Muqaddimah
Dalam realiti kini aktiviti-aktiviti maksiat telah dimanipulasikan menjadi simbol kemajuan dan kemodenan. Manusia yang bernama Muslim tidak lagi berkesempatan untuk berfikir amal baik apakah yang perlu dipersiapkan untuk hari esok. Mereka sering berfikir aktiviti leka apakah yang hendak dilakukan untuk menghabiskan masa siang dan malam. Rata-rata yang mengaku muslim dibelenggu oleh nafsu syaitan. Keperibadian mereka larut dalam budaya dan cara hidup Barat.
Musuh Islam yang sentiasa bekerja keras
Musuh Islam dari Barat, secara terus menerus dan agresif, menanamkan nilai-nilai dan budaya jahiliyyah ke dalam jiwa umat Islam. Jiwa umat Islam dipupuk supaya merasai ‘rendah diri’ . Dengan da’yah yang sistematik, misalnya melalui media cetak dan elektronik, ditanamkan satu pandangan bahawa apa-apa yang datang dari Islam adalah kuno dan tidak sesuai dengan zaman. Ataupun, apa yang datang dari Islam dianggap ganas dan melampau sedangkan apa yang datang dari Barat dianggap baik, maju dan moden.
Tidak sedikit umat Islam di pelbagai belahan bumi telah merasa asing terhadap nilai-nilai Islam dan cara hidupnya. Pada masa yang sama, mereka berjinak dengan cara atau gaya hidup Barat. Bahkan, lebih jauh dari itu, umat Islam merasa bangga dengan budaya Barat. Perhatikanlah dalam realiti kini;
Siapakah yang memenuhi panggung-panggung wayang?
Siapakah yang melepak dan berpeleseran di tepi-tepi bangunan membeli belah?
Siapakah yang kerap berkunjung ke pusat-pusat hiburan?
Siapakah yang ramai menghisap rokok?
Siapakah yang ramai menagih dadah?
Siapakah yang membuang anak luar nikah hidup-hidup?
Siapakah yang sering menjadi ‘kutu-kutu’ malam bersama-sama dengan motosikal-motosikal mereka?
Siapakah yang paling ramai tercicir dalam pelajaran?
Siapakah yang paling terkehadapan menentang perlaksanaan hukum-hukum Islam?
Jawapannya jelas iaitu Umat Islam.
"Akan datang kepada manusia satu zaman,
orang yang berpegang teguh dengan agamanya
seperti orang yang menggenggam bara api." At-Tirmidzi
Usaha-usaha pembaratan
Di awal usaha gerakan pembaratan ialah supaya umat Islam merasa ragu-ragu dan asing terhadap deen mereka sendiri dan di hujung gerakan pembaratan ialah Kristianisasi (riddah). Dengan kata lain, merosakkan akidah umat Islam. Antara serangan Barat terhadap umat Islam adalah;
1. Menghalang tertegaknya kesatuan umat Islam dengan cara menghalang kekhalifahan Islam. Sekaligus, Barat berusaha memperdalamkan perasaan kebangsaan dan kedaerahan di kalangan umat Islam.
2. Menegakkan pendidikan dengan sistem ‘co-education’ yang mencampurkan pelajar lelaki dan pelajar perempuan dalam sebuah sekolah atau dalam sebuah bilik darjah. Ini mendedahkan umat Islam kepada fitnah.
3. Melaksanakan sistem riba' dalam ekonomi dan menghancurkan harta kekayaan umat Islam.
4. Memansuhkan undang-undang Rabbani yang berdasarkan syari’at Islam, dan memaksa perlaksanaan undang-undang rekaan manusia yang meruntuhkan akhlak dan menghancurkan keluarga muslim.
5. Merosakkan ikatan kekeluargaan, merobohkan nilai-nilai sosial dan merangsang umat Islam mengamalkan akhlak serba boleh (tanpa batasan). Juga menggalakkan hidup berpecah-belah dan menghapuskan keperibadian insan yang soleh.
6. Memecah-belahkan daerah-daerah Islam dan menanamkan unsur-unsur asing di hati umatnya.
7. Menulis kembali sejarah Islam berdasarkan kaca mata Barat yang bersifat kebendaan.
8. Membangkitkan rasa kebanggaan kedaerahan, kebangsaan dan kesukuan serta menghidupkan kembali sejarah kuno sebelum Islam.
9. Menyebarkan semangat materialisme, mengenengahkan teori Darwin sebagai pintu kepada atheisme dan menanamkan rasa ragu-ragu terhadap ajaran Islam mengenai asal usul kejadian manusia menurut Al Qur’an.
10. Menyebarluaskan fahaman materialisme dalam hubungan antara manusia dan kehidupan sosial menurut teori Freud (mengenai dorongan seksual) dan teori Marxis (mengenai dorongan isi perut) serta menggambarkan manusia sebagai binatang yang dikuasai oleh nalurinya.
11. Mematikan bahasa Arab kerana ia adalah bahasa Al Qur’an.
12. Menafikan keunggulan kaum Muslimin dalam sejarah peradaban manusia.
13. Memaksa manusia memahami dan meyakini falsafah-falsafah materialisme seperti dialektika, permissivisme, eksistensialisme dan materialisme. Yang mana falsafah-falsafah ini menyemarakkan perasaan dengki, hawa nafsu dan angan-angan panjang. Juga, falsafah-falsafah ini mengingkari terhadap sesuatu yang tidak dapat dijangkau oleh pancaindera (atau yang tidak dapat dibuktikan secara empirikal).
14. Mengingkari agama dengan menganggapnya sebagai perkara yang membawa kemunduran hidup dan ketinggalan dari segi kemajuan sosial. Memisahkan Islam dengan politik dan akhlak manusia. Juga, menyerang akidah Islam dan nilai-nilainya.
15. Menyebarluaskan perpecahan dan permusuhan antara agama-agama dan ras-ras manusia.
Tujuan proses pembaratan terhadap umat Islam
1. Agar kaum Muslimin menerima gaya hidup barat dan jahil terhadap sistem hidup Rabbani.
2. Agar kekuatan kaum Muslimin lumpuh serta tidak berupaya lagi untuk menegakkan kembali peradaban Islam dalam ertikata sebenar.
Langkah-langkah menangkis serangan barat
Untuk menangkis gerakan pembaratan terhadap umat Islam, maka antara langkah penting yang perlu diambil adalah;
1. Menyebarluaskan da’wah Islamiyyah Da’wah Islamiyyah yang menerangkan Islam berdasarkan sumber-sumber yang muktabar perlu diutarakan kepada masyarakat melalui pelbagai wasilah yang munasabah. Ketahanan jiwa umat perlu dibina dengan wa’ Islami yang sebenar. Hati dan ‘aqal masyarakat perlu diselamatkan daripada racun yang disebarkan oleh musuh. Satu hakikat yang tidak dapat disangkal bahawa kejayaan gerakan pembaratan selama ini adalah lantaran jiwa umat Islam yang lemah. ‘Aqal dan ruh umat kosong daripada ajaran Islam sebenar.
2. Melaksanakan Tarbiyyah Islamiyyah
Tarbiyyah Islamiyyah untuk membentuk individu-individu muslim perlu dilaksanakan melalui pelbagai program. Individu-individu muslim yang soleh adalah umpama batu bata yang akan membangunkan bangunan Islam serta mampu untuk menangkis serangan musuh-musuh Islam. Begitu juga kurikulum Tarbiyyah Islamiyyah perlu dibina akan dapat dijalankan di sekolah-sekolah. Pelajar-pelajar dididik dalam bidang akidah, syar’iah dan akhlak. Tarbiyyah Islamiyyah bukan sekadar menjadikan Islam sebagai pengetahuan sahaja, tetapi juga melahirkan keyakinan dan amal Islami dalam kehidupan harian.
3. Mengenengahkan Islam melalui media massa
Pekerja-pekerja Islam perlu memberi perhatian terhadap media massa. Seharusnya, pihak Islam mempunyai pusat maklumatnya sendiri yang dikendalikan oleh tenaga-tenaga mahir yang ikhlas dan mampu menyingkap pelbagai bahaya tersembunyi dalam da’yah yang disiarkan oleh musuh-musuh Islam.
4. Membina kesatuan umat Islam
Sewajarnya umat Islam berusaha ke arah kesatuan dan penyelarasan sehingga dapat berdikari dalam pelbagai bidang kehidupan. Pergantungan kepada pihak musuh, baik dalam aspek politik, ekonomi mahu pun mana-mana keperluan hidup, akan hanya mengundang kelemahan dan perpecahan. Musuh-musuh akan mengambil kesempatan daripada kelemahan dan perpecahan itu untuk campur tangan dan seterusnya merosakkan urusan umat Islam.
Penutup
Di samping langkah-langkah di atas diambil untuk berhadapan dengan gerakan pembaratan oleh musuh-musuh Islam, umat Islam juga perlu berwaspada dan berhati-hati dalam menerima sesuatu yang datang dari luar. Jangan terjadi, dengan beralasan kepada sikap ‘toleransi dan terbuka’, maka gerakan-gerakan yang merosakkan akidah Islam dibiarkan begitu sahaja hingga boleh membawa kepada gejala riddah yang berleluasa.
Glosari kata
Riddah = murtad
sumber: iluvislam
Tuesday, 4 August 2009
Menangkis Serangan Barat Terhadap Umat Islam
Posted by amn077 at 02:13
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment