Persoalan kali ini akan menjengkelkan golongan ‘pembela wanita' yang beriya-iya mahu ‘membebaskan' golongan wanita daripada cengkaman ‘kezaliman'.
Mungkin ada yang beranggapan bahawa Islam itu zalim, Islam tidak indah, Islam mengongkong wanita dan macam-macam lagi apabila mendapati bahawa terdapat pelbagai halangan yang dikenakan ke atas wanita yang baharu sahaja kematian suami.
" Tidakkah mereka ini patut dibiarkan bebas untuk ‘menghiburkan hati' yang sedang sedih? Biarkan sahaja mereka menghadiri kenduri, pergi melancong, 'window shopping' dan lain-lain? "
Apabila kita melihat hukum Allah s.w.t, janganlah kita melihat daripada sudut penzahiran hukum semata-mata. Penilaian kita belum tentu dapat menyamai penilaian Tuhan Yang Maha Hebat. Penilaian kita mudah didorong oleh akal fikiran yang cetek dan diburukkan lagi dengan kehendak nafsu yang tinggi.
Semenjak saya menulis tentang iddah, timbul banyak persoalan tentang perkara yang tidak boleh dilakukan oleh isteri yang baharu sahaja kematian suami atau dalam erti kata lain, perempuan yang di dalam iddah kematian suami. Saya ditanya, boleh atau tidak tentang itu dan ini. Apabila saya katakan tidak boleh, 'respon' yang diterima ialah, hendak buat juga. Oleh itu, berlapang dada lah sesungguhnya pasti ada hikmahnya.
Saya sendiri sudah melalui fasa iddah kematian suami. Saya sangat faham situasi ini. Apabila kita berada di dalam kedudukan yang sangat sukar, kita haruslah mendidik jiwa supaya menyedari bahawa ada insan lain menanggung kesukaran yang lebih sukar lagi.
Saya melalui iddah kematian suami dalam keadaan sarat mengandung lapan bulan. Ada empat orang anak lagi yang semuanya masih kecil. Ada yang masih minta dikendong dan pada masa itu saya tiada pembantu rumah sepenuh masa. Ibu bapa saya pula telah meninggal dunia dan saya tinggal di Utara, jauh daripada adik-beradik yang rata-rata tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur.
Saya rasa keadaan saya sangat sukar tetapi, saya mesti ingat selalu bahawa ada orang lain yang lebih sukar lagi keadaannya. Apabila kita bersabar, maka Allah akan permudahkan kehidupan kita. Alhamdulillah, syukur pada Allah s.w.t yang telah ‘menghadiahkan' ujian ini. Terlalu banyak yang dipelajari daripada ujian ini.
Kembali kepada topik artikel kali ini.
Wanita yang kematian suami hendaklah beriddah selama empat bulan sepuluh hari. Tetapi jika dia mengandung, maka hendaklah dia beriddah sehingga bersalin. Tempoh ini digunakan untuk memastikan rahim kosong (bersih) dan tempoh ini digunakan oleh wanita untuk menyatakan kesedihan di atas kematian suami. Iddah juga merupakan fasa perubahan yang sukar dan perlu disokong oleh kaum keluarga, rakan-taulan dan jiran tetangga.
Apa yang tidak boleh dilakukan?
Islam tidak menzalimi wanita, apatah lagi wanita yang sedah bersedih akibat pemergian insan tersayang.
Semua perkara biasa yang dilakukan oleh wanita biasa boleh dilakukan oleh wanita yang berada dalam iddah kematian suami, kecuali lima perkara sahaja. Ya, lima perkara sahaja. Iaitu ;
1. Bertunang (secara berterus-terang).
2. Berkahwin.
3. Berhias pada diri atau pakaian.
4. Tidur di rumah selain rumah yang biasa didiami semasa hayat suami.
5. Keluar dari rumah tanpa ada tujuan penting yang tertentu.
PERTAMA: BERTUNANG SECARA BERTERUS-TERANG
Para fuqaha sependapat bahawa wanita yang dalam iddah tidak boleh bertunang ataupun dipinang dengan cara berterus-terang. Namun jika mahu dipinang dengan berkias, maka ia diharuskan sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud;
" Tiada larangan ke atas kamu tentang apa yang kamu kiaskan untuk meminang wanita. "
KEDUA: BERKAHWIN
Sebagaimana yang telah disebutkan di awal tadi, tujuan iddah adalah untuk memastikan rahim bersih daripada benih suami. Firman Allah s.w.t. yang maksudnya;
" Dan janganlah melakukan ikatan pernikahan hinggalah sampai tempoh tangguhnya (iddahnya). "
Ayat ini menjelaskan bahawa wanita yang di dalam iddah tidak boleh bernikah sehinggalah tamat tempoh iddah tersebut.
KETIGA: BERHIAS DAN BERWANGI-WANGIAN PADA DIRI ATAU PAKAIAN
Wanita dalam iddah kematian suami wajib menjauhkan diri daripada perhiasan atau berhias sama ada pada tubuh badan mahupun pada pakaian. Malah dianjurkan supaya wanita ini menyatakan kesedihan di atas kematian suami dan mengelakkan diri daripada menjadi perhatian lelaki kerana dia berada dalam fasa dilarang bernikah. Ini dapat mengelakkannya daripada perkara-perkara terlarang serta menghindari fitnah.
Dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim;
Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan bahawa tidak dihalalkan bagi wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung lebih daripada tiga hari kecuali kerana (kematian) suami. Baginda seterusnya menjelaskan bahawa wanita yang kematian suami tidak boleh memakai celak, tidak boleh memakai pakaian yang berhias-hias dan tidak boleh menggunakan pewangi, kecuali jika dia membersihkan diri iaitu dengan sedikit haruman sahaja.
[Lihat penjelasan lanjut dalam Fath al-Bari, jld 9, hlm. 491]
Hadis sahih ini jelas menyatakan bahawa wanita yang kematian suami dilarang memakai wangi-wangian, berhias pada diri atau pakaian termasuk memakai barang kemas pada badan. Dalam hal ini, dianjurkan supaya wanita ini menjauhkan diri daripada memakai pakaian yang menarik perhatian seperti berwarna terang kerana dikhuatiri akan membawa fitnah dan keinginan pada lelaki sedangkan dia masih dalam tempoh larangan berkahwin.
Pakaian hitam?
Wanita dalam iddah kematian suami tidak diwajibkan memakai pakaian berwarna hitam. Hitam ialah lambang berkabung bagi seluruh penduduk dunia. Harus wanita dalam iddah berpakaian hitam tetapi tiada larangan untuk dia memakai pakaian berwarna lain.
Diharuskan juga menggunakan pewangi sekadar untuk menghilangkan bau yang busuk pada badan seperti semasa mandi wajib selepas habis haidh iaitu digunakan pada faraj. Diharuskan pula memakai celak untuk perubatan, tetapi jika mahu dipakai untuk kecantikan, maka ia dilarang.
Diwajibkan ke atas wanita untuk tetap menjaga kebersihan seperti mandi, bersyampu, menyabun badan dan lain-lain tetapi hendaklah mengelakkan daripada menggunakan peralatan yang mempunyai wangian atau sekurang-kurangnya wangiannya sangat sedikit
KEEMPAT: TIDUR DI RUMAH LAIN
it
Larangan ini adalah untuk wanita yang berada di dalam iddah kematian suami dan juga iddah perceraian biasa. Ertinya, dilarang tidur di rumah yang bukan menjadi kebiasaannya tidur semasa masih di dalam ikatan perkahwinan.
Firman Allah s.w.t. ;
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ لا تُخْرِجُوهُنَّ مِنْ بُيُوتِهِنَّ وَلا يَخْرُجْنَ إِلا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ لا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَلِكَ أَمْرًا
" Jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu maka ceraikanlah mengikut masanya dan hendaklah isteri-isteri kamu mengikut iddah dan takutilah Allah tuhan kamu. Janganlah kamu keluarkan isteri-isteri kamu dari rumah-rumah mereka dan janganlah pula mereka keluar darinya kecuali jika datang kebinasaan yang jelas. "
[Surah al-Talaq: ayat 1]
Dalil ini adalah untuk semua wanita yang berada di dalam iddah bahawa mereka dilarang meninggalkan rumah yang menjadi tempat tinggal mereka selama ini. Malah suami yang menceraikan juga dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan. Kelonggaran untuk tinggalkan rumah hanya dibenarkan jika ‘datang kebinasaan yang jelas' seperti banjir, rumah hampir roboh dan sebarang ancaman yang lain.
Hujah ini disokong pula oleh hadis sahih bahawa pada satu ketika seorang sahabat wanita bernama Furai'ah telah kematian suami dan memohon kebenaran Rasulullah s.a.w. untuk pulang ke rumah keluarganya. Namun Rasulullah s.a.w. memerintahkannya untuk terus tinggal di rumah yang selama ini didiami sehingga habis iddah iaitu empat bulan sepuluh hari.
Sabda baginda s.a.w. maksudnya;
" Tinggallah tetap di rumah kamu sehingga habis tempoh tangguh (iddah). "
KELIMA: KELUAR DARI RUMAH TANPA TUJUAN (KEPERLUAN TERTENTU)
Larangan tidur di rumah lain mempunyai kaitan dengan larangan yang kelima iaitu tidak dibenarkan keluar dari rumah jika tiada keperluan atau tujuan tertentu yang penting. Hal ini disepakati oleh majoriti fuqaha.
Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan bahawa Jabir bin Abdullah berkata, maksudnya;
" Ibu saudaraku telah diceraikan, kemudian dia mahu memetik nakhil (buah kurma) maka seorang lelaki telah melarangnya daripada keluar memetik nakhil, maka ibu saudaraku pergi bertemu Rasulullah s.a.w., maka baginda bersabda; Bahkan pergilah memetik buah tersebut mungkin kamu dapat bersedekah dengannya atau melakukan perkara yang baik. "
Para fuqaha mengkiaskan hadis ini dengan wanita yang di dalam iddah kematian suami bahawa lebih utama lagi untuk membenarkan mereka keluar rumah terutamanya untuk mencari nafkah kerana tiada orang lain yang menanggung nafkah mereka.
Nota penting:
Sila ambil perhatian bahawa wanita yang diceraikan, nafkahnya semasa di dalam iddah masih ditanggung oleh suami yang menceraikan. Jika suami ingkar, buatlah aduan dan tuntutan di Mahkamah Syariah.
Dalam satu hadis yang lain, isteri-isteri para syuhada Perang Uhud yang tinggal berjiran bertemu Rasulullah s.a.w. dan bertanya, maksudnya;
" Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berasa gusar di malam hari, bolehkah kami tidur di rumah jiran kami? Apabila siang kami akan pulang ke rumah kami. " Rasulullah s.a.w. menjawab, " Bercakaplah sesama kamu tetapi apabila kamu mahu tidur maka kembali setiap wanita ke rumah masing-masing. "
Dalam kitab-kitab fiqh banyak disebutkan tentang keharusan wanita di dalam iddah kematian suami untuk keluar dari rumah pada waktu siang tetapi dengan syarat terdapat tujuan tertentu dan penting. Menurut para fuqaha, antara perkara tersebut ialah seperti untuk mencari nafkah dan membeli barang keperluan rumah.
Dalam mazhab Maliki pula ditambah penjelasan bahawa perempuan yang berada dalam iddah dilarang keluar untuk ziarah-menziarahi, dilarang keluar berdagang (berniaga) kecuali jika itu sumber nafkahnya, dilarang keluar untuk mengucapkan tahniah seperti menghadiri majlis perkahwinan, pertunangan, hari jadi dan kelahiran bayi, dilarang keluar untuk mengucapkan takziah seperti menziarahi orang sakit atau kematian dan dilarang tidur kecuali di dalam rumahnya sendiri. Majoriti fuqaha juga berpendapat bahawa wanita yang dalam iddah dilarang mengerjakan haji atau umrah.
Untuk pencerahan lanjut, lihat Bada'i al-Sana'i, al-Syarh al-Saghir, Nihayat al-Muhtaj fi Fiqh al-Syafii dan Kashshaf al-Qina'.
Sunday 7 November 2010
Hawa : Larangan Dalam Iddah Kematian Suami
Posted by amn077 at 21:59
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment