BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 24 May 2009

Antara Keyakinan dan Kefahaman

AntaraKeyakinandanKefahaman

Cerita ini ialah satu kisah pabila mana Nabi Ibrahim meminta kepada ALLAH swt supaya menunjukkan kepadanya bagaimana sesuatu yang mati itu dihidupkan.

Maka ALLAH swt bertanya, apakah beliau tidak percaya?

Lalu beliau menjawab, sudah tentu tetapi hanya supaya lebih memahami.

Maka ALLAH swt memerintahkan Nabi Ibrahim supaya mengambil empat ekor burung daripada jenis yang berbeza iaitu burung merak, ayam jantan, burung merpati dan burung helang. Selepas itu beliau perlu menyembelih keempat-empat ekor burung itu dan mencincang dagingnya lalu diletakkan di empat bukit yang berbeza.

Kemudian beliau diperintahkan Allah swt untuk memanggil kesemua bangkai burung-burung itu. Maka pada ketika itu Nabi Ibrahim menyaksikan sendiri bagaimana ALLAH swt menyatukan tulang-belulang haiwan-haiwan yang telah disembelih tadi dengan daging dan akhirnya diliputi oleh kulit dan ditumbuhi bulu, kembali kepada sedia kala. Maka berterbanganlah mereka kembali ke arah Nabi Ibrahim.

@}---~~~---{@

Satu kisah yang mudah namun terselit pengajaran yang tersusun hikmah padanya.

Pertamanya adalah berdasarkan kiasan empat ekor burung yang dicincang-cincang dagingnya itu. Itu membawa erti yang pada burung itu terdapat sifat keji. Kita sebagai manusia perlu memelihara diri daripada sifat-sifat itu.

Contohnya;

1. Jika dirujuk pada burung merak, ia memiliki sifat sombong dan bangga diri disebabkan kecantikan bulunya yang berwarna-warni hingga dapat menarik perhatian sesiapa yang melihatnya. Maka kita perlu menjauhi sifat demikian.

2. Sifat buruk ayam jantan pula adalah kegilaannya mengawan tanpa mengira masa dan tempat. Sikap buruk itu perlu kita hindari bersama.

3. Burung merpati mempunyai sifat yang paling digemari di kalangan masyarakat dunia iaitu malas. Sekiranya diperhatikan, burung ini adalah burung yang paling lewat mencelikkan mata pada waktu pagi sedangkan burung-burung lain sudah pun sibuk bekerja keras.

4. Keburukan sifat burung helang yang suka menyambar. Ini dapat dikiaskan dengan sikap sesetengah orang yang suka mencuri termasuklah 'menyambar' kasut orang lain di masjid, merangut beg tangan, merampas harta bukan milik sendiri serta menculik orang bagi mengisi masa lapang.

Pengajaran yang kedua pula dapat kita lihat adalah sikap Nabi Ibrahim yang sudah beriman, namun masih berusaha memahami sesuatu dengan lebih mendalam lagi. Maka, terdapat suatu perbezaan yang ketara antara 'kepercayaan' dan 'kefahaman'. Ini bermaksud, percaya adalah suatu perkara dan fahaman adalah suatu perkara yang lain.

Contohnya, apakah kita percaya kepada al-Quran?

Maka jelas jawapannya adalah YA.

Tetapi adakah kita memahami al-Quran?

Fikir-fikirkan.


Kepercayaan dan kefahaman itu perlulah selari dan terbentang pada setiap tindak-tanduk kita dalam kehidupan seharian. Bak kata orang, menjadi 'Manusia suluhan al-Quran'.

Dalam hidup ini, semakin meningkat usia kita, semakin tinggi nilai tanggungjawab pada ilmu.

Maka, sebagai seorang Islam yang beriman dan beramal dengan sempurna, kita perlu berusaha secara berterusan bagi mengkaji pembentangan kebenaran daripada al-Quran yang suci ini walaupun kita sudah mengakui yang kita sudah beriman dengannya.

* petikan daripada buku : Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain (kisah Nabi Ibrahim m/s 11)

0 comments: