Kehebatan kitab suci sebagai mukjizat kerana ketinggian bahasa yang tak mampu ditandingi
SATU bukti kerasulan Nabi Muhammad SAW adalah kitab al-Quran iaitu kalam (perkataan Allah) yang diturunkan-Nya kepada Baginda. Nabi terdahulu sebelum Baginda turut menerima wahyu yang terhimpun dalam bentuk kitab iaitu Nabi Musa, Nabi Daud dan Nabi Isa.
Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad dengan lafaz dan makna, membacanya suatu ibadah, mukjizatnya hingga tidak ada manusia yang mampu mendatangkan satu ayat seumpamanya, dimulai surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.
Sebelum peristiwa penurunan al-Quran, Nabi Muhammad SAW dicetuskan hatinya oleh Allah untuk berkhalwat di Gua Hira bagi mengelakkan dirinya terkena tempias budaya jahiliah ketika itu yang penuh kemaksiatan, kezaliman dan keruntuhan akhlak yang sangat dahsyat.
Gua Hira menjadi saksi penurunan wahyu pertama tanda kerasulan Baginda SAW. Setiap tahun Baginda menetapkan beberapa hari untuk beribadah di sana, khususnya pada Ramadan.
Malam 17 Ramadan bermulalah sejarah awal turunnya ayat al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW dan serentak dengan itu rasmilah pelantikan Baginda sebagai pesuruh Allah selepas seluruh umat manusia ternanti-nanti perutusan nabi terakhir selepas Nabi Isa.
Pada malam itu, sedang Nabi SAW beribadat di dalam Gua Hira’ datanglah Malaikat Jibril membawa wahyu daripada Allah. Tarikh terbabit dinyatakan oleh ahli sejarah jatuh pada 6 Ogos 610 Masehi.
Selepas turunnya wahyu pertama, proses penurunan wahyu terhenti seketika menyebabkan Nabi SAW mengalami kegusaran. Al-Baihaqi menyebut tempohnya ialah selama enam bulan dan selepas tempoh itu, turunlah ayat dalam surah al-Muazmmil.
Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam tempoh 23 tahun serentak dengan jumlah tahun perutusan Baginda sebagai rasul. Ayat al-Quran terbahagi dua iaitu ayat Makkiyah dan ayat Madaniyyah.
Satu mashaf al-Quran mempunyai 30 juzuk, 114 surah, 6,326 ayat dan 77,437 perkataan. Ia diturunkan secara beransur-ansur mengikut peristiwa yang berlaku dan soalan diajukan kepada Baginda SAW.
Hikmat ayat al-Quran diturunkan secara beransur-ansur ialah supaya ayat al-Quran mudah difahami dan dihafal sahabat, ayat turun adalah berdasarkan kepada peristiwa yang berlaku dan ada juga ayat yang turun adalah jawapan kepada persoalan dikemukakan kepada Nabi SAW.
Sesungguhnya al-Quran yang diturunkan pada malam 17 Ramadan adalah fasa proses penurunan al-Quran secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Malaikat Jibril. Tarikh inilah yang menjadi petunjuk kepada sambutan nuzul al-Quran.
Fasa pertama ialah Allah menurunkan al-Quran ke Luh Mahfuz secara sekali gus berdasarkan maksud firman Allah: “Bahkan apa yang didustakan oleh mereka itu ialah al-Quran yang mulia yang tersimpan di dalam Luh Mahfuz.” (Surah al-Buruj, ayat 21-22)
Fasa kedua ialah penurunan pada Lailatulqadar dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia yang juga diturunkan sekali gus. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada Lailatulqadar.” – (Surah al-Qadr, ayat 1)
Benarlah pernyataan Allah bahawa hanyalah Allah yang menurunkannya dan hanya Dia yang memeliharanya. Memang patutlah ia dianggap sebagai mukjizat agung Baginda SAW. Kehebatan al-Quran sebagai mukjizat kerana ketinggian gaya bahasa hingga tidak mampu ditandingi mana-mana pakar bahasa sejak zaman awal Islam sehingga ke hari ini.
Pernah Baginda mencabar kaumnya yang menafikan kehebatan al-Quran supaya mendatangkan ayat seumpamanya tetapi gagal.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu kepada yang lain.” – (Surah al-Isra’, ayat 88)
Orang yang mendengar Kalam Allah ini pasti terpesona dengan isi kandungan ayatnya kerana sentuhannya boleh meruntun jiwa terutama kepada mereka yang benar-benar memahami pengertian ayat itu.
Penentang Islam zaman awal di Makkah pernah mencuri-curi dengar apakah yang dibaca oleh Nabi Muhammad SAW bagi mendapatkan kepastian adakah benar kitab ini turun dari Allah Yang Maha Agung atau ia memang hasil tulisan Nabi Muhammad sendiri.
Al-Walid bin Mughirah dan Utbah bin Rabiah yang kuat menentang Nabi sendiri terpesona dengan ayat al-Quran sehingga dituduh oleh kaumnya sebagai golongan telah disihir oleh al-Quran. Umar al-Khattab sendiri memeluk agama Islam selepas meneliti ayat dalam surah Toha yang menjadi titik tolak lonjakan jiwanya meninggalkan cara hidup jahiliah kepada nur Islam penuh kemuliaan.
Mukjizat al-Quran diperlihatkan juga melalui isi kandungannya yang menceritakan mengenai perkara ghaib sudah berlaku mahupun yang akan datang. Kisah penciptaan dan sejarah awal Nabi Adam dan Hawa di syurga dinyatakan secara jelas dalam al-Quran.
Kesudahan hidup manusia di alam kubur dan alam akhirat juga dijelaskan oleh al-Quran bahawa hayat ini ada penghujungnya yang tidak dapat disangkal oleh fikiran waras manusia.
Ayat al-Quran menuntut manusia membongkar pelbagai persoalan kehidupan termasuk perkara yang berkaitan dengan ilmu sains seperti kejadian alam, langit dan bumi serta di cakerawala. Ini perlu dikaji supaya semua fakta itu diyakini benar, membawa kepada pengukuhan iman dan akidah dalam diri.
Firman Allah yang bermaksud: “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa al-Quran itu benar.” – (Surah Fussilat, ayat 53)
Jika dibongkar dengan lebih mendalam keseluruhan ayat al-Quran, pasti akan jelas betapa tinggi nilai mukjizat Kalam Ilahi ini. Justeru, berpegang kepada al-Quran, menghayati ayatnya, kesungguhan membacanya mestilah dilakukan sepanjang masa dan tidak bermusim hanya di bulan Ramadan.
Namun memperingati detik turunnya wahyu pertama yang berlaku di bulan Ramadan ini mampu menjadi suntikan semangat kepada orang beriman untuk membudayakan al-Quran dalam kehidupan bagi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Jelebu, Negeri Sembilan
Oleh Mohd Kamel Mat Salleh
Saturday, 28 August 2010
Hikmah al-Quran diturun secara berperingkat
Posted by amn077 at 19:13
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment