Pernahkah terlintas di fikiran kita bahawa ada di antara cara hidup dunia barat yang kita ambil dan telah menjadi sebahagian daripada amalan hidup kita adalah sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam? Sama ada kita terlepas pandang atau memang kita sengaja memejamkan mata dengan perkara-perkara yang selama ini kita tahu bertentangan dengan ajaran Islam, kita masih mengamalkannya kerana ia seolah-olah menjadi penanda aras kepada ketamadunan sesuatu bangsa itu. Lebih malang lagi apabila ada juga di antara kita yang tidak mengetahui langsung perbuatan yang salah itu adalah salah kerana ia sudah menjadi resam kepada cara hidup kita selama ini. Walaupun ia mungkin dilihat hanya sebagai hal yang kecil dan remeh, namun itulah sebenarnya yang membezakan antara Muslim yang benar-benar mengenali agama dengan Muslim yang hanya mewarisi agama daripada ibu bapanya.
Salah satu contoh yang melambangkan kesopanan yang tinggi pada pandangan masyarakat barat boleh dilihat melalui tata tertib penggunaan pisau dan garfu ketika menjamah hidangan. Mengikut ‘table manners' ciptaan barat, pisau hendaklah dipegang menggunakan tangan kanan dan menyuap makanan yang telah dipotong itu dengan tangan kiri (yang memegang garfu tersebut). Di sini tidakkah kita sedar bahawa Islam melarang umatnya daripada makan dan minum menggunakan tangan kiri?
Dan jika benar kita jahil tentang hukum Islam yang melarang umatnya menggunakan tangan kiri ketika makan, sekurang-kurangnya tidakkah kita merasa janggal apabila makan menggunakan tangan kiri kerana itu bukan fitrah atau tabi'i asal makhluk yang diangkat kemuliaan ciptaannya? Saya juga pernah ditegur kerana memegang garfu dengan tangan kanan kerana tidak mengikut etika yang betul dan tak mahu saya diketawakan kerana seolah-olah saya masih berfikiran kolot. Kadangkala kita sanggup ketepikan ajaran agama kita sendiri hanya kerana mahu menurut cara hidup masyarakat yang tidak mengakui akan kebenaran ajaran Islam, demi dilihat sebagai bangsa yang bertamadun?
Saya berasa sungguh bangga dengan kejayaan Malaysia menganjurkan sukan Komanwel sedekad yang lalu kerana temasya sukan tersebut telah dimulakan dengan bacaan doa yang berlandaskan kesucian Agama Islam. Ketika itu, seluruh dunia menyaksikan doa umat Islam mengiringi temasya sukan yang disertai oleh pelbagai negara, pelbagai bangsa dan pelbagai agama. Tetapi sayangnya doa itu tidak disusuli dengan perbuatan sebagai masyarakat Muslim. Sering menjadi tanda tanya di dalam kotak fikiran saya, adakah jika atlet kita memakai seluar panjang ketika bersukan, maka ia akan mendatangkan sesuatu yang akan mengganggu pergerakan mereka ketika bersukan? Tetapi bagaimana pula dengan atlet yang bukan beragama Islam?
Kita perlu yakin bahawa Islam bukanlah soal kerohanian (keagamaan) semata-mata, tetapi cara hidup yang telah ditentukan oleh Allah SWT yang mana telah dijanjikan, akan memperoleh pelbagai manfaat kepada sesiapa sahaja yang mengamalkannya. Oleh itu, tiada sebarang sebab mengapa penganut agama lain tidak boleh untuk turut mengamalkannya. Sebagai contoh, penggunaan perbankan Islam yang kini meluas diterima oleh masyarakat bukan Islam. Ia tetap memberi manfaat kepada pemegang akaun yang berlandaskan syariah itu tanpa mengganggu gugat pegangan mereka terhadap kepercayaan mereka. Maksudnya juga di sini ialah, tiada sebab mengapa kita perlu mengorbankan beberapa hukum Islam atas nama perpaduan dan toleransi antara kaum, dan tiada sebab mengapa hukum Islam tidak boleh diaplikasikan di Negara yang berbilang bangsa dan agama. Ingatlah, adat resam mungkin boleh ditinggalkan tapi hukum agama bukanlah sesuatu yang boleh diubah-ubah.
Saya juga ingin mencadangkan seperti mana kerajaan melalui Majlis Agama Islam melarang rakyatnya yang beragama Islam daripada berjudi dan bermain nombor ramalan, perbankan konvensional juga perlu diharamkan ke atas pelanggan yang beragama Islam. Sekurang-kurangnya masyarakat akan mula berfikir dan akan mula sedar bahawa yang haram tetap haram dan menjadi kewajipan untuk kita mencari keberkatan di dalam setiap rezeki dan amalan yang kita usahakan, bukan sekadar melibatkan urusan perbankan sahaja tetapi kepada semua aspek kehidupan.
Ingin juga saya menyentuh tentang persepsi negatif masyarakat kita sendiri terhadap wanita yang bertudung. Mengapakah apabila seseorang wanita itu bertudung, maka wanita tersebut akan dilabel sebagai "kampung" dan tidak terbuka mindanya? Tetapi tidakkah kita tahu, setiap sesuatu itu ada batasannya, begitu juga dengan sifat keterbukaan. Budaya barat yang beginilah yang telah sekian lama membentuk "mind setting" masyarakat yang jelas terbukti memberi implikasi yang merosakkan.
Selalu juga kita terdengar suara-suara yang mengatakan bahawa wanita yang bertudung tidak semestinya baik. Ya, memang benar kerana tudung itu hanyalah sehelai kain yang menutupi aurat wanita tersebut tetapi sekurang-kurangnya jika bertudung, anda telah mengurangkan satu dosa yang anda sedar akan kewujudannya. Janganlah dihimpunkan lagi dengan dosa-dosa yang sering kita lakukan tanpa kita sedari kerana sebagai manusia biasa, kita takkan terlepas daripada melakukan kesilapan. Tetapi apabila anda bertudung, amalkanlah tata tertib sebagai seorang muslimah yang baik kerana pada pandangan masyarakat, ia lebih menjejaskan apabila gadis yang bertudung melakukan kemungkaran berbanding gadis yang asalnya tidak memakai tudung. Bagaimanapun, bertudung atau tidak, berserban atau hanya memakai topi Arsenal FC, siapalah kita untuk menilai seseorang itu melainkan ia adalah hak mutlak Allah SWT untuk menilaikannya.
Contoh-contoh tersebut hanyalah sebilangan kecil daripada apa yang kita perlu perbetulkan mulai sekarang setelah sekian lama kita mencuba untuk memisahkan antara urusan agama dan urusan duniawi sedangkan Islam itu sendiri adalah ad-Din yang membawa maksud cara hidup. Bagaimanalah kita boleh hidup tanpa memiliki satu landasan yang benar daripada sebaik-baik agama Allah itu sendiri.
Islam telah menegaskan, jika kita menyedari sesuatu yang tidak sesuai dengan kebenaran berlaku di dalam pengetahuan kita, maka perbetulkan dan ubahlah perkara tersebut dengan segala kuasa yang kita ada, tetapi jika kita tiada kuasa untuk bertindak dan hanya mampu untuk bersuara, maka bersuaralah, tetapi jika kuasa dan suarapun kita tiada memiliki, maka cukuplah sekadar terdetik di dalam hati kita dengan mengakui bahawa perbuatan itu adalah salah dan kita membenci akan perbuatan tersebut, kerana sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman. Jesteru itu sama-samalah kita berdoa agar jangan tiba satu hari nanti di mana sudahlah kita tak mahu bertindak untuk meperbetulkan perkara yang mungkar, malah tidak pula merasakan perbuatan yang salah itu adalah salah seraya berkata, ‘alah biasalah tu, apa salahnya?' Sungguh malanglah umat Islam ketika itu kerana musuh sudah pun memenangi ‘the silent war' yang telah sekian lama mereka lancarkan terhadap pemikiran umat Islam seluruh dunia.
Tidak terdetik sedikit pun niat untuk mengguris hati mana-mana pihak, cuma kita tidak mahu di dalam diri kita ini, tersemat sifat-sifat Yahudi yang antaranya akan menyembunyikan sesuatu yang telah nyata benar bagi mereka. Yang benar tetap benar dan kita wajib memperakuinya. Dan saya akui saya juga termasuk dalam golongan yang alpa dan sering terleka, maka saya menyeru dan menasihati diri sendiri jua agar, janganlah diangkat cara dan gaya hidup yang kononnya boleh mengangkat keperibadian kita sebagai bangsa yang maju, moden dan bertamadun sedangkan pada hakikatnya ia sedikit demi sedikit telah menjauhkan diri kita daripada menjadi Muslim yang sebenar.
Kesimpulannya, yakinlah bahawa kita tidak akan mati kebuluran jika tidak makan apa yang diharamkanNya, kita tidak akan mati kehausan jika tidak minum arak, dan tidak akan papa kedana dan menderita jika tidak berjudi dan mengamalkan riba. Semuanya akan terjaga jika kita menurut hukum yang dilandaskan Allah SWT, insyaAllah.
www.iluvislam.com
Monday, 14 February 2011
DI MANAKAH KEDUDUKAN KITA SEBENARNYA?
Posted by amn077 at 21:28
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment