“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’, (iaitu) orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Tuhannya dan bahwa mereka akan kembali kepada-Nya”. (Al-Baqarah: 45-46)
Ibnu Katsir menjelaskan satu prinsip dan kaedah dalam memahami Al-Qur’an berdasarkan ayat ini bahawa meski pun ayat ini bersifat khusus ditujukan kepada Bani Israel kerana konteks ayat sebelum dan sesudahnya ditujukan kepada mereka, namun secara dasarnya bersifat umum ditujukan untuk mereka dan selain mereka. Bahkan setiap ayat Al-Qur’an, langsung atau tidak langsung sesungguhnya lebih diarahkan kepada orang-orang yang beriman, kerana hanya mereka yang mahu dan bersedia menerima pengajaran dan petunjuk apapun daripada Kitabullah.
Maka peristiwa yang diceritakan Allah Taala tentang Bani Israel, terkandung di dalamnya perintah agar orang-orang yang beriman mengambil pengajaran daripada peristiwa yang dialami mereka. Begitulah kaedah dalam setiap ayat Al-Qur’an sehingga kita dapat mengambil bahagian dari setiap ayat Allah SWT.
“Al-Ibratu Bi’umumil Lafzhi La Bikhusus Sabab”
(Yang harus dijadikan dasar pedoman dalam memahami Al-Qur’an adalah umumnya lafaz, bukan khususnya sebab atau peristiwa yang melatarbelakanginya).
Perintah dalam ayat di atas sekaligus merupakan salah satu kaedah penyelesaian agar umat secara kolektif dapat mengatasi dengan baik segala kesulitan dan masalah-masalah yang datang silih berganti. Sehingga melalui ayat ini, Allah SWT memerintahkan agar kita memohon pertolongan kepada-Nya dengan senantiasa mengamalkan sikap sabar dan menjaga solat dengan istiqamah. Kedua hal ini merupakan saranan meminta tolong yang terbaik ketika menghadapi pelbagai kesulitan. Rasulullah SAW selaku uswah hasanah, telah memberi contoh yang terbaik dalam mengamalkan ayat ini. Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dijelaskan bahawa,
“Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila menghadapi suatu persoalan, baginda segera mengerjakan solat“.
Huzaifah bin Yaman menuturkan,
“Pada malam berlangsungnya perang Ahzab, saya menemui Rasulullah saw, sementara baginda sedang solat seraya menutup tubuhnya dengan jubah. Apabila baginda menghadapi persoalan, maka baginda akan mengerjakan solat“.
Bahkan Ali bin Abi Thalib menuturkan keadaan Rasulullah SAW pada perang Badar,
“Pada malam berlangsungnya perang Badar, semua kami tertidur kecuali Rasulullah SAW, baginda solat dan berdoa sampai pagi“.
Dalam riwayat Ibnu Jarir dijelaskan bagaimana pemahaman sekali gus pengamalan sahabat Rasulullah SAW terhadap ayat ini. Diriwayatkan bahawa ketika Ibnu Abbas melakukan perjalanan, kemudian sampailah berita tentang kematian saudaranya Qatsum, beliau terus menghentikan kenderaannya dan segera mengerjakan solat dua rakaat dengan melamakan duduk. Kemudian beliau bangkit dan menuju ke kenderaannya sambil membaca,
“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’“.
Secara khusus untuk orang-orang yang beriman, perintah menjadikan sabar dan solat sebagai penolong ditempatkan dalam rangkaian perintah zikir dan syukur.
“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat (pula) kepadamu dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku. Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar“. (Al-Baqarah: 152-153)
Dalam kaitan dengan zikir, menjadikan sabar dan solat sebagai penolong adalah zikir. Siapa yang berzikir atau mengingati Allah dengan sabar, maka Allah akan mengingatinya dengan rahmat. Masih dalam konteks orang yang beriman, sikap sabar yang harus selalu diwujudkan adalah dalam rangka menjalankan perintah-perintah Allah Taala, kerana beban berat yang ditanggungnya akan terasa ringan jika diiringi dengan sabar dan solat. Ibnul Qayyim mengklasifikasikan sabar dalam rangka menjalankan perintah Allah Taala termasuk sabar yang paling tinggi nilainya dibandingkan dengan sabar dalam menghadapi musibah dan persoalan hidup.
Syeikh Sa’id Hawa menjelaskan dalam tafsirnya, Asas fit Tafasir kenapa sabar dan solat sangat tepat untuk dijadikan saranan meminta pertolongan kepada Allah Taala. Beliau mengungkapkan bahawa sabar dapat mendatangkan pelbagai kebaikan, sedangkan solat dapat mencegah dari pelbagai perilaku keji dan mungkar. Disamping itu juga solat dapat memberi ketenangan dan kedamaian hati. Keduanya (sabar dan solat) digandingkan dalam kedua ayat tersebut dan tidak dipisahkan, kerana sabar tidak sempurna tanpa solat, demikian juga solat tidak sempurna tanpa diiringi dengan kesabaran. Mengerjakan solat dengan sempurna menuntut kesabaran dan kesabaran dapat terlihat dalam solat seseorang.
Lebih terperinci, Syeikh Sa’id Hawa menjelaskan saranan lain yang berkaitan dengan sabar dan solat yang boleh dijadikan penolong. Puasa termasuk ke dalam perintah meminta tolong dengan kesabaran kerana puasa adalah separuh dari kesabaran. Sedangkan membaca Al-Fatihah dan doa termasuk ke dalam perintah untuk meminta tolong dengan solat kerana Al-Fatihah itu merupakan sebahagian daripada solat, begitu juga dengan doa. Memohon pertolongan hanya kepada Allah merupakan ikrar yang selalu kita lafazkan dalam setiap solat kita,
“Hanya kepada-Mu-lah kami menyembah dan hanya kepada-Mulah kami mohon pertolongan“.
Agar permohonan kita diterima oleh Allah, tentulah harus mengikuti ajaran dan petunjuk-Nya. Salah satu dari petunjuk-Nya dalam memohon pertolongan adalah dengan sentiasa bersikap sabar dan memperkuat hubungan yang baik dengan-Nya dengan menjaga solat yang berkualiti. Disinilah solat merupakan cerminan dari penghambaan kita yang tulus kepada Allah.
Kepentingan sabar menurut Abdurrahman bin Zaid bin Aslam dapat dilihat dari dua hal: Pertama, sabar kerana Allah atas apa yang disenangi-Nya, meskipun terasa berat bagi jiwa dan raga. Kedua, sabar kerana Allah atas apa yang dibenci-Nya, walaupun hal itu bertentangan keinginan hawa nafsu. Barangsiapa yang bersikap seperti ini, maka ia termasuk orang yang sabar yang Insya Allah akan mendapat tempat terhormat.
Betapa kita sangat memerlukan limpahan pertolongan Allah SWT dalam setiap aktiviti dan persoalan kehidupan kita. Adalah sangat tepat jika secara bersama-sama kita dapat mengamalkan petunjuk Allah dalam ayat di atas agar permohonan kita untuk mendapatkan pertolongan-Nya segera menjadi kenyataan. Amin.
Sumber: Dipetik daripada KCB Yahoo Groups; Dr. Attabiq Luthfi, MA, Dakwatuna
Sunday 7 November 2010
Sabar dan Solat Sebagai Penolong
Posted by amn077 at 21:55
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment