Dewasa ini banyak peselisihan pendapat berlaku antara saudara islam. Mana perginya perpaduan yang islam ajarkan kepada semua penganutnya? Sudah lupakah kita akan perintah Allah dan ajaran para nabi? Islam tidak akan tertegak tanpa kerjasama dan perpaduan semua umat Islam untuk memelihara agama ini.
Firman Allah dalam surah Al- Hujurat ayat 10 dan 11 yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang mu’min itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.
(surah Al Hujurat:10)
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, boleh jadi mereka (yang diperolokkan) lebih baik daripada mereka(yang mengolok-olokkan), dan jangan pula perempuan-perempuan(memperolok-olokkan) perempuan lain, boleh jadi perempuan yang (diperolokkan) itu lebih baik daripada perempuan (yang mengolokkan), janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk(fasik) setelah beriman. Dan barangsiapa tidak bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
(surah Al-Hujurat:11)
Dekatilah Al-Quran, pasti kita dapat lihat banyak firman Allah yang mengingatkan kita tentang betapa pentingnya kita memelihara hubungan sesama mu’min. Nabi junjungan kita, Rasulullah SAW juga menyuruh kita memelihara ukhuwah sebagaimana sabda baginda : Kasihilah saudara kamu seperti mana kamu mengasihi diri sendiri. Subhanallah. Maha Suci Allah. Indahnya tarbiah islam.
Imam Hasan Al-Banna pernah menyelesaikan pertelingkahan pendapat umat Islam suatu ketika dahulu hingga mereka tidak lagi besekutu, bahkan bersatu demi kasih dan cinta pada Allah yang Satu. Lihatlah kebijaksanaan Imam Hasan Al- Banna dalam menyedarkan kesilapan mereka. Hikmah inilah yang perlu kita cari bagi menyebarkan dan memperkuatkan Islam di mata dunia.
Ketika beliau memberi pengajian ilmu, seorang lelaki telah bertanya kepada Imam Hasan Al-Banna tentang tawasul, tentang adakah pahala membaca Al-Quran bagi arwah akan sampai kepadanya, tentang mengucapkan gelaran ‘saiyidina’ kepada Rasulullah SAW sewaktu membaca tahiyyat (dalam solat) dan pelbagai soalan seperti ini. Lalu Imam Hasan Al-Banna menjawab: “Sesungguhnya Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan mengikut kemampuannya,” potongan ayat surah Al-Baqarah ayat 284.
Imam Hasan Al-Banna juga menjawab perselisihan mereka secara amali dengan menyoal dua orang pemuda. Seorang bermazhab Hanafi dan seorang lagi bermazhab Syafi’ie. Beliau bertanya “Bagaimana anda membaca Surah Al-Fatihah ketika menjadi makmum dalam solat berjemaah?.” Soalan ini dijawab berbeza antara mereka mengikut mazhab masing-masing.
Lelaki bermazhab Hanafi: saya mendiamkan diri dan tidak membacanya. Lelaki bermazhab Syafi’ie: tentulah saya membacanya. Selepas itu beliau bertanya lagi kepada dua pemuda itu: "Apabila kalian berdua selesai solat, apakah pendapat kalian mengenai solat sahabat kalian?"
Lelaki bermazhab Syafi’ie menjawab: “Mengikut mazhab saya, sudah pastilah batal solatnya kerana dia tidak membaca Al-Fatihah sedangkan bacaan itu adalah salah satu rukun-rukun solat.” Lelaki bermazhab Hanafi: “Mengikut mazhab saya, sesungguhnya dia telah melakukan sesuatu yang hukumnya makruh tahriman.”
Lantas Imam Hasan Al-Banna bertanya kepada mereka berdua : “Adakah kalian menyalahkan antara satu sama lain?” Mereka menjawab : “TIDAK”. Imam Hasan Al-Banna bertanya kepada para hadirin : “Adakah kalian menuduh kedua pemuda ini salah?” Dan jawapannya juga TIDAK.
“Maha suci Allah! Kamu mendiamkan diri kamu dalam hal ini sedangkan perkara ini berkaitan dengan sah atau batal solat. Jadi mengapa kamu tidak dapat bertolak ansur kepada orang yang membaca tahiyyat disertakan selawat Allahumma solli ‘ala Muhammad ataupun yang membaca Allahumma solli ‘ala saiyidina Muhammad dan mengapa kamu anggap khilaf hukum bacaan tersebut bagaikan suatu masalah yang paling besar di dunia?”
Pendekatan yang dilakukan secara amali ini sangat berkesan kerana mereka semua telah berpegang teguh kepada mazhab ikutan masing-masing. Lihatlah bagaimana ulama’ Islam zaman dahulu mendekati jiwa-jiwa umat Islam. Jangan sesekali memperlekeh mazhab anutan saudara islam kita yang lain. Biarpun berbeza mazhab tapi matlamat hidup kita adalah sama, iaitu untuk mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata.
Wujudnya 4 mazhab adalah kerana sayangnya Allah kepada kita. Allah memberikan kita keringanan (rukhsoh) dalam beribadat jadi bersyukurlah atas kurniaan Allah.
Sunday, 27 February 2011
Belajar Hikmah Dari Ulama'
Posted by amn077 at 17:58
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment