Dalam al-Quran, ada dijelaskan beberapa bentuk ujian yang mesti dilalui oleh setiap individu Muslim, sama ada ia berbentuk ujian kebuluran, ketakutan, ujian dengan sedikit sumber pemakanan, harta benda, ujian dalam kehidupan adalah untuk Allah ketahui siapakah di kalangan hamba-hamba-Nya yang paling bertakwa kepada-Nya.
Kesemua itu adalah bertujuan supaya orang Islam semakin matang dalam menempuh perjuangan hidup. Allah SWT tidak memberi mereka meraba-raba dengan ujian yang didatangkan kepada mereka, akan tetapi Dia mengajar mereka untuk berlindung dan bermohon kepada-Nya melalui program ibadat solat dan sabar dalam menghadapi ujian.
Firman Allah SWT menerusi ayat 45 surah al-Baqarah, bermaksud: "Jadikanlah sifat sabar dan solat sebagai penolong kamu. Dan sesungguhnya yang demikian itu amat berat, melainkan kepada orang-orang yang khusyuk."
Dalam ayat 153 pula, Allah menjelaskan maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sifat sabar dan solat sebagai penolong kamu, sesungguhnya Allah beserta dengan orang-orang yang sabar
Kedua-dua ayat tersebut di atas, memberi penjelasan bahawa Allah SWT telah meletakkan syarat terpenting dalam menghadapi ujian-Nya ialah dengan berbanyak sabar dan melakukan solat, sama ada yang wajib atau sunat, kerana dengannya kita boleh bermohon kepada-Nya untuk menyelamatkan kita daripada sebarang bentuk marabahaya yang boleh menimpa kita pada bila-bila masa.
Sifat sabar itu lahir apabila manusia ditimpa ujian getir daripada Allah SWT, ia bertujuan untuk memperkasa diri Muslim untuk terus berhubungan dengan Allah sebagai tanda penyerahan diri mereka hanya kepada Allah, dan sabar itu pula boleh dikategorikan sebagai berikut;
1. Sabar dalam melaksanakan segenap perintah Allah dengan penuh rasa khusyuk dan pasrah kepada-Nya.
2. Sabar dalam meninggalkan segala larangan dan tegahan-Nya dengan penuh rasa tanggungjawab.
3. Sabar dalam menempuh segala ujian, kerana ia mengandungi kebaikan untuk semua.
4. Sabar ketika berhadapan dengan maksiat.
5. Sabar terhadap ketentuan dan musibah.
Apabila dilihat kepada sirah para anbiya tidak seorang pun daripada mereka yang tidak diuji oleh Allah, namun ujian yang ditimpakan ke atas mereka tidaklah sama antara seorang rasul dengan yang lain, justeru baginda ada menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud; "Para anbiya adalah golongan yang paling dahsyat ditimpakan ujian oleh Allah, kemudian golongan yang serupa dengan mereka (para ulama)."
Sehubungan itu, Almarhum Ustaz Mustafa Masyhur (Mursyidul Am kelima Ikhwan Muslimun menerusi tulisannya 'Bekalan kepada Para Da'ie' ada menyatakan, bahawa mana-mana individu atau jemaah tertentu yang memperjuangkan Islam, jika tidak melalui proses ujian, maka ia masih belum boleh dikatakan berjaya dalam dakwahnya.
Beberapa perkara yang berkaitan dengan ujian
1. Bahawa Allah SWT menjadikan ujian sebagai sunnah-Nya, supaya Dia mengetahui di kalangan hamba-Nya yang jujur dan mana yang berdusta, mana yang benar-benar beriman dan mana yang munafik. Jika sekiranya semua perkara itu mudah dan penuh dengan kesenangan, nescaya semua orang akan mengaku bahawa dia adalah seorang yang jujur, benar dan beriman. Akan tetapi, Allah mengetahui orang-orang yang benar-benar jujur dan orang yang melaksanakan solat lima waktu.
2. Antara pelajaran yang dapat diambil daripada setiap ujian, iaitu membersihkan orang-orang yang komited dalam perjuangan mendaulatkan Islam, supaya Allah mengetahui siapa orang-orang yang menghina orang-orang soleh dengan pelbagai tindakan jahat, termasuk para da'ie, penuntut ilmu, para ulama dan para wali Allah.
3. Antara rahsia daripada ujian dan cubaan yang diturunkan Allah ke atas permukaan bumi ini, iaitu penghapusan pelbagai kesalahan dan dosa yang terdapat pada diri orang-orang pilihan, sehingga Allah akan gugurkannya hingga ke akar umbinya.
4. Bahawa agama Islam ini, meskipun sering diberitakan bahawa ia sudah menang dan berjaya, sebenarnya di tengah-tengah perjalanan, masih penuh pelbagai cabaran dan tentangan, cubaan dan konspirasi jahat yang merintang, sehingga seorang mukmin masih bimbang menghadapi pelbagai konspirasi busuk yang dilancarkan syaitan yang berupa manusia terkutuk dari setiap pintu, jendela dan setiap arah.
5. Kita mampu menyingkap pelbagai konspirasi jahat musuh-musuh Islam, hingga kita mengetahui bahawa konspirasi busuk mereka tidak terbatas pada satu dimensi sahaja, akan tetapi datang dari semua arah dan tempat, pembunuhan, penjara, pengusiran, pencemaran nama baik, pembohongan, tipudaya dan sebagainya. Akan tetapi semua itu akan berakhir dengan kegagalan.
6. Antara pelajaran yang dapat diambil daripada ujian yang ditimpakan, iaitu agar seorang hamba sentiasa berjuang dan bangkit daripada jurang kerendahan dan kehinaan, serta berjuang kembali dengan tenaga dan semangat baru dan mengembalikan aktivitinya setelah keluar daripada ujian ini dengan jayanya.
7. Hendaklah seorang hamba itu merendahkan diri, patuh, tunduk dan berlindung kepada Allah serta bermunajat kepada-Nya, kerana kemenangan hanya ada di tangan-Nya dan kemuliaan hanya wujud dengan merendah diri kepada-Nya.
8. Kejujuran dan keyakinan tauhid hanya kepada Allah SWT. Hal ini dapat diketahui oleh orang yang telah cuba menerapkan kalimah La ilah Ilallah, di mana kejujuran yang kukuh tidak akan nampak kecuali saat hamba itu mendapat ujian, maka itulah ucapan kalimah tauhid yang diungkapkan dengan penuh kejujuran dan keyakinan dari dalam hatinya.
Justeru, tauhid ini akan dapat dilihat dengan jelas pada masa-masa berlakunya krisis, sebagaimana firman Allah SWT menerusi ayat 65 surah al-Ankabut yang bermaksud: "Maka apabila mereka menaiki kapal, mereka berdoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-nya." - lanh _
Friday, 17 July 2009
Tazkirah Jumaat: Manusia tidak lekang daripada ujian
Posted by amn077 at 00:42
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment