzalim juga turut susah dan terancam. Bila orang kaya bakhil, banyak orang dengki dan sakit hati. Risikonya dia juga ikut sama menanggung. Bila seseorang itu sombong, orang benci. Jika berlaku sesuatu keadaan yang menyusahkannya, orang tidak akan ambil peduli dan orang tidak bersimpati. Jadi, sikap kita itulah adakalanya mengundang bala atau kesusahan. Bolehlah kiaskan dengan sikap-sikap yang lain.

KEMURKAAN ALLAH: APAKAH TANDA-TANDANYA?

Imam Al Ghazali berkata," Tidaklah orang yang takut itu orang yang menangis dan menyapu dua matanya, tetapi adalah orang yang meninggalkan apa yang ia takuti kerana akan mendapat kemurkaan dan siksaan Allah akibat perbuatan itu."
Setelah Allah ciptakan manusia, diberi akal dan fikiran agar dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Kemudian Allah kirim pula petunjuk-Nya melalui perantaraan para nabi dan rasul, berserta diturunkan kitab-kitab panduan. Lantas, memang wajarlah Allah murka dan marah kepada manusia yang diberi nikmat tersebut ( akal dan petunjuk), masih juga engkar, berbuat kejahatan, kerosakan, lebih dahsyat lagi mahu mencabar Allah dengan ‘kuasa’ yang sedikit yang Allah pinjamkan padanya.
Bukankah Allah itu sangat berhak ke atas kita? Seorang saintis yang mencipta sebuah robot misalnya, tentu akan merasa marah dan kesal sekiranya robot yang diciptakannya itu mahu mengambil peluang merosakkan tuannya sendiri.

Antara murka Allah dan murka manusia tidak sama. Malah terlalu jauh bezanya. Murka manusia hanya berlaku setakat di dunia ini. Manakala murka Allah berlaku di dunia dan seterusnya di Akhirat, sekiranya yang berbuat kejahatan itu tidak bertaubat, hukuman Allah menantinya di Neraka.

Hukuman yang dijatuhkan oleh manusia hasil kemarahannya tentulah terlalu kecil berbanding dengan hukuman akibat kemurkaan Allah. Sehebat mana marah dan murka raja atau ketua negara di atas muka bumi ini, walaupun dia mampu mencetuskan peperangan dunia hasil kemarahannya, tidak akan sama dengan murka Allah. Allah itu Raja segala raja. Jauh lebih gagah dan hebat daripada segala raja atau ketua negara manapun di atas muka bumi ini.

Allah boleh hancurkan dunia ini bila-bila masa kalau dikehendaki-Nya dengan hanya “Kun” (Jadilah!). Allah mampu menghapuskan raja-raja yang sangat gila kuasa di atas muka bumi ini dengan sekelip mata. Azab-Nya di Neraka, tidak akan dapat digambarkan oleh fikiran kita. Api Neraka telah dinyalakan beribu tahun dahulu sementara menunggu manusia derhaka untuk menjadi bahan ‘makanannya’.

Manusia biasanya akan marah bila kepentingan dirinya tergugat, atau marah bila berlakunya sesuatu yang tidak sesuai dengan kehendaknya. Namun amat kurang manusia yang marah kerana mahu berlaku adil, atau pun yang boleh berlaku adil dalam memberi hukuman hasil daripada kemarahannya. Kalaupun ada, terlalu sedikit.

Tetapi Allah, Tuhan kita tidak begitu. Allah tidak pernah mengambil faedah daripada ketaatan ataupun kederhakaan kita terhadap suruhan-Nya. Sekiranya kita taatkan Allah pun tiada keuntungan di sisi Allah, dan sekiranya kita menderhakai-Nya pun tidak akan memudharatkan-Nya. Apabila Allah marah, pada hakikatnya faedah dan kebaikannya adalah untuk diri kita. Kerana Allah mahu hidup kita sentiasa selamat dan sejahtera di muka bumi-Nya.

Hukuman Allah juga setimpal dengan kejahatan yang dilakukan oleh hamba-Nya yang berdosa. Beratnya hukuman yang menimpa manusia pada timbangan Allah memang sesuai dengan apa yang mampu ditanggung oleh manusia itu untuk dia sedar kembali akan kesalahan dan dosanya. Cuma bagi manusia yang hatinya sudah tertutup, seksaan yang amat berat telah dijanjikan untuk mereka.
Tanda-tanda kemurkaan Allah yang ditunjukkan dalam berbagai bentuk. Antaranya:

TANDA-TANDA YANG TERCATIT DALAM AL QURAN
Di antara bencana-bencana yang dicatatkan di dalam Al Quran adalah sebagai peringatan untuk manusia atas kemurkaan Allah kepada mereka yang melampaui batas kederhakaan dan kekafirannya:

* Banjir besar di zaman Nabi Nuh a.s. yang tingginya melampaui puncak-puncak bukit dan gunung. Tiada seorang pun manusia yang selamat, melainkan mereka yang berserta Nabi Nuh yakni hanya seramai 80 orang di dalam sebuah bahtera. ( Surah Nuh: 1-28 & Surah Al Mukminun:23-30 )

* Bencana besar Allah timpakan ke atas bangsa Tsamud, suatu bangsa yang makmur kehidupan-nya tetapi menyanggah ajaran Allah dan berpakat membunuh Nabi Salleh a.s. Letusan gunung berapi yang hebat menjadikan mereka hancur-lebur, lenyap menjadi abu dalam waktu sedetik. ( Surah Al Haqqah: 4-5, An Naml: 45-54)

* Gempa bumi yang dahsyat sehingga bumi pecah, retak dan terbalik diiringi dengan hujan batu dan lumpur yang panas ke atas kaum Nabi Luth a.s. yang melakukan kekafiran dan perbuatan homoseksual. ( Surah Al A’raf:80-84, An Naml:54-59)

* Bom batu berapi yang digugurkan oleh burung-burung, ditimpakan ke atas tentera Abrahah yang cuba menyerang dan menghancurkan Kaabah. Kesannya lebih mengerikan daripada bom atom dan nuklear, diibaratkan hancurnya sebagai daun-daun yang dimakan ulat. ( Surah Al Fiil:1-4)

Begitulah hebatnya gambaran murka Allah terhadap kaum-kaum yang terlalu menderhakai-Nya. Adakah sesuatu kekuatan saintifik ataupun teknik canggih yang dapat menghalang bencana Allah?
Jawapannya tiada. Cara menghalang dan menghindarkan berlakunya bencana tersebut hanyalah dengan menghentikan segala kejahatan dan kekufuran serta bertaubat kepada Allah SWT.

KEMURKAAN TERHADAP INDIVIDU
Tanda kemurkaan Allah terhadap individu-individu yang derhaka adalah melalui ujian dan bala. Kemalangan, kebakaran, kehilangan harta, rumahtangga porak peranda dan bercerai berai, hidup gelisah, jiwa tiada ketenangan. Semuanya Allah timpakan setimpal dengan dosa yang dilakukan cukup untuk membuat manusia itu sedar akan kesalahan-kesalahan dan dosa-dosanya.

ISTIDRAJ
Allah juga boleh menunjukkan tanda kemurkaan-Nya kepada hamba-Nya yang berdosa secara memberi nikmat-nikmat yang berlebihan, dipanggil istidraj. Mereka ini adalah orang-orang yang kufur dan sangat degil hati-hati mereka. Lantas Allah tambahkan nikmat ke atas mereka secara murka dan benci, agar mereka bertambah lalai. Semakin bertambah kekufuran dan kejahatannya, nikmat yang Allah curahkan padanya semakin banyak. Mereka semakin jauh dari Allah, hingga akhirnya mati dalam kekufuran, ganjarannya dihumbankan ke Neraka Jahanam.

Fitrah semuala jadi manusia apabila dimarahi serta diancam, akan timbullah di dalam hatinya perasaan takut dan gerun terhadap kuasa yang memarahinya. Para anbiya, auliya, Sahabat dan salafussoleh dahulu adalah orang-orang yang amat takut akan kemurkaan Allah.

Sayidina Abu Bakar r.a oleh kerana terlalu takutnya kepada Allah, ketika mengangkat takbir solat, terbakar hatinya sehingga bau hangus hatinya dapat dihidu oleh Sahabat-Sahabat lain. Sayidina Uma r.a. pernah jatuh sakit hingga sebulan, apabila mendengar ayat-ayat tentang siksaan dan kemurkaan Allah.

Seorang pemuda Ansar, ketika mendapat gambaran tentang Neraka, dia jatuh pengsan dan terus mati. Rasulullah SAW berkata bahawa takutnya pemuda itu kepada Neraka telah menghancurkan jantungnya.

Imam Al Ghazali berkata,” Tidaklah orang yang takut itu orang yang menangis dan menyapu dua matanya, tetapi adalah orang yang meninggalkan apa yang ia takuti kerana akan mendapat kemurkaan dan siksaan Allah akibat perbuatan itu.”

Dapatlah disimpulkan bahawa bencana-bencana dan ujian-ujian yang menimpa akibat kemurkaan Allah adalah umpama ‘rotan’ daripada Allah. Kepedihan dan kesakitan yang terhasil akibat pukulan ‘rotan’ itu adalah ibarat perasaan takut yang tercetus daripada merasai kemurkaan Allah. Kepedihan dan takut itulah yang menjadi benteng dalam diri kita agar mencegah anggota badan daripada perbuatan maksiat serta mendorong kita ke arah melakukan amalan taat.

Mereka yang benar-benar takutkan kemurkaan Allah adalah orang yang hidup dan mati mereka akan semata-mata untuk mengejar keredhaan Allah. Mereka berjuang ke tengah masyarakat dengan gagah berani bagaikan singa, mereka tidak takut kepada yang lain selain Allah. Allah sahaja yang menjadi matlamat mereka. Segala halangan dan rintangan dapat mereka lalui dengan mudah. Merekalah orang-orang yang telah memperoleh roh mentauhidkan Allah.

TAK LURUS DI JALAN YANG LURUS

Ahli Jemaah masjid telah menunggu hampir setengah jam. Penceramah yang dijemput masih belum tiba. Anak-anak di ruang masjid telah mula membuat bising. Suasana yang sedia panas meresahkan lagi orang-orang tua yang terus menunggu dengan setia. Menunggu lama untuk mendengar ceramah agama akan mendapat pahala, begitulah agaknya pujuk hati mereka.

“Ustaz ini memang begitu. Selalu lewat,” bisik seorang ahli kariah di sebelah saya.
“Minggu dulu pun macam ni,” balas orang di sebelahnya.
“Tak mengapa. Ceramahnya semangat. Sedap didengar,” pintas seorang lagi. Saya hanya mendengar, walaupun dalam hati sudah berkira-kira untuk meninggalkan majlis. Ia telah memakan masa yang diperuntukkan. Masih banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan menunggu giliran.

Hampir 40 minit kemudian baru penceramah datang, lengkap dengan jubah dan serbannya. Dalam ceramah yang berdegar-degar itu dia memperkatakan tentang pentingnya mengikut sunah Rasulullah. Saya mendengar sambil mencatat. Cuba menenangkan hati walaupun hati masih tertanya-tanya mengapa sunnah Rasulullah s.a.w dalam menepati janjinya dan menjaga masa tidak disentuh sekali.

Terbayang urutan sejarah bagaimana rasulullah s.a.w sentiasa datang awal ke Masjidil Haram sehingga baginda dilantik menjadi hakim untuk meletakkan ‘Hajarul Aswad’ yang gugur dari tempatnya dalam peristiwa banjir yang melanda kota Mekah. Begitu juga dengan insiden bagaimana Rasulullah menunggu hampir 3 kali seorang yang berjanji bertemu dengannya tetapi tidak datang. Rasulullah sangat menepati masa dan alangkah baiknya jika sunah menepati masa ini dilaksanakan oleh ustaz yang memakai serban dan jubah itu. Nampak lebih sempurna dan indah.

Saya benar-benar skeptis dengan lambang-lambang agama yang kosong makna. Elok juga sunah yang hendak diamalkan disusun mengikut prioriti amal (‘aulawiyat’). Ini kerana ada orang yang sangat menitik-beratkan soal kurang utama dengan meninggalkan soal yang lebih utama.
Bukan sahaja di tempat kita tetapi nun di Mekah sekalipun betapa ramai yang bertolak-tolakan (kekadang sehingga ke peringkat berkelahi) sewaktu ingin melaksanakan ibadat sunat mencium Hajarul aswad. Sedangkan persaudaraan itu lebih wajib dipertahankan berbanding amalan sunat (mencium Hajarul Aswad).

Ya, saya tidak nafikan sudah dalam berpakaian. Serban dan jubah, memang pakaian sunah. Namun kekadang orang hanya mempertahankan bentuk pakaian, tetapi tidak sunah kebersihannya. Akhirnya, masyarakat yang tidak faham mengutuk jubah dan serban yang disinonimkan dengan bau hapak dan kotor. Begitu juga sunah janggut dan misai, ada yang benar-benar iltizam membelanya tetapi kurang terurus. Tidak dirapikan apalagi disisir dengan sebaik-baiknya.
Saya pernah bertemu dengan seorang yang sangat cerewet dengan persoalan tajwid. Sering dia mufaraqah dalam solat berjemaah kerana dakwanya Imam tidak betul bacaan fatehahnya.
“Dadnya kurang tebal,” komennya satu ketika.
“Ronya tidak sempurna,” ulasannya pada satu ketika yang lain.

Begitulah, ada sahaja yang tidak kena dalam bacaan tajwid orang lain. Dia begitu teliti hampir-hampir ke arah cerewet. Namun, sayang seribu kali sayang… anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Anak-anak perempuannya selamba sahaja keluar rumah dengan pakaian yang terdedah, tidak pula mendapat teguran daripadanya. Dia begitu teliti tentang hukum bacaan, tetapi tidak teliti pula dalam hukum amalan.
Di satu ketika saya pernah bertemu dengan seorang yang dianggap intelektual Islam – pakar dalam istilah, bahasa dan nahu sekali gus pakar epistemologi. Pantang tersalah istilah atau huraian, dia akan menerangkannya secara terperinci. Kagum saya melihat kepintaran dan komitmennya. Tetapi saya sedikit kecewa kerana satu ketika saya dapati dia begitu longgar dalam memilih makanan yang halal.

Sewaktu heboh orang membincangkan soal logo halal dan makanan yang haram, beliau sebaliknya selamba makan di restoran-restoran yang meragukan.
“Tuan, kita patut berhati-hati.” Pernah saya mengingatkan.
“Jangan terlalu teliti. Tak merasa kita nanti.”

Saya benar-benar terkejut. Mana ketelitiannya tentang bahasa serta istilah yang ingin dipertuturkan sewaktu memilih makanan yang hendak dimasukkan ke dalam perut? Padahal Rasulullah saw seorang yang sangat fasih balaghahnya tetapi baginda juga sangat teliti dalam memilih makanan. Pernah baginda melarang cucunya memakan kurma yang disedekahkan kerana keluarga tidak boleh makan makanan sedekah. Bahkan Sayidina Abu Bakar pernah memuntahkan kembali susu yang diperoleh daripada sumber yang diragukan.

Saya masih ingat apa yang terjadi dalam majlis sambutan Maulid Nabi beberapa tahun yang lalu. Semua penceramah menekankan betapa pentingnya mengikut sunah Rasulullah dalam seluruh aspek kehidupan. Saya melihat sendiri betapa semangatnya peserta yang mendengarnya. Mengangguk-angguk, menangis dan ketawa dengan alunan kata dan intonasi suara penceramah yang terkenal.

Namun sayang sebalik sahaja selesai majlis Maulid itu sampah-sampah dan bekas minuman air serta botol-botol plastik berserakan. Hati saya jadi tertanya-tanya, di manakah sunnah Rasulullah saw yang sangat menjaga kebersihan itu kita letakkan? Ke mana perginya semangat yang meluap-luap ketika melaungkan selawat tadi?
Mengapa tidak semangat itu diterjemahkan ke dalam bentuk realiti yakni dengan membuang sampah dan sisa minuman serta makanan ke dalam tong sampah yang disediakan. Bukan kebersihan itu pernah ditegaskan oleh Rasulullah saw sebagai sebahagian daripada keimanan?

Pernah juga saya bertemu dengan seorang usahawan yang begitu mengagumi Rasulullah saw dalam bidang keusahawanan. Segala yang tersurat dan tersirat tentang sifat keusahawanan Rasulullah saw dibongkarnya.
“Bagindalah aspirasi dan inspirasi saya dalam bidang perniagaan.”
“Bila saya memberi motivasi kepada anak-anak remaja dan pelajar-pelajar yang berminat dalam perniagaan tidak lain, hanya Rasulullah s.a.w sahaja yang saya tonjolkan sebagai rol model.”

Saya begitu mengaguminya sehinggalah semasa bermusafir bersamanya saya lihat dia begitu culas dengan solat. “Kita perlu berhenti untuk solat jamak qasar,” pinta saya.
“Tak boleh qada sahaja ke?” balasnya.
Saya menggeleng-gelengkan kepala. Lupa agaknya dia tentang sunah Rasulullah yang begitu ‘punctual’ dalam menjaga waktu solat. Agaknya dia terlalu asyik meneliti sunah Rasulullah saw dalam bidang ekonomi terlupa persoalan asas dan teras dalam Islam yakni solat.

Bukan sahaja lewat solat, tetapi tidak solat. Ya, sunah dalam perniagaan memang diikutnya, tetapi bagaimana sunah dalam menjaga solat? Ini mengingatkan saya kepada kecenderungan masyarakat yang melihat Islam pada nilai ekonomi (muamalat) dan aspek nikah kahwin (munakahat) sahaja tetapi lupa pada soal ibadat dan jinayat (perundangan).

Sahabat saya pernah bercerita tentang seorang kenalannya yang kuat berzikir, lemah lembut tutur katanya.
“Dia betul-betul lemah-lembut dan kuat berzikir.”
“Baguslah kalau begitu. Apa masalahnya?’
“Masalahnya, apabila dia memandu. Lajunya macam pelesit. Menggeletar aku dibuatnya. Dia berkata orang yang ingat Allah, tidak takut mati!”

Saya tersenyum. Memandu melebihi had laju sepakat para ulama mengatakan bahawa itu satu dosa. Jadi, itu bukan sunah. Berani mati di jalan yang lurus (di lebuh raya) amat beza dengan berani mati ‘di jalan’ yang lurus (mati syahid, mati dalam iman dan ibadah kepada Allah). Sunah berzikir dan bertutur dengan lemah-lembut memang baik, tetapi jangan abaikan keselamatan nyawa sendiri dan orang lain ketika memandu kereta.
Ada pula lelaki hidung belang yang beria-ia hendak berpoligami kononnya untuk mengikuti sunah nabi, tetapi isteri masing-masing membuka tembelang perangai mereka yang tidak solat, tidak mendidik anak-anak, kasar, pemarah dan culas dalam memberi nafkah serta mendidik anak-anak.

Semua kisah di atas saya paparkan sebagai peringatan bersama tentang betapa lemahnya kita dalam mengikut sunah Rasululllah saw. Kita cenderung melihat di sudut-sudut tertentu yang kita sendiri punya kepentingan. Al Hasil, sering kali kita dapati dorongan memakan makanan sunah lebih hebat diuar-uarkan berbanding dengan mengajak melaksanakan sunah-sunah yang lebih besar dan afdal.
“Ayah, jika minum susu kambing kita boleh jadi baik. Ini minuman sunah.”
“Tapi jangan hanya ikut sunah minum susu kambing sahaja, ikut sunah yang lebih utama daripada itu, “ balas saya.

“Apa dia?”
“Bangun solat Subuh, tinggalkan perkara yang sia-sia.”
“Makan kismis ini yang didoakan ini bagus ayah. Fikiran kita jadi tajam. Ini juga makanan sunah.”
“Ya. Tetapi berusaha menelaah pelajaran dan memberi tumpuan ketika belajar adalah lebih sunah.”

Anak saya terdiam. Sikapnya memilih yang senang-senang dan enak-enak sahaja daripada as sunah saya perbetulkan. Memang untuk beramal, kita boleh pilih yang mudah-mudah dan senang-senang dahulu tetapi kita mesti tahu dan berusaha untuk mengamalkan yang lebih utama. Mana yang ‘sesuai’ dengan selera dan kecenderungan kita, itu yang diutamakan. Manakala yang perlukan kita bersusah payah serta mujahadah kita pinggirkan… seolah-olah itu bukan sunah.

Minum susu kambing misalnya memang sunah, ya itu ada kesannya dalam pembentukan peribadi kita,namun tentulah meninggalkan mengumpat dan memfitnah, bermujahadah melawan nafsu, membaca Al Quran dan mendirikan solat lebih utama dalam usaha kita untuk memperbaiki diri. Ya, tidak ada salahnya menguar-uarkanlah makanan sunah yang boleh membentuk hati dan peribadi, tetapi jangan terlupa aspek-aspek lain yang jauh lebih penting seperti menjaga pergaulan, mengamalkan cara hidup bersandarkan syariat dan lain-lain.

Jadi, persoalannya betapa ramai orang yang mendakwa dan merasakan dia telah mengikut sunah padahal apa yang sebenarnya diikutinya hanyalah hawa nafsu sendiri? Inilah gara-gara tidak tulus mengikut jalan yang lurus!

Saidatina Khadijah: Contohilah Dia Wahai Wanita

Sebab apa jadi sebegini? Semenjak hari-hari yang saya lalui minggu ini, saya terbaca banyak perkara dan belajar pelbagai perkara mengenai wanita.
Dan hari-hari yang saya lalui di tempat saya menyambung belajar ini, saya melihat pelbagai ragam dan jenis wanita.
Dan dengan itu juga, saya ingin berkongsi dengan kalian akan tajuk mengenai, 'Wanita'.
Dalam realiti dunia yang penuh dengan kemajuan hari ini, kita dapat lihat bahawa wanita-wanita juga seiring dengan kebangkitan kemajuan pada hari ini.
Akan tetapi, kita dapat lihat juga segelintir dalam kalangan wanita-wanita yang menjadikan diri mereka ini sebagai fitnah yang besar, terutamanya kepada agama mereka sendiri.

Rasulullah SAW bersabda; "Berhati-hatilah kalian daripada godaan dunia, dan waspadailah terhadap wanita, sebab fitnah pertama yang menimpa Bani Israil adalah fitnah wanita" - Hadis Riwayat Muslim
"Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi seorang lelaki daripada (fitnah) wanita." - Hadis Riwayat Bukhari
Apabila membicarakan tentang fitnah wanita, bukan bermakna wanita itu jahat dan sukakan keburukan.
Tetapi apa yang dimaksudkan ialah keadaan mereka itu mampu menjadikan lelaki lupa daratan dan apabila usaha pencegahan tidak dilakukan, akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini.

Ini sudah pasti apabila lelaki yang berkenaan tidak berhati-hati. Bagaikan binatang ternak yang memakan rumput berdekatan dengan padang larangan, adalah mudah bagi binatang itu memasuki kawasan tersebut.
Dan pada hari ini juga, kita dapat lihat wanita-wanita Islam semakin ramai antara mereka yang terhakis akhlaknya seterusnya menghilangkan identiti Muslimah sebenar daripada diri mereka.

Dengan ini, saya ingin mengajak kita semua, tidak kira kaum lelaki dan kaum wanita untuk sama-sama menyelusuri kisah kehidupan seorang wanita yang kehidupannya banyak dijadikan sebagai tulang belakang pendokong seorang lelaki.
Siapakah wanita itu? Semestinya dialah Saidatina Khadijah RA. Isteri tercinta seorang lelaki, Nabi Muhammad SAW.

Mengapa saya ingin bawakan kepada wanita-wanita sekalian akan kisah wanita ini?
Kerana hakikatnya juga, wanita-wanita pada hari ini lebih menjadikan artis-artis sebagai idola dan pujaan hati dalam diri mereka untuk dicontohi.

"Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan darinyalah aku mendapatkan keturunan."
Begitulah Rasulullah saw berkata tentang keperibadian Khadijah, isterinya.
Seorang isteri sejati, muslimah yang dengan segenap kemampuan dirinya berkorban demi kejayaan Islam

Siti Khadijah berasal dari keturunan yang terhormat, mempunyai harta kekayaan yang tidak sedikit serta terkenal sebagai wanita yang tegas dan cerdas.
Bukan sekali dua kali pemuka kaum Quraisy cuba untuk mempersunting dirinya.
Tetapi pilihannya justeru, jatuh pada seorang pemuda yang bernama Muhammad, pemuda yang begitu mengenal harga dirinya, yang tidak tergiur oleh kekayaan dan kecantikan yang dimiliki oleh Saidatina Khadijah Khuwailid RA.
Saidatina Khadijah RA merupakan wanita pertama beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.
Beliau banyak membantu dan memperteguhkan tekad Rasulullah SAW melaksanakan risalah dakwah.

Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya dalam menjalankan tugas dakwah.
Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam.
Beliau adalah sumber kekuatan yang berada di belakang Rasulullah SAW. Adakah ramai wanita-wanita yang bergelar isteri di luar sana mencontohi sebagaimana peribadi Ummul Mukminin ini?

Sanggup bersusah-payah bersama suami meskipun seorang yang kaya-raya... Dan adakah wanita-wanita di luar sana, yang bakal bergelar isteri, sudah bersedia mencontohi peribadi Ummul Mukminin ini?
Apabila ditanya tentang Siti Khadijah RA akan perpisahan Rasulullah SAW atas pemergiannya, Rasulullah SAW menjawab, "Ya! Sesungguhnya Khadijah adalah pentadbir dan suri rumah yang terbaik."

Buat wanita-wanita yang membaca dan berkongsi pandangan bersama, Apakah ada wanita lain yang dapat menyambut sedemikian baik peristiwa bersejarah yang berlaku di Gua Hira seperti yang dilakukan oleh Khadijah kepada suaminya?
Apa yang dikatakan oleh Khadijah kepada suaminya pada saat menghadapi peristiwa besar itu menunjukkan betapa besarnya kepercayaan dan kasih sayang seorang isteri kepada suami yang dilandasi iman yang teguh.
Sedikit pun Khadijah tidak berasa ragu-ragu atau syak di dalam hatinya.
Persoalannya, dapatkah kita jika sebagai suami dan isteri berlaku demikian untuk diri dan tugas masing-masing?

Khadijah berusaha menabahkan hati suami yang ditaatinya dengan berkata, " Wahai kekanda, demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakanmu kerana sesungguhnya kekanda adalah orang yang selalu memupuk dan menjaga kekeluargaan serta sanggup memikul tanggungjawab.
Dirimu dikenali sebagai penolong kaum yang sengsara, sebagai tuan rumah yang menyenangkan tamu, ringan tangan dalam memberi pertolongan, sentiasa berbicara benar dan setia kepada amanah."

Sememangnya, wanita-wanita yang begitu tinggi darjatnya dalam Islam dalam lipatan sejarah suatu masa dahulu semakin dilupakan.
Kesetiaan yang mendorong kegigihan
Mari kita teliti, fahami serta hayati beberapa gambaran kesetiaan Khadijah yang telah membina kekuatan pada diri dan kehidupan penegak risalah Islam itu.
Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah SAW, Khadijah begitu setia menyertai baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka.

Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah SAW agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan baginda. Sekiranya baginda khusyuk bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga baginda pulang.
Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan.

Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama.
Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah SAW, Khadijah pasti bersama dan membantu baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.
Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan Allah SWT.
Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah SWT.
Allah Maha Adil dalam memberi rahmat-Nya.
Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan.

Firman Allah yang bermaksud:
"Barang siapa yang mengerjakan amalan saleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan." - An-Nahl: 97
Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah SAW, malah membawa barakah yang besar kepada rumah tangga mereka berdua.

Anak-anak yang lahir juga adalah anak-anak yang soleh.
Keturunan zuriat ahlul-bait Rasulullah SAW merupakan insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah SWT.
Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.
Wahai lelaki, wanita bagaimanakah yang kamu hajatkan sebagai pasangan hidup, tulang belakang (pendokong) hidupmu dan pembimbing anak-anakmu?
Wahai wanita, suami yang bagaimanakah peribadinya yang kamu inginkan sebagai ketua,pembimbing dirimu dan keluargamu?

Wahai ummah, wanita yang bagaimanakah kita lihat pada hari ini, yang bagaimana kita cari, dan yang bagaimanakah kita puja dan puji?
Moga-moga renungan ini sedikit sebanyak membuka mata buat kaum Hawa dan kaum Adam yang membacanya.
Agar sebagai persediaan buat hari-hari seterusnya.
- Artikel iluvislam.com