Al-Maraghi berkata: "Setelah Allah SWT menerangkan kekuasaan-Nya untuk mengembalikan manusia selepas mati dan memberikan perhatian agar merenungkan tanda bukti kekuasaan-Nya, segera menetapkan kebenaran risalah utusan-Nya yang mulia kepada manusia seluruhnya dan kebenaran apa yang dibawanya dari sisi Tuhan.
"Tanda bukti yang paling penting ialah al-Quran yang orang kafir katakan sebagai dongengan orang dahulu. Lalu Allah SWT bersumpah dengan langit yang menumpahkan air hujan dan bumi tempat kehidupan bagi manusia dan haiwan dengan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhannya bahawa al-Quran itu adalah firman Allah SWT yang hak, tidak diragukan lagi kebenarannya.
"Kemudian Dia mengetahui bahawa orang yang mempertahankan kebatilan itu para penipu yang tidak mengharapkan kebaikan sedikit pun daripadamu, melainkan hanya keburukan saja dan mereka yang kamu lihat jangan sampai menimbulkan kesusahan dan janganlah kamu merasa terlambat atas penetapan seksaan pengingkarannya, bahkan tangguhkanlah sebentar lagi, nescaya kamu akan melihat apa yang akan menimpa padanya."
Firman Allah SWT: Demi langit yang berulang-ulang mencurahkan hujan.
Ibn Abbas berkata, perkataan raj'ie adalah hujan dan juga awan yang membawa hujan. Qatadah pula berkata: "Yang membawa kepada rezeki hamba setiap tahun. Tanpanya nescaya binasa dan juga binasa ternakan mereka."
Syed Qutub berkata: "Perkataan al-raj'ie adalah hujan yang berulang-ulang dan perkataan al-sad'ie adalah tumbuh-tumbuhan yang membelah tanah dan makin membesar."
Kedua-duanya merupakan satu pemandangan kehidupan dalam salah satu gambarannya iaitu pemandangan kehidupan tumbuh-tumbuhan dan titik mula kejadiannya.
Pemandangan air hujan yang mencurah dari langit, pemandangan tumbuh-tumbuhan yang membelah tanah hampir sama dengan pemandangan air mani yang memancut keluar dari antara tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan, dan hampir sama dengan pemandangan bayi yang muncul dari rahim yang gelap gelita.
Hidup tetap hidup, pemandangan tetap pemandangan dan gerak tetap gerak. Itulah peraturan yang tetap yang membuktikan adanya Pencipta yang tiada tolok bandingnya sama ada dari segi hakikat ciptaan atau dari segi rupa bentuknya yang lahir.
Firman Allah SWT: dan bumi yang merekah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan.
Ibn Abbas berkata: "Iiaitu bumi yang merekah kerana tumbuhnya tanaman." Ini juga pendapat Said bin Jubair, Ikrimah, Abu Malik, al-Dahhaq, al-Hasan, Qatadah, al-Suddi dan lain-lain.
Hamka berkata: "Maka bertalilah di antara langit dengan bumi itu. Langit yang menurunkan hujan dan bumi subur dengan tumbuh-tumbuhan. Banyak hujan, dapat hidup sentosa di bumi banyaklah yang tumbuh.
"Teratur hujan suburlah bumi. Dan kamu hai insan, hanyalah kerana belas kasihan Allah yang mengatur pertalian langit dan bumi. Kalau kamu perhatikan itu, nescaya kamu akan insaf di mana letaknya kamu di alam ini."
Firman Allah SWT: Sesungguhnya keterangan Al-Quran adalah kata-kata pemutus (yang sebenar).
Ibn Abbas berkata, perkataan fasl memberi maksud kebenaran. Inilah juga pendapat Qatadah. Sedangkan yang lain pula berpendapat maksudnya keadilan.
Hamka berkata: "Tegas keluarnya dengan jitu, maksudnya tiada dusta dan main-main, jelaslah menjadi pemisah dan pemutus di antara yang hak dan yang batil."
Firman Allah SWT: dan bukanlah ia kata-kata yang olok-olok.
Ibn Kathir berkata: "Ia adalah bersungguh-sungguh dan penuh kebenaran. Selepas itu dijelaskan pula berkenaan dengan perihal orang kafir yang mendustakan daripada jalan Allah."
Firman Allah SWT: Sesungguhnya mereka (yang menentangmu, wahai Muhammad) bermati-mati menjalankan rancangan jahat, Dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka, dan menggagalkannya).
Mereka yang membuat pelbagai rancangan jahat adalah manusia yang dijadikan daripada air mani yang memancut, yang keluar di antara tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan.
Iaitu sel-sel yang tidak punya kekuatan, kuasa, dan kemahuan, tidak punya ilmu pengetahuan dan hidayah, iaitu manusia yang dijaga dan dipelihara Allah dalam pengembaraan mereka yang jauh dan akan dibangkitkan kembali selepas mati untuk diperiksa segala rahsia hati mereka, dan pada hari itu mereka tidak mempunyai seberang kekuatan dan penolong.
"Mereka membuat pelbagai rancangan jahat" dan aku sebagai Tuhan Pencipta, Penunjuk, Pemelihara, Pengarah, Penghidup kembali dan sebagai Tuhan Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Perkasa, dan sebagai Tuhan yang mencipta langit dan bintang yang muncul di waktu malam, yang menciptakan air mani yang memancut dan manusia yang berakal, menciptakan langit yang menurunkan hujan dan bumi yang tumbuh subur dengan tumbuh-tumbuhan, Allah akan turut mengatur pelbagai rancangan balas.
Firman Allah SWT: Oleh itu janganlah Engkau hendakkan segera kebinasaan orang-orang kafir itu, berilah tempoh kepada mereka sedikit masa.
Ibn Kathir berkata: Biarkan mereka dan jangan engkau gopoh gapah dengan merasa lambat menunggu tamatnya perjuangan itu, kerana kamu akan dapati balasan azab dan sengsara pasti menimpa mereka.
Penutup
Syed Qutub berkata: "Cara membabitkan Rasulullah SAW dalam urusan itu seolah-olah ia mempunyai kuasa di dalamnya, cara menghapuskan pagar-pagar perbezaan di antara nabi SAW dengan kehendak ilahiyah yang berkuasa memutuskan urusan itu."
Seolah-olah Allah berkata kepadanya engkau diberi kuasa terhadap mereka, tetapi berikan mereka tempoh yang sebentar.
Itulah cara mengambil hati yang lemah lembut dan penuh kemesraan untuk menghapuskan kesusahan dan derita menghadapi tindakan-tindakan jahat. Semuanya hancur belaka. Dan yang kekal dan tinggal ialah kemesraan dan kasih sayang.
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Monday, 14 February 2011
Allah menggagalkan rancangan jahat
Posted by amn077 at 21:29
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment