BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday 26 November 2010

Suami, isteri perlu bergerak seiring bentuk keluarga bahagia

TIADA siapapun yang mahu anak-anak menjadi liar dan membelakangi ajaran agama. Tentu mengaibkan dan menyedihkan hati ibu bapa seandainya ada di kalangan anak-anaknya tempang perjalanan hidup di dunia tanpa suluhan cahaya agama yang luhur.

Tambahan pula, dewasa ini kita sedang berhadapan dengan gejala sosial yang amat gawat melanda remaja dan belia. Pelbagai langkah dan pendekatan sudah dan sedang diambil bagi menanganinya, namun yang jelas semuanya seakan-akan tidak berkesan dalam membetulkan keadaan.

Orang pertama yang mesti memegang tanggungjawab sepenuhnya dalam memberikan pendidikan dan asuhan agama kepada anak-anak ialah ibu bapa. Mungkin selama ini kita banyak membebankan golongan ibu dalam memikul amanah sebagai pembimbing dan pengasuh utama mendidik anak-anak. Bagaimana dengan peranan ayah atau bapa?

Dalam hal ini Saidina Ali bin Abi Talib ada meninggalkan pesanan bernas dan bermanfaat kepada kita berhubung pendidikan kepada anak-anak. Kata Ali kepada anaknya Hasan: “Aku segera mengajarmu adab sebelum hatimu menjadi keras dan fikiranmu menjadi sibuk memikirkan pelbagai perkara yang lain.” Begitulah kesungguhan Saidina Ali dalam membentuk peribadi anaknya dan kata-kata beliau itu sewajarnya menjadi panduan kepada kita untuk tidak meremehkan tanggungjawab menyalurkan asuhan akhlak yang mulia kepada anak-anak.

Imam Jaafar asy-Shafiq ada mengatakan: “Sesungguhnya sebaik-baik wasiat yang diwariskan oleh ayah untuk anak-anak mereka ialah adab dan bukannya harta.”

Selama ini kita memikirkan bagaimana untuk menghimpunkan seberapa banyak harta benda sebagai harta untuk ditinggalkan kepada anak-anak apabila kita sudah tiada di alam maya ini, namun sebenarnya ‘harta’ paling bernilai yang semestinya ditinggalkan buat anak-anak kita ialah sahsiah peribadinya, akhlaknya, kekuatan ilmu pengetahuannya dan kesolehan beragama. Inilah yang seharusnya kita tinggalkan buat mereka. Imam Ali Zainal Abidin as-Sajjad pula menegaskan: “Adapun hak anak-anakmu atas dirimu, ketahuilah ia berasal daripadamu, baik dan buruknya bergantung padamu. Sesungguhnya engkau bertanggungjawab untuk mengasuhnya, mendidiknya, mengenalkannya kepada Tuhannya dan membantu untuk taat kepada-Nya. Dan engkau mesti melaksanakan urusan ini dengan keyakinan bahawa jika berbuat baik kepadanya akan mendapat pahala dan jika berbuat buruk kepadanya akan mendapat dosa.”

Dalam usaha kita mendidik dan mengasuh anak-anak mengerjakan segala suruhan agama dan membentuk adab, jangan lupa seringlah berdoa kepada Allah agar kita dipermudahkan dan anak-anak akan dapat mengikutinya dengan sempurna. Imam Ali Zainal Abidin dikatakan selalu berdoa ketika mendidik anak-anaknya dengan doa ini: “Dan tolonglah kami dalam mengasuh, mendidik dan memperbaiki anak-anak kami.” Insya-Allah dengan iltizam yang kukuh dan semangat padu kita sebagai seorang bapa mampu membentuk peribadi anak-anak dengan berkesan dan menjadikan mereka anak-anak yang soleh.
Seorang penyair dari Mesir iaitu Ahmad Syauqi melalui syairnya ada mengatakan: Anak yatim bukanlah yang diterlantarkan oleh kedua-dua ibu bapa dalam kesusahan hidup dan ditinggalkan oleh keduanya dalam keadaan hina. Anak yatim itu seorang anak yang berada dalam asuhan ibu yang mengabaikan norma dan ayah yang penuh kesibukan.

Justeru, dalam keadaan apapun, kita sebagai bapa tidak boleh meremehkan tanggungjawab kepada anak-anak. Fungsi seseorang bapa bukan sekadar mencari nafkah dan memberikan kemewahan hidup, namun agenda yang mesti diutamakan ialah memastikan kita berganding bahu seiring dan senada dengan isteri kita dalam mem-bahterakan alam rumah tangga dengan memberikan pendidikan paling sempurna yang kita termampu. Ingatlah ibu bapa akan dipersoalkan di hadapan Allah nanti segala amanah terhadap anak-anak.


Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

0 comments: