BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, 4 July 2009

Mengapa Berat Nak Sholat?

Rata-rata umat Islam mengetahui bahawa sembahyang atau solat lima waktu
itu hukumnya wajib. Yakni, kalau dibuat, dapat pahala dan kalau
ditinggalkan berdosa. Berdosa itu pula akan dihukum dengan seksa Neraka.

Semua umat Islam rasanya sudah maklum apakah dia seksa Neraka itu. Api
yang membakar sampai ke hati. Minumannya ialah leburan logam yang
menggelegak yang tidak terhingga panasnya. Makanannya ialah buah yang
berduri. Seksa Neraka tersangatlah pedih. Ia adalah sehina-hina tempat
untuk kembali.

Rata-rata juga umat Islam tahu bahawa sembahyang itu tiang agama. Siapa
yang mendirikan sembahyang, dia sebenarnya telah mendirikan agama. Siapa
yang meruntuhkan sembahyang, dia telah meruntuhkan agama. Mereka juga
tahu, yang membezakan di antara orang kafir dan orang Islam itu ialah
sembahyang.

Barang siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, nyata dia
telah kufur. Sembahyang adalah amalan pertama yang dihisab di akhirat.
Kalau sembahyang tidak selesai, segala amalan yang lain tertolak.

Namun masih ramai umat Islam yang tidak menunaikan sembahyang lima
waktu. Masih ramai yang cuai menunaikan sembahyang. Yang cuai menunaikan
sembahyang itu bukan sahaja orang muda tetapi juga orang tua. Bukan
sahaja orang miskin tetapi juga orang kaya. Bukan sahaja di kalangan
orang-orang bawahan tetapi juga orang-orang atasan. Bukan hanya dari
kalangan orang-orang tidak berpelajaran tetapi juga yang berpelajaran
tinggi. Bukan sahaja dari kaum pekerja atau buruh tetapi juga dari para
eksekutif dan pengurusan. Bukan sahaja di
kalangan rakyat tetapi juga pemimpin. Bukan sahaja lelaki, tetapi ramai
juga perempuan yang cuai bersembahyang.

Menjadi kafir kerana tidak bersembahyang tidak dirasakan sebagai suatu
ancaman. Meruntuhkan agama kerana cuai sembahyang juga tidak dirasakan
besar. Malahan, ancaman seksa Neraka yang begitu perit, hebat dan
dahsyat pun umat Islam tidak rasa gerun dan takut. Apakah puncanya umat
Islam jadi begini?

Kalau ditanya pendapat orang, maka akan timbullah berbagai-bagai sebab
dan alasan. Lemah imanlah. Kurang ilmu agamalah. Tidak ada asas
agamalah. Kurang didikan agamalah. Kerana pengaruh liar seperti rock,
black metal, dadah dan sebagainya. Kerana ibu ayah sibuk mengejar dunia
dan tidak mengambil berat serta tidak ada masa untuk anak-anak. Kerana
tidak ada kasih-sayang dari ibu bapa dan keluarga. Kerana sibuk dengan
urusan, kerja, tugas, perniagaan dan bermacam-macam lagi alasan.

Mungkin alasan-alasan ini boleh diterima tetapi ia lebih merupakan
alasan-alasan sampingan. Ada sebab dan alasan yang lebih pokok dari itu
iaitu rata-rata umat Islam sudah tidak kenal Tuhan. Umat Islam berat
menunaikan sembahyang kerana mereka tidak kenal Tuhan. Apabila Tuhan
tidak dikenali, maka umat Islam tidak cinta dan tidak takut dengan
Tuhan. Apabila cinta dan takut tidak ada, maka tidak wujud hubungan hati
dengan Tuhan.

Hati yang tidak terhubung dengan Tuhan tidak ada apa-apa rasa. Tidak ada
keinsafan. Tidak ada kesedaran. Tidak ada rasa bahawa Tuhan itu
diperlukan. Bahawa Tuhan itu Maha Hebat dan Maha Agung. Tidak ada rasa
bahawa kita manusia begitu kerdil dan lemah di sisi Tuhan. Walhal hati
itu adalah wakil Tuhan pada diri kita, tempat kita berzikir dan
berhubung rasa dengan Tuhan. Dalam erti kata yang lain, kalau hati tidak
terhubung dengan Tuhan, kita tidak akan khusyuk dengan Tuhan.

Itulah sebabnya konsep pendidikan Islam bermula dari apa yang disabdakan
oleh Rasulullah SAW:
Maksudnya: Awal-awal agama mengenal Allah.

Setelah Allah dikenali, dicintai dan ditakuti, maka kita akan suka
mengamalkan syariat. Kita akan suka bersembahyang. Kita akan suka
membuat perkara yang Tuhan suka. Kita akan suka menggembirakan Tuhan.
Kita akan khusyuk dengan Tuhan. Akan timbullah keinginan untuk menyembah
dan membesarkan- Nya dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Barulah
datang keinginan untuk bersembahyang kerana sembahyang itu ialah
upacara untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Kalau Tuhan tidak
dirasakan besar dan agung maka kita tidak akan terdorong untuk
bersembahyang. Sembahyang tidak akan ada apa-apa makna.

Yang menjadi masalah, umat Islam sudah tidak dididik mengikut konsep
pendidikan Islam ini lagi. Mereka tidak dikenalkan kepada Tuhan terlebih
dahulu. Mereka dikenalkan kepada dunia dan apabila sudah tua atau
dewasa, barulah hendak berusaha untuk mengenal Tuhan. Itu pun hanya bagi
orang yang sedar dan yang mendapat hidayah.

Kalau setiap anak dididik dari kecil untuk mengenal Tuhan, maka semua
akan jadi mudah. Dari kecil lagi anak-anak sudah kenal, cinta dan takut
dengan Tuhan. Dari kecil lagi mereka sudah merasa khusyuk dengan Tuhan.
Orang yang khusyuk dengan Tuhan akan mudah bersembahyang. Tuhan ada
berfirman:

Maksudnya: Jadikanlah sabar dan solat itu sebagai
penolongmu. Sesungguhnya solat itu berat kecuali bagi
orang-orang yang khusyuk.
(Al-Baqarah: Ayat 45)

Kalau sudah tua dan dewasa baru hendak mengenal Tuhan, ia seperti anak
angkat yang sudah tua mahu diperkenalkan oleh ibu angkatnya kepada ibu
kandungnya sendiri. Memang dia akan menerima hakikat bahawa ibu
kandungnya itu memang benar ibu kandungnya. Lebih-lebih lagi kalau
disahkan dan diakui pula oleh ibu angkatnya. Tetapi untuk hidup dengan
ibu kandungnya atau untuk berpindah dari rumah ibu angkat untuk tinggal
bersama-sama ibu kandungnya, itu amat rumit sekali. Dia tidak akan mahu.
Cintanya telah tertumpah kepada ibu angkatnya kerana ibu angkatnyalah
yang telah banyak mencurahkan kasih sayang padanya. Begitu jugalah orang
yang telah meninggalkan Tuhannya untuk bermewah di dunia. Dunia seperti
ibu angkatnya. Memang sukar untuk kembali kepada Tuhan yang menciptanya.

Tidak hairanlah mengapa umat Islam tidak terdorong untuk bersembahyang.
Umat Islam tidak teringin untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Untuk
memuliakan, meninggikan dan mengabdikan diri kepada Tuhan. Mereka
mungkin tahu dan percaya adanya Tuhan tetapi mereka tidak merasakan
bahawa Tuhan itu benar-benar wujud. Mereka juga tidak merasakan yang
diri mereka itu hamba kepada Tuhan. Inilah bahananya kalau Tuhan tidak
dikenali.

Setakat tahu dan percaya sahaja tidak cukup untuk menjadi aqidah dan
pegangan. Ia tidak cukup untuk mendorong seseorang itu bertindak dan
beramal. Ia tidak boleh menimbulkan sesuatu komitmen atau azam yang
kuat.

Tahu dan percaya Tuhan itu adalah dengan akal. Tetapi mengenal Tuhan itu
adalah dengan hati. Orang yang tahu dan ada ilmu tentang Tuhan dikatakan
orang yang Aalimbillah. Orang yang kenal Tuhan itu dikatakan orang yang
Aarifbillah. Orang yang kenal Tuhan atau orang Aarifbillah itu, mereka
kenal Tuhan dengan hati. Mereka ada rasa-rasa bertuhan dalam hati
mereka. Mereka juga ada rasa-rasa kehambaan. Mereka itu orang-orang yang
khusyuk. Orang yang setakat Aalimbillah tidak ada rasa apa-apa.

Mari kita lihat bagaimana Rasulullah SAW mendidik para sahabat. Selama
13 tahun di Makkah, Rasulullah tidak mengajar para sahabat selain dari
mengenal Tuhan. Tidak ada hukum-hakam lain yang diajar. Sembahyang pun
belum diwajibkan.

Rasulullah mengajar para sahabat tentang Tuhan sehingga mereka
benar-benar kenal, cinta, takut dan sangat-sangat rindu dengan Tuhan.
Mereka seperti orang lapar yang tidak dapat makan. Mereka seperti orang
dahaga yang tidak dapat minum. Rindu mereka meluap-luap terhadap Tuhan.
Mereka mabuk cinta dan mabuk rindu dengan Tuhan.

Hanya pada tahun yang kesebelas baru berlaku peristiwa Israk Mikraj.
Ketika itu baru diturunkan perintah sembahyang. Apabila para sahabat
mendapat perintah sembahyang, ia ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Ia
ibarat orang dahaga diberikan air. Ibarat orang lapar diberikan roti.
Dalam sembahyanglah para sahabat melepaskan rindu-dendam mereka pada
Tuhan. Mereka berdailog, mengadu, memuja dan memuji Tuhan. Dalam
sembahyanglah mereka bermanja-manja dengan Tuhan.

Sembahyang adalah satu hadiah yang paling besar dan berharga bagi para
sahabat. Satu perkara yang ditunggu-tunggu dan diidam-idamkan. Dengan
sembahyanglah dapat mereka meluahkan segala perasaan dan isi hati mereka
kepada Tuhan yang mereka tanggung selama ini. Sembahyang bagi mereka
adalah satu nikmat yang tidak terhingga nilainya. Sebab itu kita lihat,
sahabat yang paling malas pun, sembahyang mereka seratus rakaat sehari
semalam.

Para sahabat mencintai sembahyang kerana sebelum datang perintah
sembahyang pun, mereka sudah kenal, cinta, rindu dan takut dengan Tuhan.
Inilah yang tidak ada pada kita. Kita tidak kenal, jauh sekali cinta,
rindu dan takut dengan Tuhan. Sebab itulah sembahyang tidak menjadi buah
hati kita. Sebab itulah kita tidak terdorong untuk bersembahyang. Sebab
itulah sembahyang kita tidak manis dan kita tidak mendapat kepuasan
dalam sembahyang. Sembahyang bagi kita adalah sesuatu yang sangat payah
dan berat. Sangat meletih dan menjemukan. Bagi para sahabat, bertemu
Tuhan macam hendak bertemu kekasih. Tidak sabar-sabar ingin bertemu.
Bagi kita, bertemu Tuhan macam hendak bertemu orang yang kita tidak
kenal. Kalau tak jadi bertemu pun tak rasa rugi apa-apa.

Seperkara lagi mengapa kita merasa berat untuk bersembahyang ialah
kerana kita tidak tahu dan tidak faham sebab dan hikmah mengapa Tuhan
mewajibkan kita bersembahyang. Kita tahu, kalau semua manusia
bersembahyang pun, Tuhan tidak untung apa-apa. Kalau semua manusia tidak
mahu bersembahyang pun, Tuhan tidak rugi apa-apa. Tidak akan bertambah
atau berkurang kemuliaan Tuhan. Sifat Tuhan itu sudah sedia sempurna.
Tetapi kenapa Tuhan mewajibkan juga kita bersembahyang.

Kita diperintah bersembahyang kerana dengan sembahyanglah dapat kita
melahirkan rasa-rasa kehambaan di hati kita. Rasarasa kehambaan ialah
rasa hina, berdosa, bersalah dengan Tuhan, rasa kerdil, lemah, cemas,
gementar, takut, bimbang, rasa malu, rendah diri, berharap dan
sebagainya. Rasa-rasa kehambaan inilah yang dapat membantu kita menjadi
orang yang baik. Rasa-rasa kehambaan ini boleh memusnah dan membakar
sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat keji yang bersarang di hati kita
seperti sombong, hasad dengki, tamak, pemarah, bakhil, ujub, jahat
sangka, berdendam, memfitnah, mengumpat, adu domba, menghina dan
lain-lain lagi. Kalau rasa-rasa kehambaan tidak ada di dalam hati, maka
hati kita akan dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah seperti yang disebut
di atas.

Sifat-sifat mazmumah ini sangat merosakkan. Ia racun dalam kehidupan
manusia dan masyarakat. Apabila hati-hati manusia dipenuhi dengan
sifat-sifat mazmumah, manusia akan berkrisis, bergaduh, bertengkar,
jatuh-menjatuh, bunuh-membunuh dan berperangan sesama sendiri.

Sebenarnya yang bergaduh dan berkelahi di antara manusia itu bukan
manusia itu sendiri. Bukan lidahnya, bukan tangannya, bukan kakinya
tetapi sifat mazmumah yang bersarang di hatinya. Sifat sombong seseorang
itu berlawan dengan sifat dengki orang lain. Sifat panas baran seseorang
itu bertengkar dengan sifat keras hati orang lain. Sifat bakhil
seseorang itu berlawan dengan sifat tamak haloba orang lain dan
seterusnya. Sifat mazmumah yang bersarang di hati manusialah punca
manusia bergaduh. Lidah, tangan, kaki hanya mengikut sahaja.

Kalau hati-hati manusia dipenuhi dengan segala sifat mazmumah, maka
rosaklah kehidupan manusia. Binasalah dunia. Hilang kasih sayang. Roboh
perpaduan. Hilang kebahagiaan dan keharmonian. Terseksalah hidup
manusia. Sembahyanglah yang dapat membuatkan manusia menjadi baik ialah
sembahyang yang dapat melahirkan rasa-rasa kehambaan. Rasa-rasa
kehambaan inilah yang akan melenyapkan sifat-sifat mazmumah dari hati
kita. Kalau kita rasa hina, lemah dan kerdil di hadapan Tuhan, masakan
pada waktu yang sama kita akan merasa sombong dan angkuh dengan orang
lain. Kalau kita merasa bersalah dan berdosa dengan Tuhan, masakan kita
akan nampak salah dan dosa orang lain.

Rasa-rasa kehambaan ini secara otomatis akan melahirkan pula rasa-rasa
bertuhan. Iaitu rasa-rasa bahawa Tuhan itu Maha Hebat, Maha Agung, Maha
Perkasa, Maha Kaya dan sebagainya. Rasa-rasa bertuhan ini akan menyubur
dan menajamkan sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat terpuji di hati
kita. Akan tumbuh dan segarlah sifat-sifat pemurah, pemaaf,
tolong-menolong, bantu-membantu, bertolak-ansur, bertimbang-rasa,
berkasih
sayang, bertoleransi, mesra, lemah lembut, lapang dada, suka
mendahulukan orang lain dan sebagainya di hati kita.

Inilah di antara sebab mengapa Tuhan menyuruh kita bersembahyang. Supaya
manusia dapat hidup dengan aman, damai dan harmoni. Bila sifat-sifat
mazmumah bersarang di hati kita, kita akan berwatak dengan watak
syaitan. Tetapi bila sifat-sifat mahmudah menghiasi hati kita, maka
terbinalah insan kita. Kita akan berwatak dengan watak malaikat.

Hidup manusia di muka bumi akan menjadi tenang, aman dan damai dan penuh
dengan kasih sayang dan harmoni. Hidup di dunia akan menjadi begitu
indah dan bahagia. Itulah bayangan keindahan hidup di Syurga Jannatun
Naim, hasil dari kita mendirikan sembahyang.

sumber: halaqah

0 comments: