Alhamdulillah baru-baru ini, saya menamatkan sebuah cycle subjek yang amat menarik minat saya, iaitu subjek Operative Surgery. Subjek ini secara ringkasnya mengajar kami untuk melakukan prosedur-prosedur pembedahan, bermula dari sekecil-kecil incision, hinggalah ke suture. Saya, yang mempunyai minat yang mendalam mengenai bidang surgeri ini, pastinya amat-amat seronok sepanjang cycle ini! Dan pengalaman yang baru juga saya dapati, sepanjang cycle ini, iaitu pengalaman beroperasi di bilik mayat (morgue).
Boleh dikatakan hampir setiap hari jugalah kami berkunjung ke bilik mayat yang terletak lebih kurang 500 meter dari hostel ini. Untuk apa? Tentulah untuk mempraktiskan prosedur-prosedur surgeri yang kami pelajari. Kunjungan saya ke rumah mayat tersebut sepanjang minggu lalu, banyak meninggalkan kesan kepada diri saya. Bukanlah kesan seperti tak lena tidur malam ataupun ternampak benda bukan-bukan,sebaliknya ia membuat saya banyak berfikir. Mungkin kerana Russia dahulunya negara komunis, fahaman yang menentang kepercayaan terhadap Tuhan, justeru mereka kurang mempunyai sensitiviti dan tuntutan keagamaan dalam berurusan dengan mayat.
Suasana di rumah mayat tersebut, sangatlah menyentuh perasaan saya. Mayat-mayat dibiarkan bergelimpangan, ada yang separuh terbuka badannya (akibat autopsi), dengan tidak ditutup aurat. Mungkin itu kebiasaan bagi mereka agaknya, manusia yang telah mati tiada lagi nilai kemanusiaan keatasnya. Ini berlainan sekali dengan apa yang diajar dalam Islam. Dalam Islam, banyak diberi panduan untuk berurusan dengan mayat. Dari seringkas-ringkas adab seperti menutup aurat mayat, sehinggalah sekeras-keras amaran seperti..
“Mematahkan tulang mayat itu seperti mematahkan tulang orang yang hidup” - [Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dari A'isyah sebagaimana yg disebut didalam Al-Jami' Al-Saghir]
Tetapi bukan adab-adab berurusan dengan jenazah yang ingin saya bicarakan. Saya pasti kita semua dah lulus ujian KAFA Bab Pengurusan Jenazah ketika SPM dulu kan? Namun yang paling membuatkan saya terfikir, dan ingin saya ajak anda semua berfikir juga. Bagaimana agaknya keadaan kita setelah kita meninggal kelak? Adakah ada orang akan kisah mengenai kita? Apa yang kita boleh bawa bersama? Kita hanya tak lain tak bukan, sekadar sekujur tubuh!Tiada lagi pakaian Zara, NewYorkers mahupun Adidas atau Nike yang membaluti tubuh. Tiada lagi suara lunak merdu yang selalu kita keluarkan ketika bergelak ketawa bersama rakan-rakan. Tiada lagi tubuh badan yang sihat berkejar-kejaran berebut bola.
Sekadar sekujur tubuh, tiada bezanya kau dan aku. Maka kenapa perlu kita banggakan dengan apa yang kita ada sekarang, sedangkan masih wujud keberangkalian pada esok harinya kita hanyalah akan tinggal sekadar sekujur tubuh yang kaku? Rasulullah berpesan, mafhumnya, setelah terpisah roh dan jasad seorang Muslim itu, maka terputuslah sudah semua amalannya di dunia. Dia tidak lagi akan dapat berbuat pahala. Tiada lagi dipertanggungjawabkan atas dosa. Kecuali, beberapa perkara.
Pertamanya, sedekah jariah. Bermaksud sedekah yang membawa manfaat yang berterusan selagi mana apa yang disedekahkan itu digunakan. Seperti sedekah kepada masjid, surau dan sebagainya. Kedua, ilmu yang bermanfaat serta doa dari anak yang soleh. Namun ada satu lagi hadis yang penting juga, mengenai “masa depan” kita: Imam Ahmad, Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Daud dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jarir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barangsiapa memulakan jalan yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan juga pahala orang yang beramal dengannya selepasnya tanpa dikurangi daripada pahala mereka sedikitpun juga, dan barangsiapa memulakan jalan yang buruk dalam Islam, maka atasnya dosanya dan juga dosa orang yang beramal dengannya tanpa dikurangi daripada dosa mereka sedikitpun juga”.
Siapa anda sesudah anda? “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Satu lagi persoalan yang bermain di minda saya sepanjang berurusan dengan mayat - “Agaknya setelah aku mati nanti, orang akan ingat aku sebagai siapa?” Secara ringkasnya, bolehlah anda fahami, "Apakah yang orang akan ingat mengenai anda setelah anda pergi nanti?". Persoalan yang hypothetical, tetapi membawa minda ke satu lagi persoalan iaitu “Adakah pentingnya anda kepada dunia atau masyarakat sekeliling anda?”.
Teringat saya akan sebuah kisah yang Ustaz Hasrizal ceritakan dalam salah satu ceramah beliau. Jika kita bertanyakan kepada seorang kanak-kanak berumur 10 tahun, “Apa manfaat yang boleh dibuat dari pokok kelapa kepada manusia?”, maka kanak-kanak tersebut boleh mendatangkan bermacam jawapan - batangnya dibuat titi, pelepahnya dibuat penyapu, airnya dibuat minuman dan pelbagai lagi. Sekarang mari kita tanyakan soalan yang lebih kurang serupa kepada diri kita sendiri, “Apa manfaat yang aku bawa kepada umat manusia?” .
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” [Shahih al-Jami' no 3289 (Hasan).]
Wahai diriku sendiri, adakah kau sekadar ingin diingati sebagai seorang remaja Muslim yang sering leka dalam kehidupannya. Remaja yang hidupnya hanya untuk dirinya sendiri. Makannya untuk kenyangnya. Tidurnya untuk nyenyaknya. Apakah manfaat yang telah engkau bawa kepada rakan-rakanmu? Saudara-maramu? Umat Islam selainnya? Marilah kita sama-sama muhasabah, apakah kesan kehidupan kita kepada orang lain. Adakah kita ini pencetus kepada kemungkaran orang lain dengan mengajak rakan-rakan menghisap rokok, atau mengajak pasangan keluar dating dan sebagainya?
...Dan barangsiapa memulakan jalan yang buruk dalam Islam, maka atasnya dosanya dan juga dosa orang yang beramal dengannya tanpa dikurangi daripada dosa mereka sedikitpun juga...! Kita tak perlu menjadi seorang yang hebat untuk mendatangkan manfaat kepada orang lain. Tidak perlu bergelar seorang doktor, tidak perlu title seorang ustaz. Cukup sekadar mempamerkan sahsiah Islam, dan menjauhi perkara-perkara yang mencemarkan nama Islam, itu pun sudah cukup dikira sebagai manfaat kepada orang lain.
...Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahwa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin, dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka mema’afkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (QS. an-Nur:22)
p/s:artikel sumbmitted by Leokid, dan kepada para pembaca dan pengunjung iluvislam atas nasihat penulis sendiri,saya letakkan link ke artikel asal http://leokid.com/2009/04/16/matihidup/
sumber: iluvislam.com
Saturday, 9 May 2009
Hidup Sesudah Mati
Posted by amn077 at 16:02
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment