BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday 26 November 2010

Amaran Allah kepada pencuri timbangan

SURAH al-Mutaffifin mengandungi 36 ayat. Ia diturunkan selepas surah al-Ankabut dan merupakan surah terakhir yang diturunkan di Madinah.
Hubungan surah ini dengan surah al-Infitar. Dalam surah al-Infitar, Allah SWT berfirman bahawa pada setiap orang itu ada malaikat yang memelihara dan mencatat amalannya.
Dalam surah ini pula, Allah SWT menerangkan tentang nama yang telah ditulis oleh mereka iaitu Kitabun Marqum yang ditempatkan di Illiyin atau Sijjin.
Firman Allah SWT: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan).

Al-Maraghi berkata: Dikhabarkan bahawa di Madinah terdapat seorang yang bernama Abu Juhaynah. Dia mempunyai dua alat penimbang, satu besar dan satu lagi kecil.
Apabila dia hendak membeli biji-bijian dan buah-buahan daripada para penanamnya dia akan menggunakan alat penimbang besar dan apabila dia ingin menjual kepada orang lain ditimbangnya dengan menggunakan alat penimbang yang kecil.

Orang sepertinya ialah seorang yang rakus dan tamak. Mereka inilah yang diancam dengan ancaman yang berat sebagaimana yang terdapat dalam ayat di atas.
Malahan mereka ini juga yang ditakutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Lima perbuatan yang akan dikenakan dengan lima seksaan: Pertama: Satu kaum yang memungkiri janji lalu Allah SWT akan memberi kemenangan kepada musuh untuk menguasainya.

Kedua: Mereka tidak menghukum dengan hukuman yang diturunkan oleh Allah SWT, pasti Allah menurunkan kefakiran kepada mereka.
Ketiga: Jika berlakunya perbuatan keji di kalangan mereka, pasti kematian akan tersebar di kalangan mereka.

Keempat: Mereka yang mengurangkan timbangan pasti tumbuh-tumbuhan tidak akan tumbuh.
Kelima: Mereka yang enggan membayar zakat, pasti mereka tidak mendapat hujan".
Firman Allah SWT: Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.
Syed Qutub berkata: Mereka adalah orang-orang yang apabila membeli, mereka mahukan barang-barang itu disukat dengan cukup tetapi jika mereka menjual, mereka memberikan barang-barang tersebut dengan sukatan yang kurang.

Firman Allah SWT: Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya).
Ibn Kathir berkata: Apakah mereka tidak merasa takut pada hari kebangkitan kerana Allah SWT mengetahui segala rahsia dan pada hari yang sangat mengerikan itu terdapat perkara yang menakutkan dan menyeramkan.
Orang yang rugi pada hari itu akan dimasukkan ke dalam neraka yang sangat panas.
Firman Allah SWT: Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekelian alam? Sebagai penghormatan terhadap keagungan Allah SWT.

Ibn Umar r.a menerangkan, pada suatu ketika beliau melintasi penjual lalu berkata: "Takutlah kepada Allah SWT dan sempurnakanlah timbangan. Ini disebabkan golongan yang mengurangkan timbangan itu pada hari Kiamat akan ditahan untuk menghormati kebesaran Tuhan yang Maha Pengasih, bahkan peluh pun menahan mereka".
Ikrimah berkata: Aku bersaksi bahawa setiap penyukat dan penimbang akan dimasukkan ke dalam neraka.

Beliau ditanya oleh seseorang: Anakmu sendiri penyukat, bagaimana? Jawabnya: Aku bersaksi bahawa beliau juga nanti akan dimasukkan ke dalam neraka.
Dalam ucapan ini Ikrimah bermaksud memberi keterangan yang sangat menyedihkan bahawa pada umumnya manusia pada ketika itu ramai mengurangkan sukatan dan timbangan.

Penutup
Sikap mereka sungguh aneh. Sebenarnya jika wujud kesanggupan berfikir sejenak tentang hari kebangkitan semula, di mana manusia menghadapi pengadilan Allah SWT dan berdiri seorang diri menunggu hukuman tanpa kawan dan penolong.
Jika wujud kesanggupan berfikir sejenak mereka akan dihidupkan kembali pada hari itu, maka sudah cukup untuk mencegah mereka daripada melakukan perbuatan curang,
Ini termasuk makan harta orang lain secara haram dan menggunakan kuasa dan pengaruh untuk menindas dan memeras hak manusia dalam urusniaga.

Namun, mereka terus berlaku zalim dengan mengurangkan sukatan seolah-olah tidak memikirkan mereka akan dibangkitkan kembali. Inilah sikap mereka yang sangat menghairankan.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

0 comments: