BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, 4 July 2009

Ibu & Ayah

"Salam dan selamat pagi buat semua warga Tranungkite.

Entah kenapa pada pagi Jumaat ini, saya cukup kuat memikirkan kematian. Pada mulanya memikirkan kematian diri, tetapi muncul pula kematian ayah & ibu. Kedua mereka ini adalah asbab kejadian kita di dunia.

Sedih kerana terlalu banyak dosa yang telah dilakukan pada mereka, tidak terhitung jika dihimpunkan kesemua jari jemari seluruh warga Tranungkite.

Syukur alhamdulillah, kedua mereka masih hidup dan sihat wala'fiat walau usia hampir mencecah 60 tahun. Tidak dapat saya bayangkan jika mereka sudah tiada satu hari nanti.

Disaat dan ketika ini, terdetik di hati dengan bertanya kepada diri saya, bagaimanakah perasaan mereka yang sudah ketiadaan ibu, atau ayah, atau kedua-duanya? Sukar untuk dibayangkan.

Persoalan kepada saya pula ..

- Bagaimanakah perasaan saya, ketika terpandang pakaian yang pernah dipakai oleh ibu, atau ayah, apabila mereka sudah tiada lagi?

- Bagaimanakah perasaan saya, ketika terlihat katil yang digunakan oleh ibu, atau ayah, yang tidak didiami lagi, yang tersusun kemas rapi cadar dan selimut serta bantalnya yang pernah kedua mereka gunakan satu ketika dahulu. Pasti terkenang mereka ketika sedang tidur nyenyak. Yang pasti saat sebegitu tiada lagi dan tak mungkin kembali.

- Bagaimanakah perasaan saya, ketika merindui 'air tangan' ibu, yang tidak pernah jemu memberi makan, dari saya kecil sehingga lah saat pemergiannya? Tentu tiada lagi 'air tangan' yang mampu menyerupai 'air tangan' ibu.

- Bagaimanakah perasaan saya, ketika mengenangkan setiap saat bersama ayah, dari saat ayah mendukung saya sejak kecil, walaupun tidak mampu saya bayangkan, setiap aktiviti yang pernah dilakukan bersama ayah, setiap sesi perbualan bersama ayah, sesi bertukar pendapat dengan ayah, walau pernah dimarahi dan dipukul, saat sebegitu pasti tiada lagi bila meratapi saat pemergian ayah.

- Bagaimanakah perasaan saya, setiap pagi Hari Raya, dimana tahun-tahun sebelumnya, saya pasti mencium tangan, pipi serta dahi ibu dan ayah, diiringi tangisan memohon keampunan diatas segala kesalahan yang telah dilakukan, bila ayah dan ibu telah pergi menyahut seruan Ilahi. Pasti saya akan merasai kesedihan pada pagi yang mulia itu.

- Bagaimanakah perasaan saya, ketika terpandang rakan atau jiran, yang masih mempunyai ibu dan ayah, membalas kasih dan sayang sesama mereka dihadapan saya, pada ketika ibu dan ayah saya telah tiada lagi.

.. Bagaimanakah perasaan saya?

Jujurnya airmata saya sedang berlinangan ketika ini. Buat warga Tranungkite, hargailah ibu & ayah ketika mereka masih ada. Hargailah setiap pengorbanan mereka selama mereka membesarkan kita. Sayangilah mereka sesempat masa mengizinkan kita menyayangi mereka, kerana mereka pasti kembali disuatu masa, kembali kepadaNya, buat selama-lamanya."

sumber: tranungkite

0 comments: