Dalam sejarah Islam, berlaku peristiwa menyayat hati umat Islam iaitu pembunuhan Uthman bin Affan. Beliau adalah ketua negara Islam ketiga, menantu Nabi Muhammad dan menurut beberapa laporan, beliau adalah orang yang disegani oleh malaikat. Beliau dibunuh semasa membaca al-Quran. Tragedi ini menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam sehingga tercetusnya Perang Siffin antara Ali bin Abu Talib dengan Muawiyah bin Abu Sufian dan Perang Jamal yang melibatkan Aisyah binti Abu Bakar, Thalhah dan Zubair menentang Ali bin Abu Talib. Peperangan itu bukan sahaja mengorbankan nyawa para sahabat Nabi Muhammad tetapi menimbulkan salah faham dalam bidang politik sehingga melibatkan isu akidah.
Lanjutan daripada peristiwa itu, timbul golongan yang fanatik kepada Ali bin Abu Talib yang dikenali sebagai Syiah dan mereka vang menyokong Muawiyah bin Abu Sufian. Antara dua pertembungan itu, muncul pula golongan yang keluar daripada kumpulan kerana tidak berpuas hati dengan urusan Tahkim yang dikenali sebagai Khawarij. Tahkim adalah peristiwa perian tikan ketua negara Islam antara Ali bin Abu Talib dengan Muawiyah bin Abu Sufian. Semasa peristiwa ini, Ali digugurkan daripada jawatan ketua kerana helah yang dimainkan oleh penyokong Muawiyah. Pada peringkat awal, semua golongan tidak memasukkan hujah akidah dalam pertelingkahan mereka. Situasi masih terkawal kerana ada para sahabat Nabi Muhammad yang masih hidup dan mampu mengawal keadaan walaupun ada anasir-anasir bukan Islam yang cuba mengambil kesempatan.
Namun, selepas beberapa peringkat, anasir bukan Islam mula meresap dari dalam umat Islam. Muncul golongan Syiah yang berfahaman sederhana seperti golongan Imamiah dan Zaidiah serta golongan Syiah yang radikal. Golongan ini dianggap radikal kerana fahaman mereka terkeluar daripada akidah yang utama, bukannya masalah cabang akidah seperti isu pemerintahan.
Antara mereka adalah Ismailiah, Bayaniah dan lain-lain. Golongan ini lebih radikal apabila mereka mendakwa para sahabat Nabi Muhammad terkeluar daripada Islam dan mengangkat Ali bin Abu Talib sebagai Utusan Tuhan. Mereka mendakwa Tuhan dapat menjelma ke dalam diri Ali dan berbagai-bagai lagi.
Di kalangan Khawarij, ada golongan yang berfahaman sederhana seperti golongan Ibadhiah dan yang radikal sehingga meminda dan membatalkan hukum syariat dan mendakwa para sahabat Nabi Muhammad bukan Islam. Antaranya seperti Azraqiah, Ajaridah dan lain-lain.
Semasa kelahiran falsafah dan terjemahan pada zaman Abbasiah, muncul golongan Muktazilah, Jabariah dan Ahli Sunnah walJamaah. Di kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah muncul dua aliran iaitu Salaf dan Khalaf. Di kalangan Khalaf, lahir pula fahaman Asya’irah dan Maturidiah. Perkembangan ini juga mempengaruhi golongan Khawarij dan Syiah.
Melalui perbincangan ini, pembaca dapat mengenali golongan-golongan yang lahir kerana perselisihan politik. Bermula daripada golongan yang berfahaman sederhana yang tidak merosakkan akidah hingga golongan yang terkeluar daripada masyarakat Islam. Caranya adalah dengan mendedahkan fahaman salah mereka walaupun mereka mendakwa masih beragama Islam.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Sejarah Kemunculan Mazhab Akidah
Syarah Kitab Lahirnya Beberapa Firqah Di Kalangan Umat Islam
Kuliyah Jumaat 06 Oktober 2006
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Sumber: http://mazhab.sementoji.net/v1/?cat=4 (kuliyyah audio boleh didapati di link ini)
Saturday, 9 May 2009
Perang Siffin Mencetus Perpecahan
Posted by amn077 at 16:11
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment