BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 20 February 2011

KEBENARAN SABDA RASULULLAH

Ya Rasulullah, sungguh mulia engkau. Kemuliaanmu Allah dan malaikat menselawatkanmu. Wahai orang mukmin selawatkanlah ke atasnya. Engkau akan mendapat syafaat di Akhirat nanti. Wahai Nabi engkau adalah cahaya daripada segala cahaya. Engkau adalah rahsia daripada segala rahsia. Engkau adalah penawar segala penyakit lahir dan batin. Engkau juga anak kunci segala kemudahan. Engkau adalah Rasul pilihan. Pilihan Rasul yang awal dan akhir. Engkau adalah penyelamat umat. Engkau membawa rahmat dan berkat. Ibadahmu membayangkan kehambaanmu. Akhlakmu membayangkan kebersihan hatimu. Pemurahmu membayangkan dunia tidak ada di dalam hatimu. Sabarmu membayangkan ketahanan jiwamu. Keberanianmu membayangkan tawakalmu dengan Allah. Orang yang menentangmu engkau doakan hidayah. Engkau adalah manusia luar biasa ikutan semua. Pemimpin yang dikehendaki adalah bayangan peribadimu.

Sempena bulan kelahiran Rasulullah SAW iaitu bulan Rabiul Awal, marilah kita mendengar kisah Rasulullah agar menambah kecintaan dan kerinduan pada Rasulullah yang selama ini musuh Islam terutama Yahudi memisahkan hubungan kita dengan Rasulullah di mana akibat hubungan yang longgar ini menyebabkan kita jauh dari Allah.
Pancaran nur kenabian baginda Rasulullah SAW terang nyata selama 300 tahun iaitu tiga kurun. Hal ini tidak berlaku kepada rasul-rasul lain, dan sesuai dengan maksud zahir hadis yang menyebutkan sebaik-baik kurun itu adalah kurun Nabi SAW, kurun berikutnya dan seterusnya.

Selain itu, generasi umat pilihan yang menerima didikan terus daripada Nabi SAW, yang disebut sebagai para sahabat RA, adalah contoh kejayaan baginda SAW mendidik mereka dalam masa yang amat singkat, menjadi orang-orang yang sangat bertakwa, sama fikirannya, sama amalannya, sama hatinya, sama kaya jiwa mereka, sama perjuangan mereka, sama usaha dan niat mereka dan sama pula matlamat yang ingin mereka capai. Ingatlah bahawa mereka sebelum itu hidup dalam persengketaan, permusuhan, pecah-belah, nafsi-nafsi, suka membunuh, tidak kenal erti kemajuan, tidak kenal erti halal dan haram, tidak tahu apa itu hidayah, yang kayanya kaya sangat, yang miskinnya miskin sangat, tindas-menindas dan tidak ada tujuan hidup.

Tiba-tiba setelah mendapat hidayah Allah melalui rasul-Nya SAW, mereka terus berputar seratus peratus menjadi sebaliknya. Tidakkah itu semua menunjukkan betapa hebatnya keperibadian baginda SAW kepada seluruh umat manusia?
Antara mukjizat yang pernah berlaku kepada baginda SAW ialah al-Quran, dan itulah yang terbesar. Terjadi dua kali dadanya dibedah, sekali semasa kecil dan sekali semasa sudah menjadi rasul. Dapat memberitahukan keadaan Baitulmaqdis sedangkan Baitulmaqdis itu dikecilkan di hadapan baginda SAW.

Kemudian bulan terbelah dua dan turun ke Makkah, kemudian naik semula ke tempat asalnya. Pernah sekelompok pemuda Quraisy berkomplot membunuhnya kemudian tertidur semasa Nabi SAW keluar. Nabi SAW menghampiri mereka, mengambil segenggam tanah lalu ditaburkan di atas kepala mereka sambil bersabda, “Semoga wajah-wajah mereka menjadi buruk.” Setiap pemuda yang terkena tanah itu terbunuh di medan Badar. Dalam perang Hunain, kaum Quraisy dilempari segenggam pasir oleh baginda SAW, menjadikan penglihatan mereka gelap dan mereka pun dikalahkan oleh Allah.

Begitu pula peristiwa yang menimpa Suraqah bin Malik ketika mengejar Nabi SAW yang sedang hijrah, kaki kudanya terbenam tiga kali dalam tanah yang keras. Rasulullah SAW pernah mengusap belakang unta betina yang belum digauli oleh unta jantan, lalu susunya menjadi penuh dan keluar dengan banyak. Juga kisah kambing Ummu Maabad yang mengeluarkan susu semula setelah kering beberapa lama. Juga doa Nabi SAW untuk Umar al-Khattab agar Allah memenangkan Islam dengannya.

Juga doa Nabi SAW supaya Allah menghilangkan panas dan dingin dari badan Sayidina Ali RA, selain pernah meludahi kedua-dua mata Sayidina Ali RA yang sedang sakit sehingga sembuh pada ketika itu juga dan tidak pernah sakit mata lagi selepas itu.Nabi SAW juga pernah memasukkan semula biji mata Qatadah bin Nukman yang telah terkeluar dan tergantung di pipinya sehingga pulih ketika itu juga, malah lebih cerah lagi penglihatannya daripada sebelumnya.

Nabi juga pernah mendoakan Abdullah bin Abbas RA yang baru lahir agar menjadi seorang yang amat faham dalam ilmu tafsir. Nabi SAW juga mendapat Israk dan Mikraj, suatu mukjizat yang paling agung pernah diterima oleh mana-mana nabi dan rasul, menghadap terus kepada Tuhannya untuk menerima perintah menunaikan sembahyang.
Dalam peristiwa Israk dan Mikraj ini juga, baginda SAW menjadi imam bagi sekalian rasul dan malaikat, berjumpa dengan roh-roh para rasul AS, melepasi had yang tidak dapat dilepasi oleh mana- mana malaikat pun, dan dapat berbicara dengan Tuhan secara langsung tanpa sebarang perantara, di tempat yang suci dan dalam keadaan suci.
Nabi SAW juga pernah mendoakan unta Jabir RA yang selalu kalah dalam perlumbaan, sehingga dapat mengalahkan unta-unta yang lain. Begitu juga doa Nabi SAW untuk Anas bin Malik RA agar panjang umur, mempunyai banyak harta dan banyak anak. Nabi SAW juga pernah mendoakan kurma Jabir RA sehingga dia mampu melangsaikan seluruh hutangnya, sedangkan kurmanya itu masih bersisa 13 Wasaq lagi. Nabi SAW juga pernah mendoakan kebinasaan bagi Utaibah bin Abi Lahab, sehingga dia mati dimakan singa di Az-Zarqak, dekat Syam.

Rasulullah SAW juga pernah memohon diturunkan hujan sehingga turun hujan selama seminggu, kemudian memohon agar hujan berhenti dan berhentilah hujan itu. Batu dan pepohon memberi salam kepada baginda SAW pada malam-malam menjelang turunnya wahyu pertama dengan lafaz yang terang,

“Assalamu alaika ya Rasulullah.”
Baginda bersabda, “Sesungguhnya aku mengetahui batu-batu di Makkah yang memberi salam kepadaku sebelum aku diangkat menjadi nabi.”
Baginda SAW juga mampu atau dapat mengalahkan tokoh penggusti yang hebat, semasa sebelum Hijrah, dalam usaha dakwahnya. Pernah ada pohon kurma yang menyatakan kerinduannya kepada Nabi SAW, dan batu yang bertasbih di atas tapak tangan baginda SAW, begitu juga makanan.

Daging kambing yang telah dimasak pernah bercakap memberitahu Nabi SAW bahawa padanya ada racun, dan unta tua yang mengeluh di hadapan Nabi SAW bahawa dirinya banyak kerja-kerja berat yang dibebankan sedangkan rumput yang diberikan kepadanya tidak mencukupi. Nabi SAW pernah memberitahu tentang tempat-tempat matinya kaum Musyrikin pada Perang Badar, padahal perang belum lagi berlaku, dan nyata selepas itu bahawa semuanya benar dan tepat.

Nabi SAW juga pernah memberitahu bahawa ada sekumpulan umatnya akan berperang menyeberangi laut dan Ummi Haram binti Milhan termasuk salah seorang daripada mereka. Nabi SAW pernah menyatakan kepada Sayidina Usman RA bahawa dia akan ditimpa bencana besar, dan terjadilah bencana itu sehingga menewaskannya.
Nabi SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya cucuku ini (Sayidina Hasan bin Ali RA) adalah pemimpin dan Allah akan mendamaikan dengannya dua golongan yang besar dari kaum Muslimin.”

Nabi SAW juga pernah memberitahu tentang tewasnya Al-Ansi si pendusta yang berada di San’a pada malam dia dibunuh dan disebutkan siapa pembunuhnya.
Nabi SAW pernah bersabda kepada Sabit bin Qais RA,” Engkau hidup terpuji dan mati sebagai syahid.” Maka dia terbunuh sebagai syuhadak dalam Perang Yamamah.
Seorang lelaki yang murtad mengikuti kaum musyrikin berperang. Apabila Nabi SAW mendengar berita bahawa orang itu mati, Nabi SAW pun bersabda,” Bumi tidak menerimanya.”

Benar apa yang disabdakan oleh baginda itu, seperti yang disaksikan oleh orang ramai. Nabi SAW pernah menegur seorang lelaki yang makan dengan tangan kirinya,”Makanlah dengan tangan kananmu.” Orang itu menjawab,”Aku tidak mampu.” Maka Nabi SAW pun bersabda, “Engkau tidak akan mampu.” Sesudah itu, orang itu tidak mampu lagi mengangkat tangan kanan ke mulutnya.

Rasulullah SAW memasuki Kota Makkah pada Futuh Makkiah, berhala-berhala 360 buah berkeliling di Kaabah. Nabi SAW menunjuk ke arah berhala-berhala itu dengan tongkatnya dan bersabda, “Telah datang kebenaran, kebatilan pasti lenyap!”
Pada ketika itu juga berhala-berhala itu jatuh berguguran dan hancur.

Dalam Perang Khandaq, baginda SAW memberi tenteranya makan dari satu sya’ (kira-kira secupak) gandum dan mengenyangkan mereka semuanya. Nabi SAW juga memberi makan kaum muslimin dari lebihan kurma mereka yang dikumpulkan di atas tikar, lalu didoakan agar berkat oleh Allah, kemudian dibahagi-bahagikan kepada semua anggota pasukan, dan itu mampu mencukupkan untuk mereka semua.
Abu Hurairah RA datang kepada Nabi SAW membawa beberapa biji kurma dan berkata,”Doakan ini agar diberi berkat.”

Sesudah didoakan oleh Nabi SAW, Abu Hurairah RA menyedekahkan sebahagian kurma itu pada jalan Allah dan selebihnya dimakannya. Kurma itu dimakannya setiap hari dan baru habis semua sekali setelah meninggalnya Khalifah Ketiga, Sayidina Usman RA.
Nabi SAW semua penghuni Suffah untuk diberi makan, kemudian Abu Hurairah berkata,”Aku amat berharap sebagai orang yang akan dipanggil dahulu, kerana makanan pada piring itu hanya sedikit sedangkan penghuni Suffah cukup banyak. Maka Rasulullah SAW mengumpulkan makanan itu sehingga menjadi sesuap lalu ditekupnya dengan tangannya, sambil bersabda,”Makanlah, dengan nama Allah. ” Demi Tuhan yang jiwaku yang berada di Tangan-Nya, aku terus makan di situ sehingga aku merasa kenyang.”

0 comments: