Wanita Muslimah yang memahami dengan jelas tentang hidupnya yang sebenar hanyalah untuk mencari keredhaan Penciptanya dan yakin bahawa Jannah (syurga) atau Jahanam (neraka) merupakan balasan diakhirat, adalah seorang wanita yang berfikir. Dia adalah seorang yang tidak akan terpedaya dengan mitos kecantikan atau berusaha sedaya upaya untuk menerima imej dangkal yang dipropagandakan oleh Negara Kapitalis Barat. Dia tidak akan terpengaruh dengan dakyah dangkal yang membincangkan tentang kecantikan, rambut atau fesyen yang betul, atau membuang masa dan tenaga cuba untuk mencapai harapan yang tidak realistik sepertimana yang didefinasikan oleh masyarakat Barat sebagai “wanita yang cantik”. Keutamaan dalam kehidupannya adalah bagaimana menjadi seorang hamba yang tawaddhu’ kepada Penciptanya dan mengumpulkan sebanyak pahala yang mungkin untuk hari kemudian.
Model contoh dalam kehidupannya bukan pelakon filem, pemuzik atau model yang superfisial di Barat atau Timur tetapi lebih kepada Sahabiyaat dan wanita Muslim lampau yang mengabdikan diri hanya kepada Allah dengan memenuhi segala tanggungjawab kepadaNya dengan sepenuh daya tenaga mereka. Mereka ini dikenalpasti dan disanjung oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ulama-ulama dan didalam sirah Islam bukan kerana kecantikan mereka tetapi kerana keperibadian yang tinggi dan kebijaksaan yang berkualiti, kedermawanan, kerendahan diri, kesetiaan, keberanian, kekuatan, pengorbanan dan menjadi isteri-isteri yang taat dan ibu-ibu yang penyayang. Mereka diiktiraf didalam budaya Islam bukan kerana paras rupa mereka tetapi kerana menjadi pemikir-pemikir yang hebat, cendikiawan yang hebat, pejuang-pejuang yang hebat, pensyair-pensyair yang hebat dan ahli-ali politik yang hebat dan juga para pendakwah yang hebat.
Wanita-wanita seperti Khadijah Radhiallahu anha isteri pertama Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang menyokong suaminya didalam berdakwah untuk membentuk Negara Islam yang pertama telah sanggup mengharungi segala kesukaran dan rintangan dengan tabah dan sabar, malah menyaksikan penderitaan anak-anak beliau pada masa yang sama. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berkata mengenainya “Aku tidak pernah berjumpa isteri yang lebih baik dari beliau. Dia mempercayai aku ketika orang lain, walaupun ahli dan kaum keluargaku sendiri tidak mempercayai aku, dan menerima bahawa aku adalah Rasul dan Pesuruh Allah yang sebenar. Dia memeluk Islam dan membelanjakan segala harta bendanya untuk membantu aku menyebarkan kepercayaan ini dan juga pada ketika seluruh dunia menentang dan menganiaya aku. Dan melaluinya, Allah mengurniakan aku dengan cahayamata.”
Sedemikianlah keperibadiannya sehingga Allah Subhanahu wa Taala mengirimkan salam kepadanya sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam sebuah hadis yang menyatakan bahawa Malaikat Jibrail datang kepada Rasul Sallallahu Alaihi wa Sallam dan berkata, “Wahai Pesuruh Allah! Khadijah akan datang kepada kamu dengan membawa semangkuk sup daging. Apabila dia sampai kepada kamu, sambutlah dia bagi pihak Tuhan kamu dan diriku, dan berilah dia khabar gembira bahawa sebuah istana yang diperbuat dari Oasab menantinya disyurga yang tidak akan ada sebarang kebisingan dan kesusahan.” [Riwayat Bukhari]
Wanita-wanita seperti Fatimah Radhiallahu anha anak perempuan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah seorang yang sangat pemurah seperti perumpamaan cahaya api diatas bukit yang memberi panduan kepada kapal-kapal yang lalu. Contohnya, pada suatu ketika dimana Salman Radhiallahu anhu salah seorang dari rakan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam cuba mencari makanan untuk seorang Muslim yang kelaparan kerana telah tidak makan untuk beberapa lama. Dia membawa orang tersebut kebeberapa buah rumah tetapi tiada sesiapa pun yang dapat memberikan sebarang makanan. Tiba-tiba dia sampai kerumah Fatimah, lalu mengetuk pintu serta memberitahu tujuan kedatangannya. Dengan airmata berlinangan, Fatimah memberitahunya bahawa dia telah tiga hari tidak mempunyai sebarang makanan dirumah. Walaupun begitu, Fatimah enggan menolak tetamu tersebut dan berkata, “Aku tidak boleh menghantar pulang seorang tetamu yang kelaparan tanpa memberi sebarang makanan kepadanya”. Fatimah lalu merayu Salman supaya memberikan sehelai pakaian kepunyaannya kepada Shamoon, seorang Yahudi untuk ditukarkan dengan sedikit jagung. Orang Yahudi tersebut sangat kagum dengan kemurahan hati anak perempuan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam lalu memeluk Islam. Salman membawa jagung tersebut kepada Fatimah, lalu dikisarnya jagung tersebut untuk dijadikan beberapa buku roti. Apabila Salman mencadangkan supaya Fatimah menyimpan beberapa buku roti untuk diri dan keluarganya, Fatimah menjawab bahawa dia tidak mempunyai hak keatasnya kerana dia telah menyerahkan pakaian tersebut kerana Allah.
Wanita-wanita seperti Aisyah Radhiallahu anha isteri kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah seorang yang bijaksana dan mempunyai daya ingatan yang sangat kuat, telah meriwayatkan lebih 2,000 buah hadis. Beliau mempunyai pengetahuan yang mendalam dibidang tafsir, hadis, fikih dan Shari’ah. Didalam suatu mimpi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, Malaikat Jibra’il menunjukkan satu gambar Aisyah yang dibaluti oleh sutera berwarna hijau dan berkata, “Dia adalah isterimu didunia dan akhirat.”
Wanita-wanita seperti Khansaa seorang penyair yang mahir dan menggunakan kemahirannya untuk memotivasikan anak-anaknya berjihad untuk menaikkan ayat-ayat Allah yang Maha Tinggi dengan berkata kepada mereka, “ Kamu tahu ganjaran yang Allah janjikan kepada orang -orang yang berjuang untuk menentang orang - orang yang memusuhi jalanNya. Kamu harus ingat bahawa kehidupan akhirat adalah jauh lebih baik dari kehidupan dunia yang sementara ini. Apabila kamu bangun dikeesokan paginya, bersedialah untuk melakukan yang terbaik didalam peperangan. Berjuanglah menentang musuh dan mintalah pertolongan dengan Allah. Apabila kamu melihat api peperangan menyala, pergilah kamu ketengah medan peperangan dan hadapilah ketua-ketua musuhmu. InsyaAllah, kamu akan tinggal disyurga dengan kemuliaan dan kejayaan”. Keesokan harinya, keempat-empat anaknya melangkah kemedan peperangan Qadasiyyah, sambil mengulang-ulangi syair ibu mereka dan berperang sehingga mereka terbunuh. Apabila Khansaa menerima berita kematian anak-anaknya, dia berkata, “Alhamdulillah. Puji-pujian bagi Allah yang telah memuliakan aku dengan kesyahidan mereka. Aku berharap agar Allah mempertemukan aku dengan mereka dibawah lindungan Yang Maha Pengasih”.
Wanita-wanita seperti Ummu Amarah Radhiallahu anha seorang pejuang yang sangat mahir dan telah berjuang didalam banyak peperangan termasuk Perang Uhud, Hunayn dan Yamamah. Seorang yang melindungi Rasullullah dengan badannya serta mengalami banyak kecederaan didalam Peperangan Uhud. Rasullullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah menceritakan ketika Perang Uhud dimana sahaja dia beralih, kekiri atau kekanan, dia melihat Ummu Amarah berjuang bermati-matian untuk melindunginya. Beliau berdoa untuk Ummu Amarah dan keluarganya yang telah berjuang dengan penuh semangat dan kekuatan pada hari tersebut dan bersabda; “Ya Allah! Jadikanlah keluarga ini teman –temanku disyurga.”
Wanita-wanita seperti Ummu Shareek yang mengabdikan dirinya untuk berdakwah kejalan Islam dikalangan wanita-wanita Quraish sehingga pada satu masa dia dihalau dari masyarakat oleh ketua-ketua orang Quraish dan wanita-wanita seperti Sumayyah yang pertama syahid kerana Islam, yang sentiasa menyeru kepada orang ramai untuk menyembah Allah Subhanahu wa Taala walaupun sedang diseksa oleh Abu Jahal.
Khatimah
Wanita Muslimah adalah individu yang berfikir, seorang yang tidak membuta tuli meniru dan menurut orang-orang disekitarnya walaupun dia menentang kebiasaan masyarakat. Dia bukanlah seorang individu yang merasa rendah diri kerana imejnya tetapi dia adalah seorang wanita yang yakin dengan kehidupan yang telah dipilihnya untuk memwujudkan kebenaran Islam melalui minda dan keyakinanya. Akhirnya, dia bukanlah seorang wanita yang hanya taksub dengan imejnya sendiri; keterampilan atau kehidupan tetapi sebagai seorang individu yang mengetahui urusan dunia, memahami masalah-masalah manusia dan berfikir dengan hati-hati tentang peranannya untuk merealisasikan sistem yang sebenarnya untuk mentadbir manusia; iaitu Daulah Khilafah. Anda bagaimana?? Marilah sama-sama kita renungkan. Wallahu alam bishawab
Friday, 17 July 2009
Renungan : Adakah Anda Wanita Muslimah Yang Berfikir?
Posted by amn077 at 00:38
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment